,مليسيا دان اسلام بوکن ميليک اورڠ ڤوليتيک
, مک ڤرجواڠن اݢام تتڤ دڤرجواڠکن اوليه اومت اسلام دري بيدڠ يڠ لاءين
سام اد كامي منڠ اتاو كامي ماتي

PERJALAN HAJI AKI


Wednesday, 10 October 2012

ISLAMELAYU MENYATUKAN SEMUA ETNIK DI NUSANTARA...



 

INTRODUKSI
Satu satunya sumber sejarah Bugis klasik yang dikatakan terpanjang di dunia ialah senaskah buku bertulis tulisan Lontara (Brahmi) bertajuk "I La Galigo" yang sekarang tersimpan rapi di beberapa perpustakaan Eropah termasuk Perpustakaan Leiden di Belanda. Naskah La Galigo yang panjang itu sebahagiannya gagal diselamatkan yang selamat hanya 600 muka surat sahaja. Sebahagiannya telah rosak oleh serangga atau reput ketika dalam simpanan selama beberapa ratus tahun. Walau pun La Galigo tidak dapat diakui sebagai "Sumber sejarah Bugis" sepenuhnya oleh ahli sejarah disebabkan oleh kandungannya yang lebih kepada mitos dan mistis namun sekurang-kurangnya telah berjaya menjelaskan bentuk masyarakat Bugis sebelum abad ke-14.


Mengungkap sejarah Bugis menurut konteks dan interpretasi kami Bugis terbahagi dua secara geografi iaitu Bugis Gunung dan Bugis Laut. Penempatan Bugis terawal ialah di kawasan teluk yang dikenali sebagai LUWU' hari ini. Menurut beberapa catatan sejarah Bangsa Bugis terawal Luwu' @ Luwuk ini berasal dari Sumatera iaitu dari satu suku kaum purba yang dikenali sebagai Bangsa Nias. Ini kerana Suku Nias yang dikatakan kehidupannya lebih kepada gaya hidup Orang Laut. Kalau perkara tersebut benar maka sudah tentu ada bangsa Gunung yang menjadi penguasa mereka kerana Orang Laut tidak akan berhijrah atau tinggal di satu kawasan laut tanpa penguasa sebagai peraih dan pembeli kepada hasil laut mereka.


Perkara ini perlulah difahami sebagai ikatan Laut dan Darat, maritim dan agraria untuk mewujudkan keseimbangan sehingga terbentuknya kerajaan-kerajaan awal. Maka tidak hairanlah mengapa terdapatnya bangsa
Toraja yang hidup di pergunungan Luwu' manakala terdapatnya penempatan Orang Laut di Wajo' di mana tempat berkumpulnya masyarakat Bajau (Bajo'). Masyarakat Toraja mempunyai adat budaya persis Masyarakat Batak di Sumatera. Bentuk rumah adat, persenjataan dan peralatan pertanian tidak ubah seperti apa yang dimiliki oleh Batak di Sumatera. Maka kenyataan beberapa keterangan sejarah tentang Bugis berasal dari Sumatera kemungkinan adalah benar. Kalau pun Bugis adalah asal-usul Orang Nias dan Batak di Sumatera maka itu pun lebih mendekati kebenaran. Perkara ini akan dibuktikan secara lanjut.
Menurut pengkaji sejarah Bugis hanya datang ke Pulau Nias sekitar abad ke-18. Menurut Hämmerle (2004), sekitar 250 tahun yang lalu orang Bugis berlabuh di pulau Simeulue, Nias, dan kepulauan Batu. Di mana mereka mendapat pulau kosong, di situ mereka memberi nama pulau bersangkutan. Keterangan ini selaras dengan isi legenda asal-mula pulau-pulau Batu. Selain itu, keterangan ini menunjukkan kedatangan orang Bugis di kepulauan Batu pada abad 18 (sekitar tahun 1750), suatu rentang waktu yang relatif jauh dibanding abad 12 sebagaimana perkiraan Mufti.[01]


ASALNYA NAMA BUGIS

Menurut tradisi lisan dan beberapa keterangan yang kita boleh dapat dari sumber internet nama BUGIS dikatakan berasal dari seseorang yang bernama "Ugi", manakala dari sumber lain menyatakan bahawa Bugis diambil dari kata "Buki" atau "Bukit" kerana kehidupan masyarakat RAJA yang tinggal di pergunungan seperti TORAJA sangat sinonim dengan bukit. Apa yang menjadi kehairanan mengapa huruf "S" disebut sehingga menjadi Bukis atau Bugis? Satu kemungkinan kata asal BUGIS muncul dari perkataan asing yang akhirnya menjadi "jenama" Bugis seperti hari ini.


Menurut seorang pengkaji sejarah Sabah (North Borneo) bernama Abdul Samad Al-Suguti yang juga mahir dengan sejarah Bugis, beliau telah menyatakan bahawa nama UGIS diambil dari panggilan "Orang Portugis" yang pertama kali datang ke Asia Tenggara melalui Gujerat di India sekitar abad ke-11 hingga abad ke-13. Kerana sebahagian Orang Portugis ini lari dari tanah asal mereka Portugal kerana Perang Salib menuju ke India. Mereka adalah Portugis beragama Islam yang kalah kepada Portugis dan Spanyol Kristian mengikut kapal-kapal dagang Arab. Dari India mereka mengikut kapal layar menuju ke kepulauan rempah sehingga tiba di Makassar dan Luwu'.

Kalau ini benar maka kemungkinan besar disinilah kerajaan yang dinamakan oleh
Prester Johnseperti yang dinyatakan oleh Padri-padri Jesuit kepada Raja Kristian Portugal sehingga menggalakkan Portugal menjalankan ekspedisi mereka yang pertama ke Asia Tenggara. Bangsa Eropah yang pertama mencatat sejarah dan peta Sulawesi ialah bangsa Portugis.
  • Peta Sulawesi yang dilukis Portugis pertama kali pada tahun 1534 tidak menyentuh tentang Goa, dan hanya memeta 'Siom"(Siang), 'Tello'(Tallo') dan 'Agacim'(Garassi'). Mengikut penulisan Antonio de Paiva, Goa, (di mana didalam penulisannya merujuk kepada Bandar Besar) yang kemudiannya muncul di peta Portugis... [02]
Menurut Abdul Samad Al-Suguti lagi pelayaran Portugis ke Nusantara telah ditemani oleh pemandu pelayaran yang handal bernama Hendry The Black yang ketika itu menetap di Spanyol. Hendry The Black adalah berbangsa Sulug yang pernah menjadi pemandu arah kepada Ferdinand Magellan dan telah berjaya memesongkan Magellan dari singgah ke Pulau Jolo, Sulu. Tetapi pelayaran Portugis sebelumnya seperti Barbossa pernah singgah di Pulau Jolo Sulu antara 1512-1520an. Kemungkinan besar disinilah bermula bangsa Portugis digelar oleh Sulug sebagai "Tau Ugis". Ugis dalam bahasa Sulug bermaksud "Kulit Putih" (seperti Albino juga dipanggil Ugis).


PERHUBUNGAN BONE & BELANDA MENGUATKAN NAMA BUGIS

Antara Portugis, Spanyol dan Belanda sebenarnya menutur satu bahasa yang dipanggil bahasa Latin. Antara mereka masih berhubungkait dan satu rumpun. Bukan sekadar berkongsi bahasa malah berkongsi rupa paras yang sesetengahnya berkulit putih dan berambut perang. Secara harfiah mereka digelar oleh Sulug sebagai Ugis yang bermaksud orang berkulit putih. Dalam sejarah Bugis, kerajaan yang sangat kuat bersekutu dengan orang kulit putih Belanda ialah kerajaan Bone yang dipimpin oleh Arung Palakka.
  • Perhubungan yang jelas muncul selepas abad ke 15. Pada tahun 1667, Belanda memaksa pemerintah Goa untuk mengaku kalah dengan menandatangani Perjanjian Bungaya. Dalam perjuangan ini, Goa dibantu oleh Arung Matoa dari Wajo'. Pada tahun berikutnya, kubu Tosora dimusnahkan oleh Belanda dan sekutunya La Tenritta' Arung Palakka dari Bone. [03]
Perhubungan Bone-Belanda atau Bone-Ugis kemungkinan besar telah menghasilkan nama baru iaitu Bu-Gis maka tidak hairanlah mengapa nama Bugis sangat sinonim dengan Bone hari ini. Bahasa Bugis standard di Sulawesi ialah yang mereka namakan sebagai bahasa Bone. Bahasa Bone dan Luwu' masih saling memahami berbeza dengan bahasa Makassar. Perbezaan bahasa Makassar hanyalah pada Slanga dan perubahan pada perkataan namun cara sebutannya masih dalam sebutan Bugis. Kemungkinan berlakunya perubahan kepada bahasa Makassar adalah kerana kontak dengan pihak luar sangat ketara berbanding Luwuk dan Bone. Sebagai bukti dalam struktur bahasa Bugis secara keseluruhan pun kita dapati terdapat unsur-unsur bahasa Latin seperti penggunaan "La" (La Galigo, La Tenritta, La Ma'dukelleng) ditambah dengan binaan kapal Pinisi Bugis yang mirip dengan kapal Portugis atau Arab.
Arung Palakka pahlawan Bugis Bone yang tiada tandingan pada zamannya. Beliau menjadi seorang Raja Bone dan menjadi anjakan paradigma menjulangnya nama Bugis dipersada Nusantara sehingga ke hari ini.


PERHUBUNGAN SULUG & BUGIS

Antara Bugis dan Sulug siapa lebih awal meneroka laut Nusantara bukanlah motif utama dalam artikel ini kerana sekiranya diselami secara mendalam kedua-duanya saling berkaitan. Kenyataan kami bahawa Sulug adalah asal dan permulaan manusia secara teori, kemudian teori kami disertakan dengan bukti berdasarkan linguistik dan pengucapan secara phonology, maka persoalan siapa lebih dulu belayar samada Bugis atau Sulug tidaklah berbangkit kerana ia sudah pun difahami.

Jelasnya, Bugis adalah Sulug dan kalau pun dikatakan bahawa Sulug adalah Bugis tidaklah menjadi masalah. Tinggal lagi pembuktian secara jujur dari mana permulaan nama Bugis serta persamaan bahasa dan lidah dengan Sulug perlulah dirungkai. Secara fakta Bugis baru dikenali hanya bermula abad ke-12 hingga abad ke-17 berbanding Sulug yang sudah menduduki persisiran pantai Burma hingga ke Johor, dari Sumatera hingga ke Pulau Flores semenjak permulaan kerajaan Srivijaya abad ke-7. Malah jauh dari itu Sulug sudah menguasai Laut China Selatan kerana penguasaan dagang mereka terhadap Champa-Canton hingga ke Tanah Melayu-Siam.


Catatan Arab abad ke-9 seperti Al-Idrisi dan Al-Mas'udi menulis bahawa kerajaan hebat di India Timur (Asia Tenggara) adalah kerajaan Maharaja Zabag
(Nama Sulug disalah sebut menjadi Zabag @ Zabaj) yang merangkumi semua kepulauan Asia Tenggara. Sebagai bukti nama Kota Solok, Kabupaten Solok, Istana Solok, Sungai Solok, Kampung Solok, Solo, Solot, Solox, Solor berada di mana-mana di seluruh Asia Tenggara. Malah pada lidah Arab juga masih kekal penyebutan mereka terhadap Sulug terutama pada amalan tafakur Sulug yang orang Arab namakan "amalan Suluk" serta sistem pasar perdagangan yang mereka namakan sebagai "Suq" yang bermaksud pasar Sug @ Sulug.

Bugis sebelum kedatangan Portugis dipanggil oleh orang-orang Sulug sebagai "Baklaya" yang mungkin berasal dari kata "Mag Layag" bermaksud "belayar" atau "Mag Laya" bermaksud "Menjala". Bangsa Baklaya ramai menduduki pesisir pantai Luuk, Parang sehingga ke Pulau Basilan di Kepulauan Sulu. Bangsa Baklaya datang dari pulau yang kita kenali sebagai Sulawesi hari ini. Bangsa Baklaya sangat menghormati Bangsa Buranun di pulau Jolo kerana Suku Sulug Buranun di Pulau Jolo sangat anti pendatang terutama kepada bangsa Baklaya yang dianggap sebagai "Orang Laut". Suku Sulug Buranun yang sangat rapat dengan Baklaya ialah Taguimaha.

Suku Sulug Taguimaha kemungkinan namanya diambil dari kata "Tau Gimbah"
(Orang menghuni rimba) atau "Tag umah" (Empunya tanah huma - tempat bercucuk tanam) kerana kebiasaan Sulug Taguimah sebagai penguasa laut dan darat sehingga ke Selat Melaka dan Laut China Selatan. Sulug Taguimah ini disebut oleh Portugis di Melaka sebagai "Lucoes People" yang kaya dengan perdagangan Emas dan Perak di seluruh Asia Tenggara. Bangsa yang baik dan suka berniaga tetapi juga adalah pahlawan yang ganas di laut. Sulug Taguimah sangat rapat dengan Suku Baklaya yang juga dikatakan sangat handal di laut samada sebagai pahlawan, penyelam atau pendayung kapal.

Bangsa Baklaya menutur satu bahasa yang mirip dengan bahasa Sulug Laut dan Taguimah di samping bahasa daerah mereka sendiri yang berintonasikan Bahasa Papua. Hari ini Baklaya dikenali sebagai Bugis setelah kedatangan Portugis ke kepulauan Sulu. Kekecewaan Portugis untuk mengekalkan hubungan dagangnya dengan Sulu terubat dengan penguasaannya terhadap Sulawesi sehingga ke Pulau Flores untuk mendapatkan rempah sebelum Belanda. Perjanjian sempadan perdagangan antara Spanyol dan Belanda antara abad ke-16 ke-17 akhirnya telah memisahkan hubungan langsung Sulug dan Baklaya (Bugis). Laut Sulu yang luas itu akhirnya juga turut dibahagi dan dijenamakan dengan "Celebes Sea" yang bermaksud Sulu-East Sea yang kemudian berubah sebutannya menjadi "Suluwesi".


Akhirnya pulau Baklaya juga turut dinamakan sebagai Pulau
Suluwesi. Setelah tamatnya zaman Kolonial Belanda merdeka ke tangan Indonesia maka kini ditukar namanya menjadi "Sulawesi" yang kebetulan sesuai dengan bahasa Baklaya yang bermaksud Besi Panas, Sula (panas), Wesi (Besi). Secara kebetulan tanah Baklaya sejak zaman Srivijaya dan Majapahit telah menjadi pusat perlombongan besi yang lokasinya berada di atas pergunungan Luwu' di kawasan Makale.
Senjata tradisi kebanggaan Bugis yang dinamakan Badik.
Keris besar yang menjadi senjata tradisi Sulug berabad-abad lamanya yang dipanggil Sundang ini telah didakwa sebagai senjata tradisi Bugis. Setelah diselidik Bugis hanya mendapat senjata ini setelah bergabung dengan Sulug Laut Balangingi' selepas abad ke-17. Muzium Istana Datu Luwu' di Kota Palopo telah membuktikan hanya Parang Badik sahaja dan keris Jawa yang disebut sebagai senjata tradisi Bugis manakala keris besar Sundang tidak tersenarai.
Antara pahlawan Melayu yang paling suka menggunakan Sundang Sulug ialah Mat Kilau. Kehebatan Sundang ialah boleh memutuskan paku yang berdiameter tebal dengan sekali libas tanpa menjejaskan matanya. Mata Sundang yang paling keras ialah yang ditempa bersama besi magnet. Hingga hari ini Sundang masih digunakan oleh Tausug di kepulauan Sulu sebagai alternatif kepada senapang M-16. Sebilah Keris Sundang magnet boleh mencecah hargaRM8,000 hingga RM17,000.


KEMUNCULAN BALANGINGI' & IRANUN BERSAMA BUGIS
Antara Buranun dan Orang Laut keduanya mempunyai gaya bahasa dan intonasi yang sangat jauh berbeza walau pun saling pinjam meminjam istilah. Bagi Buranun, Orang Laut adalah bangsa yang tidak mempunyai adat dan budaya yang hanya sesuai dijadikan suruhan dan hamba. Buranun tidak menyedari bahawa Orang Laut tanpa Buranun akan mengalami kepincangan dalam menjalankan kehidupan harian mereka. Sebab itu mengapa munculnya Sulug Taguimaha yang pada awalnya tinggal bertani di kaki-kaki gunung sebagai Buranun yang akhirnya turun ke pantai menjalankan usaha sama, perdagangan dan kehidupan harian bersama Orang Laut. Mungkin kerana hasil tani yang kurang menjadi maka Buranun turun ke pasar-pasar menjadi peniaga dan berhubung secara langsung dengan Orang Laut.

Usaha sama Taguimaha dengan Orang Laut akhirnya menghasilkan satu suku Sulug Laut yang amat ganas dan kejam yang para ahli sejarah barat kenali sebagai
Balanguingui People (Orang Balangingi'). Balangingi' akhirnya menjadi terkenal sebagai penguasa laut yang baru menggantikan Taguimaha atau Lucoes (Lugus) yang pernah terkenal pada abad 13 hingga abad 15 di seluruh Asia Tenggara. Nama Balangingi' kemungkinan diambil dari kata Sulug "Bala'pamanga tau Mangi'" (Bala mangingi') bermaksud bala kepada orang-orang jahat. Suku Sulug Laut Balangingi' ini menutur bahasa Laut (Bajau) yang dipanggil sebagai bahasa Samal Balangingi'. Perbezaan bahasa Balangingi' dengan bahasa Samal Pala'o (Parahu @ Bajau Laut) ialah pada intonasi sahaja sedangkan akar bahasanya 98% sama. Intonasi dan gaya bahasa Samal Pala'o (Bajau Laut) sebenarnya menggunakan intonasi Baklaya atau Bugis yang juga sama intonasinya dengan pertuturan Orang Papua @ Nuu Waar.

Beberapa abad lamanya antara abad ke-16 hingga 18, Samal Balangingi' menjadi penguasa laut di seluruh Asia Tenggara yang secara dasarnya tunduk kepada kekuasaan Kesultanan Sulu. Pencatat sejarah seperti Dylrample dan dinukil oleh Saleeby dan Majul menyatakan bahawa telah menjadi tradisi Balangingi' yang menjadi penguasa laut yang merompak dan menjahanamkan penempatan-penempatan pribumi Visaya Filipina Spanyol, menangkap mereka lalu dijual ke merata tempat sebagai hamba dan mereka terlepas dari penguasaan para Datu dan Kesultanan Sulu. Walau bagaimana pun Balangingi' telah diakui sebagai tentera bebas (militia) Kesultanan Sulu yang ditugaskan menjaga Laut Sulu, Laut China Selatan dan Selat Melaka agar bangsa Eropah yang menggunakan laut tersebut tetap membayar cukai kepada Kesultanan Sulu.

Balangingi' telah mengetuai banyak ekspedisi rompakan dan menjual manusia terhadap penempatan Visaya Spanyol yang sebenarnya sudah lama berkolaborasi dengan suku Dayak Laut Tidung dari Kalimantan Timur. Tidung mula menjulang namanya sebagai pahlawan Kalimantan Timur setelah menyertai ekspedisi rompakan Balangingi'. Kehebatan Balangingi' telah menjadi buah mulut sehingga menjadi tarikan kepada suku dayak laut IRANUN di Pulau Mindanao untuk menyertai militia tentera Laut Sulu. Kemasukan Iranun menyertai tentera Laut Sulu yang dikepalai oleh Balangingi' ini ialah pada awal abad ke-17 bermula ketika
Sultan Mawallil Wasit @ Raja Bongsu bin Sultan Hassan yang menjadi Sultan Sulu ketika itu mengahwinkan anaknya dengan Sultan Qudarat yang menjadi Sultan Maguindanao.

Pada abad yang sama kebetulan pula berlaku peperangan antara Sultan Hassanuddin dari Makassar melawan
Arung Palakka dari Bone yang dibantu Belanda sehingga memusnahkan kota pertahanan Makassar. Kekalahan Makassar menjadikan sebahagian mereka pelarian bersama Bugis Luwu' dan terpaksa menyertai kapal-kapal laut Balangingi' dan Iranun menuju Keupulauan Riau-Johor manakala sebilangannya menuju ke Kalimantan Timur dan kepulauan Sulu. Kehebatan Raja Bone bernama Arung Palakka tidak dapat ditandingi oleh mana-mana kerajaan Bugis kerana bergabung dengan tentera Belanda. Malah kerajaan Minangkabau dimana terletaknya kota purba Sulug di Sumatera turut juga dimusnahkan oleh Arung Palakka atas permintaan Belanda pada 1666 M. Kemungkinan inilah yang menjadi sebab selepas beberapa puluh tahun keturunan Raja Minangkabau lari belayar ke Tanah Melayu dan menubuhkan kerajaan Negeri Sembilan pada 1770-an oleh Raja Malewar.

Kehebatan Arung Palakka bersama Belanda menguasai perairan kepulauan rempah menjadikan sebahagian musuh-musuh Arung Palakka dari Bugis Makassar dan Bugis Luwu' menjadi perompak laut bersama Balangingi' dan Iranun. Antara abad ke-17 hingga ke-18 Belanda terpaksa menghantar delegasi ke Jolo, Sulu meminta kepada Sultan Sulu menghalang Balangingi' dari merompak dan menangkap orang di wilayah perdagangannya. Kawasan perdagangan Inggeris di Tanah Melayu juga turut terjejas kerana Balangingi' dan Iranun
(orang Melayu memanggilnya Ilanun @ Lanun) meronda kawasan Laut China Selatan sehingga menangkap orang-orang Kelantan sesuka hati lalu dijual ke Jolo dan Makassar. Spanyol di Manila adalah mangsa yang paling teruk terjejas sehingga kehidupan masyarakat Visaya Kristian di Filipina diselubungi mimpi ngeri setiap hari.


BALANGINGI' DARI BAJO' LAUT MENJADI BAJAK LAUT
Hari ini orang Melayu di Malaysia menggelar perompak laut dengan gelaran LANUN berdasarkan kenangan buruk mereka dengan Suku Dayak Laut Iranun dari Mindanao yang menyertai ekspedisi rompakan dan menjual orang bersama Balangingi' di sekitar perairan Tanah Melayu beberapa abad yang lalu. Tanpa disedari seorang pahlawan Iranun hari ini telah menjadi ketua speaker Dewan Parlimen Malaysia iaitu Tan Sri Datuk Sri Utama
Pandikar Amin Mulia. Keberanian dan tawakal yang dimiliki Tan Sri Pandikar Amin sesuai dengan namanya sebagai PENDEKAR. Manakala di Indonesia pula perompak laut digelar BAJAK LAUT. Dari manakah asal penggelaran bajak laut ini oleh orang-orang Indonesia?

Orang Bugis menggelar Balangingi' dengan
Bajo' Laut yang bermaksud Bajau Laut kerana secara tradisi Balangingi' bukan sahaja menutur bahasa Bajau malah menjadi penguasa kepada orang-orang Laut dan sebahagian orang-orang darat. Terkenalnya Bajo' Laut pada lidah Bugis akhirnya berubah bunyi sebutannya kepada Baja' Laut (dalam bahasa Indonesia ditulis BAJAK LAUT) bermaksud perompak laut. Tanpa disedari oleh Indonesia dan Malaysia malah orang-orang Sulug sendiri Balangingi' sebenarnya adalah penutur bahasa Sulug yang fasih dan menyebut diri mereka sebagai bangsa Sulug @ Suluk @ Solok atau TAUSUG. Ini kerana seperti yang kami jelaskan di atas, hilangnya Taguimaha dan Lucoes sebenarnya diganti oleh Balangingi' yang pada awalnya adalah Buranun. Inilah jawapan kepada persoalan "Dimanakah menghilangnya Taguimaha dan Lucoes yang hebat itu?"
Bajau Laut Semporna, Sabah hari ini.


KEAGUNGAN BUGIS TEMPAT KELUARNYA ORANG LAUT

Sebahagian pengkaji sejarah yang mendalami asal-usul Bangsa Bugis telah mendapati bahawa kewujudan Bugis sangat bergantung dengan Orang Laut. Tanpa Orang Laut bangsa Bugis tidak akan mencapai kegemilangannya seperti yang dikenali hari ini. Di dalam artikel kami yang lepas "Kepulauan Sulu Sebelum Muncul Nama Philippines" telah mengemukakan teori Sulug Purba(bangsa yang badannya dipenuhi tatu dan kepalanya memakai hiasan bulu burung)
dari kepulauan Sulu (Mindanao-Borneo-Jolo) dari keturunan Japhet @ Yafit cicit Nabi Nuh a.s. beribu ribu tahun yang lalu telah menjalankan perluasan kuasa sehingga ke Pulau Papua. Mereka menangkap bangsa Papua @ Nuu Waar yang berkulit hitam dijadikan suruhan mendayung kapal dan penyelam serta nelayan mereka. Pusat transit Sulug Purba ketika itu ialah bermula dari Sulawesi Utara (Manado) sehingga ke Timur Leste dan Pulau Jawa.

Sulug Buranun dari kepulauan Sulu dengan khidmat Orang Papua @ Nuu Waar yang berkulit hitam telah sampai ke Laut Meditranian dan Benua Amerika. Sulug Buranun telah sampai ke Sungai Gangga India, Sungai Euphrates dan Tigris di Timur Tengah dan Laut Merah sehingga kemudiannya belayar mengelilingi Afrika dan masuk ke Laut Meditranian. Di sepanjang laluan mereka, bangsa Sulug bertatu (tatu dalam bahasa Eropah disebut Pict @ Pint @ Punt) telah meninggalkan orang-orang kulit hitam Papua @ Nuu Waar bersama sebahagian mereka sehingga membentuk bangsa-bangsa manusia dan pelbagai bahasa sehingga ke hari ini.

Asimilasi bangsa Sulug bertatu (seperti mana bangsa Dayak yang kita kenali hari ini) dengan bangsa Papua di sekitar antara Ternate-Ambon sehingga ke Sulawesi hari ini telah menghasilkan satu ras bangsa Laut yang pekerjaan mereka menyumbang tenaga buruh kepada pelayar-pelayar. Asal-usul bahasa Melayu Purba dan bahasa Bajau Purba juga mula terbentuk dari sini kerana dijadikan sebagai pusat perlombongan besi yang dieksport ke Kerajaan Punan sehingga China dan India. Sekiranya kita padankan bahasa secara phonology bangsa Jawa juga kemungkinan besar bermula di sini kerana tanah Jawa menjadi tempat persinggahan strategik antara India dan Sulawesi. Malah kemungkinan besar isteri ketiga Nabi Ibrahim a.s. juga berasal dari sini disebabkan ajaran leluhur Bugis ialah Hindu Monotheisme sebagaimana fahaman Hindu di Bali.
Tugu tangan sedang memegang parang Bugis atau Badik manakala di bawahnya tertulis Toddo' Puli' Temmalara' (Bilak dipacak tidak akan berganjak lagi) dalam bahasa Bugis loghat Luwu' atau Palopo. Kalau dialih bahasakan ke bahasa Sulug ialah Hikausuk di' na mahublut. Tetapi sekiranya ditafsir secara kata perkata dalam bahasa Sulug ialah Kuddu' di'mauli' di'malarak. Kuddu' dalam bahasa Sulug bermaksud "dicucuk", Di'mauli' bermaksud "tidak pulih @ kembali", Di'malarak bermaksud "tidak akan roboh".

Ajaran Hindu Monotheisme juga turut dianut oleh Sulug di Kalimantan Timur (Kerajaan Hindu Kutai) sehingga ke Kepulauan Sulu kerana kebiasaan mereka yang tidak membuat patung Dewa-Dewi (para malaikat) yang kemudian mereka sembah sebagaimana kesesatan Hindu di India. Bangsa Bugis terbahagi bahasanya kepada dua iaitu bahasa Sulug seperti yang ditutur oleh Tausug di Kepulauan Sulu dan bahasa Pala'o (Parahu). Bugis Luwu' menutur mirip bahasa Buranun dan bahasa Bugis Wajo' sehingga ke Bone bercampur dengan bahasa Pala'o manakala Toraja yang tinggal di atas gunung bahasanya sama dengan Bugis Luwu'.

Sekiranya para pengkaji membuat kajian tentang bahasa Bugis adalah satu kemestian memulakannya di negeri Luwu' @ LUWUK yang lokasinya antara Kota Palopo dengan Daerah Wajo'. Kerana disinilah bermulanya bapa sejarah Bugis yang terkenal iaitu
Sawerigading dan dari sini juga terhasilnya catatan awal Bugis yang terpanjang di dunia yang dikenali sebagai "I La Galigo". Bahasa Luwuk secara phonology lebih mirip dengan bahasa Sulug yang bercampur dengan bahasa Bajau. Sebagai contoh paparan di bawah ini (BM Bahasa Melayu, BS Bahasa Sulug, BB Bahasa Bugis, BL Bahasa Laut),
  • BM: Bangsa kita, BS: Bangsa ta, BB: Bangsa ta, BL: Bangsa ta,
  • BM: Bangsanya, BS: Bangsa niya, BB: Bangsa na, BL: Bangsa na,
  • BM: Orang, BS: Tau, BB: Tau, BL: A'a,
  • BM: Hari, BS: Adlaw, BB: Allau, BL: Allau,
  • BM: Makan, BS: Kumaun, BB: Kumande, BL: Mangan,
  • BM: Kopak, BS: Tibi' @ Tubi', BB: Tubi', BL: Tibi',
  • BM: Tabik, BS: Tabiya', BB: Tabi', BL: Tabiya',
  • BM: Satu, BS: Esa, BB: Me'sa, BL: Dakayu' @ Dakaw',
  • BM: Mati, BS: Matay, BB: Matey, BL: Matey,
  • BM: Benua (Tanah besar), BS: Banua (Tanah perkampungan), BB: Banua (Rumah), BL:Banua,
  • BM: Teluk, BS: Lu'uk, BB: Teluk @ Luwuk, BL: Lu'uk @ Luwuk,
  • BM: Dulu, BS: Una @ Tagna', BB: Jolo, BL: Dahu, (Kemungkinan besar nama Jolo iaitu Pulau Jolo di Sulu mendapat nama dari lidah Bugis @ Baklaya yang bermaksud "negeri tempat pendahulu").
  • BM: Ayam, BS: Manuk, BB: Manuk, BL: Manuk,
  • BM: Tuan, BS: Tuan, BB: Arung @ Daeng, BL: Arung,
  • BM: Orang Tua, BS: Tau Ma'as, BB: Matoa (pemimpin), BL: Matto'a,

ASAL-USUL BERMULANYA BANGSA LUWA'AN BANI ISRAEL
Satu tradisi lisan yang masih tersimpan rapi dalam masyarakat Sulug Buranun hingga hari ini ialah permulaan sejarah Orang Laut yang dikatakan terjadi disebabkan sumpahan Nabi Daud a.s. kapada satu bangsa nelayan yang menduduki tepi pantai Jerusalem. Mereka diarahkan oleh Nabi Daud a.s. agar tidak menangkap pada hari Jumaat dengan memperuntukkan hari tersebut untuk sembahyang kepada Allah swt. Tetapi ketika tibanya hari Jumaat sedang sembahyang berlangsung ikan-ikan pun keluar di gigi air dengan banyaknya menyebabkan para nelayan melompat meninggalkan tempat sembahyang menuju ke perahu mereka lalu menangkap ikan. Maka Nabi Daud a.s. pun menukar hari cuti untuk ibadat dari Jumaat ke hari Sabtu pula. Malangnya pada hari Sabtu ikan pun keluar dengan banyaknya menyebabkan nelayan sekali lagi melompat meninggalkan rumah ibadat pada hari Sabtu tersebut lalu menangkap ikan.

Bila diketahui oleh Daud a.s. maka baginda pun naik murka lalu menyumpah para nelayan tersebut menjadi beruk atau monyet kerana lebih mengutamakan dunia berbanding suruhan Allah Azza Wajallah. Menurut tradisi lisan Sulug Buranun, nelayan yang sempat sampai ke darat menjadi beruk manakala yang terus tinggal di laut mereka digelar "Luwa'an" yang bermaksud "Yang diluahkan oleh Tuhan". Dalam bahasa Hebrew @ Ibrani LUWA' bermaksud dimuntah atau diluahkan sama dengan bahasa Sulug dan Malayu hari ini. Umum mengetahui kerajaan Daud a.s. berada di Jerusalem di Laut Meditranian bukannya di Nusantara atau Asia Tenggara.


Satu teori yang mungkin boleh menyelesaikan teka-teki nama LUWA'AN ini ialah seperti yang terdapat dalam sejarah Luwuk di Sulawesi. Kalau anda bertanya kepada Orang Bugis apa maksud Luwu' @ Luwuk mereka hanya mengatakan
"Luwu' itu adalah satu nama daerah tempat sejarah awalnya Bugis dari Sawerigading". Manakala yang lebih mengkaji sejarah Bugis akan mengatakan bahawa Luwuk berasal dari kata Lawu' (Laut) sebagai mana yang dinyatakan oleh ketua Pusat Sejarah Datu Luwu' di Istana Datu, Kota Palopo. Sebenarnya sekiranya kita perhati lokasi sebenar Negeri Luwuk di Sulawesi kita akan dapati ianya berada di hujung kawasan teluk. Dalam bahasa Sulug teluk disebut "LU'UK" yang kami rasa Bahasa Bugis telah kehilangan perkataan ini dalam kamus bahasa mereka.

Kemasukan Bahasa Melayu (Bahasa Indonesia) telah menggantikan "Lu'uk" atau Luwuk dalam bahasa asal Bugis menjadi TELUK sahaja. Luwuk sebenarnya bermaksud Teluk sebagaimana sebutan Sulug ini kerana bahasa Sulug adalah sebahagian dari bahasa Bugis. Dari sini kita akan dapat bayangan bahawa Luwa'an itu sebenarnya adalah
Luwu'an yang bermaksud Orang Laut yang berasal dari Luwu' @ Luwuk di Sulawesi Selatan. Sebutan Sulug "Lu'uk" tidak memungkinkan nama Luwa'an itu datang dari lidah Sulug tetapi sebenarnya datang dari lidah Baklaya @ Bugis. Jelasnya, bangsa laut Luwa'an yang dimaksudkan dalam tradisi lisan Sulug itu datang dari Laut Meditranian hanyalah kembali ke Sulawesi sebagai tempat asal mereka yang sememangnya dikenali sebagai bangsa laut Luwu'an. Maka teori kami yang menyatakan bahawa bangsa Laut Phoenicia berasal dari kawasan sekitar kepulauan Sulu adalah benar.

Luwu'an
atau Luwa'an sebenarnya telah pun lama wujud sebelum Daud a.s. lagi. Sumpahan Daud a.s. kepada Orang Laut hanya menambahkan lagi keyakinan bahawa Orang Laut tetap Orang Laut selagi mereka tidak berasimilasi dengan bangsa darat lain mereka adalah bangsa yang sukar diislamkan. Ternyata Orang Laut atau Bajau telah berjaya membina kerajaan mereka sendiri dengan pimpinan ketua-ketua mereka yang telah berjaya diislamkan. Mereka mendapat nama baru mereka sebagai Bugis pada abad ke-17 dan menemui kekuatan mereka membina empayar Bugis dalam era penjajahan Belanda. Kewujudan nama-nama seperti Arung Palakkaatau para Arung Matoa, para Daeng atau Karaeng, Opuh lebih kepada panggilan ketua-ketua Orang Laut Luwu'an di Sulawesi.
Sangkir serampang dua mata kerajaan Luwuk.
Bumbung rumah Bugis Luwuk yang berlambang serampang dua mata.

Terbukti hingg hari ini Bugis menjadikan lambang Sangir @ Sangkir @ Sangkil yang berserampang dua sebagai identiti Bugis. Hinggakan lambang serampang dua mata mereka jadikan sebagai hiasan bumbung rumah-rumah mereka. Serampang dua mata adalah senjata menangkap ikan Orang Laut Luwu'an di kepulauan Sulu yang kalau bermata satu mereka namakan Sangir atau Sangkil. Intonasi bahasa Orang Laut Luwu'an di kepulauan Sulu juga sama dengan intonasi bahasa Bugis menunjukkan lokasi sebenar tempat asal-usul mereka di Sulawesi. Kepulauan Sulu hanyalah menjadi negara kedua mereka disebabkan kekayaan dan kekuasaan empayar Sulug di masa lalu sebagai penyelam mutiara yang dapat dikongsi. Kekuasaan Sulug yang menjadikan Makassar sebagai sahabat perdagangan hamba abdi menjadikan sebahagian Orang Laut tersiksa. Sehingga membawa kepada kerjasama Arung Palakka dengan Belanda memusnahkan Makassar.


amukanmelayu - memerdekakann semua etnik NUSANTARA perlu bersatu di bawah ISLAMELAYU..... jom kita mulakan....