'Tembak
menembak’ antara dua bekas sahabat karib politik yang akan bertanding
dalam pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri Kajang - Datuk Zaid
Ibrahim dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menjadi semakin panas.
Rafizi Ramli mungkin menyesal pergi jolok bekas Naib Presiden PKR itu
dakwa konon ada lobi projek untuk rakannya di Selangor semasa berada
dalam PKR dulu untuk conteng arang imejnya.
Zaid bertindak balas terhadap dakwaan yang dibuat Pengarah Strategik
PKR itu dalam sidang akhbar Rabu dengan memanggil satu sidang akhbar di
rumahnya dekat Petaling Jaya Khamis.
Di depan ramai wartawan yang hadir Zaid melibas sakan Anwar dan
Rafizi.Ini termasuk mendakwa Rafizi hanya budak suruhan Anwar untuk
mencercanya.
“Oleh itu saya ingin ingatkan Anwar. Tidak usahlah berselindung di
bawah skirt Rafizi,” kata bekas Menteri Di Jabatan Perdana Menteri itu.
Selain menafikan dakwaan Rafizi beliau ada melobi projek untuk
rakannya di Selangor,Zaid pula mendakwa Anwar semasa dalam kerajaan dulu
beri kontrak pada kroni-kroninya.
Beliau juga dakwa Anwar kena ‘checkmate’ oleh Tan Sri Khalid Ibrahim
bila Menteri Besar Selangor itu tandatangan perjanjian persefahaman
mengenai air dengan Kerajaan Pusat Rabu.
Anwar semasa ditemui wartawan di Kajang petang Rabu dakwa beliau tidak tahu menahu mengenai perjanjian itu.
Zaid sendiri menilai komen Anwar itu tak masuk akal.
“Mestilah dia tahu. Dia cuma tak bersetuju. Sebab salah satu sebab
Anwar mahu menjadi Menteri Besar ada kena mengena dengan hasratnya
untuk menstrukturkan semula air di Selangor dengan cara yang berbeza
dengan Khalid,” dakwanya.
Menurut Zaid sekiranya Anwar menang dalam pilihanraya kecil Kajang
dan menjadi Menteri Besar sekalipun beliau tidak boleh buat apa-apa
tentang perjanjian air itu.
“Ia sudah terlambat kerana dia sudah kena check-mate,” kata Zaid.
Katanya langkah Khalid menandatangani perjanjian dengan Kerajaan
Pusat mengenai krisis air itu wajar kerana jika tidak diselesaikan
sehingga selepas PRK Kajang dan Anwar menang serta jadi Menteri Besar,
sudah pasti air di Selangor akan diswastakan.
Dakwa Zaid lagi, Anwar mahu mengambilalih jawatan Khalid sebagai
Menteri Besar kerana beliau tahu Selangor banyak duit dan dia boleh
mengawal pengswastaan air.
“Berbillion Ringgit untuk diswastakan.
Tapi mujurlah Tan Sri Khalid ini pintar orangnya. Dia dapat
mempertahankan projek air itu dengan menandatangani perjanjian dengan
Kerajaan Pusat untuk selamatkan Selangor,” katanya lagi.
“Dalam soal ini saya rasa tindakan Khalid itu betul dan saya setuju.
Saya rasa masa depan Selangor akan selamat dan pengswastaan akan
berakhir. Kerajaan Negeri akan mengambilalih dan sokongan Pusat dalam
hal ini mesti dialu-alukan. Kalau Kerajaan Pusat tak bagi duit nak
bayar balik kepada swasta, ia akan membebankan Kerajaan Negeri. Ini
rakyat perlu alu-alukan. Ini bukan soal UMNO-PKR. Ini soal rakyat.
“Inilah isu yang akan saya bawa di Kajang, iaitu penjelasan yang
betul kepada rakyat. Sebagai pemimpin kita kena berterus terang dengan
rakyat. Anwar tak berterus terang. Dia kata nak bangunkan Kajang, nak
jadikan bandar satelit, dan macam-macam dia janji. Saya hanya nak rakyat
Kajang pilih pemimpin yang betul. Kalau pemimpin itu karut, ada 10 atau
20 rancangan pun tak ada makna,” katanya.
Menurut Khalid, rekodnya lebih baik daripada Anwar kerana sewaktu
menjadi Menteri tidak pernah menyalahguna kuasa seperti Ketua Umum PKR
itu.
“Semasa saya jadi Menteri saya tidak salahgunakan kuasa tetapi Anwar
masuk jel kerana salahguna kuasa. Kita jangan lupa. Semasa dia jadi
Menteri dia beri kontrak kepada kroni-kroni dia. Ini didedahkan oleh Tun
Mahathir pada 1998. Itu semua kita ingat. Dia tulis Tun Mahathir
pemimpin yang berkroni tetapi apabila senarai keluar, kroni-kroni siapa
yang lebih?
“Rakyat jangan lupa tahun 1998. Kita jangan lupa apabila Umi Hafilda
buat report polis siapa yang suruh polis ajar dia tarik balik kenyataan
itu? Siapa? Saya tak buat kerja macam tu,” katanya.
Sementara itu mengenai kenyataan media yang dibuat oleh Rafizi yang
mendakwanya melobi projek di Selangor, Zaid berkata, Ahli Parlimen itu
sudah dilatih begitu.
“Enam tahun saya kenal Tan Sri Khalid Ibrahim dan tidak pernah buat
permohonan untuk saya, keluarga dan kawan. Tanyalah Exco-Exco Selangor,
Ketua Pengarah Tanah dan Galian dan pejabat Menteri Besar. Satu inci
tanah Selangor saya tak minta sebab saya bukan nak jadi Menteri Besar.
“Rafizi budak Anwar. Anwar sendiri tak boleh kawal Khalid. Tak kanlah
saya nak lobi budak dia. Tak masuk akal. Tan Sri Khalid dia strict. Dia
profesional. Dia tak kira Anwar ke, siapa ke. Pentadbiran negeri dan
parti diasingkan. Itu yang Khalid pertahankan dan itu yang saya
pertahankan. Jadi saya pertahankan Khalid bukan sebab saya lobi projek
atau sebab dia sudah bagi banyak kat saya.
“Saya tak perlu lobi. Saya tak perlu jadi Menteri Besar. Saya tak
perlu kaya macam Anwar ni. Dia nak duit banyak sebab dia ada cita-cita
nak pergi Putrajaya. Saya tak ada. Jadi sebab itu dalam soal ini saya
nak beritahu Anwar Ibrahim - tak usah berselindung di belakang Rafizi.
Suruh budak itu cerca saya. Kita berdepan mengenai soal kepimpinan dan
integriti pemimpin. Itu yang perlu kita bincang,” katanya.
Zaid berkata semasa di dalam UMNO beliau juga tidak pernah melobi Perdana Menteri minta projek untuk kawan atau kroni.
“Saya tak pernah lobi Najib untuk apa-apa. Itu rekod saya dalam UMNO.
Lain dengan rekod Anwar dalam UMNO. Rekod saya dalam UMNO tak ada minta
projek untuk kawan atau kroni. Tak kanlah bila saya masuk PKR saya nak
tukar bulu. Tapi Rafizi nak mainkan. Dalam kenyataan dia, dia kata ini
budaya UMNO. Zaid bawa budaya UMNO dalam PKR. Tidak. Anwar yang bawa
budaya itu,” katanya.
Zaid berkata tindakan Rafizi memburuk-burukkannya adalah atas suruhan Anwar yang bimbang kalah di Kajang.
“Anwar kata MCA cabarannya yang utama tetapi peluru berpandu diasah
kepada saya. Jadi saya harap orang Kajang faham benda tu. Orang MCA tak
tahu Anwar sebab mereka tak masuk UMNO. Saya ni tahulah. Saya sinipun
sudah masuk dan sana pun saya ada. Jadi saya tahu.
“Politik Rafizi ini kotor. Semata-mata kerana dia berjaya memalukan
Shahrizat dan NFC dan menang di Kampung Pandan dia rasa dah jadi hero
besar. Saya nak ingatkan budak ini...dalam politik ini bila pemimpin
bohong, fitnah orang, rakyat akan tahu, kalau tidak sekarang,
kemudian,” kata Zaid lagi.
Menurut Zaid ada kemungkinan Rafizi berhenti jadi Penasihat Ekonomi Selangor kerana tidak mendapat sesuatu dari Menteri Besar.
Maka dakwanya tidak hairan kalau selepas ini Rafizi akan spin cerita
kononnya Khalid akan masuk UMNO hanya kerana menandatangani perjanjian
air dengan Kerajaan Pusat.
Pada sidang akhbar itu juga mengedarkan kenyataan media untuk menjawab isu dakwaan Rafizi terhadapnya.
BERIKUT IALAH KENYATAAN MEDIA BERKENAAN:
KENYATAAN MEDIA
Saya merujuk kepada kenyataan media yang dibuat oleh Ahli Parlimen
Pandan, Rafizi Ramli semalam, yang mendedahkan kepada umum, dua e-mel
saya kepada beliau pada tahun 2010, yang mana di dalam e-mel
tersebut, saya meminta beliau memajukan kepada Menteri Besar Selangor agar dapat mempertimbangkan permohonan syarikat tersebut.
Salah sebuah syarikat mempunyai masalah kelulusan untuk memajukan
tanah mereka seluas 26 ekar kerana Kerajaan Negeri Selangor memberikan
Sebuah lagi syarikat mahu membuat Joint Venture dengan anak syarikat
PKNS untuk terbabit dalam sektor pembinaan perumahan.
Sukacita untuk saya maklumkan hari ini bahawa kedua-dua syarikat
ini tidak ada kena-mengena dengan saya atau keluarga saya. Malah mereka
juga bukan kawan. Mereka adalah orang business yang datang meminta
pertolongan kerana mereka fikir saya boleh menolong.
Amalan orang business meminta pertolongan atau sokongan daripada
ahli politik adalah amalan biasa dalam sistem kita dan ia diamalkan oleh
UMNO, PAS, DAP dan lebih-lebih lagi PKR.
Mungkin Rafizi berfikir dia seorang yang bersih, tetapi dia lupa
fakta di mana ada kalangan pegawai tertinggi dalam pejabat Menteri Besar
(ahli PKR) sendiri yang terbabit sehingga tersingkir daripada jawatan.
Saya tidak mahu
mengulas panjang kerana kes ini sedang dibicarakan di mahkamah.
Jika saya memajukan dua e-mel kepada Rafizi, ia bukan bererti saya melobi.
Ketika itu Rafizi hanya budak Anwar yang tiada jawatan. Jika saya
hendak melobi untuk kepentingan saya, saya boleh terus berjumpa dengan
MB atau Exco, bukan dengan budak pejabat Anwar.
Sebagai orang politik, bagi saya, meminta pertimbangan kerajaan bagi
pihak orang ramai atau ahli perniagaan yang tidak saya kenali, tidak
menjejaskan integriti saya. Saya hanya meminta pertimbangan, bukan
memaksa kerajaan mengikut kehendak saya. Adakah itu pun Rafizi tidak
tahu membezakannya?
Suka saya tegaskan bahawa saya langsung tidak mempunyai apa-apa
kepentingan di dalam kedua-dua kes itu. Jelas, Rafizi seorang yang busuk
hati dan cuba mereka-reka cerita kononnya saya cuba mempengaruhi
kerajaan negeri untuk kepentingan peribadi.
Kalaulah Rafizi hendak memusnahkan integriti saya sekalipun,
mengapa tidak membuat sidang akhbar bersama Menteri Besar, Exco atau
PegawaiTinggi Kerajaan dan kemukakan bukti yang saya terbabit atau ada
kepentingan tertentu di dalam urus niaga berkenaan?
Apakah Rafizi tidak sedar bahawa Pejabat Penasihat Ekonomi dan
Rafizi sendiri bukan tempat `yang kondusif’ untuk melobi? Apakah Rafizi
tidak sedar bahawa di Selangor ini, beliau, sebagai Penasihat Ekonomi
Anwar,tidak mempunyai kuasa untuk meluluskan sebarang projek atau JV?
Kalaulah Anwar sendiri akur bahawa beliau, selaku Penasihat
Ekonomi Selangor, tidak punya kuasa, lantas membawa kepada PRK Kajang,
apatah lagi budak pejabat seperti Rafizi!
Sebagai bekas Menteri dan pengamal undang-undang, saya tahu peraturan.
Saya tahu semuanya itu adalah di dalam bidang kuasa MB dan Exco.
Yang harus Rafizi jawab: mengapa beliau lari atau meletak jawatan
dari Pejabat Penasihat Ekonomi Selangor. Sama ada kerana saya melobi
untuk mendapatkan projek atau kerana Anwar dan Rafizi 'dibakulsampahkan'
oleh Pejabat Menteri Besar?
Oleh kerana saya tiada berkepentingan di dalam urus niaga
berkenaan,sampai hari ini saya tidak mengetahui status permohonan
syarikat yang didakwa saya melobi untuk mereka.
Saya ingin nasihatkan Rafizi, lain kali rujuklah kepada MB atau Exco
sebelum membuat tohmahan melulu. Semak dulu betul atau tidak yang saya
melobi.
Maka saya harap, janganlah kerana hendak mempertahankan Anwar
secara membabi buta, Rafizi menjadi budak jahat yang mengamalkan politik
fitnah dan kotor. Jangan menjadi anak didik reformasi yang kononnya
mendewa-dewakan perubahan, lantas membuat fitnah melulu.
Sebagai budak yang baru bertatih dalam politik, Rafizi jangan ingat
berbohong boleh menjadi satu cara yang dapat memajukan karier politik
beliau. Hanya kerana dia dapat menyentap Shahrizat Jalil dalam kes NFC
tidak bermakna dia akan berjaya menabur fitnah terhadap saya.
Saya merasakan tujuan Anwar membuat tuduhan terhadap saya,
melalui Rafizi, yang kononnya saya melobi Kerajaan Negeri untuk
kawan-kawan saya, hanya hendak menggambarkan saya ini baik dengan MB
Selangor.
Saya ingin tegaskan, sejak Khalid menjadi MB, saya tidak pernah
membuat sebarang permohonan, sama ada tanah atau projek untuk saya dan
keluarga. Saya tidak pernah mendapat apa-apa projek daripada Khalid.
Semasa dalam PKR, saya membela Khalid kerana menentang kerakusan Anwar dan konco-konconya.
Oleh itu saya ingin ingatkan Anwar. Tidak usahlah berselindung di
bawah skirt Rafizi. Saya mahu debat dengan beliau mengenai isu
integriti dan kredibiliti.
Saya mahu bercakap, semasa jadi menteri apa Anwar buat dan apa
saya buat. Siapa yang banyak salah guna kuasa dan siapa yang menggunakan
pengaruh untuk bagi projek kepada kawan-kawan.
Dan saya juga meminta Anwar supaya ingat, bahawa beliau masih
belum memberikan jawapan dengan jelas mengapa beliau mahu jadi MB?
Mengapa PRK DUN Kajang perlu diadakan? Tidak usahlah cuba mereka-cipta
isu yang tidak wujud semata-mata mahu memburuk-burukkan saya di mata
rakyat.
Bagi saya, Anwar bimbang dengan cabaran sebenar di Kajang, yang
bukannya MCA atau BN. Kalau sungguh tidak wujud kebimbangan besar yang
beliau mungkin tewas, masakan fitnah sanggup dilemparkan terhadap saya.
Akhir kata, saya juga hairan mengapa Anwar sering membuat
kenyataan bahawa beliau tidak dirujuk oleh Khalid dalam soal air di
Selangor.
Apakah niat sebenar Anwar hendak menjadi MB itu yang diragukan.
Apakah beliau menjadi MB supaya penswastaan air boleh berada di
bawah kawalannya supaya akhirnya kekayaan Selangor boleh diagihkan
kepada PKR dan konco-konconya seperti yang dilakukan dalam UMNO dahulu?
Bagi pihak rakyat, saya pohon penjelasan dan ketelusan daripada beliau.
Calon PRK N 25 Kajang - OLEH NOOR HASILAH ISMAIL
AMUKANMELAYU - Nampak macam semua tak kene jer....apahal ngan Kem PR ni?