Thursday 10 January 2013

MASIH HALALKAH PENYEMBELIHAN AHLIL KITAB?


Bila Lembu Dan Anjing Diberikan Nama Allah

Oleh : Imran Haaz

Isu nama Allah timbul lagi. Perkara ini telah dijangka akan berlaku. Aritmetik manusia di dalam membuat kiraan peluang mendapat undi berpotensi dari Sabah dan Sarawak telah dijadikan kayu ukur untuk isu ini berputar 180
dari trajektori perjuangan asal. Tetapi, barangkali mereka lupa bahawa bukanlah pengundi yang menentukan siapa akan berkuasa di mana sahaja lokasinya di dunia milik Allah ini. Allah memberikan kuasa kepada siapa sahaja yang dikehendakinya walaupun tanpa faktor kira-kira manusia.

Kita, orang-orang Islam berasa senak hati dan jiwa melihatkan kenyataan yang dikeluarkan pada hari ini. Seolah-olah ada ‘besi’ yang memaksa si fulan membuat kenyataan menggunakan skrip tulisan yang pernah digunakan Anuar sebelum ini bagi memberikan justifikasi berkenaan. Rujuk semula transkrip lama di bawah yang digunakan sebagai dialog yang menghalalkan penggunaan nama Allah kepada kumpulan Kristian yang bukan berketurunan Arab di Malaysia yang pernah diterbitkan di dalam sebuah akhbar antarabangsa.

Tetapi, usahlah gusar dengan apa yang telah berlaku pada hari ini. Mereka-mereka yang mengumumkannya tidak berada dipuncak kuasa. Puncak kuasa itu diamanahkan kepada pihak lain yang masih berpegang teguh dengan amanah kuasa yang dipinjamkan Allah. Segala puji bagi Allah yang Maha Mengetahui tentang segala apa yang dirancangkan makhluk-makhlukNya.



Saya telah menulis tentang isu nama Allah sejak bertahun-tahun lamanya. Saya konsisten menentang penggunaannnya oleh kumpulan Kristian di Malaysia. Apa kelulusan saya untuk bercakap tentang hal ini sedangkan latar pendidikan saya hanya dari bidang kejuruteraan dan sains? Barangkali lisan berapi yang membakar maruah Cikgu Non al Afghani juga akan turut dihamburkan kepada insan-insan yang menentang mereka. Entahlah, barangkali manusia itu mudah lupa apabila terlalu dipuja-puja. Barangkali mereka terlupa dengan kisah Iblis yang satu ketika dulu sangat hebat sehingga menjadi pujian penduduk langit. Hanya kerana takbur, selamanya dia hidup dalam keadaan terlaknat oleh Allah.

Barangkali mereka juga lupa peristiwa Musa a.s. dan Khidr a.s. Ketika Musa a.s. cuba menilai samada bagindalah yang paling berilmu dikalangan manusia, lalu Allah mengarahkannya untuk mencari Khidr a.s. untuk belajar tingkat-tingkat ilmu Allah yang Allah berikan kepada sesiapa sahaja yang Dia kehendaki. Musa a.s. tidak menghinanya hanya kerana pangkatnya sebagai nabi dan bukan rasul seperti Musa a.s. Malah Musa a.s. tidak mempertikaikan Khidr a.s. yang tidak diberikan kitab panduan sepertimana Allah memberikan kepadanya dan Bani Israel. Manusia yang beriman dengan kitabullah yakin bahawa sesiapa sahaja boleh belajar apa sahaja,tetapi tingkat kefahaman itu milik Allah untuk diberikan kepada sesiapa sahaja yang Dia mahukan meskipun tidak menurut jalan biasa yang dirasakan normal yang harus ditempuh.

....Kami tinggikan pangkat kedudukan sesiapa yang Kami kehendaki dan tiap-tiap orang yang berilmu pengetahuan, ada lagi diatasnya yang lebih mengetahui. (Yusuf ayat 76)

Benar ramai yang kecewa. Mungkin terlalu mengejar yang belum tentu dapat, mungkin segala yang dikendung mereka akan keciciran.

Untuk menghalalkan tindakan tersebut, saya melihat beberapa hujah berikut cuba dikemukakan.

1.       Musyrik Arab Telah Lama Menggunakan Nama Allah sebelum Islam
Ini merupakan pernyataan yang tidak benar. Mereka yang berhujah dengan hujah tersebut, gagal melihat perkara ini di dalam konteks sebenar yang turut melibatkan aspek sejarah bagaimana nama Allah mula digunakan bangsa Arab dan bila ianya mula dipersekutukan.
Bangsa Arab merupakan keturunan Ibrahim a.s. melalui anaknya Ismail a.s. Islam merupakan agama anutan manusia dari kalangan bangsa ini sejak dari zaman Ibrahim a.s. Kaabah dan seterusnya Kota Mekah dibangunkan mereka. Allah merupakan satunya-satunya Tuhan yang disembah dan tidak pernah ia dipersekutukan dengan segala apa yang lain. Kota Mekah mengalami jatuh bangun disepanjang sejarah. Tetapi Allah tetap menjadi satu-satunya Tuhan yang disembah tanpa Dia dipersekutukan dengan segala sesuatu.
Sehinggalah berlalu padanya satu zaman di mana muncul seorang figura bernama Amr bin Luhal. Beliau merupakan dari kalangan agamawan di Kota Mekah. Dia dan ahli keluarganya sentiasa menjadi menjadi tempat rujukan penduduk Mekah. Sehinggalah pada suatu hari apabila dia ke Syam, dia terpesona dengan kegiatan penyembahan berhala bernama Hubal di sana. Lantas dia mengambil keputusan untuk membeli salah sebuah patung yang disembah dan kemudian membawanya pulang ke Mekah. Sampai sahaja di Mekah, dia mengumumkan bahawa Hubal merupakan Tuhan yang perlu disembah untuk mendekatkan diri kepada Allah. Sepertimana kaum Nuh a.s. yang disesatkan kerana ketaksuban mereka kepada golongan yang dianggap sebagai golongan beriman, begitulah juga yang berlaku kepada penduduk Mekah di dalam kes Amr bin Luhal. Bermula dari saat itu, satu persatu berhala dibawa masuk ke Mekah untuk disembah disamping Allah 1. Ia sehinggakan dicatatkan terdapat lebih dari 360 berhala terdapat berhampiran Kaabah itu sendiri yang disembah penduduk Mekah. Oleh kerana tiada lagi agamawan yang boleh dipercayai di Mekah, maka penduduknya hanyut di dalam dunia syirik kecuali untuk sekumpulan kecil manusia yang masih lagi berpegang teguh dengan agama Hanif, iaitu jalan lurus yang ditunjukkan oleh Ibrahim a.s. ribuan tahun sebelum itu. Antara mereka yang tetap berpegang teguh dengan kalimah La ilaha illallah ialah Amr bin Nufail dan Abu Dzarr al Ghifari.  Ayat 17 hingga 18 di dalam surah Az Zumar menyebut tentang kemuliaan serta kesihatan akal mereka yang sempura.
Dan orang-orang yang menjauhi dirinya dari menyembah atau memuja Taghut, serta mereka rujuk kembali taat bulat-bulat kepada Allah, mereka akan beroleh berita yang menggembirakan (sebaik-baik sahaja mereka mulai meninggal dunia); oleh itu gembirakanlah hamba-hambaKu - Yang berusaha mendengar perkataan-perkataan yang sampai kepadanya lalu mereka memilih dan menurut akan yang sebaik-baiknya (pada segi hukum ugama) mereka itulah orang-orang yang diberi hidayah pertunjuk oleh Allah, dan mereka itulah orang-orang yang berakal sempurna. (Az Zumar ayat 17 hingga 18)
Mereka-mereka ini, termasuk juga Salman al Farisi yang mengembara mencari hidayah Allah dari Parsi hingga berjumpa dengan nabi. Majoriti penduduk Mekah dan tanah arab pada ketika itu mensyirikkan Allah. Persoalannya, apakah Allah redha dengan perbuatan menyekutukan Allah dengan berhala-berhala tersebut? Jawapannya tidak sama sekali. Kerana itulah Muhammad s.a.w. diutuskan bagi memperbetulkan semua kesalahan yang telah berlaku ini.
Kemudian ayat-ayat seperti  al Ankabut ayat 63 cuba dibawakan sebagai hujah bahawa al Qur’an tidak melarang penggunaan nama Allah oleh golongan musyrik. Perhatikan ayat-ayat di bawah.
Dan sesungguhnya jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: "Siapakah yang menurunkan hujan dari langit, lalu Ia hidupkan dengannya tumbuh-tumbuhan di bumi sesudah matinya?" Sudah tentu mereka akan menjawab: "Allah". Ucapkanlah (wahai Muhammad): "Alhamdulillah" (sebagai bersyukur disebabkan pengakuan mereka yang demikian, bahkan kebanyakkan mereka tidak memahami (hakikat tauhid dan pengertian syirik). (al Ankabut ayat 63)
Benarkah ayat di atas menunjukkan bahawa golongan musyrik mendapat lampu hijau total untuk menggunakan nama Allah dengan sesuka hati mereka? Benarkah begitu? Jawapannya tidak. Perhatikan ayat di atas, hanya apabila nama Allah disabitkan dengan sifat-sifat Allah yang tidak bertentangan dengan sifat-sifat Dia sebagai Tuhan seperti yang menciptakan langit dan bumi, yang memberikan rezeki, yang menurunkan hujan dari langit dan bumi, yang berkuasa di atas segala sesuatu, barulah kita sebagai muslim dianjurkan untuk mengucapkan Alhamdulillah.
Tetapi bagaimana pula jika golongan musyrik mensabitkan Allah sebagai lembu, berhala, tuhan yang diperanak dan memperanakkan dan segala sifat yang bertentangan dengan sifat Dia sebagai Tuhan? Apakah boleh juga diucapkan Alhamdulillah? Hanya muslim dengan akal fikiran yang tidak sempurna atau takutkan ‘besi’ akan berkata sedemikian.
Perhatikan az Zumar ayat 38 di bawah. Apabila Allah s.w.t. disabitkan dengan sekutu dan segala sifat yang bertentangan dengan sifatNya sebagai Tuhan, maka orang-orang Islam perlu mendekati mereka dan berhujah dengan mereka supaya mereka mendapat akses kepada kebenaran sebenar dan bukan hanya membiarkan mereka. Az Zumar bermula ayat 1 hingga terakhir merupakan hujah-hujah untuk mengembalikan kesedaran kepada golongan yang keliru dan terlibat dalam perbuatan mensyirikkan Allah. Berhujah dengan mereka dan bukannya meredhai tindakan mereka.
Dan demi sesungguhnya! Jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: "Siapakah yang mencipta langit dan bumi?" Sudah tentu mereka akan menjawab: "Allah". Katakanlah (kepada mereka): "Kalau demikian, bagaimana fikiran kamu tentang yang kamu sembah yang lain dari Allah itu? Jika Allah hendak menimpakan daku dengan sesuatu bahaya, dapatkah mereka mengelakkan atau menghapuskan bahayaNya itu atau jika Allah hendak memberi rahmat kepadaku, dapatkah mereka menahan rahmatNya itu?" Katakanlah lagi: "Cukuplah bagiku: Allah (yang menolong dan memeliharaku) kepadaNyalah hendaknya berserah orang-orang yang mahu berserah diri". (az Zumar ayat 38)
Bagaimana pula sekiranya, setelah berhujah mereka masih berdegil untuk terus mempersekutukan Allah dengan sekutu-sekutu yang lain. Panduannya dijelaskan di dalam ayat 87 hingga 89 surah az Zukhruf berikut. Ayat-ayat ini biasanya dipetik setakat ayat 87 oleh golongan bermotif politik untuk menyembunyikan ayat seterusnya yang tidak menguntungkan cita-cita politik mereka. Perhatikan ayat di bawah.
Dan demi sesungguhnya! Jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka: "Siapakah yang menciptakan mereka?" Sudah tentu mereka akan menjawab: "Allah". (Jika demikian) maka bagaimana mereka rela dipesongkan (dari menyembah dan mengesakanNya)? Dan (Dialah Tuhan yang Mengetahui rayuan Nabi Muhammad) yang berkata: "Wahai Tuhanku! Sesungguhnya mereka ini adalah satu kaum yang tidak mahu beriman (maka terserahlah kepadaMu untuk mengadilinya)!" (Tuhan menjawab rayuannya dengan berfirman): "Jika demikian, maka janganlah engkau (wahai Muhammad) hiraukan mereka, dan katalah: `Selamat tingallah!` Kemudian mereka akan mengetahui kelak (akibat keingkarannya)!" (Az Zukhruf ayat 87 hingga 89)
Maka apabila segala kebenaran telah disampaikan dan mereka masih lagi berdegil untuk mempersekutukan Allah, adalah sangat jelas di dalam ayat di atas, Allah s.w.t. mengarahkan kita untuk meninggalkan mereka sama sekali dan bukanlah untuk terus bersama dengan mereka untuk terus berpeluk-pelukan antara satu sama lain dan membuat sidang akhbar untuk membela kedegilan mereka!
Malah Allah s.w.t. telah memberikan ultimatum yang jelas di dalam surah an Nisa’ ayat 171 bahawa perbuatan mensabitkan Allah sebagai bapa kepada Jesus dan salah satu Tuhan dari 3 aknum perlu dihentikan.
                                                          
Wahai Ahli kitab (Yahudi dan Nasrani)! Janganlah kamu melampaui batas dalam perkara ugama kamu, dan janganlah kamu mengatakan sesuatu terhadap Allah melainkan yang benar; sesungguhnya Al Masih Isa ibni Maryam itu hanya seorang pesuruh Allah dan Kalimah Allah yang telah disampaikanNya kepada Maryam, dan (ia juga tiupan) roh daripadaNya. Maka berimanlah kamu kepada Allah dan Rasul-rasulNya, dan janganlah kamu mengatakan: “(Tuhan itu) tiga”. Berhentilah (daripada mengatakan yang demikian), supaya menjadi kebaikan bagi kamu. Hanyasanya Allah ialah Tuhan Yang Maha Esa, Maha Suci Allah daripada mempunyai anak. Bagi Allah jualah segala yang ada di langit dan yang ada di bumi. Dan cukuplah menjadi Pengawal (Yang Mentadbirkan sekalian makhlukNya). (An Nisaa’ ayat 171)

Apakah ayat di atas menyuruh kita mengatakan kepada golongan Kristian yang kekal berdegil setelah dijelaskan beberapa kali bahawa Allah itu bukan salah satu Tuhan di dalam  Trinity bahawa mereka boleh terus menggunakan nama Allah tanpa halangan dan bantahan dari umat Islam? Apakah ayat di atas tersebut menyuruh kita mengatakan ‘Ya, boleh teruskan,’ dengan tindakan mahu mensabitkan sekutu-sekutu makhluk kepada Allah yang Maha Esa? Amat jelas di dalam ayat tersebut, Allah menyuruh perbuatan tersebut dihentikan.
Seriusnya kesalahan yang dilakukan oleh ahli kitab tersebut sehinggakan Isa a.s. sendiri akan ditanyakan oleh Allah s.w.t. diakhirat samada baginda yang membenarkan perkara tersebut berlaku. Perhatikan ayat dari surah al Maidah ayat 116 hingga 118 berikut
Dan (ingatlah) ketika Allah berfirman: "Hai Isa putera Maryam, adakah kamu mengatakan kepada manusia: "Jadikanlah aku dan ibuku dua orang tuhan selain Allah?". Isa menjawab: "Maha Suci Engkau, tidaklah patut bagiku mengatakan apa yang bukan hakku (mengatakannya). Jika aku pernah mengatakan maka tentulah Engkau mengetahui apa yang ada pada diriku dan aku tidak mengetahui apa yang ada pada diri Engkau. Sesungguhnya Engkau Maha Mengetahui perkara yang ghaib-ghaib". Aku tidak pernah mengatakan kepada mereka kecuali apa yang Engkau perintahkan kepadaku (mengatakan)nya yaitu: "Sembahlah Allah, Tuhanku dan Tuhanmu", dan adalah aku menjadi saksi terhadap mereka, selama aku berada di antara mereka. Maka setelah Engkau wafatkan aku, Engkau-lah yang mengawasi mereka. Dan Engkau adalah Maha Menyaksikan atas segala sesuatu. Jika Engkau menyiksa mereka, maka sesungguhnya mereka adalah hamba-hamba Engkau, dan jika Engkau mengampuni mereka, maka sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana. (al Maidah ayat 116 hingga 118)
Jelas dan mudah bukan isu ini? jadi kenapa perlu ‘beating around the bush’  untuk mengelakkan dari menyatakan yang hak? Kurang perbatuan politik? Takut tercerai bini talak tiga kerana lawan parti? Sayang bini atau sayang Tuhan?
2.       Lagu negeri juga menggunakan nama Allah
Perlukah dijawab hujah ini? Menghabiskan beras Yahudi dan benar-benar memalukan Alma Mater dan prestij mana-mana pusat pengajian yang pernah disinggahi.
3.       Kitab Bible Arab Juga menggunakan nama Allah
Apakah mereka-mereka di Borneo itu yang menganut Kristian berketurunan Arab? Jika tidak, apakah relevannya hujah ini?
4.       Sembelihan Ahli Kitab Halal DiMakan Jadi Seharusnya Mereka Juga Boleh Menggunakan Nama Allah
Jadi, apakah tuan yang menggunakan hujah ini turut menyatakan bahawa sembelihan Lim Guan Eng dan Rev. Murphy Pakiam di bawah ini halal dimakan?
Tolong jangan berdolak dalik. Jelaskan kepada umum apakah mereka-mereka ini selayaknya dianggap sebagai ahli kitab atau golongan kafir dari kalangan ahli kitab? Jangan kerana politik segalanya mahu dihalalkan.
Bukan sewenang-wenangnya sebarang label kafir boleh diberikan kepada orang bukan Islam. Hanya mereka yang bukan Islam yang telah disampaikan kepada mereka kebenaran Islam dan berkeras menolaknya sahaja boleh dilabelkan sebagai kafir 2. Tolong jelaskan kepada umum, apakah sembelihan mereka ini halal di makan?
Jadi, mereka yang berkeras mahu menyatakan Isa .a.s. sebagai anak Allah setelah berkali-kali disampaikan kebenaran Islam kepada mereka, maka golongan inilah yang termasuk ke dalam golongan yang dinyatakan di dalam ayat-ayat di bawah:

Demi sesungguhnya, kafirlah orang-orang yang berkata: "Bahawasanya Allah ialah Al-Masih Ibni Maryam) katakanlah (wahai Muhammad): "(Dakwaan itu tidak benar) kerana siapakah yang dapat menahan (seksa) dari Allah sedikit jua pun kalau Ia mahu membinasakan Al-Masih Ibni Maryam beserta ibunya dan orang-orang yang ada di muka bumi semuanya?" Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kuasa pemerintahan langit dan bumi dan segala yang ada di antara keduanya. Ia menciptakan apa jua yang dikehendakiNya. Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu. Al Maidah ayat 17.
Demi sesungguhnya! Telah kafirlah orang-orang yang berkata: "Bahawasanya Allah ialah Al-Masih Ibni Maryam". Padahal Al-Masih sendiri berkata:" Wahai Bani Israil! Sembahlah Allah, Tuhanku dan Tuhan kamu, Bahawasanya sesiapa yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain, maka sesungguhnya Allah haramkan kepadanya Syurga, dan tempat kembalinya ialah neraka; dan tiadalah seorang penolong pun bagi orang-orang yang berlaku zalim". Al Maidah ayat 72.
Demi sesungguhnya telah kafirlah orang-orang yang berkata: "Bahawasanya Allah ialah salah satu dari tiga tuhan". Padahal tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Tuhan yang Maha Esa. Dan jika mereka tidak berhenti dari apa yang mereka katakan itu, sudah tentu orang-orang yang kafir dari antara mereka akan dikenakan azab seksa yang tidak terperi sakitnya. Al Maidah ayat 73.
5.       Bible Terjemahan Melayu Hanya Merujuk Tuhan Sebagai Allah.
Benarkah begitu? Tahukah mereka berhala lembu di Jeroboam dan Dan turut dinamakan sebagai Allah di dalam Bible terjemahan Melayu?



Tahukah mereka bahawa lain-lain berhala dan Tuhan-Tuhan palsu Mesir juga dinamakan dengan nama Allah di dalam Bible?
6.       Membenarkan nama Allah digunakan Kristian akan mempermudahkan kerja dakwah
Saya belum pernah terjumpa daie-daie yang pemalas. Majoriti dari pendakwah yang saya jumpa bekerja keras untuk menyampaikan dakwah. Luka dan calar balar perjuangan itu suatu yang lumrah bagi mereka. kenyataan dengan hujah di atas benar-benar memalukan. Apakah segalanya mahu disuapkan sampai ke rongga tekak baru mahu berdakwah? Patutlah Islam lambat berkembang di Malaysia.  
Saya sangat-sangat berharap, golongan ulama’ yang masih berbaki di kedua-dua belah pihak bersuara dengan segera.
Mereka berkata: "Adakah engkau datang kepada kami supaya kami hanya menyembah Allah semata-mata, dan meninggalkan apa yang pernah disembah oleh datuk nenek kami? (Kami tidak akan menurut) maka datangkanlah azab yang engkau janjikan kepada kami, jika betul engkau dari orang-orang yang benar". Nabi Hud menjawab: "Sesungguhnya telah tetaplah kamu akan ditimpa azab dan kemurkaan dari Tuhan kamu. Adakah kamu hendak berbahas denganku mengenai nama-nama yang hanya kamu dan nenek moyang kamu menamakannya, sedang Allah tidak sekali-kali menurunkan sebarang bukti yang membenarkannya? Maka tunggulah (kedatangan azab itu), sesungguhnya aku juga dari orang-orang yang turut menunggu bersama-sama kamu". (Al A’raf 70-71) 

Wallahua’lam.



INJIL - Telah lama mereka menyembunyikan KITAB ORIGINAL ni dan mereka haramkan membacanya hanya kerana mereka bimbang PENTAFSIRNYA AKAN BERJUMPA DENGAN "KEBENARAN" ia itu RASULLULLAH DAN AL - QUARAN

Rujukan :
1       Saifur Rahman al Mubarakpuri, Ar Raheeq al Makhtum, (2002), Darussalam, hlmn. 45 hingga 50.
2      Haji Said Haji Ibrahim, Aqidah Ahlus Sunnah Wal Jamaah, (1996), Darul Ma’rifah, Kuala Lumpur, hlmn. 143

Read more: http://satuhala.blogspot.com/2013/01/bila-lembu-dan-anjing-diberikan-nama.html#ixzz2HWo9RWU1
amukanmelayu - membenarkan KALIMAT ALLAH di gunakan oleh PENGANUT Kristian....bukan satu perjuangan yang bijak.