Wednesday, 21 May 2014

"Melayu Celaka" Rempuh Dewan Undangan Negeri Cari Rayer


GEORGE TOWN : Sekumpulan 200 lelaki membabitkan ahli Umno dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bertindak merempuh pagar utama Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi membantah tindakan wakil rakyat pembangkang yang membuat kenyataan yang disifatkan biadab. Dalam kejadian kira-kira pukul 2.10 petang pada Rabu, sekumpulan lelaki itu bertindak sedemikian kerana tidak berpuas hati dengan kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seri Delima, RNS Rayer yang menyebut "Celaka, Celaka, Celaka Umno' ketika membahaskan usul ucapan terima kasih di atas perasmian Yang DiPertua Negeri Pulau Pinang pada Sidang DUN Pulau Pinang pada Selasa. Sehingga berita ini disiarkan, kumpulan itu hanya keluar dari pekarangan DUN menuju arah bertentangan bangunan itu pada pukul 4 petang dan masih belum bersurai sepenuhnya.
Pasukan polis mengawal keadaan selepas kumpulan terbabit bergerak ke seberang jalan di hadapan DUN Pulau Pinang.

Insiden yang juga menyaksikan kumpulan berkenaan  melemparkan telur ke pintu utama DUN itu menyebabkan kesesakan lalu lintas di Lebuh Light, di sini. Ketua Pembangkang merangkap Adun Teluk Air Tawar, Datuk Jahara Hamid turut mengecam tindakan Rayer yang disifatkan sebagai satu cubaan untuk merendah-rendahkan umat Islam. Sementara itu, Adun Pulau Betong, Farid Muhammad Saad menemui penyokong Umno dan NGO di seberang jalan di hadapan bangunan DUN Pulau Pinang untuk mengawal keadaan. "Kami tak boleh terima perkataan 'celaka' untuk semua orang Melayu.  Perhimpunan bukan bertujuan mencetuskan huru-hara tetapi menyatakan rasa kurang senang terhadap perkataan yang kesat  itu.
Rayer - UMNO celaka
Imuniti dewan tidak harus disalahgunakan dengan mengeluarkan perkataan kurang sopan sehingga mencetuskan kemarahan dan tidak menunjukkan kematangan politik secara profesional," katanya. Naib Ketua Pemuda Umno Pulau Pinang, Jasmin Noordin ketika ditemui berkata, kenyataan Adun pembangkang itu menggambarkan Rayer (gambar kanan) sebagai ahli politik tidak matang. "Kita minta YB Rayer tampil ke hadapan. Kita tidak akan berhenti di sini saja. Kalau dia tak keluar kami akan kejar dia sampai ke rumah," katanya. Jasmin turut menuntut Rayer untuk memohon maaf dan menarik kata-katanya yang dilihat sengaja menyalakan sentimen perkauman.
Selagi dia tak minta maaf, kita tunggu dia. Kalau dia tak nak keluar, minta maaf. Jangan kurang ajar dengan kita... jangan sentuh Melayu. "Kita tak bagi tempoh masa untuk dia minta maaf. Kita mahu dia perbetulkan tindakannya," katanya. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut ACPMior Faridalatrash Wahid yang hadir bersama sepasukan anggota polis mengarahkan kumpulan lelaki terbabit bersurai bagi mengelak keadaan tidak diingini berlaku.
 
* Itulah. Tak ada pasal nak cari pasal. Sekarang apa sudah jadi. Jangan cuba cabar kesabaran kami orang Melayu. Perkatan 'celaka' tu sudah melampau. Kepada ADUN Seri Delima, Rayer, jangan cuba-cuba menghina bangsa kami orang melayu. Sekarang terimalah padahnya. Kepada orang-orang melayu Pulau Pinang, kususnya melayu UMNO Pulau Pinang, cukup ke setakat minta si Rayer tu minta maaf? kenapa kita ni (bangsa melayu) terlalu memaafkan? Fikir-fikirkan kerana kini bangsa melayu tidak lagi dihormati.   * Wasallam ~ IBM


Tindakan Adun Seri Delima (DAP) semalam yang melakukan provokasi apabila menggelarkan pemimpin melayu sebagai "celaka" terbukti telah meniupkan api kebencian apabila etnik yang dihina itu berkumpul dan merempuh masuk ke dalam Dewan Undangan Negeri untuk menuntut permohonan maaf dari wakil rakyat tersebut dan menuntut agar tindakan sewajarnya dikenakan


Dyana dan LKS Terkejut? Alumni MPP UiTM Mula Bersuara...

PENDIRIAN RASMI
PERSATUAN ALUMNI MAJLIS PERWAKILAN PELAJAR UiTM (PIMPIN) BERHUBUNG KENYATAAN MENGENAI UiTM OLEH CALON PARTI DAP DI PILIHANRAYA KECIL PARLIMEN TELUK INTAN, PERAK

Persatuan Alumni Majlis Perwakilan Pelajar UiTM (PIMPIN) ingin melahirkan kekesalan di atas kenyataan calon Parti Demokratik Rakyat (DAP), pilihanraya kecil Parlimen Teluk Intan; Dyana Sofya Mohd Daud, 27 tahun, seorang graduan undang-undang dari UiTM mengenai alma maternya yang dinyatakannya melalui siri ceramah kempen PRK Teluk Intan.

Meletakkan UiTM sebagai pusat tumpuan dan isi kempen bagi kawasan Parlimen yang mempunyai lebih 60 ribu pengundi berdaftar telah menjadikan masyarakat keliru dengan hala tuju perjuangan yang cuba diketengahkan. Dalam satu nada, Dyana mengangkat semangat Perlembagaan tetapi dalam nada yang lain, meletakkan UiTM yang merupakan material kepada Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan pada neraca khayalan “ketidakadilan kaum” di Malaysia.

UiTM sebenarnya merupakan manifestasi kesatuan dan kefahaman total rakyat Malaysia terhadap kesuburan demokrasi di Malaysia. UiTM tidak akan wujud sekiranya quid pro quo tidak menjadi asas pembentukan dan simpulan tolak ansur rakyat yang diikat melalui Kontrak Sosial. Justeru, sebagai seorang warganegara yang baik, Dyana tidak perlu rasa bersalah sekiranya ada insan bukan Melayu/Bumiputera yang bertanya mengenai UiTM.

Malah, sebagai seorang graduan undang-undang yang telah ditempa kebijaksanaan oleh UiTM, terangkan sahaja dengan jelas dan yakin bahawa UiTM ini hanya dikhaskan untuk Melayu dan Bumiputera. Dyana tidak perlu menjadi graduan UiTM pun sekiranya perkara asas mengenai negara dan institusinya seperti ini hendak diterangkan kepada khalayak umum. Pokoknya, Dyana tahu, faham dan jelas tetapi masih mahu menjadikan UiTM sebagai lauk cakap-cakap di pentas politik parti pilihannya.

Menyentuh perkara lain yang dibangkitkan mengenai UiTM dengan parti pemerintah, Dyana sendiri sebenarnya faham dan sedar bahawa tidak ada afiliasi mahupun polisi menjadi ahli parti politik tertentu apabila menjadi mahasiswa UiTM. Mempertahankan institusi seperti UiTM bukan menjadi tugas parti pemerintah sahaja bahkan ia adalah amanah yang perlu dipikul oleh setiap organisasi politik yang ada. Sekiranya parti yang didukungi beliau tidak mampu melaksanakan amanah ini, jangan sesekali memperlekeh usaha dan tanggungjawab yang dikelek oleh parti politik yang sentiasa menjunjung tinggi aspirasi rakyat seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan.

Dalam soal lain yang membabitkan kemasukan golongan tertentu sahaja diterima masuk ke UiTM, Dyana menyerlahkan sisi semberono beliau dalam mengeluarkan kenyataan. Walau apa pun, kenyataan itu secara tidak langsung mengiktiraf peranan UiTM (yang dikenali sebagai ITM sebelum 1999) dalam memperkasa kedudukan ekonomi dan sosial masyarakat peribumi tanah bertuah ini. Oleh kerana kejayaan UiTM melahirkan profesional dan teknokrat Melayu yang dapat mengubah landskap sosial negara serta merapatkan jurang ekonomi masyarakat, maka para alumni yang telah mendapat manfaat tersebut meneruskan usaha dengan menghantar anak-anak mereka ke UiTM. Apakah Dyana bukan sebahagian daripada hasil kejayaan ini?

Walau bagaimanapun, kejayaan yang ada ini perlu terus disuburkan dan kini Program Mengubah Destini Anak Bangsa (MDAB) diperkenal sebagai ruang untuk membantu anak-anak Bumiputera yang memerlukan. Pelaksanaan program ini bukanlah untuk mengambil sebahagian kek kekayaan negara daripada sesiapa malah ia akan membesarkan lagi kek tersebut agar limpahannya turut dirasai oleh yang lain atas semangat persaudaraan Perlembagaan Persekutuan.

Untuk itu, terang lagi bersuluh, UiTM merupakan simbol aspirasi seluruh rakyat Malaysia yang berpegang pada keluhuran Perlembagaan dan juga titik di mana 1Malaysia bermula. Bagaimana kita hendak terangkan kepada generasi akan datang, di mana letaknya akar persefahaman rakyat Malaysia jika UiTM yang bersandar semangat Perlembagaan sudah lenyap diwakafkan?

Kalau bukan kerana nama UiTM, Dyana pada hari ini mungkin tidak diberi ruang istimewa di dalam lingkaran parti politik yang sememangnya tidak mesra UiTM dari dahulu lagi. Kalau bukan kerana nama UiTM, Dyana pada hari ini mungkin masih merangkak mencari-cari pintu di dalam kesempitan demokrasi parti yang tidak mungkin memberi sinaran politik kepada orang Melayu di dalamnya. Kalau bukan kerana nama UiTM, Dyana pada hari ini mungkin tenggelam dalam lipatan dinasti kekeluargaan parti yang bersungguh mewakafkan UiTM untuk tidak lagi diisi oleh generasi Rozi, Shahril, Mahanum, Hafeez atau pun Asrul.

Justeru, PIMPIN menegaskan bahawa perihal mengenai UiTM tidak seharusnya menjadi isu di dalam mana-mana pentas sekiranya semangat Perlembagaan Persekutuan dijunjung tinggi tanpa sebarang prejudis dan prasangka. Pemain-pemain politik seharusnya menggunakan pentas kempen sebagai medan memperkasa kefahaman mengenai Perlembagaan Persekutuan apatah lagi menyebarkan semangat perpaduan di kalangan masyarakat.

Gerak politik yang mengalunkan gendang kebencian serta mengelirukan sewajarnya ditolak. Semoga Dyana tidak lagi rasa bersalah untuk menerangkan dengan jelas dan yakin mengenai UiTM kepada sesiapa sahaja yang bertanya kepada beliau terutamanya kepada mentor- mentor di dalam parti yang diwakilinya.

UiTM Di Hatiku.

SAIFUL AZHAR SHAHARUN Presiden
Shah Alam, Selangor
21 Mei 2014
21 Rejab 1435 Hijrah





AMUKANMELAYU - Siapa yang lebih celakanya?