Azeez arah pengurusan TH jawab dakwaan beli tanah 1MDB
BANGI, 7 Mei – Pengurusan Lembaga Tabung Haji (TH) telah diarahkan untuk menjawab dakwaan pembelian tanah milik 1Malaysia Development Berhad (1MDB) seperti tersebar di media sosial.
Pengerusinya, Datuk Seri Azeez Rahim berkata, beliau menyerahkan perkara itu kepada pihak pengurusan akan mengeluarkan kenyataan sedikit masa nanti.
“Saya dah suruh pihak pengurusan Tabung Haji mengeluarkan kenyataan sebentar lagi. Mereka akan jawab nanti… biar mereka selesaikan dahulu,” katanya kepada Astro AWANI.
Sejak semalam, satu dokumen tersebar di media sosial mendakwa Tabung Haji telah membeli dua bidang tanah di Tun Razak Exchange milik 1MDB dengan harga RM772 juta menggunakan dana pendeposit.
Azeez bagaimanapun pantas menafikan dakwaan itu menerusi akaun Twitternya semalam.
Menurut Azeez, penafian segera itu dibuat agar tidak membuka ruang untuk pihak tertentu memutarbelitkan dakwaan itu.
Laporan Astro AWANI juga menyebut, pihak pengurusan Tabung Haji ketika ini difahamkan sedang bermesyuarat.
1MDB sebelum ini dilaporkan mempunyai masalah kewangan membabitkan berbilion-bilion ringgit.
KLiK blog The Benchmark SEKARANG ! Di sana ada bukti salinan kontrak penjualan tanah projek TRX oleh 1MDB kepada Tabung Haji.
Dilaporkan Tabung Haji telah beli 2 bidang tanah TRX berjumlah RM772 juta secara tunai. Yang pertama pada harga RM194juta @ RM2860/kaki persegi dan kedua RM578 juta @ RM3900/kaki persegi.
Tanah dijual oleh kerajaan kepada 1MDB pada harga RM60/kaki ..... BUTA punya untung 1MDB dapat dari duit Tabung Haji.
Siapa lagi yang akan beri untung BUTA kepada 1MDB selepas ini ? KWSP ? Tabung ATM ?
Duit untung buta itu pula antara lain akan digunakan untuk bayar kos faedah pinjaman 1MDB ? Hangus begitu saja ?
Kenapa tidak kerajaan dari awal tubuhkan konsortium dana2 awam seperti Tabung Haji dan jual murah sepertimana kepada 1MDB ..... dan untung BUTA itu boleh digunakan buat pembangunan di tanah itu ? Apa fungsi diwujudkan 1MDB ? Apakah value added yang telah 1MDB tambah kepada tanah itu untuk mendapat untung buta antara 48 hingga 65 kali ganda berbanding harga belian dari kerajaan?
Itu pandangan saya lah ..... mungkin bijak pandai pro 1MDB fikir apasaja yang dilakukan oleh 1MDB adalah yang terbaik.
Oya, kenapa tidak Tabung Haji menunggu terlebih dulu hasil siasatan Ketua Audit Negara dan PAC sebelum buat keputusan membeli tanah 1MDB ?
PS - Tabung Haji kena tampil buat pengesahan perkara ini
Tabung Haji mengaku membeli tanah 1MDB
Penjelasan Tabung Haji Mengenai Pelaburannya Dalam Pembangunan Tun Razak Exchange (TRX)
KUALA LUMPUR, 7 Mei 2015: Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini memberi penjelasan mengenai pelaburannya dalam pembangunan hartanah bagi pembangunan menara kediaman (“hartanah”) di pusat kewangan Tun Razak Exchange (TRX).
Langkah ini adalah sejajar dengan strategi pelaburan hartanah TH yang memberikan tumpuan kepada sektor domestik. Pelaburan ini merupakan keputusan komersial yang menepati selera risiko dan telah melalui semua proses penilaian dalaman yang terperinci.
Pembelian hartanah pada harga RM188.5 juta adalah pada kadar diskaun berlandaskan nilai pasaran semasa dan ia telah dinilai oleh sebuah badan penilai bebas profesional.
Cadangan pembangunan kediaman tersebut akan dibangunkan oleh anak syarikat TH, TH Properties Sdn Bhd yang dijangka akan memberi pulangan positif kepada Kumpulan TH pada masa hadapan.
Walau bagaimanapun, TH menafikan pembelian Signature Tower (Fasa 2) oleh Kumpulan TH sepertimana yang dilaporkan di dalam blog-blog tertentu. Kebocoran maklumat melalui kertas cadangan tidak boleh dijadikan sebagai bukti keputusan muktamad pelaburan tersebut.
TH akan terus meneroka peluang-peluang pelaburan yang seumpamanya di dalam pasaran domestik seperti yang digaris dalam rangkakerja Alokasi Aset Strategik.
Kenyataan oleh : YBhg. Dato’ Johan Abdullah, Timbalan Pengarah Urusan Kumpulan Dan Ketua Pegawai Eksekutif TH.
NOTA- Akan dikemaskini...
Ini cerita semalam