Tuesday, 7 January 2014

POPE EMERITUS BENEDICT MENYEMBUNYIKAN KEBENARAN KITAB-KITAB UMAT TERDAHULU


POPE EMERITUS BENEDICT TIDAK JUJUR DAN MENGKHIANATI NABI ISA

POPE EMERITUS BENEDICT MENYEMBUNYIKAN KEBENARAN KITAB-KITAB UMAT DAHULU (BAH. 1)



Saringan Buah Pena Al-Ustadz Dr Ali Jumaat (Mufti Negara Mesir)

Dengan nama Allah dan Kepujian hanya bagi Allah. Selawat dan salam ke atas Sayyidina Rasulullah saw dan keluarganya, sahabat-sahabatnya serta mereka yang mengikutinya.
Adapun kemudian daripada itu, sesungguhnya banyak telah kami membicarakan tentang kenabian Nabi saw dan perilaku-perilaku Baginda daripada sumber-sumber ugama kita yang kuat lagi dipercayai, dan kami ingin pada kali ini untuk melihat kenabian Nabi saw di dalam kitab-kitab umat dahulu. Kenapakah umat Islam berkeyakinan bahawa Nabi saw telah disebut di dalam kitab-kitab terdahulu?

Sesungguhnya asas keimanan kita yang teguh terhadap kepastian terdapat sebutan mengenai Nabi saw di dalam kitab-kitab terdahulu (walaupun kita berkeyakinan bahawa ianya telah diubah) adalah perkhabaran dari Allah swt kepada kita mengenai perkara tersebut di dalam Al-Quran di mana firmanNya yang bermaksud: 

Orang-orang yang mengikut Rasulullah, Nabi yang ummi (tidak tahu membaca dan menulis) yang mana mereka dapati tertulis (nama dan sifat-sifatnya) di dalam Taurat dan Injil yang ada di sisi mereka. Dia menyuruh mereka dengan perkara-perkara baik dan melarang mereka daripada perkara-perkara keji dan dia menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik dan mengharamkan ke atas mereka segala benda yang buruk dan dia juga menghapuskan daripada mereka bebanan dan belengu-belengu yang ada pada mereka. (al-A’raf:157)

Maka jelas di dalam ayat ini bahawa Nabi saw disebut di dalam kitab Taurat dan Injil. Demikian lagi firmanNya :

Ia (Al-Quran) dibawa turun oleh malaikat Jibril yang amanah ke dalam hatimu supaya engkau (wahai Nabi Muhammad) menjadi seorang dari pemberi-pemberi ajaran dan amaran (kepada umat manusia), (ia diturunkan) dengan bahasa Arab yang fasih serta terang nyata. Dan sesungguhnya demikian itu tersebut di dalam kitab-kitab orang yang dahulu kala. Adakah tidak menjadi keterangan kepada mereka bahawa pendeta-pendeta Bani Israel mengetahui tentang kebenarannya itu?” (as-Syuara’:194-197)

Ayat-ayat ini menerangkan bahawa al-Quran dan penurunannya ke atas Nabi saw ada tersebut di dalam kitab-kitab umat terdahulu dan para pendeta bani Israel mengetahui tentangnya. FirmanNya:

Kerapkali Kami melihat engkau (wahai Muhammad) berulang-ulang mengadah ke langit maka kami benarkan engkau berpaling mengadap kiblat yang engkau sukai. Oleh itu, palingkanlah wajahmu ke arah Masjid Haram (tempat letaknya Kaa’bah), dan di mana sahaja kamu berada maka hadapkanlah muka-muka kamu ke arahnya. Dan sesungguhnya orang-orang yang telah diberikan kitab (Yahudi dan Nasrani) mengetahui bahawa ia adalah perintah yang benar dari tuhan mereka. Dan Allah tidak sekali-kali lalai terhadap apa yang mereka lakukan”. (Al-Baqarah;144)

Di dalam ayat ini menunjukkan bahawa Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) mengetahui pemalingan kiblat seperti yang akan kami sebutkan nanti. Pada apa yang akan dipaparkan ini, kita dapat melihat khabar-khabar gembira tentang Nabi saw di dalam kitab Perjanjian Lama.

Khabar-khabar Gembira Tentang Nabi SAW di dalam Perjanjian Lama

 

Perjanjian Lama adalah kitab yang dipercayai oleh kaum Yahudi sebagai satu-satunya wahyu tuhan. Ia merupakan kitab suci bagi mereka. Panggilan Kitab Taurat ditujukan kepada lima bahagian daripada Kitab Perjanjian Lama itu, walaupun ianya tidak ada kaitan langsung dengan Kitab Taurat sebenar, kecuali beberapa ayat yang berselerak yang masih kekal daripada Taurat yang asal.

Adapun yang baki daripada Kitab Perjanjian Lama, ianya ditulis selepas zaman Nabi Musa a.s. diselangi masa yang lama sehingga beratus-ratus tahun. Kebanyakkan daripadanya berkenaan sejarah kebangsaan bagi umat Yahudi.
Mengenai pengarang-pengarangnya sudah tentu dengan pasti mereka bukanlah nabi-nabi sepertimana disandarkan kitab-kitab tersebut kepada nama-nama mereka. Ia tidak lebih daripada sangkaan semata-mata ataupun angan-angan.

Sesungguhnya Kitab Perjanjian Lama ini telah pun diterjemah kepada bahasa Yunani pada kurun ke-3 sebelum masihi di Iskandariah (Mesir) pada zaman pemerintahan Iskandar yang agung (Alexander The Great) dan selepasnya. Terjemahan bahasa Yunani ini dipanggil dengan nama Sab’iiniyyah dan ia merupakan terjemahan yang menjadi ikutan kepada pengarang-pengarang Kitab Perjanjian Baru selepas daripadanya.

Kitab Perjanjian Lama ini atau lebih dikenali dengan Kitab Suci Yahudi adalah turut menjadi kepercayaan kepada umat Nasrani (Kristian) tetapi bukanlah dengan anggapan bahawa ia satu-satunya kitab daripada tuhan bahkan mereka menganggapnya sebagai satu bahagian daripada kitab suci mereka. Adapun kaum Yahudi tetap mereka tidak mempercayai Kitab Perjanjian Baru, walau satu huruf daripadanya.

Sesungguhnya Kitab Perjanjian Lama mempunyai beberapa bahagian kitab, di mana setiap kitab-kitab tersebut disandarkan kepada nama seorang nabi dari kalangan nabi-nabi a.s. Ianya dimulakan dengan lima kitab yang pertama yang dianggap sebagai kitab Taurat, kemudian kitab yang disandarkan kepada Nabi Yashyu’ a.s dan berakhir dengan kitab yang disandarkan kepada Mulakhi.
Kitab suci Yahudi ini atau Perjanjian Lama mengandungi 39 kitab seperti berikut:


Sesungguhnya telah disebut tentang Nabi saw di dalam Kitab Perjanjian lama mengenai nama Baginda, sifatnya dan qabilahnya lebih daripada sekali pada beberapa tempat, di antaranya:

1. Tersebut di dalam Kitab At-Takwin (29/10) yang merupakan awal-awal himpunan Kitab Perjanjian Lama, berbunyi: “Sentiasalah tongkat Kerajaan atau hukum Syariat berada di hadapan Yahuza sehinggalah datang Shayaluh dan akan tunduk kepadanya seluruh umat.”

Ini bermaksud kekuasaan memerintah dan kenabian tidak akan pupus daripada Yahuza dan keturunannya sehinggalah datang seseorang yang tertentu dengan sifat kekuasaan dan kenabian dan seluruh umat akan tunduk patuh kepadanya. Tidak diketahui di dalam catatan sejarah bahawa ada seorang nabi yang menguasai permukaan bumi dan umat-umat keseluruhannya tunduk kepadanya selepas daripada Yahuza (anak lelaki Nabi Ya’kub) melainkan Rasulullah saw.

2. Tersebut di dalam Perjanjian Lama pada naskhah yang telah diteliti isinya yang menjadi induk (RSV) di mana ianya telah dikeluarkan oleh pertubuhan Kitab Suci Britan di dalam Kitab At-Tasniyyah (18/18) termaktub di dalam catatan yang dihadapkan kepada Nabi Musa a.s. daripada tuhannya, berbunyi:

 Daku akan mengutus kepada mereka (Bani Israel) seorang nabi dari kalangan saudara-saudara mereka seperti engkau dan akanKu jadikan kalamKu pada mulutnya.”
 
Barangkali khabar gembira ini menunjuk kepada perpindahan kenabian daripada Bani Israel kepada bangsa Arab. Ini kerana, sekiranya nabi yang dimaksudkan itu dari kalangan Bani Israel nescaya tentulah berbunyi: Daku akan mengutus kepada mereka (Bani Israel) seorang nabi dari kalangan mereka”, tetapi apa yang tercatat adalah perkataan: “Dari kalangan saudara-saudara mereka”. 

Ini merujuk kepada bangsa Arab kerana Nabi Ismail as yang merupakan datuk kepada bangsa Arab adalah saudara kepada Nabi Ishak yang merupakan datuk kepada bangsa Israel. Kita tidak pernah mendengar tentang seorang nabi yang diutuskan sebagai Rasul dari kalangan bangsa Arab selain daripada Nabi Muhammad saw.

3. Dalam membicarakan tentang nabi yang ditunggu-tunggu yang akan membawa syariat yang diberkati, di dalam kitab yang sama (Kitab At-Tasniyyah (23/2) berbunyi: Datangnya cahaya daripada tuhan dari Sina dan menjelang naik kepada mereka dari Saa’yar dan berkilau-kilauan dari bukit Faran dan datang bersama-samanya sepuluh ribu orang-orang suci sedangkan syariat yang bercahaya pada tangan kanannya.”

Ini menunjuk kepada tiga tempat datangnya wahyu yang terbesar iaitu Sina tempat wahyunya Nabi Musa as, Sa’ayar tempat wahyunya Nabi Isa as dan Faran iaitu Mekah dan bumi Hijaz yang didiami Nabi Ismail as. Yang mengatakan Faran itu adalah Mekah adalah Kitab Perjanjian Lama itu sendiri di mana telah tersebut pada tempat yang akhir di dalam membicarakan tentang Nabi Ismail as yang berbunyi:

 “Sentiasa Allah bersama kanak-kanak itu (Nabi Ismail as) lalu dia menjadi dewasa dan tinggal di padang pasir, dia membesar sebagai seorang yang pandai memanah dan mendiami di padang pasir Faran. Ibunya telah menjodohkannya dengan seorang perempuan dari bumi Mesir.” - Kitab At-Takwin (21/20-21)

Sepuluh ribu orang-orang suci tersebut adalah bilangan sahabat-sahabat Nabi saw ketika pembukaan Mekah. Jika tidak, siapakah nabi yang diwahyukan di Bukit Faran (Mekah) yang datang bersama sepuluh ribu pengikutnya itu?

4. Di dalam Kitab Habquq (3/3) berbunyi: “Seorang yang suci dari Bukit Faran keagungannya meliputi langit dan bumi di mana langit dan bumi penuh dengan kepujiannya”.

5. Di dalam Kitab Ashi’ya (42/11-13) berbunyi: “Supaya berkumandang di padang pasir dan Bandar-bandar akan suaranya. Itulah negeri-negeri yang didiami oleh Qaidar, tempat tinggal seorang yang perkasa. Supaya mereka melaungkan dari puncak-puncaknya dan mengagungkan seorang pemimpin serta mereka menzahirkan kepujiannya di seluruh kepulauan. Sesungguhnya pemimpin itu akan keluar sebagai seorang yang perkasa dan menyebarkan keberanian sebagai pahlawan perang. Dia akan disebut-sebut dan dilaungkan namanya. Dia akan mendapat kemenangan ke atas musuh-musuhnya”.

Di sini terdapat isyarat menunjuk kepada peribadi Qaidar yang merupakan anak lelaki Nabi Ismail as di mana dari kalangan anak cucunya adalah bangsa Quraish yang lahir daripadanya Nabi saw. Juga terdapat isyarat yang menunjukkan kepada azan dan penyebutan Nabi saw di dalam azan dan pengagungan terhadapnya, juga tentang perang jihadnya dan kemenangannya mengalahkan musuh-musuhnya di dalam peperangan-peperangannya itu. 

Sesungguhnya catatan sejarah tidak mengetahui seorang nabi daripada bumi yang didiami Qaidar yang dilaungkan namanya dari puncak-puncak bukit yang terlibat di dalam peperangan-peperangan dan mendapat kemenangan ke atas musuh-musuhnya melainkan Rasulullah saw. Jika ianya bukan Baginda saw maka cubalah penafsir-penafsir Kitab Perjanjian Lama sebutkan kepada kami siapakah yang dimaksudkan itu?!!

6. Di dalam Kitab Ashi’ya (60-1-2, 6-7) berbunyi: “Bangkitlah! Sesungguhnya telah tiba cahayamu, keagungan tuhan telah terbit ke atasmu. Inilah dia kegelapan yang menyelubungi bumi dan sekelian umat. Adapun engkau sesungguhnya cahaya daripada tuhan menyelubungimu dan memperlihatkan keagungan ke atasmu, lalu seluruh umat akan berjalan di dalam cahayamu dan raja-raja di dalam cahaya ketibaanmu. Akan meliputi kepadamu unta-unta dalam bilangan yang banyak, unta-unta negeri Madyan dan Aiyfa, semuanya datang dari Syaiba membawa emas dan haruman. Semua kambing biri-biri Qaidar berkumpul kepadamu dan binatang-binatang Kibas dari Nabayut akan berkhidmat kepadamu di mana ianya diterima naik ke atas tempat penyembelihanKu, dan nanti akan dimuliakan rumah keagunganKu”.

Ini adalah khabar gembira yang menyebut tentang kambing biri-biri Qaidar yang akan diterima sebagai sembelihan kerana Allah dan akan dimuliakan rumah keagunganNya (Kaa’bah). Manakah kambing biri-biri Qaidar yang disembelih di sisi rumah yang mulia yang telah lama usia di Baitullah Al-Haram Mekah selain apa yang berlaku pada zaman Nabi saw.

7. Di dalam kitab Ashi’ya (21/13-17) berbunyi: “Sesungguhnya wahyu dari pihak negeri-negeri Arab pada bumi yang berlekuk-lekuk (tanah tidak rata). Pada negeri-negeri Arab terdapat golongan Tabietien, wahai rombongan-rombongan dari tempat yang berhampiran! berilah air ketika bertemu orang yang dahaga, wahai penghuni-penghuni bumi padang pasir! dan berikanlah roti kepada orang yang lari. Sesungguhnya mereka telah melarikan diri daripada pedang-pedang dan busur-busur panah yang diikat dan daripada huru-hara peperangan. Sesungguhnya beginilah seperti yang dikatakan oleh tuhan, pada tempoh setahun (seperti tahun pekerja yang diberi upah) akan gugur semua keagungan Qaidar dan segala busur panah daripada pahlawan-pahlawan keturunan Qaidar akan lenyap”.

Di sana terdapat ikatan yang jelas di antara dua perkhabaran ini dan di antara apa yang disebut di dalam Kitab At Tasmiyyah dahulu yang membicarakan tentang cahaya yang bergermelapan. Sesungguhnya Nabi Ismail as telah mendiami bumi Faran yang dilahirkan padanya Qaidar yang merupakan datuk yang teratas bagi bangsa Arab. Telah ditetapkan ke atas anak cucu Qaidar bahawa mereka akan didatangi wahyu daripada Allah swt dan akan dipersembahkan binatang-binatang korban sebagai mengagungkan rumah Allah swt kerana sesungguhnya kegelapan telah meliputi bumi pada kurun-kurun yang lampau, sebagaimana juga yang telah ditetapkan ke atas anak cucu Qaidar dan pemanah-pemanah serta pahlawan-pahlawan mereka bahawa mereka semua akan lenyap di antara tahun pertama selepas hijrah di hadapan pedang yang terhunus dan busur panah yang diikat.

Adakah di sana peribadi yang lain yang dimaksudkan daripada perkataan ini selain Muhammad saw? Seperti itu juga kisah sepuluh ribu orang-orang suci yang tersebut di dalam kitab At-Tasniyyah yang mengandungi maksud yang penting. Ini kerana peristiwa pembukaan Mekah adalah satu-satunya peristiwa penting di dalam sejarah bumi Faran yang membuktikan kebenaran kisah berkenaan, di mana Rasulullah saw memasuki Mekah dengan mengetuai sepuluh ribu pengikut-pengikutnya yang beriman menuju ke Baitullah sedang pada tangan kanannya kesudahan segala Syariat.

8. Ketika Bani Israel pulang ke tempat peribadatan (Baitul Muqaddis) setelah mereka bebas daripada tawanan bangsa Babylon dan mendapat keizinan Raja Kisra Qaurus berbangsa Parsi yang telah membebaskan mereka dan menguasai Baitul Muqaddis ketika itu, Allah telah mengutuskan Nabi Hijie untuk memberi berita gembira kepada perhimpunan manusia tentang perutusan yang penting berbunyi: 

 “Akan Daku goncangkan seluruh umat dan akan datang Hamadah kepada seluruh umat dan akan Daku penuhi rumah ini dengan kemuliaan, demikianlah yang dikatakan oleh tuhan semesta alam. Hanya bagiku emas dan perak, demikianlah yang dikatakan oleh tuhan semesta alam. Sesungguhnya kemuliaan rumah yang akhir adalah lebih agung daripada kemuliaan rumah yang pertama, demikianlah yang dikatakan oleh tuhan semesta alam. Di tempat inilah akan Daku kurniakan Syalum, demikianlah yang dikatakan oleh tuhan semesta alam.” Kitab Hijie (9/7-9). 

Di dalam terjemahan Kitab Suci, perkataan Hamadah dan Syalum yang merupakan dua perkataan di dalam bahasa Ibrani (Hebro) telah diterjemahkan dengan erti keamanan dan kesejahteraan secara berturut-turut. Ini adalah sesuatu yang tidak tepat, jika tidak nescaya perkhabaran ini menjadi suatu harapan yang penuh kesamaran dan tidak mempunyai mesej yang jelas.

Sesungguhnya perkataan Hamadah dan Syalum sebenarnya memberi gambaran yang halus kepada makna perkataan Ahmad dan Islam. Teks di dalam bahasa Ibrani (Hebro) berbunyi: “Fie Ya Fu Hamadah Kaul Hajuyiem” yang bermaksud: “Akan datang Hamadah kepada seluruh umat.”

9. Pada bahagian akhir segala Kitab Perjanjian Lama kita akan dapati perkhabaran yang lain daripada Kitab Mulakhi (3/1) berbunyi: “Akan Daku utuskan rasulKu lalu dia akan menyediakan jalan di hadapanKu dan secara tiba-tiba dia akan mendatangi Haikal (Baitul Muqaddis). Dialah pemimpin yang kamu mencari-carinya, rasul yang dijanjikan yang mana kamu sukacita terhadapnya. Sesungguhnya dia pasti akan tiba. Demikianlah yang dikatakan oleh tuhan semesta alam”.

Tidakkah terbukti kebenaran perkhabaran tentang kedatangan pemimpin yang dimaksudkan secara tiba-tiba ke tempat Haikal (Masjidil Aqsa) melainkan ketika Nabi Muhammad saw menziarahinya di malam Israk dan Mikraj di mana Baginda berhimpun dengan sekelian para nabi di tempat berkenaan. Maka inilah bukti yang membenarkan perkhabaran tersebut. 

10. Di dalam Kitab Danial (7/14) mengisyaratkan tentang Nabi saw dan keluasan kerajaannya di mana ia berkata: “Sekelian bangsa dan umat di bumi akan tunduk kepada Barnashya”.
 
Di sana tidak ada seseorang yang menguasai negeri-negeri dan menyebarkan agamanya di mana segala jenis bangsa dan umat di muka bumi termasuk Rom dan Parsi tunduk kepadanya selain Nabi Muhammad saw.

11. Di dalam Kitab Danial (7/27) lagi mengisyaratkan tentang kekuasaan orang-orang yang beriman selepas Nabi saw, di mana ia berkata: “Kerajaan dan kekuasaan di bawah langit akan diberikan kepada bangsa-bangsa di kalangan orang-orang yang beriman”.

12. Kami sudahi perkhabaran-perkhabaran daripada Kitab Perjanjian Lama dengan Kitab Armiya (9/28), ketika mana Armiya ditanya tentang Nabi yang sebenar beliau menjawab: 

“Sesungguhnya dia adalah Nabi yang akan membawa khabar gembira mengenai agama Islam”.

Tidak pernah ada seorang nabi yang membawa suatu ugama dengan nama ugama Islam melainkan Nabi saw.

Bersambung ke……. ‘Bahagian Kedua’……

DARIPADA MAJALAH “AN-NUR AL-MUHAMMADI” Bilangan ke-4, 2007M / 1428H)
Keluaran : Maktabah Darul Jawamiul Kalim
Penterjemah:

Nik Mohd Shahrail Bin Nik Ibrahim
Jun 2009M / Jumada Akhir 1430H