Tuesday, 1 March 2016

WARKAH TERBUKA KEHONG BAUNYA

Surat terbuka kepada Najib – Muhammad Nazreen


Salam 1 Malaysia,
Ke hadapan Datuk Seri Najib Razak, perdana menteri Malaysia. Saya hanyalah seorang rakyat biasa. Saya tidak mempunyai kekayaan dan status. Tetapi, saya merasakan perlu supaya saudara mendengar keluhan saya. Saya menulis surat terbuka  ini kerana saya sudah tidak lagi yakin dengan kepimpinan saudara.
Saudara,

Malaysia kini berada di tahap membimbangkan. Majoriti anak muda di Malaysia berpendapatan kurang daripada RM2000/bulan. Mereka menghadapi kesukaran untuk menampung beban kehidupan, terutamanya bagi mereka yang bekerja dan menetap di kawasan bandar. Kos sara hidup semakin tinggi. Rumah semakin mahal. Anak muda menghadapi kesukaran untuk melunaskan hutang PTPTN. Dan sudah tentu, perlaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) menyebabkan anak muda terpaksa mengikat perut. Cukai GST secara tidak langsung mendorong inflasi harga barang.
Kerana GST, ramai daripada anak muda tidak mampu untuk menikmati makan tengah hari di luar. Malah, kami terpaksa membawa bekal makanan ke tempat kerja akibat kenaikan harga barang.
Namun, saya agak kecewa dengan sikap boros saudara. Perkahwinan anak perempuan saudara yang sungguh “mewah” dan “membazir” itu menambah lagi kesakitan hati di kami.
Di saat, harga barang semakin meningkat, mengapakah saudara tergamak menganjurkan majlis perkahwinan mewah, sedangkan saya dan rakan-rakan yang lain terpaksa “ikat perut” untuk menanggung kos hidup harian.
Sikap saudara yang seolah-olah tidak peduli akan kesulitan yang kami hadapi menyebabkan kami semakin menyampah dengan slogan-slogan pentadbiran saudara yang kononnya sedia mendengar luahan hati kami.
Apa sudah jadi dengan “Rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan’? Di manakah janji-janji manifesto semasa pilihan raya?
Pepatah Inggeris ada menyebut “action is louder than word”, namun apa yang saya perhatikan adalah sebaliknya. Saudara hanya pandai bercakap tetapi gagal untuk melaksanakan kata-kata saudara.
Saudara,
Pendedahan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang membabitkan ketirisan wang berbilion ringgit menyebabkan rakyat Malaysia semakin resah. Namun, sehingga hari ini saudara gagal menjawab tuduhan-tuduhan yang dikaitkan ke atas saudara. Ini menyebabkan rakyat Malaysia khususnya anak muda hilang kepercayaan terhadap pentadbiran saudara.
Rakyat Malaysia berhak untuk tahu bagaimanakah wang mereka dibelanjakan. Mereka bekerja dengan bersusah payah untuk memperoleh kekayaan dan mereka menjalankan tanggungjawab kepada negara dengan membayar cukai. Tetapi, saudara mengkhianati amanah mereka.
Sebagai seorang rakyat Malaysia, saya berpendapat saudara perlu mengambil tanggungjawab untuk mengisytiharkan harta kekayaan setiap menteri-menteri Kabinet.
Saya sarankan saudara mengambil contoh dua orang Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli dan Dr Jeyakumar (ahli Parlimen Sungai Siput) yang mengambil langkah proaktif untuk mengisytiharkan kekayaan mereka.
Jika saudara seorang pemimpin yang terhormat, saya cadangkan saudara mengambil gesaan berikut dengan serius. Rakyat berhak tahu apakah pemimpin-pemimpin yang mereka lantik seorang yang berprinsip atau tidak.
Rasuah dan ketirisan adalah perkara yang tidak boleh dikompromikan. Saudara sering mengatakan rasuah adalah punca kerosakan negara kita. Namun, saya ingin bertanya adakah saudara benar-benar maksudkan atau ia cuma sandiwara murahan untuk mendapat simpati.
Saya bersetuju dengan kenyataan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menyeru agar dijalankan siasatan penuh ke atas 1MDB. Namun, saudara masih belum mengemukakan sebarang kenyataan tentang perkara ini. Saya beranggapan saudara masih belum punya kekuatan untuk menegakkan keadilan.
Ini kerana saudara juga gagal menjawab tuduhan Tun Dr Mahathir yang menuduh saudara terlibat di dalam skandal 1MDB. Tindakan berdiam diri tidak akan menyebabkan saya yakin saudara tidak terlibat. Saudara harus tampil untuk menjelaskan tuduhan ini!
Saudara,
Kita hidup di dalam zaman moden. Kemunculan media sosial  membantu rakyat Malaysia untuk berani mengajukan pendapat mereka sendiri. Kebebasan tidak mudah untuk disekat. Media sosial juga membantu saya untuk membuat penilaian yang adil. Jika saudara merasakan “kebenaran” masih boleh disembunyikan, ternyata saudara silap.
Saudara perlu tahu rakyat Malaysia tidak bodoh. Saudara tidak boleh menyekat kebebasan kami untuk bersuara dengan memperkenalkan akta zalim seperti Akta Pencegahan Keganasan (Pota) dan Akta Hasutan.
Tindakan saudara  menangkap pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat, aktivis dan ahli akademik menggunakan akta-akta zalim tidak akan menyebabkan rakyat Malaysia akur dengan pentadbiran saudara.
Tindakan saudara hanya akan mendorong lebih ramai orang bangkit menentang saudara.
Penggunaan akta zalim juga menunjukkan saudara tidak yakin dengan kepimpinan saudara. Bagi saya, manusia yang tidak yakin untuk memerintah adalah manusia yang tidak layak untuk memerintah Malaysia.
Saudara menunjukkan saudara tidak layak untuk memimpin kami.
Kita perlukan pemimpin yang berani berkata benar di hadapan kebenaran, mengaku silap di atas kesilapan. Untuk pengetahuan saudara, saudara tidak mempunyai ciri-ciri pemimpin sepertimana yang saya sebutkan tadi. Saudara cuma mahu ‘dilihat’ berani, tapi ketahuilah saudara sebenarnya seorang pengecut.
Saudara,
Sebagai seorang rakyat Malaysia, saya berhak untuk mengatakan  saudara tidak lagi layak untuk memimpin. Saya sarankan supaya saudara meletakkan jawatan dan bersara daripada dunia politik. Malaysia mempunyai ramai tokoh yang berprinsip untuk memimpin kami.
Jika saudara seorang pemimpin yang berprinsip dan bermaruah, saya ingin mencadangkan supaya saudara mengundurkan diri dan beri peluang kepada tokoh-tokoh muda untuk memimpin Malaysia dengan adil dan saksama. Anak muda berhak menentukan nasib mereka sendiri. Sekian. – 8 April, 2015
- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/rencana/article/surat-terbuka-kepada-najib-muhammad-nazreen#sthash.yPKFUeUq.dpuf




 



 

Thursday, September 20, 2007


Surat terbuka kepada Yang Dipertuan Agong 

 

Dengan Nama Allah بسم الله ....
Ampun Tuanku beribu ampun... Izin Patik Merafak sembah....

Hamba Badrul Hisham Shaharin, seorang warga Malaysia, rakyat Tuanku.

Surat ini patik tulis dalam keadaan amat gelisah mengenai maruah dan martabat negara dari Seoul, Korea Selatan kerana patik sedang melanjutkan pelajaran di sini.

Merujuk kepada pendedahan Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam mengenai bagaimana campurtangan dan gangguan yang wujud dalam urusan perlantikan hakim.

Pendedahantersebut beserta bukti rakaman perbualan pada sekitar 2002, peguam Datuk VK Linggam dan Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz. Berdasarkan perbualan tersebut Tun Fairuz (Datuk pada masa itu) merupakan Hakim Besar Malaya merangkap pemangku Presiden Mahkamah Rayuan (kerana pada ketika itu Y.A Tan Sri Wan Adnan mengalami masalah kesihatan). Melalui perbaualan itu jelas bagaimana campurtangan gangguan dalam institusi kehakiman. VK Linggam melakukan usaha termasuk campur tangan beberapa pihak lagi seperti tokoh korporat Vincent Tan dan Tengku Adnan (menteri Pelancongan ketika itu) memastikan Fairuz dilantik sebagai Presiden Mahkamah Rayuan. Dalam rakaman tersebut juga menyebut kes Datuk Seri Anwar. Ini menguatkan lagi kenyakinan bagaimana konspirasi jahat wujud dalam kes tersebut.

Tuanku ;Negara kini berada dalam krisis integriti yang cukup hebat kini. Seluruh dunia kini sedang melihat Malaysia, bagaimana kita selaku bangsa yang bermaruah menangani permasalahan ini.

Sewajarnya,malah tinggi harapan patik ingin melihat dengan maruah dan integriti yang tinggi (jika masih punya maruah) Y.A Ketua Hakim Negara Tun Ahmad Fairuz sendiri meletakkan jawatan atau sekurang kurangnya mengosongkan jawatan sementara untuk membolehkan siasatan dan tindakan dijalankan kerana dengan keberadaan beliau di situ akan memburukkan imej kehakiman secara khusus dan imej negara secara amnya.

Ampun tuanku ;

Menginsafi betapa negara sedang diuji dengan ujian integriti yang hebat,makanya dengan ini patik mendesak tindakan segera - berdasarkan Article 125 Perlembagaan, dimana mengizinkan pemecatan atau penggantungan Hakim serta merta berdasarkan salah laku etika.

Satu suruhanjaya diraja bebas harus di buat segara menyiasat perkara ini termasuk menyiasat semula kes terbesar negara iaitu Konspirasi terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim yang telah banyak merugikan negara.

Ampun Tuanku.
Hamba Patik
Badrul Hisham Shaharin
kad pengenalan : 780923 05 5385

p/s : surat ini juga dihantar melalui pos ke Istana Negara
-----------------------
Background to the Lingam tape
The grainy eight-minute video footage was taken in 2002 at senior lawyer VK Lingam’s Kelana Jaya house. At that time, Mohamed Dzaiddin Abdullah was chief justice. Appointed in 2000, he was seen as a fresh break from his two previous predecessors - Mohd Eusoff Chin (1994-2000) and Abdul Hamid Omar (1988-1994). 
Dzaiddin was to retire in 2003, and the video showed Lingam expressing concerned that the outgoing CJ was moving his ‘men’ into top judiciary posts. The conversation revolved around the urgent need to get Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim, then chief judge of Malaya - the judiciary’s No 3 - appointed as Court of Appeal president (No 2) and then chief justice (No 1). 
There was also the plan to get former attorney-general Mokhtar Abdullah, who was then a Federal Court judge, to replace Ahmad Fairuz as No 3. To do that, Lingam had roped in tycoon Vincent Tan, a close crony of then prime minister Dr Mahathir Mohamad, and Tengku Adnan Tengku Mansor, a key minister in PM’s Department. They were to talk to Mahathir on the appointment of judges.
Postscript
Ahmad Fairuz was appointeded Court of Appeal president in December 2002 - months after the telephone conversation. Dzaiddin stepped down as CJ in 2003 and he was replaced by Ahmad Fairuz. Mokhtar, however, could not take the No 3 post as he was in coma after suffering from a fall in August 2002. He died in 2003. Ahmad Fairuz' term as CJ will end in October 2007

 

Surat Terbuka Kepada Pak Lah

PERMINTAAN TERBUKA KEPADA YAB DATO’ SERI ABDULLAH BADAWI

Tarikh : 16 Februari 2009 – Isnin
Daripada : Muhammad Zahid Bin Md Arip
No K/P : 660622-04-5355
No Ahli UMNO : 03468736
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani. Segala Puji Bagi Allah SWT Yang Maha Agung Lagi Maha Berkuasa. Selawat Dan Salam Ke Atas Junjungan Mulia Nabi Muhammad SAW, Keluarga Dan Para Sahabatnya.
YAB Dato’ Seri,
Di dahului dengan doa dan harapan mudah-mudahan Dato’ Seri beroleh sihat sejahtera.
Izinkan saya memulakan bicara dengan mengambil kesempatan ini untuk merakamkan ucapan Selamat Berundur dan Selamat Meletakkan Jawatan sebagai Presiden UMNO dan Perdana Menteri Malaysia kepada Dato’ Seri. Buat pengetahuan Dato’ Seri, peristiwa yang bersejarah dan penting ini, 
sememangnya di tunggu-tunggu dan di harap-harapkan oleh hampir seluruh rakyat Malaysia. 

Walaupun (InsyaAllah) ianya hanya akan berlaku pada akhir bulan Mac 2009 – kira-kira 1½ bulan dari sekarang, namun saya tidak mahu ketinggalan untuk menjadi warganegara Malaysia yang pertama merakamkan secara terbuka ucapan Selamat Berundur dan Selamat Meletakkan Jawatan kepada Dato’ Seri. Bagaimanapun, dalam kita menghitung hari menunggu tibanya saat tersebut, terdapat beberapa spekulasi yang tidak enak di dengar sekali gus ianya boleh menambah rosak imej Dato’ Seri yang sedia tercalar selama ini. 

Bagi saya, saya tidak mahu imej rosak dan tercalar ini mengiringi pengunduran Dato’ Seri sebagai Presiden UMNO dan Perdana Menteri Malaysia.
Sebaliknya, saya mahu Dato’ Seri berundur sebagai anak jantan yang punya maruah dan harga diri. Dato’ Seri seharusnya memperlihatkan keikhlasan yang tinggi, supaya sejarah dan anak cucu di kemudian hari akan menganggap Dato’ Seri lah pemimpin yang boleh di jadikan contoh – yang meletakkan kepentingan UMNO dan Negara melebihi segala-galanya dan bukannya pemimpin yang bacul yang terlalu sayangkan jawatan – sehingga sanggup memporak-perandakan UMNO dan Negara yang tercinta. Justeru, pada kesempatan ini, saya ingin mendedahkan beberapa spekulasi yang tersebar secara meluas yang sampai ke telinga saya. 

Saya harap pendedahan ini akan dapat di jawab dan di jelaskan oleh Dato’ Seri secara terbuka dengan ikhlas, supaya para penyebar spekulasi ini akan dapat di diamkan dan seluruh ahli UMNO mendapat kepastian yang sejelas-jelasnya.

SPEKULASI 1, menyatakan;
Dato’ Seri dan budak-budak “tingkat 4” sedang menggunakan para penulis blog pro pembangkang dan beberapa pemimpin pembangkang untuk memenafaatkan waktu 1½ bulan terakhir ini untuk terus menyerang, menghina dan mengaibkan Dato’ Sri Najib dan keluarganya. Konon katanya, ada kempen yang di lancarkan oleh mereka yang di restui sendiri oleh ahli keluarga Dato’ Seri – kempen tersebut diberi nama “NO TO NAJIB, YES TO PAK LAH”. Betul kah?

SPEKULASI 2, menyatakan;
Atas nasihat anggota keluarga dan penasihat-penasihat veteran dari kalangan sahabat, Dato’ Seri di katakan tidak akan melepaskan jawatan Perdana Menteri sebaik selesai Perhimpunan Agung UMNO. Walaupun tidak lagi menjawat jawatan Presiden UMNO, Dato’ Seri konon katanya tetap tidak mahu berhenti dan akan terus menjadi Perdana Menteri. Konon katanya, Dato’ Seri terlalu sayangkan jawatan tersebut.

Dato’ Seri juga konon katanya sudah merancang untuk memasang seorang perwakilan di Perhimpunan Agung UMNO untuk membawa usul tergempar supaya Dato’ Seri kekal sebagai Perdana Menteri. Kononnya keinginan Dato’ Seri sudah sampai ke tahap tidak menghormati tradisi pemilihan Perdana Menteri yang di amalkan oleh parti selama ini di mana sesiapa jua yang menjadi Presiden UMNO, maka dialah yang akan menjadi Perdana Menteri.
Spekulasi ini terus bertiup kencang apabila Utusan Malaysia (Khamis – 12 Feb 2009 – m/s 3) menyiarkan berita bergambar mengenai kempen secara besar-besaran promosi laman web Perdana Menteri yang mengajak rakyat berhubung secara terus dengan Dato’ Seri dengan menghantar cadangan, pandangan, teguran dan kritikan.

Ada logiknya juga, apa perlunya promosi laman web ini di buat secara hebat dan besar-besaran jika usia pemerintahan Dato’ Seri hanya tinggal kira-kira 1½ bulan? Mungkin juga Dato’ Seri mempunyai lampu ajaib yang boleh menyelesaikan semua keluhan yang di hantar ke laman tersebut dalam masa 1½ bulan sahaja. Atau mungkin laman itu akan di gunakan oleh “gulungan tertentu” semahu-mahunya bagi merintih, merengek, merayu, memujuk dan mendesak Dato’ Seri supaya terus kekal menjadi Perdana Menteri walaupun tidak menjadi Presiden UMNO. Maklum sajalah – Dato’ Seri adalah Perdana Menteri “yang terhebat” dan “yang tersohor” yang pernah di lahirkan oleh UMNO.

Spekulasi ini juga menyebut, bahawa kononnya jadual Dato’ Seri sebagai Perdana Menteri telah di susun padat oleh pejabat Dato’ Seri sehingga 31 Disember 2009. Dan, ini menggambar dan menandakan Dato’ Seri tidak mahu berhenti. Konon katanya lagi, satu gerakan yang begitu tersusun dan terancang sedang di laksanakan oleh budak-budak Dato’ Seri untuk membina keyakinan rakyat bahawa jika Dato’ Sri Najib menjadi Perdana Menteri, nescaya keadaan akan lebih teruk dan negara akan kucar kacir. Gerakan ini juga kononnya sedang membiayai beberapa NGO untuk mengutip tandatangan seberapa ramai orang untuk mendesak Dato’ Seri supaya jangan berundur sebagai Perdana Menteri.. Soalan saya – betul kah?

SPEKULASI 3, menyatakan;
Dato’ Seri akan merombak kabinet dalam waktu terdekat ini. Konon katanya rombakan ini akan melibatkan Dato’ Sri Najib, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan beberapa pemimpin lain termasuk membawa masuk YBM Tengku Razaleigh Hamzah ke dalam kabinet. Kononnya rombakan ini adalah bertujuan untuk merendahtarafkan Dato’ Sri Najib sebelum beliau di buang dari kabinet. Lebih dahsyat lagi, spekulasi ini juga menyebut, Dato’ Seri dan penasihat-penasihat Dato’ Seri sedang merekacipta cerita dan pertuduhan untuk mendakwa Dato’ Sri Najib di mahkamah. Betul kah?

SPEKULASI 4, menyatakan;
Dato’ Seri akan menggunakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menahan pemimpin-pemimpin UMNO bertaraf ikan bilis termasuk mereka yang di katakan rapat dengan Dato’ Seri dan anggota keluarga Dato’ Seri, sebelum menahan pemimpin-pemimpin yang bertaraf ikan jerung yang benar-benar tidak sehaluan dengan Dato’ Seri. Manakala pemimpin-pemimpin yang bertaraf ikan jerung, yang menjadi kesayangan Dato’ Seri walaupun di katakan membeli pencalonan secara terang-terangan akan terselamat dari sebarang bentuk tindakan. Betul kah?

SPEKULASI 5, menyatakan;
Dato’ Seri sedang berusaha keras dengan melakukan pebagai cara untuk memastikan menantu kesayangan Dato’ Seri memenangi jawatan Ketua Pemuda UMNO. Betul kah?

SPEKULASI 6, menyatakan;
Dato’ Seri dan konco-konco Dato’ Seri sedang berusaha dengan begitu gigih dan keras dalam memastikan YB Tan Sri Muhyiddin Yassin kalah untuk jawatan Timbalan Presiden. Konon katanya Dato’ Seri mahukan Dato’ Seri Ali Rustam memenangi jawatan tersebut. Betul kah?

SPEKULASI 7, menyatakan;
Dato’ Seri konon katanya akan menggunakan peluang semasa menyampaikan Ucapan Dasar untuk membelasah Tan Sri Muhyiddin bagi menarik simpati perwakilan memberikan undi dan kemenangan kepada Dato’ Seri Ali Rustam. Kononnya, inilah caranya untuk Dato’ Seri membalas dendam kesumat terhadap kelantangan dan keberanian Tan Sri Muhyiddin sebelum ini sehingga proses peralihan kuasa terpaksa di laksanakan. Spekulasi ini juga menyebut, Dato’ Seri begitu yakin Dato’ Seri Ali Rustam akan memenangi jawatan Timbalan Presiden kerana kononnya – dari 2 ribu lebih perwakilan yang akan berada di Dewan Merdeka, terdapat kira-kira 580 orang penerima darjah kebesaran DMSM yang membawa gelaran “DATUK”, DSM dan JP dari Melaka yang memangnya terhutang budi dengan Dato’ Seri Ali Rustam.

Andaian di buat, jika setiap seorang dari 580 orang ini berkempen dan dapat mencari seorang sahaja lagi perwakilan untuk mengundi Dato’ Seri Ali Rustam, tidak syak lagi dan sudah tentu Dato’ Seri Ali Rustam akan memenangi jawatan Timbalan Presiden UMNO. Sekali lagi saya mohon bertanya kepada Dato’ Seri – Betul kah? Demikianlah spekulasi-spekulasi yang saya dengar mutakhir ini. Sebagai ahli parti yang bertanggung jawab, saya merayu dan memohon Dato’ Seri memberikan penjelasan dan menjawab spekulasi ini sejelas-jelasnya secepat mungkin atau dengan kadar segera. 

Tujuannya supaya UMNO yang kita dukung ini berada dalam keadaan jelas, aman dan proses peralihan kuasa berlaku dalam suasana ikhlas, aman dan damai.

Kegagalan Dato’ Seri untuk menjawab spekulasi-spekulasi yang saya dedahkan ini akan menyebabkan ianya terus hidup subur dan kesannya amat tidak molek bukan sahaja kepada parti tetapi juga kepada Dato’ Seri sendiri. NASIHAT saya kepada Dato’ Seri, ikhlaskanlah hati. Pergilah Dato’ Seri sebagai pemimpin yang punya maruah dan harga diri yang tinggi.
Saya sangat-sangat berharap kepada Dato’ Seri, alang-alang berucap menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung UMNO nanti, tinggalkanlah pesanan dan wasiat yang baik-baik buat UMNO dan jangan sekali-kali Dato’ Seri lupa untuk mengumumkan sekali perletakkan jawatan Dato’ Seri sebagai Perdana Menteri Malaysia di akhir ucapan dasar itu nanti. InsyaAllah, Dato’ Seri akan dapat melihat dan akan dapat merasakan sendiri penghormatan dan tepukan bergemuruh sambil berdiri yang bakal diberikan oleh UMNO kepada Dato’ Seri. Sesungguhnya, kemuncak kerjaya bagi seseorang pemimpin UMNO ialah apabila dirinya mendapat penghormatan di dalam Perhimpunan Agung UMNO.

Akhirkata, saya hadiahkan 3 rangkap pantun buat mengiringi pengunduran dan persaraan Dato’ Seri sebagai Presiden UMNO yang ke 6 dan Perdana Menteri Malaysia yang ke 5.

Tinggi Bukit Gilang-gemilang Air pasang tenang-tenangan
Budi sedikit payah nak hilang Itu menjadi kenang-kenangan
Pulau Pandan jauh ke tengahGunung Daik bercabang tiga
Hancur Badan di kandung tanah Budi sedikit ku kenang juga
Terbang tinggi si rama-ramaHinggap mari di pohon redup
Budi Tuan walau sedikit kami terima Jadi kenangan seumur hidup

Sekian, terima kasih.


Wabillahi Taufiq Wal Hidayah. Wassalamualaikum WHB.

Yang benar,
MUHAMMAD ZAHID BIN MD ARIP

 

WARKAH UNTUK NAJIB

SURAT 1

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya, Muhammad Muizzuddin bin Zaini. InsyaALLAH, Julai nanti genaplah umur saya 19 tahun. Masih berbaki lebih kurang 2 tahun, sebelum saya layak mengundi. Tetapi saya yakin, dalam ruang demokrasi, tidak pula mensyaratkan yang saya hendaklah berumur 21 tahun untuk melayakkan surat saya ini dibaca Dato’ Seri.

Dato’ Seri, saya ingin memperkenalkan diri sebagai remaja yang sangat ingin tahu. Keinginan saya ini, menjadikan saya remaja yang tidak hanya terpaku di meja belajar semata. Saya mampu menonton berita hingga ke penghujungnya (tidak di bahagian Sukan semata). Saya juga mampu membaca suratkhabar dari muka depan hingga ke muka akhir. ‘Singgah’ di laman-laman sesawang untuk melihat berita-berita yang tidak tersiar di media arus perdana. Saya juga remaja yang suka meladeni buku-buku yang tidak menjadi kegilaan kebanyakan remaja seusia saya kini.

Tidaklah pula saya katakan, yang saya lebih tahu daripada Dato’ Seri, tidak. Saya cuma mahu tegaskan, saya adalah remaja yang memerhati. Saya adalah remaja yang bukan kerjanya sehari-hari, makan, tidur, ‘menelan’ buku teks semata. Saya adalah remaja yang mengikuti rapat perkembangan-perkembangan semasa negara tercinta ini.

Izinkan saya Dato’ Seri, untuk memberi pandangan saya. Pandangan seorang budak, seorang remaja. Mungkin Dato’ Seri fikir, apalah ada pada seorang remaja seperti saya. Justeru, suka untuk saya ingatkan pada Dato’ Seri yang InsyaALLAH, kelak, kamilah yang akan membuang undi!
Dato’ Seri Najib yang saya hormati, memimpin sebuah negara bukanlah perkara yang mudah. Tidak pernah ia menjadi mudah, tidak boleh ia diambil mudah. Ia adalah persoalan besar dan penting.  Persoalan yang diletakkan tinggi di dalam Islam. “Kepimpinan adalah amanah, celaan di dunia, dan penyesalan di akhirat”, begitu sabda Nabi SAW.

DASAR

Saya, yang tohor ilmu dan cetek pengalaman ini, percaya bahawa, setiap tindakan kita adalah bergantung kepada prinsip yang kita letakkan sebagai neraca asas. Bagi sesetengah orang, mereka meletakkan Demokrasi sebagai neraca asas mereka. Ada yang meletakkan kepentingan peribadi, atau kroni, atau Sosialisme, Liberalisme dan sebagainya. Bagi kita, seorang Muslim, neraca asas yang menjadi dasar pertimbangan kita tentulah ISLAM. Izinkan saya bertanya, apakah Asas Utama kepada setiap tindakan Dato’ Seri?

Apakah Islam? Atau Kepentingan diri, atau kroni, atau selainnya?

Maaf Dato’ Seri, kiranya jawapan Dato’ Seri bahawa asas bagi setiap tindakan Dato’ Seri adalah Islam (saya tak pasti jika Dato’ Seri akan memilih jawapan selainnya), maka saya ada beberapa soalan untuk Dato’ Seri.
Saya amat keliru dengan dasar Program Transformasi Ekonomi yang dibawa Dato’ Seri. Apakah ianya dirangka dengan neraca Islam atau selainnya. Justeru, saya mohon penjelasan Dato’ Seri.

Saban hari, saya dan rakan-rakan, menerima berita dari segenap pelusuk negara, samada dekat dengan kami atau jauh, remaja seusia kami yang MENGHILANG! Iya, ‘hilang’ nyawa kerana penggunaan dadah berlebihan atau kerana perlumbaan haram. ‘Hilang’ maruah dan harga diri kerana amalan penzinaan lewat pergaulan bebas. ‘Hilang’ akal kerana ketagihan ekstasi, pil khayal dan arak. ‘Hilang’ kewarasan hingga tergamak membunuh bayi kecil atau ditinggalkan di jalanan untuk menjadi habuan anjing dan hurungan semut. ‘Hilang’ kemampuan untuk menjadi barisan pelapis kepimpinan negara. ‘Hilang’ arah hinggakan nafsu ‘disembah’ sebagai Tuhan! HILANG Dato’ Seri, HILANG!

Saya begitu terkesan pada pesan Saiyidina Ali KWJ, “Lihatlah pada generasi muda, untuk menilai masa depan ummatnya”. Saya tergamam dan jadi takut Dato’ Seri, melihatkan rakan-rakan sebaya yang hanyut. Apakah sebegini hancur dan punahnya masa depan negara tercinta ini!?

PELAN TRANSFORMASI EKONOMI


Program Transformasi Ekonomi anjuran kerajaan pimpinan Dato’ Seri, turut menggariskan perancangan untuk MENJADIKAN MALAYSIA SEBUAH HAB HIBURAN MALAM UNTUK MEMACU INDUSTRI PELANCONGAN. Di atas alasan untuk memperkasa industri pelancongan dan menarik pelancong juga, kerajaan pimpinan Dato’ Seri merancang penubuhan kelab-kelab malam terkemuka, menganjurkan konsert utama, melonggarkan garis panduan untuk penghibur antarabangsa dan mempakejkan semula acara antarabangsa seperti Formula 1 dan MotoGP.

Kerajaan Dato’ Seri juga mencadangkan penubuhan zon hiburan di Greater Kuala Lumpur/Lembah Klang, Genting Highlands, Pulau Pinang, Langkawi dan Kota Kinabalu bagi menggandakan pendapatan hiburan malam Malaysia kepada RM1.8 bilion menjelang 2020. Penubuhan enam kelab malam baru yang mampu menampung kehadiran 900 pengunjung pada hujung minggu menjelang awal 2012 akan menyusul. Dua lagi akan beroperasi pada 2013 dan 2014.

Maka, menjelang 2014, akan terdapat sekurang-kurang 10 kelab malam di zon hiburan. Rancangannya adalah untuk menghasilkan impak pendapatan kasar negara RM0.7 bilion dan mewujudkan lebih kurang 5,000 pekerjaan baru menjelang 2020. Bagi mencapai hasrat itu, kerajaan Dato’ Seri akan merubah beberapa peraturan hiburan, termasuk membenarkan pelanjutan had waktu beroperasi bagi pusat hiburan malam.

Dato’ Seri juga berhasrat melonggarkan lagi syarat-syarat untuk persembahan artis luar negara. Dan kami telahpun menyaksikan bagaimana, seorang penyanyi gay membuat persembahan, memuaskan nafsu remaja-remaja muda, dengan kebenaran daripada kerajaan Dato’ Seri.

Izinkan saya ulangi soalan saya Dato’ Seri, apakah Islam diletakkan sebagai neraca timbangan waktu Dato’ Seri merangka, membentang dan membahas idea ini? Ataupun Dato’ Seri punya pilihan lain yang Dato’ Seri lebih suka untuk diletakkan sebagai neraca timbangan?

Yang Amat Berhormat Dato’ Seri, apakah Dato’ Seri penuh sedar, bahawa perancangan Dato’ Seri ini adalah perancangan ‘PEMUSNAHAN’ besar-besaran? Ini bukanlah pelan pembangunan ekonomi, ini adalah pelan ‘PEMUSNAHAN’ berskala besar, yang akan menjadikan rakan-rakan seusia saya, remaja semuda saya atau lebih muda, hancur musnah Akhlaknya, punah-ranah Sahsiahnya.

Iya, Dato’ Seri akan ‘menghancur’ dan ‘membunuh’ pemimpin masa depan, para bijak pandai masa depan. Dengan Dato’ Seri melambakkan pada mereka, hiburan dan keseronokan melampau! Saya dan rakan-rakan, bakal dihidang dengan acara memuas nafsu yang berterusan. Ini akan menatijahkan hanya satu Dato’ Seri, hilang upayanya kami untuk menduduki barisan kepimpinan negara suatu masa nanti. Atau apakah pada pandangan Dato’ Seri, yang kami akan menjadi lebih bijak dan pandai kiranya ‘menelan’ hiburan-hiburan ini?

IFF dan AURAT

Dato’ Seri, seolah-olah saya pernah mendengar Saiyidina Umar al-Khattab menegaskan, “Bahawa adalah kita, ummat yang dimuliakan Allah dengan Islam. Sesiapa yang mencari kemulian selain daripada Allah, maka akan dihina Allah”. Terasa-rasa seperti terdengar SA Umar beritah demikian, kerana ia begitu meresap masuk di hati ini.

Dato’ Seri, saya begitu kecewa dan terkesima jadinya, waktu melihat Dato’ Seri dan isteri, melangkah megah di Festival Fesyen Islam, Monte Carlo tempoh hari. Saya tak dapat mengawal hati, untuk berteriak-teriak marah tatkala melihat gambar pakaian-pakaian yang diperaga atas nama “Kelembutan Islam” (Modesty of Islam), yang dinaungi oleh isteri Dato’ Seri dan pastinya dengan izin Dato’ Seri. Saya dan sahabat-sahabat terpinga-pinga dan tertanya-tanya, apakah ini pemahaman Dato’ Seri dan isteri mengenai pemakaian di dalam Islam?

Saya dan rakan-rakan jadi jelak dan muak Dato’ Seri, maaflah. Waktu Dato’ Seri ‘bertempik’ berikrar untuk mempertahankan Islam dan Melayu, isteri Dato’ Seri tidak pernah berusaha untuk menyahut seruan suaminya sendiri. Isteri Dato’ Seri tidak pernah kelihatan menutup aurat dengan sempurna. Isteri Dato’ Seri berpeluk mesra dengan orang yang haram bersentuhan (bukan mahram) tanpa segan silu di khalayak ramai. Saya tertanya-tanya, apakah Dato’ Seri meredhai perbuatan isteri Dato’ Seri ini?

JUDI

Bukan sedikit kontroversi yang berlaku waktu Dato’ Seri mengumumkan pemberian lesen kepada syarikat-syarikat tertentu untuk mengurus perjudian sukan di Malaysia pertengahan 2010 lalu. Sukar untuk saya agak, apakah harapan Dato’ Seri dengan pemberian lesen-lesen judi ini?

Apakah ini juga satu pelan meningkatkan ekonomi Malaysia? Apakah Dato’ Seri gembira dengan duit yang mencurah masuk, dalam masa yang sama kita melihat betapa hebatnya gejala buruk yang bakal timbul lewat perjudian?

Apakah Dato’ Seri meletakkan neraca BERKAT dan LA’NAT waktu mengemukakan cadangan ini? Apakah Dato’ Seri akan meredhai kiranya rakyat Malaysia memberi sesuap nasi kepada keluarga mereka, daripada wang yang mereka perolehi hasil judi? Apakah budaya yang cuba dibentuk Dato’ Seri sebenarnya?

Apakah keputusan-keputusan ini, ditimbang dengan neraca agama? Atau Dato’ Seri menggunakan neraca lain sebagai ganti?

KEMISKINAN dan HARGA NAIK

Dato’ Seri, orang bangsawan. Keturunan bangsawan. Barangkali, jika tidak jadi Perdana Menteri Malaysia pun, Dato’ Seri tetap akan hidup senang-lenang mewarisi kekayaan. Menteri-menteri Dato’ Seri juga, kaya raya.

Maka, tidak kiralah, jika hari ini minyak naik 10 sen, 20 sen, 50 sen atau Rm 10 sekalipun, Dato’ Seri dan sekalian menteri tidak akan bersusah. Tidak perlu berjerih payah.

Tahukah Dato’ Seri, di celah-celah, ceruk-ceruk kampung atau kota, ada rakyat yang menderita lewat kebejatan ekonomi yang punah hasil ketirisan dan kelemahan pengurusan. Pengurusan yang tidak meletakkan Islam sebagai neraca dan Allah sebagai penilainya, adalah pengurusan yang menghancur!

Dato’ Seri, saban hari saya melihat orang-orang miskin dan kesusahan. Tahukah Dato’ Seri, untuk menyekolahkan anak pun, sudah membuatkan mereka terpaksa membanting tulang, berusaha keras, apatah lagi untuk menghantar mereka ke menara gading (yang PTPTN lebih menghimpit daripada membantu). Kadang-kadang, apabila anak-anak yang bersekolah, meminta wang lebih untuk buku rujukan tambahan, si ibu atau bapa terpaksa menghulur dalam titis air mata. Sudahlah yuran persekolah masih dihutang. Bukan sedikit keringat yang dicurah, demi sesuap rezeki halal untuk anak-anak dan keluarga.

Kerajaan Dato’ Seri jangan terlalu bergantung kepada statistik dan kajian untuk menilai kemampuan rakyat. Selamilah sendiri penderitaan rakyat, yang terseksa dan merana kerana sistem ekonomi yang menyiksa. Setiap kali harga minyak atau keperluan utama naik, meski sekadar 10 sen atau 20 sen, mengalirlah air mata rakyat yang menanggungnya.

Rakyat benar-benar tersiksa sekarang. Janji tinggal janji, janji tidak pernah dipenuhi. Janji itu dan ini, sekadar untuk meraih undi. Waktu berkuasa, kami rakyat sudah dilupai. Tinggal kami, bermatian berusaha keras sendiri.

SUARA RAKYAT

Waktu rakyat turun ke jalanan berdemonstrasi, untuk meluahkan rasa yang terbuku di hati, dan berkongsi pedihnya kehidupan dengan Menteri-menteri yang berkuasa, Dato’ Seri menghantar pada kami, ‘perusuh-perusuh’ yang membantai tulang lemah dan daging kurus kami. Kami dibelasah dan diinjak-injak umpama binatang korban, umpama tak punya maruah. Kami diherdik dan dicaci. Kami disimbah dengan air kimia yang saya yakin, Dato’ Seri sendiri tidak pernah rasai pedih dan peritnya.

Dan menteri-menteri Dato’ Seri, tanpa rasa bersalah, menggelarkan kami sebagai perusuh yang cuba menggugat keselamatan negara, beruk-beruk di jalanan yang cuba menarik perhatian.. kalaulah mereka yang menuduh melulu itu, memahami pedihnya hati ini.

Semuanya adalah kerana, kami rakyat, cuba untuk berkongsi rasa dengan pimpinan negara. Sudahlah pilihanraya dijalankan dalam keadaan penuh keraguan dan ketidakadilan, ruang media yang disekat, tangan dan kaki kami rakyat diikat, maka ruang kecil untuk bersuara di jalanan inilah, ruang untuk kami menyampaikan rasa pada pemerintah dan pemimpin kami. Sekadar ruang kecil untuk kami bercerita dan berkongsi, betapa peritnya kehidupan yang kami rakyat lalui.

Pernahkah Dato’ Seri pedulikan suara kami? Pernahkan selain daripada tarikh pilihanraya Dato’ Seri menjadi begitu cakna pada kami? Pernahkah waktu pandangan rakyat yang tidak menguntungkan Dato’ Seri diambil peduli? Pernahkah Dato’ Seri?

Dato’ Seri bertindak sungguh responsif setiap kali adanya himpunan-himpunan rakyat.Melalui Kementerian Keselamatan Dalam Negeri, Dato’ Seri memastikan kami rakyat yang berhimpun tidak akan berjaya berhimpun dengan aman dan baik. Media dibawah kawalan Dato’ Seri juga menggunakan segala maklumat yang ada untuk memburuk-burukkan kami. Ulama’-ulama’ yang bernaung di bawah Dato’ Seri juga menggali hujah-hujah agama demi membuktikan tindakan kami bersuara, adalah bercanggah pada sisi agama.

Dato’ Seri, saya sungguh kecewa dengan setiap tindakan ini. Bukankah perhimpunan anjuran Dato’ Seri, pada setiap malam menunggu detik Kemerdekaan dan Awal Tahun Baru, ribuan malahan mungkin ratusan ribu rakyat termasuk golongan muda-mudi datang menyertai. Akhbar arus perdana jugalah yang melaporkan tangkapan demi tangkapan kerana berkhalwat, kerana dadah, kerana berkelakuan tidak sopan pada setiap kali sambutan-sambutan anjuran Dato’ Seri. Apakah pernah himpunan rakyat membantah ketidakadilan dan mahukan sedikit keadilan, pernah menjadi sebab untuk anak-anak muda ditangkap khalwat?

Dan pernahkah Ulama’-ulama’ muda yang bernaung di bawah Dato’ Seri itu menegur Dato’ Seri kerana program jamuan nafsu tersebut. Tetapi menegur himpunan rakyat yang bersuara, sebagai Bughah (derhaka) dan menuju Maksiat!?

REFORMASI

Saya dan juga rakan-rakan, adalah remaja muda yang punya sikap. Punya pendirian. Kami berazam, untuk mengubah keadaan ini Dato’ Seri. Kami berazam dan bertekad, seluruh diri kami akan diperguna untuk memperbaiki keadaan punah ini.

Kaedah merubah itu 2 Dato’ Seri. Pertama, nasihat agar berubah. Kedua, kira gagal, UBAH sendiri. Nasihat sudah saya berikan. Pandangan sudah saya sampaikan. Rakyat lain juga begitu, isyarat sudah mereka sampaikan.

Jika sampai masanya, untuk kami membuat pilihan, dan keadaan tidak lagi pulih, percayalah Dato’ Seri, kami sudah membuat pilihan sekarang untuk siapa yang layak menerima undi kami nanti.

Tidak cukup dengan itu, saya dan rakan-rakan, kami adalah remaja muda yang penuh tenaga dan kekuatan. Kami akan gerakkan massa suatu hari nanti. Agar pentadbiran, pengurusan, pemerintahan, kewangan dan sistem kehidupan yang meletakkan Islam, Keadilan, Kesejahteraan, Keamanan sebagai asas, akan mendapat tempat tertinggi di negara ini.

Dato’ Seri, saya tidak mengancam. Tidak pula mengugut. Saya mengingatkan. Kerana inilah tanggungjawab saya sebagai Mu’min. Bukankah sesama Mu’min itu bersaudara?

Dato’ Seri, mungkin surat ini akan sampai kepada pengetahuan Dato’ Seri, mungkin juga tidak. Kiranya ia sampai ke pengetahuan Dato’ Seri, saya dahulukan dengan permohonan maaf, kerana mungkin ada kesilapan saya. Maklumlah, saya remaja muda, mungkin ada silap dan salah pada gerak langkahnya. Saya juga berterima kasih, iyalah, orang sesibuk Dato’ Seri meluangkan masa untuk mengambil perhatian pada surat saya ini, itu adalah satu penghormatan buat remaja seperti saya.

Namun Dato’ Seri, kiranya ada pada surat ini, ataupun tindakan-tindakan remaja muda seperti kami ini yang mungkin lantang menyatakan pendirian, hingga mungkin Dato’ Seri terguris hati, kami tidak memohon maaf untuk itu. Kerana Dato’ Seri, INI MEMANG ADALAH PENCAK KAMI!

Sekian, terima kasih.

Yang benar,
Muhammad Muizzuddin Bin Zaini

SURAT 2

Tuesday, January 29, 2013

SURAT TERBUKA UNTUK PRESIDEN UMNO-KERAKUSAN KUASA HISHAMUDDIN HUSSEIN

Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak
Ibu Pejabat UMNO Malaysia
Tingkat 38, Menara Dato’ Onn
Jalan Tun Ismail
50480 Kuala Lumpur


29hb Januari 2013

Menemui Datuk Seri Presiden merangkap Perdana Menteri Malaysia.

Pertama sekali kami berdoa semoga Datuk Seri dan keluarga sentiasa berada dalam keadaan sihat walafiat dan sentiasa berada dalam lindungan Allah.

Kami juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah kepada Datuk Seri kerana mengambil langkah yang cukup berani melawat Gaza minggu lepas. Kami amat berbangga dengan keberanian Datuk Seri.

Kami meminta maaf jika kedatangan surat ini sedikit sebanyak mengganggu Datuk Seri dan merencat perencanaan kerja untuk pilihan raya 13.

Kami tidak berniat untuk mengganggu tugas Datuk Seri atau cubaan untuk mensabotaj parti. Matlamat kami untuk memastikan parti dapat menghadapi pilihan raya dalam keadaan tidak ada musuh dalam selimut atau gunting dalam lipatan.

Kami sebenarnya sudah beberapa kali cuba untuk berjumpa Datuk Seri bagi menjelaskan perkara ini tetapi penjaga-penjaga pagar Datuk Seri sering menjadi penghalang utama.

Kami tiada pilihan lain melainkan dengan cara ini sahaja yang boleh kami lakukan agar mesej yang kami hendak sampaikan sampai ke telinga Datuk Seri.

Datuk Seri, sewaktu Tun Dr Mahathir menjadi Presiden UMNO dan PM manakala Anwar Ibrahim selaku Timbalan Presiden dan TPM, Tun banyak memberi kepercayaan kepada Anwar untuk menguruskan pelbagai hal ehwal negara dan parti.

Kepercayaan yang diberikan oleh Tun telah disalah guna oleh si rakus Anwar. Beliau menggunakan kepercayaan Tun untuk membina empayarnya baik dalam parti dan kerajaan.

Jika hendak diperkatakan tentang Tun dan Anwar kisahnya sangat panjang dan semua orang mengetahuinya bagaimana rakus nya Anwar mempergunakan kepercayaan Tun M untuk dia berada di tempat tertinggi termasuklah memangku jawatan Perdana Menteri.

Kisah berkenaan kini hanya tinggal dalam lipatan sejarah setelah ia hampir memusnahkan UMNO pada tahun 1998 hasil tajamnya pandangan Tun pada kelibat Anwar Ibrahim.

Kini setelah lebih 15 tahun berlalu Anwar Ibrahim kedua dikesan wujud kembali di dalam UMNO di bawah pentadbiran Najib dengan modul dan sukatan pelajaran politik yang sama dilakukan Anwar dalam UMNO satu ketika dulu.

Datuk Seri mungkin terlepas pandang gerakan demi gerakan yang sedang berlaku ketika ini. Dalam masa Datuk Seri sedang berusaha untuk menang 2/3 majoriti dalam PRU13,ada pula pihak sedang mengambil kesempatan untuk menyusun gerakan bagi memperkukuhkan kedudukan dalam politik terutama sekali pada pemilihan parti yang akan berlangsung nanti.

Datuk Seri sedang dikelilingi oleh parasit-parasit parti.Datuk Seri sedang dibuai dengan nyanyian yang enak di telinga Datuk Seri oleh pencacai-pencacai terutama sekali sepupu Datuk Seri,Hishamuddin yang sedang memasang badan untuk ke peringkat tertinggi dalam parti dan sepupu Datuk Seri ini menjadi semakin angkuh kerana sepupunya adalah Perdana Menteri.

Sedar atau tidak oleh Datuk Seri sekarang bahawa sepupu Datuk Seri sedang membina empayarnya di dalam UMNO untuk kepentingan politik dirinya ? Kepura-puraan beliau di depan Datuk Seri hanyalah umpan untuk menyedapkan mata dan telinga Datuk Seri. Datuk Seri ada pengalaman mengenal budaya ampu dan bodek ini tatkala Datuk Seri hampir-hampir tewas di Pekan,Pahang pada PRU11 lalu.

Sebagai mahu memenuhi tembolok politik peribadinya,Hishamuddin sanggup melakukan apa sahaja termasuklah menabur fitnah terhadap saingannya,menghantar SMS kepada seluruh rangkaiannya,menggunakan KDN untuk menutup segala kebejatan moralnya dan apa yang didedahkan oleh mantan Ketua Polis Negara,Musa Hassan sampai sekarang tidak disanggah dengan bukti dan beliau hanya menafikannya semata-mata.Ini jugalah stail Anwar masa dalam kerajaan satu ketika dulu.

Hishamuddin umpama biawak hidup yang terpaksa Datuk Seri usung dan pikul.Beliau terlalu banyak mengguna serta memperalatkan nama Datuk Seri terutama sekali dalam soal pemilihan calon bagi mengisi kerusi Parlimen dan DUN untuk PRU13, kononnya Dato Seri memberikan beliau mandat untuk menapis serta mengenal pasti calon-calon dan Hishamuddin terlalu banyak berjanji dengan setiap pemimpin UMNO atau ahli UMNO yang beliau temui.

Sikap hipokrit Hishamuddin ini cukup tebal Datuk Seri,di depan Datuk Seri lain cakapnya dan di belakang Datuk Seri lain pula tindakannya dan senario ini sama beliau lakukan di depan pemimpin-pemimpin UMNO yang lain.

Datuk Seri,beliau juga sedang ligat memasang orang-orang tertentu untuk bertanding dalam pemilihan parti dengan alasan kononnya Datuk Seri yang minta mereka ini menentang calon sedia ada.Begitu jugalah dengan menawarkan orang-orang tertentu untuk menjadi calon kerana Datuk Seri yang minta.

Tidak cukup beliau mengatur pertandingan UMNO di peringkat Bahagian,sepupu Dato Seri ini juga sudah pun menyusun orang-orang tertentu di dalam sayap-sayap parti untuk bertanding merebut jawatan sehingga diberitahu apa sahaja keputusan mesyuarat sayap-sayap parti perlu disampaikan kepadanya.

Kesan daripada menggunakan nama Datuk Seri ini,kita yakin dan amat percaya kalau gerakan sepupu Datuk Seri ini tidak dibendung ataupun diambil tindakan oleh Datuk Seri boleh mewujudkan budaya sabotaj ataupun lompat parti.

Surat ini untuk peringkat ini tidak mahu menyebut atau mendedahkan lagi bagaimana sepupu Datuk Seri ini mengumpul kekayaan terutama sekali di negeri Johor hingga mampu membeli sebuah rumah mewah di kawasan elit di Kota London baru-baru ini, tetapi surat ini lebih kepada mahu memberitahu sikap sebenar Hishamuddin yang selama ini setiap saat dan ketika memperdagangkan nama Datuk Seri.

Datuk Seri sedar atau tidak,helikopter dan kenderaan siapa yang digunakan oleh sepupu Datuk Seri untuk sebarang program parti ataupun peribadi beliau? Datuk Seri sedar atau tidak bagaimana akrabnya sepupu Datuk Seri ini dengan tokoh korporat Cina di Johor bernama Lim Kang Hoo itu ? Pernah Datuk Seri tanya sepupu Datuk Seri hubungan sebenar mereka berdua hingga Lim Kang Hoo begitu bermaharajalela di Johor?

Kenapa begitu hina sekali anak seorang pejuang UMNO sanggup bersekongkol dengan seorang tauke cina untuk meranapkan harta-harta anak bangsa sendiri di bumi Johor ?

Datuk Seri kami sedar apa yang kami lakukan ini ibarat menepuk air di dulang terpercik muka sendiri. Namun apakan daya kami kerana kami tiada jalan lain untuk menyampaikan mesej kepada Datuk Seri.

Sedar atau tidak oleh Datuk Seri sekarang ketika kita sedang sibuk untuk memantapkan jentera parti bagi menghadapi pilihan raya, Hishamuddin pula sibuk memantapkan rangkaiannya untuk menghadapi pemilihan UMNO ?

Beliau sedang sibuk mencatur orang sana-sini untuk berlawan orang itu ini kononnya itu permintaan Datuk Seri. Dalam masa yang sama juga sibuk mencaturkan orang untuk dilantik sebagai menteri, timbalan menteri dan menteri besar.

Ini adalah permulaan Surat Terbuka kepada Datuk Seri berkaitan dengan gelojohnya nafsu politik sepupu Datuk Seri ini dan akan menyusul lagi pendedahan tentang apa yang sepupu Datuk Seri lakukan ini boleh memecahbelahkan UMNO,boleh menggugat kedudukan Datuk Seri sebagai Perdana Menteri Malaysia dan mungkin juga menghalang transformasi politik yang Datuk Seri laung-laungkan selama ini.

Surat ini dibuat kerana ucapan Datuk Seri masa Perhimpunan UMNO lalu yang bertajuk Ubah Atau Rebah dan sekiranya Datuk Seri masih gagal merubah sepupu Datuk Seri ini,yakin dan percayalah Datuk Seri akan rebah bersama-sama sepupu Datuk Seri yang sedang bernafsu besar dalam politik negara ini.

Sekian dulu untuk yang pertama ini dan akan menyusul nanti beberapa pendedahan yang mengejutkan Datuk Seri tentang sepupu Datuk Seri ini.
Sekian
Warga-warga Johor

 

SURAT 3

Friday, October 3, 2014


Surat terbuka buat Najib Razak dari rakyat yang bergaji RM1500 sebulan..



Ini adalah luahan isi hati seorang rakyat Malaysia yang kelihatannya mewakili aspirasi dan harapan majoriti rakyat Malaysia yang mana hanya mahukan realiti kehidupannya hari ini dan pada masa akan datang benar-benar merasai nikmat apa yang dipanggil tinggal di sebuah negara yang terkenal dengan kekayaan hasil mahsul yang dilimpahkan di atas bumi yang bernama yang Malaysia ini..

Itu jikalau……jikalau negara diuruskan dengan penuh amanah dan bertanggungjawab. Insyaallah..

Surat Terbuka Buat Najib Razak.

Assalamualaikum….

Jika saya tinggal di London, New York atau paling terukpun di Guangzhao, Melbourne jika minyak naik saya tak terasa pun. Alternatif disediakan untuk saya sampai dari sejauh zon 6 Kota London ke tengah bandar ataupun ke zon 6 arah berlainan dalam masa kurang 1 jam sekalipun semasa penyuraian waktu puncak.

Apa nak risau jika Tuan Mayor Kota London juga naik train ke tempat kerja, untuk mesyuarat dengan pelanggan di mana-mana sahaja juga boleh naik train. Belanja pun tak banyak, guna sahaja kad bulanan mereka itu boleh sahaja melacak ke seluruh London. Untuk ke Manchester, Nottingham (seperti kita nak ke Kota Bharu dan Kuala Terengganu) boleh guna train juga dengan kekerapan tinggi dan HARGA YANG MURAH (jika nak banding dengan pendapatan mereka, harga itu memang murah). Ya betul, mereka bayar cukai lebih tinggi tetapi mereka beri semula kepada rakyat.

Hari ini kita dipaksa untuk telan kenaikan harga tanpa kerajaan tuntaskan keperluan pengangkutan awam yang sangat parah. Naik bas pun tidak pasti boleh sampai ke pejabat tepat atau awal dari masa walaupun ada lorong khusus untuk bas. Saya minat melihat lorong bas di Istanbul seperti track keretapi yang tidak boleh dilalui kereta.

Tak perlu buat landasan dan tak perlu beli keretapi mahal-mahal. Guna bas sedia ada juga sudah lebih baik dari membuat projek pelebaran lebuhraya. Sampai kita ada 50 lorong pun masih tetap tak cukup. Ini akan berbalik kepada soal mana dahulu.

Pemimpin kata rakyat kena dicukai dan dimansuh subsidi supaya kerajaan mampu bina prasarana pengangkutan awam. Orang awam pula nampak kerajaan bina dahulu dengan modal sedia ada barulah boleh dinaikkan sumbangan rakyat kepada kerajaan. Namun, sejauh mana rela rakyat jika pembaziran berlaku di hadapan mata.

Tindakan pentingkan diri juga boleh disabitkan. Jika hebat pengangkutan awam nanti Proton punya jualan merosot pula. Dr. M tak akan berdiam diri dalam menjaga kepentingan Proton.

Malaysia Semakin Parah Di Bawah Najib Razak?

Malaysia sudah diwarisi kepada Datuk Seri Najib Razak dalam keadaan yang sudah parah. Dapat pula ke tangan anak yang lahir atas dulang emas yang tidak pernah merasai kesusahan rakyat secara realistik dan peribadi. Saya tersinggung semasa pertemuan bersama beliau dalam satu perbincangan “tehtarik” di Jibby & Co Subang awal tahun ini, beliau berseloroh tentang isu air dan saya lihat ia tidak kelakar langsung.

Pada keadaan gawat air dengan penggunaannya bercatu dengan asbab beberapa dari kami bercatu air di rumah sehingga mandipun nak bercatu, beliau boleh berseloroh “Saya boleh mandi…rumah saya ada air” (lalu ketawa).

Saya tahu ini pedas untuk Datuk Seri dan saya juga harap tak perlu nak katakan ini secara umum. Email cadangan berkajang-kajangpun, yang membacanya bukan dia tetapi ditapis oleh lapisan yang mungkin lihat ini remeh.

Tapi kita lupa, jika suara rakyat ini seperti air. Jika disekat dia akan melimpah juga sehingga satu ketika limpahan itu akan meruntuhkan empangan yang dibina selama 57 tahun.

Petronas diajar untuk mengatakan rezab minyak kita tinggal sedikit, tetapi kerajaan lupa jurutera-jurutera carigali Petronas ada mulut dan ada Facebook. Mereka boleh bercakap dan mereka selalu bercakap rezab minyak kita sangat banyak lagi.

Sekecil Brunei itu sendiri rezab minyaknya masih lagi tidak habis-habis dan tidak akan habis sehingga 2030, mengapa kita boleh fikir rezab kita akan habis pada 2030-an?

Masalah bila orang senang mentadbir, semuanya mahu dibeli dengan wang. Berikan rakyat BR1M sebagai gula-gula yang tidak mengenyangkan dan tidak juga berkhasiat. Wang tunai ditabur-tabur seperti Ali Baba Bujang Lapok memberi sedekah di pasar-pasar.

Najib Tidak Pernah Rasa Perit Hidup Di Malaysia Dengan Gaji Kami RM1,500

Bukan turun meletak jawatan, tetapi sebelum itu turunlah melihat SENDIRI kepayahan rakyat. Mungkin susah untuk Datuk Seri tahu sehingga Datuk Seri menerima gaji RM1500 sebulan dan perlu berulang alik dengan kereta sendiri yang berhutang dengan bank dengan kadar faedah bank konvensional dan “Islamik” tapi menjerut leher. Isi minyak sendiri dan bayar tol sendiri juga bayaran parking. Makan dengan bekal nasi yang dimasak oleh Datin Seri Rosmah sendiri. Mungkin baru boleh memahami dengan sebenar-benarnya.

Secara praktikal, itu mungkin sukar tetapi kami yakin Datuk Seri boleh turun dan lihat sendiri dan dengar sendiri kata-kata rakyat tanpa perlu protokol Perdana Menteri yang kadangkala mengarut dan menjarakkan informasi rakyat kepada Datuk Seri. Jika rakyat tak mampu sampaikan terus, rakyat akan sampaikan dalam media sosial.

Untuk pengetahuan Datuk Seri, jika Datuk Seri buat lawatan ke sesuatu tempat, orang-orang Datuk Seri akan jadikan tempat sampah nampak macam Hyde Park. Setinggan nampak macam hotel 5 bintang tetapi setelah Datuk Seri pulang, semuanya dicabut semula dan tinggallah semuanya dalam keadaan sediakala sementara Datuk Seri dengan bangga membuat kenyataan “SYUKURKAH, MALAYSIA SUDAH MAJU”.

Apabila minyak naik harga, kesannya tetap kesan domino. Janganlah Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (Menteri Ayam) membuat kenyataan memujuk yang harga barang tidak akan naik. Saban kali berlaku begitu, harga naik tetap naik.

Penguatkuasaan kementeriaan hanya sekadar seperti seorang bapa menegur anak nakalnya yang panjat-panjat rumah tetamu dan memecahkan pinggan dengan teguran “Haiiippppp….babab kangg” dan kemudian sambung bersembang semula.

Orang Kaya Najib

Dulu semasa saya kecil, saya terpaksa percaya pada RTM. TV3 masa tu kalau nak dapat siaran pun kena pasang tudung periuk di antena. Setiap kali nak pilihanraya, Van Kementerian Penerangan akan buat hebahan WAYANG PACAK di pekan sehari Felda.

Ramai-ramai kami berlonggok nak tengok cerita A.R Badul sambil hampar tikar dan kami juga terpaksa telan kempen pilihanraya yang main dalam wayang pacak ini. Sekarang surat khabar dan TV sudah bukan sumber doktrinisasi kerajaan lagi, kami boleh dengar terus dari suara rakyat di sebelah sana juga sebelah sini tanpa perlu mereka menjadi pemberita.

Datuk Seri, buanglah darah kerabat dan darah bangsawan yang ada dalam diri. Bercampurlah dengan marhaen yang sering terpaksa menelan semua yang disuapkan tanpa rela.

Datuk Seri mungkin lihat, selepas beberapa bulan rakyat akan senyap kembali dan semuanya berjalan seperti biasa dan Datuk Seri akan buat kenyataan “Alhamdulillah, Rakyat Malaysia sudah mampu terima kemajuan”.

Boleh naikkan harga minyak, tetapi siapkanlah prasarana pengangkutan awam yang murah dan efisyen serta boleh diharap. Jangan jadikan KEPERLUAN AWAM seperti pengangkutan, elektrik dan bekalan air sebagai satu perniagaan untuk dasar keuntungan tetapi jadikanlah itu satu khidmat yang wajib bagi sebuah kerajaan.


 

Sedarkah Datuk Seri, di sebalik penerimaan itu bukan kerana kerelaan tetapi kerana mereka terpaksa mencara jalan survival kerana sandaran mereka kepada Kerajaan sudah tidak berguna lagi. Nenek tua yang patut berehat terpaksa menjaja untuk tidak rasa membebankan anak-anaknya yang menjaga beliau.

Berapa ramai anak jadi yatim kerana bapanya maut dalam kemalangan motorsikal kerana mengantuk membuat kerja tambahan sehingga 20 jam sehari?

Berapa ramai anak-anak yang rosak akhlaknya kerana ibu bapa terpaksa kerah tenaga bekerja siang dan malam? Berapa ramai anak-anak yang terpaksa menukar ruji mereka dari nasi kepada bubur lembik?

Berapa ramaikan bapa-bapa marhaen akan dipenjara kerana mencuri susu di pasaraya kerana anak kecilnya menangis kehabisan susu?

Berapa ramaikah adik beradik berbunuhan kerana kesempitan ruang hidup? Berapa ramaikah suami dan isteri yang bercerai kerana kehidupan sudah jadi terlalu mahal untuk kekal bersama?

Datuk Seri tak mungkin tahu perkara ini. Kerana ayah, atuk dan keturunan Datuk Seri ialah orang Bangsawan. Bukan Marhaen yang melarat.

Tidak salah jika saya sarankan Datuk Seri untuk belajar dan mungkin bekerjasama dengan individu yang memimpin dalam miskin seperti Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat. Saya yakin, jika tiada sekatan pembangunan dari kerajaan pusat, saya yakin cara kepimpinan TGNA mampu ubah Kelantan menjadi negeri termaju.

Beza Datuk Najib Bangsawan VS Kami Rakyat MarHaen

Bangsawan dengan bangsawan, Marhaen dengan marhaen. Jika makan berpinggan emas, masakan tahu erti tidur berbumbung langit.

Turunlah ke bawah seperti Khalifah Ummar lakukan….secara DIAM, sembunyi dan tidak dikenali. Jika turun padang Datuk Seri dengan rombongan sekapal dan gempita siren-siren polis pengiring, orang buta pun akan tahu PM yang datang.

Datuk Seri, bukannya marhaen tidak berjimat. Sudah habis susu anak berganti air sirap kurang gula kami berikan anak-anak kami yang menangis. Bukan juga marhaen malas, kerana marhaen sampai sudah hampir 24 jam bekerja. Jika tidur itu tidak wajib, 24 jam itu marhaen akan bekerja.

Bertimbang taralah…

Datuk Seri pembuat keputusan tertinggi di Malaysia. Input kepada percaturan keputusan Datuk Seri ialah informasi yang diberi. Jika informasi tidak telus, maka keputusan Datuk Seri pun akan jadi zalim juga.

 

SURAT 4

Surat terbuka kepada Najib – Muhammad Nazreen

Published: 8 April 2015 10:21 PM

Salam 1 Malaysia,

Ke hadapan Datuk Seri Najib Razak, perdana menteri Malaysia. Saya hanyalah seorang rakyat biasa. Saya tidak mempunyai kekayaan dan status. Tetapi, saya merasakan perlu supaya saudara mendengar keluhan saya. Saya menulis surat terbuka  ini kerana saya sudah tidak lagi yakin dengan kepimpinan saudara.

Saudara,

Malaysia kini berada di tahap membimbangkan. Majoriti anak muda di Malaysia berpendapatan kurang daripada RM2000/bulan. Mereka menghadapi kesukaran untuk menampung beban kehidupan, terutamanya bagi mereka yang bekerja dan menetap di kawasan bandar.

Kos sara hidup semakin tinggi. Rumah semakin mahal. Anak muda menghadapi kesukaran untuk melunaskan hutang PTPTN. Dan sudah tentu, perlaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) menyebabkan anak muda terpaksa mengikat perut. Cukai GST secara tidak langsung mendorong inflasi harga barang.

Kerana GST, ramai daripada anak muda tidak mampu untuk menikmati makan tengah hari di luar. Malah, kami terpaksa membawa bekal makanan ke tempat kerja akibat kenaikan harga barang.

Namun, saya agak kecewa dengan sikap boros saudara. Perkahwinan anak perempuan saudara yang sungguh “mewah” dan “membazir” itu menambah lagi kesakitan hati di kami.

Di saat, harga barang semakin meningkat, mengapakah saudara tergamak menganjurkan majlis perkahwinan mewah, sedangkan saya dan rakan-rakan yang lain terpaksa “ikat perut” untuk menanggung kos hidup harian.

Sikap saudara yang seolah-olah tidak peduli akan kesulitan yang kami hadapi menyebabkan kami semakin menyampah dengan slogan-slogan pentadbiran saudara yang kononnya sedia mendengar luahan hati kami.

Apa sudah jadi dengan “Rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan’? Di manakah janji-janji manifesto semasa pilihan raya?

Pepatah Inggeris ada menyebut “action is louder than word”, namun apa yang saya perhatikan adalah sebaliknya. Saudara hanya pandai bercakap tetapi gagal untuk melaksanakan kata-kata saudara.

Saudara,

Pendedahan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang membabitkan ketirisan wang berbilion ringgit menyebabkan rakyat Malaysia semakin resah. Namun, sehingga hari ini saudara gagal menjawab tuduhan-tuduhan yang dikaitkan ke atas saudara. Ini menyebabkan rakyat Malaysia khususnya anak muda hilang kepercayaan terhadap pentadbiran saudara.

Rakyat Malaysia berhak untuk tahu bagaimanakah wang mereka dibelanjakan. Mereka bekerja dengan bersusah payah untuk memperoleh kekayaan dan mereka menjalankan tanggungjawab kepada negara dengan membayar cukai. Tetapi, saudara mengkhianati amanah mereka.

Sebagai seorang rakyat Malaysia, saya berpendapat saudara perlu mengambil tanggungjawab untuk mengisytiharkan harta kekayaan setiap menteri-menteri Kabinet.

Saya sarankan saudara mengambil contoh dua orang Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli dan Dr Jeyakumar (ahli Parlimen Sungai Siput) yang mengambil langkah proaktif untuk mengisytiharkan kekayaan mereka.

Jika saudara seorang pemimpin yang terhormat, saya cadangkan saudara mengambil gesaan berikut dengan serius. Rakyat berhak tahu apakah pemimpin-pemimpin yang mereka lantik seorang yang berprinsip atau tidak.

Rasuah dan ketirisan adalah perkara yang tidak boleh dikompromikan. Saudara sering mengatakan rasuah adalah punca kerosakan negara kita. Namun, saya ingin bertanya adakah saudara benar-benar maksudkan atau ia cuma sandiwara murahan untuk mendapat simpati.

Saya bersetuju dengan kenyataan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menyeru agar dijalankan siasatan penuh ke atas 1MDB. Namun, saudara masih belum mengemukakan sebarang kenyataan tentang perkara ini. Saya beranggapan saudara masih belum punya kekuatan untuk menegakkan keadilan.

Ini kerana saudara juga gagal menjawab tuduhan Tun Dr Mahathir yang menuduh saudara terlibat di dalam skandal 1MDB. Tindakan berdiam diri tidak akan menyebabkan saya yakin saudara tidak terlibat. Saudara harus tampil untuk menjelaskan tuduhan ini!

Saudara,

Kita hidup di dalam zaman moden. Kemunculan media sosial  membantu rakyat Malaysia untuk berani mengajukan pendapat mereka sendiri. Kebebasan tidak mudah untuk disekat. Media sosial juga membantu saya untuk membuat penilaian yang adil. Jika saudara merasakan “kebenaran” masih boleh disembunyikan, ternyata saudara silap.

Saudara perlu tahu rakyat Malaysia tidak bodoh. Saudara tidak boleh menyekat kebebasan kami untuk bersuara dengan memperkenalkan akta zalim seperti Akta Pencegahan Keganasan (Pota) dan Akta Hasutan.

Tindakan saudara  menangkap pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat, aktivis dan ahli akademik menggunakan akta-akta zalim tidak akan menyebabkan rakyat Malaysia akur dengan pentadbiran saudara.

Tindakan saudara hanya akan mendorong lebih ramai orang bangkit menentang saudara.

Penggunaan akta zalim juga menunjukkan saudara tidak yakin dengan kepimpinan saudara. Bagi saya, manusia yang tidak yakin untuk memerintah adalah manusia yang tidak layak untuk memerintah Malaysia.

Saudara menunjukkan saudara tidak layak untuk memimpin kami.

Kita perlukan pemimpin yang berani berkata benar di hadapan kebenaran, mengaku silap di atas kesilapan. Untuk pengetahuan saudara, saudara tidak mempunyai ciri-ciri pemimpin sepertimana yang saya sebutkan tadi. Saudara cuma mahu ‘dilihat’ berani, tapi ketahuilah saudara sebenarnya seorang pengecut.

Saudara,

Sebagai seorang rakyat Malaysia, saya berhak untuk mengatakan  saudara tidak lagi layak untuk memimpin. Saya sarankan supaya saudara meletakkan jawatan dan bersara daripada dunia politik. Malaysia mempunyai ramai tokoh yang berprinsip untuk memimpin kami.

Jika saudara seorang pemimpin yang berprinsip dan bermaruah, saya ingin mencadangkan supaya saudara mengundurkan diri dan beri peluang kepada tokoh-tokoh muda untuk memimpin Malaysia dengan adil dan saksama. Anak muda berhak menentukan nasib mereka sendiri. Sekian. – 8 April, 2015

Sunday, 29 January 2012


SURAT TERBUKA DARI SEORANG PELAJAR BUAT DATIN SERI ROSMAH MANSOR...BACA!



Assalamualaikum Datin Seri.

Saya Muhammad Muizzudin bin Zaini
Julai 2011 lalu, genaplah usia saya 19 tahun.

Saya perkenalkan diri, sebagai remaja yang ingin tahu. Apa jua medium yang termampu saya pergunakan, saya usahakan sebaiknya agar saya dapat mengikuti perkembangan semasa, khususnya berkenaan negara Malaysia yang tercinta ini.

Iya, Datin Seri. Umur saya, sangat muda. Kedudukan saya, jauh benarlah kiranya dibandingkan dengan Datin Seri. Namun, saya yakin dan percaya, andai umurlah yang menjadi penentu kelayakan seseorang untuk bersuara, tidaklah layak sama sekali untuk suami Datin Seri memegang amanah pentadbiran negara sekarang, kerana di luar sana terdapat ramai yang lebih tua usianya!

Tegas saya, saya adalah remaja yang memerhati. Saya tidak mahu, sekadar menjadi manusia yang kerjanya memuaskan tembolok sendiri. Tidak juga hanya terpaku di bilik darjah, ‘menelan’ buku teks sekolah. Saya percaya, erti hidup pada memberi!

Datin Seri Rosmah Mansor yang saya hormati,
Saya pohon jutaan kemaafan, andai surat kecil ini menyinggung Datin Seri. Saya tidak berniat untuk menyakiti hati Datin Seri, jauh sekali memburuk-burukkan. Surat kecil ini, hanyalah usaha kerdil saya, menyampaikan isi hati. Ia hanyalah suara hati dan pandangan seorang anak muda.



KASIH SAYANG KEPADA RAKYAT

Datin Seri,
Pernah suatu pagi, saya dibawa ibu untuk menziarahi jenazah anak tunggal seorang jiran kami. Kanak-kanak kecil itu, baru berusia 6 tahun. Khairani namanya. Runtun rasa di hati, sebaik melihat keadaan rumah tempat tinggalnya kanak-kanak itu bersama ibunya. Saya cuba membayangkan, bagaimanalah andainya hujan lebat menimpa bumbung rumah itu. Atapnya berlubang-lubang, hinggakan saya fikir memadai dengan cahaya matahari yang ‘mencuri’ masuk melaluinya untuk menyinari ruang dalam rumah daif itu. Saya terpaksa melangkah berhati-hati, kerana lantainya berkeriut dan goyah sekali.

Hadir insaf dan syukur di dalam hati saya, bahawa betapa saya memiliki hidup yang jauh lebih baik dan selesa berbanding ramai lagi rakyat kebanyakan.

Di sekolah, saya punyai rakan-rakan yang sulit sekali melangsaikan yuran bulanan asrama. Bukan culas, bukan malas, tetapi kesempitan hidup menyukarkan mereka. Adik-beradik ramai yang masih bersekolah, ditambah taraf hidup dan kos keperluan yang kian meningkat dari sehari ke sehari, semuanya membebankan!

Datin Seri,
Sungguh saya tidak mampu mengelakkan rasa kecewa, apabila mengetahui yang Datin Seri bermalam di sebuah hotel di Dubai dengan kos melebihi RM100, 000 semalaman. Sehingga ke hari ini, saya masih teringatkan rumah daif adik Khairani, juga nasib ramai lagi yang saya temui sepanjang umur ini. Saya tahu, betapa besarnya urusan Datin Seri, juga kedudukan Datin Seri. Mungkin memang Datin Seri berhak, tetapi, apakah Datin Seri langsung tidak teringatkan kami, rakyat yang kesusahan? Apakah Datin Seri langsung tidak terfikirkan nasib ratusan, ribuan lagi rakyat yang tidak bernasib baik?

Apakah tiada langsung rasa bersalah di hati Datin Seri? Rasa bersalah kerana tinggal hanya untuk semalaman tetapi dengan kos yang boleh menyamai lebih kurang pendapatan selama 66 bulan bagi 40 peratus rakyat Malaysia! 40 peratus inilah rakyat yang pendapatan bulanan bagi setiap keluarga adalah lebih rendah daripada RM1500 sebulan. Bahkan setiap 3 daripada 4 keluarga ini, adalah sebangsa dengan Datin Seri, bangsa MELAYU!

Atau apakah Datin Seri tidur dengan lena malam itu?

Hingga hari ini, sudah bertahun saya tidak ke restoran Pizza Hut, McDonald dan seumpamanya. Kerana cukup dengan hanya melihat dari jauh, hadir rasa pilu mengenangkan saudara-saudara seagama, anak-anak muda seusia saya atau kanak-kanak, wanita dan orang tua yang dibunuh kejam di Palestin oleh rejim zalim Israel hasil sumbangan restoran-restoran ini.

Ia dipanggil, kasih sayang Datin Seri. Maafkan saya, tetapi saya terpaksa bertanya, apakah tiada langsung walau secebis pun rasa kasihan kepada rakyat Malaysia yang hidup serba kesusahan? Rakyat yang terpaksa melupakan impian dan keinginan kerana kesempitan hidup, namun terpaksa pula menanggung kos penginapan Datin Seri dan rombongan di luar negara untuk hanya semalaman!? Bayangkan pula kos penerbangan untuk keseluruhan rombongan selain daripada penginapan!

Peningkatan kos sara hidup waktu ini, sangatlah membebankan. Suami Datin Seri berterusan meminta seluruh rakyat berjimat, sedangkan isterinya? Hasil tindakan kerajaan pimpinan suami Datin Seri, mengurangkan subsidi untuk rakyat terbanyak sedangkan untuk para taukeh-taukeh besar dikekalkan, juga ‘penyelarasan-penyelarasan’ harga, teramatlah menyulitkan kami semua.

Sungguh Datin Seri, kami sangat terbeban meskipun harga petrol dinaikkan walau beberapa sen. Ia akan mempengaruhi seluruh kehidupan kami. Harga makanan, pakaian, kos pengangkutan dan semuanya akan semakin menyulitkan kami. Saban hari, saya melihat ibu mengeluh kerana gajinya sukar sekali untuk disimpan, ia sekadar mencukupi untuk setiap bulan.

Kami rakyat tidak meminta Datin Seri turut menaiki kereta biasa atau tinggal di rumah biasa seperti kami. Hanya yang kami rakyat pinta, supaya Datin Seri dan suami menyelami hakikat kesukaran yang terpaksa kami tempuhi.

Malangnya, tindakan Datin Seri berbelanja mewah begini adalah sama sekali tidak menggambarkan Datin Seri dan suami bersama-sama kami. Sungguh, ini amat mengecewakan saya. Sukar sekali untuk saya mewajarkannya. Maafkan saya Datin Seri, sungguh ia tidak dapat saya terima.

Datin Seri yang saya hormati,
Tiadalah yang lebih mengecewakan dan membangkitkan kemarahan, melainkan ketika melihat Datin Seri dan suami di Festival Fesyen Islam Monaco. Bagaimana tidak, pakaian yang diperagakan langsung tidak menggambarkan Islam! Langsung tidak menutup aurat, menampakkan bahagian-bahagian yang sepatutnya sulit dan yang paling dahsyatnya, nama RasuluLlah SAW yang mulia tertera pada pakaian yang tidak menutup aurat!

 Tulisan Nabi Muhammad S.A.W Terbalik

Apakah Datin Seri tidak menyedari, bagaimana kemarahan yang telah Datin Seri cetuskan? Nama RasuluLlah SAW yang mulia dihina sebegitu rupa! Namanya cukup mulia, hinggakan apabila disebut namanya, dikira manusia yang paling kikir sekiranya tidak dipanjangkan nama itu dengan selawat ke atasnya. Tiba-tiba, nama itu dihina sebegitu rupa! Bahkan, Datin Seri yang menghadapi teguran, kritikan, kecaman dan tunjuk rasa langsung tidak memohon maaf. Langsung tidak!

Sedangkan para Ulama’ masih berbahas, bagaimana cara paling baik untuk mengagungkan Manusia Mulia ini, tiba-tiba Datin Seri kelihatan meredhai perbuatan yang jelas MENGHINA Baginda Nabi SAW!

Sebenarnya, Datin Seri sudah dari awal menunjukkan kecekalan Datin Seri melanggar syariat Allah. Datin Seri tidak menutup aurat, bersentuhan, berlaga pipi dan berpelukan dengan lelaki bukan mahram yang disepakati sekalian Ulama’ sebagai perbuatan yang HARAM!

Menyentuh anjing atau khinzir, hukumnya juga Haram. Namun, hilang kotornya dengan perbuatan menyamak. Malangnya, tiada apa yang mampu ‘membersihkan’ haram dan kotornya nya menyentuh lelaki ajnabi kecuali 
API NERAKA!

Lalu, dengan semua perlakuan Datin Seri, apakah mungkin Datin Seri fikir kami rakyat akan menerima dakwaan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri bahawa kerajaan pimpinannya berusaha keras berjuang demi Islam dan bangsa. Sedangkan isterinya sendiri, tidak memelihara Akhlak dan Syariat Islam, juga adab-adab kesantunan Melayu malahan!

RAKYAT MENGIKUTI PEMIMPIN MEREKA
Kata ahli hikmah, “Agama manusia itu, di atas Pemimpin mereka”. Tinggi sahsiahnya, baik akhlaknya, ikhlas hatinya, patuh dan taat kepada Allah, maka begitulah jua rakyatnya. Rakyat akan terpengaruh dengan ketua mereka.

Malaysia hari ini, dalam keadaan yang benar-benar dahsyat bagi saya. Setiap masa perlu di dalam keadaan berjaga-jaga, kerana penjenayah menunggu kita alpa. Gerun saya melihatkan kanak-kanak yang bermain sendirian di halaman rumah, bimbang kalau-kalau ada manusia busuk hati yang berniat jahat kerana jenayah hari ini langsung tidak mengenal beza usia!

Budaya Hedonisme melampau. Nafsu ‘disembah’ sebagai Tuhan. Remaja Melayu Muslim tidak segan silu memakai pakaian yang jauh menyimpang daripada Islam dan adab Melayu. Tidak kekok mengogok arak di pesta-pesta jamuan nafsu. Saban hari ada sahaja kes bunuh bayi lewat pergaulan tanpa batas! Hari ini, remaja mati dengan sia-sia. Samada mati dalam ketagihan najis dadah, atau kemalangan dalam perlumbaan haram.

 Gadis Melayu Togok Arak

Bahkan seribu satu lagi, penyakit-penyakit sosial yang sedang membarah, membusuk di dalam negara tercinta!

Bukanlah saya menuding jari kepada Datin Seri dan suami, saya akui malahan, bahawa Datin Seri kelihatan cuba berusaha sedikit sebanyak bagi menangani masalah-masalah ini. Namun, hakikatnya, keadaan rakyat sesuai dengan keadaan pemimpinnya!

Manusia yang jelas disabitkan kesalahan rasuah, diangkat menjadi pemimpin! Manakala pemimpin lain yang mengkritik tindakan ini, di arah supaya tutup mulut dan diambil tindakan! Apa sudah jadi pada negara!? Sedangkan Nabi SAW bersabda, “Apabila amanah diberikan kepada BUKAN ahlinya, maka tunggulah KEHANCURAN!”

Pemimpin negara tidak memelihara adab pergaulan Islam, tidak memelihara batas aurat, berbelanja boros tanpa timbang rasa kepada rakyat, justeru, bagaimana mungkin kita mengharapkan yang baik-baik daripada rakyat?

Saya gerun melihat perkembangan ini, Datin Seri. Hari ini, kita mengeluh kerana ramainya anak-anak luar nikah yang didaftarkan. Bayangkanlah, apa yang mungkin kita keluhkan 5 atau 10 tahun akan datang!

Antara sifat agama kita, INQILABIYYAH Datin Seri. Ertinya, adil dan zalim mustahil begerak seiring. Kebenaran dan kebatilan sama sekali tidak akan bercampur. Syariat Islam dan yang bercanggah dengannya, pasti tidak akan ditemui titik temu antara keduanya. Justeru, Datin Seri berusahalah sehebat manapun untuk memperbaiki masalah sosial, gejala buang bayi dan sebagainya, selagi suami dan kerajaan Datin Seri terus mengesampingkan hukum Allah, dasar Allah, syariat Allah, maka Datin Seri tidak akan BERJAYA! Berani saya kata!

Bagaimana tidak? Datin Seri berusaha mengelakkan masalah bunuh bayi yang kita semua maklum ia bermula daripada pergaulan bebas, sedangkan hub hiburan malam, lesen judi dan konsert-konsert mega sebenarnya adalah penyumbang besar kepada masalah ini! Kerajaan pimpinan suami Datin Seri, umpama membina dan meruntuhkannya semula. Bina dan runtuh, kemudian bina dan runtuhkan lagi. Itulah kitarannya.

KUASA
Datin Seri ke luar negara untuk bertemu pemimpin negara luar, pernah juga Datin Seri menyambut kehadiran Perdana Menteri luar negara ke Malaysia, dana RM111 juta untuk PERMATA, pertemuan First Lady dan liputan-liputan meluas setiap aktiviti Datin Seri di media dalam dan luar negara, itu bagi saya menunjukkan yang Datin Seri seolah-olah punya kuasa di dalam pentadbiran negara.


 Justeru, sebagai anak muda yang penuh persoalan di minda, saya bertanya dengan baik, bagaimana ini semua berlaku? Sedangkan, kami rakyat tidak pernah melantik Datin Seri sebagai pemimpin negara. Suami Datin Seri yang memimpin kerajaan yang telah dipilih rakyat melalui proses Pilihan Raya! Atau apakah dengan hanya menjadi isteri kepadanya, menjadikan Datin Seri turut berkuasa?

Datin Seri pasti tahu, berkenaan kebangkitan rakyat yang menyemarak di Timur Tengah. Kerajaan yang tidak bertimbang rasa diterjah dan dihalau rakyat! Antara isunya ialah bagaimana berkuasa dan kaya rayanya isteri kepada pemimpin-pemimpin yang telah tumbang itu.

Saya cintakan negara saya. Tidak sanggup saya melihat negara porak peranda, namun, kiranya Datin Seri berterusan mengikut jejak langkah isteri-isteri pemimpin yang tumbang itu, maka mungkin Datin Seri dan suami boleh menerima nasib yang sama. Kami rakyat semakin tidak tertanggung lagi dengan tekanan-tekanan kewangan dan keperluan hidup sekarang!

Datin Seri,
Surat ini bukanlah ancaman, bukan juga ugutan. Ia sekadar luahan rasa, nasihat dan pandangan yang cuba seorang anak muda sampaikan. Ingin benar saya ingatkan, kedudukan yang Datin Seri nikmati hari ini, adalah kerana rakyat memilih suami Datin Seri. Kuasa di tangan kami, untuk menentukan jatuh dan bangunnya Datin Seri dan suami. Dan sebenarnya, kami rakyat hanyalah ‘jalan’ bagi Allah untuk mengatur ketentuan ini, Allah jualah yang meletakkan kekuasaan kepada sesiapa yang dikehendakinya.

Justeru, berbaiklah dengan kami. Patuhilah suruhan Allah. Kami tidak pinta lebih, sekadar bertimbang-rasa untuk kami.

Datin Seri yang dihormati,
Surat ini mungkin sampai ke tangan Datin Seri. Mungkin sampai sendiri, atau terhenti di tangan pembantu-pembantu Datin Seri atau tidak mampu hampir sama sekali. Kiranya ia selamat sampai ke tangan Datin Seri, saya pohon maaf, kalaulah surat kecil saya ini mengguris rasa Datin Seri. Maafkan saya, kalau ia kerana kesilapan-kesilapan bahasa dan cara penulisan. Namun, andainya Datin Seri terasa hati kerana menerima teguran, tidak akan saya pohon maaf untuk itu! Teguran ini adalah benar, justeru tiada apa yang perlu saya risaukan dengan kebenaran. Ia pasti menang dan tertegak! (edisi Weblog M@RHAEN)

Inilah PENCAK kami! PENCAK ANAK MUDA!
Oleh: Muhammad Muizzuddin - Suara Fata 
SURAT TERBUKA UNTUK TUN M


Saturday, December 19, 2015


SURAT TERBUKA UNTUK TUN M ........ By Samurai Biru



YABhg Tun Dr Mahathir Mohamad,

Asalamualaikum wbt Tun. Saya mendoakan agar Tun sentiasa diberikan kesihatan dan hidayah oleh Allah SWT. Pada mulanya, saya ingin menulis surat ini di dalam Bahasa Inggeris, tetapi biarlah saya meneruskan tulisan dengan bahasa ibunda kita agar ramai dapat membaca dan memahami surat ini.
YABhg Tun, sejak kebelakangan ini saya lihat Tun sangat aktif berada di pentas politik untuk mendesak DS Najib meletakkan jawatan. 
Tun menghabiskan banyak masa menghadiri forum, bual bicara, program dan perjumpaan tertutup untuk meluahkan ketidakpuasan hati Tun mengenai pengurusan kerajaan dibawah pimpinan DS Najib. 
Sudah tentu, topik 1MDB merupakan topik yang paling utama dalam setiap ucapan Tun.
Tetapi disebalik semua ini, adakah Tun sedar bahawa Tun merupakan pengerusi Proton dan Proton sedang menghadapi masalah yang sangat besar. Saya tidak menulis surat ini berdasarkan kata-kata orang atau cakap-cakap pasar, tetapi sebagai salah seorang vendor Proton.
Kami tahu Proton sedang mengalami masalah yang sangat besar kerana Proton sudah mula tidak membayar kami. Proton sedang cuba membuat satu solusi bodoh dengan menawarkan kereta-kereta yang tidak terjual sebagai ‘contra’ bayaran untuk kami. 
Adakah Proton sedar bahawa kami ini bukan salesman kereta tetapi kilang komponen kereta.
Selain 6000 pekerja Proton, terdapat beratus vendor Tier 1, 2 dan 3 dan puluhan ribu pekerja yang bekerja dengan syarikat-syarikat vendor ini. 
 Masalah 1MDB (yang dilihat kini mempunyai jalan penyelesaian selepas penjualan Edra) tidak akan membuatkan puluhan ribu rakyat tiba-tiba hilang pekerjaan serta merta. Tetapi masalah Proton akan mengakibatkan jutaan ringgit kerugian pada usahawan bumiputera dan puluhan ribu pekerja hilang punca pendapatan dalam masa 2-3 bulan sahaja lagi. 
Tun perlu ingat, operator-operator kilang ini datang dari keluarga susah dengan pendapatan RM900 sebulan sahaja!
Saya mohon pada Tun, janganlah dibazirkan masa Tun sendiri dan orang Melayu dengan politik. Pilihanraya lambat lagi, pemilihan UMNO pun lambat lagi, kalau Tun ceramah hari-hari pun DS Najib tak akan letak jawatan. 
Lebih baik Tun ambil berat masalah Proton yang sedang nazak, lebih nazak daripada 1MDB.
Terlalu banyak kesilapan yang dibuat oleh Proton, sebelum dan selepas Tun jadi Pengerusi. Kami lihat sejak Tun jadi Pengerusi keadaan lebih teruk. Jangan disalahkan kerajaan kerana tidak memberi bantuan RM3billion kepada Proton untuk R&D. 
Itu adalah alasan bodoh bagi kami, kerana kami tahu setakat mana kemampuan Proton untuk menggunakan wang RM3billion itu sebaiknya untuk R&D setaraf pengeluar kereta asing. 
Kalau ‘drawing simple part’ pun boleh bertukar-tukar sampai berkali-kali dan akhirnya technician saya yang cuma lulusan SPM pun lebih bijak dari engineer Proton.
Sekarang ini Proton sedang kelam kabut dengan development Persona R, Saga R dan Perdana Baru. Kerja Proton memang kelam kabut, suka buat kerja saat-saat akhir dan suka tukar keputusan. 
Nak mass production untuk Persona bulan 1, sampai hari ini banyak keputusan belum diselesaikan. Saga R mass production bulan 4 tetapi design part pun belum confirm! Kalau Perodua, tahun depan nak mass production, tahun lepas sudah selesai semuanya.
Bercakap pasal Perdana pula, saya tak tahulah ini ego Tun atau ego Proton nak buat Perdana baru. Adakah Tun atau Proton terlalu naif untuk fikir bahawa Perdana tersebut tidak akan dapat dijual? Sedangkan model Preve dan Suprima yang kononya bakal mencecah jualan ribuan unit sebulan sekarang cuma terjual 100-200 unit sahaja. 
Bagaimana Perodua boleh menjual Myvi (6000 unit sebulan), Alza (3000 unit sebulan), Axia (12,000 unit sebulan)? Jawapanya mudah, ianya mampu milik! Jika harga Proton sudah cecah hampir RM70-80k, orang Malaysia sudah tentu lebih berminat beli kereta import seperti honda atau toyota walaupun 2nd hand.
Padanlah sampai sekarang pun ramai vendor menolak untuk mengambil kontrak Perdana. 
Berapa juta Proton habiskan untuk beri kepada syarikat Dream Edge untuk reka Perdana baru? Kenapa tidak guna duit itu untuk beri kepada R&D Proton untuk develop kereta yang mampu milik seperti Perodua. 
Nanti kalau Perdana tak dapat jual, Tun akan paksa kerajaan beli, kalau kerajaan tak beli (sebab baru ganti perdana lama dengan perdana kahwin honda), Tun akan marah DS Najib lagi.
Eloklah Tun luangkan masa untuk Proton. Lihatlah bagaimana pengurusan Perodua baik daripada pihak Malaysia dan juga pihak Daihatsu. 2-3 orang Jepun di Perodua lebih cekap daripada 2-3 ratus pekerja di Proton. Lawatan Tun ke Perodua pun menjadi bahan ketawa kepada mereka semua. 
Tun tidak harus menyalahkan kerajaan sikit pun atas kegagalan Proton, kerana Perodua juga syarikat Malaysia tetapi mampu bersaing dan mampu maju tanpa bantuan kerajaan.
Lihatlah pada pengurusan Proton, mereka tidak kompeten, tidak cekap dan ada yang tidak amanah. Tun fikirlah bagaimana Perodua boleh memperolehi harga komponen dengan lebih murah, tetapi komponen yang sama bila ke Proton menjadi lebih mahal. 
Makna, banyak ketirisan terjadi dalam Proton. Saya akan menceritakan ketirisan-ketirisan ini dalam surat saya yang kedua, bagaimana ada beberapa orang dari pihak pengurusan dan pembelian Proton yang tidak amanah.
Kalau bab berlagak dan bodoh sombong bila datang ke tempat vendor, serahlah pada Proton. 
Memang berlagaknya nombor 1, mengalahkan Perodua, Honda, Volkswagen dan lain-lain OEM yang volumenya jauh lebih tinggi dari Proton dan paling penting, mereka semua bayar supplier!
Jika Proton tidak berubah dalam masa terdekat ini, mungkin vendor-vendor akan sepakat untuk memberhentikan supply kepada Proton. 
Production line Proton akan terhenti dan Proton tidak akan ada kereta untuk dikeluar dan dijualkan. Jangan salahkan kami, kerana hutang Proton kepada kami vendor-vendor bumiputera ini dah cecah ratusan juta! 
Banyak lagi cerita buruk Proton yang kami dengar dan kami tahu. Ada yang kata Proton membayar sewa tanah bernilai jutaan ringgit sebulan pada ahli keluarga Tun. 
Benar atau tidak, itu kami tak kisah jika Proton mampu menjalankan perniagaan dengan baik.
Kami merupakan antara usahawan yang paling cekal di Malaysia. Saya mempuyai beberapa syarikat lain yang menceburi bidang construction, trading, development dan macam-macam lagi. Tetapi bidang automotive manufacturing ini adalah yang paling mencabar kerana memerlukan sistem, kualiti, ketepatan masa dan pengurusan yang sangat cekap seperti syarikat Jepun.
Kepada mereka yang tidak mempercayakan surat ini, boleh pergi mana-mana kilang pembuatan komponen automotif dan tanya, ‘Bagaimana Proton?’. Anda akan dengar caci, maki, kutuk, kisah teraniya, ditipu dan macam-macam lagi. 
Jika tanya, ‘Bagaimana Perodua?’ anda akan dapat jawapan ‘sangat mencabar, tetapi payment tak pernah lambat, volume sentiasa tinggi’. Walaupun berurusan dengan Perodua lebih memeningkan kepala kerana terpaksa mengikut standard yang tinggi yang diletakkan oleh Jepun dari Daihatsu, ianya lebih berbaloi. 
Jepun Daihatsu akan datang ‘spot check’ kilang kami secara mengejut pada jam 7.30 pagi untuk memastikan operasi kami sentiasa dalam keadaan yang memuaskan!
Nasihat saya pada Tun, tengoklah Proton. Janganlah buang masa dengan Khairuddin, Anina, Amidah dan kawan-kawan Tun lain yang asik nak berpolitik sahaja! Buat malu je bangsa Melayu dengan Jepun-jepun dekat Perodua tu. 
Kalau perlu RM3billion nak bayar hutang, cakap lah terus terang dekat kerajaan, mana tahu mereka boleh bantu beri pinjam. Jangan berselidung disebalik alasan R&D, memang tak munasabah.

Ariff Abd. Md

Tier 1 and 2 Automotive Supplier,
ISO TS 16949 & MS ISO 9001:2008 Certified Company
Specialise in High Precision Parts


Surat terbuka untuk Anwar

February 12, 2015
Anda seorang wira yang gagal dan hanya pentingkan diri sendiri.

Oleh Iskandar Mohamad

anwar gagal 

Kepada Anwar,
Berapa lama lagi seseorang boleh bergantung kepada zaman kegemilangan lampaunya?

Berapa lama lagi anda rasa boleh mengharapkan suara rakyat untuk terus menekan sistem penghakiman negara demi membebaskan anda?
Itu bukan caranya untuk mendapat keadilan.

Mahkamah telah memberikan peluang yang secukupnya kepada anda untuk mendedahkan bukti dan mengetengah isu-isu berkaitan yang lain.
Jangan terus-menerus mengatakan diri anda tidak bersalah padahal, tindakan berdiam diri itu sendiri sudah cukup menyerlahkan bahawa anda bersalah.
Dakwaan anda bahawa ia satu konspirasi politik yang direka untuk menamatkan karier politik adalah tidak benar. Anda yang mengakhiri karier politik anda sendiri.

Mengaku sahajalah. Rakyat sudah lama kenal kepura-puraan yang dibawa oleh diri anda. Rekod menunjukkan pihak pembelaan anda telah meminta kes dipinda lebih daripada 70 kali. Apabila rayuan pendakwaan terhadap pembebasan anda dibawa ke Mahkamah Rayuan, rayuan itu ditangguh lebih lima kali gara-gara beberapa permohonan yang anda failkan.

Di sebalik semua ini, anda masih sanggup menuduh bahawa hakim-hakim tidak memberi ‘pertimbangan yang wajar dalam kes itu’?

Kenyataan yang dikeluarkan oleh pejabat Perdana Menteri (PMO) juga anda permasalahkan. Kenyataan yang dikeluarkan oleh PMO beberapa minit setelah keputusan Mahkamah keluar, bukanlah sesuatu yang luar biasa dan juga bukan konspirasi terhadap diri anda.

Bahkan semua wartawan yang menjangkakan keputusan sebesar itu juga bersiap sedia dengan draf laporan alternatif supaya dapat membuat laporan segera. PMO juga pasti melakukan perkara yang sama.

Jangan menyoal integriti akhlak. Anda, Anwar Ibrahim, bukanlah insan mulia.
Kebenarannya adalah, anda gagal mempertahankan diri anda kerana:

– Anda enggan memberi keterangan dari kandang saksi. Jika anda melakukannya, sudah pasti boleh membangkitkan keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan ke atas anda. Pihak pendakwaan pasti tidak dapat menyabit anda dalam kes ini dan anda boleh bebas. Tindakan berdiam diri hanya dapat diintepretasi sebagai pengakuan bersalah.

– Mengambil pendirian untuk memberikan keterangan dari dalam kandang tertuduh merupakan bukti yang tiada nilai kerana ia tidak boleh diterima sebagai keterangan dan tidak boleh disoal balas oleh pihak pendakwa.

– Anda juga tidak mengemukakan sebarang bukti menyangkal dakwaan pendakwa yang menyatakan bahawa anda telah meliwat. Anda juga gagal mencabar keterangan Saiful untuk menunjukkan dia berbohong.

– Anda juga gagal menunjukkan bahawa sampel DNA yang diperoleh pihak pendakwa tidak boleh dipakai dalam perbicaraan.

– Dengan bala tentera yang anda kumpulkan, seramai 15 orang peguam kesemuanya, di mana kelayakan dan pengalaman mereka yang tidak boleh diragui, mereka masih gagal membela anda. Nampaknya pasukan pakar undang-undang anda gagal fokus kepada pertuduhan yang dibentangkan oleh pendakwa, sebaliknya berhujah tentang isu-isu yang tidak relevan dengan kes. Ini menunjukkan mereka tidak tahu fakta sebenar kes.

– Hujah awal mereka bahawa anda tidak mungkin meliwat Saiful kerana anda tidak pernah bersendirian dengannya. Fakta itu disokong dengan 13 saksi. Malangnya, hujah itu jatuh terburai apabila beberapa rakaman CCTV pergerakan keluar masuk dari kondominium itu bercanggah dengan fakta yang pasukan anda bentangkan.

– Pendek kata, pasukan anda dilumpuhkan oleh anda sendiri. Sabit kesalahan anda bukannya satu konspirasi, anda sepatutnya menyalahkan diri sendiri. Anda seharusnya menumpu pada pembelaan anda dan bukan memberi tumpuan kepada teori konspirasi.

Anwar Ibrahim, sebenarnya janji-janji anda semuanya kosong dan berongga.
Hari ini, yang menanggung kerugian ialah ahli keluarga anda sendiri. Mereka telah menderita kerana anda dan akan terus menderita.
Anda mahu menjadi “wira”, tetapi malangnya anda tidak lebih daripada seorang wira yang sudah gagal.

Cerita anda, Anwar Ibrahim, adalah mimpi yang jauh menyimpang kerana ia tidak pernah berkaitan rakyat atau Malaysia atau keluarga anda. Ia sentiasa dan selama-lamanya akan menjadi mengenai diri anda sahaja. - Iskandar Mohamad pembaca FMT

Surat terbuka untuk Zahid Hamidi – Nomy Nozwir




Kepada timbalan perdana menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, merangkap menteri dalam negeri, dan naib presiden Umno.

Baru-baru ini, anda mengeluarkan kenyataan tentang peratusan menyimpan dalam kalangan rakyat Malaysia amat rendah berbanding dengan negara seperti Korea Selatan dan Jepun yang mempunyai kadar simpanan 38%.

“Dengan menyemai tabiat menabung dalam kalangan rakyat Malaysia, kerajaan boleh mengambil jalan keluar dengan mengurangkan pinjaman luar negara.
“Simpanan rakyat Malaysia kini hanya tertumpu dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Lembaga Tabung Haji (TH) dan koperasi sahaja,” menurut anda ketika berucap dalam Majlis Pelancaran Perkhidmatan Mesin Juruwang Maya (VTM) Bank Simpanan Nasional (BSN) Selasa lalu.


Pada ketika rakyat Malaysia sedang dihimpit dengan kenaikan harga barang dan perkhidmatan seperti pengangkutan awam, serta terdapat cukai yang diberi nama Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), anda bercakap seolah-olah anda tidak melihat realiti sebenar.

Baru-baru ini juga, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) juga begitu aktif bertanya dan menyiasat pendapatan penulis novel alternatif seperti saya, yang pendapatan ini bukannya tetap, serta tidak mempunyai simpanan untuk hari tua seperti KWSP.

Jadi apabila GST menghimpit, harga barang naik harga, harga tambang naik harga, dan LHDN sibuk memburu dan merisik kewangan kami, saya tertanya pada diri sendiri, untuk apa saya membayar cukai dan dalam masa sama menyimpan wang, kalau kerajaan sendiri tidak tahu nak membelanjakan dengan baik?

Sebelum saya berbicara lebih panjang tentang percukaian ini, eloklah saya cerita tentang pengalaman sekolah saya. Duit saku yang ibu bapa beri saya semasa saya sekolah rendah dahulu ialah 3 ringgit pada 1995.

Setiap minggu ada 5 hari sekolah, jadi pendapatan saya 15 ringgit seminggu.
Terdapat undang-undang dalam kelas pula, kami perlu dicukaikan seminggu seringgit, dan ada 40 orang dalam kelas. Jadi, pendapatan kelas 5 Mawar di Sekolah Rendah Taman Cuepacs ialah RM40 seminggu.

Ada lebih kurang 30 minggu persekolahan lebih kurang, jadi pendapatan 1 kelas keseluruhan ialah RM1,200. Dikatakan perbelanjaan daripada cukai kelas yang dikutip bendahari adalah untuk belanja keceriaan dan hiasan kelas serta untuk jamuan akhir tahun.
 
Selepas tiba akhir tahun, ibu saya kena masak mihun goreng, kawan-kawan kena bawa air, kena bawa macam-macam dari rumah. Apabila ditanya, mana pergi wang seminggu seringgit yang dikutip itu, bendahari menjawab, semua dah dibelanjakan beli kertas warna untuk papan kenyataan, bunga plastik di meja guru, atau paling mahal pun, langsir untuk menghadang cahaya matahari.
 
Jadi, mana semua duit itu?
Berbalik pada topik, apabila kenaikan harga tol, harga barang, harga tambang, serta pelbagai cukai yang langsung dan tak langsung, soalan yang sama berlalu dalam kepala saya, mana pergi semua duit cukai itu?

Sedangkan pada akhirnya kami perlu bayar banyak benda lagi tapi kami tidak mendapat perkhidmatan yang secukupnya berbanding apa yang kami bayar, secara langsung dan tidak langsung?

Lalu saya melihat pejabat kerajaan, saya melihat ramai pekerja kerajaan, yang berbual-bual dengan rakan sekerja tentang status Facebook, atau berniaga tudung, berniaga vape, jual ubat kuat batin, atau “projek tepi” yang selalu saya dengar setiap kali saya pergi ke pejabat kerajaan.

Apabila saya melihat pekerja kerajaan lebih berminat untuk buat projek tepi yang lebih menguntungkan dari berkhidmat untuk rakyat yang membayar cukai.

Kalau macam tu, apa gunanya lagi setiap tahun, emolumen pekerja kerajaan naik, dengan bonus, dan pelbagai kelebihan lain, kalau mereka lebih berminat dengan “projek tepi”?

Dengan pekerja agensi kerajaan yang banyak overlapping tugas, seperti contoh, polis buat roadblock, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) buat roadblock, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) buat roadblock, kenapa tak satu agensi sahaja yang buat 1 tugas?

Kalau kerajaan berminat untuk berjimat, apa kata kurangkan kakitangan kerajaan yang ada ramai yang lebih berminat nak buat projek tepi?

Menurut Ketua Setiausaha Negara, terdapat 1.6 juta penjawat awam di negara ini.Lebih kurang 2 kali ganda daripada jumlah optimum penjawat awam negara maju. Sementara rakyat terus membayar dan membayar, tapi nampak ketidakefisienan serta lebihan belanjaan kerajaan yang tidak perlu, saya rasa anda tak perlu nak sekolahkan kami untuk berkata kami kurang menyimpan wang.
 
Sepatutnya kerajaan yang perlu belajar jimat, kurangkan perbelanjaan dan kurang berboros berbelanja benda yang tidak ada faedah kepada kami pembayar cukai.

“Tapi kalau nak kurangkan penjawat awam, mereka nak bagi makan anak bini mereka makan apa?” – soalan yang mungkin timbul di kalangan penjawat awam kepada artikel saya.

Jawapan saya, “teruskan saja projek tepi seperti jual tudung, jual vape, dan segala ‘projek tepi’ itu, menjadi projek utama dan tak perlulah kami, pembayar cukai – membayar apa yang kami tidak perlu.”

Jadi kita semua rakyat Malaysia boleh mula mengikut saranan anda, Zahid- untuk menyimpan wang – dengan mengurangkan cukai – dan dengan mengurangkan penjawat awam yang terutamanya hanya berminat untuk buat “projek tepi”. – TMI / 19 Disember, 2015.

Penulis Nomy Nozwir merupakan seorang bekas wartawan yang kini menjadi penulis novel alternatif dengan nama Nami Cob Nobbler. Beliau berkicau di @comradenami.



AMUKANMelayu - Surat terbuka, menzahirkan amanah yang ternoda