Tuesday, 13 May 2014

“MELAYU – Tanah Jawi Itu Di Sini”, BANGUN atau MENUNGGU MATI.


“MELAYU – Tanah Jawi Itu Di Sini”

Dulu..
Di sini..
Di sini ini..
Bermula bicara
Di atas gunung berdiri cerita
Tinggi Beruas turun ke lembah
Hulu semenanjung sampai ke Manjung
Gangga Negara nama ditanda
Menjulang tinggi adaban dunia..


Dulu..
Di sana..
Di sana itu..
Ditulis surat
Persuratan tua buat umat
Tamra ditanda batu bersurat
Tinggal sepi dalam negeri Megat..
Di Kuala Berang terpecah urat..
Sayup terdengar jeritan kelam..
Ini negeri Megat Panji Alam..!
Banyak wali Allah dan banyak pula Ahlul Bay’tul Rasul..!
Diwartakan buat kalian anak cucu umat Muhammad SAW..
Di sini.. Dalam akhir zaman..


Ini..
Maka tersurat…
Apa yang tersirat…
“Rasulullah dengan yang arwah santabi mereka..
Asa pada Dewata Mulia Raya beri hamba meneguhkan Agama Islam..
Dengan benar bicara derma mereka bagi sekalian hamba Dewata Mulia Raya..
Di benua ku ini penentu agama Rasulullah Salallahualaihi Wassalam.
“DI BENUA KU INI PENENTU AGAMA RASULULLAH SALALLAHUALAIHI WASSALAM..!”
Raja Mandalika yang benar bicara sebelah Dewata Mulia Raya..
DI DALAM BUMI INI PENENTU FARDHU PADA SEKALIAN..!
Raja Mandalika Islam menurut setitah Dewata Mulia Raya dengan benar..
Bicara berbajiki benua penentuan itu maka titah Seri Paduka;








Tuhan..
Tuhan..




Tuhan yang menduduki Tamra ini di Benua Terengganu adi pertama..!
Jumaat di bulan Rajab di tahun saratan disasanakala..
Baginda Rasulullah telah lalu tujuh ratus dua..”

“KELUARGA DI BENUA JAUH KAN DATANG BERIKAN..”
“Allahumasoli’ala Muhammad, Wa’ali Muhammad”


Dulu..
Di atas..
Di atas sana..
Tersurat hikayat Merong Maha Wangsa..
Kalha.. Kataha..
Nama tercipta Negeri Kedah Tua
Sheikh Abdullah al-Qaumiri dan Sultan Muzzafar sendiri..
Berjanji teguh adinda kekanda..
Gunung Jerai ke Langkasuka..


Dulu..
Di bawah..
Dan di seberang sana..
Berteguh janji bapa saudara
Demang Lebar Daun juga Sang Sapurba
“Tak Melayu derhaka pada Rajanya,
Adil saksama ganjaran di beri
Memberi malu tidak sekali”
Hikayat berlalu pecah gelora
Parameswara jadi Maharaja
Jadi lambang daulat negara
Kekallah Melaka jadi seadanya..


Dulu..
Di bawah sana..
Sultan Mansur Syah dan Bendahara Seri Paduka Raja
Tun Perak dan Laksamana Tun Tuah memacu tenaga
Lekir di hilir, Lekiu di hulu
Jebat-Kasturi tinggi berdiri..
Hilang..
Hilang terus perjanjian tua..
“Tak Melayu derhaka pada Rajanya..?”


Dulu..
Di sana..
Tiba giliran Paduka Sultan beraja
Sultan Mahmud Shah jadi ingatan
Benggali Putih buat belasahan..
Terbakarlah Melaka zaman berzaman..
Undur Sultan ke serata peri..
Tinggal sekeping hati dan alatan negeri
Kampar benteng harapan buat baginda merajai
Kekal tak kembali ke Melaka lagi..


Dulu..
Di tanah ini..
Raja Muzzaffar dijemput pergi..
Tanah Tun Saban dan Tok Temong dikongsi-bahagi
Berangkatlah ke negeri Perak yang belum beraja lagi..
Sambil diiring Paduka seberang..
Daulat raja di ranah Minang
Megat Terawis hulubalang terbilang..


Dulu..
Di bumi ini..
Datang pula dugaan Tuhan
Buat menguji hati sang raja
Supaya ingat akan asal dan jasa
Usul dititah untuk dijaga..


Lantas..
Dia berbisik..
Berbisik dari hati yang suci murni
Buat jadi benteng diri
Dari ‘penghuni’ segenap negeri..


“Selilit Tanah Minangkabau,
Selengkung Pulau Perca,
Dilengkung ular Saktimuna,
Sebenarnya Aku keturunan Raja,
Jauhkan segala malapetaka, Perpisahan Aku di Selat Melaka..”


Hari ini..
Kini di sini..
Apa yang tinggal hanya kita-kita..
Menggalas tanggungan beban derita..
Bukan hanya sekadar cerita..
Buat mainan dikala hiba..
Atau buat mengulit si kecil lena..


Hari ini..
Di bumi ini..
Yang tinggal hanyalah aku dan kamu
Setelah cukup zaman itu
Kini bermula zaman yang baru
Kembalilah kita ke Khalifah yang satu..
Aku dan kamu
Adalah darah saka,
Para panglima silam
Yang bergadai nyawa
Demi maruah agama
bangsa tanahair
Tanah tumpah nya darahku
Tanah yang sekangkang kera ini..


Inilah tanah kita..
Ini Tanah para Syed dan Syarifah..
Ini tanah Raja-Raja
Ini tanah Megat-Megat
Ini tanah Daeng-Karaeng
Ini tanah Meor-Meor
Ini tanah Wan-Wan
Ini tanah Nik-Nik
Ini tanah kita semua..
Ini tanah Ahlul Bay’t..!
… Tanah ini ‘Tanah Melayu’..!


Aku dan kamu
Di antara saka pustaka
Penyambung warisan bangsa
Para pertapa ke Batu Belah
Ke Ulu Perak ke Pulau Besar
Untuk bertauliah dan berijazah
Antara yang nyata atau Rijalul Ghaibi
Dengan para auliah dan para santabi


Aku dan kamu
Rajawali mahupun Jentayu
Mengembang sayap di angin lalu
Dengan seruan jihad bertalu-talu..
Telah berlalu 500 tahun itu..
1511 ke 2011 kini datanglah pula 2013..
Di sini kekita menanti
Dalam hati-hati manusia itu diam sendiri
Tentu ada yang tak takut mati..
Maka akan bangkit..
Inshaallah Taala akan bangkit nanti..
Akan bangkit hati-hati yang umpama kepingan besi..
Akan datang panji-panji hitam dari ufuk timur ini..
Agama Tauhid akan kembali berdiri..


Dari sini..
Dari sebelah sini..


Hari ini..
Antara Habil dan Qabil
Antara Jalut dan Talut
Antara Harut dan Marut
Antara Hassan dan Hussin
Antara Lekir dan Lekiu
Antara Osama dan Obama..


Ada sesuatu..
Ada sesuatu yang perlu diambil tahu..
Patah tongkat berjeremang..
Habis Hulubalang bersiak..!
Bukan balang-balang Hulubalang,
Hulubalang terbilang jitu..
Bukan barang-barang Penjurit,
Penjurit Kepetangan jua yang tahu..
… Kepetangan itu adalah penamat ilmu kau dan aku..!

Laksamana Tun Tuah.. Satu Manifestasi Bukan Fantasi

NOTA: Semua gambar peribadi yang digunakan dalam penulisan ini adalah sekadar gambar hiasan yang tidak ada kena mengena dengan Dato’ Laksamana Orang Kaya Tun Tuah (melainkan gambar Keris Taming Sari) dan hanya digunakan bagi menaikkan ‘semangat Melayu’ yang mengalir senyap dalam diri setiap anak Melayu. Gambar-gambar lain pula adalah hak milik terpelihara IPPM – Istiadat Perwaris Penjurit-Kepetangan Melayu dan Pak Tuan Syed.
 

Assalammualaikum Warahmatullahi Wabarokatuh..
Salam serta selawat buat Rasul utama Habibullah, Rasulullah Muhammad SAW serta Ahlul Bai’yt Baginda Nabi Allah.
“Allahumasoli’ala Muhammad, Wa’ali Muhammad”
Adapun telah banyak didebatkan dalam laman maya serta perbincangan kedai-kopi dan tak kurang juga perdebatan di kalangan sarjana lulusan universitas dan juga sarjana lulusan Chow Kitt Road dan Petaling Street membicarakan perihal wujud atau tidak Dato’ Hulubalang Besar, Lagi Terbilang – Penjurit Kepetangan orangnya.. Dato’ Laksamana Orang Kaya Tun Tuah atau kita biasa sebut sebagai Hang Tuah.


Ramai juga yang bersifat Asobi’yah yang ‘menginginkan’ Dato’ Laksamana Hang Tuah itu dari kalangan ‘orang kampung/orang negeri’ mereka.. Ada yang mengaku Hang Tuah orang Kelantan dan makan budu, Hang Tuah sebenarnya orang Kedah sebab gelaran ‘Hang’, Hang Tuah orang Siam, Hang Tuah orang Filipina, Hang Tuah orang Indonesia dan ada juga yang mengatakan Hang Tuah itu orang Singapura-pura.. Masha Allah..! Dapat apa pun kalian semua kalau-kalau Hang Tuah itu orang kampung kalian..? Dapat turun saka ilmunya kah..? Habuk pun tak ada untuk kalian melainkan bagi yang mencari dan menyelusuri perjalanan Laksamana lima sahabat..!


Lebih dasyat pula wujud fitnah-fitnah jahat bukan sahaja dari bangsa asing, tapi dari anak bangsa Melayu sendiri yang sesat dan hilang akal mereka mengatakan Hang Tuah lima bersaudara itu berbangsa Cina. Kononnya kajian DNA telah dijalankan dan berjaya dibuktikan yang mereka-mereka ini adalah berbangsa Cina.. Kajian DNA celah mana Dol? Kalau ada kajian DNA yang dijalankan pada Makam Hang Tuah di Tanjung Kling di Melaka itu pun, takkan dapat DNA Cina sebab yang bersemadi di situ dikatakan oleh penduduk asal adalah seorang Ulama’ India Muslim.. (Hang Tuah tidak ada makamnya). Wallahualam Bissawab sebab tak pernah pula Kerajaan Negeri Melaka atau sekurang-kurangnya PSM – Persatuan Sejarah Malaysia menghebahkan kajian ini.. Kalau ada hebahan media, pasti dah masuk dalam Buletin Utama, Utusan Meloya dan Berita Hairan mengenai kajian DNA tersebut..!


Kononnya Hang Tuah itu bernama Han Too Ah bersahabat bersama Han Jee Fat dan handal ber’kung-fu’ yang orang Melayu kita panggil Silat.. Masha Allah..! Kalau yang demikian bagaimana pula dengan Hang Kasturi, Hang Mahmud, Hang Nadim dan sebagainya? Apa nama Cina mereka-mereka ini? Macam mana nak ‘Cina’kan nama Melayu-Melayu yang ini..? Tak cukup dengan itu, majalah separa ala-ala URTV/Mangga iaitu Mastika terbitan Kumpulan Pengarang Utusan mengeluarkan pula satu penulisan bahawa Hang Tuah adalah seorang wanita.. Ini semua gila! Gila..!!!
Add caption


Ada juga pendapat-pendapat sarjana kedai kopi yang mengatakan bahawasanya Hang Tuah ini sebenarnya adalah Maharaja Narai, iaitu salah seorang Maharaja Empayar Ayutthia di Siam dalam tahun 1656-1688M. Tengok pada tarikh memerintah sahaja, anak-anak kecil pra-sekolah lebih tahu bahawasanya ia tiada kaitan langsung..! Sudah Berpuluh tahun debat-debat bodoh ini berleluasa dalam laman internet oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab dan mempunyai agenda peribadi sendiri, makalah penerbitan umum, sembang kedai kopi dan termasuk juga simposium para sarjana.

Nama Hang Tuah pula diabadikan dimerata-rata tempat di segenap pelusuk Nusantara. Antaranya, di Surabaya Indonesia sebuah univertisiti terkemuka dinamakan dengan Universitas Hang Tuah. Di Pattani Thailand pula terdapat sebuah masjid yang dikenali dengan nama Masjid Krisik Hang Tuah.  Malangnya, masih kurang (bukan tak ada, tapi sedikit) Melayu yang mahu menerangkan secara lengkap bahawa siapa sebenarnya Hang Tuah dan lantas membuktikan kewujudannya dalam lembaran sejarah Melayu.. Apa yang ada hanya debat-debat bodoh yang aku nyatakan tadi.. Debat diantara pihak A dan pihak B yang hanya bersifat ‘looping’ dan berpusing-pusing tanpa ada titik noktah. Yang sedihnya, anak bangsa mengambil jalan pintas dan menjadikan cerita reka-yasa ini sebagai sumber kebenaran..


Bagi yang mengenali Hang Tuah dan lima sahabatnya, baik secara spiritual (rohaniah) mahupun secara ilmiah sejarah (melalui pembacaan teks lama dan kajian), mereka-mereka ini yakin akan kewujudannya serta betapa ‘Melayunya’ Hulubalang berlima ini.. Bukan Cina, bukan India, bukan Siam ataupun Filipino..!
Inshaallah Taala, dengan izin yang Maha Esa, di sini, aku akan cuba sertakan beberapa bukti sahih mengenai kewujudan Hang Tuah lima bersaudara beserta betapa Melayunya Hang Tuah sebenarnya, bukan seperti dakwaan ‘gila’ yang mengatakan mereka-mereka ini adalah Cina dan berasal dari Tanah Besar China.

Dari Sumber Sulalatus As Salatin

Dalam Sulalatus As Salatin (versi paling asal iaitu versi Raja Bongsu) yakni ‘Sejarah Melayu’ yang disusun semula oleh Bendahara Tun Seri Lanang dalam tahun 1537 (dalam Empayar Johor Tua – 26 tahun selepas kejatuhan Empayar Kesultanan Melayu Melaka) telah ditulis dengan jelas asal dan usul Hang Tuah. Diceritakan dalam naskah tersebut bahawa Hang Tuah berasal dari Kepulauan Bintan yang takluk pada sebuah kerajaan Bugis di Sulawesi.


Nama asalnya ialah Daeng Mempawah, seorang anak Raja Bajung Bugis yang berpusat di Makassar. Dilahirkan sekitar tahun 1388 Masehi di sana dan beliau kemudiannya telah dibawa berpindah ke Melaka bersama keluarganya ketika berumur sekitar 3-4 tahun sebagai hadiah untuk dijadikan bingkisan buat Duli Yang DiPertuan Sultan Mansur Shah Melaka.
Add caption

Melaka pada waktu itu sedang menjadi satu kuasa besar baru di Nusantara dan menjadi sayap kiri kepada pemerintahan Turki Uthmaniah di Timur tengah. Di Melaka, Hang Tuah tinggal bersama orang tuanya di Kampung Duyung, Kampung Bendahara Tun Perak. Pada umurnya meningkat sekitar 12 tahun, beliau mengikuti rombongan Sultan Melaka ke Tanah Jawa, Majapahit dan telah berjaya membunuh orang-orang mengamuk di Kampung Bendahara serta ketika di Majapahit.


Ketika umurnya meningkat 16-17 tahun beliau telah dilantik memegang jawatan Laksamana dan lantas menjadi orang Melayu pertama yang memakai gelaran Laksamana dalam lipatan sejarah. Ketika beliau berumur sekitar 21 tahun, direkodkan dalam lipatan sejarah bangsa, beliau telah bertikam dengan Hang Jebat yang mengamuk di istana Melaka. Di dalam Sulalatus As Salatin ini juga ditulis dengan jelas bahawa Laksamana Hang Tuah mempunyai dua orang isteri dan mempunyai ramai zuriat keturunannya serta anak menantunya juga memakai gelaran Laksamana selepas beliau membuang diri lalu dikatakan ghaib..


Maklumat mengenai Dato’ Laksamana Hang Tuah berkahwin dan mempunyai 2 orang isteri telah dinyatakan dengan jelas di dalam naskah Sulalatus As Salatin adalah seperti berikut;
Isteri pertama (Nama tidak disebut) - Saudara perempuan kepada Seri Bija Diraja Dato Bongkok.

Anak dari isteri pertama:
Tun Sirah Binti Laksamana Hang Tuah (Perempuan) berkahwin dengan Temenggung Khoja Hassan

Cucu dari isteri pertama:
Tun Abdullah (Lelaki)
Tun Biajid (Lelaki)
Tun Daerah (Perempuan) – Berkahwin dengan Sultan Mahmud Syah

Cicit dari isteri pertama:
Raja Dewi Ibni Yang di Pertuan Sultan Mahmud Shah Melaka
Isteri Kedua (Nama tidak disebut) - Dari keluarga Bendahara Paduka Raja Tun Perak

Anak anak dari isteri Kedua:
Sang Guna (Lelaki)
Tun Emas Jiwa (Perempuan) – Berkahwin dengan Laksamana Hang Nadim (Satu-satunya anak dari nasab Hang Jebat)
Cucu dari isteri kedua:
Tun Mat Ali Bin Laksamana Hang Nadim
Cicit dari isteri kedua:
Tun Hamzah Bin Tun Mat Ali
Piut dari isteri kedua:
Tun Ali Bin Tun Hamzah – Tun Ali bergelar Seri Petam

Dari Sumber Tomé Pires – Amando Cortesao – The Suma Oriental

 

Dalam The Suma Oriental hasil tulisan penjajah, Tomé Pires yang ditulis dalam tahun 1513 (dua tahun selepas kejatuhan Melaka ke tangan kafir Portugis), beliau dengan jelas telah menulis mengenai seorang Laksamana Melaka – Admiral (tetapi tidak dinyatakan nama). Tulisannya diterjemahkan berbunyi begini; “Afonso de Albuquerque dan angkatan King Manuel tidak akan berjaya menawan Kota Melaka sekiranya Laksamana Melaka yang terkenal itu masih ada. Perkara ini terjadi dalam serangan pertama Portugis di bawah pimpinan Diego Lopes de Sequeira pada tahun 1509 gagal kerana Laksamana Melaka itu masih ada. Kini Melaka tiada lagi Laksamana itu lalu mereka mudah kami tewaskan.”

Dari Sumber A. Kobata and M. Matsuda – Ryukyu relations with Korea and south sea countries

Menurut buku A. Kobata telah merujuk kepada kepada catatan bernama “Rekidai Hoan” yang telah ditulis dan disusun pada 1697 oleh Raja kepulauan Ryukyus yang mana didalam catatan tersebut ada menyebut mengenai keberanian HangTuah yang telah masuk kepelabuhan di Kemboja semasa perang saudara sedang berlangsung ketika itu untuk mengambil air minuman dengan hanya menggunakan perahu layar kecilnya tanpa mengendahkan peperangan yang sedang berlangsung.

Dari Sumber Kajian Leonard J. Andaya & Barbara Watson Andaya

(University of Hawaii)

Menurut Andaya (2002), Hang Tuah, Hang Jebat dan Hang Kasturi adalah pemimpin ulung kaum Orang Asli. Kekuasaan Orang Asli dalam pemerintahan Melaka serta kerajaan-kerajaan melayu yang lain mengalami kemerosotan dengan kematian ketiga-tiga tokoh ini. Pendapat ini dipetik dari Pagan Races of the Malay Peninsula, Macmillan, London 1906 karangan Skeat, W.William and C.O. Blagden.


Andaya juga memetik pendapat Juli Edo, seorang ahli antropologi dari etnik Semai yang mengatakan bahawa Hang Tuah dan Hang Jebat adalah Orang Asli. Hang Tuah dan keluarganya berpindah ke Hulu Perak selepas kematian Hang Jebat.
Menurut Yayan Indriatmoko (2003), Hang Tuah berketurunan Orang Laut. Orang Asli melibatkan diri secara aktif dalam sosio-ekonomi Tanah Melayu pada zaman dahulu.

Dari Sumber Rekod Istana Negeri Perak Darul Ridzuan

Dari sumber rekod Istana Negeri Perak Darul Ridzuan, telah beberapa kali dipamerkan kepada umum sebilah keris lagenda yang telah diperturunkan turun-temurun dalam simpanan Salasilah Kesultanan Perak Darul Ridzuan yang turun dari Kesultanan Melayu Melaka yang turun dari Bukit Siguntang Mahameru di Tanah Palembang. Keris yang pernah digenggam Dato’ Laksamana Tun Tuah atau Hang Tuah yang bergelar Keris Taming Sari.


Mengikut pandangan dari salah seorang kerabat DiRaja Perak yang bersahabat baik dengan aku, iaitu Y.A.M Raja Shui’bah Ibni Almarhum Sultan Idris Afi’fullah Shah, Sultan Perak ke-33, keris Taming Sari yang di dalam simpanan DiRaja Perak itu adalah yang asli dan ada penduanya bersama. Cuma sehingga hari ini, keris penduanya itu belum lagi pernah dipamerkan kepada umum atas sebab-sebab tertentu yang hanya diketahui oleh orang-orang Istana. Keris Taming Sari ini telah diserahkan kepada Bentara Paduka Tun Mamat selepas pulang dari rombongan meminang Puteri Gunung Ledang untuk dipersembahkan kepada Duli Yang DiPertuan Sultan Mahmud Shah Melaka, Sultan terakhir Kerajaan Melayu Melaka.


Baginda Sultan Mahmud kemudiannya menyerahkan pula keris tersebut kepada Anakanda Raja Muzzafar sebagai salah satu alat kebesaran untuk ditabalkan menjadi Sultan Perak Darul Ridzuan yang pertama sambil diiringi oleh Megat Terawis Ibni Daulat Pagaruyung.
Keris Taming Sari

Samada keris ini adalah keris ini adalah keris sebenar milik Dato’ Laksamana Tun Tuah atau tidak adalah satu pertikaian yang tak mungkin selesai melainkan Dato’ Laksamana itu sendiri datang dan mengakui atau menidakkannya. Namun yang utama ialah Keris ini telah menjadi satu alat kebesaran Kerajaan Perak Darul Ridzuan dari dulu sehingga kini. Simbol hubungan Melayu dan Keris. Keris dan Sultan Melayu. Ianya bukan hanya sebagai senjata akan tetapi sebagai pelengkap kepada jiwa setiap Melayu.

Dari Sumber Tariqat Naqsyabandi’ah Qadiri

Mengikut salah satu aliran Tariqat Naqsyabandi yang banyak bertapak di seluruh dunia ini, (Antaranya Naqsyabandi Kholidi, Naqsyabandi Haqqani, Naqsyabandi Khalidiyah dan beberapa lagi aliran Sufi dari Tariqat Nasqsyabandi) iaitu Naqsyabandi Qadiri, Laksamana Tun Tuah adalah seorang hamba Allah yang pernah wujud di muka bumi ini dan pernah duduk mengajar Tariqat Naqsyabandi di selatan Thailand iaitu di kawasan Pattani dan Narathiwat.


Malahan Laksamana Tun Tuah juga di anggap sebagai salah seorang Sheikh atau Imam yang membawa aliran Tariqat Naqsyabandi Qadiri ini yang banyak bertaburan di bahagian Utara Semenanjung Tanah Melayu serta Selatan Thailand. Jika Tuan-Tuan meneliti sejarah Tariqat Naqsyabandi di Tanah Melayu, maka Tuan-Tuan akan menjumpai kenyataan bahawasanya Laksamana Tun Tuah pernah berguru dengan salah seorang Sheikh iaitu Sheikh Mansur ketika beliau dalam buangan di Hulu Melaka. Ada juga yang menyebut namanya ketika itu sebagai Sheikh Muhammad Saman yang bertaraf Wali Allah.

Dari Sumber Hikayat Hang Tuah

Jika tiada wujudnya seseorang manusia itu di muka bumi ini, maka tiadalah lagenda dan hikayat untuk diperturunkan turun temurun. Bagi yang memegang naskah Hikayat Hang Tuah, ada dua kebarangkalian seseorang itu mungkin menilai karya agung bangsa Melayu itu:

  • PERTAMA: Sebagai sebuah karya sastera yang padat dengan fantasi dalam sejarah yang bersifat romantisme dan perjuangan bangsa. Tidak boleh dinilai sama ada sahih kandungannya sejarahnya kerana isi kandungannya yang bersifat fantasi dan hikayat.
  • KEDUA: Sebagai sebuah karya rahsia bangsa Melayu bagi yang menuntut dalam ilmu firasat dan Hulubalang Melayu. Karya ini memuatkan berpuluh ribu kod-kod rahsia seperti ‘Da Vinci Code’ yang bila dipecahkan akan menjadi panduan bagi mendalami ‘Ilmu Firasat Hulubalang’ yang sering kali dikaitkan dengan sifat kepahlawanan bangsa Melayu.

… Dan ‘kitab Hikayat Hang Tuah’ inilah yang aku pegang SELAIN dari Sulalatus As Salatin yang melebihi segala bukti-bukti yang dinyatakan diatas (dari sudut ilmu isyarat dan firasat Hulubalang yang turun temurun dari Laksamana Tun Tuah), dan aku yakin bagi menyatakan/menzahirkan kewujudan Hang Tuah lima bersaudara.. Kerana aku dan kau tahu walau TIDAK MELEBIHI akan pengetahuan Allah Taala – Tuhan Maha Pencipta-Maha Mengetahui akan rahsia dalam rohsia yang tersembunyi. Setelah berguru dengan Pendita dan segala Ajar-Ajar yang mengajar kekita kini disini..


Hang Tuah lima bersaudara sememangnya cukup sinonim dengan sifat-sifat kepahlawanan dan bersemangat Melayu yang tinggi seperti yang digambarkan dalam Kitab Hikayat Hang Tuah. Aku menggelar naskah ini sebagai ‘kitab’ kerana aku memegangnya dari sudut kedua iaitu sebagai ‘karya rahsia ilmu isyarat dan firasat Hulubalang Melayu’. Jadi selepas ditimbang tara secara logik akalnya sememangnya menunjukkan Hang Tuah 5 bersaudara itu wujud di bumi bertuah ini berdasarkan kod-kod rahsia yang ditinggalkan dalam Kitab Hikayat Hang Tuah yang telah membawa aku serta ramai lagi menyelusuri jejak-jejak tinggalan warisan berlima ini malahan zaman-zaman sebelum mereka berlima serta sesudah mereka berlima.


 Hal ini dapat naik sehingga ke zaman Sunan Wali Solo – Syeddi Syeikh Imam Maulana Ishaq, Adityavarman, Nabi Allah Khidir Alah’i Salam dan Nabi Allah Sulaiman Alah’i Salam serta zaman-berzaman selepas mereka berlima iaitu Megat Terawis, Tun Saban, Megat Seri Rama, Laksamana Hang Nadim, Daeng Bugis lima bersaudara dan seterusnya hingga ke zaman Pendita Hulubalang Dato’ Bahaman (Assalammualaikum Warahmatullahi Wabarokatuh), Mat Kilau, Tok Gajah, Tokku Paloh, Tokku Pulau Manis, Tok Janggut dan yang seangkatan dengan mereka-mereka..


Akhir kata.. Banyakkan istigfar, berzikir, bertaubat dan berdoa.. Sabar dan sebar serta saling ingat-mengingati..
Add caption
Bila sampai waktu nanti, segala kebenaran akan menjelma kini di sini menyatakan kebenaran hakiki buat segenap Ummat akhir zaman – Melayu-Islam BUKAN Melayu-Kufar menjelang tanda-ditanda-petanda kebangkitan Panji-Hitam-Ufuk-Timur.. Salam rindu dan kasih akan hamba buat Afwah Tun Tuah Biduanda Batu Belah di Hulu Perak – Hutan Bonggor Belum-Sebelum Relap Hati Kelantan Serambi Mekah – Ulu Titi Basah yang bernafas di bumi Sang Lenggeng, Sang Lenggong dan Sang Langgong dan yang naik di bumi berdaulat Batu-Bersurat Kuala Berang, Terengganu Darul Iman menuju akhir zaman..


Akan bergerak dari bawah ke atas-dari segenap pelusuk bumi Nusantara Melayu Islam bergerak dari Batu Hampar Kolam Air Panas bertapak ke Tapak Setapak – Sungai Padang Balang Hulubalang – Tanjung Kepetangan di Kuala Sepetang – Batu Penjurit di Pulau Penjurit – Bukit Chandan – Bukit Damar – Bukit Cindai – Bukit Cintamani – Wakaf Chamang – Gua Terang Bulan di Gunung Senyum..



Segala waris-perwaris, segala penyimpan pustaka-pusaka pada setiap mohor dan tanda-ditanda akan kembali keluar menzahirkan segala yang hilang dan ghaib.. Mengembalikan segala yang haq melebihi pada segala yang bathil lantas terus mencantas lidah-lidah yang berkata-kata dengan bongkak dan sombong, dengan gila dan hilang-akalnya mengenai Dato’ Hulubalang Besar, Lagi Terbilang – Penjurit Kepetangan orangnya.

Dato’ Laksamana Orang Kaya Tun Tuah serta sahabat dan adik beradiknya dan akan terus menyanggah dan membuktikan bahawasanya kata-kata Professor Emeritus Datuk Dr. Khoo Kay Kim dan angkatan sarjana kedai kopi beliau ADALAH SALAH SAMA SEKALI! – Akan tetapi.. Misi terakhir itu nanti akan lebih dari itu.. Akan lebih besar dari itu semua hal-ehwal duniawi.. Dan mengenai Hang Tuah lima bersaudara itu, mereka-mereka akan terus hidup selamanya dalam jiwa setiap anak-anak Melayu yang masih tebal jatidiri Kemelayuan mereka dan Hang Tuah lima bersaudara itu terus hidup dan tiada mati..!

Allahumasoli’ala Muhammad, Wa’ali Muhammad!
Takbir solawat! 313.99.9.3


Bukan balang-balang Hulubalang.. Hulubalang terbilang jitu! Bukan barang-barang Penjurit.. Penjurit-Kepetangan juga yang tahu bahawa ‘Kepetangan’ itu adalah penamat ilmu kau dan aku..!!



AMUKANMELAYU - Bangun dan BERLAWAN atau menunggu kematian. Kematian itu PASTI DATANG. Bagaimana untuk ISLAMELAYU hendak menunggu atau mencari KEMATIANnya.