,مليسيا دان اسلام بوکن ميليک اورڠ ڤوليتيک
, مک ڤرجواڠن اݢام تتڤ دڤرجواڠکن اوليه اومت اسلام دري بيدڠ يڠ لاءين
سام اد كامي منڠ اتاو كامي ماتي

PERJALAN HAJI AKI


Thursday, 23 May 2013

PEMBUNUHAN SOSILAWATI - KEKEJAMAN YANG TIDAK BOLEH DI AMPUNKAN


Kes Sosilawati: Bekas Peguam, Tiga Yang Lain Dijatuhi Hukuman Gantung Sampai Mati
 
LOWYER - Pengamal Undang-Undang yang kejam
SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis mendapati bekas peguam N. Pathmanabhan dan tiga pekerja ladangnya bersalah membunuh jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain tiga tahun lepas, dan dijatuhi hukuman gantung sampai mati.
Hakim Datuk Akhtar Tahir memutuskan sedemikian selepas berpuas hati bahawa pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.
Pathmanabhan serta tiga pekerja ladang iaitu T. Thilaiyalagan, R. Matan dan R. Kathavarayan didakwa membunuh Sosilawati, 47, pegawai bank Noorhisham Mohamad, 38, peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dan pemandu Sosilawati, Kamaruddin Shamsuddin, 44.
Pathmanabhan, 43, Thilaiyalagan, 21, Matan, 22, dan Kathavarayan, 33, didakwa melakukan perbuatan itu di Lot 2001, Jalan Tanjong Layang, Tanjung Sepat di Banting antara pukul 8.30 malam dan 9.45 malam pada 30 Ogos 2010.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.
Barisan pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Ishak Mohd Yusoff, Saiful Edris Zainuddin dan Idham Abd Ghani sementara Pathmanabhan diwakili peguam, Manjeet Singh Dhillon dan Pushpa Ratnam, Thilaiyalagan diwakili Gurbachan Singh, Matan diwakili peguam Amer Hamzah Arshad manakala Kathavarayan diwakili peguam Hasshahari Johari Mawi. - BERNAMA

Datuk Sosilawati Lawiya Hilang Mati Dibunuh?

by Azuan on September 12, 2010
 
Semakin hangat berita kehilangan Datuk Sosilawati Lawiya yang merupakan jutawan kosmetik juga sebagai Pengasas Produk Kecantikan Nouvelle Visages yang dilaporkan hilang sejak 30 Ogos lalu. Kes Datuk Sosilawati Lawiya hilang cukup misteri, malah masih menjadi tanda tanya pelbagai pihak. Tapi hari ini 12 September 2010 ketika umat islam masih lagi menyambut Hari Raya Aidilfitri, berita Sosilawati hilang tersebar dengan meluas apabila media Tv dan akhbar menyatakan bahawa Datuk Sosilawati Lawiya mati dibunuh?.

datuk sosilawati lawiya hilang mati dibunuh

Update 17 September 2010

Pembunuhan kejam Sosilawati: Bertelingkah hasil jualan tanah RM29 juta

KUALA LUMPUR: Pembunuhan Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga rakannya dikatakan dirancang rapi oleh suspek utama kes itu selepas timbul masalah wang hasil jualan sebidang tanah di Pulau Pinang milik mereka dan dua lagi rakan kongsi.
Tanah seluas 12 hektar bernilai RM25 juta itu dibeli secara kongsi oleh keempat-empat mereka pada 24 Mac 2008 dan dikatakan dijual kepada seorang ahli perniagaan di Selangor pada harga RM29 juta, tahun lalu.
Pembelian dan penjualan tanah itu difahamkan dikendalikan sepenuhnya oleh suspek utama yang juga peguam dan bertindak sebagai broker berikutan pengalaman luasnya sebagai pengamal undang-undang, terutama dalam urusan berkaitan jual beli tanah.
Seorang rakan kongsi tanah itu memberitahu Berita Harian, mereka membeli tanah tepi pantai berkenaan untuk tujuan pelaburan dengan Sosilawati menjadi pelabur terbesar.
“Atas persetujuan bersama, kami berempat termasuk suspek berkongsi membayar modal RM2.5 juta sebagai bayaran pendahuluan 10 peratus untuk membeli tanah itu.
“Apabila tanah itu dijual pada 2009 dengan harga RM29 juta, kami sepatutnya berkongsi keuntungan RM4 juta, bagaimanapun kami tidak menerima pulangan yang dijanjikan daripada peguam terbabit sehingga kini, kecuali modal,” kata ahli perniagaan bergelar Datuk itu yang tidak mahu namanya disiarkan.
“Kami pernah bertanyakan hal itu kepada suspek, namun dia memberikan alasan proses penjualan tanah belum selesai… ada kaveat ke atas tanah itu menyebabkan proses menukar nama tidak dapat dilakukan tanpa perintah mahkamah.
“Malah, suspek sentiasa menjelaskan kepada kami bertiga proses itu bukan mudah dan mengambil masa kerana membabitkan banyak prosedur mahkamah, selain meminta kami bersabar,” katanya.
Ahli perniagaan itu berkata, kali terakhir mereka berempat bertemu kira-kira dua bulan lalu bagi membincangkannya, bagaimanapun suspek memberi alasan urusan berkenaan belum selesai.
Beliau mengaku mereka berempat sebagai rakan kongsi selalu berhubungan melalui telefon.
“Saya terkejut membaca mengenai kehilangan Sosilawati, disusuli berita pembunuhannya yang dikaitkan dengan peguam kami. Lebih mengejutkan cara Sosilawati dibunuh bersama tiga yang lain,” katanya.
Sosilawati, pengasas produk kecantikan, Nouvelle Visages; pemandu peribadinya, Kamaruddin Shansuddin, 44; perunding kewangan CIMB cawangan Kampung Baru, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguamnya, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dipercayai dibunuh dan dibakar di sebuah ladang di Banting sebelum abu mereka dibuang ke dalam Sungai Panchau, pada 30 Ogos lalu.
Sementara itu, seorang lagi ahli perniagaan bergelar Datuk berasal dari Selangor mengesahkan beliau yang membeli tanah berkenaan pada harga RM29 juta daripada mereka berempat, tahun lalu.
Beliau yang meminta identitinya dirahsiakan, bagaimanapun menjelaskan bayaran tanah itu masih belum selesai sepenuhnya berikutan prosedur mahkamah.
“Setakat ini, saya sudah membayar wang pendahuluan 10 peratus (RM2.9 juta) dan hanya menunggu proses kelulusan untuk bayaran penuh,” katanya mengesahkan sudah menerima beberapa dokumen daripada suspek berhubung pembelian tanah itu dan percaya semua proses mengikut saluran undang-undang.

Kes bunuh Sosilawati: Nyaris jadi mangsa kelima

KUALA LUMPUR: “Jika tidak kerana saya sudah berada di kampung kerana mahu menyambut Aidilfitri, mungkin saya juga senasib dengan Datuk Sosilawati dan tiga lagi rakan,” kata seorang rakan kongsi jutawan kosmetik itu dalam pembelian sebidang tanah seluas 30 ekar (12 hektar) di Batu Feringgih, Pulau Pinang pada Mac 2008.
Usahawan yang juga ahli politik bergelar Datuk itu berkata, suspek utama kes pembunuhan itu yang juga seorang peguam menghubunginya pada 9 September lalu dan memintanya datang ke pejabat bagi mendapatkan wang bayaran penjualan tanah berkenaan.
“Suspek minta saya datang tapi pada hari berkenaan saya tiada di Banting kerana berada kampung di Johor untuk menyambut Aidilfitri keesokannya. Ini menyebabkan dia menyuruh saya datang pada 13 September pula,” katanya ketika ditemui kelmarin.
Katanya, dia membatalkan niat untuk ke pejabat guaman suspek selepas media melaporkan Sosilawati ditemui mati dipercayai dibunuh peguam terbabit yang juga rakan kongsi pembelian tanah berkenaan.
“Saya, Sosilawati dan peguam itu sebelum ini kenalan rapat sejak tiga tahun lalu,” katanya.
Sebelum itu, katanya, dia menghubungi suspek bertanyakan mengenai Sosilawati yang dilaporkan hilang sejak 30 Ogos lalu, namun peguam terbabit menyatakan tiada apa yang perlu dirisaukan dan dia hanya perlu hadir ke pejabatnya mendapatkan wang keuntungan penjualan tanah berkenaan seperti dijanjikan.
“Dalam perbualan melalui telefon itu, dia juga mengaku sudah dua kali memberi keterangan kepada polis dan memaklumkan tiada apa yang perlu dirisaukan. Beberapa hari kemudian, saya mendapat tahu dia ditahan polis,” katanya.
Menceritakan mengenai urus niaga tanah itu, Datuk berkenaan mendakwa berkata, peguam terbabit memujuknya melabur bagi membeli sebidang tanah seluas 12 hektar di Batu Feringgi milik seorang warga tempatan pada harga RM25 juta dan perlu membayar deposit RM2.5 juta.
“Saya bagaimanapun beritahu tiada wang sebanyak itu. Dia memberi idea supaya saya berkongsi dengannya, Sosilawati dan seorang lagi rakan bagi membayar wang pendahuluan berkenaan,” katanya.
Katanya, dia dan Sosilawati serta seorang lagi rakan bersetuju membeli tanah berkenaan selepas dipujuk suspek kerana dijanjikan tanah berkenaan memberikan pulangan lumayan kepada kami. “Pembelian tanah melalui syarikat Sosilawati itu diuruskan suspek yang mengambil masa enam bulan sebelum berjaya dijual kepada satu syarikat dengan harga RM29 juta,” katanya.
Katanya, semua nampak lancar apabila suspek menunjukkan dokumen perjanjian jual beli dan ketika itu tiada yang meragukan.
“Dia membayar kembali modal RM2.5 juta kepada kami dalam tempoh enam bulan selepas menerima bayaran deposit RM2.9 juta daripada syarikat yang membeli tanah berkenaan. Bagaimanapun, kami gagal memperoleh bayaran keuntungan RM4 juta seperti yang dijanjikan walaupun sudah dua tahun berlalu.
“Dalam tempoh itu, saya sering menghubunginya bertanyakan perkara berkenaan dan kadangkala marah dengan jawapan suspek kononnya ada masalah dalam pertukaran hak milik,” katanya.
Selepas dua tahun, dia dihubungi suspek menyatakan wang keuntungan berkenaan sudah diperoleh dan perlu hadir ke pejabatnya bagi mendapatkannya. Namun, takdir menyebelahinya apabila dia mendapat maklumat pada 12 September bahawa peguam itu ditangkap polis berhubung kes bunuh dan bakar Sosilawati dan tiga rakannya.
“Kemungkinan Sosilawati juga disuruh datang ke pejabat suspek bagi mendapatkan wang keuntungan berjumlah RM4 juta itu, namun kedatangannya dan tiga yang lain seolah-olah menempah ajal.
“Jika saya tidak menyedari kes pembunuhan itu, saya mungkin turut menerima nasib sama. Malah, saya diberitahu pihak berkuasa bahawa suspek dipercayai mengaku sudah merancang bagi membunuh saya dan rakan pada hari itu,” katanya.
Beliau membuat laporan mengenai kes itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat (IPPDKL), Selasa lalu.
Sementara itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar ketika dihubungi semalam mengesahkan pihaknya menerima laporan berkenaan.

Kes bunuh Sosilawati: Jangan buat tafsiran politik sendiri

KULIM 17 Sept. – Pemimpin politik di negara ini sepatutnya tidak membuat tafsiran sendiri mengenai kes pembunuhan jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga lagi lelaki bagi mengelakkan kekeliruan di kalangan orang ramai.
Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Sahlan Ismail Nasution berkata, semua pihak sepatutnya mengambil sikap bertenang dan menyerahkan kepada pihak berkuasa iaitu polis dan Jabatan Peguam Negara untuk menjalankan tugas mereka.
“Jika terlalu banyak pihak membuat pelbagai tafsiran… akan menjadi lebih mengelirukan terutama persepsi umum terhadap kes yang belum selesai,” katanya kepada pemberita selepas program Rapat 1Malaysia di sini petang semalam.
Lebih 500 peserta terdiri daripada ketua-ketua cawangan dan anggota jawatankuasa parti komponen Barisan Nasional (BN) Bahagian Kulim/Bandar Baharu hadir pada majlis anjuran Penyelaras Parlimen kawasan berkenaan sebagai sebahagian majlis menyambut Hari Malaysia.
Sahlan berkata, mana-mana pihak tidak perlu turut masuk campur dengan tugas polis dan menyerahkan kepada pihak berkenaan menjalankan tugas mereka secara profesional kerana kelak akan lebih mengelirukan lagi suasana.
“Adalah menjadi tanggungjawab pihak kerajaan untuk memastikan tugas yang dijalankan pihak polis adalah memuaskan dan adil untuk semua pihak,” katanya. – Bernama

Kes Sosilawati tiada unsur perkauman

BANTING – Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar yang baru memegang tampuk kepimpinan tertinggi Polis Diraja Malaysia (PDRM) semalam berkata, siasatan kes pembunuhan jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga lelaki lain dilakukan tanpa sebarang unsur perkauman.
“Kes siasatan Sosilawati adalah kes jenayah biasa kerana ada penjenayah dan ada mangsa,” kata beliau pada sesi dialog bersama pemimpin masyarakat di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat di sini semalam.
Lawatan Ismail ke Banting merupakan lawatan pertama beliau ke Selangor sejak beliau mengambil alih pucuk pimpinan sebagai Ketua Polis Negara pada 13 September lalu.
Menurut beliau, polis masih lagi menjalankan siasatan berhubung pembunuhan Sosilawati bersama tiga mangsa itu. Polis juga sedang menunggu keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA).
Dalam kejadian menggemparkan itu, selain jutawan kosmetik yang dibunuh, turut menjadi mangsa kekejaman sama ialah pemandu, Kamarudin Shansudin, 44, peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dan pegawai bank, Noorhisham Mohammad, 38.

Ladang didakwa ada tempat pembakaran

BANTING – Keadaan ladang milik peguam Datuk K. Patmanaban yang ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga yang lain di Ladang Gadong di sini dianggap sebagai pelik kerana didakwa mempunyai satu tempat pembakaran.
Perkara itu didedahkan oleh seorang lelaki yang mendakwa dia pernah memasuki ladang tersebut untuk menghantar haiwan ternakan yang dibeli Patmanaban empat bulan lalu.
Di ladang itu, lelaki yang enggan dikenali itu mendakwa dia melihat beberapa kepingan zink diletakkan bersebelahan tempat pembakaran di ladang itu.
“Dari luar ladang itu tidak nampak apa-apa kerana ia dikelilingi tembok setinggi kira-kira dua meter,” katanya yang merupakan penduduk di sini.

Update 16 September 2010

Kes Pembunuhan kejam Datuk Sosilawati Lawiya selesai

Suspek pembunuhan kejam jutawan kosmetik, tiga lagi mangsa didakwa minggu depan

KUALA LUMPUR: Polis menganggap kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya serta tiga yang lain, selesai dan semua suspek dijangka didakwa minggu depan.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar, berkata polis kini pada peringkat akhir mengumpul maklumat dan bukti sebelum mengemukakan kertas siasatan kepada Pejabat Peguam Negara untuk menentukan pertuduhan terhadap lapan suspek termasuk seorang peguam bergelar Datuk yang ditahan setakat ini.
Sambil memuji Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) yang diketuai Pengarahnya, Datuk Mohd Bakri Zinin dan Timbalan JSJ, Datuk Hadi Ho Abdullah atas kejayaan pasukan itu menyelesaikan kes berkenaan dalam tempoh yang cepat, Ismail bagaimanapun berkata, ini bukan bermakna siasatan sudah dihentikan.
“Pasukan itu masih meneruskan siasatan di lokasi kejadian di Banting dan mencari bukti berhubung kes berkenaan. Pasukan itu juga sedang mengumpul maklumat mengenai beberapa kes kehilangan lain yang dikaitkan dengan suspek sama,” katanya dalam sesi diskusi dengan pengarang kanan media di Bukit Aman, semalam.
Ini adalah pertemuan pertama Ismail dengan pengarang kanan media selepas mengambil alih jawatan Ketua Polis Negara pada 12 September lalu. Turut hadir, Timbalannya, Datuk Hussin Ismail dan Mohd Bakri.
Kes pembunuhan Sosilawati, 47; serta pemandunya Kamaruddin Shansuddin, 44; peguamnya, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dan pegawai CIMB cawangan Kampung Baru, Noorhisham Mohamad, terbongkar berikutan penahanan lapan suspek dua hari selepas menerima laporan isteri seorang ahli perniagaan warga India yang sebelum ini turut dilaporkan hilang selepas berurusan dengan peguam bergelar Datuk itu.
Sosilawati dan tiga individu itu yang dilaporkan hilang sejak 30 Ogos lalu, dipercayai dibunuh di Ladang Gadong, Banting sebelum dibakar dan abu mayat mereka dibuang ke dalam Sungai Panchau. Mereka dipercayai dibunuh kira-kira 10 malam, 30 Ogos, iaitu pada hari sama mereka dilaporkan menemui Datuk itu.
Setakat ini, polis menahan lapan orang bagi membantu siasatan kes itu, termasuk Datuk terbabit dan adiknya, juga seorang peguam. Semua suspek yang ditahan pada 10, 11 dan 12 September lalu direman sehingga Sabtu ini.
Polis dikatakan akan meminta lanjutan tempoh reman untuk membolehkan pendakwaan dibuat akhir minggu depan.
Mohd Bakri berkata, polis menubuhkan dua pasukan petugas khas, iaitu satu untuk menyiasat kes pembunuhan Sosilawati dan tiga individu yang bersamanya, manakala satu lagi bagi menyiasat laporan orang hilang yang dikaitkan dengan suspek sama.
Ditanya mengapa banyak laporan orang hilang yang dibuat sebelum ini tidak disiasat, Ismail yang mengaku turut menerima banyak pertanyaan mengenainya, berkata beliau akan memastikan semua aduan orang hilang disiasat secara serius.
“Jika pegawai atau anggota saya didapati tidak memandang serius kes orang hilang, saya akan pastikan tindakan tegas diambil terhadap mereka,” katanya.

Suspek utama ada 7 aduan jenayah komersial

Polis mengenal pasti suspek peguam dalam pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya mempunyai tujuh laporan jenayah komersial yang membabitkan jumlah RM7.1 juta sejak 2005.
Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar, berkata maklumat itu diperoleh daripada siasatan polis dan penilaian semula kes yang dilaporkan di Ibu Pejabat Daerah Polis (IPPD) Kuala Langat.
Sementara itu, mengulas kes kehilangan dua individu sebelum ini, beliau berkata, kes pembunuhan seorang gadis 19 tahun dan ahli perniagaan dari Chennai, India, S Usharani, 24, yang akan disiasat.
Katanya, siasatan kes kehilangan ahli perniagaan itu baru bermula kerana isteri mangsa hanya membuat laporan polis pada 8 September lalu.
Bagi kes kedua pula, Khalid berkata, pihaknya tidak pernah menutup kes terbabit, sebaliknya polis masih belum menemui petunjuk bagi membantu siasatan.
“Apabila suami wanita yang hilang dipanggil memberi kenyataan buat kali kedua, kami mendapati beliau menceritakan apa yang berlaku seperti diterangkan kepada pihak media,” katanya ketika mengiringi Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar sempena Hari Polis Bertemu Masyarakat di sini, sebentar tadi.
Khalid berkata, bagi tujuh kes jenayah komersial dan kehilangan dua individu sebelum ini akan disiasat polis Selangor, manakala kes Sosilawati akan disiasat polis Bukit Aman dan Kuala Lumpur.

16 anjing ganas

Suspek utama kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain membela 16 anjing rottweiler bagi mengawal ladangnya di Ladang Gadong, Tanjung Sepat, di sini selain digunakan untuk menakutkan mangsa jika enggan mengikut arahan.
Semua mangsa suspek dikatakan diugut akan dicampak ke dalam kandang anjing berkenaan sekiranya tidak mahu bekerjasama atau enggan mematuhi arahan.
Difahamkan, ladang berkenaan juga mempunyai beberapa unit rumah seakan chalet menempatkan sebuah rumah yang eksklusif dan kolam renang.
Sosilawati dan rakannya juga dipercayai ditakutkan dan diugut akan dicampak ke dalam kandang anjing berkenaan. Malah, semua mereka dipercayai dibunuh selepas suspek berpendapat sukar mengawal mereka.
Semua mangsa dibelasah dengan kayu kriket sebelum dibunuh seorang demi seorang. Mayat mangsa dibakar sebelum abunya dibuang ke dalam sungai dengan tujuan melupuskan bukti.
Menurut sumber, sebelum ini pernah seorang lelaki dicampak suspek ke dalam kandang anjing berkenaan selepas ingkar arahan membabitkan satu urus niaga.
Suspek yang juga seorang peguam berstatus Datuk berusia 41 tahun ditahan serta adiknya berusia 38 tahun pada 11 September lalu bersama enam lain termasuk dua wanita sebelum kes pembunuhan kejam dilakukannya terbongkar.
Berdasarkan maklumat, suspek memiliki kekayaan melampau dalam akaun berjumlah jutaan ringgit di dalam dan luar negara, selain hartanah antaranya dua unit rumah semi-D di Banting, unit apartmen di Taman Kinrara, ladang ternakan ayam, lembu dan kambing di Batu Laut, Morib dan rumah sewa di Taman Cempaka.
Malah, kes pembunuhan Sosilawati juga ada kaitan dengan suspek kerana sebelum kejadian, berlaku transaksi bernilai jutaan ringgit daripada akaun jutawan itu ke dalam akaun milik suspek.
Sumber polis berkata, polis tidak menolak kemungkinan berlaku kes peras ugut berikutan penemuan bukti transaksi wang ke dalam akaun bank milik suspek yang ditahan polis berkenaan sepanjang tempoh kehilangan Sosilawati bersama tiga lain.
“Susulan penemuan wang terbabit, semua aset dan wang milik suspek utama terbabit akan dibekukan. Polis akan menggunakan Akta Anti Pengubahan Wang Haram 2001 (AMLA) dalam usaha mengesan sumber wang terbabit diperoleh,” katanya.
Berdasarkan maklumat, peguam terbabit sebelum ini dipercayai pernah beberapa kali berurusan dengan Sosilawati, 47, berhubung urusan jual beli hartanah termasuk terbaru membabitkan tanah di Pulau Pinang.
Difahamkan, tanah berkenaan sebelum ini dibeli Sosilawati anggaran RM25 juta sebelum mahu dijual RM200 juta berikutan harga pasaran semasa meningkat.

Update 15 September 2010

Kunci kereta ditemui dipercayai milik jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya

Sepasukan polis menemui ‘objek’ dipercayai kunci kereta selepas dua daripada lapan suspek yang ditahan dibawa ke lokasi asal penemuan kereta mewah jenis BMW X5 milik jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya, 47 di Apartmen Angsana, USJ 1 di sini, semalam.
Polis tiba di lokasi berkenaan kira-kira jam 7.25 malam sebelum dua suspek terbabit membawa mereka ke kawasan semak kira-kira 50 meter dari tempat letak kenderaan apartmen itu.
Selepas 30 minit, suspek berpakaian lokap terbabit berhenti sambil diiringi polis di satu kawasan sebelum pemeriksaan lanjut menemui objek dipercayai kunci kenderaan mewah berkenaan dipercayai dibuang suspek.
Sementara itu, semua mangsa dalam kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya, 47, dan tiga lelaki lain dikatakan pada mulanya dipukul dengan kayu kriket dan senjata tumpul lain dengan tujuan melemahkan mereka sebelum tangan diikat menggunakan dawai.
Difahamkan semua mangsa yang dalam keadaan lemah itu dikatakan dibunuh seorang demi seorang dan tugas kejam terbabit diserahkan kepada seorang daripada lapan lelaki yang ditahan bagi membantu siasatan polis berhubung kes kehilangan empat mangsa itu.
“Tubuh mereka dilumur dengan tahi lembu sebelum semua mangsa dibakar bagi menghilangkan bukti kes pembunuhan kejam terbabit.
“Suspek yang melakukan perbuatan ini boleh dianggap kejam dan langsung tidak berhati perut kerana membiarkan mangsa menderita sebelum menemui ajal.
“Malah, mereka diperlakukan umpama haiwan hanya kerana sikap suspek yang dikatakan terlalu tamak dengan wang ringgit,” katanya.
Difahamkan, tahi lembu digunakan untuk mempercepatkan proses pembakaran semua mangsa terbabit dengan tujuan menghilangkan bukti bagi mengelak perbuatan mereka dihidu.
Harian Metro semalam melaporkan polis menemui pisau dipercayai digunakan kumpulan pembunuh itu yang dibuang dalam sungai selepas seorang daripada suspek memberikan maklumat kepada polis.
Turut dibuang bersama pisau itu adalah abu mayat semua mangsa yang dihanyutkan dalam Sungai Panchau, serta beberapa parit kecil berhampiran di mana arusnya mengalir ke laut.
Harian Metro turut difahamkan semua pekerja di ladang terbabit warga tempatan dan mereka dikatakan menerima ‘habuan’ berbentuk wang ringgit daripada peguam bergelar Datuk itu.
Malah, perbuatan kejam ini bukanlah kali pertama dilakukan kumpulan pembunuh berkenaan dan mereka juga sebenarnya disifatkan sebagai tidak profesional namun faktor bernasib baik, lebih memihak kepada mereka.
Menurut sumber, kehilangan beberapa lagi individu yang pernah dilaporkan sebelum ini selepas berurusan dengan peguam terbabit dipercayai turut menjadi mangsa pembunuhan kumpulan berkenaan.
“Mungkin selama ini mereka terlepas dari sebarang tindakan kerana kerja yang dilakukan mereka itu agak teliti dan menghapuskan bukti dengan cara membakar mangsa.
“Namun, dalam kes terbaru ini, polis menemui beberapa petunjuk yang boleh dijadikan sebagai ‘kunci’ bagi mengesan perbuatan kejam dilakukan kumpulan pembunuh itu,” katanya.
Susulan daripada itu, polis menahan lapan suspek termasuk dua wanita sejak Jumaat lalu berusia antara 19 hingga 45 tahun bagi membantu siasatan selain beberapa lagi bahan bukti yang digunakan semua suspek.

Update 14 September 2010

Lagi bukti pembunuhan

Empat daripada lapan suspek kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain turut disyaki terlibat dengan pembunuhan seorang kakitangan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) pada 8 Mac lalu.
Sehubungan itu, empat suspek tersebut yang ditahan oleh Polis Bukit Aman diserahkan kepada Polis Daerah Gombak untuk disoal siasat dalam kes pembunuhan K. Celladuran, 50, yang bekerja di Unit Perancangan Setinggan MPS.
Celladuran mati ditembak oleh dua lelaki pada kira-kira pukul 7.20 pagi ketika keluar dari rumahnya di Jalan 40, Selayang Baru dekat sini untuk ke pejabat.
Polis dalam kenyataan sebelum ini juga tidak menolak kemungkinan suspek yang menembak Celladuran adalah individu sama terlibat dalam kes tembak seorang lelaki di Jalan Puchong berdekatan IOI Mall dekat sini pada 4 Mac lalu.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah berkata, keempat-empat suspek itu diserahkan kepada pihaknya semalam.
“Sama ada benar mereka adalah suspek yang dikehendaki dalam kes bunuh Celladuran belum dapat dipastikan kerana kita masih jalankan siasatan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Pada 11 Mac lalu, Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar dalam satu kenyataan tidak menolak kemungkinan suspek yang menembak Celladuran adalah individu sama terlibat dalam kes tembak seorang lelaki di Jalan Puchong.
Menurutnya, kemungkinan itu wujud berdasarkan modus operandi pembunuhan yang sama dalam kedua-dua kejadian tersebut.
Berikutan itu, kata Khalid, polis telah menubuhkan pasukan khas untuk menyiasat secara terperinci dua kes pembunuhan itu.
Katanya, sebanyak 15 keterangan telah diambil daripada saksi-saksi kes pertama di Jalan Puchong manakala 10 keterangan diambil bagi kes Celladuran.
Dalam pada itu, kelapan-lapan suspek tersebut termasuk seorang peguam bergelar Datuk berusia 41 tahun dan adiknya turut dikaitkan dengan kes kehilangan empat lagi mangsa lain.
Empat mangsa lain yang dilaporkan hilang dan dipercayai dibunuh menggunakan modus operandi yang sama dengan pembunuhan Sosilawati ialah seorang gadis berusia 19 tahun; ahli perniagaan dari Chennai, India, S. Usharani, 24; dan dua ahli perniagaan berketurunan Melayu dari Kuala Lumpur.
Sosilawati, 47, bersama pembantu peribadinya, Kamaruddin Shamsudin, 44; peguam peribadi, Ahmad Kamil Abd. Karim, 32, dan pegawai Bank CIMB, Noorhisham Mohammad, 38, dilaporkan hilang sejak 30 Ogos lalu.
Kelmarin, polis mengesahkan berdasarkan pengakuan empat suspek, keempat-empat mangsa telah dipukul sampai mati sebelum dibakar dan abunya dibuang ke dalam sungai berhampiran Ladang Gadong, Banting di Selangor.

Update 13 September 2010

Misteri Kehilangan Datuk Sosilawati Lawiya: Bunuh, bakar, buang

Abu mayat ditabur ke sungai bagi hapus bukti pembunuhan

lokasi pembunuhan datuk sosilawati lawiya
Lokasi Pembunuhan Datuk Sosilawati Lawiya


BANTING: Jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain dipukul sampai mati, sebelum mayat mereka dibakar dan abunya dibuang ke dalam sungai di Ladang Gadong, Tanjung Sepat di sini.


tulang datuk sosilawati lawiya
Add caption
ANGGOTA forensik meneliti tulang yang dikutip dari Sungai

Panchau di Kancong Laut, Tanjung Sepat, Banting, semalam.
Keempat-empat mereka dipercayai diculik pada 30 Ogos lalu, dibunuh kemudian dibakar di kandang ternakan yang dikelilingi tembok di ladang kelapa sawit itu, manakala abu mereka dibuang ke Sungai Panchau, kira-kira dua kilometer dari tempat pembunuhan. Polis mengesyaki motif pembunuhan ada kaitan dengan satu urus niaga tanah, selain hal kewangan.
Misteri kehilangan Sosilawati, 47, bersama pemandunya, Kamaruddin Shansuddin, 44; pegawai CIMB Bank cawangan Kampung Baru, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguamnya, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, sejak 30 Ogos lalu terungkai selepas polis menahan lapan individu berusia 19 hingga 41 tahun, termasuk dua wanita sejak Jumaat lalu.

Mangsa dipukul hingga mati sebelum dibakar


suspek kes bunuh datuk sosilawati lawiya
Add caption
SALAH seorang suspek kes bunuh Sosilawati dibawa ke Balai Polis Bukit Jalil, Kuala Lumpur.


Turut ditahan yang disyaki suspek utama, seorang peguam yang juga ahli perniagaan bergelar Datuk dan adiknya, juga seorang peguam serta enam pekerja mereka. Semua mereka ditahan reman sehingga 18 September ini.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Bakri Zinin, mengesahkan semua suspek disyaki terbabit dalam pembunuhan empat mangsa itu dan menegaskan lebih banyak tangkapan akan dibuat dalam tempoh terdekat.
“Mereka mengaku melarikan, memukul hingga mati dan membakar keempat-empat mangsa sebelum menabur abu mayat di sungai berhampiran dengan tujuan menghapuskan bukti, termasuk barangan peribadi mangsa dan senjata digunakan,” katanya.
Mohd Bakri berkata, walaupun tiada mayat ditemui, namun pengesahan dibuat berdasarkan pengakuan suspek yang ditahan.
Beliau berkata, selain pengakuan mereka, polis juga memperoleh petunjuk kukuh jutawan itu dan tiga rakannya adalah mangsa pembunuhan berdasarkan penemuan beberapa barangan peribadi milik mereka daripada suspek dan di tempat kejadian.
Ia termasuk penemuan seutas jam tangan mewah yang dipakai pengasas produk kecantikan Nouvelle Visages itu ketika dilaporkan hilang daripada suspek utama.
“Hasil soal siasat suspek, mereka membawa polis ke pusat ternakan itu yang dikelilingi tembok di ladang kelapa sawit milik suspek utama di mana semua mangsa dibunuh.
“Pemeriksaan lanjut polis menemui tempat pembakaran, termasuk kesan dan bau kuat petrol, selain sisa pembakaran dipercayai sisa mayat,” katanya pada sidang media di sini, semalam.
Mohd Bakri sebelum itu meninjau lokasi tempat pembunuhan yang terletak kira-kira 18 kilometer dari pusat bandar Banting.
Dua suspek yang berpakaian lokap polis turut dibawa ke tempat kejadian pagi semalam bagi membantu siasatan.
Ketika diminta menjelaskan keadaan di tempat pembunuhan, Mohd Bakri berkata ia dikelilingi tembok, ada pokok kelapa sawit serta beberapa kandang kambing dan bangsal lembu.
“Orang luar tidak akan dapat lihat sekiranya apa-apa berlaku di sebalik tembok itu,” katanya.
Mohd Bakri juga mengesahkan polis turut menyiasat ‘Datuk’ itu mengikut Akta Pengubahan Wang Haram berikutan ada maklumat beliau memiliki kekayaan luar biasa yang disyaki diperoleh secara tidak sah.
Beliau berkata, pengesahan rasmi identiti semua mangsa hanya akan dibuat selepas mendapat laporan penuh pasukan forensik dan Jabatan Kimia yang masih mengumpul bukti, termasuk sisa mayat, abu dan tulang di tempat pembunuhan dan Sungai Panchau.
Sementara itu, sumber memberitahu Berita Harian, masalah perniagaan yang turut membabitkan soal kewangan menjadi motif pembunuhan Sosilawati.
Sumber itu juga berkata, berlaku transaksi wang dari akaun Sosilawati kepada akaun salah seorang suspek ditahan sepanjang tempoh Sosilawati hilang.
“Suspek utama dipercayai bertindak sebagai broker dalam urus niaga tanah dan diperkenalkan kepada Sosilawati oleh seseorang yang rapat dengannya.
datuk sosilawati lawiya

4 mengaku bunuh, bakar Datuk Sosilawati Lawiya

BANTING – Empat pekerja ladang buah-buahan dan ternakan milik seorang peguam bergelar Datuk mengaku terlibat membunuh dan membakar Datuk Sosilawati Lawiya, 47, dan tiga lelaki bersama jutawan kosmetik itu di Ladang Gadong, Tanjung Sepat di sini.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Bakri Zinin berkata, berdasarkan pengakuan empat daripada lapan lelaki yang ditahan reman itu, polis kemudian berjaya menemui lokasi empat mangsa yang dipercayai ditahan, dibunuh dan dibakar di ladang ternakan tersebut.
“Kesemua lelaki terbabit mengaku membawa mangsa ke ladang seluas empat hektar itu sebelum dipukul sehingga mati dan mayat mereka kemudian dibakar.
“Abu mayat mangsa kemudian dibuang ke sebatang sungai berhampiran sebuah ladang ternakan di situ,” kata beliau pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat dekat sini semalam.

Update 12 September 2010

Misteri kehilangan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya, 47, dan tiga lagi lelaki sejak 30 Ogos lalu, hampir terungkai dengan tertangkapnya tujuh suspek yang dipercayai terlibat dalam kes tersebut.
Difahamkan, seorang daripada suspek yang ditahan merupakan peguam bergelar Datuk berusia 40-an yang dinamakan polis sebagai suspek paling dikehendaki dalam kes kehilangan usahawan wanita terbabit bersama tiga yang lain.
Hasil soal siasat ke atas suspek, polis mendapat maklumat bahawa kesemua mangsa sudah dibunuh dan dibakar manakala abu mayat mereka dibuang ke dalam laut di Pantai Morib, Selangor.

Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga orang lagi mati dibunuh?

BANTING: Polis mengesahkan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya, 47, dan tiga orang lagi mati dibunuh dan kesemua mayat mereka dibakar sebelum abunya dibuang di sebuah sungai berhampiran Ladang Gadong, Tanjong Sepat di sini.
Bagaimanapun, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Bakri Zinin, berkata polis masih perlu mendapatkan pengesahan forensik untuk mengesahkan sepenuhnya perkara tersebut.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Daerah Banting di sini, hari ini.Tiga lagi individu ialah pemandu, Kamaruddin Shamsudin, 44, pegawai bank CIMB Kampung Baru, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam peribadi, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32.
Mereka dilaporkan hilang sejak 30 Ogos ketika berada di Banting untuk urusan pembelian tanah. – Bernama

Peguam, adik dan enam pekerja ditahan

BANTING – Polis menahan seorang peguam bergelar Datuk dan adiknya serta enam pekerja kebun kelapa sawit milik mereka di mana jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga lagi dipercayai dibunuh.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Bakri Zinin berkata, kesemua suspek dipercayai terlibat membunuh mangsa sebelum mayat mereka dibakar dan abunya dibuang ke dalam sebuah anak sungai berhampiran Ladang Gadong, Tanjong Sepat di sini.
Bercakap pada sidang media di Ibu Pejabat Daerah Kuala Langat di sini, Mohd. Bakri berkata, polis membuat tangkapan pertama pada 10 September melibatkan lima orang.
Semalam, Datuk itu dan adiknya yang juga seorang peguam dan berpusat di sini ditahan, manakala seorang lagi suspek ditahan hari ini.
Beliau berkata, hasil penyiasatan polis, mereka mengaku bertanggungjawab dalam membawa kesemua mangsa ke kebun kelapa sawit itu seluas 1.6 hektar, sebelum memukul sehingga mati dan membakar mayat kesemua mangsa.
Selain Sosilawati, turut dibunuh pemandunya Kamaruddin Shamsudin, 44, serta pegawai bank CIMB Kampung Baru, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam peribadi Ahmad Kamil Abdul Karim, 32.
Mereka dilaporkan hilang sejak 30 Ogos semasa berada di Banting untuk urusan pembelian tanah.
Bagaimanapun, Mohd. Bakri berkata, beliau tidak dapat mengesahkan tarikh sebenar kesemua mereka dibunuh, tetapi ia mungkin di antara tarikh mereka dilaporkan hilang pada 30 Ogos sehinggalah semalam.
Mengenai motif kejadian, beliau berkata, ia lebih ke arah saingan perniagaan dan urus niaga kewangan di antara suspek utama (kedua-dua peguam) dan Sosilawati. – Bernama
Aku tak nak buat andaian mahupun spekulasi tersendiri samaada sahih mahupun tidak bahawa Datuk Sosilawati Lawiya dibunuh. Apa yang aku sampaikan ialah perkongsian dari berita media tempatan. Sama-samalah kita berdoa semoga semuanya dalam keadaan yang baik dan dipermudahkan OlehNya. Nantikan update kes Datuk Sosilawati Lawiya yang seterusnya…

AMUKANMELAYU -  hilangnya seorang PAHLAWAN Keusawanan Melayu...