GUA MUSANG - Lebih 200 keluarga penduduk Orang Asli di Pos Pasik, dekat sini, berdepan risiko penyakit apabila menggunakan air tadahan bukit berlumpur bagi keperluan harian sejak tiga bulan lalu.

Ini didakwa mereka berpunca akibat kegiatan pembalakan dan pembukaan ladang rakyat secara meluas di sekitar penempatan mereka tanpa menghiraukan kawasan tadahan air bukit.


Mereka menggunakan kemudahan air tadahan bukit disediakan Jabatan Kesihatan Kelantan itu walaupun tercemar kerana tiada pilihan lain.

Menurut seorang penduduk, Asuk Alang, 48, sebelum ini penduduk kampung hampir bergaduh dengan syarikat pembalakan dan pengusaha ladang yang memasuki kawasan tadahan air bukit itu.

"Namun, keadaan ini sukar dihalang berikutan syarikat terbabit mendapat kebenaran Kerajaan Negeri," katanya.


Dia bimbang jika tiada tindakan menghalang syarikat tersebut dalam masa terdekat, kemungkinan lebih ramai kaum Orang Asli berpindah ke penempatan baru.


“Sejak kebelakangan ini sudah ramai penduduk Orang Asli berpindah ke kawasan hutan berjauhan kerana tidak suka digangguan.

“Air bukit tercemar, ia berselut punca daripada kegiatan pihak berkenaan,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Husin Angah, 41, pula mendakwa, kaum Orang Asli kini berdepan pelbagai penganiayaan walaupun penempatan itu sudah lama didiami mereka. Katanya, sepatutnya Kerajaan Negeri meneliti terlebih dahulu kawasan yang menjadi keperluan kaum itu supaya tidak diganggu tetapi keadaan sebaliknya berlaku hingga menimbulkan banyak masalah.


“Kalau keadaan macam ini tidak diatasi, sampai bila kaum kami tidak akan maju dan terus ketinggalan menikmati arus pembangunan negara,” katanya.


Dia sedih kerana Orang Asli tidak mendapat pembelaan, malah rayuan mereka selama ini langsung tidak diendahkan.