Monday, 26 May 2014

PENDEKAR SUFI - Mat Salleh Pahlawan Sabah



Mat Salleh atau nama sebenarnya Datu Mat Salleh merupakan pejuang Sabah yang terkenal dalam memberi tentangan yang hebat kepada penjajahan Inggeris di Sabah. Mat Salleh pernah mengisytiharkan daerah Tambunan atau dalam bahasa Mat Salleh 'Negeri Tambunan' sebagai daerah di bawah kekuasaannya. Mat Salleh berasal daripada suku Suluk Paitan. Ayahnya, Datu Balu berkahwin di Inanam dengan suku Bajau. Hasil daripada perkahwinan mereka itu lahirlah empat orang adik-beradik iaitu Ali, Mat Salleh, Badin dan Bolong. Datu Mat Salleh mengambil tugas bapanya, Datu Balu sebagai ketua kampung di daerah Lingkabo dan Sungai Sugut. Perbelanjaan pentadbiran Datu Mat Salleh adalah daripada pungutan cukai ke atas pedagang-pedagang yang melalui Sungai Sugut pada tahun 1894. Inggeris tidak senang dengan tindakan Mat Salleh itu, lalu menyerang Mat Salleh di Jambongan serta memusnahkan kubu Mat Salleh di Sungai Sugut pada tahun 1896 hingga 1897.

Datu Mat Salleh bagaimanapun dapat melepaskan diri. Detik perjuangan Datu Mat Salleh menentang pencerobohan dan keganasan Kompeni Hindia Timur Inggeris bermula pada bulan Julai 1897. Mat Salleh dan pengikut-pengikutnya menyerang dan membinasakan pejabat Pentadbiran Kompeni Hindia Timur Inggeris di Pulau Gaya. Dalam tahun yang sama Mat Salleh menyerang dan membakar Pejabat Residen Kompeni Hindia Timur Inggeris di Ambong. Pada bulan Disember 1897, Inggeris menyerang kubu Mat Salleh di Ranau. Mereka tewas dan banyak askar Inggeris terbunuh termasuk Jones yang mengetuai serangan tersebut. Pada bulan Januari 1898, Inggeris sekali lagi menyerang kubu Mat Salleh di Ranau dengan angkatan yang lebih besar. Mat Salleh berjaya mengundurkan diri dan membina kota pertahanan yang baru, yang lebih kuat dan kukuh di kampung Tibabar, Tambunan.
Setiap penjuru kota dikawal dan terdapat beberapa terowong atau jalan bawah tanah yang rahsia digunakan untuk meminta bantuan senjata, makanan dan lain-lain dari luar kota. Jalan rahsia ini juga dijadikan jalan untuk berundur menyelamatkan diri apabila dikepung musuh. Kejatuhan kota ini pada tahun 1900 akibat serangan hebat Kompeni Hindia Timur Inggeris dan berjaya mematahkan pertahanan Mat Salleh. Malah peristiwa itu menandakan gugurnya Mat Salleh sebagai pejuang bangsa.

Kini sebuah tugu dibina oleh Inggeris untuk memperingati kota Mat Salleh itu. Tugu ini menandakan tapak kubu Mat Salleh yang telah ditawan oleh Pasukan Bersenjata North Borneo Constabulary pada 1 Februari 1900. Dalam masa pertempuran itu, Mat Salleh yang telah mengetuai pemberontakan selama enam tahun menentang Pentadbiran Chartered Company menemui ajalnya pada 31 Januari 1900. Pada pandangan British, Mat Salleh dianggap sebagai seorang pemberontak, tetapi bagi rakyat tempatan, dia ialah pejuang kemerdekaan dan seorang pahlawan. 

Jejak: Mat Salleh pahlawan terbilang Melayu Sabah

Mat Salleh
Oleh Nasron Sira Rahim (nasron@bharian.com.my)petikan Berita Minggu 12 Ogos 2007

British bersetuju beri kuasa kepada anak pembesar Sulu tadbir Tambunan selepas berdamai pada April 1898

PEJUANG kebangsaan Sabah, Mat Salleh dikatakan memiliki ilmu kebatinan yang tinggi sehingga menyebabkan British gagal membunuhnya walaupun beberapa kali serangan hebat termasuk menggunakan meriam, dilancar terhadap tokoh itu.

Beliau juga dikatakan memiliki ilmu kebal menerusi baju jaket yang dipakainya menyebabkan jasad pahlawan itu tidak cedera serta membolehkannya meloloskan diri ketika serbuan British dilakukan terhadap kubunya.

Selain diri tokoh pahlawan itu, cerita aneh dan ganjil turut dikaitkan dengan isterinya iaitu Dayang Bandang apabila wanita itu dikatakan tidak boleh menjejak kaki ke tanah. Dayang yang juga saudara kepada Sultan Sulu, hanya bergerak ke sesuatu tempat dengan diusung.

Nama sebenar tokoh itu adalah Datu Mohamed Salleh Datu Balu dan dilahirkan di Kampung Inanam. Bapanya seorang pembesar Sulu dan pemerintah daerah Sungai Sugut manakala ibunya seorang wanita Bajau. Beliau mewarisi jawatan bapanya sebagai pembesar Sulu di Sungai Subuk dan Labuk.



Sejarah perjuangan Mat Salleh menentang British atau Syarikat Borneo Utara British (SBUB) bermula pada 1894 apabila bangsa asing yang menduduki Sabah itu mula memperkenalkan peraturan dan syarat yang membebankan penduduk.

British memperkenalkan peraturan baru seperti pengamalan buruh paksa serta mengenakan cukai beras dan perahu. Tugas mengutip cukai pula diambil alih oleh pegawai British menyebabkan kekuasaan pembesar negeri semakin terancam.

Selain itu, kebangkitan Mat Salleh menentang British berpunca daripada semangat perjuangan jihad orang Sulu yang menentang Sepanyol di Filipina.

Babak permulaan kepada perjuangan Mat Salleh bermula apabila dua peniaga Dayak dibunuh beberapa penduduk.

Seorang kerani di Pulau Jambongan iaitu Haji Otang mengadu kepada British kononnya penduduk yang membunuh peniaga Dayak itu adalah pengikut pembesar berkenaan. Turut diadukan adalah sikap Mat Salleh yang seolah-olah menentang British apabila masih memungut cukai daripada orang belayar di Sungai Sugut walaupun tugas itu sudah diambil alih British.

Aduan itu menyebabkan British mengeluarkan arahan supaya Mat Salleh ditangkap. Mat Salleh sebaliknya tampil menyerah diri dan membela dirinya menyebabkan British terpaksa membebaskannya.

Pada 17 Ogos 1895, Mat Salleh bersama beberapa ketua tempatan dari Sugut pergi ke Buli Sim-sim berhampiran Sandakan untuk berunding dengan Gabenor Borneo Utara British, CV Creagh mengenai masalah cukai dan lesen yang diperkenalkan British selain tindakan biadap pegawai SBUB terhadap penduduk tempatan.

Bagaimanapun, Creagh ketika itu tiada di kawasan berkenaan kerana sedang melawat Teluk Darvel. Ketiadaan ketua mereka menyebabkan pegawai British bertindak biadap apabila tidak melayan kehadiran rombongan Mat Salleh menyebabkan rombongan Mat Salleh terpaksa menunggu di muara selama dua hari.

Akhirnya mereka meninggalkan kawasan itu bersama perasaan amarah dan berasa terhina dengan perlakuan dan layanan British.

Sebaik Creagh kembali, pegawai British terbabit dipercayai memfitnah kononnya Mat Salleh bersama rombongannya, datang mengancam British menyebabkan lelaki asing itu membuta tuli mengarahkan Mat Salleh ditangkap.

Satu pasukan segera dihantar untuk menangkap pahlawan itu tetapi pasukan itu gagal mengesan kedudukan Mat Salleh. Berang dengan kegagalan mereka, pasukan British bertindak membakar dan memusnahkan kampung Mat Salleh serta merampas harta bendanya.

British juga mengisytiharkan Mat Salleh sebagai orang buruan dan ganjaran 500 ringgit diberikan kepada sesiapa yang berjaya menangkapnya.

Tindakan British itu yang cuba menjadikannya sebagai ‘kambing hitam’ menyebabkan Mat Salleh tidak lagi percaya akan ketelusan British. Tanpa melakukan apa-apa angkara, British menuduhnya mendatangkan ancaman malah memusnahkan kampung dan ingin menangkap dirinya.

Bagi mempertahankan diri berserta semangat jihad untuk mengusir penjajah, Mat Salleh kemudian mengangkat senjata dan mengisytiharkan peperangan dengan bangsa asing itu.

Serangan demi serangan berterusan dilancarkan kepada British. Mat Salleh turut membina beberapa kubu di Sungai Sugut dan Labuk bagi menangani serangan balas penjajah.

Menyedari yang Mat Salleh mula melancarkan serangan bersenjata, British melancarkan gerakan besar-besaran untuk menangkap pahlawan itu. Mereka mengutuskan satu pasukan diketuai Raffles Flint untuk menangkapnya tetapi gagal.

Pada 9 Julai 1897, Mat Salleh bersama pengikutnya dari Inanam dan Mengkabang bertindak menyerang dan memusnahkan balai polis dan bangunan kerajaan di Pulau Gaya.

Serangan itu berjaya mengalahkan British serta menaikkan semangat pejuang tempatan untuk mengusir penjajah dari bumi merdeka mereka. Selepas itu, Mat Salleh dan pengikutnya berundur ke Ranau dan di sana, beliau membina kubu yang kuat bagi meneruskan penentangan terhadap British.

Menyedari Mat Salleh bersungguh-sungguh untuk mengusir mereka dari bumi Borneo, British mula merancang strategi untuk menyerang balas dan memusnahkan kubu Mat Salleh.

Seterusnya angkatan perang penjajah itu dihantar menyerang kubu Mat Salleh pada 13 Disember 1897. Peperangan sengit tercetus menggegarkan bumi Ranau pada hari itu. Serangan demi serangan bagaimanapun menyebabkan British masih belum dapat memecah masuk ke dalam kubu berkenaan.

Bagaimanapun, British akhirnya memotong bekalan air menyebabkan pengikut Mat Salleh yang terkepung di dalam kubu kehausan dan tidak bertenaga untuk menentang askar British. British kemudian menyerbu masuk dan berjaya menawan kubu berkenaan.

Dalam serangan itu, bapa Mat Salleh terbunuh tetapi Mat Salleh berjaya mengundurkan diri. Kematian ayahnya menyebabkan kemarahan dan dendam Mat Salleh terhadap British semakin membara. Beliau terus melancarkan serangan demi serangan sehingga menyebabkan semakin ramai askar British terkorban.

British pula semakin tertekan dan gentar memikirkan kekuatan dan kehebatan Mat Salleh. Kegagalan untuk menangkap tokoh pahlawan itu menyebabkan mereka semakin tidak senang duduk. Pengaruh dan maruah mereka di Sabah juga semakin tercalar.

Akhirnya, ketakutan terhadap pahlawan itu menyebabkan British mengambil keputusan untuk berdamai dengan Mat Salleh pada April 1898. Satu rundingan diadakan dan antara isi perjanjian damai itu ialah British bersetuju memberi kuasa kepada Mat Salleh untuk mentadbir Tambunan secara bebas dan mereka tidak akan mengganggu pemerintahan pahlawan itu.

Pejuang kemerdekaan ditembak di Tambunan


UMPAMA biawak yang memiliki lidah bercabang, British akhirnya tidak mematuhi perjanjian damai yang dimeterai dengan Mat Salleh. Mereka kemudian berhasrat menduduki Tambunan yang sudah diserah kepada Mat Salleh menerusi perjanjian berkenaan.

Pencabulan perjanjian itu menyebabkan Mat Salleh tidak lagi mempercayai British. Mat Salleh mempertikaikan tindakan British dan mengugut akan membebaskan Sandakan dan Labuan daripada penjajahan bangsa asing itu jika mereka ingin menyerang Tambunan.

Pada 31 Disember 1899, kubu Mat Salleh di Tambunan digempur habis-habisan oleh British yang ingin merampas dan menjajah kawasan itu.

Satu pasukan terdiri daripada 140 askar diketuai Kapten Harrington bersama sebuah meriam besar menyerang perkampungan Mat Salleh sehingga pertempuran itu berlarutan selama sebulan.

Serangan terutama menerusi ledakan meriam itu menyebabkan beberapa kampung sekitar kubu Mat Salleh di Tibaba, musnah dan berjaya ditawan bangsa asing itu.

Pada 15 Januari 1900, kubu kuat milik orang Murut Tega’as dan kubu Mat Sator iaitu penolong Mat Salleh berjaya dimusnahkan British menyebabkan saki baki pahlawan hanya tinggal kumpulan Mat Salleh bersama pengikutnya yang terdiri daripada orang Bajau serta dua kubunya saja.

Pada 31 Januari 1900, British melepaskan tembakan meriam ke arah kubu Mat Salleh tanpa henti. Serangan bertali arus itu menyebabkan Mat Salleh terbunuh apabila ditembak ketika keluar dari sebuah lubang dalam kubu pertahanannya.

Mengikut cerita, Mat Salleh mati ditembak Tambunan ketika pahlawan itu tidak memakai baju kebalnya kerana ingin mengambil air wuduk bagi persiapan untuk menunaikan solat.

Hari itu, matinya seorang pahlawan yang gigih berusaha membela bangsa dan tanah air daripada dijajah bangsa asing.

Jasanya terus dikenang sehingga kini sebagai sebahagian daripada sejarah Sabah dan beberapa tugu antaranya di Kampung Tibaba, Tambunan dibina sempena memperingati pertempuran terakhir Mat Salleh dengan British.

Muzium Sabah juga membina sebuah memorial di kampung itu yang antara lain, isi kandungan pameran di memorial itu meliputi sejarah perjuangan Mat Salleh serta peralatan yang pernah digunakan pahlawan itu seperti senjata, batu asah, gambar, ilustrasi, catatan berkaitan serta serpihan tembikar.

Walaupun perjuangannya berakhir dengan kematian, nama dan pengorbanannya terus diingati penduduk negara ini umumnya dan masyarakat Sabah khususnya, sehingga apabila ditanya siapakah pejuang kemerdekaan negara di Sabah, pasti mereka akan menjawab: “Mat Salleh.”

Sumber: Sejarah ringkas Sabah; Perjuangan Mat Salleh di Sabah; Mat Salleh pahlawan Sabah; Sejarah Malaysia; www.mzm.sabah.gov.my (laman web Muzium Sabah).

FAKTA:
Antara syarat perjanjian damai British-Mat Salleh pada 19 April 1898.

# British berdamai dengan Mat Salleh pada April 1898. Satu rundingan diadakan dan penjajah bersetuju memberi kuasa kepada pahlawan Sabah mentadbir Tambunan.

# Mat Salleh dan pengikutnya yang menentang British diberi pengampunan.

# Penduduk di Sungai Inanam yang dikeluarkan dari tempat itu oleh kerajaan dibenarkan kembali selepas kekacauan di tempat itu dapat dihentikan.

# Mat Salleh dibenar menetap di Tambunan dan lain-lain daerah di pedalaman kecuali di Sungai Sugut dan Sungai Labuk. Beliau juga diminta memberi kerjasama dan mengarahkan pengikutnya mengikut arahan dan peraturan kerajaan.

# Mat Salleh diminta membantu kerajaan menangkap sesiapa saja yang melakukan kesalahan dan melaporkan kepada kerajaan segala pergerakan yang dilakukan olehnya.



AMUKANMELAYU - Pejuang sentiasa di ingati, jika kita sudah melupai pejuang....ini berti penjajahan akan berlaku lagi