Tuesday, 17 September 2013

BERANI BERUBAH


  PERINGATAN KERAS TUN M KEPADA KEPIMPINAN UMNO

TUN M - SAYA berasa serba salah. Saya setia kepada UMNO. Saya ingin lihat UMNO terus mewakili orang Melayu, mempertahan dan memajukan mereka. Saya sedar akan hakikat bahawa UMNO mengidap sakit tua dan ia akan maut kerana sudah tua. Ini naluri manusia. Lambat laun manusia akan menemui ajalnya.

Pembaharuan umat manusia ialah melalui zuriat. Anak kita, cucu kita, cicit kita akal kekalkan kita secara tidak langsung di dunia, akan sedikit sebanyak meneruskan sumbangan kita yang terdahulu.

Saya cuba sedarkan UMNO akan usianya yang sudah lanjut. Saya menulis akan perlunya UMNO diperbaharui dengan penerimaan ahli serta kepimpinan dari generasi muda. Malangnya ada pihak yang berpendapat tulisan saya mempunyai agenda tertentu, kononnya kerana saya ingin kekalkan kepimpinan saya melalui anak saya.

Mungkin secara kebetulan ini akan terjadi. Tetapi jika kerana tuduhan ini saya tidak berusaha untuk kebaikan UMNO, ini bermakna saya lebih utama imej saya daripada tanggungjawab saya kepada parti. Jika saya ingin tolong anak saya, sepatutnya saya berusaha semasa saya jadi Perdana Menteri.

Tetapi saya tidak berbuat demikian. Pada hakikatnya, UMNO sekarang memerlukan pembaikan dan walau apa pun tuduhan saya terpaksalah ketepikan, jika sedikit sebanyak dapat saya sumbang untuk masa depan UMNO dan orang Melayu. Saya tidak penting. UMNO dan orang Melayu tetap lebih penting daripada saya, atau anak saya.

Saya ulangi UMNO sedang mengidap sakit tua yang tetap akan membawa maut. Hanya jika UMNO diperbaharui oleh yang muda barulah UMNO dapat meneruskan perjuangan-perjuangan yang diamanah kepada UMNO oleh bangsa Melayu. 

Ahli UMNO mestilah ditambah melalui kemasukan generasi muda yang bersemangat kebangsaan. Demikian juga dengan kepimpinan UMNO di semua peringkat, terutama di peringkat pusat, di dalam Majlis Tertinggi. Ahli-ahli badan ini mestilah terdiri sebahagiannya daripada yang muda.

Saya masih ingat mereka yang menjadi pengasas UMNO. Mereka muda-muda belaka. Purata usia mereka belum pun setengah abad. Ramai yang hanya dalam lingkungan tiga puluhan. Mereka memiliki kecergasan minda orang muda, bersemangat, memiliki cita-cita besar untuk bangsa mereka.

Dan UMNO pun bertenaga, aktif kerana mudanya pemimpin dan ini memberi harapan kepada bangsa Melayu. 

Dan mereka pun berjaya, berjaya menewaskan Malayan Union British, memerdekakan negara dan bangsa, mengatasi segala cabaran setelah mengambilalih pemerintahan, mengisi kemerdekaan secara bermakna sehinggalah negara yang kerdil, bangsa yang terhina dahulu dikenali dunia sebagai bangsa yang berwibawa, yang mampu bersaing dan memajukan negara ini berpuluh kali lebih baik daripada penjajah.

UMNO membangunkan Malaysia sehingga menjadi negara contoh yang dikagumi dunia. Berduyun-duyun orang asing datang untuk mempelajari darinya, mempelajari ilmu berkenaan pembangunan negara dan bermacam lagi.

Sumbangan pengasas UMNO yang muda ini terhadap bangsa, agama dan tanah air tidak dapat dinilai. Orang muda, pemimpin muda yang melakukan semua ini memang berjasa. Negara terhutang budi kepada mereka. Bangsa Melayu terhutang budi kepada mereka. Jasa mereka tetap akan dikenang selama-lamanya.

Tetapi mereka dan pengganti mereka sekarang sudah tua. Masa mereka sudah terlanjut. Sumbangan mereka semakin merosot. Ya, menjadi pemimpin memang sedap. Segala kemudahan dapat dinikmati.

Ramai yang membongkok di sekeliling pemimpin, yang mengulangi cerita tentang keupayaan dan keberkesanan mereka sebagai pemimpin. Dan mereka pun percaya cerita pembodek ini. Lagi pun sedap sungguh kerusi yang diduduki. Memuaskan sungguh kuasa yang dimiliki. Kenapakah pemimpin perlu undur, tarik diri.

Tetapi mereka harus sedar akan pentingnya mereka tidak melampaui masa mereka. Lambat laun orang akan berasa bosan, bahkan naik meluat akan pemimpin yang sudah lapuk dan ketinggalan zaman tetapi masih tidak terima kebenaran.

Untuk ini mereka sanggup buat apa sahaja. Tanpa mengambil kira kesan terhadap budaya bangsa mereka sanggup hulur wang untuk mendapat sokongan, untuk mengekal diri sebagai ahli Majlis Tertinggi atau jawatan-jawatan lain.

Percayalah jika ahli memilih perasuah sebagai pemimpin, mereka akan amalkan budaya penerima rasuah semasa menjadi pemimpin. Kuasa mereka akan disalahgunakan. Kita dan bangsa kita akan rugi lebih daripada apa yang kita terima dahulu. Negara akan hancur. Maruah bangsa akan luput.

Malangnya, ramai yang begitu mudah tergoda dengan sogokan wang. Tak banyak. RM200 pun boleh mengalih pemikiran sesetengah ahli UMNO. Mereka bukan menjual undi. Sebenarnya mereka menjual bangsa, menjual maruah diri mereka. Hentikanlah amalan ini baik oleh yang menghulur mahupun yang menerima.

Kata pepatah Inggeris "Money is the root of all evil" (Duit adalah punca segala kejahatan). Duit boleh beli segala-galanya, membeli bangsa, membeli maruah, membeli masa depan, membeli agama pun.

Percayalah apabila pemimpin yang kita pilih adalah perasuah, mereka tidak akan teragak-agak menjual bangsa pun. Ingatlah negara kita dahulu lebih besar tetapi kerana duit ia sudah jadi kecil. Ia akan jadi lebih kecil lagi jika perasuah memimpin negara ini.

Kita harus akui bahawa UMNO sekarang tidak lagi dipercayai oleh ramai orang Melayu. Sebab itu mereka menubuhkan ratusan badan bukan kerajaan (NGO).

Jika mereka mempunyai banyak pilihan, UMNO sudah kalah Pilihan Raya Umum Ke-13. Tetapi janganlah ahli UMNO, pemimpin UMNO percaya walau apa pun yang dilakukan mereka, kerana tidak ada pilihan lain maka UMNO tetap akan menang. Kalau UMNO dipimpin perasuah, parti lawan akan ternampak lebih baik.

Justeru kembalilah kepada perjuangan UMNO. Ketepikan kepentingan diri. Berilah tempat kepada yang muda. Terimalah mereka ke dalam parti. Pilihlah mereka dan tolaklah yang sudah tua.

Hanya dengan cara ini sahaja barulah perjuangan UMNO untuk bangsa, agama dan tanah air dapat diteruskan. Sesungguhnya perjuangan orang Melayu belum selesai. Janganlah anak cucu kita mengutuk kita kerana ketamakan kita memusnahkan masa depan mereka - UM

Naib Presiden dan MT Dipertandingkan


Perlumbaan sebenar dalam pemilihan Umno tahun ini ialah bagi tiga kerusi naib presiden dan tempat dalam majlis tertinggi (MT) manakala dua jawatan tertinggi hampir pasti dikekalkan oleh Presiden parti, Datuk Seri Najib Razak dan timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Ramai pihak dalaman parti memeriahkan pertandingan untuk merebut jawatan dalam pemilihan parti kali ini ialah bagi memastikan dalam tempoh tiga tahun lagi iaitu ketika pemilihan Umno sekali lagi kelak akan menawarkan kepimpinan baru sebelum pilihan raya umum ke-14.
“Semua orang bersedia untuk perubahan kepimpinan dalam pemilihan akan datang, jadi mereka perlu bersedia meletakkan diri dalam jawatan sekarang pada pemilihan kali ini,” kata seorang `warlord’ Umno kepada The Malaysian Insider di Kuala Lumpur.

Penamaan calon bagi pelbagai jawatan ialah pada 28 September sementara pemilihan parti ditetapkan pada 19 Oktober. Perhimpunan agung dijangka berlangsung pada awal Disember.
“Najib dan Muhyiddin mungkin akan kekal untuk pilihan raya umum akan datang tetapi selepas itu, ia akan diambil alih oleh naib-naib presiden dan ahli MT untuk menentukan parti,” katanya.
Seorang lagi `warlord’ berkata, keadaan itu terserlah dalam cabaran terhadap tiga penyandang naib presiden – Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Shafie Apdal – yang sudah memberikan pengesahan bahawa mereka akan mempertahankan jawatan masing-masing dan mula membentuk gabungan.

Pencabar mereka ialah Tan Sri Isa Abdul Samad (gambar), Datuk Seri Mohd Ali Rustam dan Datuk Seri Musa Aman, seorang lagi yang masih belum terbuka mengisytiharkan pencalonannya.
Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir juga dikatakan sedang mempertimbangkan pilihannya dalam perebutan jawatan naib presiden di mana hampir 150,000 ahli dijangka mengundi bagi jawatan tertinggi parti, berikutan pindaan pengundian.
Sebelum pemilihan tahun ini dan pindaan dalam perlembagaannya pada 2009, hanya kira-kira 2,500 perwakilan mempunyai hak mengundi.

Hishammuddin berkata, gabungan adalah sebahagian daripada peningkatan kesedaran ahli untuk mengukuhkan Umno dengan berganding bahu untuk meletakkan kepentingan parti di atas kepentingan individu.
“Sebagai naib presiden Umno, kerjasama di antara saya, Zahid dan Shafie selalunya sangat rapat. Jika ia memberi manfaat kepada parti, maka ia patut diteruskan,” katanya.

Membentuk gabungan membolehkan calon untuk memberi kelebihan kepada satu sama lain daripada segi kekuatan dan sokongan, tetapi ia tidak memberi jaminan mereka akan menang.
Setiausaha Umno Kedah, Datuk Othman Aziz, berkata menjadi sebahagian daripada kumpulan tertentu tidak menjamin kemenangan kerana ahli mencari pemimpin yang berwawasan dan boleh dipercayai untuk membawa parti ke fasa seterusnya.

“Perwakilan sekarang lebih bijak. Saya tidak fikir mereka akan mengundi mengikut blok atau kumpulan. Malah, mereka akan melihat individu yang berjasa yang boleh memastikan kelangsungan parti dalam pilihan raya akan datang dan masa depan,” katanya.
Daripada semua enam calon, pemerhati parti mendapati Ahmad Zahid mungkin akan kekal kerana popularitinya di akar umbi dan dua lagi rakan penyandangnya berharap keadaan itu akan membawa mereka bersama.

Bagaimanapun, Isa dan Mohd Ali tidak patut dipandang remeh kerana di sebalik mempunyai `beban’, kedua-duanya disenangi ramai kerana sikap peramah dan merendah diri mereka.
Isa didapati bersalah dan digantung kerana kesalahan politik wang pada 2005 manakala Mohd Ali dilarang bertanding pada 2009 selepas didapati mencemar peraturan pemilihan parti.

Sejak dilantik sebagai penerusi Felda dua tahun lalu, Isa bekerja keras membantu peneroka Felda yang secara tidak langsung berjaya memberi undi kepada Umno dan seterusnya kepada Isa juga.
Mohd Ali, yang juga bekas naib presiden dari 2004 hingga 2009, mungkin mendapat `undi simpati’ kerana tewas di kerusi parlimen Bukit Katil kepada PKR pada pilihan raya lalu.
“Memang boleh calon bergabung dan menjadi pasukan, tetapi nampaknya penyandang mempunyai peluang lebih cerah daripada pencabar jika keputusan PRU13 tidak diambil kira,” kata Penganalisis Politik UiTM, Dr Arnold Puyok.- themalaysianinsider.com

Akhram Cabar KJ Untuk Ketua Pemuda UMNO Malaysia

 

Akhramsyah Sanusi

Beberapa persoalan akhirnya terjawab apabila Akhram Sanusi 'confirm' untuk mencabar jawatan Ketua Pemuda UMNO pada pemilihan yang akan datang.
Beberapa blog serta  halaman media sosial lain telah mula memberi komen tentang kemungkinan Blogger ini bertanding jawatan Ketua Pemuda UMNO Malaysia pada pemilihan ini. 
Banyak persoalan dan andaian timbul tentang niat, taktik serta kemungkinan pencapaian saya apabila berentap dengan Ketua Pemuda yang bukan sekadar mempertahankan kedudukannya, tetapi juga sedang menyandang jawatan Menteri Belia dan Sukan.

Blogger ini tak akan dapat menjawab semua persoalan ini dalam satu posting sahaja, namun, bersedia untuk memulakan perbincangan tentang pertandingan ini dengan mengesahkan bahawa pada masa ini, memang menjadi niat saya untuk bertanding merebut jawatan Ketua Pemuda UMNO Malaysia.  
Insya Allah, blogger ini akan melakukan deklarasi rasmi tidak lama lagi, tetapi ingin saya berkongsi niat di sini dahulu demi menghormati warga sosial media yang mula menimbulkan persoalan ini secara serius.
Persoalan asas kita sebagai orang Melayu yang beragama Islam apabila membuat sesuatu adalah, apakah niat di sebalik perbuatan tersebut. 
Maka di sini, ingin blogger ini mengakui yang niat bertanding ke jawatan ini adalah kerana saya ingin mengabdikan diri, BERGANDING BERSAMA kawan-kawan, untuk MENGEMBALIKAN KEGEMILANGAN ke PERGERAKKAN PEMUDA UMNO MALAYSIA berlandaskan nilai-nilai keIKHLASan dalam PERJUANGAN serta BERSATU dalam meLAKSANAKAN AGENDA MELAYU.

Pengupasan Niat serta Agenda akan diteruskan dalam perbincangan. Blogger ini berharap kawan-kawan Pemuda UMNO mahupun sahabat-sahabat serta bekas Pemuda UMNO di ruang Media Sosial sudi menyertai perbincangan membentuk wadah baru Pemuda UMNO Malaysia yang dirasakan perlu dibawa oleh saya sekiranya berjaya merebut jawatan Ketua Pemuda tersebut.

Agenda Pemuda UMNO pimpinan saya bukanlah agenda saya sendiri, tetapi haruslah membawa harapan seluruh masyarakat Melayu amnya, dan kesemua warga muda UMNO khususnya.

Ikhlas dari calon anda... 
Akhramsyah Sanusi

Sebenarnya ramai yang terkejut dengan pengumuman Akhram Shah Sanusi untuk bertanding merebut jawatan Ketua Pemuda UMNO yang kini disandang oleh KJ. Kalau anda mengenali si Akhram, memang dia darah pahlawan dan terkenal dengan semangat juang Melayunya.

Jangan ada orang lain kutuk si Akhram, sebab diantara beratus ribu pemuda UMNO, hanya si Akhram saja yang berani mencabar KJ untuk pertandingan Ketua Pemuda.

Sebelum ni ada juga dengar suara-suara sumbang nak cabar KJ. Tapi hanya hangat-hangat taik ayam. Bunyi saja kuat, tapi dalam kosong habuk pun tarak.

Apa pun syabas saudara Akhram, teruskan perjuangan. Kepada KJ, bertandinglah dengan adil dan saksama, jangan buat sesuatu yang diluar batasan.

Mukhriz Mahathir Bertanding Naib Presiden UMNO


 

Tuan Punya badan sudah bersuara. Namun keputusan muktamad belum dibuat lagi.  Memang ramai suara akar umbi yang mahukan YAB Menteri Besar Kedah ini bertanding jawatan Naib Presiden. Akan tetapi saya punyai pandangan yang berbeza. 

Saya berpendapat bahawa Datuk Mukriz Mahathir wajar mempertimbangkan untuk bertanding jawatan MT dahulu memandangkan beliau sedang menggalas tanggungjawab yang berat sebagai Ketua Kerajaan Negeri.  Selain itu juga, beliau perlu menimba lebih banyak pengalaman politik dan pentadbiran sepanjang tempoh ini. Dan apabila tiba masanya,  beliau telah siap sedia bertanding jawatan Naib Presiden untuk pemilihan akan datang yang dijangka berlaku sebelum PRU14.

Apa-apa pun,  ianya terpulang kepada kebijaksanaan YAB Datuk Mukhriz Mahathir.  Kami tetap akan menyokong beliau. 


AMUKANMELAYU - Berlapang dadalah...cukup-cukuplah......serahlah pula kepada Generasi Muda yang benar-benar memahami ERTI PERJUANGAN. Yang tua jadilah pembimbing dan bukannya "Coner Baring".................