Nasib Parti-Parti Serpihan di Malaysia
Seawal tahun 1960-an politik Malaysia merakamkan kelahiran parti serpihan. Semasa Singapura masih dalam gagasan Persekutuan Malaysia, sebuah parti serpihan iaitu Parti Demokratik Bersatu atau United Democratic Party (UDP) ditubuhkan pada 1962 oleh Tun Dr. Lim Chong Eu, bekas Presiden MCA (1958–1959), selepas beliau meletak jawatan dan meninggalkan MCA pada Disember 1960.
Chong Eu kemudiannya membubarkan UDP untuk mengasaskan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) pada 24 Mac 1968 bersama-sama dengan beberapa aktivis kesatuan sekerja seperti Tan Chee Khoon dan profesor universiti Syed Hussein Al-Atas dan Wang Gunwu.
Dalam sejarah parti Gerakan sendiri pula lahirnya Parti Keadilan Masyarakat Malaysia (Pekemas). Pekemas pada mulanya ditubuhkan sebagai parti serpihan daripada parti Gerakan pada tahun 1971, berikutan percanggahan pendapat sesama ahli parti dan diasaskan oleh Tan Chee Khoon bersama Syed Hussein Alatas. Pekemas pernah bertanding dalam Pilihan Raya Umum (PRU) 1974 untuk kerusi-kerusi Parlimen Pasir Puteh dan Kota Bharu tetapi tidak berjaya.
Parti UMNO sendiri banyak melahirkan parti serpihan dalam sejarahnya. Parti Melayu Semangat 46 atau Semangat 46 (S46) contohnya merupakan sebuah parti politik serpihan UMNO ditubuhkan pada 1988 selepas kekalahan Tengku Razaleigh Hamzah menentang Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad merebut jawatan Presiden UMNO dengan majoriti 43 undi.
Tengku Razaleigh menubuhkan Parti Semangat 46 bersama dengan Datuk Seri Utama Rais Yatim. Manakala Dr. Mahathir menubuhkan UMNO Baru ketika itu, untuk menggantikan UMNO yang diharamkan sebelumnya.
Selepas Semangat 46 dibubarkan pada bulan Mei 1996, Tengku Razaleigh dan Rais Yatim kembali menyertai UMNO Baru. Ketika itu pun Dr. Mahathir turut menyeru Pas supaya mengikut jejak S46 dan menyertai UMNO demi menyatukan semula bangsa Melayu di bawah satu parti.
DAP juga turut melahirkan parti Serpihan. Parti Demokratik Malaysia atau singkatannya PDM merupakan sebuah parti politik yang ditubuhkan pada tahun 1998 oleh Wee Choo Keong selepas beliau disingkirkan oleh DAP. Dalam sejarah PDM, parti ini pernah bertanding dalam PRU 1999 dan 2004 tetapi gagal memenangi mana-mana kerusi, sama ada di peringkat Parlimen ataupun Dewan Undangan Negeri (DUN). Pendaftarannya ditarik balik pada tahun 2010 oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS).
PKR juga mempunyai Serpihan parti iaitu Parti Reformasi Insan Malaysia (PRIM) atau Malaysian Peoples Reform Party yang ditubuhkan oleh P. Uthayakumar, seorang aktivis dan peguam hak asasi manusia yang meninggalkan PKR yang dikenal dengan nama Parti Keadilan Nasional (KeADILan) sebelum PRU 1999 kerana mendakwa parti itu mengamalkan diskriminasi dalam pemilihan calon keturunan India.
Walaupun pendaftannya tidak pernah diluluskan, gerakan perjuangan PRIM dan pemimpin aktivisnya P. Uthayakumar membawa kepada tertubuhnya Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (Hindraf) serta tercetusnya perhimpunan bantahan besar-besaran pertubuhan itu pada 25 November 2007. Hindraf akhirnya diharamkan, Uthayakumar kemudian menubuhkan dan mendaftarkan lagi sebuah parti politik baharu dikenali Parti Hak Asasi Manusia (HRF) pada 19 Julai 2009.
Manakala melalui serpihan Parti Sosialis Rakyat Malaysia (PSRM) muncul Parti Sosialis Malaysia (singkatan: PSM) merupakan sebuah parti politik berideologikan sosialisme di Malaysia.
PSM merupakan parti serpihan Parti Rakyat Malaysia (PRM) lantaran parti itu yang menggugurkan 'Sosialis' daripada nama asalnya PSRM.
PSM ini ditubuhkan pada tahun 1998, tetapi pendaftaran parti ini selalu ditolak dengan alasan "mengancam keselamatan negara." Akhirnya pada 10 September 2008, parti ini berjaya didaftar dan wakil rakyat parti ini mula mewakili parti ini di DUN.
Lain-lain parti serpihan umum termasuklah; Parti Cinta Malaysia (PCM) atau Love Malaysia Party yang ditubuhkan pada 6 Ogos 2009, berpangkalan di Bukit Mertajam, Pulau Pinang.
PCM dikatakan sebuah parti pelbagai kaum yang mesra-BN. Ia ditubuhkan sebagai ruang alternatif bagi ahli-ahli politik pro-BN tetapi tidak berpuas hati dengan pemimpin parti masing-masing seperti Chua Soi Lek daripada MCA, Tiong King Sing daripada Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) dan Huan Cheng Guan daripada Gerakan ketika itu.
Buat pertama kalinya, mereka bertanding dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak 2011, dengan mengemukakan lima calon. Namun begitu, kesemua mereka tewas dalam pilihan raya tersebut.
Parti Serpihan Pas
Dalam sejarahnya, kerajaan Pas pada permulaan dilihat sebagai satu-satunya pembangkang yang diberikan kepercayaan oleh rakyat. Pada saat awal landskap politik negara pertama kali menghadapi cabaran yang rumit, menjadikan Pas mula semakin lemah seawal zaman berdepan dengan Konfrantasi Indonesia pada 1963 dan ketika negara menghadapi isu-isu perkauman yang akhirnya membawa kepada beberapa siri perbalahan kaum di Pulau Pinang, Perak dan Singapura antara 1964 hingga 1969, yang akhirnya mencetus Tragedi 13 Mei 1969.
Bemula di sini, Pas merakam sejarah perpecahan yang tersendiri. Dalam perpecahan berkenaan lahirlah parti-parti serpihan seperti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa yang diasaskan oleh Datuk Muhamed Nasir, bekas Menteri Besar Kelantan 1977 ketika beliau dipecat oleh Pas. Pemecatan Mohamed Nasir disebabkan sebahagiannya oleh krisis dalam parti campuran dengan BN di Kelantan.
Dalam era 1980-an kumpulan ulama agama mengambil alih kepimpinan pusat Pas daripada puak nasionalis pada Muktamar Pas ke-28, 1982. Selepas itu muncul pula parti serpihan dengan nama Parti Hizbul Muslimin Malaysia (Hamim) merupakan parti serpihan Pas yang telah ditubuhkan pada 24 Mac 1983 oleh Tan Sri Dr. Asri Muda, bekas Presiden Pas yang meninggalkan parti itu pada 23 Februari 1983 selepas kegagalan PAS merampas semula kerajaan negeri Kelantan dalam PRU 1982. Lantaran itu Hamim diasaskan sebagai alternatif kepada Pas dan telah menyertai BN.
Nasib Parti-Parti Serpihan Pas
Pas dalam turun naik pencapaiannya dalam politik Malaysia merakamkan silih ganti interaksi politik dengan parti-parti serpihan Pas. Kelihatannya parti-parti serpihan Pas ini masih berlegar dalam kemelut politik tanah air sehingga hari ini dengan tahap kecapaian yang rendah.
Pas setelah melalui tempoh yang mencabar antara 1978 hingga 1982 di mana Pas terpaksa berhadapan dengan perpecahan dan kehilangan kuasa pemerintahan. Selepas itu Pas mengambil jalan menggerakkan kepemimpinan ulama dengan Tuan Guru Yusof Rawa telah diangkat untuk memimpin Pas bagi menggantikan Datuk Mohd Asri yang meletakkan jawatan.
Era pertama gerakan kepimpinan ulama Pas ini menzahirkan permusuhan hebat dengan UMNO dengan cabaran Debat Terbuka PAS-UMNO pada 1984 dan tercetus pula tragedi Memali 1985 yang mengorbankan 14 orang ahli Pas.
Pada saat ini nasib parti-parti serpihan Pas juga timbul tenggelam.Parti serpihan yang muncul 1970-an dan 1980-an didapati masih bergerak dengan peranan yang tidak signifikan. Contohnya pada pilihan raya umum 1986, Hamim menjadi parti mesra BN telah bertanding dua kerusi Parlimen dan 4 DUN (menang 1 Parlimen (Bachok) dan 2 DUN (Chetok dan Meranti).
Selepas Datuk Asri dan kumpulannya gagal dalam usaha untuk membubarkan Parti Hamim dalam muktamar khas, beliau akhirnya bersama kumpulannya (termasuk Ahli Parlimen Bachok dan ADUN Chetok) telah meletak jawatan dan keluar daripada Hamim pada 17 November 1988.
Era yang merakamkan UMNO menghadapi krisis kepemimpinan 1987 sehingga parti tersebut diharamkan telah memberi peluang baik kepada Pas. Yang Dipertua Agung Pas, Ustaz Fadzil Mohd Noor memanfaatkan kesempatan ini dengan mewujudkan kerjasama politik dengan serpihan UMNO, Semangat 46 yang membolehkan Pas berkuasa semula di Kelantan. Ketua Dewan Ulama Pas (kemudian Mursyidul Am Pas), Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat diberikan kepercayaan untuk memimpin kerajaan Kelantan semenjak 1990. Dengan dasar "Membangun Bersama Islam".
Ketika ini parti serpihan Pas iaitu Berjasa, pada 1989 ini juga turut menyertai APU di bawah S46 hinggalah APU dibubarkan pada 1996 apabila Tengku Razaleigh mengambil keputusan menyertai UMNO semula. Sejak itu, Berjasa dikatakan hanya berada di pinggir politik Malaysia
Manakala parti serpihan Pas kedua iaitu Hamim pula ketika itu berterusan dalam krisis. Antara lain melalui Muktamar Hamim pada tahun 1989 berlaku pertandingan bagi jawatan Presiden hinggalah ke jawatan MPP,di mana jawatan Presiden dimenangi oleh Datuk Sudin Wahab dan jawatan Timbalan Presiden pula dimenangi oleh Datuk Nik Man Nik Mohamad dari Kelantan. Selepas kalah dalam pertandingan bagi jawatan Presiden Hamim maka Abd Wahab Yunus mengambil keputusan bersama kumpulannya untuk keluar daripada Parti Hamim dan seterusnya menubuhkan satu lagi parti baru iaitu Parti Ikatan Masyarakat Islam Malaysia(Ikatan).Sebelum PRU 1990 kepimpinan baru Hamim mengambil keputusan untuk keluar pula daripada Barisan Nasional dan seterusnya turut menyertai Angkatan Perpaduan Ummah (APU) melalui pilihan raya umum 1990.
Parti serpihan Hamim menyertai gabungan pembangkang APUbersama-sama Pas, Semangat 46, Berjasa, Parti Hizbul Muslimin Malaysia (Hamim), dan Kongres India Muslim Malaysia (Kimma). Hamim hanya memenangi satu kerusi DUN sahaja di Negeri Kelantan untuk membentuk kerajaan campuran APU di Kelantan. Pada PRU 1995 sekali lagi Hamim mengemukakan calonnya di DUN Paya Jaras dan DUN Pengkalan Kubor di Parlimen Tumpat bertanding atas tiket Parti Semangat 46 namun tewas ditangan calon UMNO iaitu Cikgu Mat Nawi dengan majoriti 1,289 undi.
Pada masa ini juga sebuah lagi parti serpihan Pas iaitu Angkatan Keadilan Insan Malaysia (AKIM) yang sekarang dikenali sebagai Parti Kesjahteraan Insan Tanah Air (KITA), parti serpihan Pas pada tahun 1995. Berikutan percanggahan pendapat sesama ahli parti itu terdapat beberapa ahli Semangat 46 yang turut menyertai AKIM berikutan pembubarannya pada tahun 1996. AKIM bertanding dalam pilihan raya umum 1999 untuk kerusi-kerusi Parlimen Pasir Putih dan Kota Bharu, tetapi tidak berjaya.
Pada 1996, di saat Pas mula berkrisis dengan Parti Melayu Semangat 46 yang menyebabkan Angkatan Perpaduan Ummah (APU) yang dibentuk pada 1989 berpecah.Dua tahun kemudian, UMNO sekali lagi menghadapi perpecahan ekoran pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyebabkan wujudnya gerakan Reformasi. Pas telah memimpin Majlis Gerakan Keadilan Rakyat Malaysia (GERAK) kemudian menubuhkan Barisan Alternatif (BA) pada 1999. Melalui BA, Pas berjaya merampas semula Terengganu dengan Datuk Seri Abdul Hadi Awang dilantik mengetuai kerajaan Terengganu sehingga 2004.
Di saat Pas bangkit semula pada 2008 parti-parti serpihan Pas makin berherak malap. Kelihatan beberapa pengelibatan parti serpihan sahaja ketika ini berinteraksi dalam zaman dikatakan politik baharu. Berjasa contohnya, pada PRU ke-13, semua calon Berjasa kalah manakala penglibatan-penglibatan lain parti serpihan Pas antaranya ialah melalui PRK.
Sebagai contoh Hanafi Mamat selaku presiden AKIM bertanding dalam PRK Permatang Pauh, tetapi hanya berjaya meraih 92 undian dan kehilangan deposit RM 15,000. Beliau bertanding hanyalah dengan mesej agar pilihan raya kecil itu dijadikan landasan untuk mendedahkan partinya kepada umum. Manakala dalam perkembangan lainnya pada akhir 2010, Datuk Zaid Ibrahim, seorang bekas pemimpin parti UMNO dan PKR, dilantik sebagai Presiden baharu parti ini (kemudiannya dipanggil "Ketua Parti") dalam sebuah mesyuarat yang turut menyaksikan perubahan perlembagaan baharu dan nama baharu parti menjadi "Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air" (KITA) dan dilancarkan secara rasminya pada 19 Januari 2011 oleh Ketua Parti baharunya di Kuala Lumpur.
Sebagai kesimpulannya, dalam politik negara kebanyakan parti serpihan dalam sejarahnya tidak bersifat kekal lama malah banyak yang berkubur dan tidak lagi menarik perhatian rakyat dan pengundi. UDP contohnya dibubarkan manakala Pekemas yang diasaskan oleh Tan Chee Khoon dan Syed Hussein Alatas tidak berjaya menghadapi pilihan raya 1970 dan akhirnya senyap begitu sahaja. Semangat 46 pula dibubarkan pada bulan Mei 1996 dengan Tengku Razaleigh dan Rais Yatim kembali menyertai UMNO Baru.
Begitu juga halnya dengan Parti Demokratik Malaysia (PDM) serpihan DAP turut hilang dari pentas politik negara. Gerakan perjuangan PRIM pemimpin aktivisnya Uthayakumar juga hilang dengan membawa kepada tertubuhnya Hindraf yang akhirnya menubuh sebuah lagi parti politik baru dikenal HRF pada 19 Julai 2009 yang juga turut senyap di persada politik Malaysia.
Begitu juga halnya dengan parti-parti serpihan Pas.Walaupun Kelihatannya parti-parti serpihan Pas ini masih berlegar di pentas politik tanah air sehingga hari ini namun pada tahap kecapaian yang rendah dan tidak signifikan. Semua parti serpihan Pas termasuk Berjasa, Hamim dan AKIM juga kelihatan bergerak lesu atau bergerak dalam kemalapan, tidak berjaya dan sekadar di pinggiran