,مليسيا دان اسلام بوکن ميليک اورڠ ڤوليتيک
, مک ڤرجواڠن اݢام تتڤ دڤرجواڠکن اوليه اومت اسلام دري بيدڠ يڠ لاءين
سام اد كامي منڠ اتاو كامي ماتي

PERJALAN HAJI AKI


Tuesday 17 July 2012

TOKOH WARTAWAN NEGARA - TAH NIAH PAK KADIAQ........

A. Kadir Jasin @ Kunta Kinte Tokoh Wartawan Negara 2011


kadir2012
Oleh Ab Jalil Backer
Bekas Ketua Pengarang Kumpulan The New Straits Times Press, Datuk A. Kadir Jasin telah diplih sebagai Tokoh Wartawan Negara ke-9 selepas Tan Sri A. Samad Ismail; diikuti oleh Tan Sri Lee Siew Yee, Datuk Ishak Haji Mohamad atau Pak Sako, Tun Mohamad Fuad Stephens, Tan Sri Melan Abdullah, Tan Sri Mazlan Nordin, Tan Sri Zainuddin Maidin dan Datuk C.C Liew.
Pemilihan Datuk A. Kadir Jasin sebagai Tokoh Wartawan Negara ke -9 diumumkan oleh Institut Akhbar Malaysia dalam satu majlis yang di hadiri oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Royale Damansara semalam.

Dilahirkan di Pendang, Kedah pada 23 Ogos 1947, Kadir memulakan kerjaya sebagai wartawan kadet di BERNAMA pada Jun 1969 -tahun yang penuh huru-hara. Ketika itu negara baru sahaja melalui tragedi 13 Mei yang menyaksikan pertumpahan darah antara kaum. Mungkin titik permulaan ini yang menjadikan Kadir seorang wartawan besar kemudiannya.
Membincangkan kekuatan dan ketrampilan Kadir Jasin sebagai tokoh wartawan tidak mungkin lengkap tanpa menyatakan beliaulah penulis pojok terkenal bernama Kunta Kinte yang menulis dalam Beita Harian 1987-1993. Pada ketika zaman kegemilangan Datuk Seri Anwar Ibrahim, Kunta Kinte merupakan satu-satunya berani menegur Timbalan Perdana Menteri tersebut. Akibatnya pada tahun 1993, kolum Kunta Kinte beliau ditamatkan sungguhpun beliau masih kekal sebagai Ketua Pengarang NST.
Menulis dalam kompilasi buku “Biar Putih Tulang…” Kadir secara jelas menyatakan, “tidak segan silu saya nyatakan bahawa saya pasti terus menulis ruangan ini seandainya tidak diarahkan memberhentikannya walaupun tiada sebarang sebab diberikan.”
Gaya penulisan Kadir yang bersahaja dan berterus-terang menjadikan beliau sebagai seorang pencerita yang sangat menakjubkan ketika zaman kegemilanngan.
Tan Sri A. Samad Ismail pernah menulis bahawa Kunta Kinte @ Kadir Jasin bukan sahaja tegas dan keras mengkritik tetapi juga sangat adil. Suatu ketika beliau membelasah Lim Guan Eng, tetapi apabila Guan Eng digantung keanggotaan Dewan Rakyat selama setahun, beliau mengkritik penganggantungan tersebut sebagai terlalu berat. Ketika beliau mengecam Tunku Abdul Rahman kerana perbezaan pandangan, beliau juga membelasah kerajaan apabila terlalu lambat meluluskan permohonan rawatan Tunku Abdul Rahman ke luar negara.
Kehebatan Kadir ialah kebolehan beliau menulis dalam bahasa yang mudah dan padat seolah-olah dia sedang bercakap dan berbual-bual dengan orang kampung tetapi dalam masa yang sama menyampaikan buah fikiran yang besar mengenai ekonomi, sosial dan politik negara.
Dalam ucapan penganugerahan ini, Ketua Panel Pemilih, Professor Dr. Ahmad Murad Merican, dari Universiti Teknologi PETRONAS antara lain menyatakan,
“Sejak tahun 1969, Datuk Kadir telah menulis untuk hampir semua genre kewartawanan dari berita dan rencana, komentar dan lidah pengarang, ulasan dan kritikan, blog dan buku. Datuk Kadir ialah satu-satunya nama besar dalam kewartawanan dwi bahasa di Malaysia.
Datuk Kadir telah melalui pelbagai era perubahan sosial, kepimpinan dan politik negara. Beliau adalah pencatat dan perakam zaman yang setia dan dipercayai.
Malah, beliau adalah seorang daripada yang tidak ramai yang masih gigih dan aktif memberikan sumbangan penulisan yang bertenaga dan semasa kepada pembaca.
Datuk Kadir adalah tukang cerita yang cemerlang dan terbilang. Dalam era media baru, Datuk Kadir melalui ‘The Scribe’ merupakan wartawan yang unggul. Blog tersebut memperlihatkan kesedaran akan peranan beliau dalam pembinaan masyarakat dan negara bangsa. Suara ‘Kunta Kinte’ terus berkumandang dalam ruang siber. Beliau merupakan salah seorang peneroka penulisan blog di Malaysia.
Dengan kata lain, Kadir Jasin adalah satu-satunya Tokoh Wartawan Negara yang bukan sahaja mewakili generasi lama wartawan besar tetapi juga mewakili kewartawanan siber yang baru bertapak di negara ini.
Prof Ahmad Murad turut memetik penjelasan MYKMU beberapa tahun lalu bagi menggambarkan kekuatan pengaruh penulisan Kadir Jasin sebagai penulis,
Dalam hal ini saya terpanggil untuk menyatakan satu contoh pengaruh Datuk Kadir kepada masyarakat awam melalui kolum Kunta Kinte. Tidak lama dulu terdapat kekeliruan tentang penggunaan nama ‘Kunta Kinte.’
Penulis laman ‘Kunta Kinte Malaysia’ (bukan Datuk Kadir) menjelaskan bahawa beliau menggunakan nama tersebut bagi membezakannya dengan nama pena ‘Kunta Kinte’ yang asal. Nama samaran tersebut digunakan oleh Datuk Kadir semasa beliau menerajui Berita Harian antara tahun 1987 hingga 1995.
Penulis ‘Kunta Kinte’ tiruan itu mengaku bahawa beliau adalah “antara anak muda yang ‘membesar’ dalam pemikiran dan pemahaman ke atas masyarakat melalui pandangan alam ‘Kunta Kinte’ (Kadir Jasin).” Dari catatan itu kita dapati bahawa Datuk Kadir amat berpengaruh:
Nostalgiknya gelaran abdi ini kerana ia digunakan oleh kolumnis yang cukup mempengaruhi penulis ketika sekolah, biar pun tidak mengetahui siapa sebenarnya di sebalik nama ‘Kunta Kinte’ di Berita Harian.
Kalau ditanya siapa guru atau mentor paling berpengaruh dalam hidup penulis, nescaya ‘Kunta Kinte’ di Berita Harian itulah guru dan mentor terbaik penulis, biarpun beliau tidak pernah menjadi guru atau mentor penulis secara langsung
Kenyataan ini sebenarnya dipetik daripada tulisan kolumnis portal ini pada tahun 2003 -Kunta Kinte Malaysia Bukan Datuk A. Kadir Jasin
Anugerah Tokoh Wartawan Negara kepada A. Kadir Jasin bukan sahaja melengkapkan perjalanan kerjaya beliau sebagai wartawan tetapi juga merupakan pelengkap kepada tokoh-tokoh wartawan Melayu yang memenangi anugerah ini sebelum ini. Kadir mungkin merupakan pemenang terakhir anugerah ini yang mempunyai hubungan langsung dengan nama besar kewartawanan Negara – Pak Sako dan Pak Melan Abdullah.
Tahniah Datuk Kadir!

amukanmelayu - Jauhari juga yang mengenal maknikam........