
PILIHANRAYA
1. Kemana sahaja saya pergi, di Malaysia atau luar Negara, saya akan ditanya bila pilihanraya akan diadakan.
2.
 Saya harap saya tahu jawapannya tetapi Perdana Menteri tidak 
memberitahu saya apa-apa, dan lazimnya hanya Perdana Menteri yang boleh 
menentukan tarikh tersebut. Sudah tentu tarikh itu tidak boleh 
melangkaui tempoh 5 tahun hayat Parlimen.
3.
 Soalan seterusnya ialah samada Barisan Nasional akan menang. Jawapan 
saya ia akan menang. Tetapi sebesar mana kemenangan itu sangat penting. 
Malaysia tidak boleh ditadbir oleh Parlimen yang berbelah-bahagi (hung 
Parliament) atau sebuah Kerajaan yang lemah. Keduanya tidak baik untuk 
Malaysia kerana semua akan tumpu kepada politik dan ekonomi serta 
pembangunan akan diketepi.
4.
 Ramai yang berkata Perikatan/Barisan Nasional telah berkuasa terlampau 
lama. Benar. Saya percaya bahawa sesuatu pemerintahan tidak boleh 
terlalu lama. Tetapi sekarang saya tidak begitu yakin pandangan saya 
boleh digunapakai untuk semua keadaan.
5.
 Ini kerana alternatif kepada Barisan Nasional adalah sesuatu yang 
menakutkan Ia dipimpin oleh seorang yang obsesi hanya hendak jadi 
Perdana Menteri tidak kira bagaimana sekalipun. Dulu saya tertanya-tanya
 mengapa ia menyertai UMNO dan bukan PAS. Sekarang saya faham. Ia akan 
melakukan apa sahaja untuk menjadi Perdana Menteri. Menyertai UMNO dan 
tidak PAS, yang pemimpinnya tidak pernah jadi Perdana Menteri, ia akan 
menjadi Perdana Menteri hanya dengan memanjat tangga kepimpinan UMNO. 
Sebaik sahaja menyertai UMNO ia bertanding jawatan Ketua Pemuda. 
Kemudian ia bertanding Naib Presiden seterusnya Timbalan Presiden. 
Langkah selanjutnya ialah menjatuhkan Presiden dan menjadi Perdana 
Menteri. Ia amat mudah.
6.
 Tetapi Perdana Menteri kelihatan tidak mahu berundur. Maka ia memulakan
 gerakan sulit memburukkan Perdana Menteri. Apa yang berlaku sudah 
menjadi lipatan sejarah.
7.
 Sekarang ia menerajui pembangkang dengan harapan akan dinobatkan di 
Putrajaya sebagai Perdana Menteri selepas pilihanraya ini. Saya 
berpendapat ini tidak baik untuk Negara. Begitu juga dengan koleksi 
caca-marba Pakatan yang cuma berpakat untuk tidak bertanding sesama 
mereka tetapi sebaliknya menyokong satu sama lain untuk memenangi 
pilihanraya sahaja. Selain parti “Saya mahu jadi Perdana Menteri”, turut
 sama ialah parti yang rasis dan parti yang memperalatkan agama. Mereka 
akan berbalah sepanjang masa. Mereka bukan satu gabungan. Mereka cuma 
berpakat untuk membantu masing-masing memenangi pilihanraya. Sekarang 
pun mereka sudah berbalah berkenaan siapa yang patut jadi Perdana 
Menteri. Mereka tidak berpegang kepada pendapat bahawa parti yang 
terbesar harus memimpin.


8.
 Memang benar Barisan Nasional sudah lama berkuasa. Begitu juga PAS di 
Kelantan. Tiada siapa boleh nafi kemajuan dan kemakmuran luar biasa yang
 dikecap di Negara dicapai dalam tempoh pemerintahan Barisan Nasional. 
Ini tidak boleh dinyatakan mengenai pencapaian PAS di Kelantan.
9.
 Kepimpinan PAS dan DAP yang sudah berumur tidak bertukar jauh lebih 
lama berbanding Barisan Nasional dan parti-parti komponennya. Sudah enam
 Perdana Menteri memimpin Kerajaan Barisan Nasional tetapi dalam tempoh 
itu Ketua DAP masih tetap ditempatnya dan tidak mahu melepaskan jawatan.
 Dan anaknya akan mengambil-alih. Sebuah dinasti sedang terbina.
10. Kepimpinan PAS juga tidak berubah dalam tempoh kepimpinan empat pemimpin Barisan Nasional.
11.
 Ketua Keadilan meletakkan dirinya sebagai Penasihat tetapi menobat 
isterinya sebagai Presiden dan anak perempuannya sebagai Naib Presiden. 
Teman akrabnya menjadi timbalan. Tidak ada tanda-tanda akan berlaku 
sebarang perubahan kepimpinan. Dan pasti tiada pemimpin yang akan 
meletak jawatan.
12.
 Perubahan mestilah dari dalam dan luar. Perubahan luaran hanyalah untuk
 mengabui mata. Semasa kepimpinan enam ketua UMNO, polisi agak berbeza 
diantara satu sama lain. Kerajaan yang dipimpin tidak boleh dianggap 
sama. Yang pasti prinsip politik dan ekonomi jauh berbeza. Begitu juga 
dengan dasar luar. Malah boleh dikata walaupun nama adalah sama, 
Kerajaan setiap Perdana Menteri itu berbeza satu sama lain.
13.
 Barisan Nasional yang bertanding dalam Pilihanraya Umum ke !3 tidak 
akan sama dengan Barisan Nasional dibawah kepimpinan lima yang 
terdahulu. Ia adalah Barisan Nasional yang baru. Dan perubahan akan 
berlaku.
14.
 Namun begitu Barisan Nasional tetap berpegang kepada prinsip dan polisi
 asas yang sama. Parti komponen BN mengamalkan demokrasi di dalam parti 
dan Negara. BN percaya kepada perdagangan bebas dan inisiatif dari 
sector swasta. BN berpegang kepada kerjasama antara kaum dan perkongsian
 kuasa. BN juga percaya kepada agihan kekayaan yang adil diantara kaum. 
BN mesra perniagaan tanpa meminggir kepentingan anggota masyarakat yang 
lain.
15.
 Ia terbuka kepada innovasi dan idea-idea baru serta mengambil-kira 
pandangan yang dilontar rakyat dan ini membawa kepada perubahan dan 
transformasi. Cuma yang buta sahaja yang tidak dapat melihat perbezaan 
antara pemimpin tertinggi Kerajaan BN.
16.
 Ini bukanlah Negara satu parti. Barisan Nasional itu sendiri adalah 
gabungan 14 parti yang berlainan. Mereka boleh bersama atau memilih 
untuk keluar. Banyak parti ditubuh di Malaysia semasa zaman Perikatan 
dan Barisan memerintah Negara. Setengahnya dapat bertahan walaupun tidak
 menyertai gabungan Kerajaan.Yang lain seperti Sosialis, terus hilang. 
Setengahnya berjaya ke Parlimen manakala yang lain gagal memastikan 
wakil mereka ke Parlimen ataupun Dewan Undangan Negeri.
17.
 Parti-parti pembangkang yang bertahan tidak pernah gagal untuk 
memenangi beberapa kerusi di dalam setiap pilihanraya. PAS kekal 
menerajui Kelantan menerusi beberapa pilihanraya dan pernah memenangi 
Terengganu dua kali. Sebuah parti tempatan pernah menewaskan Barisan 
Nasional dan menubuh Kerajaan di Sabah. Pulau Pinang dimenangi Parti 
Gerakan, ketika itu sebuah parti pembangkang.
18.
 Pilihanraya di Malaysia tidak pernah membosankan. Dalam tahun 1969, 
Perikatan hampir kalah dan dalam tahun 2008 Barisan Nasional kehilangan 
lima buah Negeri, satu Wilayah Persekutuan dan gagal mendapatkan 
majoriti dua pertiga di peringkat Persekutuan. Keputusan pilihanraya di 
Malaysia tidak pernah melihat parti yang memerintah mendapat sokongan 
99%. Hakikatnya parti pembangkang selalu memenangi sebilangan kerusi di 
peringkat Dewan Undangan Negeri dan peringkat Persekutuan.
19.
 Sukar untuk memahami bagaimana seseorang boleh menyatakan bahawa 
Malaysia adalah Negara pemerintahan satu parti. Memang benar Perikatan 
dan Barisan Nasional memenangi semua pilihanraya Persekutuan. Negara ini
 negara demokratik dan jika rakyat memilih untuk mengundi semula parti 
Kerajaan itu hak demokratik mereka. Mengundi pembangkang untuk 
memerintah tidak menjadikan Malaysia lebih demoratik mahupun menjadi 
bukti kita mengamalkan system dwi-parti. Pandangan jika mengundi 
pembangkang dalam pilihanraya akan datang akan menjadikan Malaysia 
negara yang mengamalkan system dwi-parti adalah tidak berasas. 
Parti-parti pembangkang tidak mewakili satu parti, bukan pun satu 
gabungan. Mereka membantu satu sama lain hanya untuk memenangi 
pilihanraya. Mereka akan kekal bersendirian, setiap satu dengan dasar 
dan agenda masing-masing. Mereka mungkin menubuhkan Kerajaan campuran 
tetapi ia akan menjadi gabungan yang longgar tanpa satupun agenda yang 
jelas.
20.
 Barak Obama menjanjikan perubahan bila terpilih. Tetapi ia tidak 
berdaya untuk menutup Guantanamo Bay ataupun keluar segera dari Iraq 
atau Afghanistan. Ia terpaksa meneruskan tindakan yang dirancang oleh 
orang yang digantikannya. Apabila tamat edahnya tiada apa perubahan yang
 telah berlaku di Amerika Syarikat.
21.
 Di Jepun kehendak kepada perubahan membawa kepada kekalahan LDP. 
Sekarang LDP kembali berkuasa menggantikan Parti Demokratik Jepun yang 
kekal hanya satu penggal. Perubahan Kerajaan tidak meningkat kemajuan 
Jepun.
22.
 Pendapat bahawa perubahan semestinya membawa kebaikan tidak selalu 
benar. Milton Obote dikatakan Presiden yang tidak baik untuk Uganda. 
Maka Idi Amin merampas kuasa. Ia lebih buruk sehingga terpaksa 
diturunkan secara paksa oleh tentera yang memberontak.
23.
 Iraq diperintah oleh Saddam Hussein sebagai diktator. Ia dikatakan amat
 kejam. Amerika Syarikat membuat keputusan melakukan pertukaran rejim 
(regime change). Ini melibatkan pembunuhan 200,000 rakyat Iraq yang 
tidak berdosa selain menghancurkan negara mereka.
24.
 Terdapat Kerajaan baru sekarang tetapi disangsikan kebaikannya 
berbanding Kerajaan Saddam. Tidak ada pertelingkahan antara puak Sunnah 
wal Jamaah dengan Syiah di zaman Saddam, tetapi sekarang pertembungan 
ganas sering berlaku antara dua pihak ini, masing-masing mengebom dan 
membunuh pihak yang lain.
25.
 Terdapat banyak contoh perubahan rejim tetapi kebanyakkannya tiada 
perubahan yang berlaku hasil darinya. Amat sedikit contoh menunjuk 
apabila berlaku perubahan keadaan bertambah baik. Sepertimana dikatakan 
oleh orang Perancis “Plus ca change, plus c’est la meme chose” (lebih 
banyak perubahan, lebih banyak kekal sama).
26.
 Tidak perlu menukar Kerajaan semata-mata untuk menegak system 
dwi-parti. Negara yang mempunyai system dwi-parti tidak berkeadaan lebih
 baik. Mereka masih menghadapi krisis kekonomi dan kewangan, mereka 
mengalami kemelesetan, berdepan dengan demonstrasi jalanan dan mogok.
27.
 Saya telah nyatakan sebelum ini “better the devil you know than the 
angel you don’t.” Barisan Nasional bukanlah syaitan. Negara ini maju 
dengan jaya di bawah pemerintahan Barisan Nasional. Bila kejayaan tidak 
berlaku, Barisan cepat menukar pemimpin yang gagal.
28.
 Pilihanraya memberi kita peluang untuk menunjuk kepada parti pemerintah
 akan perlunya mengubah dirinya sendiri. Mesej ini akan sampai, amaran 
telah diberi dan tindakan positif akan diambil.
29.
 Jangan perjudi Negara ini dengan yang tidak dikenali dan yang belum 
teruji. Beberapa peluang yang diberi kepada pembangkang menunjuk 
kekurangan kemahiran dan pencapaian. Kelantan jelas tidak maju dengan 
baik. Pulau Pinang pula, kejayaan yang sedikit disertai dengan kegagalan
 yang banyak.
30.
 Pilihanraya bertujuan untuk rakyat memilih parti yang akan memerintah 
Negara. Ramai percaya majoriti rakyat tahu apa yang baik untuk mereka. 
Tetapi hakikatnya majoriti rakyat tidak tahu. Mereka mengundi samada 
berdasarkan kaum atau parti yang propagandanya terdedah kepada mereka. 
Cuma segelintir yang memahami isu-isu dan kualiti parti yang bertanding.
31. Akibatnya, pilihanraya mungkin menyebabkan parti yang tidak layak terpilih membentuk Kerajaan.
32.
 Kerana kemungkinan ini, amatlah penting pengundi diberi seberapa banyak
 penjelasan yang mungkin mengenai parti dan dasar serta rekod mereka 
supaya pengundi dapat membuat keputusan yang pintar.
amukanmelayu - siapa pilihan anda itu tidak PENTING, tp pemimpin perlu lebih pintar dari PENGUNDI, jika IQ nya rendah atau sama dengan pengundi.....itu mengundang PADAH namanya.