oleh Azar Ishak
Sejak Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) terhadap kerugian forex Bank Negara ditubuhkan, kita mungkin dengar nama-nama individu yang disebutkan di dalam media. Antaranya adalah seperti Tun Daim Zainuddin (Bekas Menteri Kewangan), Tan Sri Zeti Aziz (Bekas Gabenor BNM), Datuk Seri Anwar Ibrahim (Bekas Menteri Kewangan), Dr Mahathir dan sebagainya. Kesemua mereka dah dipanggil memberikan keterangan di RCI tersebut.
Tapi dalam banyak-banyak nama itu, ada satu nama yang tak kurang juga hangat diperkatakan. Tokoh tersebut adalah Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, bekas Penasihat BNM dan Penasihat Ekonomi Perdana Menteri (Dr. Mahathir). Beberapa hari selepas beliau bagi keterangan di RCI, secara tiba-tiba kita dilaporkan yang Nor Mohamed meletakkan jawatannya sebagai Timbalan Pengerusi Khazanah Nasional Berhad. Tapi, sebab kenapa beliau letak jawatan masih tak dinyatakan dengan jelas.
Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, |
Oleh itu, kali ini SOSCILI nak bercerita sedikit mengenai peranan Nor Mohamed Yakcop dalam membantu Malaysia melepaskan diri dari Krisis Ekonomi Asia 1997/1998. Segalanya bermula apabila Nor Mohamed…
Menerima panggilan dari Dr Mahathir yang memintanya datang ke Argentina
Pada Mei 1997, Krisis Kewangan Asia mengeluarkan virusnya apabila ia mula menghentam mata wang baht Thailand dan virus itu mula merebak ke negara-negara ASEAN termasuk juga Jepun dan Korea Selatan. Serangan terjadi apabila peniaga mata wang meminjam mata wang asing dengan banyak, tapi dengan nilai faedah yang rendah dari mata wang baht.
Peniaga mata wang antarabangsa yang nak cari keuntungan pula mula sebarkan berita kononnya nilai baht terlalu tinggi dan ekonomi Thailand dah tak boleh diselamatkan. Mereka pun mula jual baht dengan jumlah yang besar sampai nilainya jatuh dari dolar Amerika.
Walaupun ekonomi Malaysia ketika itu dalam kedaan baik, tapi masih ada istilah ‘jangkitan kewangan’ yang kata kalau negara jiran boleh kena, kita mungkin jugak akan kena. Perkara itu terbukti apabila Malaysia juga mendapat tempiasnya. Makanya, Indeks Komposit Kuala Lumpur (KLCI) dah menjunam jatuh dari 1,200 mata kepada 600 mata. Nilai ringgit pun merosot sebanyak 50% daripada RM2.50 kepada RM4.10 sedolar.
Antara negara yang kena tempias teruk dalam Krisis Kewangan Asia 1997/1998. Imej dari Wikipedia. |
Dalam krisis yang semakin memburuk, Malaysia di bawah pimpinan Dr Mahathir mula memikirkan cara untuk mengatasinya. Apa yang lebih penting, cara penyelesaian itu tak menjadikan negara ini sebagai negara Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).
“Saya ingin mengesahkan bahawa apabila krisis ekonomi itu bermula, saya memerlukan pakar-pakar dalam bidang kewangan dan urusan mata wang bagi tujuan membantu kerajaan menangani masalah itu. Saya teringat bahawa pada satu hari, lewat 1997 ataupun awal 1998, saya pernah ternampak Nor Mohamed di jalan raya semasa saya berada di dalam kereta.” – Tun Dr Mahathir Mohamad, Bekas Perdana Menteri. Dipetik dari Astro Awani.
Nor Mohamed ketika menghadiri RCI kerugian forex Bank Negara. Imej dari The Straits Times. |
Jadinya, pada 29 September 1997 Nor Mohamed telah mendapat panggilan telefon yang mengatakan Dr Mahathir hendak bertemu dengannya. Dr Mahathir ketika itu dalam rangka lawatan ke Cuba, Chile dan Argentina. Nor diminta untuk pergi berjumpa dengan Dr Mahathir di Buenos Aires, Argentina, mustahak katanya.
Lepas dapat panggilan tu, Nor Mohamed pun terkejut dan hairan kenapa Dr Mahathir nak jumpa dengannya. Tapi dalam masa sejam selepas mendapat panggilan itu, Nor Mohamed dapat satu lagi panggilan dan kali ini dari seorang pegawai kanan di Kementerian Kewangan.
Pegawai itu nasihatkannya supaya tak pergi ke Argentina, sebabnya pegawai tu rasa yang Dr. Mahathir cuba nak cari nasihat dari pelbagai orang untuk menangani krisis kewangan. Dalam waktu sama, tak berunding dengan Kementerian Kewangan atau Bank Pusat dan ia dianggap boleh membuatkan keadaan bertambah parah.
“Tapi Nor Mohamed menjawab: ‘Bagaimana saya boleh abaikan apa yang telah diarahkan oleh Perdana Menteri?’ Beliau selepas itu membuat keputusan mengabaikan nasihat dari Kementerian Kewangan dan pergi berjumpa dengan Perdana Menteri.” – Dipetik dari buku: Notes to The Prime Minister.
Berani ke korang buat macam ni, bila dapat call dari Dr Mahathir? |
Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Zainuddin Maidin ada menceritakan bagaimana, Nor Mohamed pada mulanya agak takut atau segan untuk berjumpa dengan Dr Mahathir secara berseorangan. Kerana itu, beliau cuba mengajak Zainuddin Maidin untuk menemaninya ke Argentina.
“Saya menolak pelawaan Nor kerana saya bimbang nanti Mahathir terkejut melihat kedatangan saya sedangkan yang dipanggil hanya Nor dan keduanya saya tidak ada wang untuk tambang penerbangan dan ketiga saya tidak sanggup untuk menghadapi penerbangan jauh lebih 20 jam.” – Tan Sri Zainuddin Maidin, Tokoh Wartawan Negara. Dipetik dari Zamkata.
Jadinya, Nor Mohmamed pun pergi ke Argentina sorang-sorang dan selepas itu bertemu dengan Dr Mahathir. Dr Mahathir beritahu Nor yang beliau dah bertanya kepada ramai orang tentang punca sebenar krisis kewangan, tapi tak ada seorang pun yang mampu bagi penjelasan yang memuaskan. Jadinya, Dr. Mahathir bertanya kepada Nor apa puncanya yang sebenar.
“Saya bertanya berapa banyak masa beliau ada. Dua jam, katanya. Saya pun menjelaskan bagaimana pasaran pertukaran asing berlaku, tentang perlindungan nilai, bagaimana matawang dipinjam dan dijual, perbezaan ‘tawaran’ dan ‘penawaran’ serta bagaimana dana boleh dipindahkan di antara negara hanya dengan satu klik.Selepas 2 jam, Dr Mahathir terpaksa memberhentikan pertemuan itu sebab beliau ada majlis makan malam rasmi. Tapi Dr Mahathir bertanya kepada Nor Mohamed, apa rancangannya malam itu, dan Nor Mohamed jawab yang beliau juga dijemput ke majlis yang sama. Dr Mahathir kata:
Saya juga menjelaskan bagaimana pasaran ekuiti berlaku dan hubungan antara pasaran tukaran mata wang asing dan pasaran ekuiti. Dr Mahathir langsung tidak bercakap, kecuali bertanya satu atau dua soalan, dan mendengar penuh mendalam.” – Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, Bekas Penasihat Ekonomi Perdana Menteri. Dipetik dari buku Notes to The Prime Minister.
“Balik ke bilik kamu dan tulis semua yang kamu beritahu selama dua jam tadi, dan jumpa saya pada jam 7 pagi esok”. – Kata Dr Mahathir kepada Nor Mohamed Yakcop.
Dr Mahathir dan Timbalannya ketika itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim. |
Jadinya, Nor pun balik ke biliknya, tak datang ke majlis dan menulis semuanya, dan ia hanya siap pada kira-kira jam 6 pagi! Sejam selepas itu, Nor pun serahkan laporan itu kepada Dr Mahathir. Pada jam 2 petang, Nor sekali lagi berjumpa dengan Dr Mahathir, kali ni Dr Mahathir kata yang beliau faham apa yang berlaku dalam pasaran kewangan. Jadinya, mereka pun mula berbincang pelbagai kaedah dan cara untuk mengatasi krisis kewangan. Perbincangan itu berlarutan sampailah mereka berdua balik ke Malaysia.
Nor Mohamed menghantar sebanyak lebih 60 nota kepada Dr Mahathir sepanjang menghadapi krisis
Disebabkan Dr. Mahathir nak faham dengan betul-betul apa yang dihadapi oleh negara dan nak atasi krisis kewangan. Jadinya, selepas mereka berdua balik ke Malaysia, Nor Mohamed dah bagi banyak nota kepada Dr Mahathir dalam menerangkan bagaimana perdagangan mata wang berjalan, konsep ringgit luar persisir (offshore ringgit), kadar faedah, pasaran saham dan pelbagai isu kewangan dan ekonomi.
Dianggarkan lebih 60 nota dah diberikan kepada Dr Mahathir dari Oktober 1997 hingga Oktober 1998. Disebabkan sedar Dr Mahathir seorang yang sangat sibuk, serta dalam masa yang sama menghadapi masalah ekonomi dan cabaran politik. Jadinya, nota-nota yang ditulis itu adalah pendek, tepat dan ringkas. Kebanyakan nota-nota itu ditulis dalam tiga ke empat muka surat dan ada juga yang sampai ke 19 muka surat.
Antara nota yang diberikan oleh Nor Mohamed kepada Dr Mahathir. Imej dari Notes to The Prime Minister. |
“Saya biasanya memandu ke kediaman Perdana Menteri sebelum tengah malam dan berikan sampul surat berisi nota kepada pengawal keselamatan di Sri Perdana, kata Nor Mohamed. Apa yang mengkagumkan beliau adalah, selalunya selepas waktu subuh Perdana Menteri akan menelefonnya dan berbincang tentang nota tersebut… Saya masih tidak pasti sama ada Dr Mahathir membaca nota saya sebelum beliau masuk tidur atau sebaik sahaja beliau bangun tidur keesokan harinya!”- Dipetik dari buku Notes to The Prime Minister.Dr Mahathir juga ada minta Nor Mohamed supaya menyediakan satu kertas kerja tentang macam mana nak tamatkan dagangan saham-saham Malaysia di CLOB (Central Limit Order Book) di Singapura. Bagi Dr Mahathir, antara sebab penting kenapa pasaran saham jatuh adalah disebabkan jualan singkat saham Malaysia di CLOB.
“Saya menyediakan laporan dan Dr Mahathir memahami, buat pertama kalinya, bagaimana CLOB beroperasi. Laporan itu, yang turut dilaksanakan pada 1 September 1998, telah menamatkan perdagangan saham Malaysia di CLOB.” – Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, Bekas Penasihat Ekonomi Perdana Menteri. Dipetik dari Utusan Malaysia.
Nor Mohamed dan Soros dalam satu pertemuan tahun 2006, lama selepas krisis 1997/1998. |
“Saya perlu menyatakan bahawa langkah-langkah kawalan pertukaran telah direka sedemikian rupa untuk meminimumkan aspek-aspek kawalan dan memaksimumkan hasil…Di hampir setiap negara lain yang mengenakan langkah-langkah kawalan pertukaran dan penambatan matawang, secara definisinya, banyak kawalan birokrasi dan matawang juga ditambat pada kadar terlebih nilai.” – Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, Bekas Penasihat Ekonomi Perdana Menteri. Dipetik dari buku Notes to The Prime Minister.
“Biar saya jelaskan. Jika mana-mana negara membangun lain, yang menghadapi krisis sama, memperkenalkan langkah yang kita perkenalkan pada September 1998, ia mungkin gagal. Langkah-langkah itu berjaya di Malaysia adalah kerana keupayaan dan watak Dr. Mahathir.
…Beliau memastikan ekonomi Malaysia pada asasnya kukuh. Ringgit kukuh dan stabil. Di belakang kestabilan matawang (pada RM2.50 berbanding dolar Amerika Syarikat), Malaysia berada pada kedudukan amat baik.” – Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, Bekas Penasihat Ekonomi Perdana Menteri. Dipetik dari buku Notes to The Prime Minister.
Dr Mahathir dan Bill Gates di Pejabat Perdana Menteri Kuala Lumpur. Imej dari Utusan Malaysia. |
Pada Oktober 1998, Nor Mohamed menerima panggilan dari Dr Mahathir yang nak berjumpa dengannya segera. Dalam pertemuannya itu, Dr Mahathir kata yang beliau perlukan seseorang yang boleh membangunkan kembali ekonomi negara dan melonjakkan lagi sektor hartanah. Orang yang dipilih itu adalah Nor Mohamed Yakcop.
Makanya, Nor Mohamed balik ke pejabatnya dan terus memulakan Kempen Hartanah Kebangsaan. Beliau juga memanggil pihak bank, syarikat kewangan, pemaju hartanah, pihak berkuasa cukai dan juga Majlis Peguam Malaysia untuk berbincang.
Selepas beberapa kali mesyuarat, akhirnya pemaju hartanah bersetuju mengurangkan harga rumah sebanyak 15 peratus. Pihak bank pula setuju bagi 110 peratus pinjaman (dengan 10 peratus untuk membolehkan pembeli rumah membeli perabot dan kelengkapan rumah).
Banyak artikel pasal rumah-rumah kat area Selangor/KL yang boleh korang beli dulu, tapi kini rumah PR1MA pun belum tentu boleh beli. |
Pihak peguam pula setuju mengurangkan yuran guaman mereka sebanyak 50 peratus. Selain itu, warga asing juga dibenarkan untuk membeli rumah, manakala pembeli yang membeli harta komersil boleh mengubahnya untuk kegunaan lain. Ternyata ia sedikit sebanyak telah membantu perkembangan sektor hartanah yang ketika itu menghadapi krisis.
Selepas itu, Dr Mahathir sekali lagi menggunakan khidmat Nor Mohamed dengan melantiknya sebagai penasihat ekonomi pada tahun 2000 (kali ni secara rasmi). Masa beliau jadi penasihat ekonomi, ekonomi Malaysia dah stabil, tapi korporat Malaysia pula yang masih lagi dalam keadaan lemah dan tak tentu arah. Masalah itu seperti:
- Kerugian di Malaysia Airlines (MAS) telah merosakkan pemerolehan saham di syarikat itu.
- Renong / United Engineers Malaysia (UEM) seolah-olah tidak mampu menyelesaikan pinjaman korporatnya
- Situasi yang dihadapi oleh Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB), TV3 dan New Straits Times Press (NSTP). Kumpulan MRCB-TV3-NSTP ini telah dibebani hutang lebih daripada RM4 bilion.
- Dan juga khabar angin yang mengatakan Tabung Haji dan KUB Malaysia Bhd telah menghadapi kerugian.
Maknanya, Nor Mohamed kena membaik pulihkan sektor korporat negara. Jadi, beliau pun pilih beberapa orang professional muda untuk membantunya. Antara mereka adalah:
- Rahman Ahmad (Dato’)
- Shahril Ridza Ridzuan (Dato’)
- Johan Mahmood Merican
- Abdul Wahid Omar (Dato’ Seri)
- Mohd Bakke Salleh (Tan Sri)
- Azhar Abdul Hamid (Datuk)
- Zainol Anwar Jamalullail (Tan Sri)
- Syed Tamim Ansari Syed Mohamed (Datuk)
“Bagaimana awak boleh melakukan begini?’ dan Nor yang kebingungan bertanya: ‘Apakah yang saya lakukan?’
Mahathir menjawab: ‘Awak telah melantik orang-orang yang sangat muda untuk menjalankan GLC’ dan Nor menjawab: Dato’ mengarahkan untuk melantik mereka yang cekap, berkerja keras, takut kepada Tuhan dan merendah diri dan Dato’ tidak menyebutkan langsung mengenai umur.’ Mahathir diam.” – Dipetik dari Zamkata.
Antara profesional-profesional muda yang dipilih oleh Nor Mohamed. Imej dari Zamkata. |
“Nor Mohamed menelefonnya. ‘Wahid kamu dah tahu yang kami telah mengambil alih UEM. Saya nak kamu uruskan UEM, sebagai CEO’. Tapi nampaknya tak ada jawapan dari Wahid. ‘Wahid, kamu di sana?’. Selepas lama tiada suara: ‘Ya, tapi saya rasa UEM sangat besar untuk saya’. Tidak, kata Nor Mohamed, awak adalah calon yang sesuai, percayakan saya’. Wahid akhirnya terima.” – Dipetik dari buku Notes to The Prime Minister.
Bagi Nor Mohamed, kejayaan kita mengatasi krisis 1997/1998 adalah kerana Dr Mahathir sendiri
Selepas menjadi penasihat ekonomi kepada Perdana Menteri, beliau selalu melakukan pertemuan dengan Dr Mahathir, 6 hari seminggu (dengan sekurang-kurangnya 2 jam sehari). Semua itu adalah untuk meneliti data ekonomi termasuk pertumbuhan pinjaman, eksport, import dan hartanah yang tak terjual.
“Saya masih ingat satu pagi, semasa kami sedang meneliti angka-angka hartanah, beliau memandang saya dan mengarahkan saya menganjurkan pameran untuk menghabiskan hartanah yang tidak terjual. Saya lakukannya, dan hartanah bernilai lebih RM3 bilion telah dijual.” – Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, Bekas Penasihat Ekonomi Perdana Menteri. Dipetik dari buku Notes to The Prime Minister.
Dr Mahathir & Penasihat Ekonominya, Nor Mohamed Yakcop. Imej dari Notes to The Prime Minister. |
“Sepanjang tempoh krisis, Perdana Menteri memberi tumpuan pada usaha mengatasinya. Siang malam, tiada perkara lain difikirkannya. Beliau membaca segala yang boleh mengenai kewangan; beliau terus meminta saya menyediakan nota-nota pelbagai isu teknikal. Kadang kala, walaupun selesema, beliau tetap bekerja. Beliau sedar beliau perlu memahami isu-isu berkenaan sebelum boleh berusaha mencari penyelesaian.”
…Saya cukup mengagumi kebolehan insan hebat ini, nilai moralnya yang tinggi dan apa paling penting, keikhlasannya. Sudah tentu, seorang lelaki seperti Mahathir Mohamed tidak dilahirkan setiap hari.” – Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, Bekas Penasihat Ekonomi Perdana Menteri. Dipetik dari buku Notes to The Prime Minister.
Menurut Johan Mahmood Merican (bekas Pegawai Khas Nor Mohamed), apa yang dia nampak dalam diri Nor Mohamed adalah beliau seorang yang insan yang luar biasa. Beliau juga seorang yang berkebolehan memilih orang yang tepat dalam memajukan kembali ekonomi dan sektor korporat.
Kerana itulah, walaupun setelah hampir 20 tahun berlalunya Krisis Kewangan Asia, Dr. Mahathir tetap mengenang Nor Mohamed sebagai penyelamat ekonomi negara. Walaupun Nor Mohamed pernah menjadi salah seorang yang bertanggungjawab menyebabkan kerugian Bank Negara.
Imej skandal forex. |
“Bagi Mahathir seorang yang telah dianggap bersalah dan tidak lagi berguna belum tentu tidak berguna kepadanya. Beliau masih dapat menghargai sudut kekuatan dan kebaikan orang itu.
…Walaupun beliau (Nor Mohamed) telah menyebabkan negara kerugian lebih 30 billion kerana perdagangan mata wang yang dikendalikannya tetapi dengan pengalaman pahit inilah Nor Yakcop telah dapat membantu negara khususnya Tun Dr. Mahathir untuk keluar dari krisis kewangan 1997 dan 1998 dan menyelamatkan ratusan billion ringgit dari serangan penyangak mata wang Soros.” – Tan Sri Zainuddin Maidin, Tokoh Wartawan Negara. Dipetik dari Zamkata.
[Artikel ini banyak merujuk buku – Notes to The Prime Minister: The Untold Story of How Malaysia Beat the Currency Speculators (tulisan Wong Sulong)]
AMUKANMelayu - Bacalah sejarah supaya kamu lebih bijak dan jangan gunakan sejarah untuk memadamkan sejarah....kerana ia tak akan berjaya......