Tuesday, 17 December 2013

PENYATUAN UMNO PAS MEMPERCEPATKAN MALAYSIA KE ARAH NEGARA ISLAM SEPENUHNYA


Penyatuan UMNO-PAS suatu realiti 

Ya Allah....jadilah ianya satu kenyataan
OLAK LEMPIT, Selasa 13 Saffar 1435 = 17hb Disember 2013, Rasanya seluruh Umat Islamelayu dan Malaikat yang sedang memerhatikan kita turut sama berdo'a agar semua yang kusut selama ini akan menjadi baik dan yang keruh kembali jernih dan yang tak bertegur sapa selama ini akan menggenggam irat tangan sahabat taulan.

Penulis melihat perkara ini amat di tunggu-tunggu setelah sekelian lama kita bercakaran dan saling menuding jari. Kita semakin tersisih walau pun di hujung usia. Penulis juga amat tertarik dengan coretan Datuk Ahmad Faris Abdul Halim untuk di kongsi bersama. Katanya Umat Islam sudah sampai masanya kembali ke landasan asal dan berpegang kepada tali Allah.
Usaha yang tidak pernah putus
Umat Islam di negara ini perlu mengambil iktibar hasil Pilihan Raya Umum Ke-13 pada 5 Mei 2013 lalu. Tidak perlulah kita membuang masa bercakaran sesama sendiri.


Jika kita berpecah-belah, terus bergelut dalam krisis yang berpanjangan dengan mahu menyingkirkan antara satu sama lain, tidak akan ke mana kemajuan umat Islam di Malaysia.


Adakah sesiapa bersetuju atau menyanggah kenyataan ini: “Menyokong atau memberi undi kepada pakatan pembangkang PKR-Pas-DAP akan memperkukuhkan umat Islam dalam Parlimen?


Jika semasa pilihan raya umum 2008, perbezaan antara Ahli Parlimen Islam dan bukan Islam pakatan pembangkang hanya enam orang. Tetapi pada PRU-13 bilangan anggota Parlimen bukan Islam pembangkang telah melebihi 17 orang. Pada PRU-13, bilangan Ahli Parlimen Islam dalam Parlimen adalah 137 orang.





Hanya yang ketara meningkat adalah Ahli Parlimen UMNO yang menambah 12 orang lagi Ahli Parlimen Islam, sementara bilangan Ahli Parlimen bukan Islam adalah 85 orang pada PRU-13.


DAP pula telah menambah 10 lagi kerusi bukan Islam.Sementara PKR yang tidak ketahuan hala tujunya untuk umat Islam negara ini pula, menambah lima orang lagi Ahli Parlimen bukan Islam berbanding pilihan raya umum 2008.


Rumusannya, mengundi pakatan pembangkang akan menguatkan lagi suara bukan Islam dalam Parlimen. Justeru, umat Islam harus sedar, ke manakah haluan negara ini bakal dibawa jika pengundian hanya dilakukan tanpa asas matematik yang kukuh tentang realiti umat Islam di Malaysia.


Atas sebab ini, umat Islam perlu melangkah ke depan. Barangkali kedudukan jumlah Ahli Parlimen UMNO dan Pas jika dicampurkan iaitu 89 UMNO dan 21 Pas akan menjadi kepada 110 kerusi, tetap masih belum mencapai majoriti 148.



Namun, cuba kita realisasikan seandainya Ahli Parlimen Melayu/bumiputera dari Pas dan PKR bergabung atau setidak-tidaknya cukup sebagai anggota komponen mesra BN tanpa menyertai gabungan itu, kelak, hasilnya mencapai lebih dua pertiga majoriti dalam Parlimen.


Carta di atas menunjukkan seramai 122 Ahli Parlimen Melayu/bumiputera daripada BN. Cuma 38 orang Melayu/bumiputera daripada pakatan pembangkang. Pakatan pembangkang pula didominasi oleh kaum Cina dengan 43 Ahli Parlimen.


Justeru, daripada carta: 122 + 38 = 160 Ahli Parlimen Melayu/bumiputera, maka sudah tentu umat Islam/bumiputera meraih lebih 148 kerusi, sekali gus mendapat kuasa dua pertiga majoriti.


Hakikat atau fakta yang perlu segera disedari adalah perasaan membuak-buak untuk berkuasa oleh satu pihak atau dipopularkan sebagai ‘tsunami Cina’ Mei lepas, telah meningkatkan jumlah wakil pembangkang di Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada 196 kerusi kesemuanya dalam 2008, kepada 229 kerusi pada tahun 2013.


Bagi kerusi DUN pula, terdapat sejumlah 505 kerusi di seluruh negara tidak termasuk Sarawak. Dan DAP terbukti parti pembangkang yang paling berkuasa sekali.




Akibat tsunami Cina jugalah, beberapa orang calon Melayu muka baru dari Pas dan PKR turut mendapat ‘manfaat’ di kerusi-kerusi bercampur kaum. ‘Tsunami’ inilah turut membantu calon-calon Melayu yang lain mempertahankan kerusi mereka.


Cuba ditanya kepada Rafizi Ramli (PKR), bagaimana dia boleh menang di kawasan 48.2 pemilih Cina di Pandan, Selangor? Calon PKR, Mansor Othman pula mampu menang kerusi Nibong Tebal (37.3% Cina) di Pulau Pinang selain calon-calon Pas, Che Rosli Che Mat dan Mohd. Hanipa Maidin, masing-masing membuat ‘kejutan’ memenangi kerusi Hulu Langat (34.3% Cina) dan Sepang (34.0% Cina), Selangor.


Tambah pelik lagi, Mohd. Idris Jusi (PKR) boleh menang di kawasan 45.7 pemilih Cina di Batu Pahat, Johor dengan Shamsul Iskandar Akin (PKR) memeranjatkan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam yang begitu mesra Cina di kawasan 40.8 pemilih Cina di Bukit Katil, Melaka.


Kita sama sekali tidak menyalahkan ‘tsunami’ Cina kerana itu hak demokrasi mereka. Akan tetapi yang merisaukan kita adalah pihak-pihak tertentu ini yang sudah seakan-akan ‘naik tocangnya’.


Selain rentetan isu-isu yang ‘mengusik’ hati umat Islam berkisar laungan azan Subuh dan bacaan al-Quran di Pulau Pinang dan isu ‘Nenek Rasis’, tercuit pula isu terbaharu di Pahang, Menteri Besarnya, Datuk Seri Adnan Yaakob turut menerima ‘tempias’nya. Ini menyebabkan beliau terpaksa mengeluarkan kenyataan menafikan terdapat usaha-usaha untuk pembangunan projek Spiritual Tourism (pelancongan rohani) di kawasan Gambang.



Projek ini dikatakan ‘begitu hebat dimomok-momokkan oleh youtube Cina’ sehinggakan ada percubaan mengutip duit untuk tujuan berkenaan. Terima kasih Tok Nan!


Berbalik kepada penyatuan UMNO-Pas, cuma persoalannya adakah ia akan berlaku, atau apakah masih jauh untuk digapai? Memang kita akui masih ada sebilangan orang dalam Pas yang masih berfikiran ekstrem dan taksub membabi buta . Terlalu ke kiri, hendak tegakkan ideologi sendiri.


Tetapi alangkah indahnya sekiranya ‘mereka’ ini berpegang kepada konsep wasatiyyah atau kesederhanaan yang ditekankan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak.


Waktu ini pun, UMNO sendiri tampak kemelayuannya seperti mana keterampilan Timbalan Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Naib Presiden Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi atau tidak kurang Melayunya, ahli Majlis Tertinggi, Datuk Tajuddin Abdul Rahman.


Dalam Pas sendiri, harapan untuk penyatuan dua parti Melayu ini setidak-tidaknya dapat disandarkan kepada Salahuddin Ayub, Takiyuddin Hassan dan KJ atau Datuk Kamaruddin Jaafar. Dan PKR, mungkinkah kepada Saifuddin Nasution Ismail?



Kalau kita lihat Menteri Besar Kelantan yang baharu, Datuk Ahmad Yaakub, sikapnya lebih rasional dan toleran untuk melihat muzakarah Pas-UMNO ini menjadi realiti. Walaupun pertemuan dengan Najib di pejabat Perdana Menteri di Putrajaya November lalu hanya berlangsung setengah jam, impaknya cukup besar ke arah permuafakatan dua parti Melayu ini.


Dan apa yang kita dapat lihat seperti ada cahaya di hujung terowong setelah ketiadaan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam kerajaan negeri.


Malahan kerjasama Pas-UMNO kelihatannya tampak lebih mudah apabila Mohamad Sabu atau Mat Sabu menang Timbalan Presiden Pas baru-baru ini setelah nasihat Nik Abdul Aziz sehingga ke saat-saat akhir pemilihan supaya perwakilan memilih ulama untuk menduduki kerusi nombor dua itu, tidak dipedulikan. Nampaknya Nik Abdul Aziz bukan lagi pemutus atau pemimpin de facto Pas. Penyatuan Pas-UMNO akan lebih mudah asalkan akar umbi Pas terbuka pemikiran mereka ke arah ini.




Dan kalaulah ada segelintir pengikut Pas mendesak kepimpinan mereka agar jangan ‘tertipu’ lagi dengan UMNO ketika Pas menyertai dan berada dalam BN pada 1970-an, maka kita boleh mengatakan begini: “itu sejarah dengan kepemimpinan waktu itu".


Walaupun dakwaan itu masih boleh dipersoalkan kesahihannya, sekurang-kurangnya Pas harus memberi peluang kedua kepada UMNO dalam melihat realiti landskap politik hari ini. Tidak perlu dihambat sejarah silam.


Perhimpunan Agung UMNO dari 2 hingga 7 Disember lalu nampaknya kurang menghentam Pas, atau saya sendiri tidak perasan perbahasan perwakilan sama sekali tidak bersuara akan hal ini. Ini suatu yang positif.


Kedua-dua parti, baik UMNO atau Pas kalau hendak bersatu, masing-masing mesti memikirkan kepentingan jangka panjang demi masa depan anak-anak dan cucu mereka.


Ke mana hala tuju umat Islam Malaysia dalam 50 tahun akan datang? Cuba kita fikirkan sejenak, apakah untung nasibnya seperti mana dalam lagu ‘Anak kecil main api’.


Kalau tidak digerakkan secara serius usaha-usaha penyatuan ini, umat Islam Malaysia akan terus bercakaran sesama sendiri tanpa kesepaduan dan wawasannya.


Semua ini menguji keikhlasan pihak-pihak terbabit. Kalau benar-benar jujur mengutamakan kepentingan umat Islam Melayu, inilah peluang terbaik yang perlu direbut. Penyatuan UMNO-Pas suatu realiti. Penyatuan yang berpaksikan Islam!



~Datuk Ahmad Faris Abdul Halim



AMUKANMELAYU - Kita sudah bersedia.....yang lain bila lagi?