MELAYU YANG TELAH HILANG KEMELAYUANNYA
Tak Akan Melayu Hilang Di Dunia. Tidakkah anda bersemangat mengingati kata-kata Panglima Hang Tuah ini? Tujuan saya bermula dengan kata-kata keramat ini adalah untuk mengajak anda memikirkan ke manakah hilangnya melayu kita. Beberapa bulan yang lalu sebelum saya mengarang buku ini, saya telah bertanyakan kepada anak sulung saya, Qhairul Al-Haffiz yang kini menuntut di Kolej Profesional MARA Indera Mahkota, Kuantan, Pahang yang sungguh makmur dengan hasil peninggalan nenek moyang yang kini terpaksa berkongsi dengan orang lain.
“Abang!!!!……..abang bangsa apa?”
“Melayu….” jawabnya selamba.
“Dimana terletaknya melayu abang?” saya bertanya lagi.
“Apit menggunakan bahasa melayu, makan cara melayu dan mengamalkan budaya melayu” tambahnya.
Saya tersenyum mendengar jawapanya itu.
“Kalau begitu, kenapa abang pakai seluar Levi’s dan baju T berimejkan Amerika” saya menambah. Anak saya terkedu dan terdiam, isteri saya hanya tersenyum.
“Abang!!!!…..jom pi Banting. Kita pakai baju melayu dan menyisip keris di pinggang, mau tak?”, saya bertanya lagi.
“Tak mau Pak. Nanti orang kata kita gila”.
Saya terdiam. Dalam hati ku berkata. Kenapakah boleh jadi begini. Saya sering bertemu dengan pemuda-pemuda melayu yang tiada melayunya lagi. Sebahagian besarnya memakai subang dan bertindik. Rambut yang panjang diikat dan diwarnakan. Apakah ini orang melayu? Di manakah perginya jati diri kita. Kenapakah meniru cara kehidupan barat dan budaya kuning itu dan kita tidak takut dan tidak malu pula.
Saya termenung sendirian dan mengambil buku riwayat hidup Syeikh Muhammad Arsyad Al Banjari, seorang ulama nusantara yang terkenal dengan kitab SABILAL MUHTADIN yang menjadi pusaka peninggalan yang amat berharga kepada seluruh ummat Melayu yang berugama Islam dan berlalu ke ruang tamu. Saya melabuhkan punggung di kerusi antik kesukaan isteriku yang disepahkan oleh kanak-kanak yang datang mengaji Al- Quran dan Mukkaddam dengan orang tua ku pada setiap malam.
Sebagai benteng terakhir Kampung Tradisional Melayu di nusantara ini saya berusaha untuk menghasilkan buku ini, walaupun saya bukannya seorang penulis. Buku ini saya tuliskan untuk kenang-kenangan penduduk Kampung Chepor, Lenggong, Perak dan untuk anak-anak saya. Qhairul Al-Haffiz, Qhairul Abd Al-Mattin, Noor Qhadrunnadia, Qhairul Al-Rafsyan Jani, Noor Qhadrun Idayu, Noor Qhadrunika Irdina dan Noor Qhadrunifanajwa.
Apa yang saya paparkan di sini adalah betapa tertibnya adat Melayu sebagai panduan dan rujukan sekiranya semua orang melayu sudah tidak melayu lagi. Kalau direnung dan dikaji, semua aktiviti harian kampung dan budaya melayu adalah pengajaran dan pendidikan. Hampir semua adat dan budayanya boleh digunakan tanpa sempadan bangsa dan agama.
Apa yang saya paparkan di sini adalah kenangan, keluhan, rintihan dan igauan semalam yang ku pahat dalam ingatan untuk dikongsi dengan semua keluarga yang ada dan pembaca yang budiman bahawa tanah dan adat adalah kuasa kita. Apabila kita tidak bertanah lagi…maka hilanglah Melayu kita. Apabila kita tidak berkampung…..maka hilanglah adat kita. Apabila kita berjauhan dari keluarga….rapatkannya kembali.
Yang ditunggu diribakan….yang dijemput dikendungkan….yang jauh dirindu-rindukan…..yang telah hilang dicarikan…..sakit demam di rasa bersama….susah senang berkongsi kita…pahit maung di jamah jua…hati kuman sama dilapah, hati gajah sama dicecah. Yang jauh di dekatkan dan yang dekat di rapatkan.
Marilah bersama-sama dengan ku. Akan ku ceritakan pada mu kekasih, dari mana kita bermula dan di mana kita berakhir. Barang yang hilang bolih diganti, dahan yang patah bertunas kembali. Tetapi kalau kenangan yang hilang………………!!!!!!!!!!!!!!!