,مليسيا دان اسلام بوکن ميليک اورڠ ڤوليتيک
, مک ڤرجواڠن اݢام تتڤ دڤرجواڠکن اوليه اومت اسلام دري بيدڠ يڠ لاءين
سام اد كامي منڠ اتاو كامي ماتي

PERJALAN HAJI AKI


Wednesday, 25 December 2013

BANI THA MIM - MENCARI DIRIKU SENDIRI 16


PENGEMBARAAN NABI IBRAHIM SELEPAS MENINGGALKAN SITI HAJAR DI MEKAH MAKA LAHIRLAH Bani Jawi/Tha Mim

Untuk renungan bersama :
Bangsa Melayu adalah teras yang utuh bagi Bani Jawi yang berketurunan terus dari nabi Ibrahim a.s.
Kisah Bani Jawi ini terdapat di dalam kitab Tafsir Ibnu Kathir dan Ibnu Athir, begini ceritanya. Anak-anak nabi Ibrahim dari Siti Qanturah/Keturah(dialek Hebrew) datang kepada bapanya Ibrahim tadi dengan perasaan sedih dan berkata “Wahai bapa kami, tidak adakah dari kalangan kami seorang Rasul pun yang diutuskan? Kalau begitu darjat kedudukan kami jauh daripada darjat bapa kami, tidaklah seperti saudara-saudara kami dari nabi Ishak yang dijanjikan kemenangan ke atas mereka dengan diutuskan ramai rasul di kalangan mereka.”

Nabi Ibrahim mendiamkan diri kerana Jibril masih tidak menurunkan wahyu mengenai anak-anaknya di kalangan anak-anak Qanturah yang digelar Jawi itu. Perasaan sedih dan rendah diri anak-anak Jawi itu berlarutan begitu lama oleh kerana semua berita dari suhuf Ibrahim banyak mengisahkan tentang Ishak, Yaakub dan anak cucu mereka yang memiliki mertabat Rasul Pilihan. Begitu juga mengenai Ismail yang akan lahir dari keturunannya seorang Nabi dan Rasul Pilihan Allah, penutup segala Nabi dan Rasul yang teragung dan bangsanya yang dimuliakan.

Nabi Ibrahim sering berdoa demi mendengar pengaduan anak-anak Jawi-nya sambil diaminkan oleh mereka “Ya Tuhan kami, utuskanlah di kalangan mereka seorang Rasul yang membacakan ke atas mereka ayat-ayat Engkau dan mengajar mereka kitab dan hikmah dan menyucikan mereka, sesungguhnya Engkau Maha Mulia lagi Maha Bijaksana. Ya Tuhan kami kurniakanlah dari isteri-isteri kami dan zuriat keturunan kami seorang penyejuk mata dan jadikanlah kami pemimpin dari orang-orang yang bertakwa.”

Begitulah sayu doa nabi Ibrahim a.s. sehingga Jibril datang dan memberi perkhabaran “Wahai Ibrahim, Khabarkan berita gembira ini kepada anak-anakmu dari Qanturah bahawa mereka memperolehi satu darjat di sisimu di dalam Firdaus dan perintahkan kepada mereka untuk pergi ke Timur dan sempurnakanlah agama Islam yang engkau sampaikan yang belum sempat menyempurnakannya. Mereka akan kembali di akhirat kelak cahaya mereka seperti cahaya anbiya dan rasul sedangkan mereka bukan anbiya atau pun rasul.”

Perasaan gembira nabi Ibrahim jelas kelihatan dengan wajahnya yang bercahaya gilang gemilang dan memanggil semua anak-anaknya dari Siti Qanturah, Zimran, Jokshan, Medan, Midian, Ishbak, Shuah, anak-anak Jokshan; Sheba dan Dedan. Kata ibrahim “Wahai anak-anakku, bergembiralah bahawa kamu semua akan memperolehi cahaya para anbiya dan para rasul dan pergilah kamu ke Timur. Aku telah meninggalkan satu kaum di sana semasa diperintahkan oleh Allah meninggalkan Hajar dan Ismail dan kemudian aku diperintahkan untuk kembali ke Plastine. Selama 9 tahun kaum itu aku seru kepada agama Allah dan belum sempat aku sempurnakannya, maka di atas bahu kamu ke serahkan tugasku ini.”

Dikhabarkan bahawa nabi Ibrahim a.s. telah pergi berdakwah ke Tibet dan Burma selama 9 tahun meninggalkan anak yang masih kecil Ismail bersama ibunya Siti Hajar di suatu padang pasir yang tandus. Apabila kembali kerana diperintahkan oleh Allah baginda melihat anaknya sudah besar berumur 9 tahun dan di padang pasir yang tandus itu telah menjadi sebuah perkampungan orang-orang Jurhum dari Yaman seperti dalam kisah pengorbanan nabi ibrahim a.s. Terdapat juga air telaga dari kesan tumit kaki nabi Ismail yang dinamakan telaga Zamzam.

Kisah Bani Jawi tersebut jelas dikhabarkan di dalam Tafsir Ibnu Kathir dan Ibnu Athir. Penyempurnaan agama Allah yang dipikul oleh Bani Jawi telah mengangkat mertabat mereka ke setinggi-tinggi mertabat Rasul di syurga Firdaus walau pun mereka bukan Rasul.

Oleh itu, wahai kaumku ! sedarilah tentang asal usul keturunanmu dan bangsa tidak akan dapat dipisahkan dari umat manusia kerana Allah telah memaktubkannya di dalam Al-Quran bertujuan untuk saling mengenali tetapi yang paling mulia dari sesuatu bangsa itu ialah yang paling bertakwa.
Allah telah memaktubkan Quraish dengan kemuliaan mereka diutuskan nabi yang terunggul sekali. Agama Allah dibawa atas tiket kaum sebelumnya oleh Bani Israil sehingga memuliakan mereka dan memertabatkan mereka. Maka di atas tiket kaum Bani Jawi Allah mengangkat agama nabi Ibrahim dan memuliakan Bani Jawi.

Kini Bani Jawi perlu bangkit atas millat Ibrahim membawa agama yang satu dan janganlah berpecah-belah dalam millat Ibrahim. Agama yang diwahyukan kepada nabi Muhammad s.a.w. itu adalah agama yang telah diwasiatkan kepada Nuh, Ibrahim, Musa dan Isa ialah agama yang satu atau Agama Tauhid menyeru manusia kepada keesaan Allah. Dengan itu sesuatu kaum akan dimuliakan dan dimertabatkan dengan agama ini seperti firman Allah.
Sekian..