Tunku Kudin sebenarnya ialah Syed Zainal Abidin merupakan anak saudara Sultan Ahmad Tajuddin.
Tunku
Kudin ialah anak kepada seorang Arab berbangsa saiyid dari Palembang
yang bertalian darah dengan keluarga di Raja Kedah. Tunku Kudin, tinggal
di Seberang Perai telah dipujuk supaya memimpin satu angkatan perang
menentang angkatan Thai semasa perang Musuh Bisik yang telah meletus
sejak 1821.
Orang-orang
Thai yang menguasai di Kota Kuala Muda mengetahui sifat-sifat
kepimpinan yang ada pada Tunku Kudin telah mengupah beberapa orang jahat
untuk membunuh beliau. Penduduk-penduduk yang tinggal di keliling
rumahnya telah berjaya mengusir orang-orang upahan Thai ini dan
menyelamatkan Tunku Kudin.
Pada
suatu malam, sebiji letupan telah berjaya dipasang oleh orang-orang
upahan Thai dirumahnya dan telah meletup dengan kuat ketika manusia
sedang tidur nyenyak jam tiga pagi. Tunku Kudin telah dijilat api dan
melecur sebelah tubuhnya. Azam Tunku Kudin menentang kekejaman Thai
bertambah kuat apabila beliau sedar bahawa isteri beliau dan tiga orang
anak-anaknya meninggal dunia akibat letupan tersebut.
Tunku
Kudin telah kehilangan semua yang disayanginya, isteri dan anak-anak,
rumah dan harta benda. Yang bertambah kuat ialah sumpah dan azam
menuntut bela.
Orang-orang
Melayu di Seberang Perai berkumpul memberi sokongan kepada Tunku Kudin
untuk melepaskan kampong halaman di Kedah dari cengkaman Thai. Jumlah
orang-orang Melayu yang tegak di belakang Tunku Kudin tidak kurang dari
5000 orang. Pada waktu dan ketika yang baik lagi sempurna, perahu-perahu
kecil dan besar, beratus-ratus buah banyaknya, lengkap dengan tetunggul
dan panji-panji, telah bergerak ke Kuala Kedah. Di sepanjang jalan,
angkatan tersebut diturut-sertai pula oleh perahu-perahu dari Kuala
Muda, Kuala Merbok, Kuala Yan, Kuala Sala dan Kuala Tebengau. Selepas
berihat di Pulau Bunting, angkatan Tunku Kudin terus belayar ke Kuala
Kedah dan disana ditemui pula oleh perahu-perahu dari Pulau Langkawi
yang turut menghantar bantuan.
Angkatan
Thai yang bersedia di luar Kota telah membedil perahu-perahu Melayu
yang mendarat dan dibedil balas oleh angkatan laut Melayu.
Pengawal-pengawal Kota mencuba seberapa daya menghalang kemaraan
orang-orang Melayu yang ramai mendaki tembok Kota, tetapi dengan
kebijaksanaan dan kecekalan hati Tunku Kudin, pertahanan Thai di Kota
Kuala Kedah telah patah. Setelah beratus jiwa terkorban dari kedua belah
pihak, orang Melayu dapat memasuki Kota itu melalui Pintu Kacapuri,
pintu kecil lima puluh ela arah ke Utara pintu sekarang. Tunku Kudin
berjaya menduduki Kota Kuala Kedah pada 24 haribulan April 1831.
Orang-orang
Thai telah berundur ke Alor Ganu 15 batu dari Kuala Kedah mengikut
Sungai Besar. Di Alor Ganu terdapat sebuah kota tanah yang dibuat oleh
orang-orang Melayu kini dijadikan markas tentera Thai. Di Alor Ganu
orang-orang Thai bertahan, sementara satu angkatan darat telah dihantar
ke Legor menyusul bantuan.
Kejayaan
Tunku Kudin menawan kembali Kota Kuala Kedah rupanya menjadi satu
kegemparan besar kepada Inggeris di Pulau Pinang. Kononnya, mengikut
satu perjanjian antara Inggeris dengan Bangkok yang dibuat dalam tahun
1826 bersamaan dengan Tahun Anjing dalam perkiraan tahun bangsa Thai,
Inggeris hendaklah melarang dan menegah Sultan Kedah atau rakyatnya dari
menyerang mengganggu atau merusak secara mana sekalipun ke atas Negeri
Kedah yang telah menjadi Wilayah Thai.
Sebagai
membuktikan kepada kerajaan Thai bahawa Inggeris adalah satu bangsa
yang tidak pernah memungkiri janji dan rampasan kuasa oleh Tunku Kudin
itu di luar pengetahuan mereka, maka Kerajaan Pulau Pinang telah
menghantarkan senjata-senjata dan ubat bedil ke Alor Ganu.
Angkatan
Thai menerima bantuan Inggeris dengan dua belah tangan dan mendesak
Inggeris supaya menepati kehendak-kehendak Perjanjian Tahun Anjing itu
dengan betul. Sebagai memperaktikkan tafsiran yang difahamkan oleh
Inggeris dari Perjanjian itu, Inggeris mulalah mengenakan
kepongan-kepongan dan kawalan di kuala-kuala sungai dan di sepanjang
pantai Kedah supaya orang-orang dari laut tidak dapat berhubung
menyampaikan bantuan dan sebagainya yang bercanggah dengan kepentingan
Thai. Bantuan yang mulanya mencurah-curah tiba kepada Tunku Kudin di
Kuala Kedah telah terhenti dengan tiba-tiba.
Dalam
satu pertarungan sengit antara angkatan laut Kedah dengan angkatan laut
bangsa Thai di Pulau Payar bertentangan dengan Kuala Kedah, angkatan
Thai telah tewas dengan teruk. Kapal “Wolfe” milik Inggeris telah tiba
entah dari mana lantas merejamkan peluru-pelurunya ke atas perahu
orang-orang Melayu dan memusnahkan sehingga licin seluruh angkatan
Melayu yang ada. Tindakan yang dilakukan oleh “Wolfe”- “Anjing Hutan”
ini, adalah satu-satunya peristiwa yang unik di mana orang-orang Melayu
telah diajar begitu rupa oleh kapal laut Inggeris.
Sebelum
ini, perahu-perahu Melayu telah dikejar dan ditahan supaya jangan
mendarat walaupun kerana mengambil makanan dan air, kemudian diusir
supaya pulang sahaja. Kali ini “Wolfe” bertindak kasar dan amat
menyedihkan pula bila ditilik bahawa perahu-perahu bangsa Thai sentiasa
dibenarkan masuk atau keluar dengan bebas di mana-mana sahaja mengangkut
ubat-ubat bedil dan sebagainya untuk menyerang perahu-perahu Melayu.
Hampir seribu orang-orang Melayu yang dibedil ke dasar laut oleh kapal
“Wolfe” berkelampong ke hulu ke hilir berminggu-minggu di laut Kedah
selepas peristiwa itu.
Kemusnahan angkatan laut Melayu di Pulau Payar ini melumpuhkan Tunku Kudin yang bertahan didalam Kota.
Angkatan
Melayu yang di ketuai oleh Tunku Sulaiman di Kuala Perai bersiap dengan
kira-kira tiga ribu orang untuk belayar ke Kuala Kedah membantu Tunku
Kudin. Angkatan Tunku Sulaiman telah ditahan dan di arah dengan
sombongnya supaya balik ke Kuala Perai oleh 4 buah kompeni dari Madras
Native Infantry yang ke Empat Puluh Enam berpengkalan di Pulau Pinang.
]
Kota
Kuala Kedah telah dikepong dari darat dan dari laut, makanan dan ubat
bedil telah kehabusan, penyokong-penyokong juga ramai yang mendapat
sakit dan ramai pula yang telah terkorban dalam perjuangan menegakkan
bendera merah harimau melompat, iaitu bendera Kedah pada zaman itu.
Bendera merah dengan gambar gajah puteh telah dibantu oleh bendera
“Union Jack”.
Kota
Kuala Kedah dibedil siang malam tidak berhenti-henti sehingga
kemungkinan untuk bertahan lebih lama menjadi mustahil. Ramai
orang-orang Melayu yang pulang ke Pulau Pinang, dan Seberang Perai,
diiringi oleh kapal-kapal “Wolfe” dan “Crocodile” dari belakang.
Kumpulan
yang paling akhir sekali bersama Tunku Kudin tinggal Cuma 30 orang
lagi. Mereka ini telah berjuang beberapa hari menangkis
serangan-serangan tentera Thai semata-mata hanya dengan keberanian dan
kegigihan yang luar biasa timbul dari keinginan mensyahidkan diri demi
keluhuran kota pesaka dan watan seluruhnya. Nasi gerit dan manisan tebu
yang menjadi ayapan orang berperang, telah habis dan ubat bedil juga
telah berkurangan. Meriam-meriam seperti “Katak Puru” dan “Badak
Berendam” serta berpuluh-puluh pucuk lagi meriam lain di Kota itu
kononnya telah ada yang berdentum dengan sendirinya sebab tidak cukup
kakitangan yang boleh mengawasi.
Tetapi, seperti kata pantun yang diabadikan sehingga sekarang:-
Pulau Sembilan tinggal delapan,Satu merajuk ke Kuala Kedah;Sudah nasib perminta badan,Kita di bawah kehendak Allah
Maka
pada 4 haribulan Oktober, 1831; bantuan Thai dari Legor telah tiba di
Kuala Kedah: 7000 tentera dan 300 ekor gajah, menyerang Kota usang itu
dari empat-empat penahapnya. Tunku Kudin dengan tiga puluh pahlawannya
berjuang habis-habisan sehingga Tunku kudin sendiri telah luka parah di
dada dan di pahanya, ubat bedil sudah habis pula.
Tunku
Kudin terjatuh, tangannya terkapai-kapai memanggil seorang panglima
yang paling karib supaya menghampirinya. Nama panglima itu tidak
diketahui lagi, mereka berpelok-pelok dan kedengaran mengucap dua
kalimah syahadah. Kemudian Tunku Kudin menghunus keris pendeknya lantas
menikam panglima itu dan panglima itu pula menikam beliau, masing-masing
mengelupur sehingga sejuk dan kaku: Seorang di kiri dan seorang di
kanan. Kononnya begitulah persetiaan mereka berdua. Biar mati sama
sendiri jangan mati dibunuh bangsa Thai.
Angkatan
Thai menembusi pintu Kota dan membunuh pahlawan-pahlawan Melayu yang
masih hidup. Mengikut “Singapore Chronicle”, mayat-mayat yang
bergelimpangan di sekitar Kota Kuala Kedah yang menjadi medan
pertemporan yang dahsyat itu adalah di antara enam ribu hingga sepuluh
ribu orang. Yang paling banyak terbujur ialah ialah orang-orang Thai
kerana angkatan perang mereka jauh lebih besar dari angkatan perang
Melayu. Walaupun lapuran “Singapore Chronicle” tidak berapa tepat tetapi
boleh dibuat kesimpulan bahawa kumpulan 30 yang terakhir dari angkatan
Tunku Kudin bukanlah gerombolan sembarangan, cuma kerana “sudah nasib
perminta badan”. Mungkin, kalau tidak disokong Inggeris, Thai tidak
dapat lagi bertapak di Kedah, dan Kota Kuala Kedah pulang ketangan yang
empunya nya. Tunku kudin menduduki Kota Kuala Kedah selama lima bulan
dan lima belas hari.
Cerita
Tunku Kudin tidak tamat begitu sahaja selepas beliau mati. Kepalanya
dipanggal dan dibawa ke Legor dengan gajah. Tiba di sana, kepala itu
diletakkan di atas talam tembaga yang berkaki, beralas dan berenda,
kemudian ditatang oleh panglima perang bangsa Thai yang paling tua,
sambil mengisut menyembahkannya kepada Raja Legor, Cau Phaya Nakon Si
Tammarat. Beliau sangat ingin hendak menatap wajah pahlawan Melayu
begitu handal dan gagah, sangat dikagumi oleh orang-orang Thai.
Raja
Legor memandang dengan tidak terkelip matanya, terpesona juga dengan
janggut jambang dan rambut menjejak tengkok di kepala yang tak berbadan
itu – masih haibat dan menggerunkan. Kadar sejenak, Raja Legor bertanya
“Mana badannya?”. Panglima Perang Thai menggelengkan kepalanya dan menyembah, “Tidak berguna Cau Phaya, hatinya sudah dimakan orang”.
Entah
benar entah tidak, tetapi inilah riwayat kepala di atas talam yang
satu-satunya pernah didengar di dunia ini, selain dari kepala “John the
Baptist” yang dipersembahkan kepada King Herod Antipas oleh
tukang-tukang kelarahnya lebih 2,000 tahun dahulu.
Akhirkata :
Kisah
ini berdasarkan karangan oleh sejarahwan Negeri Kedah, Almarhum Datuk
Ismail Salleh. Beliau banyak membantu dalam kajian pihak kami mencari
kisah peperangan Musuh Bisik. Almarhum sempat menyerahkan karya
peneulisan beliau dalam kisah perang musuh bisik kepada pihak kami agar
diteruskan pencarian kisah yang sebenar berlaku di bumi Kedah dan
mencari wira-wira bangsa yang seharusnya ditokohkan.
AMUKANMELAYU - Hulubalang Bani Jawi, manusia mati meinggalkan nama