Wednesday, 30 April 2014

Lembah Lenggong, kembalikan 'rasa' itu


Read more at: http://www.astroawani.com/news/author/azharul-azmir-kamarulzaman?cp


Masa lalu adalah kenangan yang kita nikmati melalui ingatan, masa depan adalah harapan yang kita bina melalui impian. Menjadi orang Melayu, sepertimana tercatat dalam sijil lahir saya, saya tidak dapat lari dari memiliki sifat yang sebati dengan orang Melayu yang kuat bersentimen, termasuklah bila bercakap soal nostalgia.

Emak saya berasal sebuah kampung kecil yang diberi nama Kampung Chepor, yang letaknya lebih kurang 12 kilometer dari pekan Lenggong, dalam daerah Hulu Perak. Kampung-kampung di kawasan ini kebanyakannya dibangunkan di pinggir sungai. Pengangkutan sungai menjadi penghubung utama. Sehingga pertengahan 1990-an, sungai masih menjadi nadi utama di kampung ini dan kampung-kampung di sekitarnya. Saya masih ingat, ketika saya masih kecil, bekalan elektrik kerap terputus, hingga kadangkala saban minggu. Dan air sungai menjadi bekalan air utama penduduk di sini.

Bagi kami sekeluarga ketika itu, pulang ke Chepor adalah rutin bulanan kami.

Perjalanan berkereta dari tempat saya membesar di Kuala Kangsar ke kampung ibu saya ini memakan masa sekitar 45 minit melalui jalan raya bengkang bengkok. Kemudian, kami harus menaiki bot penambang menyeberang Sungai Perak, sebelum harus berjalan kaki untuk sampai ke rumah. Sekurangnya dua jam diperlukan untuk melengkapkan perjalanan sehala ini.

Bagi saya yang masih kanak-kanak ketika itu, bukanlah bertemu keluarga menjadi keutamaan apabila pulang ke kampung. Menaiki bot itulah satu-satunya `faktor penarik` untuk saya. Terjatuh dalam sungai, mandi sungai, bermain dengan gajah yang tersesat memasuki kampung, dan menolak bot bila air sungai surut adalah antara yang kekal dalam ingatan.

Itu momen zaman kecil saya yang masih saya ingat.

Penghujung 1990-an, pembangunan mula tiba di daerah Hulu Perak dengan pesat. Satu peristiwa yang banyak memberikan kesan dalam ingatan saya adalah apabila sebuah jambatan dibina merentasi Sungai Perak di Kampung Bukit Sapi yang terletak berhampiran. Dengan pembinaan jambatan itu, kami tidak perlu lagi menaiki bot, dan perjalanan pulang hanya memerlukan masa sekitar satu jam. Perkhidmatan bot untuk menyeberang sungai semakin berkurangan, dan hanya digunakan bagi sesetengah penduduk kampung yang masih selesa dengan cara lama. Jiran sekampung yang menjadi pengusaha bot terpaksa mula mencari peluang rezeki sampingan yang lain. Dari sekitar tiga hingga empat buah bot sebelumnya, kini hanya sebuah yang beroperasi, hanya berasaskan permintaan.

Hanya sekali sekala emak dan bapak menggunakan bot sekadar untuk memenuhi permintaan anak-anak. Perlahan-lahan, keterujaan pulang ke kampung semakin berkurangan.

Pertengahan 2000-an, menjadi kemuncak. Jalan raya baru antara Kuala Kangsar ke Gerik siap dibina. Serentak dengan itu, jambatan baru iaitu Jambatan Raja Nazrin Shah juga dibuka. Dengan hanya 25 minit, dari Kuala Kangsar, kami boleh sampai ke Chepor dan kereta boleh terus sampai ke halaman rumah. Perusahaan bot tambang ditutup sepenuhnya. Enjin bot dijual dan rangka bot ditinggalkan tenggelam.

Tiada lagi bot untuk saya. Tiada lagi yang istimewa tentang perjalanan pulang ke kampung. Tiada apa lagi yang boleh saya kongsikan dengan kawan-kawan tentang perjalanan balik kampung saya. Pulang ke kampung hanya untuk bertemu saudara mara, sepertimana kebanyakan orang lain. Itu sahaja.

Keterujaan pulang ke kampung semakin hilang. Lenggong perlahan-lahan hilang dari senarai keterujaan saya. Perlahan-lahan `rasa` itu telah dibunuh.

Saya bukan suka-suka untuk bernostalgia. Ini sebenarnya adalah satu analogi mudah, bagaimana pembangunan boleh mengubah cara hidup kita dan mengubah cara kita berfikir. Bukan menentang pembangunan, apatah lagi kemajuan. Cuma, ini adalah sebahagian kebimbangan kecil saya melihat bagaimana kita pada hari ini mula melihat pembangunan dari sudut fizikal semata-mata.

Kini, saya harap, `rasa` itu dapat muncul semula.

Pada penghujung Ogos 2010, kabinet meluluskan cadangan Jabatan Warisan Negara dan Kementerian Penerangan, Komunikasi & Kebudayaan ketika itu untuk mengusulkan Lembah Lenggong iaitu sebahagian besar kawasan daerah kecil Lenggong ini sebagai Tapak Warisan Dunia. Ini berasaskan kepada pelbagai penemuan artifak zaman Paleolitik, Neolitik dan zaman Gangsa di sini melalui hasil usaha konservasi kumpulan penyelidik dari Universiti Sains Malaysia sejak lebih dua dekad lalu.

Dua tahun kemudian, tanggal 30 Jun 2012, usaha itu membuahkan hasil apabila UNESCO meluluskan cadangan tersebut dan mewartakan Warisan Arkeologi Lembah Lenggong sebagai salah satu Tapak Warisan Dunia.

Saya tidak mahu bercakap tentang sejarah panjang artifaknya, mahupun signifikan sekian banyak penemuan pra-sejarah di sini. Arkeologi bukan bidang saya. Tetapi saya melihat pengiktirafan ini sebagai sebuah harapan baru untuk kawasan ini, yang pernah menjadi laluan penghijrahan manusia purba dari Afrika ke Australia lebih kurang 1.83 juta tahun yang lalu.

Pengiktirafan ini bakal membawa industri perlancongan untuk berkembang di sini. Kehadiran pelancong bagi menghayati sejarah arkeologi ini akan turut secara langsung mempopularkan budaya & keunikan setempat. Jadi, bagaimana agaknya `Lembah Lenggong` yang mahu kita paparkan pada dunia?

Dari pergaulan saya dengan penduduk setempat, ramai melihat pengiktirafan ini sebagai sebuah harapan pembangunan, khususnya pembangunan infrastruktur. Saya melihat lebih dari itu.

Pada saya, inilah masa yang sesuai untuk mengembalikan semula `rasa` yang telah hilang itu. Imej dan pengalaman `kampung` harus dibawa kembali. Pembangunan sebuah kawasan warisan sebegini harus mengambil kira faktor `rasa` ini.

Elemen sungai, suasana kampung, kehijauan alam harus diteroka secara ideal. Pak Cik dan Mak Cik kampung mungkin lebih elok dibiarkan kekal dengan kain pelekat dan kain batik mengikut keselesaan mereka, daripada diminta bergaya dengan sepasang baju kurung songket Terengganu, mahupun sepasang baju Melayu lengkap dengan tanjak berlogo `Malaysia Trully Asia`nya hanya kerana kononnya “pelancong bakal datang!”. Kita tidak mahu cara hidup plastik.

Apa yang kita perlukan adalah pengurus dan pentadbir yang profesional serta memiliki apresiasi warisan yang baik. Itu saja. Mereka akan tahu apa yang perlu dilakukan untuk industri perlancongan di sini. Sistem logistik (perhotelan dan pengangkutan) yang tersusun, promosi yang meluas, pembangunan infrastruktur yang berjustifikasi dan pengurusan arkeologi yang profesional akan mempopularkan Lembah Lenggong, tanpa perlu menafikan cara hidup sebenar di sini. Lembah Lenggong akan jadi kawasan perlancongan unik dan eksotik tumpuan seluruh dunia.

Pendekatan inilah yang harus diteliti sebaik mungkin. Ketika ini, Jabatan Warisan Negara telah dipertanggungjawab mengetuai jawatankuasa melibatkan beberapa agensi lain dalam merangka pelan pengurusan bersepadu termasuklah aspek-aspek yang saya sebut diatas. Cadangan pengurusan bersepadu itu harus dikemukakan kepada UNESCO menjelang Ogos tahun ini bagi mengelak status Tapak Warisan Dunia itu ditarik semula. Saya sedar mereka lebih pakar, kerana itu saya menaruh harapan besar kepada mereka.

Lebih penting lagi, penduduk setempat khususnya golongan muda harus diberikan pendedahan tentang menghargai dan menghayati warisan. Ini bagi memastikan penduduk tempatan di sini tahu apa maknanya warisan ini kepada kehidupan mereka. Golongan muda ini harus disedarkan bahawa perhatian yang mula diberikan kerajaan kepada kawasan ini bukanlah hanya soal mendapat peluang pekerjaan, mendapat balai raya baru, atau sekadar mendapat peruntukan tambahan untuk membesarkan gelanggang futsal mereka.

Usaha melatih anak tempatan sebagai pemandu pelancong contohnya yang telah diusahakan sejak tahun lalu adalah antara pendekatan yang sangat menarik. Ia bukan sahaja membangunkan peluang ekonomi, namun dalam masa yang sama melahirkan anak tempatan yang memahami dan menghargai keistimewaan yang mereka miliki. Dengan itu, rasa kepunyaan itu bakal wujud.

Saya percaya, pengalaman dan `rasa` inilah senjata utama Lembah Lenggong dalam usaha menjadi terkenal dan dikenali dunia. Dunia harus mengenal kita sebagai kita. Lenggong bukan Kuala Lumpur! Budaya di sini adalah cara hidup, bukannya Citrawarna yang dibawa berarak di Dataran Merdeka.
.
Saya menaruh harapan tinggi pada kredibiliti besar YB Dato’ Seri Nazri Aziz yang juga berasal dari Lenggong sebagai Menteri Perlancongan & Kebudayaan yang baru dilantik, bagi membawa sesuatu yang baik untuk kampung kami ini. Harapnya, dalam `kepadatan` sepanjang hayat beliau menjadi orang politik, beliau masih mempunyai nostalgia yang sama, dan masih dapat mengalami `rasa` yang sama.

Saya yakin, sebagai seorang menteri kanan, beliau arif bahawa antara pra-syarat penting dalam mendapat status negara maju yang kita semua kejar menjelang tahun 2020, bukan sekadar soal mencapai pendapatan per kapita RM48,000, tetapi juga melahirkan masyarakat sivil yang menyeluruh. Ia tanggungjawab kita semua.

Lembah Lenggong adalah masa lalu dan masa depan saya. Ia adalah kenangan dan impian saya. Lebih penting lagi, ia adalah tempat dunia melihat kita. Ia tempat masa depan menilai kita tentang apa yang kita wariskan untuk mereka.

Sehingga itu, tolonglah, jangan bunuh `rasa` itu.


Read more at: http://www.astroawani.com/news/show/lembah-lenggong-kembalikan-rasa-itu-17204?cp


AMUKANMELAYU - Kembalikan......