,مليسيا دان اسلام بوکن ميليک اورڠ ڤوليتيک
, مک ڤرجواڠن اݢام تتڤ دڤرجواڠکن اوليه اومت اسلام دري بيدڠ يڠ لاءين
سام اد كامي منڠ اتاو كامي ماتي

PERJALAN HAJI AKI


Friday 20 June 2014

MELAYU DI HUJUNG KUASA


Perlembagaan Malaysia - Hak Keistimewaan Orang Melayu

UNDANG-UNDANG TUBUH & PERLEMBAGAAN 
Pengenalan 

Sebelum kita melihat kepada peruntukan yang dinyatakan dalam perlembagaan mengenai orang Melayu terlebih dahula kita melihat tafsiran mengenai maksud Melayu.

Dalam Perlembagaan Persekutuan di dalam perkara 160 telah mendefinasikan orang Melayu sebagai seseorang yang
  • menganuti agama islam
  • bertutur dalam bahasa Melayu
  • menurut adat istiadat Melayu
  • (a) lahir sebelum hari merdeka di Persekutuan atau di Singapura atau ibubapa telah lahir di Persekutuan atau di Singapura pada hari merdeka dan menetap di Persekutuan dan di Singapura
  • (b) atau ia adalah keturunan seseorang tersebut.

Ia adalah agak jelas penafsiran ini terdapat dua aspek kemelayuan yang di anggap penting oleh perlembagaan.

Yang pertama ialah cirri bahasa,agama dan budaya dan yang keduanya ialah dari aspek geografi.

Maka dengan ini jelaslah jika seseorang mempunyai ciri yang pertama tetapi tidak mempunyai kaitan dengan Negara ini maka dia bukanlah Melayu dalam konteks perlembagaan. Misalan orang yang berasal dari Indonesia atau Brunei mempunyai ciri yang pertama sahaja bukanlah orang Melayu yang di fahami oleh Perlembagaan kerana kedua-dua buah Negara bukan anggota persekutuan.Oleh itu pertalian geografi adalah sangat penting kerana ia melibatkan pelbagai hak dan keistimewaan orang Melayu yang layak dinikmati oleh orang melayu yang di jamin oleh perlembagaan. 
Setelah kita menafsirkan melayu dalam perlembagaan ,marilah kita melihat kepada peruntukan-peruntukan yang di nyatakan dalam perlembagaan Persekutuan mengenai orang Melayu.

Perkara 153.

Perizaban kuota berkenaan dengan perkhidmatan, permit, dsb. bagi orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak.

(1) Menjadi tanggungjawab Yang di-Pertuan Agong untuk melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri mana-mana  antara Negeri Sabah dan Sarawak dan kepentingan sah kaum-kaum lain mengikut peruntukan Perkara ini.

(2) Walau apa pun apa-apa jua dalam Perlembagaan ini, tetapi tertakluk kepada peruntukan Perkara 40 dan peruntukan Perkara ini, Yang di-Pertuan Agong hendaklah menjalankan fungsinya di bawah Perlembagaan ini dan undang-undang persekutuan mengikut apa-apa cara yang perlu untuk meindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak dan untuk memastikan perizaban bagi orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak apa-apa perkadaran yang difikirkan munasabah oleh Yang di-Pertuan Agong daripada jawatan dalam perkhidmatan awam (selain perkhidmatan awam sesuatu Negeri) dan daripada biasiswa, danasiswa dan keistimewaan pendidikan atau latihan yang seumpamanya atau kemudahan khas lain yang diberikan atau diadakan oleh Kerajaan Persekutuan dan, apabila apa-apa permit atau lesen dikehendaki oleh undang-undang persekutuan bagi mengendalikan apa-apa pertukangan atau perniagaan, maka, tertakluk kepada peruntukan undang-undang itu dan Perkara ini, daripada permit dan lesen itu.

(3) Yang di-Pertuan Agong boleh, bagi memastikan, mengikut Fasal (2), perizaban bagi orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak jawatan-jawatan dalam perkhidmatan awam dan biasiswa, danasiswa dan keistimewaan pendidikan atau latihan atau kemudahan khas lain, memberikan apa-apa arahan am yang dikehendaki bagi maksud itu kepada mana-mana Suruhanjaya yang baginya Bahagian X terpakai atau kepada mana-mana pihak berkuasa yang dipertanggungkan dengan tanggungjawab bagi pemberian biasiswa, danasiswa atau keistimewaan pendidikan atau latihan atau kemudahan khas lain itu; dan Suruhanjaya atau pihak berkuasa itu hendaklah mematuhi arahan itu dengan sewajarnya.

(4) Pada menjalankan fungsinya di bawah Perlembagaan ini dan undang-undang persekutuan mengikut Fasal (1) hingga (3) Yang di-Pertuan Agong tidak boleh melucutkan mana-mana orang daripada apa-apa jawatan awam yang dipegang olehnya atau daripada terus mendapat biasiswa, danasiswa atau keistimewaan pendidikan atau latihan atau kemudahan khas lain yang dinikmati olehnya.

(5) Perkara ini tidaklah mengurangkan peruntukan Perkara 136.

(6) Jika menurut undang-undang persekutuan yang sedia ada suatu permit atau lesen dikehendaki bagi mengendalikan apa-apa pertukangan atau perniagaan, maka Yang di- Pertuan Agong boleh menjalankan fungsinya di bawah undang-undang itu mengikut apa- apa cara, atau memberikan apa-apa arahan am kepada mana-mana pihak berkuasa yang dipertanggungkan di bawah undang-undang itu dengan pemberian permit atau lesen itu, sebagaimana yang dikehendaki untuk memastikan perizaban apa-apa perkadaran daripada permit atau lesen itu bagi orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak sebagaimana yang difikirkan munasabah oleh Yang di- Pertuan Agong; dan pihak berkuasa itu hendaklaah mematuhi arahan itu dengan sewajarnya.

(7) Tiada apa-apa jua dalam Perkara ini boleh berkuat kuasa untuk melucutkan atau memberi kuasa supaya dilucutkan apa-apa hak, keistimewaan, permit atau lesen mana- mana orang, yang terakru kepada orang itu atau yang dinikmati atau dipegang oleh orang itu atau untuk memberi kuasa untuk menolak pembaharuan mana-mana permit atau lesen mana-mana orang atau untuk menolak pemberian apa-apa permit atau lesen kepada waris, pengganti atau penerima serah hak seseorang jika pembaharuan atau pemberian itu mungkin semunasabahnya dijangkakan mengikut perjalanan biasa keadaan.

(8) Walau apa pun apa-apa jua dalam Perlembagaan ini, jika menurut mana-mana undang-undang persekutuan apa-apa permit atau lesen dikehendaki bagi mengendalikan apa-apa pertukangan atau perniagaan, maka undang-undang itu boleh membuat peruntukan bagi perizaban apa-apa perkadaran daripada permit atau lesen itu bagi orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak; tetapi tiada undang-undang sedemikian boleh, bagi maksud memastikan perizaban itu—

(a) melucutkan atau memberi kuasa supaya dilucutkan apa-apa hak, keistimewaan, permit atau lesen mana-mana orang, yang terakru kepada orang itu atau yang dinikmati atau dipegang oleh orang itu; atau

(b) memberi kuasa untuk menolak pembaharuan mana-mana permit atau lesen mana- manaa orang atau untuk menolak pemberian apa-apa permit atau lesen kepada waris, pengganti atau penerima serah hak mana-mana orang jika pembaharuan atau pemberian itu mengikut peruntukan yang lain dalam undang-undang itu mungkin semunasabahnya dijangkakan mengikut perjalanan biasa keadaan, atau menghalang mana-mana orang daripada memindahkan hakmilik bersama dengan perniagaannya apa-apa lesen yang boleh dipindahkan hakmiliknya untuk mengendalikan perniagaan itu; atau

(c) jika tiada permit atau lesen dahuluya dikehendaki bagi mengendalikan pertukangan atau perniagaan itu, memberi kuasa untuk menolak pemberian permit atau lesen kepada mana-mana orang bagi mengendalikan apa-apa pertukangan atau perniagaan yang telah dijalankan olehnya secara bona fide sebaik sebelum undang- undang itu mula berkuat kuasa, atau memberi kuasa untuk menolak pembaharuan kemudiannya mana-mana permit atau lesen mana-mana orang, atau untuk menolak pemberian mana-mana permit atau lesen sedemikian kepada waris, pengganti atau penerima serah hak mana-mana orang itu jika, mengikut peruntukan yang lain dalam undang-undang itu, pembaharuan atau pemberian itu mungkin semunasabahnya dijangkakan mengikut perjalanan biasa keadaan.

(8A) Walau apa pun apa-apa jua dalam Perlembagaan ini, jika di dalam mana-mana Universiti, Kolej dan institusi pendidikan lain yang memberikan pendidikan selepas Malaysian Certificate of Education atau yang setaraf dengannya, bilangan tempat yang ditawarkan oleh pihak berkuasa yang bertanggungjawab bagi pengurusan Universiti, Kolej atau institusi pendidikan itu kepada calon-calon bagi apa-apa kursus pengajian adalah kurang daripada bilangan calon yang layak mendapat tempat- tempat itu, maka adalah sah bagi Yang di-Pertuan Agong menurut kuasa Perkara ini memberikan apa-apa arahan yang perlu kepada pihak berkuasa itu untuk memastikan perizaban apa-apa perkadaran daripada tempat-tempat itu bagi orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak sebagaimana yang difikirkan munasabah oleh Yang di-Pertuan Agong; dan pihak berkuasa itu hendaklah mematuhi arahan itu dengan sewajarnya.

(9) Tiada apa-apa jua dalam Perkara ini boleh memberi Parlimen kuasa untuk menyekat perniagaan atau pertukangan semata-mata bagi maksud perizaban bagi orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak.

(9A) Dalam Perkara ini ungkapan "anak negeri" berhubung dengan Negeri Sabah atau
Sarawak hendaklah mempunyai erti yang diberikan kepadanya dalam Perkara 161A.

(10) Perlembagaan Negeri yang ber-Raja boleh membuat peruntukan yang bersamaan
(dengan ubah suaian yang perlu) dengan peruntukan Perkara ini.

Perkara 8(5)(f)

Selain itu, kemasukan orang Melayu dalam Rejimen Askar Melayu Diraja dengan pengecualian orang bukan Melayu seperti dalam Perkara 8(5)(f) juga dianggap sebahagian daripada kedudukan istimewa orang Melayu.

Perkara 89 Tanah Rezab orang Melayu 

Kedudukan istimewa orang Melayu yang lain termasuklah peruntukan Perkara 89 dan 90 yang memberikan kuat kuasa undang-undang perlembagaan kepada undang-undang sedia ada yang melindungi tanah rizab orang Melayu daripada diselenggarakan oleh orang bukan Melayu.

Perkara 89 – tanah simpanan orang Melayu
Jika mana-mana tanah di sesuatu Negeri yang menjadi tanah rezab orang melayu sebelum sahaja hari merdeka mengikut undang-un dang yang ada maka tanah itu boleh terus menerus menjadi tanah rezab orang melayu mengikut undang-undang itu sehingga selainnya di peruntukkan oleh badan perundangan negeri itu dengan suatu Enakmen;-

(a) yang diluluskan oleh sebilangan besar daripada bilangan semua ahli dewan negeri itu dan dengan undi tidak kurang daripada dua pertiga daripada ahli-ahli yang hadir dan mengundi :dan
(b) yang dipersetujui melalui ketetapan setiap Majlis Parlimen yang diluluskan oleh majoriti jumlah bilangan ahli Majlis Parlimen itu dan dengan undi tidak kurang daripada dua pertiga daripada ahli-ahli yang mengundi.

(1A) Apa-apa undang-undang yang dibuat di bawah Fasal (1) yang membuat peruntukan bagi pelucuthakan atau pengembalian kepada Pihak Berkuasa Negeri, atau bagi pelucutan, pemunyaan mana-mana tanah simpanan Melayu, atau apa-apa hak atau kepentingan mengenainya, disebabkan mana-mana orang, atau mana-mana perbadanan, syarikat atau badan lain (sama ada diperbadankan atau tidak diperbadankan) yang memegangnya tidak lagi layak atau berwibawa di bawah undang-undang yang berkaitan yang berhubungan dengan tanah simpanan Melayu untuk memegangnya, tidaklah menjadi tidak sah atas alasan ketidakselarasan dengan Perkara 13.

(2)Mana-mana tanah di sesuatu Negeri yang pada masa ini bukan tanah simpanan Melayu mengikut undang-undang yang sedia ada dan yang belum dibangunkan atau dicucuk tanam boleh diisytiharkan sebagai tanah simpanan Melayu mengikut undang-undang itu:

Dengan syarat bahawa--
(a) jika mana-mana tanah di sesuatu Negeri diisytiharkan sebagai tanah simpanan Melayu di bawah Fasal ini, suatu keluasan tanah simpanan Melayu di bawah Fasal ini, suatu keluasan tanah yang sama dengan luas tanah itu di dalam Negeri itu yang belum dibangunkan atau dicucuk tanam hendaklah diadakan bagi pemberian hakmilik umum; dan
(b) jumlah keluasan tanah di sesuatu Negeri yang pada masa ini diisytiharkan sebagai tanah simpanan Melayu di bawah Fasal ini tidak boleh pada bila-bila masa melebihi jumlah keluasan tanah di Negeri itu yang telah diadakan bagi pemberian hakmilik umum menurut perenggan (a)

(3) Tertakluk kepada Fasal (4), Kerajaan mana-mana Negeri boleh, mengikut undang-undang yang sedia ada, mengisytiharkan sebagai tanah simpanan Melayu--
(a) mana-mana tanah yang diambil oleh Kerajaan itu melalui perjanjian bagi maksud itu;
(b) mana-mana tanah lain, apabila permohonan dibuat oleh tuan punya tanah itu, dan dengan persetujuan tiap-tiap orang yang mempunyai hak atau kepentingan mengenainya, dan hendaklah, mengikut undang-undang yang sedia ada, dengan serta-merta mengisytiharkan sebagai tanah simpanan Melayu, dalam hal jika mana-mana tanah terhenti menjadi tanah simpanan Melayu, mana-mana tanah lain yang sama jenisnya dengan tanah itu dan yang luasnya tidak melebihi keluasan tanah itu.
(c)-(Dimansuhkan)

(4) Tiada apa-apa jua dalam Perkara ini boleh membenarkan diisytiharkan sebagai tanah simpanan Melayu mana-mana tanah yang pada masa perisytiharan itu dipunyai atau diduduki oleh seseorang yang bukan seorang Melayu atau yang mengenainya atau ke atasnya orang itu ketika itu mempunyai apa-apa hak atau kepentingan.

(5) Tanpa menjejaskan Fasal (3), Kerajaan mana-mana Negeri boleh, mengikut undang- undang, mengambil tanah untuk menempatkan orang Melayu atau kaum lain, dan mewujudkan amanah bagi maksud itu.

(6) Dalam Perkara ini "tanah simpanan Melayu" ertinya tanah yang disimpan untuk diberi hakmilik kepada orang Melayu atau kepada anak negeri bagi Negeri tempat terletaknya tanah itu; dan "orang Melayu" termasuklah mana-mana orang yang, di bawah undang- undang Negeri tempat dia bermastautin, dikira sebagai orang Melayu bagi maksud perizaban tanah.

(7) Tertakluk kepada Perkara 161A, Perkara ini hendaklah berkuat kuasa walau apa pun apa-apa peruntukan lain dalam perlembagaan ini; tetapi (tanpa menjejaskan mana-mana peruntukan lain yang sedemikian) tiada tanah boleh dikekalkan atau diisytiharkan sebagai tanah simpanan Melayu kecuali sebagaimana yang diperuntukkan oleh Perkara ini dan Perkara 90.

(8) Peruntukan Perkara ini hendaklah terpakai bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya mengikut cara yang sama sebagaimana peruntukan Perkara ini terpakai bagi sesuatu Negeri, kecuali bahawa Fasal (1) dalam pemakaiannya bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya hendaklah diubahsuaikan supaya dibaca bahawa mana-mana tanah di dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Wilayah Persekutuan Putrajaya yang sebaik sebelum Hari Merdeka ialah tanah simpanan Melayu mengikut undang-undang yang sedia ada boleh terus menjadi tanah simpanan Melayu mengikut undang-undang itu sehingga diperuntukkan selainnya oleh Akta Parlimen yang diluluskan oleh majoriti jumlah bilangan ahli setiap Majlis Parlimen dan dengan undi tidak kurang daripada dua pertiga daripada ahli-ahli yang hadir dan mengundi di dalam setiap Majlis Parlimen.

Perkara 90

Peruntukan khas mengenai tanah adat di negeri Sembilan dan Melaka dan tanah pegangan orang melayu di Terengganu.

(1) Tiada apa –apa jua dalam Perlembagaan ini boleh menyentuh sahnya apa-apa sekatan yang di kenakan oleh undang-undang ke atas pemindahan milik atau pemajakan tanah adat di negeri Sembilan atau negeri melaka,atau pemindahan milik atau pemajakan apa-apa kepentingan mengenai tanah itu.
(1A) Bagi maksud fasa (1)-
(A) ”pemindahan-milik” termasuklah gadaian,perpindahan atau perletakhakan,atau perwujudan sesuatu lien atau amanah,atau permasukan sesuatu caveat,atau apa- apa bentuk lain urusan atau perlupusan dari apa-apa jua perihal atau jenis; dan
(B) ”pajakan” termasuklah sesuatu tenansi dari apa –apa jua bentuk atau jangka
masa.

(2) Walau apa pun apa-apa jua dalam Perlembagaan ini, undang-undang yang sedia ada di Negeri Terengganu mengenai tanah pegangan Melayu hendaklah terus berkuat kuasa sehingga diperuntukkan selainnya oleh suatu Enakmen Badan Perundangan Negeri itu yang diluluskan dan dipersetujui sebagaimana yang diperihalkan dalam Fasal (1) Perkara 89.

(3) Apa-apa Enakmen Badan Perundangan Negeri Terengganu yang sedemikian boleh membuat peruntukan bagi tanah simpanan Melayu yang bersamaan dengan undang- undang yang sedia ada yang berkuat kuasa di mana-mana Negeri lain yang ber-Raja; dan dalam keadaan sedemikian Perkara 89 tersebut hendaklah berkuat kuasa berhubung dengan Terengganu tertakluk kepada ubah suaian yang berikut, iaitu:
(a) dalam Fasal (1), sebutan mengenai tanah yang merupakan tanah simpanan Melayu sebaik sebelum Hari Merdeka mengikut undang-undang yang sedia ada hendaklah digantikan dengan sebutan mengenai tanah yang sebaik sebelum lulusnya Enakmen tersebut itu merupakan tanah pegangan Melayu; dan
. b) tertakluk seperti yang disebut terdahulu, apa-apa sebutan mengenai undang-undang
yang sedia ada hendaklah ditafsirkan sebagai sebutan mengenai Enakmen tersebut.
Kesimpulannya:
Kedudukan istimewa orang Melayu ini bagaimanapun diimbangi dengan kepentingan sah kaum lain yang secara amnya termasuklah hak mendapat kewarganegaraan Malaysia menurut peruntukan kewarganegaraan dalam perlembagaan, hak menganut dan mengamalkan agama masing-masing, hak menggunakan bahasa ibunda dan paling penting hak untuk mendapat layanan yang sama rata. Hak ini juga dibatasi oleh peruntukan dalam perlembagaan .

RUJUKAN:
  1. INTERNATIONAL LAW BOOK SERVICES Perlembagaan Persekutuan (hingga 10hb Jun 2009)
  2. http://www.jpapencen.gov.my/cat289562/published/Perlembagaan%20Persekutuan-Ma.Html
  3. http://www.malaysianbar.org.my/berita/komen_undang_undang/keistimewaan_uitm.html
  4. http://www.sa-free.org/?p=19 http://www.obeyone.com/?p=239 Wu Min Aun.The Malaysian Legal System Pearson Malaysia Sdn Bhd Safwan.com:Melayu dalam Perlembagaan persekutuan
  5. http: www:prihatin .net/ole-ole-dari-beijing/90-mencari-makna-diri-melayu-bahagian-3-k http://sampah.sementoji.net/v1/?p=8`http://pemudaenggang.wordpress.com/2008/04/16/artikel-153-perlembagaan-malaysia

POLITIK ISLAMELAYU

PAS DAN TAHALUL SIYASI
Hukum Tahaluf Siyasi
Para ulama haraki khususnya berbeza pandangan mengenai hukum melakukan kerjasama dengan gerakan yang tidak bermatlamatkan perjuangan Islam. Sebahagian daripada mereka dengan tegas menolak langsung sebarang usaha melakukan kerjasama ini serta menghukumkan bahawa kerjasama ini sebagai haram. Di antara mereka ialah Sheikh Muhammad Qutb[1] dan al-Syeikh al-Imam Abu Nasr Muhammad bin Abdullah[2]. Manakala di antara ulama yang mengharuskan tahaluf siyasi ialah Dr Yusuf al-Qaradhawi[3], Dr Mustoffa al-Tohhan[4], al-Syeikh Muhammad Ahmad al-Rasyid[5], Doktor Solah al-Showi[6] dan Doktor Munir Ghahdban[7].
Dalil-dalil yang dipegang oleh ulama yang mengharamkan tahaluf siyasi ialah seperti berikut :
  1. Firman Allah SWT :
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا لَا تَتَّخِذُوا الْيَهُودَ وَالنَّصَارَى أَوْلِيَاءَ بَعْضُهُمْ أَوْلِيَاءُ بَعْضٍ وَمَنْ يَتَوَلَّهُمْ مِنْكُمْ فَإِنَّهُ مِنْهُمْ إِنَّ اللَّهَ لَا يَهْدِي الْقَوْمَ الظَّالِمِينَ (51) فَتَرَى الَّذِينَ فِي قُلُوبِهِمْ مَرَضٌ يُسَارِعُونَ فِيهِمْ يَقُولُونَ نَخْشَى أَنْ تُصِيبَنَا دَائِرَةٌ فَعَسَى اللَّهُ أَنْ يَأْتِيَ بِالْفَتْحِ أَوْ أَمْرٍ مِنْ عِنْدِهِ فَيُصْبِحُوا عَلَى مَا أَسَرُّوا فِي أَنْفُسِهِمْ نَادِمِينَ (52)
Yang bermaksud : Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengambil orang-orang Yahudi dan Nasrani menjadi pemimpin-pemimpin(mu); sebahagian mereka adalah pemimpin bagi sebahagian yang lain. barangsiapa diantara kamu mengambil mereka menjadi pemimpin, Maka sesungguhnya orang itu termasuk golongan mereka. Sesungguhnya Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang zalim. Maka kamu akan melihat orang-orang yang ada penyakit dalam hatinya (orang-orang munafik) bersegera mendekati mereka (Yahudi dan Nasrani), seraya berkata: “Kami takut akan mendapat bencana”. Mudah-mudahan Allah akan mendatangkan kemenangan (kepada Rasul-Nya), atau sesuatu keputusan dari sisi-Nya. Maka kerana itu, mereka menjadi menyesal terhadap apa yang mereka rahasiakan dalam diri mereka.[8]
Hujah : Kerjasama gerakan Islam dengan orang-orang kafir di atas dasar politik akan menjauhkan lagi orang-orang Islam daripada mereka. Ini kerana, Islam mengharamkan sebarang jenis wala’ kepada kepada ahli kitab yang mempunyai akidah yang hampir sama dengan Islam, apatah lagi wala’ kepada orang-orang kafir yang akidah mereka langsung tidak mempunyai persamaan dengan akidah Islam. [9]
  1. Firman Allah SWT :
فِيهِمَا إِثْمٌ كَبِيرٌ وَمَنَافِعُ لِلنَّاسِ وَإِثْمُهُمَا أَكْبَرُ مِنْ نَفْعِهِمَا
Yang bermaksud : Pada keduanya terdapat dosa yang besar dan beberapa manfaat bagi manusia, tetapi dosa keduanya lebih besar dari manfaatnya[10]
Hujah : Ayat di atas berkenaan dengan pengharaman arak dan judi. Namun jika dilihat dari sudut tahaluf siyasi, kerjasama dengan musuh mungkin mendatang manfaat dari beberapa sudut, bagaimanapun dari sudut yang lebih jauh iaitu ke arah menegakkan hakimiah Allah SWT, ia tidak akan dapat dicapai. Lantas, kerjasama akan menyebabkan terbantutnya usaha gerakan Islam untuk menegakkan daulah Islamiah. Oleh yang demikian, kerjasama ini adalah haram kerana lebih banyak mendatangkan mudharat daripada manfaat.[11]
  1. Pertimbangan logik bahawa gerakan yang tidak berhasrat untuk menegakkan Islam ini pastinya hanyalah menjadikan gerakan Islam sebagai jambatan untuk mereka mendapatkan kuasa. Mereka sekali-kali tidak membiarkan gerakan Islam ini berkembang sehingga mengatasi diri mereka. Dan ini sekali lagi akan menghalang kepada tertegaknya daulah Islamiah seperti yang diperjuangan oleh Harakah Islamiah.[12]
Manakala bagi golongan ulama haraki yang mengatakan tahaluf siyasi sebagai sesuatu yang diharuskan, mereka berpegang dengan hujah-hujah berikut :
  1. Half al-Fudhul : Ia merupakan satu peristiwa yang berlaku pada zaman jahiliyyah iaitu perjanjian di antara beberapa qabilah untuk menolong golongan yang dizalimi.[13] Perjanjian ini telah disaksikan oleh Nabi Muhammad SAW. Inilah yang dimaksudkan oleh hadis baginda yang menyatakan :
وَأَيُّمَا حِلْفٍ كَانَ فِي الْجَاهِلِيَّةِ لَمْ يَزِدْهُ الْإِسْلَامُ إِلَّا شِدَّةً
Yang bermaksud : Mana-mana perjanjian yang dilaksakanan ketika jahiiyyah tidak akan ditambahkan (diubah) oleh Islam melainkan semakin patut dilaksanakan[14] – membawa makna mana-mana perjanjian di zaman jahiliyyah yang bermaksud kerjasama dan silaturrahim tidak akan berubah ketika Islam melainkan ia lebih patut untuk dilaksanakan. Ini kerana Islam tidak akan mengharamkan sesuatu perkara yang baik.
Hujah : Sekalipun Nabi SAW menyaksikan perjanjian ini ketika jahiliyyah, tetapi kerana Nabi telah memujinya semasa Islam, ia dianggap sebagai perkara yang baik. Ini menunjukkan bahawa sekalipun yang berada dalam ikatan perjanjian itu orang-orang yang berakidah salah, ia tetap dianggap perjanjian yang baik selagi mana tujuannya adalah baik.
  1. Perjanjian Rasulullah SAW dengan bapa saudaranya Abu Talib untuk menjaganya serta memeliharanya dari ancaman kaum Quraisy. Tahaluf di antara mereka berdua berlaku dalam beberapa peringkat :
2.1 Ketika Abu Talib melihat bagaimana Nabi Muhammad SAW bertegas untuk melaksanakan dakwah sekalipun terpaksa mati untuk Islam, Abu Talib lantas menyatakan : “Teruskan wahai anak saudaraku, katakanlah apa yang kamu hendaki. Demi Allah, aku tidak akan serahkan kamu kepada sesiapa selama-lamanya”[15] Kata-kata ini dibuktikan beberapa kali oleh Abu Talib di mana pernah beliau mengetahui tentang sekumpulan kaum Quraisy yang merancang untuk membunuh Nabi Muhammad SAW, lalu dikumpulkan bani Abdul Mutalib dan Bani Hasyim untuk melindungi baginda SAW. Mereka semua berkumpul termasuklah yang masih kafir untuk melindungi Nabi Muhammad SAW.[16]
2.2 Peringkat berikutnya ialah ketika kaum Quraisy melancarkan pemulauan kepada Bani Hashim dan Bani Abdul Mutalib sebagai tindak balas kerana mereka melindungi Rasulullah SAW. Lalu ditulis surat penguatkuasaan di mana tidak dibenarkan sesiapa pun menikahi atau dinikahi oleh kedua-dua kabilah ini. Juga tidak dibenarkan berlakunya urusan jual beli dengan kedua-duanya. Surat ini ditampalkan di dinding kaabah.[17]
Hujah : Di dalam peristiwa-peristiwa ini, dapatlah dibuat kesimpulan bahawa menjadi satu keharusan jamaah Islam untuk mendapat perlindungan daripada orang yang bukan Islam demi mencapai matlamat perjuangannya. Namun ia tidaklah sampai kepada peringkat tunduk dan patuh sehingga menggadaikan perjuangannya.
  1. Perjanjian Rasulullah SAW dengan Mut’im bin ‘Adi. Ia berlaku selepas kewafatan Abu Talib dan sekembalinya baginda SAW dari menyebarkan dakwah Thaif. Rasulullah SAW telah memasuki kota Mekkah dengan perlindungan seorang musyrik yang bernama Mut’im bin ‘Adi. Rasulullah SAW menghargai pertolongan Mut’im sehingga baginda pernah bersabda apabila memenangi perang Badar, “Sekiranya Mut’im bin Adi masih hidup lalu memintaku membebaskan tawanan ini, aku akan lakukan untuknya..”[18]
Hujah : Mut’im di dalam peristiwa ini sekalipun tidaklah memberikan kebebasan dan pertolongan kepada dakwah Islam tetapi melakukan sesuatu yang lebih besar dari itu iaitu menjaga tubuh badan Nabi Muhammad SAW. Mut’im tidak pernah berniat untuk menjadi pengikut Rasulullah SAW dan pendirian ini jelas ketika ia menjawab soalan dari Abu Jahal[19]. Ini menunjukkan keharusan mendapatkan kerjasama dari orang yang tidak berniat melaksanakan Islam di dalam urusan yang memberikan kebaikan kepada Islam dan umatnya.
  1. Perjanjian yang dibuat oleh Rasulullah SAW dengan kaum Yahudi ketika ditegakkan negara Islam Madinah. Perjanjian yang melahirkan Sahifah Madinah ini merupakan satu-satunya peristiwa besar dan terpenting yang menjadi hujjah keharusan kaum muslimin menjalinkan perjanjian dengan orang-orang bukan Islam di atas dasar memelihara kebajikan kedua-dua pihak. [20]
Di antara isi kandungan perjanjian ini ialah, “Kaum muslimin mempunyai haknya dan kaum Yahudi mempunyai haknya. Dan di antara mereka hendaklah tolong menolong sekiranya diserang oleh sesiapa. Dan di antara mereka hendaklah saling menasihati dan bekerjasama. Dan janganlah sesiapa memungkiri janjinya. Dan hendaklah pertolongan diberikan kepada yang dizalimi. Dan sekiranya berlaku apa-apa kepada pihak yang menjalinkan perjanjian ini, maka tempat rujukan ialah kepada Allah dan Muhammad Rasulullah SAW…”[21]
Hujah : Inilah sebesar-sebar hujah keharusan melakukan hubungan dengan non-muslim di dalam menegakkan negara Islam. Dan tidaklah menjadi dasar Islam mengenepikan kaum musyrikin daripada realiti kehidupan.
  1. Perjanjian Rasulullah SAW dengan Bani Khaza’ah. Ia berlaku apabila baginda bersama para sahabat ingin memasuki kota Makkah untuk mengerjakan haji namun disekat oleh kaum Quraisy. Lalu Rasulullah SAW mengutuskan pengintip dari bani Khaza’ah yang merupakan seorang musyrik dan mereka melaporkan kepada Rasulullah SAW mengenai pergerakan kaum Quraisy.[22] Bani Khaza’ah sebenarnya telah mempunyai hubungan dengan Bani Hasyim semenjak zaman jahiliyyah dan mereka meneruskan hubungan baik mereka dengan Bani Hasyim sekalipun berbeza akidah. Rasulullah SAW mengiktiraf hubungan ini dengan memberikan syarat iaitu pertolongan tidak akan diberikan kepada golongan yang zalim.[23]
  1. Perintah Rasulullah SAW kepada para sahabat agar berhijrah ke Habsyah semasa ditindas di Makkah untuk mendapatkan perlindungan dari Raja Najasyi yang merupakan seorang Nasrani pada masa itu turut merupakan dalil kepada keharusan untuk mendapatkan perlindungan dari orang yang bukan Islam di dalam menjaga kemaslahan umat Islam.
Jawapan Terhadap Golongan Yang Mengharamkan Tahaluf Siyasi
Di dalam memberikan jawapan kepada golongan ulama haraki yang mengharamkan tahaluf siyasi, beberapa pandangan telah dikemukakan. Antara lain :
  1. Ayat yang digunakan iaitu dari surah al-Maidah, ayat 51-52 bukanlah merujuk kepada tahaluf siyasi tetapi merujuk kepada orang-orang munafik yang terus meletakkan kepatuhan kepada orang-orang Yahudi di Madinah. Ianya turun kepada ketua munafik iaitu Abdullah bin Ubai yang bertindak untuk menyokong kabilahnya Yahudi Bani Qainuqa’ di dalam berhadapan dengan Nabi Muhammad SAW.[24] Ini menunjukkan bahawa ayat ini tiada kena mengena dengan tahaluf siyasi tetapi berkenaan dengan orang yang keluar langsung dari Harakah Islam untuk bekerjasama dengan musuh bagi melawan Islam.
  2. Ayat 219 dari surah al-Baqarah pula bukan sahaja tidak menjadi hujah mengharamkan tahaluf siyasi bahkan menjadi peneguh kepadea keharusannya. Ini kerana daripada tahaluf siyasi yang dilaksanakan di beberapa buah negara seperti Mesir, Sudan dan Yaman, manfaat yang besar banyak diperolehi oleh kaum muslimin. Oleh yang demikian, di dalam masalah manfaat dan mudharat ini, pertimbangan berdasarkan senario semasa perlu diambil kira. Tahaluf Siyasi sebelum diputuskan hendaklah dipertimbangkan semasak-masaknya oleh pakar politik dan ahli-ahli strategi.
KESIMPULAN
Di dalam mendepani arus politik Malaysia pada hari ini, PAS perlulah bijak mengambil manfaat daripada ruang dan peluang yang ada. Tahaluf siyasi perlulah dilakukan dalam keadaan PAS mendapat keuntungan yang maksimum dalam usaha untuk menegakkan agama Allah SWT. Bagaimanapun, perlulah diingatkan agar penerangan demi penerangan hendaklah dilakukan dari masa ke semasa khususnya kepada ahli-ahli di peringkat cawangan agar tidak terkeliru dengan langkah yang diambil.
Tentunya penyertaan PAS di Selangor dan Perak berbeza dengan Kelantan dan Kedah. Apatah lagi di Pulau Pinang yang dikuasai oleh DAP. Adakah apa yang dilaksanakan di Kelantan mampu untuk direalisasikan di Selangor? Oleh yang demikian, pendekatan-pendekatan seperti ini hendaklah dikaji dengan masak dan dihadamkan oleh ahli-ahli PAS.
Masa untuk berfikir dan melaksana sangat terhad sementara menanti pilihanraya umum yang berikutnya.
Penulis ialah Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Pasir Mas

[1] Muhammad Qutb (2004), Waqiunal Maashir, muka surat 465
[2] Muhammad bin Abdullah, Tanwir al-Zulumat Bikasyfi Mafasid wa Syubhat al-Intikhabat, muka surat 132
[3] Dr Yusuf al-Qaradhawi, Ainal Khalal, muka surat 75,
[4] Dr Mustoffa al-Tohhan, Fiqh al-Harakiyy baina al-Asolah wa al-Inhiraf, muka surat 33
[5] Syeikh Muhammad Ahmad al-Rasyid, Usul al-Ifta’ wa al-Ijtihad al-Tathbiqi, jilid 4 muka surat 277
[6] Doktor Solah al-Showi, al-Taaddudiah al-Siyasiah fi al-Daulah al-Islamiah, muka surat 142
[7] Doktor Munir Ghahdban, al-Tahaluf al-Siyasi fi al-Islam, muka surat 13
[8] Surah al-Maidah, ayat 51-52
[9] Muhammad bin Abdullah, Tanwir al-Zulumat Bikasyfi Mafasid wa Syubhat al-Intikhabat, muka surat 133
[10] Surah al-Baqarah, ayat 219
[11] Muhammad Qutb (2004), Waqiunal Maashir, muka surat 465
[12] Ibid, ms 465
[13] Berkata Ibnu Hajar mengenai sebab berlakunya peristiwa ini di mana beberapa orang individu telah dizalimi di bumi Makkah, lalu puak-puak yang lain yang membenci kezaliman telah bersepakat untuk menghulurkan bantuan. (Fathul Bari, juzuk 4, ms 473)
[14] Riwayat Muslim (Bab Fadhail Shabat), Abu Daud (Bab Sumpah)
[15] Ibnu Hisham, Al-Sirah al-Nabawiyyah, jilid 2 muka surat 101. Muhammad bin Jarir, Tarikh Tabari, juz 1, muka surat 549
[16] Ibnu Kathir, al-Bidayah wa al-Nihayah, juz 3 muka surat 84
[17] Ibnu Hisham, Al-Sirah al-Nabawiyyah, jilid 2, muka surat 101, Muhammad bin Jarir, Tarikh Tabari, juz 1, muka surat 545
[18] Sahih Bukhari, Kitab al-Maghazi, Bab Syuhud Malaikah Badran.
[19] Diriwayatkan bahawa Abu Jahal bertanya Mut’im, “Adakah engkau hanya menjamin atau menjadi pengikut Muhammad?” Mut’im menjawab, “Bahkan hanya sekadar penjamin.” Kata Abu Jahal, “Kami menerima jamiman kamu”. (Tarikh Tabari, jilid 1/ms 555) Ini menunjukkan sekiranya Mut’im memeluk Islam, jaminannya akan ditolak oleh Abu Jahal.
[20] Dr Mustoffa al-Tohhan, Fiqh al-Harakiyy baina al-Asolah wa al-Inhiraf, muka surat 34
[21] Ibnu Kathir, al-Bidayah wa al-Nihayah, jilid 3 muka surat 84
[22] Diriwayatkan oleh Imam Ahmad, hadis Marwan bin Hakam.
[23] Doktor Munir Ghahdban, al-Tahaluf al-Siyasi fi al-Islam, muka surat 114-116
[24] Tafsir Ibnu Kathir, jilid 2, muka surat 69-70
 





 

MEREKA YANG DI LUPAKAN
Setiap 6 Orang ISLAMELAYU di Malaysia, Satu Daripadanya MUA'ALAF

BARU-BARU ini, beberapa media cetak dan portal berita melaporkan petikan kenyataan seorang Bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd. Noor Abdullah yang mencadangkan agar mualaf yang mengamalkan ciri-ciri Melayu seperti yang ditakrifkan di dalam Perlembagaan Persekutuan diberi hak keistimewaan Melayu.

Cadangan ini dilihat membuka lembaran baharu dari sudut perundangan khususnya dalam penentuan status Melayu seseorang warga Malaysia bagi melayakkannya menikmati hak-hak istimewa Melayu sebagaimana diperuntukkan di bawah Perkara 153, Perlembagaan Persekutuan.
Perkara 153 tersebut antara lain, memperuntukkan hak-hak istimewa orang Melayu melibatkan kuota-kuota khas di dalam perkhidmatan awam, biasiswa persekutuan, lesen perniagaan dan enrolmen di dalam institusi pengajian tinggi awam.

Selain itu, terdapat juga hak-hak istimewa lain seperti kelayakan pemilikan tanah Rizab Melayu dan pelaburan di dalam Amanah Saham Bumiputera (ASB).
Persoalan yang mungkin timbul ialah sama ada pemberian hak istimewa tersebut bercanggah dengan definisi 'Melayu' di dalam Perlembagaan Persekutuan dan adakah tak­rifan 'Melayu' tersebut perlu dilihat semula untuk dimasukkan golongan mualaf yang ada antara mereka yang sudah sebati dengan cara hidup Islam yang begitu rapat dengan budaya Melayu?

Perkara 160 (2) Perlembagaan Persekutuan memperincikan definisi 'Melayu' sebagai seseorang yang ber­agama Islam, mengamalkan adat dan budaya Melayu, melazimi pertuturan dalam bahasa Melayu dan a) lahir sebelum Hari Merdeka, di Persekutuan atau di Singapura, atau ibu atau bapanya telah lahir di Persekutuan, atau pada hari Merdeka itu, ia adalah berdomisil di Persekutuan atau Singapura; atau b) ia adalah keturunan seseorang yang tersebut.

Justeru, jika salah satu daripada syarat tersebut tidak dipenuhi maka seseorang itu tidak diiktiraf sebagai Melayu menurut Perlembagaan Persekutuan.
Sebagai contoh, sekiranya seseorang Melayu menjadi murtad atau keluar agama Islam, secara automatik orang tersebut tidak lagi dianggap Melayu menurut undang-undang dan akan terlucut daripadanya hak-hak keistimewaan Melayu yang dinikmatinya sebelum ini. Secara tidak langsung, definisi Melayu sebagai Muslim dari satu sudut, dilihat dapat memelihara akidah Islam orang Melayu agar tidak menajdi murtad.
Namun, dari sudut yang lain, terdapat kecenderungan dalam kalangan masyarakat untuk mengaitkan Melayu dengan Islam dalam semua perkara sehingga ke tahap ada yang mengatakan jika seseorang memeluk Islam ia seolah-olah 'masuk Melayu'.

Ada juga yang menilai prinsip dan ajaran Islam berdasarkan tindak-tanduk orang Melayu walaupun hakikatnya bukan begitu.
Tidak dapat dinafikan, sentimen 'Melayu itu Islam' dan 'Islam itu Melayu' yang begitu tebal di dalam masyarakat Malaysia adalah disebabkan definisi Melayu sebagai Muslim dan kerana kaum Melayu adalah kaum majoriti di Malaysia.

Namun, jika diamati, adalah salah untuk mengkhususkan perspektif Islam di Malaysia hanya dari sudut 'kemelayuan' semata-mata. Ini kerana, penganut Islam di Malaysia bukan hanya terbentuk daripada kelompok Melayu sahaja.
Berdasarkan laporan Banci Penduduk dan Perumahan 2010 (Banci dijalankan setiap 10 tahun sekali), meskipun Melayu menjadi kelompok majoriti dengan mewakili 50.4 peratus daripada keseluruhan 28,908,795 penduduk Malaysia, namun harus diingat peratus penduduk beragama Islam di Malaysia ialah 60.4 peratus.
Dalam kata lain, terdapat 10 peratus atau 2.9 juta rakyat Malaysia dari kalangan umat Islam yang bukan berbangsa Melayu. Atau dalam kata lebih mudah, bagi setiap enam orang Muslim di Malaysia, satu daripadanya adalah bukan Melayu.

Justeru, perbincangan mengenai Islam di Malaysia tidak wajar dieksk­lusifkan dari perspektif Melayu sahaja.
Islam perlu diterjemahkan dalam bentuk yang lebih inklusif menjangkau sempadan perkauman sesuai dengan sifatnya sebagai rahmat kepada sekalian alam.
Untuk mencapai tujuan tersebut, pemberian hak keistimewaan Melayu kepada mualaf boleh dijadikan suatu permulaan yang baik sekiranya betul cara dan mekanisme pelaksanaannya.

Memang benar, jika diamati tafsiran Melayu yang digariskan oleh Perlembagaan Persekutuan, terdapat halangan untuk membolehkan seseorang mualaf dikategorikan sebagai Melayu walaupun sudah memeluk agama Islam bertahun-tahun atau mempunyai zuriat yang dikategorikan Melayu hasil perkahwinan dengan pasangan berbangsa Melayu. Begitu juga, memeluk Islam tidak akan mengubah bangsa seseorang daripada bukan Melayu kepada Melayu kerana seseorang mungkin boleh mengubah agama­nya tetapi bangsanya akan kekal sehingga akhir hayat.

Namun, tidak ada salahnya untuk mempertimbangkan dan melihat semula kriteria pemberian hak keistimewaan yang dinikmati orang Melayu kepada mualaf yang sudah bertahun-tahun memeluk Islam malah ada yang sudah mengamalkan cara hidup Islam dan menguasai ilmu Islam jauh lebih baik daripada orang Melayu yang telah menjadi Muslim sejak dilahirkan. - Nisar Mohammad Ahmad Utusan Melayu 



AMUKANMELAYU - Yang tak dapat di UBAH adalah Al-Quran.....Perlembagaan akan di ubah sekiranya PR atau KAIRUN menguasai PARLIMENT. Semua ini akan berlaku apabila 2/3 KERUSI PARLIMENT di Kuasai oleh KAIRUN.