Thursday 29 May 2014

APABILA PAK HABIB BERBICARA - JANGAN JADI BODOH


Oleh : SH Alattas

Walaupun anda mungkin tidak akan bersetuju dengan semua yang saya kedepankan, saya fikir sesekali elok juga kalau kita membuka minda dan cuba menyelidiki sedikit tentang rahsia-rahsia "Hakikat Insan" di mana di dalamnya tersembunyi "ilmu kerohanian" untuk mengenal diri dan Tuhan. Ilmu ini penting kerana dengannya, baru kita boleh faham tujuan kita dijadikan, dari mana kita datang dan kemana kita akan pergi, kenapa kita perlu melalui roda - roda kehidupan dan ke mana kita akan kembali. Its not about you right, my right its about what is right. Mari kita utamakan kebenaran bukan saya yang benar atau anda yang benar. Kerana hanya Allah yang maha benar.

Pernahkah anda terfikir kenapa Adam yang dibuat dari tanah dipilih menjadi khalifah? Kenapa tidak pilih sahaja malaikat yang dibuat daripada cahaya atau jin dari api sedangkan mereka telah dijadikan berjuta-juta tahun sebelum adanya manusia? Selepas itu kenapa pula mereka diarah bersujud kepada Adam sedangkan kita tahu, cuma Allah sahaja yang layak disembah?

Cuba kita fikir. Azazil, penghulu malaikat ketika itu yang dikatakan bumi mana dan langit mana yang tidak ada kesan sujudnya pun tidak mendapat penghormatan sebegitu tinggi.

Kalau dahi dia boleh lebam macam sesetengah orang yang menganggap kesan hitam di dahi sebagai tanda orang bertakwa lantaran selalu bersujud kepada Allah, entah macam mana hitamlah agaknya dahi Azazil. Entah-entah lekuk terus. Kurang-kurang jendul luas.

Begitu juga malaikat Jibril yang menjadi perantara wahyu kepada para Rasul atau lain-lain malaikat tinggi seperti Mikail dan sebagainya. Mereka telah berjuta-juta tahun beribadat memuji Allah tanpa berhenti untuk makan dan minum. Tidak pernah derhaka langsung, sentiasa menurut perintah Allah. Begitu punya banyak mahkluk Allah yang mulia telah wujud ketika itu tetapi Adam yang baru sahaja dicipta pula yang diangkat dan disuruh mahkluk lain sujud. Kenapa Tuhan pun boleh pilih kasih? Tentu ada rahsia di sebalik kejadian ini bukan? Tapi bolehkah rahsia ini senang-senang dihuraikan, dicerita sedangkan masyarakat umum lebih sibuk membicarakan Islam siapa yang lebih betul, siapa lebih banyak mengikut sunnah Nabi, siapa punya jubah lagi cun, janggut siapa lebih mengancam. Silap cakap nanti orang kata kafir, tak pun kena cekup dengan JAKIM.

Bagi mereka yang menyimpan rahsia itu berilah peluang supaya ianya dapat dikongsi bersama mereka yang mahu mencarinya. Saya percaya ramai juga orang yang dahagakan jawapan. Sembunyi lama-lama pun buat apa? Dunia pun sudah hampir hendak kiamat. Kalau dunia tidak kiamat, kalau dunia tidak berakhir, hidup kita tetap akan berakhir. Kita semua pasti akan mati. Dalam kehidupan, itu sahaja yang pasti.

Profesor Syed Mohd Naquib Alattas
Hari ini semua orang patut mencari sesuatu dulu pun yang ghaib, tapi bukannya hantu. Pak Lah mencari Imam Shafie dan Ghazali, kerusi Al Ghazali sudah diduduki oleh Profesor Syed Mohd Naquib Alattas. Bukan mudah mahu mencari ilmu keghaiban yang tersembunyi selama ini. Orang Melayu dahulu dengan orang Melayu sekarang, cuba baca buku Prof. Naquib Prolegomena to the Metaphysics of Islam : An Exposition of the Fundamental Elements of the World View of Islam 



Orang Melayu hari ini tidak sama dengan orang Melayu pada tahun 1950-an. Bahkan tidak sama dengan orang Melayu di zaman dua puluhan dan tiga puluhan. Melayu hari ini sudah menjadi "materialistik". Islamnya sekadar ritual tanpa spiritual. Tokoh seperti Tok Ku Paloh, Tok Ku Tuan Besar, Tok Ku Tuan Hitam di Terengganu apa lagi mahu mencari tokoh sufi seperti Hamzah Fansuri atau Nuruddin Raniri mereka asyik dengan kebendaan. Percayalah, dunia yang dikejar tidak akan membawa bahagia sama ada di dunia mahupun akhirat. Kita kejar akhirat dunia akan ikut kita.

Kita sudah 57 tahun merdeka. Benarkah sudah agak lama keluar dari kepompong pemikiran penjajah yang membentuk kita berjiwa sekular memisahkan politik dan agama? Kalau nak tahu minda kita sudah bebas merdeka atau masih terjajah, cuba tanya adakah Malaysia sebuah negara yang timbul semulajadinya 57 tahun dahulu, atau adakah ia terusan Tamadun Melayu-Islam yang umurnya ratusan tahun? Ramai di antara orang Melayu yang pemikiran dan jiwa mereka belum merdeka, biarpun cara mereka berfikir sudah berubah lebih-lebih lagi dengan kedatangan era langit terbuka dan dunia tanpa sempadan, tapi masih belum mendalami mengenai ilmu metafisik.

Dahulu cuma ada Radio Malaya. Lepas itu TV hitam putih, TV warna, telefon bimbit dan hari ini sudah ada Internet. Orang Melayu sudah didedahkan dengan semua ini dan kita kini berada di era langit terbuka. Apakah kita mahu terus hidup seperti katak di bawah tempurung? Bagaimana baru kita dapat memulihkan kerangka pemikiran kita supaya segaknya ditinjak menerusi World View Of Islam?

Pemimpin-pemimpin hari ini harus ingat, dahulu orang Melayu cuma baca muqadam dan Quran tanpa mengetahui maknanya. Hari ini ada puluhan madrasah sekolah tahfiz. Namun apakah tahu ilmu Hakikat, Tarikat dan Makrifat? Cukupkah Islam kalau setakat nak menunaikan 5 rukun saja? Boleh baca surah ketika sembahyang, tidaklah malu orang nak buat menantu. Ada juga yang mengkaji dan mengkaji lebih sedikit tapi tidak banyak. Itupun cuma orang tua sahaja yang sanggup membaca kitab selain daripada kitab-kitab asas ilmu tauhid, ibadat, tajwid dan lain-lain.

Tapi hari ini ramai anak-anak muda yang memahami buku-buku Ihya Ulumiddin karya Al-Ghazali, Mukadimah Ibnu Khaldun, di samping mengenal pemikiran Tasauf Hamzah Fansuri dan Nuruddin Raniri melalui usaha ilmiah Prof Naquib Alattas, Jalaludin Rumi, Dr. Ali Shariati, Ayatollah Murtada Muttaharani. Mereka terdedah dengan begitu banyak ilmu yang selama ini membuatkan mereka buta ilmu biarpun ijazah berjela-jela. Apa lagi mereka yang berkesempatan berinteraksi dengan berbagai golongan dari berbagai jenis agama atau mazhab dan tidak fanatik dan buyers dan ego berlebihan. Tentu sahaja pemikiran mereka lebih kritis, tidak senang menerima bulat-bulat apa yang disuapkan seperti anak-anak muda zaman dahulu. Bagi mereka yang boleh mengaji, berbagai jenis kitab agama termasuk yang berkaitan dengan kesufian boleh didapati dengan mudah di kedai-kedai buku dan dibaca oleh semua peringkat orang Melayu. Pergi saja ke KLCC, atau di kedai-kedai buku MPH, semua jenis buku merangkumi semua subjek boleh didapati atau cari di internet semua yang diharamkan jadi halal.

Cuba kita Tanya dengan anak muda yang baru balik dari Amerika dan Eropah, apakah agama itu syariat saja? Apakah Islam itu cukup dengan mengerjakan rukun yang lima saja? Bolehkah syariat berdiri tanpa hakikat?

Syariat, hakikat, tarikat dan makrifat, roh dan jasad, manusia dan Tuhan memang tidak dapat dipisahkan. Ia ibarat ombak dan pantai, aur dan tebing, irama dan lagu, bunga dan kelopaknya. Kita perlu melihat dan menghayati agama dari kesemua aspek ini. Kita mesti lihat dengan pandangan dari dalam ke luar dan dari luar ke dalam. Dengan cara ini barulah kita boleh menjadikan diri kita seorang ulama.

Manusia kena pandang pada yang satu ingat kepada yang ramai dan pandang yang ramai ingat kepada yang satu. Kalau kita cuma tengok dari satu sudut pandangan sahaja, maka jadilah kita macam ulat dalam kepompong yang cuma lihat dunia dalam batasan kepompongnya sahaja atau katak yang berada di dalam telaga yang hanya nampak dunia ini mengikut pandangan matanya saja, sehingga datang hujan lebat membawa air memenuhi perigi dan dia dapat keluar. Soalnya, sampai bila kita nak hidup dalam kepompong atau jadi katak dalam perigi buta. Cuba fikir, apakah semua benda yang berlaku di dunia ini berlaku secara kebetulan?

Tentu ada sebab kenapa Dr. Mahathir buat Menara Berkembar Petronas (Petronas Twin Tower). Ada dua menara. Dua kalau dipasangkan lagi jadi nombor 22. Mahathir mula kata dia akan bersara pada 31 Oktober 2003 setelah memerintah selama 22 tahun dan penduduk Malaysia bertambah menjadi 22 juta orang. Pengumuman persaraannya pula dibuat pada hari terakhir Perhimpunan Agung UMNO tahun 2002 setelah begitu lama mempromosi Wawasan 2020. Adakah ini semua kebetulan?

Kenapa dia suka sangat dengan nombor 22? Mungkinkah ini semua berlaku melalui ilham, yang terjadi di bawah jadual Allah? Mungkin juga Mahathir ada belajar hakikat insan. Bukankah segala-galanya di dunia ini dijadikan berpasang-pasangan? Ada langit ada bumi ada lelaki dan ada perempuan! Adam yang hidup dalam syurga yang penuh dengan segala macam nikmat itu pun perlukan Hawa, sebagai pasangannya. Hidup pula pasangannya mati.
Kalau ada luar mesti ada dalam, ada dahulu ada sekarang, ada zahir dan ada batin. Kayu pun kalau kita bakar dia keluar asap. Ada asap yang keluar harum-haruman, ada asap yang keluar busuk. Takkan dalam tubuh manusia tidak ada apa-apa? Masakan di dalam hati manusia itu kosong sahaja. Mesti ada benda. Kalau tidak ada yang hitam, mungkin ada yang putih..!

Sekurang-kurangnya kita mesti faham jika ada yang zahir, mesti ada yang batin. Menurut Ghazali, tubuh ini sangkaran bagi burung, ataupun kandang bagi khinzir, jika burung isinya, maka hatinya menyayap ke ufuk malakut yang tertinggi, jika khinzir isinya, maka diheretlah ia ke panggang. Kata mereka Sheikh Hamzah Fansuri, roh manusia kalau diuryankan di telanjangkan, maka terbang ia bertengger di Hadhrat Ar-Rahman. Jika di zaman Mahathir, sangkar saja yang dijaga baik-baik, sedangkan burung di dalamnya dibiarkan kelaparan dan kurus kering maka mudah-mudahan Pak Lah akan memerhati dan menjaga burung di dalam sangkar dengan baik. Barulah pembangunan itu seimbang. Kalau tidak, kita akan terus dibelenggu berbagai masalah, dari yang bersifat sosial mahupun yang berbentuk politik. Begitulah masalah UMNO! UMNO ada segala-galanya tapi di dalamnya kosong..!

Pembangunan yang dibawa oleh kerajaan BN di bawah pimpinan Dr. Mahathir kita tidak boleh sangkal. Tapi isi yang dicari oleh hati yang kosong membuatkan orang Melayu lebih mirip pada PAS yang lebih banyak bercakap tentang akhirat meskipun jalannya di batasi syariat. Tapi syariat kata nabi, kenapa perlu dipisahkan dari tariqat iaitu tingkah lakunya, hakikat iaitu umurnya dan makrifat, iaitu rahsianya? Pemimpin UMNO tidak boleh salahkan orang Melayu hari ini, bila mereka mula kritikal. Orang ramai mahukan isi, beri kulit saja nak buat apa?

Yang merosakkan bangsa Melayu hari ini adalah kulit! Mahathir berikan rakyat Malaysia kemewahan material. Kekayaan material adalah perlu bagi membina ummah. Tapi dua "E" tak seimbang, (education and economy). Pendidikan berbentuk duniawi diberi keutamaan sedangkan pendidikan di bidang kerohanian terlalu berkurangan.

Dari satu segi, pembangunan ekonomi memang penting. Disebabkan orang kita telah banyak yang berharta dan berpendapatan tinggi, umat Islam tak perlu memungut derma di tempat-tempat awam untuk mendirikan masjid, surau dan sekolah agama. Kerja ini satu penghinaan bagi Islam. Islam memang menyuruh kita supaya mencari jalan untuk hidup makmur dan sejahtera di dunia ini tapi kita mesti ingat ini cuma sementara. Dunia cuma tempat persinggahan sebelum kita berpindah kealam akhirat yang kekal abadi. Bila cakap pasal akhirat, kita mesti bercakap pasal roh dan jasad kerana ia meliputi rahsia ketuhanan yang Maha Esa. Tuhan yang kita tak nampak dan tak dengar suaranya tapi kita sembah!

Cuba tanya mereka yang sembahyang di rumah mahupun di masjid, apakah mereka yakin adanya Tuhan? Cakap saja percaya tapi kebanyakan mereka langsung tak rasa takut kat Tuhan. Kita diingatkan, kepadaNya kita sentiasa memohon pertolongan, tapi kita kenal ke Tuhan kita? Tahu ke macamana Tuhan mentadbir alam, macam-mana dia mencipta sesuatu kejadian? Tuhan tak wujudkan Petronas Twin Tower dan kilang kereta secara tiba-tiba. Itu bukan kerja Tuhan! Manusia yang membuatnya. Allah lah sebaik-baik pencipta, namun manusia pencipta yang menjazi yang meniru akan Tuhannya, tapi Allah dalam segala penciptaannya, tiada terpisah ilmunya, dari rahmatnya, manusia jua yang mencipta dan membawa kerosakan. Kenapa tak serahkan saja pada takdir untuk membuat ini semua?

Memanglah Tuhan boleh buat apa sahaja Dia nak tapi semuanya ada tertib. Tuhan boleh tukar basikal jadi kereta kalau Dia nak, Kancil jadi Mercedes Benz. Cukup dengan kata "Kun jadilah, diikuti Fayakun maka jadilah". Tapi Qudratnya dibawah ilmunya, sebab itulah badak tak bertukar jadi rimau, tikus tak jadi kucing. Akhirnya akal dan tangan manusia juga yang menjadikannya,manusia itu siapa?

Orang Melayu hari ini tidak mahu lagi menelan apa saja dan ikut secara membuta tuli. Ilmu agama kita mesti cari dan dalami, baru datang hidayah. Tapi nak cari macam mana kalau itu tak boleh, ini tak boleh, semuanya sesat belaka! Dalam hal ini, pemimpin patutnya menjadi contoh. Ilmunya mesti mantap dan terserlah melalui cara kehidupannya. Pemimpin tak boleh kata ikut apa yang aku cakap, jangan ikut apa yang aku buat. Cakap mesti serupa bikin! Pemimpin yang cakapnya tak serupa bikin tidak layak menjadi pemimpin. Sebaliknya dialah yang harus dipimpin. Sekarang ini berapa banyak orang mengaku layak jadi ulama lepas itu nak jadi pemimpin tapi cakap tak serupa bikin. Disebabkan didewa-dewakan, diberi imuniti, cakapnya tidak boleh dipersoalkan, ulama dah jadi macam Tuhan!

Imam Al-Ghazali penulis kitab Ihya Ulumuddin yang dianggap oleh kebanyakan orang Wahabi sebagai sesat, telah menulis kitab yang bertajuk "Misykat Al-Anwar" (pelita cahaya-cahaya) untuk mengupas beberapa hal ketuhanan. Kitab Ihya Ulumuddin, karyanya yang terbesar pula ditulis untuk mereka yang baru ingin menjinakkan diri dengan hakikat-hakikat di sebalik arahan syariat.

Al-Ghazali ialah seorang genius, mahir dalam berbagai aspek agama "fekah, usuluddin selain falsafah dan kalam" ketika masih muda lagi dan terkenal sebagai seorang scholar di percayai meneraju Maddrasah Nizamuyyah. Walaupun beliau telah mendalami berbagai cabang ilmu lain terutama ilmu mantik, nahu, saraf dan falsafah yang menjadi kebanggaan dunia Barat namun beliau merasakan semua itu tidak mencukupi sehingga beliau menemui jalan Islam adalah penyatuan. Beliau mendalami falsafah bagi menyelamatkan ummah dari tersesat oleh cabaran falsafah Yunani, seperti mana Al-Attas hari ini menggagaskan dewesternisasi dan Islamisasi, ilmu pengetahuan semasa dan menyerang wabak penselenlara. Konsep utamanya adalah pengEsaan, bukannya perpecahan. Ia bukan boleh hidup dengan cara menimbulkan permusuhan sesama umat. Astaghfirullah..! punyalah bidaah yang kita lakukan tapi kerana kita bergelar ulama kita tak salah!

Ulama kita lebih banyak menyuruh masyarakat membenci pihak-pihak tertentu yang tidak sependapat dengan mereka. Ulama bersikap riak, takbur. Mereka mengatakan bahawa puak dia saja yang terbaik. Nabi pun tak kata macam itu. Nabi kita tidak membezakan antara orang Arab dan Ajam. Dia cuma kata yang membezakan seorang Muslim itu adalah takwa.

Anak-anak kita dilahirkan bersih seperti kain putih tapi siapakah yang menjadikan mereka Nasrani, Yahudi dan Majusi? Bukankah ibubapa mereka sendiri? Sepatutnya mereka memberikan pendidikan agama yang sempurna dengan memberi teladan yang elok. Ini tak, mak bapak dek berbalah sesama sendiri, antara orang politik dengan orang politik, parti dengan parti tapi masing-masing mengaku Islam. Macam mana anak nak jadi elok?

Kenapa kita tak fikir dan cari kesalahan kita sendiri? Kenapa nak hukum anak-anak? Kenapa nak gari dan tangkap mereka? Penyakit ini datangnya dari mana? Kalau bukan ciptaan orang tua mereka sendiri! Air yang keruh di hulu masakan boleh jernih di hilir? Agama bukan makanan macam roti canai, boleh kasi anak-anak kita telan, mereka kenyang. Agama kena belajar, kena fikir, kena amal, kena rasa, sudah rasa sedapnya baru tak lupa. Baru sayang agama. Baru hidup tak celaru. Ianya bukan satu harta pusaka yang boleh diwarisi. Seperti nyanyian Raihan, yang bertajuk "Iman Mutiara". Kita hantar anak belajar ilmu keduniaan sampai peringkat universiti, tapi "ilmu fardhu ain" dibiarkan pada tahap sekolah menengah! Kenapa? Lufikirlah bro.

Iman.. tak dapat diwarisi..
Dari seorang ayah yang bertakwa?


Setiap orang yang berdakwah, samada pemimpin politik, ulama atau penceramah, mahupun ibubapa yang mendidik anak di rumah mestilah menampilkan sifat-sifat yang layak dicontohi dan diteladani. Mereka yang bercakap di depan khalayak ramai pula mesti mampu memberi penerangan yang jelas. Kenyataan yang dibuat mesti rasional dan sanggup dipertanggungjawabkan termasuklah kenyataan dan penerangan yang dibuat di TV.

Apa yang Pak Habib nampak penceramah di TV seperti tak berani menjawab soalan penonton secara berterus terang terutama hal-hal yang berkaitan dengan ilmu hakikat, tarikat dan makrifat. Lain orang tanya, lain pula yang dijawab dan jawapan yang diberikan pula berbelit-belit! Apakah takut salah cakap atau lantang sikit besok muka tak keluar TV?

Islam itu mudah, yang menjadikannya susah buat apa? Kita nak ajar hal-hal mengenai Islam, ajarlah cara yang mudah! Akibat tak faham apa itu Islam, apa itu manusia, siapa itu manusia, apa hubungan manusia dengan Tuhan, untuk apa tujuan Tuhan jadikan manusia, menyebabkan anak-anak muda hari ini jadi celaru. Mereka tak diberikan misi dan visi untuk akhirat untuk mengimbangi visi 2020.

TUHAN yang patut disembah tapi bila perkataan itu diterbalikkan, sebab yang haram dihalalkan, yang halal diharamkan, jadilah HANTU. Sembah hantulah gamaknya. Habis syahadat pun tak faham. Tak tahu macam mana syahadat rasul dan macam mana syahadat hamba. Syahadat bererti menyembah Allah saja, tidak selain dari Allah. Sekarang ini orang lebih takut pada hantu dari takutkan Tuhan. Tengok Misteri Nusantara nak, suruh mengaji tak mahu. Agaknya pasal itu ramai orang jadi hantu?

Kenapa manusia hari ini sembah duit, sembah pangkat, sembah kuasa, sembah betina! Untuk benda-benda yang disembah ini mereka sanggup habiskan wang berjuta. Tuhan letak dekat mana? Bila syahadah sudah tak betul, tanyalah para ulama, bolehkah yang lain-lainnya betul? Maka terperanjat bila ada manusia mengaku beragama tapi agama mereka sekadar ritual.

Nabi Muhammad saw selalu ditentang hebat, dikutuk, dihina, dituduh sebagai gila oleh masyarakat Arab Jahiliyah tapi baginda tak pernah melatah apalagi senang-senang mengkafirkan orang. Tentu ada sebab kenapa dia boleh melalui ini semua dengan reda dan tenang. Rahsia 13 tahun disembunyikan di mana? Macam mana Muhammad boleh tak terpengaruh ikut budaya Arab Jahiliyah yang sanggup menanam anak perempuan mereka hidup-hidup? Menyembah berhala, minum arak, berjudi, melakukan kekejaman dan kezaliman berleluasa. Macam manapun mereka tetap boleh menerima Muhammad saw sebagai nabi dan rasul Tuhan kerana baginda orang yang terbaik, yang sentiasa bercakap benar. Juga kerana keadilannya meletakkan kemanusiaan dan kasih sayang di atas segala-galanya...!

Pada mulanya, sinar kebenaran Nur Islam dari Allah menerusi Al-Quran yang disampaikan melalui Malaikat Jibrail kepada Muhammad membuat mereka cuba membunuhnya. Tetapi akhirnya Yahudi dan Nasrani serta Arab Jahiliyah dan pembesar kaum bangsawan Quraisy terpaksa menerima Islam lebih-lebih lagi bila Islam difahami oleh orang kafir sebagai agama yang memperjuangkan kepentingan manusia tanpa mengira kelas atau kasta.

Maka matilah Jahiliah oleh kekuatan kebenaran yang dibawa Muhammad. Nabi Muhammad saw menyampaikan ayat-ayat Tuhan dengan mudah melalui akhlaknya yang mulia. Baginda seorang yang jujur, ikhlas. Walaupun menerima ancaman godaan seperti wanita, harta dan kuasa, dihadiahkan matahari di tangan kanan dan bulan di tangan kiri, baginda tidak berganjak dari misinya untuk menyempurnakan akhlak dan kehidupan manusia. Inilah politik Islam. Bukan berpolitik untuk mencari Islam demi kepentingan puak dan diri sendiri. Nabi Muhammad mampu melakukan ini semua kerana baginda faham hakikat insan. Malah dialah yang mengajar hakikat insan kepada umatnya. Sebab itulah semangat orang Islam dulu begitu cekal walaupun mereka fakir miskin dan teruk ditekan oleh puak Jahiliyah. Bilal bin Rabah yang dipaksa supaya meninggalkan Islam untuk kembali kepada agama jahiliyah sanggup menerima seksaan yang begitu berat. Beliau cuma menjeritkan "Ahad, Ahad" setiap kali disebat. Hasil kejayaan pendidikan Baginda. Rasulullah SAW sehinggakan keempat-empat sahabat baginda masing-masing mencapai setinggi-tinggi darjat insan. Kata Saidina Abu Bakar "Aku tak melihat sesuatu kecuali Allah SWT ku lihat sesudahnya", kata Saidina Omar "Aku tak melihat sesuatu kecuali Allah kulihat sebelumnya", dan Saidina Ali "Didalamnya inilah martabat insan Al kamil, yang menyempurnakan, berselawatlah diatas Baginda SAW" yang zuriatnya tumbuh kokoh zaman demi zaman, sang anak mengambil dari ayah, sehingga tersebarlah Islam ke segenap pelosok dunia dan alam Melayu ini khususnya hari ini timbul golongan yang cuba menafikan peranan zuriat Rasulullah SAW dalam memelihara syariat, tariqat dan hakikat, pusaka Baginda SAW, bahkan ada yang bertindak menghina dan mengeji para Habib, mempersoalkan pertalian mereka dengan Nabi kita Muhammad SAW.

Dalam bidang sejarah, para orientalis barat cuba timbulkan rekaan khayalan mereka, mengatakan Islam di alam Melayu disebabkan oleh orang-orang India atau Cina. Tetapi seperti dibuktikan oleh Prof. Naquib Al Attas dalam karyanta "Historical Fact and Fiction", sebenarnya para zuriat Nabi lah yang mengIslamkan alam Melayu, dan hari ini ada lebih sejuta dan ada dikalangan mereka yang masih tetap dengan jalan datuk dan nenek mereka, mereka inilah yang patut dihargai dan dihormati.

Maka untuk kembalikan Islam di zaman Muhammad kita mesti memahami hakikat Islam yang sebenarnya. Sanggupkah kita menolak kuasa, harta dan wanita? 
Beranikah kita berkata benar, walaupun kebenaran itu pahit? Sanggupkah mereka meninggalkan perbuatan rasuah yang sudah menjadi wabak? Kalau wabak rasuah, gila kuasa, gila kekayaan, gila betina, gila judi ini boleh dihapuskan dan ikut seperti sunnah rasul, maka penyakit masyarakat mudah diubati. Ada ke ulama yang sanggup jadi "role model" seperti ini? Adakah ulama yang dah master hakikat insan lalu layak dipanggil guru mursyid untuk membimbing masyarakat kita ini?
AMUKANMELAYU - Kemana arah tujuan kita jika semua ini tidak di ambil kira.....