Mungkinkah Tengku Razaligh PM pertama dari Kelantan? |
Pada hujung pentadbiran Tun Hussein Onn, Ku Li dipanggil untuk suatu cadangan yang mengejutkan. Tun Hussein Onn bercadang untuk meletakkan jawatan atas alasan kesihatan dan mahu Ku Li Menggantikannya. Sekali lagi Ku Li tidak bersetuju. Walaupun tiada peruntukkan dalam perlembagaan bahawa TPM secara outomatik menggantikan PM apabila berlaku kekosongan, namun dari sudut senioriti sebagai TPM, maka adalah wajar jika Tun Hussein Onn mempertimbangkan Dr. Mahathir sebagai penggantinya. Tambahan pula, Ku Li merasakan bahawa masanya sebagai PM akan tiba jua memandangkan umurnya yang jauh lebih muda berbanding Dr. Mahathir.
Pertemuan enam mata antara Ku Li, Tun Hussein Onn dan Dr Mahathir diadakan. Dalam pertemuan ini, konsensus dicapai agar Dr. Mahathir dilantik sebagai PM manakala Dr. Mahathir pula berjanji untuk melantik Ku Li sebagai timbalannya.
KEPIMPINAN MELALUI TELADAN
KEPIMPINAN MELALUI TELADAN
KEPIMPINAN MELALUI TELADAN
Assalamualaikum dan salam sejahtera….
WHO ARE YOU |
Hari ini 16 Rabiul Akhir 1434,kita masih di bulan mulia di mana sejarah penting pernah berlaku iaitu pada tahun 4 Hijrah.Pada tahun tersebut ,kaum Yahudi Bani Nadir telah diusir dari kota Madinah.Satu lagi peristiwa penting adalah Pengepungan Damsyik – pada zaman Khalifah Abu Bakar As-Siddiq r.a diketuai oleh Abu ‘Ubaidah bin Al Jarrah dan Khalid bin Al Walid r.a tahun 14 Hijrah dan seterusnya membawa kepada pembukaan Damsyik.
Pada bulan Rabiul Akhir juga Khalifah Abu Bakar as-Siddik dan Imam Ghazali rahimullah meninggal dunia.Namun pada zaman moden ini,manusia lupa sejarah Islam.Mereka sibuk menghafal tarikh lahir Britney Spears dan menghafal lagu Gannam Style.
Ramai manusia bertanya dari mana falsafah “KEPIMPINAN MELALUI TELADAN” yang dicetuskan mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir?
"Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta dia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)".
Surah Al-Ahzab : Ayat 21
Dr M adalah seorang pemimpin bijak dan berkaliber.Walaupun beliau bukan lulusan Universiti islam Madinah seperti aku,namun beliau sering membaca buku-buku sejarah Islam dan tafsir Quran.Walaupun beliau tidak mahir bahasa arab,beliau berusaha membaca tafsir Quran melalui terjemahan Melayu dan Inggeris.
Sebagai seorang pemimpin,Dr M sering menjadikan dirinya contoh teladan kepada orang lain.Apabila “punch-card” diperkenalkan beliau,ia menunjukkan beliau mahu pegawai kerajaan mementingkan masa dan sering awal ke pejabat.
Mengikut rekod majalah Times,sepanjang 22 tahun Dr M menjadi Perdana Menteri,paling awal beliau masuk ke pejabat adalah jam 7.25 pagi dan paling lewat 7.58 pagi.Waktu kerja pejabat kerajaan pada masa tersebut adalah 8.00 pagi dan beliau tidak pernah lewat ke pejabat.
Pemimpin yang hebat adalah menjadikan dirinya contoh hebat agar dicontohi pegawai bawahan.Itulah maksud firmah Allah swt dalam ayat di atas.Rasulullah saw sebagai seorang Nabi,Rasul,pemimpin,suami,ayah,ketua keluarga,ketua perang,ahli ekonomi,pakar bahasa dan sebagainya.
Rasulullah saw sentiasa mempraktikkan apa sahaja ajaran Quran.Jika Quran mengajar supaya manusia sentiasa bercakap benar,Nabi saw mempraktikkannya.Jika Quran menyuruh manusia menjauhi fitnah,Nabi saw menjauhi memfitnah sebagaimana diajar Quran.
“LEADERSHIP FOR EXAMPLE” diperkenalkan Dr M supaya semua ketua menjadi contoh kepada orang lain.Namun amat sedikit ketua jabatan kerajaan dan swasta mempraktikkan falsafah tersebut.Ada ketua yang masuk pejabat jam 10 pagi,ada yang curi tulang,ada yang makan gaji buta,ada yang pandai menyuruh orang lain buat tapi diri sendiri tak buat kerja.
Seorang khalifah atau pemimpin itu mestilah seorang yang memiliki perwatakan dan personaliti yang sangat tinggi dan menarik. Contoh yang paling agung bagi menggambarkan seorang khalifah yang tiada tolok bandingnya ialah Junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. Baginda adalah merupakan seorang negarawan yang sempurna samada sebagai seorang pemimpin masyarakat, pemimpin angkatan tentera, pemimpin politik, pendidik (guru), perancang ekonomi, ketua rumahtangga mahupun sebagai seorang sahabat.
Ramai juga hairan dan kagum dengan Dr M.Walaupun sibuk sebagai PM,beliau berjaya menghasilkan banyak buku .Pelbagai program dan aktiviti dalam dan luar negara,namun beliau menguruskan masa dengan bijak.
Ketika aku menemui Dr M dalam pejabatnya di Yayasan Bukhary pada hari Jumaat dalam bulan Ramadhan,aku bertanya apakah masa yang beliau suka tulis?Jawab beliau “sepanjang masa”.
Dr M adalah manusia hebat.Aku walaupun suka menulis,aku tidak boleh menulis sepanjang masa seperti Dr M.
Bangsa Melayu kaya dengan pepatah dan sindiran.Ayat ketam mengajar anak berjalan adalah sindiran kepada manusia yang suka mengajar orang lain namun dirinya sendiri tidak betul.Dr M mencipta slogan KEPIMPINAN MELALUI TELADAN” agar manusia menjauhi sikap ketam.
Pada masa kini ramai pemimpin tiada sifat KEPIMPINAN MELALUI TELADAN.Mereka suruh rakyat berjimat cermat namun pemimpin sendiri menaiki kereta Ferrari dan Lamborghini berharga jutaan ringgit.Walaupun Mesir adalah sebuah negara kaya dan mencatatkan jumlah pelancong puluhan juta setahun,namun 40 juta rakyatnya berpendapatan USD1 sehari.
Walaupun Amerika kaya dengan hasil menjual senjata dan filem,namun 40 juta rakyatnya “homeless” dan tinggal di bawah jambatan dan kaki lima bangunan. Apabila harga gandum di Amerika jatuh,petani dan pekilang di Amerika sanggup membakar hasil gandum bernilai ratusan juta dolar supaya harganya naik.Mereka tidak pernah terfikir untuk mendermakan gandum kepada negara-negara miskin di benua Afrika yang kebuluran dan mati jutaan orang setiap tahun.
SLOGAN KEPIMPINAN MELALUI TELADAN mengajar kita agar sentiasa menjadi contoh terbaik.Jika ibu bapa mengamalkan bercakap benar dan tidak berbohong,maka anak-anak pun sentiasa benar dan tidak berbohong.Jika guru sentiasa ikhlas mengajar murid-murid,maka murid-murid pun ikhlas belajar.Jika seorang YB sering turun padang melawat kawasan,JKKK dan ketua kampung pun rajin menjengah hal ehwal rakyat.
Aku berkawan dengan ramai manusia dari penyapu sampah hinggalah Menteri.Aku tidak pernah mengamalkan kasta sebagaimana ramai Datok-Datok malu menegur dan bertanya khabar tukang sapu di jalanan.Bagi mereka,menegur tukang sapu akan menjatuhkan standart dan taraf mereka dan mereka lupa bahawa taraf mansuia adalah sama.Tiada seorang pun manusia boleh menahan kencing dan berak.
Pengalaman menunaikan fardhu haji pada tahun 1993 banyak menginsafkan aku.Jutaan umat Islam yang berhimpun di Arafah ,Muzalifah,Mina berpakaian serba putih.Apa pun bangsa dan taraf,semuanya berpakaian putih.Hanya beza orang kaya bermalam di hotel mewah ,manakala orang miskin ada yang bermalam di atas jambatan ketika bermalam di Mina.
Dr M adalah pemimpin yang terkenal dengan sifat merendah diri dan melayan semua manusia dengan baik sama ada drebar,tukang sapu,pembancuh kopi dan siapa sahaja.Bertanyalah kepada semua pegawai kerajaan dan pekerja pejabat di Jabatan Perdana Menteri.Beliau tidak pernah angkuh dan berasa besar kepala walaupun berjawatan Perdana Menteri.
Memang menyedihkan melihat sikap dan watak pemimpin yang tidak pernah menjadi TELADAN.Seorang pemimpin politik pernah berkata “Jika Dr M bersara,esok juga saya bersara”.Namun setelah 10 tahun Dr M telah bersara,pemimpin cap ayam tersebut masih gah menjadi Menteri Besar.Itulah pemimpin cakap tak serupa bikin.Kadangkala aku hairan bagaimana pemimpin haprak tersebut boleh menjadi Menteri?
Ramai pemimpin politik adalah PENIPU DAN PEMBOHONG.Namun Dr M adalah ahli politik yang tidak menipu sepanjang hayat beliau.Jika beliau berjanji,pasti ditunaikan.Jika bercakap mahu bersara,beliau akan bersara.Jika cakap keluar UMNO,beliau keluar UMNO.Bukan cakap siang lain,malam lain.
Pada akhir zaman ini,ramai pemimpin memakai jubah dan serban untuk menipu orang lain.Mereka berasa mereka lebih islam berbanding orang lain yang pakai seluar jeans dan tshirt seperti aku.
Ketika aku bermalam di jalan Bukit Bintang,aku bertemu seorang pelancong dari Albania.Beliau melancong ke Malaysia selepas Indonesia dan selepas ini akan ke Singapore sebelum pulang ke negaranya.Kami berbual dalam bahasa arab dan beliau hairan ,aku yang pakai seluar jeans dan tshirt dari Australia boleh bercakap arab.
Antara perkara kami bincangkan adalah isu Palestin.Aku cakap walaupun arab ada hampir 500 juta orang dalam dunia,namun mereka gagal membantu Palestin.Akibat pemimpin arab cakap tak serupa bikin,maka Palestin terus dizalimi Israel sejak tahun 1948 hingga hari ini.Aku menceritakan bagaimana Dr M banyak membantu Palestin dan dia akui apa yang aku cakap.Beliau kagum kerana Malaysia negara kecil dan tidak sekaya Arab Saudi namun berjaya membantu Palestin dalam pelbagai cara.
Aku teringat perang Arab-Israel suatu waktu dahulu.Arab hampir memenangi perang namun tindakan tentera Jordan yang tarik diri dari perang menyebabkan tentera Mesir terkepung dan kalah.Akhirnya bendera putih dikibar menamatkan perang.Sikap Jordan yang berpaling tadah telah menyebabkan mereka kehilangan sempadan dan kerugian.
Mesir bukan tidak pernah memiliki pemimpin yang hebat.Anwar Sadat adalah pemimpin Islam yang hebat.Mesir juga menghasilkan ulama’ hebat seperti Imam Hasan al-Banna yang banyak berjasa kepada Islam.Walaupun Hassan al-Banna tidak melilit serban seperti pemimpin politik cap ayam yang hanya menunjukkan serbannya sebagai tanda warak dan alim.Namun pemimpin Mesir Hosni Mubarak hanya indah khabar dari rupa.Rumah milik keluarganya di Eropah bernilai ratusan juta dolar.Bagaimana rakyat tidak memberontak jika pemimpin cap ayam cakap lain,buat lain?
Apabila aku bertemu Menteri Besar Johor di Segamat,beliau melayan aku dan anak aku dengan mesra.Walaupun bertaraf Menteri,sifat rendah diri dan ramah menyebabkan aku kagum dengan pemimpin Johor itu.Walaupun beliau tidak memakai jubah dan serban seperti pemimpin cap ayam,namun beliau mempraktikkan “KEPIMPINAN MELAUI TELADAN”.
Ramai ulama’ hebat di dunia ini tidak memakai jubah dan serban.Mereka berpakaian biasa,malah memakai kot dan tali leher.Dalam Islam,perkara wajib adalah penting,bukan sunat.Jubah dan serban adalah sunat,manakala bercakap benar dan menepati janji adalah WAJIB.
Aku berdoa agar Dr M dipanjangkan umur dan disihatkan badan agar beliau sampai ke tahun 2020 dan melihat Malaysia maju sebagaimana dirancangkan beliau.Malaysia akan maju mengikut acuan sendiri,bukan maju seperti Barat dan Amerika yang membenarkan pengunjung pantai mandi manda dalam keadaan bogel .
Maju Eropah dan Amerika adalah maju ekonomi dan bangunan namun mundur mentaliti.Berbogel adalah sifat haiwan dan mereka adalah haiwan walaupun bernama manusia.
Aku tidak mahu Malaysia maju seperti Singapura.Tandas bersih seperti bilik hotel lima bintang tapi tiada air.Kalau ke sana,aku pasti bawa botol air untuk membersihkan kencing.Aku memang tak biasa kencing dan tidak basuh.Islam mementingkan kebersihan dan aku amalkan kebersihan.
Walaupun ada Menteri Kerja Raya namun Dr M sentiasa memandu sendiri di kota KL di mana Putra Jaya belum lagi wujud.Beliau memandu tanpa iringan kereta polis dan mencatat apa sahaja masalah di KL seperti sampah,jalan berlobang dan sebagainya.Beliau sedih banyak pakaian digantung di ampaian rumah flet di KL hingga mencacatkan pemandangan ibu negara.Namun sampai hari ini warga KL masih amalkan sikap tersebut.
Dr M berasa agak sedih dan malu apabila ditegur Presiden Pakistan yang melawat kota KL.Selepas teguran Dr M,KL bersih beberapa hari,kemudian kotor hinggalah hari ini.Penduduk KL tidak pernah mementingkan kebersihan sedangkan kebersihan adalah penting.
Dr M dan beberapa Menteri kabinet turun padang membawa penyapu membersihkan kota KL pada tahun 80an,namun amat sedikit warga kota mengamalkannya.Di hadapan rumah sendiri pun sampah berselerak.Jalan-jalan utama penuh dengan sampah sarap.Sungai KL yang bersih menjadi kotor dan penuh dengan segala bagai sampah hingga hari ini.
Aku mencadangkan kepada Perdana Menteri agar mewujudkan Kementerian Bersih dan Indah agar semua kota,kampung dan bandar bersih.Amat memalukan bila ibu kota dan bandar utama banyak sampah bergelimpangan dan berbau busuk hingga memualkan.Pelajarilah kota-kota bersih dan indah di dunia ini.Kebersihan dan keindahan akan menarik lebih ramai pelancong dalam dan luar negara.
Kadangkala aku tak berselara makan di gerai dan restoran di KL.Longkang berbau busuk dan sampah merata-rata di jalanan.Aku sanggup makan di KFC dan restoran mahal asalkan bersih.Biar wang habis,asal puas hati.
Ketika aku hadir simposium usahawan PUNB di hotel Istana di mana Dr M memberikan ucaptama,aku tekun mendengar nasihat beliau dalam keusahawanan.Aku berkenalan dengan ramai tauke jutawan dari seluruh negara termasuk dari Sabah dan Sarawak.
Dr M menasihati usahawan agar sentiasa cekal dan tabah dalam bisnes.Jangan fikir nak cepat kaya kerana orang yang berfikir sedemikian akan jatuh dalam perniagaan.Beliau mengakui walaupun setelah lima tahun membuka bisnes kedai roti THE LOAF,namun masih belum ada keuntungan kerana pusingan modal.Sampai hari ini aku masih belum menjengah THE LOAF kerana sibuk dengan macam-macam kerja.
Sekarang aku sibuk mengumpulkan bahan untuk buku kedua mengenai Dr M iaitu “PERIBADI DR M MENGIKUT QURAN DAN HADIS”.Aku mahu rakyat Malaysia faham bahawa Dr M mengamalkan Quran sebaiknya walaupun beliau bukan lulusan Syariah dan tahfiz Quran.
15 minit terakhir sebelum aku keluar dari Yayasan Bukhary,aku minta nasihat Dr M tentang bisnes.Beliau bertanya :u bisnes apa?aku pun cakap blab la bla..Beliau jawab “Alhamdulillah………….”
Aku sebak mendengar nasihat beliau.Aku tahan air mata kerana aku tidak mahu Dr M sedih melihat aku mengalirkan air mata.Selepas keluar dari pejabatnya,aku mengalirkan air mata sepanjang memandu kereta pulang ke Melaka.
Aku teringat nasihat Dr M “Jika kita mahu berjaya dalam bisnes,kualiti dan teladan adalah penting.Jangan jadi boss yang suka duduk dalam pejabat berkaca,rajin-rajinlah meninjau premis dan bertanya pekerja mengenai apa jua masalah”.
Hampir jam 2 petang,perut aku dah lapar…………………………Jom makan tengahari!
Terima kasih kerana membaca!
SATA SAALIMUN AL-MADANI
http://peribadidrmahathir.blogspot.com/
Fakta mengenai Tun M..!!!
Hingga Hujung Nyawa |
MAHATHIR - DARI KACA MATA SAHABAT
Assalamu'alaikum Warahmatullaahi Wabarakaatuh
Para kawan dan sahabat yang saya muliakan.
PENGHORMATAN
Rasa terhormat ini meningkat apabila tajuknya ialah mengenai tokoh yang memegang gelaran 'The Giants of Asia' atau 'Gergasi Asia'.
Gergasi inilah yang perlu saya bicarakan sebagai sahabat melalui kacamata saya. Perlu saya jelaskan bahawa sahabat saya, Tun Dr. Mahathir, bukanlah rakan persekolahan saya, bukan rakan sepermainan saya dan bukan juga rakan kongsi dalam apa jua jenis perniagaan.
KESUKARAN MENULIS
Agak susah untuk saya menulis ucapan ini kerana sebagai penulisan politik ianya tidak dapat dibincangkan tanpa rujukan kepada watak yang terlibat, kerana politik itu ialah perkara kuasa yang menjadi rebutan watak yang terlibat. Kebanyakan watak yang terlibat pula masih hidup. Oleh kerana bukan semua huraian berbentuk pujian maka sebarang kritikan mungkin dianggap sebagai sesuatu yang ingin dilupakan atau dikesali oleh yang berperanan.
Oleh kerana saya terlibat di dalam berbagai pergolakan sepanjang menjadi wakil rakyat, menjadi Timbalan Menteri, berada di dalam Kabinet dan menjadi Menteri Besar; menjadi Ahli Majlis Tertinggi, Setiausaha Agong, Naib Presiden dan Ketua Perhubungan UMNO Kedah maka bahang dari terhunusnya keris dan pedang di waktu dalam pergolakan itu masih saya rasai sehingga masa kini. Pada kesempatan seperti inilah saya dapat meluahkan sebahagian dari pengalaman itu, dalam masa yang terbatas, dengan harapan generasi muda masa kini dan masa depan dapat mempelajari dan memahaminya semoga tidak terjebak dengan ranjau yang merugikan bangsa, ugama dan negara.
Banyak buku yang telah ditulis mengenai Tun Dr. Mahathir dan banyak juga buku yang ditulis sendiri oleh Tun Dr. Mahathir mengenai berbagai tajuk ditambah pula dengan kumpulan ucapan-ucapannya yang bernas yang telah dibukukan.
Oleh itu ucapan saya pada pagi ini hanya sekadar menyusun semula apa yang sudah diketahui umum dengan ditambah di sana-sini untuk menunjuk adanya perbezaan, atau mungkin juga memang ada perbezaan pandangan saya mengenai sesuatu isu, tindakan, kejadian atau peristiwa mengikut kacamata peribadi saya.
WAWASAN 2020 - Sebagai contoh ialah Wawasan 20-20.
Sebelum saya menjadi Menteri saya sering balik ke Kedah dan menginap di Grand Continental Hotel. Saya sering duduk di meja tepi dinding dalam coffee-house. Dari coffee-house itu saya dapat melihat MAHA Klinik di mana Tun Dr. Mahathir bekerja sebelum menjadi Menteri. Kalau kita lihat ke MAHA Klinik pasti ternampak kedai Cermin-mata 2020.
Oleh itu selepas mesyuarat kabinet di hari Tun Dr. Mahathir mengumumkan Dasar Wawasan 2020 pada tahun 1991 beliau telah memanggil saya dan bertanya 'You know what is 2020?' Saya jawab 'Yes .. the spectacles' saya teringat kedai cermin mata 20 20 di tepi MAHA Klinik. Tun berkata 'OK ... make sure the logo for Merdeka day reads twenty-twenty and not two thousand and twenty'. Arahan itu ialah kerana saya bertanggungjawab menyiapkan logo Hari Merdeka sebagai Pengerusi Jawatankuasa Hari Kebangsaan.
Maksud Tun Dr. Mahathir dengan Wawasan 2020 ialah 'wawasan atau penglihatan yang jelas'. Jika mata kita diperiksa oleh doktor mata dan kedua belah bacaannya 20 dan 20 maka kita tidak perlu cermin-mata kerana pandangan kita tidak kabur. Berertilah 'Wawasan 20 20' ialah 'Wawasan Yang Jelas' dan seseorang yang berwawasan yang jelas dapatlah membangun negeri dan negara dengan cepat dan menguntungkan rakyat. Dengan wawasan yang jelas kita boleh menjadi negara yang maju pada tahun 2020 atau sebelumnya seperti negeri Selangor yang mengaku sudah menjadi negeri maju pada tahun 2005 kerana pemerintahan bijak Barisan Nasional.
Tetapi apa yang kita dengar hari ini ialah Wawasan 2020 itu ialah Malaysia akan menjadi negara maju pada tahun 2020 dan aspek cerminmata tidak pernah diketahui lagi.
ANTARA BUDI DAN PRINSIP
Hasil menungan saya sebagai Wakil Rakyat selama 30 tahun ( 1974 - 2004 ) dan menjadi ahli UMNO selama 48 tahun saya dapati kebanyakan orang Melayu lebih mementingkan kawan daripada prinsip. Banyak yang saya lihat sukar meninggalkan kawan jika kawannya itu sudah terbukti menyeleweng sekalipun; dan kebaikan yang ada pada musuh sukar diterima sebagai modal yang boleh membaiki semula perhubungan antara yang bermusuhan. Lebih-lebih lagi jika ia melibatkan pemimpin yang pernah membantu kawan atau kenalannya.
Seperkara lagi yang sangat menonjol ialah perubahan sikap seseorang itu bila sudah berkuasa atau sudah berada di peringkat atasan. Ada yang ingin melupakan kawan-kawannya yang tahu bagaimana asal usul atau sejarah hidup atau perjuangannya kerana setelah berada di atas dan merasakan diri begitu hebat, atau insan pilihan, maka segala bukti, termasuk kawan-kawan lama, yang mengetahui sejarah kebaikan dan kekurangannya, hendak diketepi atau dihapuskan, supaya yang wujud hanya kebaikan dan kedewaannya.
Sikap ini tidak ada pada Tun Dr. Mahathir. Tun Dr. Mahathir agak lambat, kerana sangat teliti sebelum menghukum seseorang yang dilaporkan salah, tetapi dia mudah memaafkan, walau pun sukar melupakan.
TIDAK PERNAH BERGURAU DAN TIDAK PERNAH MINTA
Sejak saya kenal beliau pada tahun 1956, waktu saya sakit batuk di Langkawi sehinggalah sekarang saya tidak pernah bergurau dengan beliau, hanya sekadar tertawa bila orang lain bergurau, dan saya juga tidak pernah meminta sesuatu darinya untuk diri saya baik semasa bertugas atau sebagai bekalan untuk hari-hari bersara.
TEMPOH BERSARA DARI UMNO
Di Negeri Sembilan, di waktu kami sama-sama 'bersara' sebentar dari UMNO, untuk boleh bebas bersuara dan mengkritik tokoh yang dulunya kami sangkakan kawan Tun Dr. Mahathir telah menafikan kenyataan bahawa saya tidak pernah meminta apa-apa darinya. Lantas Tun ingatkan saya bahawa saya telah meminta untuk berhenti dari menjadi Menteri Besar Kedah ( setelah Barisan Nasional menang dengan majority lebih 2/3 dalam pilihanraya di peringkat negeri Kedah.
DI LANGKAWI
Tun Dr. Mahathir memulakan profesyennya di Langkawi sementara saya pula berada di Langkawi pada masa yang sama kerana bapa saya menjadi pemandu lori Tauke Teik yang mengangkut tanah merah untuk ditambak dalam pembinaan jalan yang menghubung pekan Kuah dengan Padang Matsirat
TARIKH LAHIR YANG SAMA
Selain dari persamaan berada di Langkawi pada tahun yang sama, kami juga mempunyai tarikh lahir yang sama iaitu 10 Julai walau pun perbezaan antara umur kami ialah 18 tahun.
Mungkin kerana perbezaan umur maka di waktu Tun Dr. Mahathir menjadi pemimpin MAYC di peringkat kebangsaan, sebagai Naib Presiden, saya menjadi ahli Kelab Belia Seremban, yang aktif bermain ping-pong, yang menjadi kebab gabungan MAYC.
Waktu saya menjadi ahli UMNO pada 13 Oktober, 1963 Tun Dr. Mahathir sudah pun terkenal sebagai pejuang bangsa dan menjadi ahli UMNO pada tahun 1946.
Waktu saya menjadi Setiausaha Dewan Peniagaan Melayu Negeri Sembilan pada tahun 1965 Tun Dr. Mahathir sudah menjadi Naib Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia.
Waktu saya menghadiri Konvensyen Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia di bawah pimpinan Dato' Senu, pada tahun 1965, Tun Dr. Mahathir sudah menjadi pembentang kertas-kerja. Menteri Besar Perlis Penghulu Jaafar turut hadir dalam konvensyen yang diadakan di Morib, Selangor.
Bila saya menjadi Ahli Parlimen mulai tahun 1974 Tun Dr. Mahathir jadi Menteri Pendidikan. Bila Tun Dr. Mahathir jadi Timbalan Perdana Menteri pada tahun 1978 saya menjadi Timbalan Menteri. Bila Tun Dr. Mahathir jadi Perdana Menteri pada tahun 1982 saya menjadi Menteri.
Tetapi, dalam satu hal saya mendahului Tun Dr. Mahathir iaitu saya berhenti menjadi Menteri Besar Kedah dan Tun Dr. Mahathir pula ikut contoh saya apabila dia kemudiannya berhenti dari menjadi Perdana Menteri.
4 IDOLA
Dari kecil saya mempunyai 4 idola yang, mengikut ibu saya, patut dicontohi.
Mereka ialah:
- Tan Sri Hanafiah Hussain iaitu anak Malaysia yang pertama lulus dalam bidang Chartered Accountant,
- Tan Sri Professor Ismail Husin sebagai anak Sungai Limau Yan yang mendapat Kepujian Kelas Satu dalam Pengajian Melayu di Universiti Singapura; beliau ialah adik Sasterawan Negara Dato' Abdullah Husin, pengarang INTERLOK,
- Dato' Kasim Nyak Ma'on yang merupakan anak Melayu pertama lulusan dari Taiwan National University. Beliau mendapat biasiswa Dewan Perniagaan China untuk melanjutkan pelajaran di Taiwan, setelah mendapat keputusan cemerlang di Chung Ling High School, Penang. Ketiga-tiga mereka dari daerah Yan. Yang bukan dari Yan ialah:
- Tun Dr. Mahathir sebagai doktor yang terkenal menonjol di waktu itu.
Walau pun dari segi pekerjaan saya mendapat inspirasi dari Tan Sri Hanafiah Hussain, dalam kegiatan politik saya mempelajari cara Tun Dr. Mahathir.
ASPEK YANG MENGKAGUMKAN PADA TUN DR. MAHATHIR
Kita tidak dapat melupakan Dasar Pandang Ke Timur yang dilancarkan oleh Tun Dr. Mahathir di bawah pemerintahannya. Kebanyakan pemimpin dan rakyat memikirkan dasar ini terbatas kepada melihat pencapaian ekonomi negara-negara Jepun, Korea Selatan dan kemudiannya termasuk Taiwan.
Yang saya faham dasar ini melibatkan nilai. Iaitu nilai-nilai yang ada pada orang-orang Jepun dan Korea Selatan yang telah membawa kepada kemajuan negara mereka. Di waktu nilai-nilai ini diketengahkan kerajaan telah menumpu perhatian kepada berani, amanah, disiplin, rajin dan setia dalam konteks Dasar Pandang Ke Timur. Inilah nilai-nilai yang selalu dihuraikan oleh Tun Dr. Mahathir dalam kursus-kursus yang dianjurkan oleh Biro Tatanegara untuk pegawai dan kakitangan kerajaan.
Setelah beberapa waktu nilai-nilai ini diketengahkan di bawah Dasar Ekonomi Baru, oleh kerana nilai-nilai ini juga adalah yang dituntut oleh Islam maka penerapan nilai-nilai ini diteruskan di bawah Dasar Penerapan Nilaia-Nilai Islam.
1. BERANI
Tun Dr. Mahathir tidak takut dan gentar untuk membuat keputusan dan juga untuk mengeluarkan pendapatnya di semua forum baik di dalam atau di luar negeri, baik secara peribadi atau pun secara terbuka.
KEPETAHAN TUN DR. MAHATHIR
Waktu melawat USA beliau telah makan tengahhari di White House bersama President Ronald Reagan. Saya, sebagai menteri pengiring dalam lawatannya itu, berada di sisinya, berdepan dengan Ronald Reagan di meja makan. Ronald Reagan telah bertanya 'Kenapa Umat Islam suka berperang.' Tun menjawab 'Adalah tidak benar Umat Islam suka berperang kerana majoriti Umat Islam berada di Tenggara Asia, di Malaysia, Indonesia dan Brunei dan mereka tidak berperang. Di Bangladesh dan Pakistan juga mereka tidak berperang, malahan di India paling ramai Umat Islam yang hidup damai tanpa perang.' Kalau begitu yang berperang itu ialah Arab dan mereka yang di Timur Tengah?' Tun menjawab 'Bukan semua kerana di Morocco dan Mesir tiada peperangan, yang ada peperangan ialah di beberapa negara sahaja dan itu tiada kaitan dengan Islam.' Lantas Ronald Reagan bertanya ' Kenapa mereka itu berperang?' Tun Mahathir menjawab 'Kerana Amerika dan Russia jual senjata pada mereka, maka senjata itu tidak boleh digunakan untuk yang lain kecuali berperanglah.' ' Jadi kami yang salah?' tanya Reagan. 'Saya tak kata begitu, tetapi kira-kira begitulah.' Mereka berdua pun ketawa.
BUY BRITISH LAST
Walau pun Tun Dr. Mahathir kelihatan memusuhi pihak Barat dengan dasarnya seperti 'Buy British Last' dan ucapan-ucapannya yang sentiasa menegur dasar luar Amerika Syarikat, dan penentangannya terhadap IMF dan Bank Dunia tetapi beliau, demi kepentingan ekonomi negara, beliau bersikap 'pro-perniagaan' dan dasar-dasarnya itu hanya menyinggung politik Barat dan tidak menentang peniaga dan pengusaha Barat. Itulah sebabnya sementara beliau mengkritik Britain dan Amerika Syarikat pelabur-pelabur dari negara itu tetap mendatangi Malaysia. Berertilah keberanian Tun Dr. Mahathir adalah satu keberanian yang penuh dengan perhitungan dan bukan sebarang keberanian yang merugikan negara.
TUN DR. MAHATHIR MEMILIH YANG TERBAIK DI DUNIA UNTUK MALAYSIA
U. S. A.
Waktu di Amerikalah Tun Mahathir menyambut kewujudan lapangan terbang Dallas sebagai lapangan terbang yang terbesar di dunia, menara Sears sebagai menara tertinggi di dunia, Washington D. C. sebagai ibukota terancang yang indah di dunia dengan membina KLIA, KLCC dan Putrajaya.
CANADA
Bila sampai di Canada Tun Mahathir telah makan tengahari bersama dengan Perdana Menteri Trudeau di Menara Telekom di Ontario. Apabila diberitahu bahawa menara itu adalah antara yang empat tertinggi di dunia Tun Mahathir, sekembalinya ke Malaysia telah memutuskan pembinaan Menara Telekom Kuala Lumpur yang tegak megah di tengah-tengah Kuala Lumpur.
PERANCIS
Dari Canada rombongan Tun Dr. Mahathir telah berangkat ke Peranchis yang Presidennya di waktu itu ialah Presiden Mitterand. Menteri Pengangkutan Perancis telah mengiringi Tun Mahathir ke kawasan industri di mana terletak sebuah kilang 'optic fibre'. Kini, selain Taman Teknologi Tinggi Kulim dan Cyberjaya kita juga mempunyai keretapi laju antara KL dan KLIA seperti keretapi yang Tun Mahathir naiki bersama Menteri Pengangkutan Perancis dari Paris ke Taman Teknologinya.
SWITZERLAND
Dari Perancis rombongan Tun Mahathir berangkat ke Berne ibu kota Switzerland. Di sana kami telah melihat bagaimana negara itu melindungi rakyatnya dari penderitaan jika berlaku perang nuklear. Kami juga telah dibawa masuk dalam gua yang sekaligus menjadi lapangan terbang untuk jet kapalterbang perang yang terbang keluar dari pergunungan jika berlaku sebarang serangan yang mengancam keselamatan negara mereka.
Saya ternampak Tun Dr. Mahathir begitu terpukau melihat keindahan kota dan persekitaran seluruh negara Switzerland. Switzerlandlah saya kira yang difikirkan oleh Tun Dr. Mahathir apabila beliau menyatakan keinginan supaya Kuala Lumpur diperindahkan dan dinamakan 'The Garden City of Light'. Saya mendapat tahu dua kota yang bergilir-gilir bersaing sebagai kota terbersih di dunia ialah Zurich dan Singapura. Alangkah hebatnya jika Kuala Lumpur menjadi penyaing ketiga. Sebagai menyambut hasrat Tun Dr. Mahathir untuk melihat kota dan negara yang bersih indah maka saya juga, sebagai Pengerusi Jawatankuasa Sambutan Hari Kebangsaan telah menganjurkan pertandingan kampung indah setiap tahun kita menyambut Hari Ulangtahun Kemerdekaan.
Projek-projek besar atau mega yang tersebut inilah yang kemudiannya menjadi bahan fitnah apabila Tun Dr. Mahathir dicabar untuk jawatan Presiden UMNO pada tahun 1987.
AMANAH
Sehingga hari ini Tun Dr. Mahathir masih berpegang kepada amanah yang termeterai di dalam Perlembagaan UMNO dan Malaysia.
BAHASA MELAYU SEBAGAI BAHASA KEBANGSAAN
Keputusan beliau supaya matematik dan sains diajar dalam bahasa Inggeris adalah kerana kekecewaan beliau atas lambatnya, dan terbatasnya kemampuan, para ahli bahasa dan ilmuan menterjemahkan semua buku ilmu dalam bahasa Inggeris ke bahasa Melayu. Ianya tidak boleh ditafsirkan sebagai pengkhiatan kepada bahasa dan bangsa Melayu, Baginya, kesetiaan kepada bangsa tidak bererti menghalang bangsa itu daripada pendedahan kepada berbagai jenis ilmu yang ada, semata-mata kerana enggan membenarkan bangsa itu pintar dalam bahasa lain yang mempunyai banyak ilmu tertulis di dalamnya. Beliau mengambil dirinya sebagai contoh seorang yang menguasai bahasa Inggeris tetapi tidak kurang semangat Melayunya.
KEDAULATAN RAJA-RAJA MELAYU
Dalam mempertahankan kedaulatan raja-raja Melayu beliau telah menghapuskan punca kemungkinan raja-raja boleh difitnahkan kerana menggunakan kuasa tidak meluluskan undang-undang sehingga mendapat sesuatu yang dikehendakinya. Dengan meminda perlembagaan sehingga undang-undang boleh diluluskan tanpa bergantung kepada persetujuan raja maka punca fitnah sedemikian telah dihapuskan. Walau bagaimana pun ada pihak yang mentafsirkan tindakan ini sebagai menghakiskan kuasa raja. Ini bukanlah niat Tun Dr. Mahathir yang telah sama-sama berjuang menentang gagasan Malayan Union, yang dirancang oleh British, yang menghinakan kedudukan Raja-Raja Melayu.
ISLAM SEBAGAI UGAMA PERSEKUTUAN
Tun Dr. Mahathir tidak berganjak mempertahankan Islam sebagai ugama yang diredhai Allah. Beliau mempertahankan 'fundamental' Islam itu baik dan seseorang itu tidak perlu takut dianggap sebagai fundamentalist kerana seseorang yang berpegang kepada fundamental Islam tentulah baik kerana fundamental Islam itu baik. Beliau tidak akan memberi katanama lain, seperti hadhari, kepada Islam hanya untuk mengambil hati orang bukan Islam dan beliau tetap mempertahan Islam sejati. Bagi beliau Islam itu ialah ugama untuk diamal, sekadar mampu, dan Islam itu di atas politik dan tidak boleh diletak di bawah politik hanya untuk diperalatkan untuk memenangi pilihanraya. Kerana mempertahankan Islam dan Umat Islam Tun Mahathir sangat dibenci oleh yang anti-Islam dan Yahudi, khususnya Yahudi Zionis Kristian. Malangnya Tun Mahathir juga dibenci oleh tokoh-tokoh Islam di negara ini yang mampu menidakkan Islamnya dan keislaman partinya semata-mata kerana tokoh Islam itu samaada berkawan dengan Yahudi atau dengan tokoh, di negara jiran, yang menjadi sahabat setia golongan Zionis di Israel dan ingin Umat Islam di negaranya merubah sikap dan cara mereka berugama.
HAK ISTIMEWA ORANG-ORANG MELAYU
Tun Dr. Mahathir tidak pernah berhenti mempertahankan hak istimewa orang-orang Melayu dan kedudukan Melayu sebagai Bumiputra dan bukan pendatang di negara ini. Beliau ditohmahkan sebagai rasis kerana mempertahankan hak Melayu ini. Dalam mempertahankan Dasar Ekonomi Melayu Tun Dr. Mahathir tidak berhenti menyeru orang-orang Melayu supaya merubah sikap dan berpegang dengan nilai-nilai murni yang boleh membawa kepada kejayaan.
Waktu beliau menjadi Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir tidak pernah mengurangkan kuota biasiswa kerajaan untuk pelajar-pelajar Melayu tetapi pihak bukan Melayu tidak membantah terhadap dasar ini kerana Tun Dr. Mahathir terus membantu mereka untuk memajukan sektor ekonomi negara dan swasta bukan Melayu bebas memberi kesemua peruntukan biasiswa mereka kepada kaum mereka sendiri. Walau pun 95 peratus biasiswa kerajaan telah diberi kepada pelajar-pelajar Melayu dan Bumiputra tetapi biasiswa swasta, yang tidak kurang jumlahnya, adalah 100% untuk bukan kita.
DISIPLIN
Tun Dr. Mahathir adalah seorang yang cukup disiplin dalam aspek waktu dan jadual bekerja dan beribadat. Contoh disiplin yang ingin diterapkan kedalam jiwa pekerja kerajaan di Malaysia ialah dengan memperkenalkan mesin perakam waktu bekerja. Kita juga masih teringat kepada slogan 'Bersih, Cekap dan Amanah" sebagai usaha mendidik rakyat supaya berdisiplin.
Yang penting ialah bukan sahaja Tun Dr. Mahathir mahukan rakyat bersikap disiplin tetapi beliau sendiri mengamalkan disiplin yang dikehendakinya dari rakyat. Apabila beliau mengarahkan pekerja kerajaan di semua peringkat memakai tanda-nama beliau juga memakainya.
RAJIN
Tidak ada orang yang mengenal Tun Dr. Mahathir yang tidak mengetahui betapa beliau rajin membaca, menulis, bercakap dan bekerja.
SETIA
Tun Dr. Mahathir terkenal sebagai seorang yang setia kepada kawan dan perjuangan.
Hubungan Tun Dr. Mahathir dan Tun Dr. Siti Hasmah adalah satu contoh hubungan setia dan mesra antara suami isteri yang jarang ada di kalangan pemimpin politik yang berjaya di dunia ini. Jika kita lihat kepada sejarah pemimpin ulung di Amerika Syarikat seperti John F. Kennedy, pemimpin ulung di Eropah seperti Napoleon Bonaparte dan pemimpin ulung di zaman Empayar Rom seperti Julius Caesar jelas sekali lebih meningkat populariti seseorang maka lebih hebat godaan yang mendampinginya kerana 'Power is Aphrodisaic. Untuk kita tidak anggap itu kesah pemimpin dulu kita boleh lihat kepada rekod Presiden Bill Clinton yang sudah bersara dan bagi yang masih berkhidmat kita perhatikan pula perkembangan kes Perdana Menteri Berlusconi di Itali.
Kalau kita lihat kepada watak sebagai Tony Blair pula kita akan dapati ketidaksetiaannya termasuk kepada bidang ugama. Walau pun beliau penganut ugama Kristian Anglican di waktu menjadi Perdana Menteri Britain beliau berubah ke ugama Katholik apabila berhenti dari menjadi Perdana Menteri.
Kesetiaan Tun Dr. Mahathir kepada kawan-kawannya adalah luar biasa dan saya boleh menulis ratusan muka surat bagaimana kesetiaannya kepada kawan-kawannya telah membantu beliau membangun negara dan banyak pula masalah yang dihadapinya yang berpunca dari kesetiaan itu.
DUA PERISTIWA YANG SANGAT BERERTI DALAM HUBUNGAN DENGAN TUN MAHATHIR
PERTAMA - PERLETAKAN JAWATAN TUN MUSA HITAM
Setelah Tun Hussein Onn meletak jawatan dan Tun Dr. Mahathir menjadi Perdana Menteri pada 16 Julai, 1981 UMNO telah mengadakan Perhimpunan Agong Tahunan ( 1981 ) dan Tun Dr. Mahathir, kerana susah memilih antara dua sahabat untuk menjadi Timbalannya telah membenar UMNO untuk membuat pemilihan melalui pertandingan.
Oleh itu Tun Musa Hitam telah bertanding dengan Tengku Razaleigh Hamzah untuk jawatan Timbalan Presiden UMNO. Oleh kerana Tun Dr. Mahathir memberitahu kepada saya beliau akan lebih aman bekerja jika Tun Musa menjadi Timbalannya maka saya telah menyokong Tun Musa Hitam. Tengku Razaleigh, kerana kurang rapi persiapannya, telah kalah dengan 205 undi ( 722 - 517 ).
Walau pun Teungku Razaleigh kalah, kerana 517 undi yang diperolehinya lumayan banyak, beliau terus dikekalkan oleh Tun Mahathir di dalam kabinet sebagai Menteri Kewangan sementara Tun Musa Hitam, sebagai Timbalan Perdana Menteri, juga merangkap sebagai Menteri Dalam Negeri. Tun Dr. Mahathir berpendapat dengan pengekalan ini penyokong-penyokong Teungku Razaleigh akan merasa selesa dan terus mantap menyokong UMNO dan kepimpinan Tun. Tun Mahathir berpegang kepada prinsipnya 'If you win you cannot win all just as if you lose you cannot lose all'.
Tun Musa jelas tidak selesaidengan prinsip Tun Dr. Mahathir ini kerana Tengku Razaleigh kelihatan bertambah popular dengan jawatannya sebagai Menteri Kewangan. Tun Musa juga tidak selesa dengan kemasukan Dato' Seri Anwar Ibrahim ke dalam UMNO pada tahun 1982, atas inisiatif Tengku Razaleigh dan Dato' Harun Idris, setahun setelah pertandingan antara Tengku Razaleigh dan Tun Musa pada tahun 1981. Penyokong-penyokong Tengku Razaleigh terus membuat persiapan untuk pertandingan kali kedua antara dua tokoh ini.
PERHIMPUNAN AGUNG UMNO TAHUN 1984
Dalam Perhimpunan Agong UMNO ke 2 selepas Tun Dr. Mahathir menjadi Perdana Menteri dan Presiden UMNO beliau sekali lagi pada tahun 1984 menang untuk jawatan Presiden tanpa bertanding. Timbalannya Tun Musa telah ditentang sekali lagi oleh Tengku Razaleigh untuk jawatan Timbalan Presiden. Yang aneh ialah Dato' Seri Anwar Ibrahim yang dipermudahkan kemasukannya ke dalam UMNO oleh Tengku Razaleigh telah tidak menyokong Tengku Razaleigh, sebaliknya, Anwar sebagai Ketua Pemuda UMNO yang dimenanginya pada tahun itu, telah menyokong Tun Musa Hitam untuk jawatan Timbalan Presiden.
Setelah Tengku Razaleigh dikalahkan oleh Tun Musa buat kali kedua pada tahun 1984 maka Tun Dr. Mahathir telah mengurangkan kuasa dan pengaruh Tengku Razaleigh dengan menurunkan jawatannya dari Menteri Kewangan untuk menjadi Menteri Perdagangan Antarabangsa. Tun Dr. Mahathir telah melantik Tun Daim Zainuddin menjadi Menteri Kewangan.
PERISTIWA MEMALI
Setahun kemudian pada tahun 1985, dalam mesyuarat kabinet sebelum Tun Dr. Mahathir berangkat ke negeri China, saya telah diminta menghubungi kenalan saya Ibrahim Libya yang dikehendaki menyerah secara aman kepada pihak polis. Saya telah menyampaikan hasrat saya untuk berjumpa Ibrahim tetapi, sepeninggalan Tun Dr. Mahathir ke China, dan belum sempat saya berjumpa Ibrahim, beliau telah terbunuh dalam peristiwa Memali. Pada waktu itu Tun Musa menjadi Menteri Dalam Negeri dan memangku jawatan Perdana Menteri.
TUN MUSA KIRIM SURAT PERLETAKAN JAWATAN
Beberapa waktu selepas Tun Dr. Mahathir kembali dari China beliau telah menerima sepucuk surat dari Tun Musa yang memberi tempoh satu tahun untuk meletak jawatan. Surat ini telah disimpan sebagai rahsia oleh Tun Dr. Mahathir.
Pada mulanya Tun Dr. Mahathir ingin menunggu sehingga diadakan Perhimpunan Agung UMNO sekali lagi setelah Tun Musa meletak jawatan, tetapi, oleh kerana kawan-kawan Tun Musa sedang berusaha untuk mengadakan Mesyuarat Agung Khas, kerana hanya dengan keputusan Mesyuarat Agung Khas Tun Musa akan menarik balik keputusan letak jawatannya.
CADANGAN TUN DR. MAHATHIR UNTUK MELETAK JAWATAN
Sebelum mesyuarat Majlis Tertinggi diadakan untuk menimbang cadangan untuk mengadakan Mesyuarat Agung Khas Tun Dr. Mahathir telah memanggil saya dan memberitahu bahawa beliau akan meletak jawatan jika usul untuk mengadakan Mesyuarat Agung Khas yang akan dibentang dalam mesyuarat Majlis Tertinggi pada keesokan malamnya lulus maka beliau akan meletak jawatan selepas usul itu diluluskan kerana beliau yakin Mesyuarat Agung Khas tetap akan meluluskan usul mendesak Tun Musa untuk kembali memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri diluluskan.
Apabila saya bertanya alasan atas keputusan demikian Tun Dr. Mahathir berkata 'Wakil UMNO hanya berfikir mengenai perpaduan sedangkan saya berfikir mengenai kerja. Jika Tun Musa yang mengetahui kemenangannya ialah dengan sokongan saya pun tidak dapat menyokong saya di dalam menjalankan tugas gambarlah apa akan jadi jika dia terpaksa saya lantik kembali sebagai Timbalan Perdana Menteri kerana keputusan Mesyuarat Agung Khas. Lagi-lagilah susah dia hendak bantu saya.'
PANDANGAN DATO' SENU, TAN SRI KHIR JOHARI DAN TUN DATO' MUSTAFA
Saya pun merasa gelisah dan mencari jalan untuk mempertahankan kedudukan Tun Dr. Mahathir sebagai Presiden UMNO. Sebagaimana biasa saya telah cuba mendapat nasihat dan petunjuk dari tokoh-tokoh yang lebih dewasa dan lebih berpengalaman. Saya telah hubungi Dato' Senu Abdul Rahman yang saya kenal sebagai Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia di waktu saya menjadi Setiausaha Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Seremban Timur. Saya juga bertemu dengan Tan Sri Mohd Khir Johari yang pernah menjadi guru bahasa Inggeris kepada Tun Dr. Mahathir di Alor Setar dahulu. Kedua-dua tokoh dari Kedah ini tidak dapat membantu kerana mereka adalah orang kuat Tengku Abdul Rahman.
Tokoh ketiga yang saya temui ialah Tun Dato' Hj. Mustafa. Beliau juga rakan karib Tengku Abdul Rahman. Bila dia melihat wajah sedih saya apabila dia kelihatan gembira mendengar Tun Dr. Mahathir akan berhenti jika usul untuk mengadakan Mesyuarat Agung Khas UMNO lulus, maka Tun Dato' Mustafa bertanya 'Apakah anak mahu usul itu kalah?' Bila saya mengesahkan kerana saya belum nampak seorang tokoh yang layak mengganti Tun Dr. Mahathir maka Tun Dato' Mustafa bertanya lagi ' Apakah fikiran orang ramai UMNO, khususnya kebanyakan ahli-ahli Majlis Tertinggi usul itu menang atau kalah?' Saya menjawab 'Hampir semuanya fikir usul itu akan diluluskan oleh Majlis Tertinggi dan apabila Mesyuarat Agung Khas UMNO diadakan usul itu akan lulus dengan sebulat suara kerana ahli-ahli UMNO berpendapat itulah caranya untuk menyatupadukan UMNO.' Tun Dato' Mustafa terus menyampuk 'Kalau ramai fikir usul itu akan menang maka menanglah; kalau ramai fikir usul itu akan kalah maka kalahlah .... yang penting apa orang fikir.'
Mendengar pandangan Tun Dato' Mustafa saya pun berhenti makan malam dan meminta izin untuk balik ke pejabat UMNO walaupun sudah pukul 10 malam. Sebelum sampai di pejabat saya telah telefon Setiausaha Politik Tun Dr. Mahathir Tan Sri Megat Junid Megat Ayob dan Setiausaha Kerja UMNO Malaysia Kip Bahadon. Bertiga kami telah menghubungi hampir kesemua ahli-ahli Majlis Tertinggi yang rapat dengan kami untuk menyatakan pendirian masing-masing sekaligus memaklumkan secara tidak langsung bahawa usul yang akan dibentang dalam Majlis Tertinggi pada besok malam akan kalah.
Pada keesokan malamnya hanya 3 orang sahaja dari ahli Majlis Tertinggi yang menyokong usul untuk mengadakan Mesyuarat Agung Khas. Semua yang hadir merasa terkejut termasuk saya sendiri.
MAJLIS TERTINGGI MENOLAK USUL MENGADAKAN MESYUARAT AGUNG KHAS
TETAPI MENERIMA USUL MENGHANTAR ROMBONGAN UMNO JOHOR KE LONDON
Walau pun Majlis Tertinggi telah menolak cadangan mengadakan Mesyuarat Agung Khas, tetapi Majlis Tertinggi bersetuju menghantar satu rombongan UMNO dari Johor, yang dipimpin oleh Dato' Syed Zain, untuk memujuk Tun Musa, yang berada di London, untuk menarik balik perletakan jawatan Timbalan Presiden UMNO. Perletakan jawatan Timbalan Perdana Menteri tidak dapat ditarik balik kerana Tun Dr. Mahathir sahaja yang berkuasa membuat perlantikan semula dan beliau tidak bercadang membuat demikian.
Di waktu rombongan UMNO Johor berangkat ke London saya lihat di dalam surat khabar sepanduk yang mengutuk saya, Tan Sri Megat Junid dan Kip Bahadon. Sepanduk ini berbeza dengan sepanduk yang dibentang di bangunan UMNO sebelum mesyuarat Majlis Tertinggi diadakan dimana tiga tokoh yang disalahkan atas perletakan Tun Musa Hitam ialah apa yang disingkatkan sebagai A. I. D. S untuk Dato' Seri Anwar Ibrahim, Tun Daim Zainuddin dan Sanusi Junid. Rupanya ahli-ahli rombongan sudah mengetahui mengenai kegiatan panggilan telefon kami bertiga Megat, Kip dan saya.
ROMBONGAN UMNO JOHOR BERJAYA MEMUJUK TUN MUSA
MEMBATALKAN PERLETAKAN JAWATAN TIMBALAN PRESIDEN UMNO
Walau pun Majlis Tertinggi telah diberi jaminan oleh 3 orang ahlinya, yang menyokong usul yang kalah untuk diadakan Mesyuarat Agung Khas, bahawa Tun Musa tidak akan menarik balik surat perletakan jawatan sebagai Timbalan Presiden ternyata Tun Musa menarik balik perletakan jawatan kerana beliau bimbang atas nasib penyokong-penyokongnya jika jawatan Timbalan Presiden yang biasanya juga menjadi Pengerusi Jawatankuasa Disiplin akan diganti oleh orang lain.
TUN ABD. GHAFAR BABA JADI TIMBALAN PERDANA MENTERI
Kerana usaha untuk mengadakan Mesyuarat Agung Khas berjalan terus dan desakan-desakan terus membara maka Tun Dr. Mahathir telah memutuskan untuk tidak menunggu Perhimpunan Agung UMNO untuk memilih Timbalan Presiden baru sebaliknya terus melantik, pada tahun 1986, Tun Ghafar Baba untuk menjadi Timbalan Perdana Menteri.
KEDUA - CABARAN DARI TENGKU RAZALEIGH HAMZAH
PERHIMPUNAN AGUNG UMNO TAHUN 1987
Oleh kerana Tun Ghafar Baba ialah sahabat karib Tengku Razaleigh dan tidak dianggap oleh Tengku Razaleigh sebagai saingan yang sepadan dengannya maka dalam Perhimpunan Agong UMNO ke 3 selepas Tun Dr. Mahathir menjadi Presiden UMNO, iaitu pada tahun 1987 Tengku Razaleigh tidak menentang Tun Ghafar yang mengganti Tun Musa, sebaliknya telah mencabar Tun Dr. Mahathir untuk jawatan Presiden UMNO. Tun Musa telah menyokong Tengku Razaleigh dan masuk ke dalam 'Team B' untuk menentang Tun Ghafar Baba untuk jawatan Timbalan Presiden.
'Team B' telah dikalahkan oleh 'Team A' dalam pertandingan ini.
Perlu diingat bahawa Tengku Razaleigh ialah seorang menteri kabinet di waktu beliau menentang Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir yang terus melantiknya sebagai menteri walau pun beliau telah dua kali dikalahkan oleh Tun Musa dalam pertandingan pada tahun 1981 dan tahun1984.
Sikap toleran Tun Dr. Mahathir terhadap orang yang tidak mengenang jasanya jarang sekali terdapat dalam dunia 'realpolitik'.
TENGKU RAZALEIGH BERTAMBAH POPULAR
Waktu saya mendapat tahu populariti Tengku Razaleigh telah meningkat dan banyak mereka yang sebelumnya sering datang ke rumah Tun Dr. Mahathir juga tidak kelihatan lagi maka saya telah pergi ke rumah beliau untuk bertanya apa strategi beliau untuk mengekalkan kedudukannya. Beliau berkata 'saya serahkan kepada kebijaksanaan ahli-ahli perwakilan UMNO'.
ASPEK KEBIJAKSANAAN DALAM REALPOLITIK
Oleh kerana saya tahu dalam 'realpolitik' kebijaksanaan orang-orang politik itu ialah hanya dalam menjaga kepentingan dan keuntungan peribadi di atas kepentingan agama, bangsa dan tanahair maka saya mencadangkan satu majlis penerangan diadakan sebagai usaha untuk mengasahkan kebijaksanaan ahli-ahli UMNO supaya memihak kepada Tun Dr. Mahathir. Oleh itu satu kempen telah diadakan di Hilton Hotel, Jalan Tun Ismail sehari sebelum Perhimpunan Agung UMNO diadakan.
KESAN UCAPAN PERASMIAN
Biasanya apabila Tun Dr. Mahathir menyampaikan ucapan dalam Perhimpunan Agong UMNO banyaklah masalah terkupas dan kemusykilan berjawab dan penyokong-penyokong Tun Dr. Mahathir mengharapkan ucapan beliau akan membantu untuk memenangkannya.
KECOH KUNCI PETI UNDI
Pada malam 23 April, 1987 yang keesokan harinya ada pemilihan UMNO saya telah menerima telefon dari seorang wartawan M. G. G. Pillai yang memberitahu saya kemungkinan ada masalah dalam pemilihan esok kerana katanya dia melihat beberapa orang pegawai di ibu pejabat UMNO, di dalam Dewan Merdeka telah bermain-main dengan kunci-kunci kotak mengundi yang dia lihat terlonggok dan mungkin tidak dapat dicari esoknya. Saya ucapkan terima kasih dan percaya penuh semua dalam keadaan baik.
Pada 24 April, 1987 selepas ucapan perasmian Perhimpunan Agong UMNO dilakukan dan pegundian untuk jawatan Presiden hendak diadakan sementara para perwakilan masih terkesan dengan ucapan perasmian itu tiba-tiba didapati peti-peti undi tidak dapat dibuka kerana kekusutan kunci sebagaimana yang M. G. G. Pillai beritahu pada malam tadi.
KEBIJAKSANAAN TERCEMAR DENGAN POLITIK WANG
Pengundian terpaksa ditangguhkan sehingga selesai sembahyahng Juma'at maka pada waktu Juma'at itulah berbagai cara kempen dilakukan oleh penyokong Tengku Razaleigh ( pasti tanpa diketahui olehnya ) terhadap perwakilan yang tidak berjuma'at kerana musafir. Akibatnya Tun Dr. Mahathir menang dengan perbezaan undi yang tipis ( 761 - 718 undi ). Jika pengundian telah diadakan sebelum sembahyang Jumaat, iaitu selepas ucapan perasmian oleh Presiden UMNO maka, oleh kerana 'kebijaksanaan para perwakilan' yang diasahkan oleh ucapan perasmian itu, belum dicemarkan oleh 'politik wang', mungkin majoriti kemenangan Tun Dr. Mahathir bertambah.
PENUTUP
Saya merasa bangga kerana pihak penganjur menganggap saya sebagai sahabat Tun Dr. Mahathir. Bagi saya apa yang telah saya lakukan dalam perjuangan politik ini ialah ibadat belaka, termasuk usaha membantu Tun Dr. Mahathir dalam menjalankan tugasnya. Jika ada yang lebih layak darinya, di zamannya, sudah pasti saya tidak bersamanya.
HARAPAN SEMUA PEMIMPIN NEGARA-NEGARA ISLAM DALAM OIC
Jika ada yang masih mencurigai pendapat saya mengenai Tun Dr. Mahathir mungkin elok saya nyatakan apa yang disampaikan sendiri oleh Presiden Musharraf dari Pakistan kepada saya di waktu beliau menghadiri Persidangan OIC di Putrajaya dari 11 hingga 18 Oktober, 2003 iaitu 13 hari sebelum Tun Dr. Mahathir menyerahkan kuasa kepada Tun Abdullah Ahmad Badawi pada 31 Oktober, 2003: 'You have to tell Mahathir that the delegates to the last conference of OIC decided to bring this year's conference to Kuala Lumpur because they would like to hand over the leadership of OIC to him, and not to Malaysia. We chose Malaysia because we want Mahathir to lead us, not just anybody from Malaysia' Saya tanya 'All?' President Musharraf menjawab 'Yes, all, not one exception. Please tell him not to step down from being the Prime Minister. He should stay a few more years to lead the OIC. Please do us a favour.' Saya tidak sampaikan rayuan Musharraf kepada Tun keranaa saya mengetahui Tun tidak akan berginjak dari keputusannya. Bermaknalah, bukan saya saja, tetapi semua pemimpin negara-negara Islam di dunia menyanjung kemampuan kepimpinan Tun Dr. Mahathir.
Sumber: Tan Sri Sanusi Junid

Tengku Razaleigh Hamzah
1. YBM Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah adalah putera raja Kelantan yang dilahirkan pada 13 April 1937.
2. Beliau berusia 12 tahun lebih muda berbanding Tun Dr. Mahathir Mohamad dan 10 tahun lebih tua berbanding Datuk Seri Anwar Ibrahim. Namun begitu, Tengku Razaleigh yang lebih mesra dipanggil Ku Li adalah pemimpin UMNO yang lebih kanan berbanding Dr. Mahathir sewaktu di bawah kepimpinan Tunku Abdul Rahman dan Tun Abdul Razak. Beliau terlebih dahulu dipilih sebagai naib Presiden UMNO.
3. Sewaktu Tun Hussein Onn mengambil-alih teraju pimpinan parti dan negara setelah Tun Razak meninggal dunia secara mengejut di London pada 1976, beliau telah diminta oleh Tun Hussein Onn untuk dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri. Sebelum itu, Tun Hussein Onn telah bercadang melantik Tan Sri Ghazali Shafie (King Ghaz) sebagai timbalan beliau. Namun disebabkan Tan Sri Ghazali bukanlah salah seorang daripada Naib Presiden UMNO, maka 3 Naib Presiden telah meminta Tun Hussein Onn membatalkan niat itu dan meminta agar senioriti Naib-Naib Presiden UMNO dihormati. Konsensus Tun Hussein dan 3 Naib Presiden itu kemudiannya sepakat agar Ghaffar Baba dipilih memandangkan kedudukannya sebagai Naib Presiden terkanan.
4. Namun, pada waktu pagi sebelum pengumuman jawatan Timbalan Perdana Menteri dibuat, Ku Li sekali lagi dipanggil oleh Tun Hussein Onn. Tun Hussein Onn mahu menukar keputusannya buat kali kedua. Ia suatu keputusan yang mengejutkan. Lebih mengejutkan apabila Tun Hussein Onn bercadang untuk mengumumkan Ku Li sebagai pengganti.
5. Ku Li, dengan sifat rendah dirinya membantah cadangan itu. Beliau yang baru berusia 39 tahun mencadangkan agar pemimpin yang lebih berpengalaman dan dewasa daripadanya dipilih. Oleh itu, beliau mencadangkan Dr. Mahathir. Pada masa itu, Dr. Mahathir masih lagi kawannya yang agak akrab. Maka, akhirnya Dr. Mahathir dipilih sebagai TPM manakala Ku Li telah dilantik sebagai Menteri Kewangan.
6. Pada hujung pentadbiran Tun Hussein Onn, sekali lagi Ku Li dipanggil untuk suatu cadangan yang mengejutkan. Tun Hussein Onn bercadang untuk meletakkan jawatan atas alasan kesihatan dan mahu Ku Li Menggantikannya. Sekali lagi Ku Li tidak bersetuju. Walaupun tiada peruntukkan dalam perlembagaan bahawa TPM secara outomatik menggantikan PM apabila berlaku kekosongan, namun dari sudut senioriti sebagai TPM, maka adalah wajar jika Tun Hussein Onn mempertimbangkan Dr. Mahathir sebagai penggantinya. Tambahan pula, Ku Li merasakan bahawa masanya sebagai PM akan tiba jua memandangkan umurnya yang jauh lebih muda berbanding Dr. Mahathir.
7. Disebabkan Ku Li bertegas untuk tidak menerima tawaran itu, maka akhirnya Tun Hussein Onn akur untuk menyerahkan jawatan tersebut kepada Dr. Mahathir.
8. Pertemuan enam mata antara Ku Li, Tun Hussein Onn dan Dr Mahathir diadakan. Dalam pertemuan ini, konsensus dicapai agar Dr. Mahathir dilantik sebagai PM manakala Dr. Mahathir pula berjanji untuk melantik Ku Li sebagai timbalannya.
9. Malangnya, janji Mahathir tinggal janji. Pertandingan jawatan Timbalan Presiden UMNO menjadi alasan agar Ku Li tidak dilantik secara terus sebagai TPM. Kononnya menghormati demokrasi dan suara ahli parti.
10. Ku Li akur. Beliau bertanding menentang Musa Hitam yang juga kawan baiknya. Malangnya, dalam Pemilihan Agung UMNO 1981 beliau tewas di tangan Musa Hitam dengan majoriti 203 undi. Sebelum itu, ucapan Tun Hussein Onn yang dilihat condong menyentuh isu pelajaran dianggap perwakilan sebagai isyarat agar Musa Hitam (Menteri Pelajaran) diberikan pilihan. Ada juga yang mengaitkan beliau dengan beberapa skandal yang sengaja diada-adakan.
11. Pada 1984, Ku Li sekali lagi mencabar Musa Hitam. Ucapan Dr. Mahathir sebelum AGM yang banyak memuji Musa Hitam dianggap sebagai signal kepada perwakilan agar mengekalkan status quo yang sedia ada. Isu skandal pembunuhan Encik Jalil, seorang kakitangan Bank Bumiputera cawangan Hong Kong yang dikaitkan dengan Ku Li juga dikatakan menjadi antara sebab mengapa beliau kecundang. Beliau kemudiannya didapati tidak terlibat malahan beberapa akhbar Hong Kong menyiarkan permohonan maaf kerana mengaitkan beliau dengan isu tersebut. Malangnya, semua sudah terlambat.
12. Pada tahun 1987, Ku Li sekali lagi mencabar. Kali ini bukan Musa, sebaliknya Mahathir. Malangnya beliau tewas dalam insiden pengiraan undi yang dianggap sebagai perbuatan khianat pihak tertentu yang menipu undi. Dikatakan bahawa lampu di dewan penjumlahan undi terpadam (black out) sedangkan beberapa alatan elektrik di bilik sebelah berfungsi sepertia biasa.
13. Dr. Mahathir diumumkan menang dengan kelebihan 43 undi. Kemudian kumpulan 11 yang tidak berpuas hati dengan keputusan itu mendakwa bahawa ada ahli dari cawangan UMNO yang tidak sah turut sama menjadi perwakilan dan mengundi. Mahkamah kemudiannya mengharamkan UMNO.
14. Apabila UMNO diharamkan, Dr. Mahathir menubuhkan UMNO Baru. Menubuhkan UMNO baru bukanlah suatu yang sukar bagi beliau berana pada ketika itu Pendaftar pertubuhan (ROS) adalah agensi kerajaan di bawah kementeriannya. UMNO Baru walaubagaimanapun tidak menerima Ku Li dan pengikutnya sebagai ahli. Ku Li terpaksa menyertai sebuah parti baru yang didaftarkan dengan nama Parti Semangat 46, mengambil semangat UMNO lama yang ditubuhkan pada tahun 1946.
15. Melalui Semangat 46, Ku Li berpakat dengan PAS, HAMIM, KIMMA dan Berjasa menubuhkan Angkatan Perpaduan Ummah (APU). Melalui kerjasama dengan DAP dan PBS pula, beliau menubuhkan Gagasan Rakyat. Dalam PRU 1990, APU dan Gagasan Rakyat hanya mampu menguasai Kelantan dan Sabah. Hanya beberapa kerusi Dewan Rakyat sahaja yang berjaya dirampas.
16. Kemudiannya dalam PRU 1995, Ku Li sekali lagi gagal memenangi banyak kerusi Dewan Rakyat.
17. Pada tahun 1996, Ku Li membuat satu keputusan yang sangat mengejutkan. Beliau membubarkan Semangat 46 dan kembali menyertai UMNO. Beliau sudah tidak yakin dengan parti yang beliau pimpin.
18. Penyertaan Ku Li ke dalam UMNO kononnya detik perpaduan Melayu yang sangat bernilai. Kononnya kaum Melayu sudah mulai kuat. Kononnya kaum Melayu sedang menuju ke puncak kegemilangan.
19. Namun rupa-rupanya, penyertaan Ku Li ke dalam UMNO hanyalah umpama menebas semak untuk memudahkan laluan ke denai. Kemasukan beliau memudahkan urusan Dr Mahathir untuk penyingkiran Anwar Ibrahim pada tahun 1998. Ku Li ibarat hulubalang yang sudah kembali ke istana dan diam membisu patuh pada titah diraja.
20. Pasca 1999, Ku Li cuba beberapa kali untuk kembali ke politik arus perdana. Beberapa kali beliau cuba mencabar jawatan Presiden parti. Namun semua usahanya gagal.
21. Kegagalan menjadi Perdana Menteri bukanlah suatu yang sangat teruk. Di mata ramai rakyat Malaysia, Ku Li adalah salah seorang negarawan yang terbilang. Jasa beliau dalam penubuhan pelbagai institusi ekonomi seperti Petronas, Pernas, Bank Bumiputera serta Bank Islam adalah amat besar ertinya kepada Malaysia. Ku Li tetap arkitek ekonomi Malaysia.
22. Ada banyak iktibar yang boleh dipelajari dari episod dan ranjau politik Tengku Razaleigh Hamzah.
23. Di kalangan pemimpin-pemimpin besar yang bersaing, yang paling mustahak adalah paras keyakinan yang dimiliki. Ramai pemimpin yang cerdik, bersih dan cekap yang tersingkir hanya kerana tahap keyakinan mereka belum berada di aras yang terbaik. Keyakinan adalah penguasa paling berpengaruh. Ia memimpin kecerdikan, pengalaman dan kepakaran. Namun, keyakinan tidak datang dengan sendiri. Ia hadir selari dengan ilmu dan kebijaksanaan.
24. Ahli politik mestilah mahir berpolitik. Seorang pakar ekonomi atau pakar bedah tidak boleh bergantung dengan kepakaran asal mereka jika mahu menjadi ahli politik yang bagus. Ini mungkin iktibar yang remeh, namun ramai ahli politik yang terleka kerana mereka fikir dengan kepakaran dalam bidang asal mereka akan menjamin undi untuk mereka. Hakikatnya, mereka silap.
25. Negarawan tidak semestinya Perdana Menteri. Perdana Menteri belum tentu Negarawan. Gelaran Negarawan adalah milik individu yang banyak manfaatnya kepada negara, berjiwa besar dengan meletakkan national interest di tempat tertinggi dalam apa jua pertembungan. Negarawan tulen pula meletakkan Islam di tempat tertinggi dalam apa jua pertimbangan.
26. Apapun, Ku Li tetap seorang Negarawan Terbilang yang akan terus dikenang sepanjang zaman.
27. Syabas Tengku Razaleigh!
Rujukan
Ranjit Gill. 1987. Razaleigh : Cita-cita dan perjuangan. Petaling Jaya: Palanduk Publication
Kamal Amir.2010. Tengku Razaleigh Hamzah: Rahsia yang terpendam. Kelana Jaya: Putrajaya Bumi Communication.

AMUKANMELAYU - Tun M sedang membuat PERCATURAN Kuasa Melayu selepas Kegagalan Pak Lah dan Najib......