,مليسيا دان اسلام بوکن ميليک اورڠ ڤوليتيک
, مک ڤرجواڠن اݢام تتڤ دڤرجواڠکن اوليه اومت اسلام دري بيدڠ يڠ لاءين
سام اد كامي منڠ اتاو كامي ماتي

PERJALAN HAJI AKI


Wednesday, 3 February 2016

ITU TAKDIRNYA - Mukhriz TERLENTOK DI BAHU NAJIB


Mukhriz Umum Lepaskan Jawatan Menteri Besar Kedah Serta Merta






Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dalam satu sidang media sebentar tadi mengumumkan meletak jawatan serta merta.
  Beliau mengumumkan demikian di  Bilik Gerakan Negeri,Aras 6 Block E Wisma Darul Aman.

Keputusan ini dibuat selepas kepimpinan UMNO Kedah telah menyatakan hilang keyakinan kepada kepimpinan beliau dua minggu yang lalu.
  Selain itu Mukhriz dikatakan terpaksa berbuat demikian selepas Jemaah Pemangku Sultan Kedah berpuas hati bahawa Adun Ayer Hitam itu telah hilang kepercayaan daripada majoriti Adun negeri itu.  Difahamkan, istiadat angkat sumpah Menteri Besar akan diadakan pada Khamis ini.- Siakapkeli.my

Tiada Lagi Sokongan Majoriti.. Mukhriz Umum Letak Jawatan Hari Ini?

 Kemelut politik Kedah yang berpanjangan hampir ke penghujung apabila Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir dijangka meletak jawatannya hari ini selepas tidak lagi memiliki sokongan majoriti dalam Dewan Undangan Negeri (DUN), kata sumber.

Sumber memberitahu The Malaysian Insider Jemaah Pemangku Sultan Kedah sudah memaklumkan kepada Mukhriz beliau sudah tidak lagi memiliki sokongan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kedah dan perlu melepaskan jawatan yang disandangnya.

"Petang tadi (semalam) ahli Jemaah Pemangku Sultan Kedah berpuas hati yang Mukhriz sudah hilang kepercayaan daripada majoriti Adun dalam Kedah," kata sumber kepada The Malaysian Insider selepas menghadiri mesyuarat dengan Adun Barisan Nasional (BN) di Hotel Grand Alora, Alor Setar.

Sumber mengatakan keputusan itu dibuat jemaah selepas pertemuan terakhir diadakan dengan semua Adun pembangkang yang diadakan di Wisma Darul Aman petang semalam.

Petang semalam, seramai 13 Adun pembangkang daripada PAS, PKR, DAP dan Amanah menghadiri pertemuan secara individu dengan jemaah, yang terdiri daripada Pengerusinya Tunku Temenggong Tan Sri Tunku Sallehuddin Badlishah, Tunku Laksamana Datuk Seri Diraja Tunku Abdul Hamid Thani Badlishah dan Puteri Sulung Sultan Kedah Tengku Panglima Besar Datuk Seri Tunku Puteri Intan Safinaz.

Terdahulu, The Malaysian Insider melaporkan Adun BN kekurangan sokongan apabila terdapat 2 wakil rakyat yang membelot dan menyatakan sokongan kepada Mukhriz semasa pertemuan pada Isnin lalu bersama semua Adun BN.

Menurut sumber, laporan media mengatakan semua wakil rakyat pembangkang menyokong Mukhriz sebagai tidak tepat kerana terdapat di kalangan mereka yang tidak menyokong menteri besar itu.

"Keputusan jemaah tepat sebab tidak dengar daripada pihak ketiga, kesimpulannya sah akan ada menteri besar baharu.

"Cuma tarikh angkat sumpah tidak pasti tapi kami harap secepat mungkin," kata sumber.

Sumber tidak mendedahkan nama menteri besar baharu dan menyerahkan kepada pihak Istana Kedah untuk mengumumkannya nanti.

Menurut sumber, Mukhriz sendiri sudah bersetuju untuk meletak jawatan hari ini dan juga membatalkan mesyuarat Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (exco) mingguan hari ini susulan perkembangan terbaharu ini.

"Mukhriz panggil semua pegawai khas beliau ke kediaman rasminya malam ini untuk memberitahu keputusan tersebut.

"Beliau juga sudah bersetuju letak jawatan. Mesyuarat exco dibatalkan, mungkin malam ini ada pengumuman atau esok (hari ini). Tidak pasti," katanya.

Sementara itu, sumber yang rapat dengan Mukhriz semasa tidak menafikan mengenai spekulasi peletakan jawatan hari ini cuma memberitahu hari ini satu sidang media akan diadakan di Wisma Darul Aman jam 10 pagi.

"Untuk makluman media, sidang media Menteri Besar Datuk Seri Mukhriz Mahathir akan diadakan hari ini di Bilik Gerakan Negeri, Wisma Darul Aman," kata sumber dari pejabat menteri besar.

Sumber dari pejabat Mukhriz juga memberitahu satu pengumuman besar akan dibuat dalam sidang media hari ini.

"Betul, tunggu sahaja pengumuman esok (hari ini)," kata sumber Mukhriz apabila ditanya mengenai peletakan jawatan hari ini.

Kemelut politik Kedah sudah berlarutan lebih seminggu selepas sidang media diadakan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah pada 20 Januari lalu.

Bagaimanapun, tanda tanya mengenai menteri besar baharu menjadi misteri apabila Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tidak mengumumkan menteri besar baharu walaupun sudah menghadap Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah dan Jemaah Diraja Kedah, dipercayai bagi membincangkan calon pengganti Mukhriz. – 3 Februari, 2015.

SEBAB UTAMA MUKHRIZ MESTI DISINGKIRKAN SEGERA


JAMIN MUKA TUA TERUS DIPILIH JADI CALON
 

Apakah sebab utama sebahagian besar  anggota BN Dewan Undangan Negeri Kedah mahu MB Mukhriz  disingkirkan sebelum sampai masanya. Kerakusan tindakan ini dengan alasan  tipis menghina tidak sahaja  kemampuan berfikir rakyat Kedah tetapi seluruh rakyat Malaysia.

Kerakusan ini juga semakin mendedahkan kepada rakyat kerakusan politik Presiden UMNO dan juga Perdana Menteri Datuk Seri Najib sehingga mencetuskan suatu krisis perlembagaan di negeri Kedah yang melibatkan Istana.

Ini adalah politik do or die bagi Najib dan juga penyokong-penyokong setianya di negeri Kedah.

Mukhriz mesti disingkirkan dengan pantas untuk menjamin kumpulan  yang mahu menyingkirkannya tidak tersingkir dari pencalonan bagi DUN dan juga  Parlimen  Kedah dalam pilihanraya umum akan datang. Mukhriz pastinya tidak akan mengekalkan mereka.

Jika Mukhriz kekal sebagai MB dan Pengerusi Perhubungan UMNO negeri Kedah maka pastinya muka-muka lama dan tua ini tidak lagi berpeluang untuk menjadikan politik sebagai profesyen seumur hidup.Walaupun beliau tidak mempunyai kuasa sepenuhnya dalam hal ini (Kuasa pemutus di tangan Presiden) tetapi beliau  sedang  memantapkan kedudukan politiknya  di kalangan pemuda yang sukar bagi Najib untuk menolak suaranya kelak.

Banyak pemuda UMNO Kedah yang secara diam-diam memberikan sokongan kuat kepada Mukhriz. Mereka telah  sekian lama dinafikan peranan  untuk turut memberi sumbangan menjalankan sebuah kerajaan negeri berjiwa rakyat yang dinamik,bervisi dan cekap. Mereka melihat pendekatan Mukhriz ke arah ini dan Mukhriz telah memberikan harapan baru kepada mereka.

Inilah yang ditakuti  oleh kumpulan yang mahu menyingkirkan Mukhriz.

Kegagalan Mukhriz dalam menjalankan pentadbiran dan pengurusan politik negeri Kedah adalah kerana kumpulan ini menjadi duri dalam daging dan tidak membantu Mukhriz dalam melaksana visi dan  perancangannya di Kedah. Mereka memburuk dan memperkecil  rancangan  Mukhriz untuk membangunkan lapangan terbang antarabangsa baru di Kulim.

Mereka menjalankan kerja-kerja sabotaj dengan memburukkan Mukhriz di kalangan rakyat Kedah dan sekarang mereka menuding jari kepada Mukhriz untuk menutup kesilapan dan keburukan mereka sendiri.

Kepada rakyat Kedah, Mukhriz tidak lemah tetapi yang lemah adalah mereka yang mahu menyingkirkannya.

Osma Aroff Bersuara, Imbas Kenangan "Manis" Dipaksa Letak Jawatan


ALOR SETAR –  Bekas Menteri Besar (MB) Kedah, Tan Sri Osman Aroff yang ‘diundurkan’ jawatannya pada 1996 meminta Datuk Seri Mukhriz Mahathir akur keputusan parti mahu menggantikannya dengan pemimpin lain.
Beliau, yang pernah ditukar dengan Tan Sri Sanusi Junid oleh Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad; juga meminta penyokong Mukhriz tidak mengaitkan krisis UMNO Kedah kini dengan pihak istana.
MB Kedah keenam dari 1985 sehingga 1996 itu malah menyarankan agar semua pihak terbabit di negeri Jelapang Padi akur dengan pendirian parti yang sudah pun membuat keputusan berhubung kedudukan status Mukhriz.
Osman berkata, beliau pernah mengalaminya dahulu apabila Mahathir selaku Presiden UMNO ketika itu mahukan dirinya meletakkan jawatan MB walaupun dipertahankan oleh 22 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kedah.
Kata beliau yang juga bekas ADUN Jitra itu, ketika waktu tersebut pihak Istana Kedah langsung tidak pernah campur tangan dan terus berkecuali hingga isu selesai dengan pengundurannya atas dasar mengikut arahan ketua.
“Di pihak mana sekali pun, jangan guna nama istana kerana setahu saya istana tidak pernah masuk campur. Sultan Kedah (Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah) malah tidak ikut campur hal politik, baginda berkecuali,” katanya.
Osman juga berkata, jentera pentadbiran Kedah kemungkinan bakal berhadapan dengan masalah besar jika Mukhriz terus kekal MB tanpa mendapat sokongan dan dokongan majoriti pemimpin parti di negerinya sendiri.
Justeru, beliau minta Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak segera membuat keputusan bagi menjernihkan kembali keadaan dengan tidak membiarkan kemelut politik negeri tersebut berpanjangan tanpa kesudahan.
“Parti di peringkat negeri sudah buat pendirian hilang kepercayaan kepada pimpinan mereka. PM tidak boleh tangguh lagi kerana keadaan boleh jadi lebih buruk jika dibiarkan. Najib perlu buat keputusan segera.
“Apa yang jelas, jika MB kekal tanpa sokongan parti yang mendokongnya, maka pentadbiran negeri Kedah akan berada dalam masalah. Jika bermasalah bagaimana pentadbiran akan berjalan dengan lancar,” kata Osman.
Beliau juga membidas dakwaan konon Barisan Nasional (BN) akan kalah pada Pilihan Raya Umum (PRU) jika Mukhriz disingkirkan kerana berpendapat keputusan PRU berdasarkan gerak kerja parti mendekati rakyat.
“Untuk kata muktamad BN akan kalah pada PRU,… itu tidak adil. Kita tidak boleh kata kemenangan itu disebabkan seseorang semata-mata kerana seluruh jentera buat kerja keras untuk mendapatkan undi rakyat.
“Apa yang penting dalam apa jua keadaan selepas ini, BN perlu kembali mendekati rakyat dan berusaha memenangi hati rakyat bagi menghadapi PRU ke-14 nanti,” tegas Osman. – Agensi


UMNO Akan Kehilangan Pengundi Muda





SHAH ALAM – Penganalisis politik menjangkakan Umno-BN bakal kehilangan sokongan pengundi muda dalam PRU14 di Kedah susulan krisis melibatkan Menteri Besarnya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang sedang berlaku.
Pensyarah Pusat Pengajian Antarabangsa Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata, situasi yang melanda Umno Kedah hari ini membuatkan orang muda di negeri itu tersinggung.

“Saya rasa memang ada kemungkinan besar berlaku keadaan itu (hilang sokongan pengundi muda). Sebelum ini pun kita lihat sambutan terhadap Mukhriz ketika hadir ke stadium berjumpa ramai orang muda dan kita tahu dulu masa PRU13, apabila dia umum sebagai menteri besar, ada berlaku ‘swing’ yang agak besar dalam kalangan pengundi muda yang menyokong BN ketika itu.

“Kalau lihat dalam konteks itu, secara umumnya kita tahu keadaan yang berlaku sekarang ini akan menyebabkan sokongan orang muda akan beralih sedikit. Jika beliau dipecat, sokongan itu akan beralih tapi kita tidak pasti sama ada mereka ini (pengundi muda) menyokong pembangkang ataupun membuat undi protes ataupun tidak keluar mengundi pada PRU14,” katanya kepada Sinar Online.

Baru-baru ini, 14 daripada 15 Ketua Umno Bahagian Kedah yang diketuai Timbalan Pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah merayu Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak supaya membuat perubahan segera terhadap kepimpinan tertinggi parti negeri dan jawatan Menteri Besar Kedah dan mendakwa telah hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Mukhriz.
Mohd Azizuddin turut mengakui di Kedah tiada pemimpin yang dapat menandingi ketokohan yang ada pada anak bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad itu, buat masa ini.

“Mukhriz pun kita tahu bukan sepenuhnya pengaruh dia yang mendapat sokongan...pengaruh bapanya juga mainkan peranan yang kuat. Jadi, kalau pemimpin yang lain nak naik, mungkin mengambil masa juga untuk mencapai tahap (Mukhriz) tapi boleh.

“Sebab pemimpin muda selalunya...dalam kajian sebelum ini, kecenderungan pengundi muda akan menyokong calon muda, jadi, kalau letak contohnya pengganti kepada Mukhriz, seorang yang muda juga, ada potensi untuk dia menjadi ikon juga kepada Kedah. Tapi kalau letak pemimpin yang senior, agak susahlah,” katanya.

Menurutnya lagi, pemimpin lain perlu mencari mekanisme yang unik untuk menarik golongan muda selain meneruskan pendekatan yang diamalkan Mukhriz selama ini.

“Mukhriz tidak menonjolkan diri, dalam berpakaian pun biasa sahaja, pergi pasar malam, masuk dalam masyarakat untuk jumpa orang, media sosial juga digunakan, tapi pendekatan dia lebih banyak bersemuka...jumpa orang di bawah.

“Jadi, rakyat ini mahukan perhatian. Jika ada pemimpin bagi perhatian, mereka sukalah. Jadi, itu kelebihan yang ada pada Mukhriz. Orang lain kena buat begitu jugalah, mungkin ada cara yang lebih menarik untuk menarik orang di peringkat bawah. Mereka kena fikir mekanisme untuk tarik orang muda dan saya rasa orang muda akan tertarik jika kena caranya,” katanya.

Turut senada dengannya, Pensyarah Fakulti Sains Sosial dari Universiti Malaysia Sarawak (Unimas),Prof Madya Dr Jeniri Amir yang melihat bukan sahaja orang muda, malah perkembangan di Kedah ini juga tidak disenangi rakyat pelbagai peringkat usia.

“Yang pasti bukan sahaja pengundi muda yang tidak senang hati dengan segala perkembangan dan krisis yang berlaku di Kedah ini kerana mereka rasa apa yang berlaku sekarang tidak sepatutnya berlaku. Mukhriz ini seorang pemimpin yang bukan sahaja popular dalam kalangan golongan berumur tapi juga dalam golongan muda.

“Sedikit sebanyak apa yang menimpa Mukhriz ini akan memberi kesan terhadap bagaimana pola pengundian dan sokongan pengundi muda kerana Mukhriz ini dianggap sebagai pemimpin muda yang dinamik, faham aspirasi golongan muda dan dapat diyakini boleh membawa aspirasi mereka,” katanya.
Oleh itu katanya, jika segala krisis yang berlaku ini tidak ditangani dengan berkesan, ia pasti akan memberi impak kepada PRU14.

“Jika krisis ini berlarutan dan sekiranya Mukhriz digugurkan sebagai menteri besar, golongan muda mungkin akan beralih angin. Harus diingat kemenangan BN di Kedah sebelum ini, sebahagiannya adalah disebabkan oleh faktor Mukhriz.

“Mukhriz ketika itu berada di taraf populariti yang begitu tinggi disebabkan oleh pembawaan beliau itu sendiri dan juga pembaharuan yang cuba dibawa oleh beliau. Itu yang menyebabkan BN berjaya menumbangkan Pas. jadi, sebahagian sokongan itu dari orang muda,” katanya.


AMUKANMelayu - Biaq apa pun terjadi.....hangpa jangan tegoq....sehinggalah aku balik mai.....ingat tu.....jangan TEGOQ.....