Friday, 4 September 2015

KITA ORANG MELAYU ANAKKU - BUSANA MELAYU


Satria Bangsa's photo.
HULUBALANG MELAYU

KOD BUSANA MELAYU ERA KESULTANAN MELAYU MELAKA
Pemahaman Busana Tradisional Melayu (Adat & Adab)

1. Pemakaian Baju Melayu telah di ‘ kuat-kuasa ’ kan sewaktu pemerintahan Sultan Muhammad Syah (1424-1444) – Sultan ketiga dari empayar Kesultanan Melayu Melaka. Beliau telah mengeluarkan satu bentuk titah yang melarang orang-orang Melayu memakai cara Atas Angin (Arab, India & Eropah) serta cara Bawah Angin (China & Khmer). Pada hari Jumaat juga semua lelaki Melayu di kehendaki pergi ke Masjid dengan memakai sepersalinan bersih dan cantik lengkap bertanjak dengan wangian kasturi. Pemakaian serban Arab bagi lelaki Melayu hanya dibenarkan di dalam masjid sahaja.


2. Asal baju Melayu & baju sikap / layang adalah berlengan pendek (3 suku). Ada juga baju Melayu yang di buat tidak berlengan. Asal seluar Melayu juga adalah pendek separas betis kaki. Pada zaman Bendahara Paduka Raja Abdul Jalil diangkat menjadi Sultan Johor setelah mangkatnya Sultan Mahmud II (Mangkat dijulang ) pada tahun 1699, beliau telah mengubah pemakaian baju dan seluar dengan memanjangkan kain sehingga ke pangkal lengan (baju) dan ke pangkal buku lali (seluar). Semua buatan baju Melayu dan seluar adalah berkekek dan berpesak.

3. Baju sikap / baju layang pula hanya boleh dipakai oleh golongan Bangsawan yang berdarah Raja dan juga orang-orang yang di anugerahi gelaran seperti Datuk, Tun dan sebagainya. Jadinya bukan semua orang boleh memakai baju sikap ini.

4. Pemakaian tanjak / destar / ikat kepala juga telah ditetapkan mengikut darjat dan pangkat masing-masing dari jenis kain yang digunakan sehingga cara ikatan dan lipatan. Puncak tanjak yang dipanggil ‘Daun’ pula dihalakan ke sebelah kiri bagi rakyat biasa dan ke sebelah kanan (atau duduk) di tengah-tengah bagi golongan bangsawan dan Di Raja. Manakala ekor tanjak yang disebut ‘pucuk’ pula perlu disimpan ke dalam bagi semua lapisan rakyat jelata melainkan 2 golongan sahaja iaitu Raja (termasuk ahli keluarga) dan Laksamana. Pucuk ini adalah lambang kuasa yang ada pada seseorang. Begitu juga dengan lapisan ‘ tingkat ’ lipatan.. makin besar darjat dan pangkat seseorang, makin tinggi lipatan tanjaknya.

5. Baju Melayu asalnya semua dicipta dengan gaya leher ‘ teluk belanga ’. Baju cekak musang hanya boleh dipakai oleh Raja atau Sultan sahaja.

6. Bagi jenis-jenis seluar pula, terdapat pelbagai rekaan dalam alam Melayu. Golongan panglima, pahlawan dan sebagainya gemar mengenakan seluar dari gaya ‘ Gunting Aceh ’ yang mempunyai buatan kekek yang amat besar (kelihatan seperti kain sarung), manakala bagi orang-orang lain termasuk Sultan, mereka hanya mengenakan seluar biasa dari gaya ‘ Gunting Cina ’
.
7. Pemakaian sampin pula adalah wajib bagi semua golongan di dalam istana. Di luar istana pula adalah ‘optional’. Bagi penduduk asal kawasan-kawasan tertentu, kebanyakkan mereka mengenakan sampin dengan cara ‘Berdagang Dalam’ (kain sampin dipakai di bawah baju Melayu macam style Orang Johor sekarang – Baju di luar) manakala bagi golongan pedagang yang bukan berasal dari situ pula mengenakan sampin cara ‘Berdagang Luar’ (kain sampin dipakai di atas baju Melayu – Baju di selit ke dalam kain). Dengan cara ini orang-orang Melayu dahulu kala dengan mudah mengenali siapa pedagang luar dan siapa penduduk asal sesuatu tempat. Cara mengikat sampin juga dibahagikan dalam 3 cara mengikut pangkat dan darjat iaitu:

a. Ikatan pancung (Raja, Sultan dan Kerabat sahaja)
b. Ikatan kembung (Pembesar dan orang-orang bergelar)
c. Ikatan lingkup (orang kebanyakkan)
Begitulah unik dan indahnya kod-kod dan etika pemakaian Melayu bilamana kita terus dapat mengenali status seseorang, asal usulnya dengan hanya melihat cara ia berpakaian..

Sumber artikel : www.thepatriots.my

SEJARAH PAKAIAN TRADISIONAL MELAYU

Orang Melayu tempatan pra sejarah sudah mempunyai kemahiran membuat pakaian daripada kulit kayu melalui bukti batu penerap yang ditemui. Dipercayai, batu penerap itu digunakan sebagai penumbuk kulit kayu supaya menjadi lembut dan nipis.
Sebelum kedatangan Islam, pengaruh Hindu-Buddha masih kuat ke atas masyarakat Melayu.  Masyarakat tempatan pada masa itu, memakai pakaian yang amat ringkas. Mereka hanya menutup di bahagian tertentu tubuh. Kaum lelaki hanya menggunakan 2 helai kain iaitu kain di kepala yang diikat ringkas dan kain sarung dikilas atau kain sarung dijadikan cawat.  

Pakaian sebegini sesuai dan selesa dipakai dalam cuaca panas kawasan tropika.  Kaum wanita pula hanya menggunakan 3 helai kain; iaitu kain sarung, kain kemban dan kain selendang. Perbezaan golongan wanita bangsawan dengan rakyat adalah golongan bangsawan menggunakan kain daripada jenis yang mahal dan indah serta memakai perhiasan keemasan. Dapat dilihat jurang sosial yang wujud dari cara berpakaian masyarakat, semenjak sebelum kedatangan Islam.
Pengaruh Islam sekitar abad ketujuh yang antaranya dibawa oleh pedagang-pedagang Arab melalui kegiatan perdagangan, secara tidak langsung mempengaruhi reka bentuk pakaian tradisional masyarakat Melayu secara berperingkat-peringkat. Dari abad ketujuh hingga ke-13, adalah satu tempoh transisi dan penyesuaian yang panjang.  Walaupun agama Islam telah tersebar di alam Melayu, namun pengaruh Hindu-Buddha masih kuat..  

Dari segi pakaian, masyarakat tempatan mula berpakaian secara sopan dengan menutup badan mereka dengan baju. Kaum wanita dan lelaki memakai baju berbentuk tunik pendek berkain kapas hijau dengan bahagian bawah dililitkan dengan kain sari sutera.
Baju tunik adalah baju yang ditebuk di bahagian leher supaya memudahkan pemakainya menyarungkan baju ini melalui leher, seperti ketika memakai baju kurung.
Selain baju tunik, seperti yang telah disebutkan di atas, ada juga baju yang berlengan pendek, berleher tunik juga dan berkancing sebutir butang emas. Baju ini dinamakan baju alang. Baju alang ini dipakai oleh raja-raja sebagai baju basahan.
Selepas abad yang ke-13 baharulah pengaruh Islam menampakkan kesannya. Agama Islam mula dihayati oleh masyarakat tempatan. Pakaian masyarakat tempatan mula dipengaruhi pakaian orang Arab seperti pemakaian jubah.
Proses evolusi pakaian Melayu mencapai tahap tertinggi pada zaman kerajaan Melayu Melaka. Bermula dari istana-istana raja, bangsa Melayu mencapai zaman kegemilangannya dan sehingga sekarang warisan budayanya masih menjadi sumber inspirasi kepada bangsa Melayu. 

Seperti yang tercatat dalam buku Sejarah Melayu, ada menceritakan bahawa Tun Hassan (yang hidup semasa pemerintahan Sultan Mahmud Shah) adalah orang yang pertama yang mengubah bentuk baju Melayu asal kepada bentuk baju Melayu yang dipakai sekarang. Tun Hassan telah melabuhkan baju Melayu serta membesarkan dan memanjangkan pangkal tangan baju Melayu. Baju itu dinamakan baju kurung. Dengan melabuhkan baju tersebut, bentuk rupa pakaian Melayu serupa dengan bentuk rupa jubah, pakaian orang Arab.
Sekiranya kaum lelaki memakai baju kurung dengan seluar panjang dan kain sarung yang diikat di pinggang hingga ke paras lutut, kaum wanita pula memakai baju kurung dengan kain sarung. Kaum wanita juga telah mula memakai kelubung untuk menutup kepala yang terdedah semasa keluar rumah. 

Pada waktu itu, wanita - wanita yang berkelubung terdiri daripada golongan istana, bangsawan, anak-anak yang keluarganya ialah guru-guru mengaji.

REVOLUSI PAKAIAN TRADISIONAL MELAYU
             
Proses evolusi pakaian tradisional Melayu turut berlaku pada zaman penjajahan Barat di Asia Tenggara. Pereka pakaian Melayu mulai menyerapkan ciri-ciri Barat yang dianggap sesuai ke pakaian tradisional Melayu. 

Pakaian bagi kaum lelaki, pada zaman penjajahan British adalah, seperti pakaian baju labuh berkolar dengan kain sarung atau pakaian kot, vest, seluar panjang serta kain samping. Bagi golongan raja-raja pula, pakaian kot berbutang emas atau logam berbaris yang mengancing baju yang terbuka di bahagian hadapan, seluar panjang berfesyen Inggeris serta memakai pedang.   

Ada juga yang memakai hiasan jam berantai. Bagi kaum wanita pula, terutama sekali golongan bangsawan, baju kurungnya masih dikekalkan dalam bentuk labuh dan longgar. Baju kurung ini dikenakan dengan kain ikatan ‘ombak mengalun’. Selain baju kurung, ada juga ‘baju labuh’ yang berbelah di hadapan. Bagi golongan istana atau golongan bangsawan, penggunaan aksesori seperti kerongsang sering dipadankan dengan pakaian mereka.
Terdapat pelbagai jenis baju tradisional Melayu yang telah melalui evolusi.Fesyen baju tradisional ini telah dipakai oleh golongan istana atau golongan bangsawan dan kemudian menjadi ikutan rakyat biasa.  Akhirnya, reka bentuk pakaian tradisional Melayu antara golongan istana dengan rakyat hampir serupa, hanya jenis kain serta aksesori yang digunakan berbeza.
Dahulu, anugerah raja kepada rakyat yang telah berjasa adalah berupa bahan pakaian.  Ada diriwayatkan dalam sejarah Melayu, seorang hamba raja menerima anugerah sepersalinan pakaian. Sepersalinan pakaian itu sebenarnya merupakan bekas pakaian yang pernah dipakai raja.  Anugerah sepersalinan pakaian dianggap tinggi kerana nilai sosial yang ada pada masyarakat menganggap apa sahaja yang menjadi budaya diraja, sebagai suatu yang mulia. 

Sebenarnya anugerah sebegini dapat memperkukuhkan kedudukan raja kerana raja tidak akan memakai atau mengambil sesuatu yang pernah menjadi bekas rakyat tetapi sebaliknya, rakyat boleh mengambil sesuatu yang menjadi bekas raja melalui anugerah raja. 
Rakyat zaman dahulu juga tidak dibenarkan memakai kain berwarna kuning dan tidak boleh memakai perhiasan diri serta kain sutera berwarna kuning dan sutera putih.  Tercermin pengaruh Hindu yang menganggap warna kuning sebagai warna keramat yang khusus untuk golongan bangsawan.
Bagi orang Melayu, pakaian memainkan peranan penting sebagai suatu yang amat berharga dan disanjung tinggi.  Justeru banyaklah ungkapan yang menggunakan istilah ‘kain dipakai’ untuk menerangkan nilai yang ada pada seseorang.  Sebagai contoh, ungkapan ‘jika buruk kain dipakai, buruklah sifat seseorang itu’.  

Namun ungkapan ini bukan bermaksud menghina golongan yang tidak berkemampuan memakai pakaian cantik.  Apa yang dimaksudkan dengan buruk kain dipakai adalah cara seseorang itu mengikat kain.  Jika tidak teliti dan mahir, kain akan kelihatan berkedut dan tidak rapi.  Simboliknya, memaparkan nilai yang ada pada si pemakai sebagai seseorang yang tidak tahu mengurus diri dengan baik, tidak sabar dan kurang teliti.

JENIS PAKAIAN TRADISIONAL MELAYU

Citra pakaian tradisional Melayu begitu penting sehinggakan sebarang perubahan, penyesuaian dan gubahan yang dilakukan terhadap pakaian tradisional tidak boleh lari dari citra asalnya.  Buktinya, baju Melayu tetap memantulkan keperibadian Melayu dan terus dipakai hingga kini.
Baju Kurung Teluk Belanga
            Menurut Dato’ Haji Muhammad Said Haji Sulaiman, dalam bukunya Pakaian Patut Melayu, pakaian baju kurung yang dipakai sehingga sekarang berasal dari negeri Johor. Menurut beliau, pakaian tradisional ini dipakai di negeri Johor sejak zaman pemerintahan Almarhum Sultan Abu Bakar; iaitu pada tahun 1800 di Teluk Belanga, Singapura. 
Pada masa itu Teluk Belanga di bawah pemerintahan negeri Johor. Orang Johor telah mengubah suai pakaian Melayu di bahagian leher dengan menjahit “tulang belut” dan “sembat halus” pada seluruh baju kurung itu; supaya kelihatan lebih kemas dan menarik. Baju kurung Teluk Belanga mempunyai leher berbentuk bulat dan belahan di hadapan. Pada bahagian pangkal belahan dibuat tempat pengancing baju iaitu ‘rumah kancing’ dengan menggunakan jahitan benang. Rumah kancing dibuat dengan jahitan ‘insang pari’. 
Baju kurung Teluk Belanga memerlukan bahagian lehernya dikancing dengan sebutir butang yang berwarna emas atau perak. Bagi kaum lelaki, baju ini dipadankan dengan seluar serta kain samping dagang.  Ciri-ciri ini telah memperlihatkan keunikan identiti baju kurung orang Johor. Bagi kaum wanita, mereka biasanya memakai butang berbatu berlian atau batu lain yang bernilai. Kini, kaum wanita gemar menggunakan keronsang kecil sebagai pengganti butang baju kurung. Baju kurung ini dipakai dengan kain sarung ikatan ‘ombak mengalun’.

Baju Kurung Cekak Musang     
 Baju kurung telah mengalami pelbagai perubahan sejak dari mula baju ini dicipta. Baju kurung yang ditambah dengan leher berdiri; dinamakan baju kurung cekak musang atau baju wan. Baju ini telah dipengaruhi oleh baju gamis atau kamis (jubah jemaah haji yang pulang dari Makkah). Jubah ini telah dipendekkan ke paras punggung supaya selesa dipakai.   

Poketnya dijahit serupa dengan baju kurung Teluk Belanga. Bahagian leher baju kurung cekak musang ini dikancing dengan tiga, lima, tujuh atau sembilan butir butang. Bahagian leher ini tidak dijahit tulang belut halus. Bagi kaum lelaki, baju ini dipadankan dengan seluar potong Melayu dengan kain samping dagang luar.  Bagi kaum wanita pula, baju kurung cekak musang juga dipakai dengan kain sarung ikatan ‘ombak mengalun’.
Seluar
Pakaian seluar diperkenalkan oleh saudagar Arab, Parsi dan India Muslim. Semasa pemerintahan Sultan Mahmud Shah, seluar menjadi popular di kalangan pembesar dan orang istana. Ini kerana pembuatan seluar pada masa itu memerlukan kepakaran penjahit dan kain yang banyak. Hanya golongan berada yang mampu memakainya.
Golongan bangsawan  memakai seluar potongan Acheh, manakala rakyat biasa menggunakan dua jenis potongan seluar iaitu seluar ‘gunting Melayu’ dan seluar ‘gunting Cina’. Seluar potongan gunting Melayu mempunyai potongan yang paling ringkas dan memudahkan pergerakan lasak.
Kain Sarung
            Pada masa dahulu, terdapat satu lagi kain sarung yang dinamakan ‘kain dagang’.Kain ini dipakai oleh kaum wanita sebagai kain tudung. Kain dagang ini digunakan untuk melindungi diri daripada cahaya matahari dan daripada pandangan lelaki. Apabila sampai di rumah, kain ini diikat pada pinggang sahaja. Dahulu, kain sarung wanita ini boleh juga menjadi senjata kaum wanita jika diserang.
Baju Kurung Moden
            Baju kurung moden mempunyai ciri-ciri yang berlainan dengan baju kurung tradisional. Baju kurung moden digubah supaya kelihatan kemas dan menarik. Ia tidak gelobor seperti baju kurung tradisional. Ini kerana baju kurung moden mempunyai jahitan kekek dan pesak pada bahagian sisi baju. Namun, ciri-ciri utama masih dipelihara. Sebagai contoh, pakaian ini masih berlengan panjang dan masih digunakan dengan kain sarung.
Baju Kebaya
 

KEBAYA NYONYA
KEBAYA
            Baju belah telah melalui evolusi kerana telah terpengaruh dengan pakaian wanita Barat. Baju belah yang asalnya gelobor dan labuh kini mulai berubah dengan bentuk yang lebih kemas. Potongan baju menjadi ramping di pinggang serta labuh baju disingkatkan sedikit. Nama yang sesuai telah mengiringi perubahan baju belah ini menjadi baju kebaya.
            Baju kebaya mempunyai dua versi iaitu baju kebaya labuh dan baju kebaya pendek. Baju kebaya labuh dikecilkan sedikit untuk mengikut bentuk badan si pemakai. Kain sarung diikat secara ikatan kuncup, iaitu kepala kainnya dilingkup ke bahagian hadapan. Baju kebaya ini dipakai dengan kancing berbunga atau kerongsang yang beransingan atau yang berantai.
            Baju kebaya pendek pula, telah diubahsuai untuk kelihatan lebih menarik dengan mengadakan sulaman berbiku di bahagian hujung lengan, dan di tepi bahagian belahan serta di bucu baju.  
Baju kebaya moden telah mula dipakai orang Melayu sebelum Perang Dunia Kedua. Walaupun dinamakan baju kebaya moden, namun ciri-ciri kemelayuannya masih ada kerana baju itu dipakai dengan kain. 

Baju kebaya moden ini adalah baju kebaya pendek yang ketat dan dipadankan dengan kain ikatan secara wiron. Baju ini mendedahkan bahagian leher dan dada serta berzip di sebelah belakang badan. Kain yang biasa digunakan adalah kain batik lepas yang dililit mengikut bentuk badan. Hujung punca kain di bahagian hadapan diikat seperti kipas.
Pada tahun 1960an, baju kebaya moden dipadankan dengan kain yang ketat dan dibahagian hadapan kain dibuat satu belahan hingga ke paras lutut untuk memudahkan pergerakan.  Apabila pemakainya mengatur langkah, betisnya akan kelihatan.
Pada akhir tahun 1970an, baju kebaya moden tidak digemari.  Fesyen pakaian itu berubah kepada bentuk lebih longgar dan manis dilihat. Kebaya ini masih dipadankan dengan kain yang berbelah, tetapi selisih kain di bahagian belahan dilebarkan supaya betis tidak kelihatan.
            Dewasa ini, baju kebaya turut dipadankan dengan seluar. Seluar itu akan dikecilkan sedikit pada bahagian buku lali. Ini bagi membolehkan si pemakai bergerak bebas.
Pakaian Tradisional Melayu
BAJU KURUNG
BAJU KURUNG
Sebelum kurun ke-20, wanita Melayu hanya memakai kain kemban sahaja. Setelah kedatangan Islam, mereka mula memakai baju kurung yang sopan. Baju kurung lazimnya diketahui sebagai jenis baju longgar yang labuh, kadang kala hingga ke lutut dan dipadankan dengan kain panjang yang berlipat tepi. Baju tersebut meliputi seluruh tubuh, memperlihatkan wajah dan tangan sahaja, dilihat sebagai mematuhi peraturan pakaian Islam. 

Baju kurung boleh dipadankan dengan kain tradisional seperti songket atau batik. Digandingkan dengan kain selendang atau tudung kepala. Baju kurung sesuai dipakai dalam majlis-majlis formal atau urusan seharian.
BAJU MELAYU
BAJU MELAYU
Pakaian tradisional bagi kaum lelaki Melayu ialah baju Melayu. Baju Melayu merupakan kameja longgar yang dipakai dengan seluar panjang. Pakaian ini selalunya dipadankan dengan kain samping yang diikat di bahagian pinggang dan bersongkok. Baju Melayu bagi rakyat Malaysia terbahagi kepada dua iaitu baju Melayu potongan Teluk Belanga dan baju Melayu potongan cekak musang. 
Potongan tersebut merujuk kepada cara jahitan pada leher baju tersebut. Baju Melayu Teluk Belanga biasanya terkenal di kawasan selatan Malaysia. Potongan Teluk Belanga potongan lehernya dijahit secara sulaman. Cara memakai baju Melayu Teluk Belanga biasanya samping dipakai di sebelah dalam baju. 
Potongan Cekak Musang lebih terkenal di kawasan tengah dan utara Malaysia. Potongan Cekak Musang iaitu bahagian penutup atau rumah butangnya bertindan. Cara memakai baju Melayu Cekak Musang ialah samping di sebelah luar baju.


AMUKANMelayu - Tak puas di pandang tak jemu di TATANG........