Thursday, 4 October 2012

ڤاس ترسوڠكور تيكا امنو مڠڬيڬيت جاري

 
 



“Kami bukan lagi Islamis, tetapi Islamis Demokrat,” begitulah kenyataan Dr Dzulkefly Ahmad, Pengarah Penyelidikan PAS Pusat seperti dilaporkan Mkini dotcom yang turut disalinkan ke laman peribadi beliau, drdzul.com dan dipetik oleh AIDC.

Dengan menyebut ‘kami’, maka Dr. Dzul semestinya merujuk kepada PAS, iaitu parti yang diwakilinya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi ahli forum “A Rising Economic Tide that Lifts All Boats” anjuran REFSA (Research For Social Advancement) pada 17 September di Publika, Solaris Dutamas, Kuala Lumpur. Turut sama berforum bersama Dzulkefly adalah Nurul Izzah Anwar (PKR) dan dua wakil DAP, Liew Chin Tong dan Dr Ong Kian Ming.

Menjelaskan istilah Islamis Demokrat, Dr. Dzul berkata ia adalah sealiran dengan pendirian gerakan Islam seluruh dunia yang berubah-ubah di mana kini telah beralih dari “doktrin Negara Islam” kepada doktrin lain yang lebih mudah difahami oleh masyarakat umum.

Kenyataan Dr. Dzul tersebut telah ditempelak oleh sebuah laman web pro-PAS, tranungkite, tetapi selain dari itu, tiada langsung kenyataan rasmi dari kepimpinan tertinggi PAS mengenainya.

Justeru, tidak salah rasanya jika kita mengandaikan yang Nik Aziz serta Hadi Awang juga merestui fahaman atau pendekatan Islamis Demokrat ini?

Ingatkah lagi tentang bagaimana istilah Islam Hadhari yang diperkenalkan oleh Tun Abdullah Badawi telah dipertikai dan digoblokkan oleh PAS sebagai agama baru yang menyalahi ajaran Islam...?


Sedangkan, Islam Hadhari hanyalah satu konsep yang membawa masyarakat Islam kembali kepada asas Al-Quran dan Sunnah dalam kehidupan seharian dan bukannya agama baru, serta tidak pula bertentangan dengan ajaran Islam.

Tetapi, bagaimana pula dengan Islamis Demokrat?

Demokrat atau demokrasi, mengikut pandangan barat yang juga dipegang oleh Anwar Ibrahim sepertimana yang terbukti dalam ucapan-ucapannya, adalah termasuk di dalamnya kebebasan (freedom/liberty), hak asasi manusia (human rights), ekonomi pasaran bebas (free market economy), ketelusan dan kebertanggungjawaban (Governance and Accountability).

Tentu sekali, demokrasi yang didokong oleh Anwar ini adalah tidak sama dengan demokrasi yang diamalkan di Malaysia kerana itu Anwar sering melaungkan memperjuangkan demokrasi walaupun negara ini telah termaktub sebagai mengamalkan demokrasi.

Demokrasi yang diperjuangkan Anwar mengikut perspektif barat adalah melampaui batas-batas ketamadunan yang dibawa oleh Islam. Kebebasan bagi Barat membawa makna yang manusia tidak perlu terikat kepada peraturan dalam mengekspresi diri walaupun ia membawa keburukan kepada orang lain dan diri sendiri.

Contohnya, menyebar bahan lucah dan hasutan juga termasuk dalam kebebasan bersuara.

Begitu juga dengan ‘hak asasi’ bagi Barat, di mana ia merangkumi hak untuk tinggal serumah tanpa nikah atau mengamalkan seks bebas, malahan luar tabie asalkan ianya berdasarkan suka-sama-suka.

Oleh itu, di manakah PAS meletakkan partinya dalam Demokrasi ini? Lebih-lebih lagi apabila Dr. Dzul sendiri menyatakan yang PAS bukan lagi ‘Islamis’ tetapi perlu disebut sebagai ‘Islamis Demokrat’?

Bagaimana Islam boleh digabungkan dengan demokrasi ala barat atau Anwar Ibrahim, sedangkan kedua-duanya amat bertentangan sepertimana bertentangannya prinsip PAS dengan DAP....?

Tentu sekali, seperti juga kerjasama antara PAS dengan DAP, salah satu pihak perlu beralah bagi membolehkan kerjasama tersebut direalisasi. Untuk itu, PAS telah mengalah dengan menggadaikan prinsip Negara Islam.

Maka dalam soal Islamis Demokrat juga, salah satu fahaman perlu dilonggarkan atau digadaikan terus bagi membolehkan ia dipraktikkan. Justeru, apakah PAS bersedia melonggarkan fahaman Islam dan menerima kebebasan dan hak asasi ala barat?

Ini adalah persoalan besar dan kepimpinan PAS tidak boleh hanya berdiam diri dan membisu mengenainya. Pemimpin PAS punya tanggungjawab terhadap agama dan penyokong mereka untuk menjelaskan perkara ini serta mengambil pendirian yang pasti.

PAS tidak boleh bersekongkol dan merelakan Anwar menjadi pemimpin tertinggi tetapi menafikan yang turut mendokong fahaman demokrat. PAS perlu memilih menjadi Islamis atau Demokrat tetapi tidak mungkin dapat menjadi kedua-duanya sekali.