Wednesday, 1 February 2012

#1 KENANGAN LALU




Kalau ada sumur diladang,
Boleh kita menumpang mandi,
Kalau ada umur yang panjang,
Boleh kita berjumpa lagi.

…………Pantun pusaka Melayu yang tidak pernah ku temui penciptanya………


            Kabus pagi masih menyelubungi pemandangan. Suhunya amat dingin sekali, di dalam raga plastik merah, emak telah meletakkan beras, garam, belacan, gula, dan nasi goreng. Ayah telah lama pergi menyusuri denai bersama sebilah parang. Dalam dingin subuh dan embun membelit kaki, ayah perlu sampai ke sawah yang terletak hampir empat kilometer dari rumah. Ayah perlu sampai ke sawah sebelum burung ciak bangun. Kalau tidak padi bendang kami hanya tinggal tangkai sahaja dibaham oleh burung-burung ciak.

         Kami tujuh beradik bangun berselang seli selepas dikejutkan oleh mak. Dua orang adik kembar kami, Fadzil dan Fadzila amat susah untuk bangun pagi. Adik perempuanku Nasriah dan Fauziah telah lama bersiap. Kami mengambil barang masing-masing seperti yang telah dilakukan oleh kami setiap hari. Abang dan mak berjalan dahulu. Aku selalu mengambil bahagian belakang sekali. Dengan seluar pendek, kain bersilang di bahu serta lastik tersangkut di leher, aku menyusuri mereka. Sejak dari kecil lagi, aku jarang berbaju. Bagaikan itik pulang petang, kami berderet menyusuri denai yang telah ayah lalui di awal subuh tadi.

         “Mak, semalam Man ada peram buah cempedak dalam hutan tu.” , aku bersuara.
         “Hang gi tengok, mana tahu kalau ada rezeki kita.” ,emak menyuruh aku pergi melihat buah cempedak tersebut.
         “Mak…………..masak dah buah ni”.
         “Ambik mari sini, nanti kita buat cucur. Ayah hang suka ni.” , emak menambah. Aku mengambil buah tersebut dan menyusuri mereka.

ايهکو، ايبو، اديق بوڠسوکو دان انق سولوڠکو، حفيظ

         Dari jauh terdengar sayup-sayup suara ayah menghalau burung-burung ciak yang hinggap di rumpun-rumpun padi yang sedang menguning. Sampai di dangau, kami masing-masing memeriksa kaki sendiri. Ke semua kami tujuh beradik sudah biasa dengan pacat dan lintah. Sudah tidak takut dan geli lagi. Sambil itu emak mengemaskan dapur kayunya. Di hadapan dangau, air parit mengalir hening dan jernih. Sejuknya hingga ke tulang hitam. Emak memberikan Nasriah cerek hitam berarang yang tidak pernah di gosok untuk mengambil air di parit. Setelah air kopi terhidang dalam cawan-cawan yang retak, emak memanggil ayah untuk bersarapan.

“Heh…..!!! Budak-budak duk tunggu nak berkudap ni…!!!”.

Ayah tidak menjawab panggilan emak. Sebaliknya ia menyusuri batas-batas sawah balik ke dangau. Adik kembar dan adik bongsu aku mula dengan aktiviti berebutnya.

         “Jangan berebut, tak baik adik-beradik berebut depan rezeki ni”, emak menegur adik-adik. Dengan mulutnya dimuncungkan, ayah menghirup air kopi panas, sambil membelek-belek kakinya.

         “Hangpa ambil cempedak di mana?” , ayah  bersuara.
         “Cempedak Tok Dohap, semalam Man peram, pagi ni gi tengok dah masak. Tu suruh Mek buat cucur”.
       “Sedap….!!!! Pandai Mek buat cucur”, ayah menambah lagi. Aku lihat adik perempuan ku, Nasriah yang lebih terkenal dengan  panggilan Mek oleh emak dan ayah tersengeh-sengeh malu bila ayah memujinya.

         Selesai sarapan kami membuat aktiviti tersendiri. Dengan diketuai oleh abang, kami ke sungai di kepala bendang. Abang memang pandai memancing. Aku dan adik-adik hanya menemani abang sahaja. Apabila tengah hari, dengan beberapa ekor ikan yang ada di tangan dan terdengar suara mak memanggil pulang. Dalam perjalanan pulang itu, selaku ketua, abang mengarahkan kami mengutip sayur-sayuran untuk di bawa pulang ke dangau. Pucuk paku, paku leweh, jantuh pisang, dan kulat sisir semuanya kami sapu.

         “Eh….. Apa banyak sangat ni”, emak menegur.
       “Tu…!!! Abang yang suruh”, aku menjawab.
       “Abang…!! Jom gi dangau Ki. Yong dengan Ayah Chu ada tadi, aku mengajak abang pergi.
           “Semua gi mandi dan jangan jale mana-mana lagi. Mak nak masak ni”, emak melarang kami pergi.

[ايه چو اکو [محمد سيبي بن علي
Abang hanya melihat aku. Dengan bahasa badan yang hanya kami yang memahami, abang memberi arahan supaya semua kami pergi mandi. Riuh rendah di buatnya apabila tujuh beradik kami mandi sekali. Air parit ini tidaklah dalam, tapi adik bongsu aku, Ridzuan tercungap-cungap juga minum air seteguk dua di buatnya apabila si kembar Fadzil dan Fadzila membulinya.

         “Awang……!! Akat adik tu… mak tengok dah lemas tu”, emak menjerit dari dapur. Abang mendukung Ridzuan dan membawa pulang ke dangau.

         “Haaa….!!!! Sudah tu. Dah tengah hari ni” ,emak memanggil kami semua pulang ke dangau. Kami semua menggigil kesejukan. Angin gunung yang sejuk dan dingin berhembus lembut menyapa dingin telinga kami. Bibir-bibir kami menjadi kebiru-biruan dan jari-jari tangan kecut kesejukan. Betapa indahnya kampungku.

         Dari jauh sayup-sayup terdengar Acu, Nyah, Yang dan Pak Ngah Meri menghalau burung-burung ciak yang hinggap di rumpun-rumpun padi yang sedang menguning. Sementara di dapur dangau kami, asap hitam berkelun manyapa awan dek dapur kayu yang sedang mak gunakan.

         Rebus pucuk paku dan air asam ikan seluang amat menyelerakan. Selepas makan, adik perempuan ku, Nasriah dan Fauziah mengutip pinggan-pinggan (yang sebenarnya hanyalah piring-piring sumbing dan mangkuk tempurung) dan di bawa ke parit untuk dicuci. Anak-anak seluang bersaing jinak di celah-celah tangan mengutip sisa-sisa nasi yang jatuh semasa pinggan-pinggan sedang dicuci. Jinak dan tidak tercemar. Selesai makan tengahari, semua aktiviti bagaikan tergendala.

Suara Acu dan Nyah sayup-sayup terdengar dibawa angin, menghalau burung-burung ciak yang berkepala putih yang hinggap berkawan di rumpun padi. Kawanan burung ini sangat banyak, kadangkala mencecah ribuan ekor.

کانن سکالي، ڽه اکو [يوسف بن علي ] برسام کاونڽ.
            “Meee…..Awang…!!!! cuba gi tengok petak merbo, mak rasa burung banyak di sana tu?” emak bersuara.
         “Baik mak” aku menjawab dan berlalu pergi bersama abang.

 Kami meniti batas parit yang becak di celah-celah rimbunan pokok-pokok pisang awak yang subur menghijau. Bunyi lesong air yang aku buat beberapa hari lalu untuk menghalau babi di waktu malam masih berdenting tanpa henti. Sampai kami di hujung parit, aku ternampak sekawan beburung yang sedang asyik mematuk biji-biji padi yang sedang menguning itu. Aku mengambil batu dari poket dan menarik lastik perlahan-lahan, berdesup batu lastik aku bila pelapiknya aku lepaskan. Serentak dengan itu juga abang menjerit sekuat hatinya untuk mengejutkan dan menghalau beburung itu.

Bagaikan awan yang sedang berarak burung-burung itu terbang berkumpulan meninggalkan rumpun padi yang sesetengahnya hanya tinggal tangkainya sahaja. Aku dan Abang terus melepak di bawah pokok mempelam di tepi banir kayu yang besar bagaikan gergasi. Aku tidak tahu berapa usia banir kayu merbau ini. Seingat aku, banir ini telah berdiri gagah di sini sejak aku belum lahir lagi.

Hari semakin petang, redup bayangan pokok jenerih membuatkan aku bertambah selesa di celah banir merbau ini. Beburung sudah mula berkurangan. Dari dangau sayup-sayup terdengar adik-adik bermain sesama mereka. Tapi selalunya jika aku dan Abang tiada, mak takkan benarkan mereka bermain dan mandi di parit di hadapan dangau itu. Redup bayangan pokok jenerih hampir menutupi sebahagian dari petak-petak sawah kami dan desiran angin yang berhembus melewati batang tubuh ku, membuatkan aku menggigil kesejukan. Aku perhatikan abang menggosok-gosokkan tangannya, bulu romanya meremang menahan kesejukan.

“Awang…..Meee…..!! kelik. Hari dah petang ni”, emak memanggil kami pulang ke dangau.
“Yaaa….!!!!” Aku dan abang menjawab serentak.

Kami berlarian meniti batas-batas parit yang becak berair itu pulang ke dangau. Aku tergelincir. Gedebab……… bagaikan nangka busuk, aku tertiarap. Cabang lastik yang tersangkut di leher ku telah menujah perut .

“Aduh….!! Abang…!! Senak la!!!” aku memanggil abang yang tidak berapa jauh dari ku.
“Haaaa…!! Tu laa. Lari tu baik-baik la sikit. Heee tu bukannya kuat sangat” abangku merungut-rungut kecil.

Abang mangangkat aku dari belakang. Abang  bukanlah besar sangat. Badannya kurus kering, kawan-kawan memanggilnya kecong*. Dengan kudrat yang ada dia mengangkat aku sekuat hatinya. Aku masih lagi menangis dan dari hidungku meleleh hingus yang keluar dan sesekali terjadi belon-belon kecil di lubang hidung ku.

“Basuh baju tu..” abang menyuruh aku membasuh baju yang kotor lagi berselut.
“Mari abang bukak baju tu” abang menambah.

Tanpa banyak bicara dengan badan yang terhinggut-hinggut menahan tangisan, aku membiarkan abang membuka bajuku dan dikocak-kocakan di dalam air parit yang jernih itu. Abang memerah baju basah itu dan diserahkan semula kepadaku untuk di pakai. Aku menolak kerana tidak mahu memakai baju yang basah dan amat sejuk  sekali kerana angin dingin dari gunung semakin galak bertiup kencang. Dinginnya sehingga menusup ke dalam rongga tubuhku.

Sampai di dangau, emak dan adik-adik telah siap untuk pulang. Ayah sedang mandi di parit sambil mencuci tajak dan cangkul yang digunakan tadi untuk menebas batas-batas sawah. Selesai mandi, ayah menyimpan tajak dan cangkulnya di celah-celah rimbunan pohon-pohon pisang di tepi kali. Hari semakin redup. Sesekali terdengar batuk-batuk kecil yang aku kenali suaranya.

Seperti biasa, adik-adik berjalan dahulu dengan diikuti emak, abang, aku dan ayah. Sampai di bawah pokok jenerih mak menyelak-nyelak rumput yang panjang itu untuk mencari kasut yang disorokkan di situ semasa di awal pagi tadi. Setelah selesai semuanya kami menyambung perjalanan.

“Mak….takut la, nak lalu titi ni” , Nasriah dan Fauziah bersuara.
“Awang…pegang tangan adik tu” , mak mengarahkan abang supaya memimpin tangan Nasriah.

Secara tidak langsung aku memegang tangan Fauziah dan memimpinnya untuk menyeberang parit dalam yang memisahkan antara kebun getah Ki Ali dengan bendang Mak. Ayah mendukung si kembar dan mak pula mendukung Ridzuan sementara raga barang-barang mak menjunjung di atas kepala. Sampai di dangau Ki, kami nampak Yong Muzi dan Ayah Cu sedang menunggu kami di atas batang kayu ara yang tumbang. Aku terkial-kial untuk melangkah batang ara yang tumbang itu. Ayah Cu dan Yong Muzi ketawa sakan melihat kami.

“Sibi….angkat anak tu” Ki bersuara dari tangga dangau.
“Haaa..jom laa mek dulu” Ayah Cu menyuruh mak berjalan dulu.

Sambil mengangkat kami seorang demi seorang untuk melepasi batang ara yang tumbang setinggi paras kepala kami tu, Ayah Cu tersenyum melihat gelagat kami, dengan tangan yang dikilas kebelakang. Ki mengekori kami berderetan melewati lorong-lorong kecil di dalam kebun getah yang tidak terbela semak dan menyeramkan. Sesekali terdengar ayah dan Ki berbual bual kecil.

“Pak Kecik….oooo Pak Kecik, Cek Andak tak mari ke pagi tadi” ,emak bertanya kepada Ki.
“Tak… “ jawab Ki pendek.
“Emak sakit kepala pagi tadi” ,Ayah Cu pula menambah.

Dalam kami asyik berbual tu, tidak sedar rupanya kami telah sampai di pinggir kampung. Kami melewati jambatan kayu Tok Yakob. Dari atas jambatan itu aku ternampak ikan puyu dan sepat ronggeng asyik  bekejar-kejaran. Dari air sawah yang jernih itu, sang haruan sebesar lengan sedang menanti masa dan ketikanya untuk menyambar anak-anak puyu dan sepat untuk dibahamnya.

جمبتن توک يعقوب دان برتوکر بارو
“Besornya ruee tu”,  Ayah Cu menegur haruan yang sebesar lengan itu.
“Haaaaa laa...........” Yong Muzi menambah.

Dengan siripnya yang digerakkan perlahan-lahan haruan besar itu bergerak menuju ke muka telaga di tepi sawah. Anak-anak menerung yang baru tumbuh dan tunggul-tunggul padi yang berderetan, ternampak dengan jelas gelagat ikan-ikan, katak dan ketam merayap-rayap di dasar sawah.
د سينيله دهولو. سبيدڠ ساوە يڠ باڽق دڠن ايکن-ايکن
Di ufuk barat matahari telah condong benar, tinggal segalah lagi untuk tenggelam ke semuanya, sedangkan kami baru sampai di hadapan rumah Pak Teh. Pak Cu Mail dan Pak Uda E telah bersiap-siap untuk ke surau. Pak Long Chee sedang mendaki bukit untuk balik ke rumahnya yang terletak sebaris dengan rumah Pak Teh.

“Dari mana tu Chee” , emak menyapa Pak Long Chee
“Dari kedai.., Mek.....” , Pak Long Chee menjawab
“Eh....Pak Kechik pun ada ke?” , Pak Long Chee menambah
“Haaa...kesie dengan bebudak ini, tu yang aku kelik sekali denge demo tu” , Ki memberi penjelasan.

[کيري-ڤق لوڠ چي [حسن بصري بن جوسين
موڠکين ݢامبر اين اونتوق کنڠن سساورڠ
Sampai di rumah matahari benar-benar telah tenggelam. Azan dari surau Pak Teh, surau Tok Aji Nali dan surau Kampong Pek Tinggi bersahut-sahutan, memanggil-manggil insan yang syamul menyembah Ilahi tuhan yang satu. Seperti biasa suara Tok Besar yang keserakan itu mengalun azan magrib dari surau Tok Aji Nali. Aku, abang dan adik-adik keletihan, sambil menunggu mak menyediakan makan malam, kami adik-beradik bermain dengan bayang-bayang. Cahaya pelita yang samar-samar itu amat sesuai untuk kami bermain.

Semua mata adik-adik tertumpu ke dinding. Dengan tangan yang membelakangkan pelita dan jari-jemari yang dilentukkan, maka terjadilah beberapa objek yang menyerupai binatang dan sebagainya. Binatang yang selalu kami lukis melalui bayang-bayang ini adalah kambing dan itik angsa. Abang dengan hal sendiri. Mungkin ia merasakan yang dia terlalu dewasa untuk bermain dengan kami yang masih dengan alam kanak-kanak itu.

Dari dapur terbau aroma yang amat menyelerakan. Rupanya emak sedang menggoreng kangkong dengan ikan bilis dan kacang panjang yang telah dikutip oleh mak di kepala bendang tadi dibuat masak lemak juga dicampor ikan bilis. Alangkah sedapnya masakan ibu. Sentuhan jari-jemarinya menyediakan resepi yang tidak berbuku itu bisa menggamit perantau pulang kerananya.

Nasriah memang cekap didapur. Sesekali terdengar pinggan-pinggan dan piring yang berlaga. Emak menegur Nasriah agar lebih berhati-hati. Nasriah menyenduk nasi sementara Fauziah pula menyiapkan air celup tangan dan gelas minuman. Fauziah mengisi air di dalam labu tanah.  Bunyi air yang masuk kedalam labu itu amat mengasikan. Dua talam hidangan telah siap. Satu talam adalah untuk kami yang lelaki dan satu lagi untuk emak dan adik-adik perempuan serta Ridzuan yang masih kecil.

اديقکو، فوزيه دتڠه ساوە د کاکي ݢونوڠ جراي، قدح.-راجوق تق سودە
Selesai makan. Nasriah dan Fauziah mengutip pinggan dan membasuhnya. Emak mengambil raga pinang dan berlalu ke muka pintu. Emak membuka pintu. Bunyai daun pintu yang dibuka itu  bagaikan bunyi dari rumpun buluh yang bergeseran semasa angin kencang bertiup. Emak mengacip pinang kering dengan kacip yang telah usang dan senget. Sekerunya telah tanggal dan emak gantikan dengan paku yang dibengkokan. Emak mencalitkan kapur ke daun sirih dan dimasukan ke dalam mulut perlahan-lahan. Bagaikan inang di istana, limpahan cahaya bulan yang terkena diwajah mak, menampakan keayuan wajah yang putih gebu itu adalah ibu ku.

Emak merenung jauh kehadapan, melewati pohon-pohon rumbia dan hutan mengkuang di suak berhampiran rumah Cu Salmah. Pinang kering didalam mulutnya dikunyah perlahan-lahan, mungkin mak terkenangkan adik aku yang telah pergi meninggalkan kami. Sebelum mak melahirkan kembar Fadzil dan Fadzili, aku ada adik bernama Fauzi. Aku dan keluarga semua amat sayang kepadanya. Semasa ayah membuat huma di Cerok Sembuk, kami sekeluarga pindah ke sana. Ayah dirikan dangau dari kayu-kayu hutan dan berdindingkan buluh.

Dangau kami berhampiran dengan anak sungai yang mengalir dari gunung. Airnya dingin dan jernih hingga tak terkata. Padi huma kami amat subur. Emak sangat rajin. Bermacam-macan tanaman ditanamnya sementara menanti padi masak. Jagung, kacang pancang, kacang sayap, kacang sepat, timun batang dan timun betik. Sebagai ketua keluarga, ayah amat mengambil berat hal makan minum kami.

Sepanjang anak sungai yang mengalir disebelah dangau kami itu, ada bermacam-macam khazanah di dalamnya. Ada bemacam-macan ikan, siput dan sayur-sayuran kampung yang hidup didalamnya. Ayah selalu mengajak kami memancing bersamanya atau mengutip gondang dan pucuk cekeraung* disepanjang sungai itu.

Dalam keluarga kami, rasanya akulah yang paling rapat dengan mak. Pada suatu hari, mak, ayah, abang dan aku berada dibukit seberang sungai, aku dan abang mencari-cari timun betik masak dicelah-celah pokok padi yang sedang mendapor besar*, ini kerana aromanya sesekali melintasi hidung kami. Sementara Nasriah pula sedang mengemas dapur dan Fauziah mengasuh Fauzi yang telah berjalan tetapi suka  merangkak.  Sambil itu sesekali dari seberang sungai aku perhatikan mereka sedang bermain masak-masak, Fauziah menyalakan api dengan ranting-ranting kayu tapu* dihadapan dangau.  Bagaikan orang dewasa, mereka menyiapkan dengan tungkunya sekali. 

Fauzi menunggu ditepi api, sedang Fauziah mengutip daun-daun kayu dijadikan “ikan” dan sayur-sayuran. Sedang Fauziah leka dengan “lauk-pauknya” , aku perhatikan api semakin besar. Dalam kabus pagi walau pun sudah jam sebelas lebeh, emak menjerit dengan sekuat hati.

“Mek…..!!! Fauziah….!!! gi tengok adik tu….. mak rasa dia bakar timba….” mak menjerit.

Aku dan abang berlarian dicelah-celah pokok padi yang tinggi separas kepala kami. Abang sampai dahulu.. Di dangau, aku lihat timba plastik yang mak gunakan untuk mengisi sabun itu telah tinggal sedikit sahaja lagi dimamah api. Fauzi entah kemana. Mengikut kata Fauziah, dia bersembunyi didalam rumpun padi dihadapan dangau. Susah jugalah untuk memujuknya. Hanya Fauziah dan mak sahaja yang dapat melembutkan hatinya.

Ketika padi mula hendak dituai, hampir kesemua kami dijangkiti demam yang amat sangat. Keluarga dari kampung, Tok, Tok Yang Goleng, Pek Anjang dan yang lain-lain menjemput kami balik ke rumah kami dikampung. Selepas beberapa minggu, adik kesayangan ku pergi buat selama-lamanya. Sampai kehari ini, aku tidak tahu apakah punca demam yang membawa maut itu dan sampai ke hari ini juga, ayah semacam tidak mahu lagi menyebut perkataan HUMA. Tok pula , mengharamkan kami membuat huma lagi. Ayah akur dengan kehendak Tok.

Hari-hari yang berlalu semakin jauh ditinggalkan. Emak masih lagi di muka pintu. Mak melunjurkan kakinya. Matanya masih lagi tidak diubah dari pandangan. Dalam kesamaran cahaya rang bulan itu aku terlihat cahaya pelita berbalam-balam, kadang-kadang melenggok-lenggok kekiri dan kanan di tiup bayu malam. Dalam waktu-waktu begini, jam sekitar 8:30 hingga ke 11:30 malam, hampir kesemua kanak-kanak telah melelapkan mata. Tetapi bagi mereka yang  hendak menoreh diawal pagi esok perlulah membuat persiapan.

“Mak nampak pelita di jemughee Teh Dolah he tu..!!?” mak muncungkan mulut kearah rumah Teh Dolah.
“Buke … mak..? tu rumah Cu Haseng…” aku menjawab.
Hampir kesemua rumah di kampung ini ada pelantar yang dikenali dengan “Jemuran”. Pelantar ini, selalunya dibuat dari batang-batang buluh atau pun kayu hutan. Disini adalah tempat menjemur kulat, pisang salai, kain baju basahan dan lain-lain lagi. Kepala tangga yang naik ke pelantar ini selalunya melebihi lantai pelantar. Aku selalu memerhatikan Wah Sedi dan Pak Pandak mengasah pisau penoreh getah di kepala tangga rumah Pan. Wah Sedi menyimpan batu pengasah didalam tin susu yang berair.

Sebelah petang, Wah Sedi akan bermain bola raga dengan kawan-kawannya di belakang kedai Wa Hasan, dan apabila malam begini. Pak Pandak dan Wah Sedi akan melabuhkan punggungnya kelantai buluh yang sejuk dan berlumut itu untuk mengasah pisau penoreh getah.  Tin susu yang penuh dengan batu pengasah itu diletakan berhampiran dengannya. Pak Pandak akan mengambil pisau penoreh dan diletakan di atas kepala tangga. Tangan kirinya meraba-raba mencari batu pengasah yang sesui dan dimasukan dicelah-celah pisau yang bengkok itu.

دري کيري-يوڠ موزي، ايه چو، چيق ، دان واە سدي
Sambil bersiul-siul kecil dengan lagu “Salam Muhibah” batu pengasah disurung dan ditarik dengan penuh berhati-hati. Dalam kesamaran cahaya pelita dan rang bulan itu, ternampak pisau yang tajam dan berkilat. Pak Pandak memegang pisau penoreh itu dan di potong beberapa helai rambutnya.

“Ehhh pisau ni dah nipis ni, kalau patah nanti tak dapat aku motong esouk” Pak Pandak mengomel sendirian.

Tiba-tiba “ehemmmmm”ayah berbunyi. Aku rasa sengaja ayah berbunyi demikian supaya mak tersedar dari lamunannya. Lama juga rasanya aku dan mak melayan perasaan di muka pintu. Mak menyuruh aku menutup pintu. Aku mengubah raga pinang mak ke ruang tengah rumah. Mak kedapur. Aku terdengar mak mengambil air dari tempayan. Aku tahu, mak membasuh mukanya sebelum ia tidur. jam dinding di rumah Tok Haman berbunyi sebanyak sepuluh kali. Ini menandakan tepat jam sepuluh malam.

Dari bawah bukit rumah aku terdengar alunan seruling bambu yang mendayu-dayu dibawa angin. Merdu alunanya sehingga menusup kalbu, sayu dibawa angin malam merentasi bukit dan lurah kampung ku ini.

“Haa… Tok Cu Seme hang tiup seruling tu” mak bersuara sambil menyapu-nyapu bedak sejuk sebelum tidur.

Aku hanya terdiam dan tidak menjawab apa-apa. Tok Cu Seman adik kepada Tok Ngah Sulaiman amat pandai meniup seruling. Aku ada juga belajar meniupnya sesekali…. Dan hari ini aku telah mewarisi alunan tiupan seruling bambu ini dari Tok Cu Seman, tapi tidaklah sebaik Tok Cu Seman. Abang kepada Tok Ngah Sulaiman ialah Tok Wak Musa,  mereka ini adalah adik-beradik sesusu dengan mak aku.  Suasana hening seketika. Diatas salur air bumbung rumah aku terdengar tikus berkejaran. Cengkerik berbunyi bersahutan, aku melayan fikiranku diatas tikar mengkuang lusuh dan kepala beralaskan bantal kekabu tidak berbalut.

Dalam samar cahaya pelita minyak, aku ternampak kelibat mak. Mak mengambil kain selimut di atas rak kain yang diperbuat dari rotan berhampiran dengan bilik Nasriah dan Fauziah. Aku berpura-pura tidur. Mak membuka selimut dan melebarkanya, mak menyelimut abang dan selepas itu mak menyelimut aku. Mak mengubah pelita di hujung kepala aku.  Dengkuran ayah semakin kuat dan aku tidak tahu bila masa aku tertidur. Semasa jam di rumah Tok Haman berbunyi tujuh kali, aku sudah berada di beranda rumah berselumbung dengan kain pelikat ayah.

Tiada tanda-tanda hari akan hujan. Pandangan ku amat terbatas. Rumah  Mak Teh Lipah yang memisahkan rumah ku dan Marzuki tidak kelihatan. Kabus pagi menyelubungi segenap kampung ku.

“Meeeee. Oh… Meee …!!!” mak memanggil ku.
“Ya…..!!!!” jawab ku pendek.
“Maghi tulung mak didapor sat…!” mak menambah.

Aku melangkah naik dari beranda melalui anjung rumah dan ke dapur. Mak memberi aku botol nescefe.

“Nah… ambilkan minyak ni. Mak nak buat nasi goreng”  mak memberi botol nescefe yang berisi minyak.

Aku mengambil botol tersebut dan mengambil sudu kecil. Bagaikan mengambil agar-agar didalam cawan aku mengambil sedikit demi sedikit minyak masak yang beku itu keluar dari botol nescefe. Kuali telah panas, setelah ketul-ketul minyak dimasukan ke dalam kuali ianya mula cair sedikit demi sedikit. Dalam setahun biasanya minyak masak akan beku di awal pagi lima ke enam bulan. Ia itu di kala cuaca panas berangin dingin atau di masa hujan musim tengkujuh. Pada masa ini, apabila kami berbual di awal pagi, kabus akan keluar dari mulut kami. Ianya berlarutan sehingga jam sembilan pagi.

Ayah telah lama ke sawah. Dengan berbekalkan air kopi yang mak bekalkan di dalam botol kicap, ayah sendirian meredah embun pagi selepas subuh tadi. Hari ini, kami tidak kesawah lagi. Mak membangunkan adik-adik ku. Dengan batok dan merenget-renget manja adik-adik kembar dan Ridzuan bangun dan terus mendapatkan mak.

“Haaa…..  gi bersugi dijemughe dulu” mak mengarahkan adik-adik membasuh muka.
“Tak mmboh…..” Ridzuan menjerit
“Kalu tak mmboh, jangan make” mak mengugut adik-adik ku.

Sebagai kakak, Nasriah mendukung Ridzuan dan menarik adik-adik ku yang kembar ke palantar buluh diruang dapur. Berbagi-bagai bunyi semasa adik-adik ku membasuh muka.

“ Timah….oh.. Timah…” terdengar suara Acik memanggil mak.
“Yaaa..” jawab mak pendek.

Aku membuka tingkap kecil di bawah rak pinggan pasang siap. Tingkap ini separas lantai dan terletak di bawah rak pinggan yang ayah buat. Tingkapnya kecil sahaja. Dari tingkap ini selalunya mak jadikan laluan membawa masuk air dalam baldi yang dijunjung. Apabila tingkap dibuka, aku lihat Acik telah siap dengan kain basahan dan membawa raga di tangan. Acik memberi sepiring cucur pisang. Aku mengambilnya dan diberikan kepada mak.

“Mika tak ke Kasai ke hari ini…” Acik bertanya kepada mak.
“Dak….., banyak sangat kain yang ndak dibasuh, esauk lusa  bebudak dah nak masuk sekolah” mak bersuara.
“Haaa…kalu lagu tu tak pa lah…, aku nak ke Hemok ni…” Acik menjawab pendek.

Hari-hari amat pantas berlalu. Cuti sekolah penggal kedua tidaklah panjang. Aku masih berkelumbung dengan kain pelikat ayah. Adik-adik dan abang telah siap untuk menjamah sarapan pagi. Mak membuat nasi goreng berlaukkan sambal goreng. Nasriah menyediakan teh secawan seorang. Dalam cuaca dingin ini, segala-galanya dingin. Cucur pisang yang Acik bagi sebentar tadi pun telah sejuk. Dalam sekejap waktu sahaja, aku perhatikan semuanya licin.

Setelah bersarapan, mak minta aku dan abang keluarkan padi dari stor padi. Beras dalam tin tinggal sedikit sahaja lagi. Mak amat perihatin tentang beras. Hidup dikampung, lauk tidak penting,  yang  perlu ada, adalah beras.

“Awang…Me…bukak rumah padi, ambit padi sebaku beso, mak nak jemo di padang Ki..” mak berteriak kuat.
“Haaaa…ni nak gi..? leeeeniiii” aku menjawab.

Aku mengambil bakul rotan di atas para dapur. Dari tingkap anjung aku lihat abang telah membuka stor padi. Padi ini adalah sisa padi bendang musim sudah. Padi ‘Mat Candu’ ini nasinya sedap, sementara berasnya panjang dan susah hendak patah, pokoknya pula tahan pelbagai cuaca dan susah hendak tumbang walaupun ditiup angin kencang. Aku memberi bakul rotan kepada abang yang sedia menanti di dalam stor padi. Abang mengaut padi dengan menggunakan tempurung kelapa yang kami panggil cupak.

“Haaa…Awang…Me…dah siap ke..” emak bertanya kepada kami.
“Dah…..” jawab abang pendek.

Aku lihat dalam stor, debu miang padi berterbangan. Abang menggaru-garu tangan dan badannya.

“Haaa…kalu dah siap, bawak bakul tu kesini…” mak mengarahkan kepada kami.

Aku tidak menjawab apa-apa. Abang mengangkat bakul padi itu dan diletakkan di atas kepala aku.  Aku menjunjung bakul itu dan diserahkan kepada mak yang sedang berdiri di tangga beranda sambil mengepit tikar usang di bawah ketiak kanan. Dengan sekali angkat sahaja, bakul berisi padi itu telah berpindah di atas kepala mak. Adik-adik berderet mengikut di belakang mak. Kami melalui di bawah pokok limau bali Ki. Aku mendongak-dongak ke atas pokok limau bali itu. Buahnya semuanya buruk di makan ulat. Mak telah bentangkan tikar. Adik-adik bermain di bawah rumah buruk yang sangat aku takut bila tiba waktu malam. 

Matahari terang benderang. Mak menuangkan padi diatas tikar, selepas itu mak mengais-ngaiskannya sehingga semua permukaan tikar tadi ditutupi dengan biji-biji padi. Padi sebakul ini tidaklah banyak, di anggarkan lebih kurang empat gantang sahaja.

“Timah….oh Timah…mike menjemo ke..?” Pe memanggil-manggil mak dengan loghat orang Kg. Beng
“Haa…laa.., Cik Andak.. beras habis langsung..” jawab mak .
“Bebudak ade ke nak menunggunye…” Pe bertanya lagi.
“Ada….bebudak tak kemana haghi ni..”mak menambah
“Haa.. te… kok bebudak ade, aku  rase nak menjemo juge” Pe menjawab.

Dengan langkah yang diperbesarkan, Pe menuju kerumahnya. Sesekali dia meludah sepanjang perjalanan itu. Air pinang yang diludahnya merah menyala, Bibir mulutnya juga merah dengan air pinang. Walau pun telah dimamah usia tapi masih terserlah yang Pe suatu ketika dulu adalah seorang wanita yang cantik, raut wajah dan kulitnya yang putih melepak itu menjadi saksi yang Pe adalah seorang wanita yang menjadi kegilaan remaja semasa mudanya dahulu. Sesekali terdengar Pe menghalau ayam yang mula mengerumuninya semasa Pe membuka gebuk padinya.

“Awang….Me…maghi tunggu padi ni…mak nak tulung Pe miko sat” mak memanggil aku dan abang.

Mak membentang tikar Pe disebelah padi kami.  Ayam semakin banyak adik-adik ku menghalau ayam-ayam ini pergi jauh. Pe munuangkan padi dari bakulnya. Miang padi berterbangan. Emak dan Pee merata-ratakan padi yang baru dituangkan di atas tikar itu.

“Berapa gantang ni Cik Andak...”Mak bertanya pada Pee
“Lime gantang aje..., itu pun idak ku tahu sape nak menumbuknye..” Pe manambah.
 Hari semakin panas. Adik-adik dan abang berteduh di bawah rumah buruk yang amat aku takuti di waktu malam itu. Sedang aku bermain-main dengan adik-adik, tiba-tiba aku terjumpa cermin pecah di bawah tanah-tanah yang berdebu. Aku tersenyum sendirian. Aku tahu abang sedang memerhatikan aku.

“Haa…tu… apo senyum-senyum tu….” Abang menyergah aku.
“Laa… bakpo..saja orang nak main-main dengan panas*…..” aku menjawab.
“Hae…ingat abang tak tahu…hae nak main dengan beruk Ayah Cu..” abang memerangkap aku dengan soalan.

Aku terkedu. Abang telah tahu tujuan aku, dengan bersahaja aku berlalu pergi. Abang tidak membantah. Sambil aku menghalau ayam-ayam yang mencuri-curi mematuk padi dari jemuran kami, aku telah sampai di penjuru dapur rumah Ki. Aku nampak beruk kesayangan Ayah Cu dan Yong sedang makan nasi sejuk yang Yong bari pagi tadi. Setelah melihat aku datang kepadanya, cepat-cepat ianya memasukkan nasi ke dalam mulutnya sehingga kedua-dua pipinya kembung membuncit.

Dengan mulutnya yang sendat dengan nasi, beruk ini memuncungkan mulutnya kepada aku. Aku tidaklah berani sangat dengan binatang ini. Aku pergi seberapa rapat yang boleh dengannya. Aku melemparkan cermin pecah selebar tapak tangan itu kepadanya. Bagai yang telah aku duga….melompat-lompatlah beruk Ayah Cu bila mendapat cermin itu. Ia bersandar ke pangkal batang jambu tempat beruk itu dirantai, ditenungnya berkali-kali bayang-bayangnya di dalam cermin itu sanbil tangan yang satu lagi meraba-raba dibelakang cermin dan sesekali ianya menunjukan taringnya yang telah dipotong itu kepada aku. Aku ketawa melihat gelagat beruk ini.

Sedang aku asyik dengan gelagat beruk itu, tidak ku sedar rupanya telah ramai kawan-kawan aku yang tumpang ketawa bersama-samaku. Seli anak Mail Kelantan, Hole, Mat Niza, Jali, Muti, Zenia, Zi dan Marzuki. Kami ketawa bagaikan nak rak bila beruk itu berguling-guling di atas tanah dan memusing-musingkan cermin untuk mencari bayangnya sendiri. Seli memegang tengkuk aku. Badannya yang gemuk dan berisi itu, mengah juga aku dibuatnya, apabila  dia mengoyang-goyangkan badan ku.

“Me… lama kita dak main porok*…” Seli seakan berbisik kepada aku.
“Haaa…laaaa..” Hole menyahut.
“O.K. .. petang ni kita main…” Zi pula manambah.
“Tadi semasa aku lalu dibawah pokok ase Ki…, aku nampak ada buah ase kecek..” aku berkata kepada mereka.
“Jum kita gi tengok…..” kata Jali Tok Yakob.

Kami berderetan ke bawah pokok limau bali Ki. Adik-adikku  masih menunggu padi jemuran. Abang telah lesap entah ke mana. Tanpa disuruh Zi….., seperti biasa memanjat pokok limau bali itu sampai ke hujung dahan. Ia meninjau-ninjau mencari buah limau bali yang kecil. Setelah pasti buah dicari telah ditemui,  digoncang-goncangnya dahan limau itu, maka bertaburanlah buah-buah limau yang buruk dan yang kecil itu jatuh. Kami mengumpul buah-buah yang buruk itu.  Berpuluh-puluh biji limau yang kami kumpul. Aku berlari ke rumah ku yang terletak beberapa meter sahaja dari pokok limau bali Ki itu.

Dengan pisau di tangan, aku datang kembali mendapatkan kawan-kawanku yang telah berada di bawah rumah buruk. Adik-adikku dan Zania ada bersama. Kami membelah buah-buah limau yang buruk itu.  Mana yang baik kami kupas dengan teliti. Kebanyakan buah ini bukanlah buruk kesemuanya. Mana-mana yang buruk separuh kami buangkan dan kami ambil yang separuh lagi. Maka beraya sakanlah kami makan buah limau bali yang manis itu. Manakala yang kecil sebesar bola tenis aku menyimpanya untuk dijadikan bola pada petang nanti.

Matahari telah tinggi benar. Kami masing-masing meninggalkan kawasan rumah buruk itu, yang tinggal hanyalah aku dan adik-adik kerana mak masih tidak mengangkat padi jemurannya. Mak masih di sungai membasuh kain. Abang entah ke mana.

“Me….Me….” Acu memanggil ku.
“Yaaa…Acu..” aku menjawab.
“Nah….ambil ni….” Acu memberi kami jagung rebus.

Maka apa lagi berebutlah adik-adik mendapatkan jagung. Acu hanya tersenyum melihat kami yang keriangan di bawah rumah buruk yang semakin usang itu. Sedang kami asyik bemain-main itu, aku terlihat kelibat Awang Li dan Awang E anak Tok Jenal. Awang E membawa lastik. Mereka hanya melihat kami dan berlalu pergi. Adik perempuan ku Nasriah dan Fauziah asyik dengan anak patung yang dibuat dari kertas.

“Mek….bawak adik-adik tu balik. Hari dah tinggi ni..” mak memanggil Nasriah pulang ke rumah.
“Mak padi ni mace mana….” Nasriah mengajukan kepada mak.
“Tak pa…bio Cik tunggu…..” mak bersuara lagi.

Maka adik-adikku pun berderet balik ke rumah dan tinggallah aku keseorangan menunggu padi. Aku mengambil beberapa puntung kayu dan beberapa biji putik kelapa dan diletkakan di sisi ku. Rasanya telah lama benar aku menunggu padi sendirian. Dengan gaya bersahaja, abang balik entah dari mana.

“Me….mak kelik dak lagi…” abang bertanya kepada ku.
“Dah….”aku menjawab selamba.
“Mak tanya abang dak…” abang bertanya lagi.
“Dak…” aku menjawab.

Aku melihat abang gembira dengan jawapan aku. Abang menyuruh aku pergi mandi, sementara dia pula menunggu padi. Aku ke sungai sendirian. Sampai disungai aku lihat Awang Li dan Awang E sedang mandi. Aku pun tumpang mandi sekali. Selesai mandi aku pun balik ke rumah. Motorsikal ayah telah ada di bawah rumah. Keadaan rumah sunyi sepi, suara adik-adik tidak kedengaran. Dari dapur terdengar mak sedang menggoreng ikan, ayah termenung di tepi tingkap kecil dapor. Nasriah sedang membasuh sisa pinggan pagi tadi di ruang basuhan di dapur.

“Mak…adik gi mana mak…” aku bertanya kepada mak.
“Gi tunggu padi denge abang..” mak menjawab.
“Cik..mak kata boleh bekelah sambil tunggu padi..” Nasriah berkata pada ku.
“Ya..ke mak…?”aku mahu kepastian dari mak.
“Haaaa…..” mak menjawab pendek.
“Nanti..Cik bawak pinggan dulu…, lepas tu mak hatao lauk..” Nasriah menjelaskan.

Aku gembira bukan kepalang. Aku menyusun pinggan-pinggan tin, bekas minuman dan bergegas ke rumah buruk tempat kami berteduh semasa menunggu padi jemuran. Abang duduk diatas timbunan kayu-kayu, sementara adik-adik duduk di atas tikar usang yang telah Fauziah bentangkan. Nasriah memanggil aku dari rumah. Aku berlari pulang. Nasriah memberi aku bekas air dan mak pula membawa talam berisi lauk-lauk. Hari ini berselera sungguh kami makan. Mak dan ayah makan berdua di rumah. Ketika kami sedang makan tiba-tiba dari muka pintu rumah Acu….?

“ Me….oooooo….Me..?” Acu memanggil aku.
“Yaaa….” Aku menjawab.
“Ha..ni.. adik nak bekelah sekali denge mika ni…” Acu memberi tahu ku.
“Tak po..heh…maghi la..” aku memberi tahu Acu.
 “Kosi-kosi laaaa…lauk tu.? Acu dah bubuh dale pinge adik tu..” Acu memberi tahu aku.

Aku sememangnya telah tahu. Ibu saudara aku ni memang lokek sedikit. Maklumlah adik bongsu mak aku. Semua dari kami makan dengan penuh berselera. Zania anak kedua Acu sememangnya rapat dengan aku. Mek Loyah membawa pinggan Zania dan diletakan di sebelah aku. Kami makan bersama-sama. Hari semakin redup. Bayang-bayang rumah buruk telah menutupi padi jemuran kami. Nasriah mengumpul pinggan-pinggan yang berselerak diatas tikar. Fauziah menggulung tikar dan balik kerumah.

Aku masih lagi berada dibawah rumah buruk. Ayam tiada lagi yang berani mengacau dan mencuri-curi makan padi jemuran kami. Dari tangga dapur aku melihat mak sedang menuruni tangga. Mak menutupi kepalanya dengan kain batik. Sukar untuk dijelaskan bagaimana uniknya mak membalut kepala. Kadang-kadang bila dilihat ianya bagaikan puteri Korea. Mak mengangkat bucu tikar satu persatu, sehinggalah kesemua padi terkumpul ditengah tikar. Aku membantu mak mengaut padi dengan cupak tempurung.

“Mak….Me nak gi main…?” aku minta keizinan dari mak.
“Gi…lah…” mak memberi kebenaran.
“Gi…tu..kelik cepat sikit…” mak menambah.

 Aku hanya mengangguk dan berlari pergi mengambil buah limau bali. Aku masukan buah limau yang sebesar bola tenis itu kedalam poket dan terus berlari kepadang reket* surau Tok Aji Nali.

“Me…bakpo..lambat sangat…”  Adik Awang Pak Ngah Bahari bertanya pada ku.
“Tadi sayo tolong mak kaut padi..” aku menjawab.   

Aku mengeluarkan dua biji limau dari poket dan aku berikan kepada Merdi. Buah limau itu dibaling-balingkanya ke tangga surau berpuluh-puluh kali, sehinggalah buah limau itu menjadi lembut seakan-akan bola getah tumpat. Kami membahagikan antara kami kepada dua kumpulan. Setelah terbentuk dua pasukan, maka diundi kumpulan mana yang akan menuju botol dahulu. Sedang kami asyik bermain itu, matahari telah condong kebarat. Bayang-bayang lebih panjang dari objek, ini menandakan telah masuk waktu asar.

Dengan kayu ditangan, Tok Besar memalu ketuk-ketuk sebanyak empat kali. Kami berhenti bermain sebentar. Dibawah surau ada pelantar berlantai papan. Kami berehat di sini. Orang-orang tua yang sedang berehat disini beredar satu persatu. Maka tinggallah kami yang kanak-kanak sahaja.

“Oiiii….sayo kelik dulu…” aku memberi tahu kawan-kawan.
“Bakpo awal sangat…” Zi bertanya kepada aku.
“Sayo nak tulung mak tumbuk padi…” aku menerangkan kepada kawan-kawan.

Semua kawan-kawan seperti sudah mengerti. Aku beredar dari kawasan permainan. Zi dan Marzuki juga ikut aku meninggalkan kawan-kawan yang lain. Dari Bukit Nombor Satu* aku terdengar sayup-sayup suara ungka bersahutan.

“Kenjut……!!!!!! Kenjutkenjutkenjutkenjutkunjutkenjutjutjutjut….aun....aun...aun” suara ungka mendayu-dayu dibawa angin.

Suaranya amat sayu dan pilu sekali. Langkah ku menjadi longlai, Kami tidak bersuara apa-apa. Kami melewati kedai Wa Hasan, rumah Tok Aji Nali, rumah Wa Hasan, rumah Pek Munah, rumah Tok Yid dan rumah buruk. Sampai dirumah, aku lihat mak sedang menumbuk padi dengan ditemani olih adik-adik. Aku amat kesian melihat adik-adik yang mengindik lesung kaki yang ayah buat dari kayu yang di ambil dari tanah huma kami di Ceruk Sembuk.

Mak tersenyum bila melihat aku telah balik. Adik-adik juga keriangan. Aku, Marzuki dan Zi mengambil alih mengindik lesung kaki yang terletak dibawah rumah kami. Berdentum-dentamlah bunyi lesung itu dengan irama tersendiri bila berlaga dengan antan yang dilepaskan. Semasa ini juga mak menguis-nguiskan padi yang termuntah dari lesung masuk ke lesung semula.

“Mek…maghi kuis padi ni…” mak memerintahkan Nasriah.
“Haaaaa….” Nasriah menjawab pendek.

Mak megambil gadang dan dimasukan padi yang telah ditumbuk kedalamnya. Mak menampi padi disudut halaman. Aku lihat ayam berkerumun disekeliling mak. Semasa ditampi, ada antah dan melukut yang terkeluar dari gadang mak. Inilah yang ditunggu-tunggu olih ayam-ayam itu.

“Cek…kercekkercekkercek. Cek….. kercekkercekkercek…” inilah irama yang terdengar semasa mak menampi.

Irama ini, bagaikan telah sinonim dengan musim menuai. Aku kagum melihat mak. Tabah, penyabar dan penyayang. Aku ingin menjadi sepertinya. Ibuku seorang yang cantik. Kulitnya putih kuning. Didahinya terdapat tahi lalat hidup sebesar kelingking kanak-kanak. Rambut mak bak mayang mengurai. Panjang melepasi paras bahu. Mak selalu menyanggul kemas rambutnya.

“Mek Timah…ohhhh..Mek Timah…” Mak Teh Lipah memanggil mak.
“Ottt….” Mak menyahut panggilan Mak Teh.
“Mikao menumbuk ke…” Mak Teh menambah lagi.
“Haaaa…..beghas habis lasung…” mak menjawab.
“Mikao kemano…” mak bertanya kepada Mak Teh Lipah.
“Ke Hemauk…burung jenuh sangat…petak atas habissss…dimakan babi semale…” Mak Teh merungut sedih.
“Aku ada bawak kelik pucuk leweh denge labu ni..? he nak ke..” Mak Teh bertanya kepada mak.
“Bak maghi la sikit…lauk takdak lasung male ni..” mak memberi tahu Mak Teh Lipah.

Di hujung tangga, Pak Teh Mat Kawi sedang menyangkut jebak burung ketitirnya. Kainnya digulung sehingga melepasi paras lutut. Dengan badannya yang tidak berbaju itu aku dapat lihat dengan jelas tompok-tompok panau yang memenuhi badannya. Mereka ini amat baik. Mak selalu bertukar-tukar lauk atau makanan dengan Mak Teh Lipah.

“Ani…ohhh..Ani…” Mak Teh Lipah memanggil Kak Ani.
“Yaaa…mak” Kak Ani menjawab dari atas rumah.
“Ambit labu air denge taruk labu dale raga tu bak maghi sini” Mak Teh mengarahkan kepada Kak Ani.

Kak Ani memberi raga yang berisi berbagai-bagai sayur itu kepada Mak Teh Lipah. Pak Teh Mat Kawi duduk dimuka pintu sambil menjuntaikan kakinya kebawah. Dia hanya memerhatikan Kak Ani dan MakTeh Lipah yang sedang membahagi-bahagikan sayur-sayur kampung itu.

“Nah…ni he beghi kat Anjang…ni he beghi kat Pek Wak..” Mak Teh menerangkan kepada Kak Ani.
“Yati…ni he beghi kat Tok…ni he beghi kat Cu…” Mak Teh menerangkan pula pada Norhayati yang seusia aku.

Kedua-dua beradik ini tanpa membantah berlalu pergi. Kak Ani mengambil jalan pintas meredas bukit untuk kerumah aku dan Norhayati pula hilang di sebalik pagar rumah Pek Wak. Adik ku Nasriah mengambil sayur-sayuran yang diberi Kak Ani dan dibawa naik keatas rumah. Kak Ani menyusur lorong kecil yang selalu aku gunakan untuk kekedai Pak Ngah Usop pergi kerumah Tok Haman. Aku lihat Pek Tuli ibu tiri Mak Teh Lipah berbual-bual dengan Kak Ani di halam rumah Tok Haman.

Hari rasanya sudah petang benar. Mak mengemas-ngemas lesung dan bakul yang telah berisi beras untuk dibawa naik kerumah. Abang telah lama balik entah dari mana. Dengan gaya yang bersahaja, abang mengambil raga sabun dan mengajak adik-adik ke sungai.

“Ani…ohhh..Ani..” mak memanggil Kak Ani.
“Ya….Anjang…” Kak Ani menyahut.

Aku lihat mak membungkus sesuatu.

“Nah..ambit ni…” mak memberikan  bungkusan tersebut kepada Kak Ani.
“Terima kasih…Anjang…” Kak Ani menambah.

Kak Ani berlalu pergi. Aku bersama-sama mak, Marzuki dan Zi berderet ke sungai. Sesekali mak menggaru-garu tangannya, mungkin mak gatal di sebabkan miang padi.

“Mak.?…mak.. beri apa tadi..” aku bertanya kepada mak.
“Kalu kita beri sedekah…kita tak baik beri tahu oghang..” mak berkata pada ku.
“Kalu tange kane beri…tange kiri tak buleh tahu…” mak menambah lagi.

Aku kebingungan. Aku tidak tahu apa yang mak maksudkan. Marzuki dan Zi juga kebingungan

“Mak sama-sama susah denge Mak Teh he…mak tahu..dia tak dak beras tu…” mak menjelaskan pada ku.
“Mace mana mak tahu…” aku bertanya kepada mak.
“Jomle…cepat sikit…hari dah berelop ni…” mak tidak menjawab sebaliknya minta aku cepat untuk ke sungai.

Aku tambah kebingungan. Di sungai, ramai orang sedang mandi. Ayah Cu, Cik At, Yong Muzi, Awang Li dan ramai lagi. Aku bersama-sama Zi dan Marzuki mandi disebelah atas empangan. Kawasan ini airnya dalam separas dada kami. Sementara orang-orang perempuan dan kanak-kanak kecil mandi dibawah empangan. Kami bertiga mandi berbogel. Kami menyelam  bermain dan berenang di sekitar kolam empangan itu.

دولو امڤڠن اين ايرڽ دالم تتاڤي سکارڠ اياڽ تله ڤچه. سڤي دان تيدق ترجاݢ
“Me….Awang…ha..jom kelik..” mak mengajak kami balik.

Aku dan kawan-kawan yang lain berenang ketepi dan memakai seluar tanpa mengelap badan yang sebenarnya tidak pernah kami menggunakan tuala selepas mandi.

“Mek… deng dulu adik tu..” mak menyuruh Nasriah celupkan kepala adik-adik ke dalam air dan hidung ke atas.

Dengan berbuat demikian, rambut akan lurus kebelakang seperti telah di sikat. Nasriah dan abang mendukung adik-adik naik ketebing sungai. Fadzil yang biasa dengan kelincahannya itu berlari mendaki bukit dan balik kerumah. Aku, mak dan Fauziah masih di sunyai.

“Anjang….kami kelik dulu…kalu lambat nanti mak maghah…” Zi dan Marzuki memberi tahu mak.
 
Marzuki dan Zi sering bersama-sama aku, selalu kami melakukan aktiviti bersama. Hamidi dan Imo juga adalah antara kawan-kawan aku yang rapat. Tapi rumah mereka jauh sedikit dari rumah aku.

“Poziah….bawak timba ni naik dulu….bio Cik tunggu mak…” mak menyuruh Fauziah balik dulu.
“Me…bak maghi tepurong tu kat mak…” mak minta tempurung yang berada di tebing sungai itu dari aku.

Aku mengambil terpurung tersebut dan diserahkan kepada mak.

“Air telaga ni…kalu tak timba rasa hanyir…”, mak memberi tahu ku.
“Mek Timah ? he  buat apa tu…”, Cik At bertanya kepada mak.
Aku nak ambil air….” Mak menjawab pendek.
“Bio aku buat…”, Cik At menambah.
“He cabut tin ni..lepas tu he tane di sana…dale air deras tu…” ,mak mengarahkan Cik At supaya mengubahnya.

Cik At mencabut tin minyak masak yang berlubang atas dan bawah itu dan di tanam semula di tempat yang mak tunjukkan tadi. Setelah semuanya selesai, mak menimba air di dalam tin itu menggunakan tempurung. Air di dalam telaga mini itu telah kering kesemunya, walau pun air sungai yang mengalir diluar kawasan tin itu sangat banyak. Beberapa minit kemudian, air didalam tin penuh semula. Airnya hening, jernih dan sejuk sekali. Mak menceduk air ini perlahan-lahan dan dimasukan kedalam baldi. Air di dalam baldi telah penuh. Ayah Cu dan Cik At mengangkat baldi besar itu dan diletakan di atas kepala mak. Mak melapit kepalanya dengan kain batik yang digulungkan. Aku kagum melihat kegigihan mak.

Apabila sampai dirumah, azan sedang berkumandang dari surau. Abang telah memasang pelita dan Nasriah pula sedang sebuk menyalakan api dapor. Mak meletakkan baldi air di tepi tingkap kecil. Ayah belum balik lagi dari Kasai.  Fauziah yang telah siap memakaikan adik-adik sedang menutup tingkap-tingkap. Berdentum-dentum bunyi tingkap bila ditarik dengan kuat. Tingkap dianjung rumah adalah tingkap panjang yang sampai kelantai. Tirai tingkap di pasang sebelah, bewarna merah dan kainnya jarang. Dengan kedudukannya yang mengadap jalan dan kebetulan pula rumah ku ini diatas bukit maka tahulah aku akan pergerakkan yang berlaku disekelilingnya.

“Poziah…!!! Pelahe sikik tutok tikak tu..” , mak memarahi Fauziah dalam memujuk.

Fauziah tidak menjawab, sebaliknya ia terus ke dapur menolong Nasriah memotong bawang. Dari rumah Acik terdengar kuali ditumis. Aku termenung sendirian di anjung rumah sambil kaki ku berjuntai ke ruang dapur. Suasana kampung ku diwaktu senja begini amat indah. Keadaan menjadi sebuk tidak menentu. Bermacam aktiviti singkat berlaku di waktu ini.

“Awang….gi kede Tok Yaek beli minyak gahh…” mak menyuruh abang membeli minyak tanah.
“Me…..gi tengok itik kita dikandang..?” mak menyuruh aku memeriksa itik di reban.

Aku dan abang menuju ke pintu, sementara itu terdengar enjin kapcai ayah. Ayah baru balik dari Kasai. Abang membuka kunci pintu, aku mengikuti abang dari belakang menuruni anak tangga satu persatu.

“Hangpa nak pi mana ni…” ayah bertanya kepada kami.
“Nak gi beli minyak gahh…” abang menjawab.

Abang berlari-lari anak ke kedai Tok Yid dan aku meninjau-ninjau kedalam reban ayam, yang ada hanya ayam sahaja, sedangkan itik tidak kelihatan. Aku menjadi cemas. Aku membuka daun pintu reban seluas-luasnya, setelah memeriksa sekeliling, namun kawanan itik kami tidak juga kelihatan.

“Mak…ooooooomak….” aku memanggil mak.
“Takdok ka…?………….” mak menyahut dari atas rumah.
“Haaa….takdok la…mak…” aku memberitahu mak.
“Mek….masak nasi….” mak mengarahkan kepada Nasriah
“Mak denge Cik nak gi cari itik” mak menyambung lagi.

Azam telah berkumandang. Remang senja kemerahan indah sekali. Aku mengikut mak dari belakang. Kami dua beranak sudah faham benar dengan habitat itik-itik kami tu. Kami telah sampai di tepi sawah Pek Aji Kiah.

“Mikao nak gi kemana tu…Timah…?” Pek Aji Kiah bertanya kepada mak.
“Itik tak kelik…tu ajak Me maghi turaok ni…” mak menjelaskan kepada Pek Aji Kiah.
“Haaaa…tadi ada aku napok di petak rumia tu…” Pek Aji Kiah memberi tahu mak.
“Di……!!!!dididididididi………” mak memanggil-manggil itik kami.
“Di…..!!!!dididididididi……….” mak memanggil lagi.
“Paak..paakpaakpaaakpaaak…” itik-itik kami berbunyi.

Aku telah nampak itik-itik itu yang sedang berehat di bawah rimbunan batang-batang keladi di tepi sawah. Tanpa mak menyuruh, aku pergi menghalau itik-itik itu supaya pulang. Seperti sudah faham, itik-itik itu berderet menyusuri lorong kecil yang selalu aku gunakan untuk ke sungai dan pulang kerumah. Setelah itik-itik itu masuk ke reban, mak menutup pintu reban. Hari sudah gelap benar. Semasa kami melintasi rumah Acik tadi, aku terdengar Pak Cik baru selesai memberi salam. Pak Cik dan Acik baru habis menunaikan solat magrib.

Itulah gambaran ringkas mengenai kehidupan di kampung ku yang terletak nun jauh di pedalaman Negeri Perak Darul Ridzuan. Kepada pembaca budiman, saudara dan saudari tentu ada pengalaman sendiri didalam kehidupan ini. Tetapi disini, aku ingin berkongsi kehidupanku sebagai budak kampung yang hidup serba daif dalam kemiskinan. Kemiskinan juga menjadi pusaka turun temurun yang perlu dihapuskan dan tidak perlu diwarisi lagi kepada generasi hari ini, kemiskinan juga telah membuatkan kita tercicir dari arus pendidikan Perdana dan  kita ketinggalan dalam apa bidang juga di Negara Merdeka bumi bertuah ini.
Namaku Lukhman bin Hj. Mahmud, aku diputrakan pada 20hb. May 1961 di sebuah kampung yang jauh di pedalaman Negeri Perak. Kampung ini terletak di seberang Sungai Perak. Pekan yang paling hampir ialah Pekan Lenggong. Dari pekan ini saudara  perlu menaiki teksi sapu lebih kurang 4 kilometer untuk anda sampai di tebing Sungai Perak. Di sini saudara akan temui sebuah kampung yang namakan Kampung Labit.

Dari Kg. Labit saudara boleh mendapatkan bot penambang yang menjadi nadi perhubungan dengan Kg. Chepor. Iaitu Kampung kelahiran aku. Dalam Kg. Chepor ini terdapat kampung-kampung kecil yang lain, seperti Kg. Paya, Kg. Bagan, Kg. Tengah atau Kg. Hangus, Kg. Taykok, Kg.Bukit Belapit, Kg. Hulu, Kg. Seberang, Kg. Cherok Sembok, Kg. Kasai dan Kg. Hemok. Kg. Kasai adalah yang sebenarnya kampung kelahiran ku. Kg. Kasai terletak lima kilometer selepas saudara turun bot penambang di Kg. Paya. Dengan itu aku akan ceritakan kepada saudara-saudara dari mana semua ini bermula dan marilah sama-sama kita menyelami penderitaan, kepayahan, kesengsaraan dan keperitan. Sama-samalah kita mencari kenangan yang hilang.

Arwah ibu aku sering menceritakan pada ku keperitan penghidupan sengsara kemiskinan yang diwariskan turun-temurun ini. Datuk aku bernama Ismail bin Lisah. Ibu ku mempunyai empat adik-beradik. Yang tua adalah Wa aku bernama Hamah bt. Ismail, yang lebih dikenali dengan Mek Hamah, yang kedua ialah ibu ku Fatimah bt. Ismail yang dikenali dengan panggilan Mek Timah, Timah, Mek dan Anjang. Yang ketiga ialah Pakcik aku, Hj. Zainal Abiddin bin Ismail yang lebih sinonim dengan panggilan Awang Kote dan yang akhir ialah Acu ku yang bernama Sabariah bt. Ismail lebih dikenali dengan panggilan Saba.

اسماعيل بن ليسه..داتوقکو
Tok Mail mempunyai hampir 20 ekar tanah yang yang rata-rata ditanam dengan getah dan padi. Pada peringkal awal, tok telah membahagi-bahagikan beberapa ekar tanah kepada anak-anaknya. Ibuku dibagikan satu ekar tanah sawah untuk diusahakan oleh ibu dan ayah ku. Tanah ini terletak di Kg. Kasai. Pada tahun 1960 ayah telah mendirikan dangau di tepi sawah ini.  Ibu dan ayah sering berulang-alik dari rumah kami di Kg. Hulu Chepor ke Kg. Kasai.

“Timah....padi kita sedang mendapor kecik...aku rasa baik kita pindah ke Kasai” tiba-tiba ayah bersuara.
“Heh...dah beri tahu Pak ka?” emak bertanya balas.
“Belum lagi...” ayah menambah.
“Kalu pak beri, kita pindah laaa....” mak bersuara lagi
“Babi, ciak  banyak di Kasai tu...” ayah membalas.
“Hoh....ikut suka ayah Awang laaa...” mak menambah lagi.

Angin kemarau bertiup lembut. Sawah yang dibuat semusim sekali ini sememangnya mengikut peredaran alam semula jadi. Jika hampir musim menuai suasana cuaca adalah panas dan berangin. Emak lebih banyak menurut kata ayah.  Jam hampir lapan malam. Ayah meninggalkan mak dan abang, sambil mencapai lampu suluh yang tergantung di tiang seri, ayah memberi tahu dia hendak ke rumah Pakcik yang berselang dengan rumah Ki dan rumah Tok Mail.

“Timah...ooooo Timah..” Acik memanggil ibu ku.
“Yaaaa.....”emak menjawab.
“Haaa maghi sat...bawak awang tu...” acik menyuruh mak membawa abang ke rumahnya.

Dengan perutnya yang memboyot mengandungkan aku, anak kedua, mak mendukung abang ku yang berusia tiga tahun. Acik menyuluh dengan pelita minyak tanah dari tingkap bilik rumahnya. Mak menutup pintu dan menuruni satu persatu anak-anak tangga yang dibuat dari kayu hutan. Acik membuka pintu dapor.

“Assalamualaitummm.....” emak memberi salam dalam mendidik abang ku digendungannya
“Mualaikumcalammm.....” Acik menyambut salam dan terus mencapai abang dari dukungan mak.

Pakcik dan Acik amat sayang pada abang. Diciumnya abang bertubi kali sambil mendukung anak saudara kesayangannya itu ke ruang dapur. Mak termengah-mengah keletihan.

“Adohhhh....budak ni menendang-nendang pulak...” mak merungut kecil sambil meraba-raba perutnya.
“Berapa dan Timah..?”Acik mengajukan soalan kepada mak.
“Dah tujuh..” mak menjawab ringkas.

[ڤق چيق اکو [حاج زاينالب الدين بن اسماعيل
Dalam pada itu, abang telah berada di ribaan Pakcik. Abang ketawa terkekeh-kekeh bila Pakcik menggeletiknya. Ayah bermuka selamba sambil menghisap paip, dihadapan ayah telah terhidang air milo dalam cawan buatan cina berbunga pokok kelapa biru. Ayah menghirup milo panas itu perlahan-lahan.

Biji halkum ayah naik dan turun bila ayah meneguk air milo itu. Dengan pintu yang ternganga luas itu jelas kelihatan rumah Acu dan rumah Ki. Cahaya bulan terang benderang. Ini menandakan hujan tidak akan turun dan kemarau memanjang. Sesekali terdemgar Tok Wan aku terbatu-batuk kecil.


“Ehhh....malahh nak motong esauk...” Acik merungut.
“Haa....kalu malahh nak kekebun, esauk kita ke Kasai...”  Pakcik mengusulkan.
“Haaalaaa...padi dah mendapoo kecil tu..?” Acik menjawab.

Pakcik masih leka bermain dengan abang. Sesekali abang berpindah keribaan ayah dan sesekali keribaan Acik.  Ayah berbual-bual biasa dengan Pakcik berkisarkan tentang padi di Kasai. Abang berbaring diribaan Acik sambil itu, Acik membelek-belek jari tangan abang.

“Cut-cut melukut, melukut bawah cupak.....mana tikoh menyusup-menyusup bawah ketiak” Acik menggeletek ketiak abang. Maka terkekeh-kekehlah abang ketawa. Wajah anak kecil itu ditenungnya sambil, diusapnya kepala abang dan diciumnya lagi. Pakcik dan Acik telah lama berkahwin, tetapi tidak dikurniakan zuriat. Sebab itulah abang menjadi anak saudara kesayangan mereka.

[ابڠ کو [مهاادييين بن حاج محمود




“Aku ingat nak pindah ke Kase...” Ayah bersuara memecah kesunyian.
“Nak pindah ke Kase kaa...” Acik bertanya pada ibu ku
“Tak tahu pulak Na....aku ni ikut sajo...” Emak melepaskan keluhannya.
“Kalu mike pindah..aku pun rasa nak pindah jugak...” Pakcik seperti bersetuju dengan pandangan ayah.
“Haaa kalu macetu.. kita pebaikla dangau di Kase tu “ Acik memberi cadangan kepada Pakcik.
“Timah takut Pak tak bagi..” Ayah cuba mencari simpati Pakcik.
“Takpo..esauk aku beri tahu Pak..lagipung padi dah mendapor kecik tu “ Pakcik memberi keyakinan pada ayah.

Hari dah jauh malam...bunyi cengkerik dan ungka bersahut-sahutan memecah malam yang sunyi damai itu. Abang telah terlena di pangkuan Acik.

[اچيق-ميسنا بنت حاج حسن مريبا اوياي [انق ساودارا کو
“Heh...jong kita kelik...” Mak mangajak ayah balik.
“Haa jom....” Ayah menjawab pendek.
“Bawak Awang tu...” Emak minta ayah mendukung abang.

Dengan muka selamba ayah mendapatkan lampu suluhnya dan berlalu pergi menuruni tangga dapur rumah Pakcik. Emak terkulai-kulai melihat ayah yang menunggu di halaman rumah Pakcik sambil menyuluh ke arah rumah Tok. Emak tahu benar perangai ayah. Ayah memang susah untuk menbuat kerja-kerja yang bagi pendapatnya kalau kerja itu kerja orang perempuan.

“Haa takpola biar aku yang dukung..” Acik seakan memujuk ibu ku.
“Aku tak larat Na oiii...Awang ni atak benor selepas aku mengandung pulak ni..” Emak merungut pada Acik.
“Haaalaa...aku pong napak Awang ni berisi sikit...” Acik merenung ke arah ibuku.
“Haaa..ayah Awang beli minyak sapi suruh aku gao dale nasik...lepas tu napak berisi tu..” Mak menjelaskan.

Ayah mengekori Mak dan Acik sambil menyuluh jalan ke arah rumah ku, Pakcik tercegat berdiri di tingkap dapor rumahnya. Ayah masih lagi berdiri antara rumah Tok dan rumah Pakcik. Acik membasuh kaki di hujung tangga. Air dari dalam tempayan itu diceduknya perlahan-lahan. Pakcik masih lagi setia menunggu Acik di muka tingkap. Setelah selesai, Pakcik menutup tingkap dan pintu. Ayah telah lama melabuhkan kepalanya dibantal besar  bersulam benang emas, bantal persiapan perkahwinan mak dan ayah dulu.