Tunku Ismail Sultan Ibrahiim
Tunku Ismail Sultan Ibrahiim
Pertemuan tersebut, yang akan dibuat sama ada di Kuala Lumpur atau Johor, juga bertujuan menggesa individu-individu tertentu berundur dan memberikan tugasan tersebut kepada mereka yang lebih berkaliber, dedikasi serta berintegriti menerajui FAM termasuk pengurusan pasukan kebangsaan.
Pertemuan itu diumumkan menerusi akaun Facebook rasmi JDT, Johor Southern Tigers (JST) hari ini.
“Seperti mana titah DYAM Tunku Mahkota Johor (Tunku Ismail), individu yang akan menerajui FAM dan pasukan kebangsaan mestilah layak dan berkaliber serta diterima oleh semua pihak termasuk semua penyokong bola sepak tanah air,” kata kenyataan itu.
Kenyataan terbaharu itu dikeluarkan selepas tidak sampai 24 jam selepas JST mendedahkan ‘maklumat’ berkaitan ‘kelemahan’ FAM.
Dalam posting terdahulunya hari ini, JST mengeluarkan sedutan daripada maklumat yang berkemungkinan terkandung dalam pendrive yang didakwa oleh TMJ diperolehnya daripada rakan-rakan yang berkedudukan tinggi di Kuala Lumpur.
Menurut JST, maklumat berkenaan dipetik daripada halaman 3.1.2.1 dan 3.1.2.2 yang telah dicetak daripada sumber dalaman FAM dan salah satu organisasi tertinggi yang masih sayangkan bola sepak negara.
“Hanya dua daripada 279 halaman yang kami dapat kongsikan di sini atas titah DYAM TMJ oleh kerana tidak mahu menganiaya sesetengah individu dan mahu menyimpan sebahagiannya terlebih dahulu atas sebab beberapa maklumat tersebut mempunyai nama yang mampu memberi implikasi besar terhadap seseorang. Terima kasih,” kata kenyataan itu.
Semalam, TMJ mendakwa mempunyai pendrive yang mengandungi pelbagai maklumat berhubung ketirisan dan salah laku FAM.
Jelasnya, sudah tiba masa penyokong bola sepak tanah air melihat dan menilai sendiri isi kandungan pendrive tersebut.