Tuesday, 21 January 2014

PANTUN SAWAH PADI 1



Alam Berkembang Menjadi Guru

Membajak menggunakan kerbau
 
Kerbau tua bertanduk keweh
Tambat di Sendung bertumang tiada
Jika ada anak yang soleh
Di jemput pulang pun tidak mengapa

Apa di harap padanya sawah
Tempat yang dalam tidak berpadi
Baik ku jadi seperti ayah
Kepada tanah kita berbudi

Sawah pusaka tinggalan nenda
Tempat bangau tumpang berhenti
Biar pun hidup miskin harta
Jangan sampai menjual budi

Aki Aji menggunakan kerbau Pakcik suatu ketika dulu

Kerbau bajak tiada kelikir
Kelikir tembusu telah terlucut
Selagi hidup tidak berakhir
Mati jangan di sebut-sebut

Musim menuai lama berakhir
Tiba pula musim membajak
Petak yang kering kembali berair
Tempat haruan membiak anak

Jika ke sawah tidak berteman
Pulangnya sendiri jangan di nanti
Jika hidup tidak beriman
Bagaikan padi tidak berisi

Cabut semai

Petak sudah habis di bajak
Benih padi telah di tabur
Ini bukan kerja budak  
Benih dah tumbuh perlu bersyukur

Anak semai tumbuh sejengkal
Perlu di jaga perlu di puput
Bila sudah mati daun yang awal
Sudah bersedia untuk di cabut

Petak yang luas telah di bajak  
Menunggu semai bila nak pindah
Semai yang panjang di kerat pandak  
Nampak menghijau alangkah indah 

Tinggalkan adek sendirian dah menjadi perkara biasa
Adek menangis hendak mengikut 
Di tengah sawah di buat dangu
Tempat rehat bila mengantuk
Tempat bersolat bila sampai waktunya                                                                                
Padi dara harus di jaga
Mencabut rumput kerja kakak
Adek di dangu tak lepas mata
Adek akan menangis jika tingal terlalu lama
Takut terjatuh kedalam petak

Adek menangis sayu terdengar
Nampak adek di hembus bayu
Mak berlari balek ke dangu
Tentu adek dahagakan susu

Di hujung petak menahan bubu
Tempat ayah memintal tali
Keli, haruan, sepat dan puyu
Semua itu rezeki petani

Dah jemu tinggal di dangu
Adek ikut sampai ke petak
Tanya ibu adeknya mana
Mak Tak dengar pun adek teriak

Padi dara hijau sekeliling
Melepas lelah di tepi kali
Sementara menunggu padi membunting
Elok kita memancing keli
Sambil baring-baring boleh mengail puyu

Pacat dan lintah tiada ku kesah
Anak petani mesti berani
Kalau hati selalu gundah
Itu alamat nak dapat suami

Selesai merumput rehat seketika
Melihat seluang berkejaran dikali
Tiada ertinya jika berduka
Lepas menuai bersandinglah nanti

Air yang jernih sejuk sekali
Disinilah tempat ayah berwuduk
Jika kita selalu berkelahi
Iblis tidak dapat di tunduk
Sejuk dan jernih

Pohon lengkuning tumbuh merata
Isinya puteh bijinya hitam
Kalau nak jadi orang berjasa
Kena mengaji sehingga khatam

Sungai berbatu airnya jernih 
Tempat orang membasuh kaki
Biar tak cukup dari tak habis
Di kenang orang hingga ke mati

Padi dah bunting rehatkan masa
Menanam bunga di tepi pagar
Biar cantik di pandang mata
Di petik orang tanda dah mekar

Hening
Nostalgia
Sekawan dara membasuh kain
Kain cindai pudar warnanya
Kasih tidak pada yang lain
Jika di tunjuk kasih sayangnya

Bakul rotan berisi padi
Padi jemuran kuning warnanya
Sudah ku  bilang sedari tadi
Kasih sayang ku jangan di tanya

Padi sudah keluar bunga
Tidaklah harum seperti seroja
Kasih bukan di mulut sahaja
Di dalam hati menjadi rahsia

Orang-orang menakutkan pipit
Pipit hutan terbang berkawan
Kasih sayangku pada mu adek
Rela ku mati di telan zaman

Haruan dan puyu menyambar sakan
Belalang dan katak jadi makanan
Ayah ke hutan mencari rotan
Membuat bakul dan juga gadang

Padi di tanam sudah semusim
Daun yang hijau bertukar ganti
Tangkai menunduk tak lagi menguning
Tanda padi semakin berisi
Terjun mendada sangat sakit

Sudah lama ibu di rumah
Semakin jarang pergi ke bendang 
Padi dah kuning baru nak kesah
Takut di makan pipit melayang

Jika tidak pergi kepadang
Ibu suruh menarik layor
Kalau tidak tunggu di bendang
Padi  tinggal jerami saja

Memang ibu suruh membuat bising
Supaya ciak terbang jauh
Seronok sungguh terjun di tebing
Dah puas bermain nanti bergaduh
Ciak tuli

Pergi pagi pulangnya petang
Habis di pusing keliling kampung
Kalau dah main tak ingat ke makan
Jika ibu marah siapa nak tolong

Pipit hutan sangatlah bannyak
Semakin di halau semakin kemari
Habis sekawan anak beranak
Alamat padi tak sempat berisi 

Dari mana pipit melayang
Dari sawah turun ke padi
Dari mana datangnya sayang
Dari mata turun ke hati

Dangau dan ubi rebus
Padi benih di keram dahulu
Tenang
Ciak Raya kuning kepalanya
Ciak tuli berkepala puteh
Kalu malas menghalaunya
Alamat padi di tinggal regih

Kala subuh berembun pagi
Meniti batas di kepala bendang
Kalau tidak pandai berbudi
Alamat tidak di kenal orang

Mendapor kecil padi menguning
Sebelum meringgi di renggam dahulu
Tidak ku minta jadi begini
Kehendak Allah siapa yang tahu

Bila padi mendapor besar
Padi jemah bercampur pulut
Masa mengetam sangatlah suka
Bagaikan mendapat madu kelulut

Lepas merenggam mandi di sungai
Sungainya panjang bersambung-sambung
Mengajilah anakku biar pandai
Jika dah berilmu janganlah sombong

Selesai mengetam menampi pula
Biar terpisah padi dan hampa
Jangan di sebut dosa dan pahala
Jika tidak berserah pada yang kuasa

Dari sawah nampak berbalam
Gunung Inas tempat beradu
Sudahkah tertunai janji semalam
Sebelum di buat janji yang baru

Padi yang di tampi telah di simpan
Buat bekalan mencari teman
Jangan berjanji jika tak sepadan
Takut di keji di masa zaman berzaman

Sekianlah sudah seloka dan pantun
Buat tatapan di kemudian hari
Kasih tersimpan jiwa meruntun
Hendak ku sebut takut tak jadi


Nukilan
Aki Aji, Olak Lempit
30hb. Disember 2013