Monday, 21 May 2012

BRUNEI - Benteng terakhir KERAJAAN MELAYU BERAJA......





Ketegasan dan DAULAT Baginda Tuanku menjadikan BRUNEI HAK MUTLAK Islamelayu

PANJI NEGARA BRUNEI DARULSALAM



MELAYU ISLAM BERAJA
dari perspektif sejarah Brunei

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ketika bertitah di Majlis Kesyukuran Sempena Hari Keputeraan Baginda  Anjuran Orang-Orang Yang Dikurniai Gelaran di Hotel Antarabangsa Rizqun pada 2 September 2006 antara lain baginda bertitah:

"Maka beta rasa, di sinilah peranan paling mencabar orang-orang bergelar, untuk membetulkan sebarang tanggapan salah oleh generasi baru terhadap warisan-warisan tradisi. Di antaranya yang disalah anggap itu ialah konsep Melayu Islam Beraja. Beta tidak faham mengapa orang harus mempertikaikannya? Mempertikaikan konsep ini bererti kita mempertikaikan diri kita sendiri, dan sekali gus juga mempertikaikan sejarah asal usul".



Dalam usaha untuk menanam dan menyemai nilai-nilai falsafah negara Melayu Islam Beraja, Jabatan Penerangan tanpa jemu-jemu terus bekerjasama dengan institusi-institusi kerajaan dalam menyahut titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam untuk mengasuh dan mendidik generasi muda masa kini supaya memahami dan mengetahui tentang sistem sosiobudaya dan politik negara ini demi survival bangsa dan negara. Dalam hal ini, Jabatan Penerangan sentiasa memberi kerjasama dengan semua pihak ke arah mencapai matlamat kewujudan satu negara yang aman damai berlandaskan falsafah Melayu Islam Beraja. Pengarah Penerangan, Dr. Muhammad Hadi bin Muhammad Melayong telah diberi kesempatan untuk membentangkan dua tajuk kertas kepada 66 mahasiswa tahun pertama yang mengambil mata pelajaran Melayu Islam Beraja. Kertas kerja tersebut bertajuk Kesultanan Melayu Islam Brunei dan Kedatangan dan Perkembangan Islam di Brunei.Menjadi Melayu Islam Beraja menjadi satu mata pelajaran wajib dalam kursus ijazah yang ditawarkan oleh Institut Teknologi Brunei adalah merupakan satu tindakan yang bijak yang bertepatan dengan titah baginda sultan dalam memelihara dan mengekalkan survival bangsa Melayu Brunei di masa akan datang.
Langkah yang telah di ambil oleh Institut Teknologi Brunei mengadakan kursus Melayu Islam Beraja kepada mahasiswa yang mengikuti kursus berijazah adalah adalah juga selaras dengan dasar pendidikan SPN21 untuk membentuk dan melahirkan generasi muda Brunei yang mempunyai ciri-ciri kebruneian yang mencintai bangsa, raja dan agama Islam untuk kesempurnaan hidup di dunia dan akhirat.


DI ANTARA mahasiswi Institut Teknologi Tahun 1 yang hadir untuk mendengar pembentangan kertas kerja yang bertajuk Kesultanan Melayu Islam. Meskipun mata pelajaran ini merupakan satu kursus yang baru, tetapi mereka dapat memahami dan mengikuti perbincangan yang diadakan secara berkesan.

Dalam kertas kerja yang bertajuk Kesultanan Melayu Islam Brunei, Dr. Muhammad Hadi membincangkan tentang kewujudan pemerintahan Kesultanan Melayu Islam dari sudut sejarah. Menurut beliau dengan pertapakan agama Islam secara rasmi di Brunei pada TM 1368 melalui pengislaman Sultan Muhammad Shah yang sebelum ini baginda bergelar Awang Alak Betatar dan berkahwin dengan puteri Johor (Singapura Tua) maka bermula satu Kerajaan Kesultanan Melayu Islam di Brunei yang terus diwarisi sehingga ke hari ini.
Salasilah Raja-Raja Brunei versi Al-Marhum Pengiran Di-Gadong Sahibul Mal Pengiran Haji Muhammad Salleh ada menyebutkan tentang pengislaman Sultan Muhammad Shah:
… kemudian kedengaran khabar ada Raja di negeri Brunei namanya Awang Alak Betatar … maka dipanggil…ke Johor. Maka dibuatkan menantu bernama Paduka Seri Sultan Muhammad…Yang pertama-tama kerajaan di Negeri Brunei membawa hukum Islam mengikut syariat Nabi Kita Muhammad Mustafa Sallallahu Alaihi wa Sallam di Negeri Brunei iaitu Paduka Sultan Muhammad…
Di Bandar Seri Begawan juga turut mencatatkan tentang pengislaman Sultan Muhammad Shah:
… samping itu, Batu Tarsilah yang terletak di Makam Diraja,adalah yang pertama kerajaan di negeri dan membawa agama Islam dan mengikut syariat Nabi kita Muhammad Sallallahu 'Alaihi wa Sallam iaitu Paduka Seri Sultan Muhammad…


BATU Tarsilah yang terletak di Kubah Makam Diraja, Bandar Seri Begawan, yang berusia hampir 200 tahun. Ia adalah merupakan bukti peninggalan sejarah yang amat penting sebagai bukti akan kewujudan Kerajaan Kesultanan Melayu Islam yang diasaskan oleh Sultan Muhammad pertama pada tahun 1368 masihi.

Penemuan Batu Bertulis yang dijumpai di Sungai Singapura bertarikh antara 10M-14M juga mengukuhkan lagi keterangan perkahwinan antara Awang Alak Betatar dengan puteri di Negeri Singapura Tua tersebut. Ini bermakna bahawa sudah wujud sebuah Kerajaan Kesultanan Melayu Islam di Brunei ketika itu setelah berlakunya perkahwinan Sultan Muhammad Shah dengan Puteri Johor (Singapura Tua) yang keturunan dari Sang Nila Utama yang telah pun menganuti agama Islam sebagaimana yang tercatat dalam buku Sejarah Melayu yang disusun oleh Tun Seri Lanang.
Kepastian tentang kewujudan sebuah kerajaan Islam di Teluk Brunei dalam akhir abad ke-14 memang tidak dapat disangkalkan lagi berdasarkan sumber catatan rekod China pada zaman pemerintahan Dinasti Ming (TM 1368-1543) yang menyebutkan bahawa Raja Poni (Brunei) pada masa itu bernama Ma-ha-mo-sa. Sebutan nama ini adalah merujuk kepada nama Sultan Brunei pertama Muhammad Shah. Turut dinyatakan juga bahawa pada bulan Ogos 1371 Raja Poni (Ma-ha-mo-sa) telah menghantar utusan ke China dengan membawa sepucuk surat berupa tulisan Hui-Ku (tulisan Jawi).


MAKAM Sultan Abdul Majid telah ditemui di Nanjing China pada tahun 1958.Baginda telah lindung di Nanjing pada tahun 1408 iaitu dalam pemerintahan Maharaja Zhu Dhi, Dinasti Ming.


PERJALANAN menuju ke Makam Sultan Abdul Majid di Nanjing China.

SULTAN Abdul Majid telah bertolak dari istana baginda di Kota Batu menuju ke Nanjing, istana Maharaja Zhu Dhi. Baginda Sultan Brunei yang pertama belayar ke luar negeri dengan usia yang muda iaitu 28 tahun bersama keluarga dan kerabat-kerabat diraja yang berjumlah hampir 150. Mereka menggunakan kapal dengan mengharung Laut China Selatan yang memakan masa hampir dua bulan. Setiba baginda di Istana Nanjing, Maharaja Zhu Dhi memberi penghormatan yang tinggi terhadap baginda.
Di samping kenyataan rekod China di zaman Dinasti Ming, kewujudan Islam di Brunei diperkukuhkan lagi dengan penemuan makam 'Sultan Abdul Majid (Ma-na-je-ka-na)' yang terletak di Nanjing, China pada tahun 1958. Makam ini telah menjawab pertanyaan mengenai kehadiran seorang raja dari Poni yang lindung di Istana Nanjing pada tahun 1408. Di Brunei sendiri penemuan batu nisan 'Rokayah binti Sultan Abdul Majid... ibnu Muhammad Shah Al-Sultan' bertarikh TM 1422 yang terletak di Perkuburan Islam, Jalan Residency, Bandar Seri Begawan adalah bukti menunjukkan bahawa Islam telah dianuti dan dijadikan pegangan oleh sebahagian penduduk di Brunei setelah pengislaman dan perkahwinan Sultan Muhammad Shah dengan Puteri Johor (Singapura Tua).


ROKAYAH adalah merupakan Puteri Sultan Abdul Majid dan cucu kepada Sultan Muhammad pertama. Batu nisan ini juga telah mengukuhkan lagi kenyataan sejarah akan kewujudan Kerajaan Melayu Islam di Brunei Darussalam.
Oleh yang demikian, Sultan Muhammad Shah adalah pengasas Kerajaan Kesultanan Melayu Islam di Teluk Brunei pada TM 1368 yang berkuasa mutlak di Pulau Borneo yang hanya satu-satunya masih kekal sehingga ke hari ini iaitu sebagai pewaris kesultanan Melayu Islam di Pulau Borneo.
Maka berdasarkan fakta-fakta sejarah falsafah negara Melayu Islam Beraja pada kenyataan memang telah wujud sejak dari abad ke-14 masihi. Sultan Muhmmad Shah adalah merupakan sultan pertama Brunei yang mengasaskan penubuhan sebuah kerajaan yang berfalsafah Melayu Islam Beraja yang terus dipertahankan sehingga ke hari ini.
Maka kenapa masih ada golongan yang mempertikaikan falsafah Melayu Islam Beraja, sedangkan fakta-fakta sejarah sudah cukup membuktikan akan kenyataannya, sebagaimana titah baginda sultan bahawa itu sejarah itu tidak pernah bohong.Maka terimalah kenyataan ini dan jadikanlah falsafah Melayu Islam Beraja itu sebagai baju sendiri yang dapat mencerminkan identiti bangsa Melayu Brunei bagi menghadapi arus era globalisasi masa kini untuk kesejahteraan hidup di dunia dan di akhirat.
(Berita dan Foto : Dr. Muhammad )


amukanmelayu - Sultan yang BERJIWA RAAYAT bukan jaminan NEGARA menjadi MILIK PENDATANG yang asalnya MENUMPANG.