Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, Dr. Mahathir semasa memegang tampuk pemerintahan negara juga tidak mempunyai hubungan baik de­ngan pihak lawan kerana didakwa memiliki sifat kejam serta zalim dan pernah disamakan dengan pemimpin Nazi, Adolf Hitler.
Tegas beliau, media massa pada ketika itu hanya memperbetulkan kenyataan salah yang dilemparkan kepada Dr. Mahathir dan sudah menjadi tanggungjawab mereka untuk melindungi pemimpin negara daripada terus diburukkan dengan pelbagai perkara-perkara yang tidak benar.
Menurutnya, beliau mahu Dr. Mahathir menjawab persoalan adakah mereka yang pernah membelanya suatu ketika dahulu boleh disamakan dengan Menteri Propaganda Nazi, Joseph Goebbels.
“Apabila Najib diserang secara peribadi dan dilemparkan dengan­ pelbagai perkara tidak benar, bukan sahaja blogger, kami sendiri sebagai pemimpin wajib membantu membetulkan perkara yang tidak betul,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas artikel yang dimuat naik di laman web chedet.cc kelmarin yang dipetik sebagai berkata, di bawah peme­rintahan Nazi di Jerman, menteri yang terkenal sekali ialah Joseph Goebbels, Menteri Propaganda dan tugasnya ialah mentransformasikan segala yang buruk yang dilakukan oleh rejim Nazi supaya ternampak bukan sahaja baik tetapi mulia.
Tulis Dr. Mahathir, malangnya selain daripada orang Nazi, tiada siapa pun yang mempercayai gambaran yang cuba dipamerkan Goebbels dan kementeriannya.
Presiden Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak), Tan Sri Tajuddin Abdul Rahman pula beranggapan ken­yataan dengan menggunakan elemen Nazi itu tidak lebih daripada gimik politik untuk menjatuhkan UMNO dan Barisan Nasional (BN).
Katanya, beliau merumuskan tindakan tersebut tidak akan memberi kesan kepada Najib dan ia dilakukan hanya untuk meneruskan misi politik Dr. Mahathir.
Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Syamsul Baharin Putra Ahmad Shibi pula berkata, mana mungkin apabila seorang ketua diserang, anak buah akan mendiamkan diri dan gambaran itulah yang diterjemahkan oleh penggiat media sosial dalam soal mempertahankan Najib apabila diserang musuh-musuh politiknya.