Thursday, 10 January 2013

TAUBAT - ILMU PENYULUH JALAN VS KEKELIRUAN MENYESATKAN


BERTAUBAT

 

Artikel ini telah disiarkan di dalam akhbar Mingguan Malaysia pada 6 Januari, 2013.
1. Harun Din, pemimpin PAS menyuruh saya bertaubat kerana saya telah berkata dalam bahasa Inggeris “Better the devil you know than the angel you don’t”. 2. Mungkin kerana Harun Din tidak mahir dengan loghat pepatah Inggeris maka ia fikir ini bermakna saya sanggup bersama dengan syaitan. Makna sebenarnya pepatah ini ialah “lebih baik orang yang dikenali daripada orang yang tidak dikenali”.
3. Kalau Harun Din fikir saya bermaksud lebih baik saya bersama syaitan yang saya kenal daripada malaikat yang saya tidak kenal dan ini salah di sisi agama, maka dia bolehlah suruh saya bertaubat. Tak apalah.

4. Tetapi pada 24 Januari 1999, Nik Aziz berkata dengan jelas dalam bahasa Melayu yang saya yakin Harun Din tentu faham yang berbunyi seperti berikut, “siapa yang nak tolong Kerajaan Islam, kami sebagai pemimpin Islam mesti terima samada DAP, MCA dan MIC. Kalau nak tolong mengapa kita tolak. Jika DAP ikhlas nak tolong PAS saya terima. Usahkan DAP, syaitan pun boleh saya terima”. 5. Amat jelas dengan ini Nik Aziz sanggup terima pertolongan syaitan pun untuk Kerajaan Islamnya. Demikian pendirian Nik Aziz kerana kononnya begitu kuat perjuangannya untuk mendirikan Kerajaan Islam? Apakah jenis Kerajaan Islam hasil dari pertolongan syaitan sama-samalah kita fikir.
6. Harun Din nampaknya terima Kerajaan Islam yang didirikan dengan pertolongan syaitan. Sebab itu Harun Din tidak menegur Nik Aziz jauh sekali dari menuntut supaya ia bertaubat.
7. Saya tidak akan bertaubat kerana salahfaham Harun Din berkenaan dengan apa yang telah saya katakan. Sepatutnya Harun Din meminta maaf dari saya kerana salah fahamnya tentang apa yang saya perkatakan dalam Bahasa Inggeris. Dan saya akan maafkannya kerana manusia memang lemah dan tidak pernah bebas dari membuat kesalahan.
8. Orang Islam di Malaysia sebenarnya bernasib baik kerana kita semua menganggotai mazhab yang sama, iaitu kita dari mazhab Sunni yang berimam dengan Imam Shafie. Kita tidak sepatutnya berpecah seperti orang Islam di sesetengah negara Islam lain yang berpecah kepada Sunni dan Syiah dan sering bermusuh dan membunuh sesama mereka.
9. Malangnya persahabatan dan perpaduan orang Melayu Islam di Malaysia ini ditamatkan apabila Parti PAS ditubuh. Dalam keghairahan PAS untuk mendapat undi orang Melayu di Malaysia mereka sengaja menyalah tafsir agama Islam dan membuat dakwaan bahawa mereka sahaja yang Islam sehingga orang Melayu berpecah dan bermusuh sesama mereka.
10. Tuduhan yang pertama ialah orang UMNO kafir kerana mereka bekerjasama dengan orang kafir. Saya tidak percaya ada orang Melayu yang terima dakwaan ini. Ia tidak dibuat dengan cara yang mengikuti kehendak agama Islam. Tetapi rupa-rupanya tuduhan ini begitu berkesan sehingga berlaku sembahyang dua imam kerana kononnya imam orang yang tidak sokong PAS kafir, perkahwinan semula orang Melayu yang berkahwin sebelum PAS ditubuh, perkuburan berasingan bagi orang PAS kerana ibu bapa mereka sendiri yang dikebumikan di kubur lama dan orang UMNO tidak Islam, penolakan sembahyang jenazah orang UMNO dan penceraian serta perpecahan dalam keluarga kerana fahaman politik yang berbeza.
11. Kemudian Hj Hadi menokoktambah kepada perpecahan orang Melayu Islam dengan amanatnya. Hj Hadi mendakwa bahawa PAS menentang UMNO bukan kerana namanya UMNO tetapi kerana kononnya mengekalkan perlembagaan penjajah, kerana kononnya UMNO mengatakan politik suku agama suku.
12. Sesungguhnya perlembagaan itulah yang memberi kebebasan bersuara, berparti dan berpolitik kepada PAS. Dikebanyakkan negara yang diakui negara Islam tidak ada kebebasan seperti ini. Sepatutnya PAS menolak semua kebebasan ini. Tetapi sebaliknya PAS menggunakannya untuk memfitnah dan mengkafirkan orang UMNO. Islam menyuruh orang Islam setia kepada Allah, Rasul dan ulil amri, iaitu pemerintah. PAS sebenarnya tidak setia kepada ulil amri.
13. UMNO tidak pernah berkata politik suku agama suku. UMNO berpegang kepada ajaran bahawa Islam adalah Ad-deen, cara hidup. Cara hidup memang termasuk politik. Sebab itu UMNO berjuang untuk agama, bangsa dan tanah air. Habbul watan minnal iman.
14. Sebaliknya PAS sekarang menerima pemimpin orang kafir yang secara terbuka menolak negara Islam PAS serta pemimpin Pakatan yang percaya kepada kebebasan tanpa had serta pluralisme dalam agama dan kebebasan keluar dari agama Islam.
15. Tetapi UMNO tidak akan tuduh orang PAS sudah menjadi kafir. Selagi tidak ada dakwaan oleh tokoh-tokoh Islam yang tidak berkepentingan UMNO akan terima orang PAS sebagai orang Islam. Kita dalam UMNO masih ingin bersaudara dengan orang PAS seperti ditegaskan oleh agama Islam bahawa orang Islam itu adalah bersaudara. Perbezaan politik antara PAS dengan UMNO tidak bermakna pengasingan politik dari agama, atau agama suku politik suku. Perbezaan politik dikalangan orang Islam berlaku di mana-mana sahaja. Namun mereka semua masih Islam.
16. Tanpa bertaubat kerana berbagai kesalahannya disisi Islam, Nik Aziz telah memurtadkan tiga juta orang UMNO. Dakwaan ini dibuat olehnya tanpa usul periksa. Tidak ada kajian yang dibuat, samada secara ilmiah atau tidak. Ketidakadilan Nik Aziz jauh berbeza dari ajaran Islam yang menegas bahawa apabila kamu hukum, hukumlah dengan adil. Hakim tidak boleh terdiri dari orang yang teribat dan berpentingan. Memurtadkan orang UMNO adalah satu ketidakadilan disisi agama Islam.
17. Tetapi, Alhamdulillah, sudah ramai pemimpin dan ahli PAS yang sedar tentang kesalahan PAS dan pemimpinnya dari segi Islam.Mereka telah tidak lagi taksub dengan nama Islam yang diberi kepada Parti PAS. Mereka sedar PAS bukan berjuang untuk Islam. PAS hanya ingin memperalatkan Islam untuk kepentingan politik duniawi pemimpin-pemimpinnya.
18. Mereka yang keluar dari PAS ini berpeluang untuk benar-benar berjuang untuk agama Islam, berjuang untuk mengembangkan ajaran Islam yang sebenar, terutamanya untuk persaudaraan dalam Islam, tentang berpegang kepada tali Allah dan jangan bercerai-berai.
19. Saya tidak akan suruh Harun Din bertaubat. Tetapi Harun Din harus tanya hati kecilnya samada dia didorong oleh agama atau politik duniawi apabila menyuruh saya bertaubat dan tidak Nik Aziz.

amukanmelayu - bersekongkol dengan KAFIRUN perjuangan UMNO dan PAS menjadi sia-sia..............