,مليسيا دان اسلام بوکن ميليک اورڠ ڤوليتيک
, مک ڤرجواڠن اݢام تتڤ دڤرجواڠکن اوليه اومت اسلام دري بيدڠ يڠ لاءين
سام اد كامي منڠ اتاو كامي ماتي

PERJALAN HAJI AKI


Wednesday, 5 April 2017

5 SIFAT DR MAHATHIR PADA PANDANGAN SAHABAT,,


5 SIFAT DR MAHATHIR PADA PANDANGAN SAHABAT,,

Tun Dr Mahathir Bin Mohamad sebagai Presiden Umno dan Perdana Menteri Malaysia disifatkan sebagai Berani, Amanah, Berdisiplin, Rajin dan Setia yang membuatnya berjaya memerintah Malaysia selama 22 tahun sehingga begitu maju dan terkenal di serata dunia.
PERTAMA – BERANI
Tun Dr. Mahathir tidak takut dan gentar untuk membuat apa jua keputusan dan menyatakan apa jua pendapatnya di semua forum baik di dalam atau di luar negara, baik secara peribadi, tertutup atau pun secara terbuka.
KEPETAHAN TUN DR. MAHATHIR
Waktu melawat USA beliau telah makan tengahhari di White House bersama Presiden Ronald Reagan. Saya, sebagai menteri pengiring dalam lawatannya itu, berada di sisinya, berdepan dengan Ronald Reagan di meja makan. Ronald Reagan telah bertanya ‘Kenapa Umat Islam suka berperang.’
Tun menjawab ‘Adalah tidak benar Umat Islam suka berperang kerana majoriti Umat Islam berada di Tenggara Asia, di Malaysia, Indonesia dan Brunei dan mereka tidak berperang. Di Bangladesh dan Pakistan juga mereka tidak berperang, malahan di India paling ramai Umat Islam yang hidup damai tanpa perang.’
‘Kalau begitu yang berperang itu ialah Arab dan mereka yang di Timur Tengah?’ tanya Ronald Reagan.
Tun menjawab ‘Bukan semua, kerana di Morocco dan Mesir tiada peperangan, yang ada peperangan ialah di beberapa negara sahaja dan itu tiada kaitan dengan Islam.’
Lantas Ronald Reagan bertanya ‘Kenapa mereka itu berperang?’
Tun Mahathir menjawab ‘Kerana Amerika Syarikat dan Russia jual senjata pada mereka, maka senjata itu tidak boleh digunakan untuk tujuan lain kecuali berperanglah.’
‘Jadi kami yang salah?’ tanya Reagan.
‘Saya tak kata begitu, tetapi kira-kira begitulah.’ Tun Dr. Mahathir mengeluh.
Mereka berdua pun ketawa.
BUY BRITISH LAST
Walau pun Tun Dr. Mahathir kelihatan memusuhi pihak Barat dengan dasarnya seperti ‘Buy British Last’ dan ucapan-ucapannya yang lantang dan berani menegur dasar luar Amerika Syarikat, dan penentangannya terhadap IMF dan Bank Dunia tetapi beliau, demi kepentingan ekonomi negara, bersikap ‘pro-business’ atau ‘menyebelahi perniagaan’ dan dasar-dasarnya itu hanya menyinggung politik Barat dan tidak menentang perniaga dan pengusaha Barat. Itulah sebabnya sementara beliau mengkritik Britain dan Amerika Syarikat pelabur-pelabur dari kedua negara itu tetap mendatangi Malaysia.
Berertilah keberanian Tun Dr. Mahathir adalah satu keberanian yang penuh dengan perhitungan dan bukan sebarang keberanian yang merugikan negara.
TUN DR. MAHATHIR MEMILIH YANG TERBAIK DI DUNIA UNTUK MALAYSIA U. S. A.
Waktu di Amerikalah Tun Mahathir menyedari kewujudan lapangan terbang Dallas sebagai lapangan terbang yang terbesar di dunia, menara Sears sebagai menara tertinggi di dunia, Washington D. C. sebagai ibukota masonic yang terancang indah di dunia. Tun Dr. Mahathir telah menandingi ketiga pembinaan ini dengan mewujudkan KLIA sebagai lapangan terbang yang terbesar indah di dunia, KLCC sebagai sepasang menara yang tertinggi di dunia sehingga ke akhir alaf kedua dan Putrajaya sebuah ibukota yang megah dan indah menyaingi semua ibukota di dunia.
CANADA
Bila sampai di Canada Tun Mahathir telah makan tengahari bersama dengan Perdana Menteri Trudeau di Menara Telekom di Ontario. Apabila diberitahu bahawa menara itu adalah antara yang empat tertinggi di dunia Tun Mahathir, sekembalinya ke Malaysia telah memutuskan pembinaan Menara Telekom Kuala Lumpur yang tegak megah di tengah-tengah Kuala Lumpur, sebagai salah satu daripada 5 menara telekom yang tertinggi di dunia.
PERANCIS
Dari Canada rombongan Tun Dr. Mahathir telah berangkat ke Perancis yang Presidennya di waktu itu ialah Presiden Mitterand. Menteri Pengangkutan Perancis telah mengiringi Tun Mahathir ke kawasan industri di mana terletak sebuah kilang ‘optic fibre’. Kini, selain Taman Teknologi Tinggi Kulim dan Cyberjaya kita juga mempunyai keretapi laju antara KL dan KLIA seperti keretapi yang Tun Mahathir naiki bersama Menteri Pengangkutan Perancis itu dari Paris ke Taman Teknologinya.
Tun Dr. Mahathir bersemangat membina Cyberjaya apabila beliau mengetahui lebih 60% tenaga kerja di Taman Teknologi Perancis itu datangnya dari negara-negara Islam kerana mereka memberitahu negara-negara Islam tidak mempunyai Taman Teknologi dan kepakaran mereka tidak diperlukan di negara-negara mereka sendiri. Kata Tun kepada mereka ‘Datanglah ke Malaysia nanti.’
SWITZERLAND
Dari Perancis rombongan Tun Mahathir berangkat ke Berne ibu kota Switzerland. Di sana kami telah melihat bagaimana negara itu melindungi rakyatnya dari penderitaan jika berlaku perang nuklear. Kami juga telah dibawa masuk dalam gua yang sekaligus menjadi lapangan terbang untuk jet kapalterbang perang yang terbang keluar dari pergunungan jika berlaku sebarang serangan yang mengancam keselamatan negara mereka.
Saya ternampak dari kata-katanya betapa Tun Dr. Mahathir begitu terpukau melihat keindahan kota dan persekitaran seluruh negara Switzerland. Switzerlandlah saya kira yang difikirkan oleh Tun Dr. Mahathir apabila beliau menyatakan keinginan supaya Kuala Lumpur diperindahkan dan dinamakan ‘The Garden City of Light.’
Saya mendapat tahu dua kota yang bergilir-gilir bersaing sebagai kota terbersih di dunia iaitu kota Zurich dan Singapura. Alangkah hebatnya jika Kuala Lumpur menjadi pesaing ketiga.
Sebagai menyambut hasrat Tun Dr. Mahathir untuk melihat kota dan negaranya yang bersih indah maka saya juga sebagai Pengerusi Jawatankuasa Sambutan Hari Kebangsaan telah menganjurkan pertandingan kampung indah setiap tahun kita menyambut Hari Ulangtahun Kemerdekaan.
PROJEK MEGA JADI BAHAN FITNAH
Projek-projek besar atau mega inilah yang yang tersebut di atas inilah yang kemudiannya menjadi bahan fitnah apabila Tun Dr. Mahathir dicabar untuk jawatan Presiden UMNO pada tahun 1987.
SIFAT KEDUA – AMANAH
Sehingga hari ini Tun Dr. Mahathir masih berpegang kepada amanah yang termeterai di dalam Perlembagaan UMNO dan Malaysia. BAHASA MELAYU SEBAGAI BAHASA KEBANGSAAN
Keputusan beliau supaya matematik dan sains diajar dalam bahasa Inggeris adalah kerana kekecewaan beliau atas lambatnya, dan terbatasnya kemampuan, para ahli bahasa dan ilmuan menterjemahkan semua buku ilmu dalam bahasa Inggeris dan bahasa-bahasa lain ke bahasa Melayu.
Ianya tidak boleh ditafsirkan sebagai pengkhianatan kepada bahasa dan bangsa Melayu, Baginya kesetiaan kepada bangsa tidak bererti menghalang bangsa itu daripada pendedahan kepada berbagai jenis ilmu yang ada, semata-mata kerana enggan membenarkan bangsa itu pintar dalam bahasa lain yang mempunyai banyak ilmu tertulis di dalamnya. Beliau mengambil dirinya sebagai contoh seorang yang menguasai bahasa Inggeris tetapi tidak kurang semangat Melayunya.
KEDAULATAN RAJA-RAJA MELAYU
Foto Paduka Kekanda.

Dalam mempertahankan kedaulatan raja-raja Melayu beliau telah menghapuskan punca kemungkinan raja-raja boleh difitnahkan kerana menggunakan kuasa tidak mahu meluluskan undang-undang sehingga mendapat sesuatu yang dikehendakinya. Dengan meminda Perlembagaan yang membolehkan undang-undang diluluskan tanpa bergantung kepada persetujuan raja maka punca fitnah sedemikian dapat dihapuskan.
Walau bagaimanapun ada pihak yang mentafsirkan tindakan ini sebagai menghakiskan kuasa raja. Ini bukanlah niat dan tujuan Tun Dr. Mahathir yang telah sama-sama berjuang menentang gagasan Malayan Union, yang dirancang oleh British, yang menghina kedudukan Raja-Raja Melayu.
ISLAM SEBAGAI UGAMA PERSEKUTUAN
Tun Dr. Mahathir tidak berganjak mempertahankan Islam sebagai ugama yang diredhai Allah. Beliau mempertahankan ‘fundamental’ Islam itu sebagai baik dan seseorang itu tidak perlu takut diangap sebagai fundamentalis kerana seseorang yang berpegang kepada fundamental Islam tentulah baik orangnya kerana fundamental Islam itu baik.
Beliau tidak akan memberi katanama lain, seperti hadhari, kepada Islam hanya untuk mengambil hati orang bukan Islam dan beliau tetap mempertahan fundamental Islam. Bagi beliau Islam itu ialah ugama untuk diamal, sekadar mampu, dan Islam itu di atas politik dan tidak boleh diletak di bawah politik hanya untuk diperalatkan untuk memenangi pilihanraya. Kerana mempertahankan Islam dan Umat Islam Tun Mahathir sangat dibenci oleh Yahudi khasnya Yahudi Zionis Kristian.
Malangnya Tun Mahathir juga dibenci oleh tokoh-tokoh Islam di negara ini yang mampu menidakkan Islamnya dan keislaman partinya semata-mata kerana tokoh Islam itu samaada berkawan dengan Yahudi atau dengan tokoh, di negara jiran, yang menjadi sahabat setia golongan Zionis di Israel dan ingin Umat Islam di negaranya merubah sikap dan cara mereka berugama.
HAK ISTIMEWA ORANG-ORANG MELAYU
Tun Dr. Mahathir tidak pernah berhenti mempertahankan hak istimewa orang-orang Melayu dan kedudukan Melayu sebagai Bumiputra dan bukan pendatang di negara ini. Beliau ditohmahkan sebagai rasis kerana mempertahankan hak dan kedudukan Melayu.
Dalam mempertahankan Dasar Ekonomi Baru Tun Dr. Mahathir tidak berhenti menyeru orang-orang Melayu supaya merubah sikap dan berpegang dengan nilai-nilai murni yang boleh membawa kepada kejayaan.
Waktu beliau menjadi Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir tidak pernah mengurangkan kuota biasiswa kerajaan untuk pelajar-pelajar Melayu tetapi pihak bukan Melayu tidak membantah terhadap dasar ini kerana Tun Dr. Mahathir terus membantu mereka untuk memajukan sektor ekonomi negara; dan swasta bukan Melayu bebas memberi kesemua peruntukan biasiswa mereka kepada kaum mereka sendiri. Walau pun 95 % biasiswa kerajaan telah diberi kepada pelajar-pelajar Melayu dan Bumiputra tetapi biasiswa swasta, yang tidak kurang jumlahnya, adalah 100 % untuk bukan kita.
SIFAT KETIGA – DISIPLIN
Tun Dr. Mahathir adalah seorang yang cukup disiplin dalam aspek waktu dan jadual bekerja dan beribadat. Contoh disiplin yang ingin diterapkan ke dalam jiwa pekerja kerajaan di Malaysia ialah dengan memperkenalkan mesin perakam waktu bekerja.
Kita juga masih teringat kepada slogan ‘Bersih, Cekap dan Amanah” sebagai usaha mendidik rakyat supaya berdisiplin.
Yang penting ialah bukan sahaja Tun Dr. Mahathir mahukan rakyat bersikap disiplin tetapi beliau sendiri mengamalkan disiplin yang dikehendakinya dari rakyat. Apabila beliau mengarahkan pekerja kerajaan di semua peringkat memakai tanda-nama beliau juga memakainya.
SIFAT KEEMPAT – RAJIN
Tidak ada orang yang mengenal Tun Dr. Mahathir yang tidak mengetahui betapa beliau rajin membaca, menulis, bercakap dan bekerja.
SIFAT KELIMA – SETIA
Tun Dr. Mahathir terkenal sebagai seorang yang setia kepada kawan dan perjuangan.

Hubungan Tun Dr. Mahathir dan Tun Dr. Siti Hasmah adalah satu contoh hubungan setia dan mesra antara suami isteri yang jarang ada di kalangan pemimpin politik yang berjaya di dunia ini. Jika kita lihat kepada sejarah pemimpin ulung di Amerika Syarikat seperti John F. Kennedy (dengan Marilyn Monroe), pemimpin ulung di Eropah seperti Napoleon Bonaparte (dengan Eva Braun) dan pemimpin ulung di zaman Empayar Rom seperti Julius Caesar (dengan Cleopatra) jelas sekali apabila lebih meningkat populariti seseorang maka lebih hebat godaan yang mendampinginya kerana ‘Power is Aphrodisiac’.
Untuk kita tidak anggap itu kisah pemimpin dulu kita boleh lihat kepada rekod Presiden Bill Clinton (dengan Monica Lewinsky) yang sudah bersara dan bagi yang masih berkhidmat kita perhatikan pula perkembangan kes Perdana Menteri Berlusconi di Itali.
Kalau kita lihat kepada watak sebagai Tony Blair pula kita akan dapati ketidaksetiaannya termasuk kepada bidang ugama. Walau pun beliau penganut ugama Kristian Anglican di waktu menjadi Perdana Menteri Britain beliau berubah ke ugama Katholik apabila berhenti dari menjadi Perdana Menteri.
Kesetiaan Tun Dr. Mahathir kepada kawan-kawannya adalah luar biasa dan saya boleh menulis ratusan muka surat bagaimana kesetiaannya kepada kawan-kawannya telah membantu beliau membangunan negara dan banyak pula masalah yang dihadapinya yang berpunca dari kesetiaan itu.


AMUKANMELAYU
- Sifat KURANG AJAR Melayu perlu di PESONGKAN keatas KAUM PENDATANG yang juga KURANG AJAR dan bukannya ke atas BANGSANYA sendiri. Sifat ini perlu dalam menentukan KELANGSUNGAN KUASA ISLAMELAYU,