Mohd. Shukri Abdull

Timbalan Ketua Pe­suruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Mohd. Shukri Abdull berkata, bagaimanapun pihaknya perlu meneliti laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) terlebih dahulu sebelum mengambil sebarang tindakan lanjut.

“Kalau kita mendapati wujudnya unsur-unsur rasuah, kita akan membuka kertas siasatan.
“Tak kira siapa, semua yang terlibat (ra­suah) termasuk anggota Lembaga Pengarah itu (1MDB), kita akan siasat,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai ke­nyataan PAC yang mahu pihak berkuasa menyiasat bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi yang dikatakan bertanggungjawab terhadap kelemahan dan kekangan pengurusan syarikat pelaburan strategik milik kerajaan itu.

Semalam, Lembaga Pengarah 1MDB secara kolektif memutuskan untuk menawarkan peletakan jawatan kepada Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) yang merupakan pemegang saham sepenuhnya 1MDB.

Lembaga Pengarah 1MDB dalam kenyataannya berkata, walaupun penawaran tersebut merupakan satu keputusan yang sukar untuk diambil, mereka percaya bahawa langkah itu yang betul dalam situasi sekarang bagi memudahkan sebarang siasatan susulan seperti dicadangkan PAC.

Enam anggota Lembaga Pengarah 1MDB terbabit ialah Pengerusinya, Tan Sri Lodin Wok Kamaruddin serta Pengarah Eksekutif Kumpulan yang terdiri daripada Arul Kanda, Shahrol Azral, Tan Sri Ismee Ismail, Tan Sri Ong Gim Huat dan Ashvin J. Valiram.