“Musafir kerana Allah”.(KL - Tak Bai - Narathiwat).
“Musafir
kerana Allah”. Ayat itulah yang mula-mula saya coretkan di buku catatan
yang dibawa ketika berjaulah ke Selatan Thailand baru-baru ini. Ia
perjalanan yang ditekadkan bersungguh-sungguh walaupun dirancang dalam
masa yang singkat. Alhamdulillah, Allah permudahkan segalanya sejak
awal. Rancangan yang mulanya di dalam fikiran diterjemah melalui
perjalanan yang menjanjikan ibrah dan pengalaman. Di temani seorang
sahabat, perjalanan hampir 800 km melalui jalan darat ini kami tempuhi.
Perjalanan kami bermula di KL Sentral
pada 22/8/2012 bersamaan 4 Syawal 1433 Hijrah. Usai solat Maghrib jamak
bersama Solat Isyak di Surau KL Sentral, kami menaiki Keretapi Tanah
Melayu Ekspres Senandung Wau di Platform B. Destinasi kami menuju ke
stesen terakhir iaitu stesen Tumpat, Kelantan Darul Naim. Tepat jam 8.30
malam, keretapi mula bergerak perlahan sebelum menambah kelajuan menuju
ke stesen Gemas dan stesen-stesen berikutnya. Keputusan menaiki
keretapi sengaja diambil walau memakan masa yang lebih panjang
berbanding menaiki bas. Ini kerana kami ingin merasai pengalaman melihat
pemandangan kawasan kampung dan pedalaman sepanjang laluan keretapi.
Pengalaman merasai qiam, solat subuh, menikmati hidangan di café dan
berbincang tentang perjalanan kami di atas keretapi yang sedang
bergerak juga merupakan pengalaman yang mencuit hati apabila dikenang
semula.
Kami tiba ke Stesen Keretapi Tanah
Melayu Tumpat agak lewat iaitu sekitar jam 12.30 Tengah hari pada
23/8/2012 bersamaan 5 Syawal 1433 Hijrah. Namun begitu, perjalanan kami
selama 16 jam tidak terasa meletihkan kerana keterujaan kami untuk
meneruskan perjalanan. Kami meneruskan perjalanan ke Pos Imegresen
Pengkalan Kubur dengan menaiki kereta sewa. Jarak perjalanan dari Stesen
KTM Tumpat hanya mengambil masa kira-kira 15 minit. Selepas urusan
pasport selesai, kami menaiki bot untuk menyeberangi Sungai Kolok menuju
ke Tak Bai, Thailand dengan tambang RM 1.00. Setelah tiba di wilayah
Tak Bai, kami terus menuju ke stesen imigresen Thailand. Bezanya dengan
sebelah Malaysia, lokasi imigresen di Tak Bai ini hanyalah sebuah
bangunan kayu yang dibina untuk sementara dan tempat mengisi borang
kemasukan kami lebih menyerupai sebuah pondok panas di Malaysia.
Lokasi mengisi borang kemasukan di Pekan Tak Bai yang lebih menyerupai pondok panas.
Kami mengambil kesempatan petang di Tak
Bai atau juga di kenali sebagai Ta ba oleh penduduk tempatan dengan
menikmati makanan tempatan dan melihat-lihat barangan yang begitu murah
di sekitar Pasar Tak Bai. Untuk mendapatkan makanan halal, sememangnya
tiada masalah. Gerai makanan melayu di mana-mana. Bagi penggemar
makanan, pasti mereka akan berpuas hati dengan rasa dan harga yang
ditawarkan oleh peniaga gerai makanan di Pekan Tak Bai ini. Di sini juga
kami mendapati hampir semua penduduk tempatan yang meniaga merupakan
orang Melayu dan menggunakan bahasa Melayu dengan dialek Kelantan.Oleh
itu, kami tidak punya kesulitan untuk bercakap dengan mereka walau ada
sedikit kejanggalan kerana kami menggunakan dialek yang berbeza. Disini
juga matawang ringgit atau dipanggil penduduk tempatan sebagai “kok”
juga masih boleh digunakan. Oleh itu, jika anda hanya ingin melawat
sekitar Tak Bai, anda tidak perlu menukarkan Ringgit Malaysia kepada
Bath Thailand. Nilai RM 10.00 di sini di kira bersamaan 100.00 Bath.
Kepada pengembara yang hendak berjimat, anda tidak perlu menukar wang di
kaunter tukaran wang asing kerana sedikit caj akan dikenakan.
Aktiviti perniagaan penduduk tempatan.
Pagi 23/8/2012 bersamaan 5 Syawal 1433
Hijrah merupakan hari yang cerah dan indah. Hari ini adalah hari kedua
kami di Tak Bai. Selepas bersarapan di chalet, kembara diteruskan dengan
membuat lawatan di hadapan Balai Polis Tak Bai menaiki teksi motor.
Balai Polis Tak Bai merupakan antara
lokasi penting dalam kembara ini. Di hadapan Balai Polis Tak Bai inilah
peristiwa Berdarah Tak Bai atau dikenali sebagai Tak Bai Massacre berlaku.
Peristiwa berdarah yang berlaku pada 25 Oktober 2004 ini terjadi di
dalam bulan Ramadhan. Peristiwa ini berpunca dari kehilangan 4 laras
senjata api milik pihak keselamatan Thailand. Menurut Pak Cik Mat iaitu
pemandu teksi motor yang membawa kami ke lokasi ini, dia memberitahu
enam orang penduduk tempatan telah ditahan secara tidak sah oleh pihak
polis atas sebab ini. Sedangkan, penduduk tempatan tidak terlibat
langsung dengan kehilangan 4 laras senjata api tersebut.
Perbandingan gambar lokasi pada hari ini dengan gambar lokasi pada hari kejadian.
Bagi menunjukkan protes dan rasa tidak
puas hati atas tindakan polis menahan penduduk tempatan, ratusan
penduduk tempatan melakukan demonstrasi di hadapan Balai Polis bagi
menuntut pembebasan rakan mereka. Namun begitu, tindakan ini dibalas
dengan tembakan gas pemedih mata dan peluru hidup. Peristiwa berdarah
ini menyaksikan ratusan orang melayu Islam dipukul, disepak, dipijak dan
diseret sebelum di bawa menaiki trak tentera sebelum di bawa ke pusat
tahanan tentera di Pattani. Dalam peristiwa ini, 84 orang telah
terbunuh. 7 disahkan terbunuh ditembak ketika melarikan dan bakinya maut
akibat sesak nafas dalam perjalanan ke kem tentera di Pattani akibat di
bawa secara bertindih-tindih di dalam trak manakala ratusan yang lain
di tahan.
Sebagai renspon terhadap peristiwa itu,
perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawarta (Kini telah dijatuhkan
dengan rampasan kuasa oleh tentera selepas kemelut politik di Thailand)
dengan biadap menyokong tindakan tentera, dengan mengatakan bahawa
orang-orang Islam ini terbunuh “Kerana mereka sudahpun lemah sebab
berpuasa di bulan Ramadhan”.
Ketika tragedi ini berlaku, saya masih
di bangku persekolahan. Namun mengikuti perkembangan tragedi ini di dada
akhbar pada ketika itu cukup mengguris emosi saya sebagai seorang
muslim. Apabila berdiri dan menyaksikan sendiri lokasi berlakunya
peristiwa ini, ibarat menyaksikan secara langsung suasana pilu suasana
yang berlaku pada hari tersebut. Seakan-akan terjadi di hadapan mata
tidakan tidak berperikemanusiaan tentera dan polis mengheret
saudara-saudara seakidah dengan kita, tubuh mereka dipijak dan dihenyak
malah sebahagian dari mereka yang melarikan diri dengan terjun ke tebing
sungai di tembak mati.
Kesan tembakan peluru M 16 yang masih kelihatan di tiang.
Akibat dari peristiwa berdarah ini,
wilayah selatan Thailand yang sedia panas menjadi bergolak semula.
Penduduk tempatan ada yang membalas. Pengeboman berlaku lebih kerap di
daerah selatan sehingga ke Narathiwat,Yala dan Pattani. Tembak menembak
berlaku. Umat Islam yang sedang solat di dalam masjid ada yang ditembak
ketika solat berjemaah malah imam di bunuh dalam perjalanan ke masjid.
Sehingga hari ini, wilayah ini belum sepi dari rasa curiga antara pihak
kerajaan dengan penduduk tempatan.
Dalam kesempatan berbual bersama Pak Cik
Mat, beliau memberitahu saya bahawa 6 orang saudaranya terbunuh dalam
peristiwa Tak Bai. Ahli keluarga mereka yang masih hidup, ramai yang
bangkit menuntut bela dengan menyertai pihak pejuang. Sebahagian masih
di Thailand. Sebahagian melarikan diri melalui sempadan. Pak cik
memberitahu saya sebahagian dari mereka melarikan diri ke Malaysia.
Dengan kuasa Allah, saya terlupa akan nama-nama kawasan di mana mereka
berlindung. Mungkin lebih selamat untuk saya dengan tidak mengingati
nama-nama lokasi tersebut.Pak
cik Mat kehilangan 6 orang saudara ketika peristiwa Tak bai berlaku.
Pak cik tidak tahu, saya kehilangan lebih 80 saudara seakidah dengan
saya dalam peristiwa itu.
Pada jam 10 pagi, kami meneruskan
perjalanan menaiki teksi ke wilayah Narathiwat. Wilayah ini adalah
wilayah bersebelahan dengan wilayah Tak Bai. Sepanjang perjalanan ke
Narathiwat, kami berkesempatan berbual bersama Abang Rahim, iaitu
penduduk Kota Bharu, Kelantan. Beliau juga dalam perjalanan ke
Narathiwat bagi melawat saudara-mara beliau yang berada di sana.
Kehadiran beliau, adalah bantuan dari Allah. Doa yang kami panjatkan
agar perjalanan kami dipermudahkan dikabulkan. Beliaulah yang
kemudiannya mencadangkan penginapan yang terdekat dengan Bandar
Narathiwat malah membantu dan menemani kami sepanjang kami berada di
sini.
Benarlah hadith baginda nabi SAW yang bermaksud:
“Tiga doa yang sangat mustajab; doa
orang yang berpuasa, doa orang yang dizalimi dan doa orang bermusafir”
(Riwayat Al Bukhari, Ahmad, Abu Daud dan Al Tirmizi)
Selesai urusan “check ini” di Hotel
Pasifik dengan bayaran 500 bath atau RM 50.00 kami mengambil keputusan
untuk bersolat Jumaat di Masjid Al Jam’iyah memandangkan kedudukannya
yang terletak hanya kira-kira 100 meter dari penginapan kami. Ketika
khutbah di bacakan, kami agak teruja apabila mendengar khatib membaca
dalam bahasa melayu malah dengan dialek yang lebih mudah difahami.
Intipati khutbah juga sangat menarik iaitu memfokuskan mengenai
kepentingan menjaga silaturrahim dan ukhwah sesame Umat Islam. Mungkin
sempena menyambut kedatangan syawal yang masih diraikan. Bersolat di
Masjid ini, menjadikan saya berasa seolah-olah masih berada di negara
sendiri.
Usai solat, kami mengambil kesempatan
berehat sebentar sehingga waktu asar. Kira-kira jam 5 petang, Abang
Rahim datang bersama sepupu beliau, Rusydi datang menjemput kami dengan
kereta milik Rusydi. Rancangan awal, mereka bercadang untuk membawa kami
untuk melawat Masjid Telok Manok atau lebih dikenali sebagai Masjid 300
tahun. Masjid ini punya keunikannya yang tersendiri dengan binaannya
yang tidak menggunakan walau sebatang paku selain kecantikan senibina
dan sejarah di sebalik penubuhannya. Rusydi merupakan anak jati
kelahiran Narathiwat dan tidak pernah menjejakkan kaki ke Malaysia. Agak
melucukan juga apabila perbezaan dialek antara kami menjadikan
sebahagian pertuturan beliau gagal difahami oleh kami dan pertuturan
kami juga tidak difahami oleh beliau sedangkan kami masih menggunakan
bahasa yang serupa. Mujur ada Abang Halim sebagai penterjemah.
Di wilayah Narathiwat ini, kebanyakan
penduduk sama seperti di Tak Bai iaitu Melayu Islam. Tiada masalah untuk
mendapatkan makanan halal di mana-mana. Bahasa yang digunakan juga
masih bahasa melayu dengan dialek Kelantan. Antara tips mudah mencari
makanan halal dan restoran melayu adalah pada pakaian dan bahasa mereka
selain tanda-tanda di dinding kedai. Di wilayah ini, matawang ringgit
atau “kok” tidak digunakan oleh penduduk tempatan seperti di Tak Bai.
Bagi menukarkan wang, di sini tidak kedai khas menawarkan khidmat
menukarkan mata wang asing seperti yang boleh dilihat di Malaysia.
Walaubagaimanapun, penukaran boleh dilakukan di mana-mana kedai emas
yang banyak terdapat di Narathiwat. Kedai-kedai emas di sini menawarkan
khidmat penukaran wang asing dengan sedikit bayaran. Untuk RM 100.00
bagi penukaran kepada 1000 bath, kami dikenakan caj RM 2.00.
Sekatan oleh pihak tentera hampir di setiap jalan utama.
Perjalanan kami pada petang ini diiringi
hujan yang turun renyai-renyai menjadikan cuaca sejuk dan dingin. Namun
begitu, perjalanan ke masjid yang berusia lebih dari 300 tahun ini
lancar dengan keadaan jalan yang lebar dan lurus tanpa kesesakan jalan
raya. Sekatan dan pos kawalan pihak tentera yang berada di mana-mana
juga dilepasi dengan mudah. Syukur perjalanan kami tidak di sekat.
Sepanjang perjalanan melewati banjaran gunung diliputi kabus di sisi
kiri kami menambahkan kesyukuran ke hadrat Ilahi. Panorama yang begitu
indah dan mengasyikkan. Betapa indahnya ciptaan Allah bagi hamba yang
mahu dan tahu bersyukur. Benarlah firman Allah di dalam Surah Al Hajj
yang bermaksud:
“Tidakkah mereka menjelajah muka bumi
supaya mereka mempunyai hati yang dapat berfikir atau telinga yang
dapat mendengar? Kerana sebenarnya bukan mata yang buta. Tetapi yang
buta ialah hati di dalam dada” (Al Hajj:46)
Kami tiba di kawasan masjid yang di bina
pada abad ke 18 ini sekitar jam 5.30 petang. Ketika itu hujan masih
renyai-renyai. Namun kami tidak melepaskan peluang untuk melihat
keindahan senibina unik yang terdapat di dalam masjid ini. Lensa kamera
tidak henti –henti di petik kerana tertarik dengan keunikan seni bina
masjid ini yang di bina ratusan tahun dahulu. Seluruh kawasan masjid
termasuk loteng kecil masjid yang begitu unik amat mengagumkan kami.
Bagi sesiapa yang meminati seni ukiran kayu dan sejarah di sebalik
masjid ini , lawatan ke lokasi ini adalah satu kemestian yang
menjanjikan pengalaman luar biasa.
Masjid yang dikenali sebagai masjid 300 tahun.
Tarikh 24/8/2012 bersamaan 6 Syawal 1433
Hijrah ialah hari terakhir kami di Narathiwat. Selepas solat subuh dan
membaca Mat’surat, kami mengambil kesempatan untuk bersiar-siar dengan
berjalan kaki di sekitar Narathiwat. Kami memulakan langkah kaki kami
menuju ke Sungai Bang Nara, yang terletak berhampiran dengan kediaman
kami. Di sini kami mengambil kesempatan untuk sekali lagi melihat
kebesaran Allah dengan menikmati pemandangan matahari terbit di muara
sungai sambil memerhatikan kapal-kapal nelayan yang baru pulang dari
laut. Keadaan sungai yang bersih menjadikan anak-anak ikan yang bermain
di gigi air jelas kelihatan sepanjang sungai ini. Bagi yang berminat
dengan aktiviti pertandingan kayuh perahu, di sungai inilah saban tahun
sekitar bulan September akan diadakan pertandingan kayuh perahu
dikalangan penduduk tempatan dengan disaksikan oleh Raja Thailand iaitu
Raja Bhumibol Adulyadej.
Selepas menikmati pemandangan di Sungai
Bang Nara, kami ditemani seorang pak cik berusia sekitar pertengahan
umur yang juga merupakan penduduk tempatan. Beliau begitu baik hati dan
menawarkan diri untuk membawa kami berjalan-jalan sekitar Bandar
Narathiwat. Di bandar ini, kami dapat melihat suasana masyarakatnya yang
sedang menjalankan aktiviti pagi hari. Agak tertarik apabila melihat
pelajar-pelajar sekolah arab yang menaiki Tut-tut beramai-ramai menuju
ke sekolah. Begitu juga melihat penduduk tempatan yang menaiki motosikal
untuk berniaga dan menjalankan aktiviti harian mereka. Apabila melihat
golongan tua menaiki motor sambil memakai kain pelikat dan serban, juga
golongan ibu yang memakai pakaian begitu sopan dan menutup aurat
menjadikan kami terasa seakan-akan berada di Kota Bharu, Kelantan.
Pelajar Sekolah Agama dalam perjalanan ke sekolah dengan menaiki Tut-Tut.
Kami menyusuri perjalanan sepanjang
kawasan Bandar Narathiwat dan menyeberangi Jambatan Saphan
Predanaratasana menuju ke kawasan Pantai Narathiwat. Dari atas jambatan
Saphan Predanaratasana ini juga kami melihat masyarakat tempatan yang
menjalankan aktiviti penternakan ikan dan kawasan perkampungan nelayan.
Di atas jambatan ini jugalah kami menyedari bahawa di Narathiwat ini
terdapat begitu banyak masjid yang di bina berdekatan antara satu sama
lain untuk kemudahan penduduk. Dari atas jambatan ini, sudah pasti
menara dan bangunan Masjid Pusat iaitu masjid terbesar di Narathiwat
paling jelas kelihatan.
Banner Kempen Berhenti Merokok
sempena Ramadhan. Tulisan jawi masih digunakan. Di Malaysia barangkali
hanya di Kelantan baru dapat dilihat banner bertulisan jawi sebegini.
Selepas pulang dari bersiar-siar di
sekitar Narathiwat, kami mengambil kesempatan untuk melihat aktiviti
urus niaga penduduk tempatan di pasar narathiwat. Di kawasan ini jugalah
kami mengambil kesempatan untuk menikmati makanan penduduk tempatan
yang begitu lazat dan murah.
Pemandangan sekitar Sungai Bang Nara, Narathiwat.
Perjalanan kami di Narathiwat kami
akhiri dengan lawatan ke Ao Manao – Khao Tanyong National Park bersama
abang Rahim yang menemui kami ketika kami sedang leka menjamu selera.
Dari sana, kami sekali lagi kagum dengan kecantikan hutan di Taman
Negara Ao Manao – Khao Tanyong yang masih terpelihara dan pesisir
pantai yang kehijau-hijauan. Bagi yang meminati aktiviti hutan dan
pantai, lokasi ini adalah antara lokasi penting bagi menjalankan
aktiviti lasak seperti jungle trekking, camping, memandu ATV dan
menaiki bot di sepanjang pantai.
Taman Negara Ao Manao-Khaotanyong. Lokasi perkelahan yang amat menarik bagi pencinta alam.
Melihat kecantikan pemandangan di sini,
kami berasa hairan kerana sepanjang kami berada di Wilayah Narathiwat
termasuk di kawasan Bandar, kami tidak bertemu walau seorangpun
pelancong asing. Keadaan ini berbeza sama sekali dengan kawasan lain di
Thailand seperti di Danok, Hatyai, Phuket dan Bangkok. Mungkin para
pelancong memilih lokasi yang lebih selamat kerana Wilayah Narathiwat
merupakan wilayah bergolak. Kejadian letupan bom dan tembakan masih
berlaku di wilayah ini. Tidak hairanlah setiap kali saya berkesempatan
untuk berbual dengan penduduk tempatan, hampir setiap mereka yang saya
temui akan bertanya: “Tidak takutkah datang ke sini?” Saya hanya
tersenyum. Tidak tahu hendak menjawab bagaimana. Risiko itu telah
difikirkan dengan mendalam sebelum saya bertolak ke sana. Saya juga tahu
letupan dan kejadian tembak-menembak masih berlaku di wilayah bergolak
ini. Tapi hati telah dibulatkan untuk mengembara ke sana. Barangkali ini
tarbiah buat diri untuk merasakan keindahannya tawakal sebenar-benarnya
hanya kepada Allah SWT. Bukankah Allah SWT berfirman yang bermaksud:
“Dan hanyalah kepada Allah orang-orang yang beriman harus bertawakal.” (QS At Taubah: 51).
Kami mengakhiri kembara kami pada tengah
hari itu dengan menuju ke perhentian teksi sebelum berpisah dan
seterusnya pulang ke Malaysia. Sungguh, kesempatan kembara di selatan
Thailand adalah satu kenangan indah yang kami syukuri dengan
sebenar-benarnya. Selamat tinggal saudara-saudaraku di sana. Semoga
kelak kita dapat bertemu kembali.
Jaulah: Kembara sambil mencari redha Allah.
_________________________________________________________________________________
Tips Kembara ke Selatan Thailand:
*Perbetulkan niat kembara @ jaulah kerana ingin mendapatkan redha dan berfikir tentang kebesaran Allah SWT menepati firman Nya yang bermaksud:
Tidakkah mereka menjelajah muka bumi supaya mereka mempunyai hati yang dapat berfikir atau telinga yang dapat mendengar? Kerana sebenarnya bukan mata yang buta. Tetapi yang buta ialah hati dalam dada.” Al Hajj (22:46).
*Sentiasa bertawakkal kepada Allah menepati firman Nya yang bermaksud:
“Dan hanyalah kepada Allah orang-orang yang beriman harus bertawakal.” (QS At Taubah: 51)
* Baca sunnah mengembara seperti yang diamalkan Rasulullah sebelum memulakan perjalanan. Boleh baca di link ini:
http://lilyrianitravelholic.blogspot.com/2012/04/sunnah-rasulullah-saw-semasa-musafir.html
*Bawa Mat'surat untuk bacaan setiap pagi & petang sebagai usaha agar dilindungi dari segala mara bahaya.
*Elakkan mengembara berseorangan. Usahakan untuk mengembara dengan sekurang-kurangnya 3 orang dan lantik salah-seorang menjadi ketua.
*Untuk panduan jumlah wang yang perlu dibawa, penulis membawa duit berjumlah RM 380.00 semasa melakukan pengembaraan ke wilayah selatan Thailand (Tak Bai & Narathiwat sahaja) dan duit masih berbaki kira-kira RM 40.00 semasa tiba di Hentian Bas Putra, Kuala Lumpur. Jumlah RM 400.00 – RM 500.00 dalam bentuk tunai adalah memadai untuk perjalanan selama 3 atau 4 hari. Jika pergi lebih jauh seperti di Pattani dan Songkla kos pasti bertambah.
*Jangan membawa wang terlalu banyak. Anda hanya akan meningkatkan resiko keselamatan diri dan rakan-rakan lain.
*Kos sebenar bergantung kepada bagaimana kita menguruskan perjalanan kita. Sebagai contoh, kos makanan boleh dijimatkan jika memasak sendiri dengan menggunakan dapur camping (mess tin) dan kos perjalanan boleh dijimatkan jika memilih untuk menaiki kenderaan yang lebih murah (tetapi biasanya lebih lambat seperti menunggu teksi penuh dan sebagainya).
*Jika anda pandai berunding dengan pemandu-pemandu di sana, anda boleh menjimatkan wang untuk kegunaan lain.
*Elakkan membeli terlalu banyak barang dan cenderahati jika mengembara kerana beban, saiz muatan dan kos yang tidak efektif. Kembalikan fikiran kepada matlamat & tujuan pengembaraan.
*Elakkan membawa beg yang perlu dipegang di tangan (Seperti beg balik kampung) keranan ia menghadkan mobiliti dan keupayaan pergerakan. Gunakanlah beg Pack (Beg jenis galas) yang sesuai.
*Bawa beg kecil yang sentiasa boleh di bawa kemana-mana sahaja seperti porch bag untuk membawa barang penting seperti passport, ic, wang dan lain-lain.
*Elakkan terlalu menonjolkan diri sebagai pelancong dan membawa barang-barang yang beharga seperti barang kemas dan jam tangan yang kelihatan mahal. Jika anda membawa kamera DSLR dan sebagainya, simpan dari penglihatan orang ramai dan gunakan hanya bila perlu. Percayalah, Ia akan menjimatkan lebih wang dan memberi lebih keselamatan kepada anda.
* Bawa kompas arah solat dan sejadah kecil.
*Bekalan botol air mineral satu kemestian.
* Talian telefon bimbit Malaysia (Celcom, maxis dan digi) hanya ada di sekitar Tak Bai. Jika anda masuk lebih jauh seperti di Narathiwat, Pattani, Songkla dan lain-lain, talian telefon anda sudah tiada. Tukarkan ke talian tempatan (Manual configure) untuk mendapatkan talian. Sebagai pilihan, telefon awam banyak terdapat di Bandar Narathiwat.
* Berkebolehan berbicara dalam dialek/slang seperti di Kelantan adalah satu kelebihan.
*Elakkan bercakap mengenai isu-isu keselamatan, pejuang di selatan Thailand dan lokasi-lokasi khusus yang hendak anda kunjungi jika ianya punyai sejarah hitam kepada sesiapa yang anda tidak kenali. Sebut hanya lokasi-lokasi umum seperti lawatan ke Masjid , sekolah, universiti, sungai-sungai dan pantai.
____________________________________
_________________________________________________________________________________
Tips Kembara ke Selatan Thailand:
*Perbetulkan niat kembara @ jaulah kerana ingin mendapatkan redha dan berfikir tentang kebesaran Allah SWT menepati firman Nya yang bermaksud:
Tidakkah mereka menjelajah muka bumi supaya mereka mempunyai hati yang dapat berfikir atau telinga yang dapat mendengar? Kerana sebenarnya bukan mata yang buta. Tetapi yang buta ialah hati dalam dada.” Al Hajj (22:46).
*Sentiasa bertawakkal kepada Allah menepati firman Nya yang bermaksud:
“Dan hanyalah kepada Allah orang-orang yang beriman harus bertawakal.” (QS At Taubah: 51)
* Baca sunnah mengembara seperti yang diamalkan Rasulullah sebelum memulakan perjalanan. Boleh baca di link ini:
http://lilyrianitravelholic.blogspot.com/2012/04/sunnah-rasulullah-saw-semasa-musafir.html
*Bawa Mat'surat untuk bacaan setiap pagi & petang sebagai usaha agar dilindungi dari segala mara bahaya.
*Elakkan mengembara berseorangan. Usahakan untuk mengembara dengan sekurang-kurangnya 3 orang dan lantik salah-seorang menjadi ketua.
*Untuk panduan jumlah wang yang perlu dibawa, penulis membawa duit berjumlah RM 380.00 semasa melakukan pengembaraan ke wilayah selatan Thailand (Tak Bai & Narathiwat sahaja) dan duit masih berbaki kira-kira RM 40.00 semasa tiba di Hentian Bas Putra, Kuala Lumpur. Jumlah RM 400.00 – RM 500.00 dalam bentuk tunai adalah memadai untuk perjalanan selama 3 atau 4 hari. Jika pergi lebih jauh seperti di Pattani dan Songkla kos pasti bertambah.
*Jangan membawa wang terlalu banyak. Anda hanya akan meningkatkan resiko keselamatan diri dan rakan-rakan lain.
*Kos sebenar bergantung kepada bagaimana kita menguruskan perjalanan kita. Sebagai contoh, kos makanan boleh dijimatkan jika memasak sendiri dengan menggunakan dapur camping (mess tin) dan kos perjalanan boleh dijimatkan jika memilih untuk menaiki kenderaan yang lebih murah (tetapi biasanya lebih lambat seperti menunggu teksi penuh dan sebagainya).
*Jika anda pandai berunding dengan pemandu-pemandu di sana, anda boleh menjimatkan wang untuk kegunaan lain.
*Elakkan membeli terlalu banyak barang dan cenderahati jika mengembara kerana beban, saiz muatan dan kos yang tidak efektif. Kembalikan fikiran kepada matlamat & tujuan pengembaraan.
*Elakkan membawa beg yang perlu dipegang di tangan (Seperti beg balik kampung) keranan ia menghadkan mobiliti dan keupayaan pergerakan. Gunakanlah beg Pack (Beg jenis galas) yang sesuai.
*Bawa beg kecil yang sentiasa boleh di bawa kemana-mana sahaja seperti porch bag untuk membawa barang penting seperti passport, ic, wang dan lain-lain.
*Elakkan terlalu menonjolkan diri sebagai pelancong dan membawa barang-barang yang beharga seperti barang kemas dan jam tangan yang kelihatan mahal. Jika anda membawa kamera DSLR dan sebagainya, simpan dari penglihatan orang ramai dan gunakan hanya bila perlu. Percayalah, Ia akan menjimatkan lebih wang dan memberi lebih keselamatan kepada anda.
* Bawa kompas arah solat dan sejadah kecil.
*Bekalan botol air mineral satu kemestian.
* Talian telefon bimbit Malaysia (Celcom, maxis dan digi) hanya ada di sekitar Tak Bai. Jika anda masuk lebih jauh seperti di Narathiwat, Pattani, Songkla dan lain-lain, talian telefon anda sudah tiada. Tukarkan ke talian tempatan (Manual configure) untuk mendapatkan talian. Sebagai pilihan, telefon awam banyak terdapat di Bandar Narathiwat.
* Berkebolehan berbicara dalam dialek/slang seperti di Kelantan adalah satu kelebihan.
*Elakkan bercakap mengenai isu-isu keselamatan, pejuang di selatan Thailand dan lokasi-lokasi khusus yang hendak anda kunjungi jika ianya punyai sejarah hitam kepada sesiapa yang anda tidak kenali. Sebut hanya lokasi-lokasi umum seperti lawatan ke Masjid , sekolah, universiti, sungai-sungai dan pantai.
____________________________________
Peta Perjalanan
Laluan perjalanan sepanjang jaulah. Laluan bewarna biru adalah menaiki KTM dan laluan bewarna merah menaiki teksi.
AMUKANMELAYU - Pattani akan merdeka InsyaAllah........ia akan kembali ke pangkuan bonda selepas mimpi ngeri yang begitu panjang.