,مليسيا دان اسلام بوکن ميليک اورڠ ڤوليتيک
, مک ڤرجواڠن اݢام تتڤ دڤرجواڠکن اوليه اومت اسلام دري بيدڠ يڠ لاءين
سام اد كامي منڠ اتاو كامي ماتي

PERJALAN HAJI AKI


Wednesday, 6 November 2013

73 GULUNGAN BAHAGIAN III


72 Golongan Yang Sesat

OLAK LEMPIT, RABU 02 Muharram 1435 = 06hb November 2013. Saya masih mencari-cari tentang 73 Gulungan Islam yang di sebutkan oleh Rasullullah S.A.W. Setiap pencarian saya ianya semakin jelas yang satu gulungan sahaja yang menuju Jalan Yang Lurus itu adalah ASWJ. Pesan Rasullullah hendak kita Bersederhana adalah amat jelas.

oleh Atok Zamany ( www.kubranewszamany.blogspot.com )

Dari Abu Hurairah radiyaLlahu 'anhu dia berkata : RasuluLlah sallaLLahu 'alaihi wasallam bersabda :
Orang-orang Yahudi berpecah menjadi 71 golongan, satu masuk syurga dan 70 dalam neraka. Orang-orang Nasrani juga berpecah menjadi 72 golongan, 71 dalam neraka dan satu masuk ke syurga. Dan demi jiwa Muhammad yang ada dalam kekuasaanNya sesungguhnya ummatku akan berpecah menjadi 73 golongan , satu masuk syurga dan 72 masuk dalam neraka. RasuluLlah ditanya: Siapakah mereka (yang masuk syurga itu)?, Beliau menjawab : "Al Jama'ah". (HR Ibnu Majah, no. 3994)
Di dalam bab akidahlah yang paling serius kesesatannya kerana terlampau ramai kaum muslim yang telah terjebak didalamnya yang amat sukar untuk dipulihkan kerana menyangkut kepada etikad dan keyakinan yang jauh dilubuk hati. Ia bukan saja hanya dengan usaha yang bersungguh-sungguh malahan mengambil masa yang sangat lama untuk berpatah balik ke pangkal jalan. Jadi perhatikanlah akan 72 golongan-golongan yang sesat didalam akidah seperti yang telah diberitahu oleh RasuluLlah sallaLLahu 'alaihi wasallam didalam Hadis dan banyak sekali yang diperkatakan orang tentangnya hingga ada yang membuat lirik lagu tetapi tidak mengenal akan golongan-golongan ini. Maka perhatikanlah akan golongan yang sesat di dalam bab akidah seperti dibawah ini :

GOLONGAN-GOLONGAN YANG SESAT DALAM BAB AKIDAH :

Seperti yang telah dinyatakan di dalam bab yang lalu, terdapat 72 golongan yang telah disabitkan sebagai golongan yang sesat dalam bab akidah atau terkeluar dari ajaran sebenar Agama Islam seperti yang telah dinyatakan di dalam Hadis Nabi saw. Golongan-golongan tersebut digabungkan menjadi 6 kelompok kaum yang besar yang di dalamnya terdapat pula 12 puak-puak kecil disetiap satunya pula. Kaum-kaum tersebut adalah seperti berikut :

1) KAUM RAFIDHIYAH

Pecahannya ada 12 puak.

Kesesatan puak-puak ini di dalam bab akidah terjadi akibat daripada pegangan dan kepercayaan mereka yang sangat jelas bertentangan dengan pegangan ASWJ walaupun mereka semua itu masih mengaku sebagai seorang yang beragama Islam. Di antara pegangan dan kepercayaan yang didapati menyeleweng di dalam bab akidah yang sangat nyata itu ialah :

a) Beretikad bahawa Saidina Ali kwh akan kembali hidup semula di akhir zaman nanti sebelum berlakunya kiamat. Beliau didakwa akan menghukum semua musuh-musuhnya. Tempat tinggalnya sekarang ini adalah dikepolan awan. Petir dan guruh di langit itu adalah merupakan bunyi cematinya.

b) Mereka mendakwa bahawa jawatan Khalifah Kerajaan Islam selepas kewafatan RasuluLlah sallaLLahu 'alaihi wasallam itu hanya khusus buat Saidina Ali kwh sahaja, manakala Khalifah-khalifah yang lain seperti Saidina Abu Bakar, Saidina Umar dan Saidina Uthman adalah kafir kerana menerima jawatan tersebut. Mereka yang begitu taksub dengan fahaman dan berkayakinan itu juga sanggup menghina dan mengeji malah memakihamun sahabat-sahabat agung RasuluLlah sallaLLahu 'alaihi wasallam ini, keturunan mereka juga termasuklah isteri-isteri RasuluLlah sallaLLahu 'alaihi wasallam iaitu Saidatina Aisyah dan Saidatina Habsah yang sebenarnya tiada kaitannya dengan semua cerita yang mereka ada-adakan itu sehinggakan mereka sanggup sifatkan kedua-dua wanita agung itu sebagai pelacur. Selain dari itu mereka juga akan mengeji dan menghina kepada semua para sahabat-sahabat yang lain serta keturunan mereka semua yang tidak seketurunan dengan Saidina Ali kwh.

c) Mereka juga beretikad bahawa Nabi Muhammad sallaLLahu 'alaihi wasallam itu berkerja sama dan bersekutu dengan Saidina Ali kwh didalam semua kerja-kerja kerasulan dan kenabian di dunia ini hingga hari kiamat.

d) Mereka juga berpegang dan beretikad bahawa Saidina Ali kwh akan turun dari langit (sekarang ia tinggal di awan) pada satu hari nanti berupa awan ketuhanan kemudian menjelma menjadi manusia. Beliau akan mengerjakan beberapa pekerjaan yang bersifat ketuhanan dan kemudiannya akan naik semula ketempat kediamannya iaitu di awan (naik kelangit).

e) Mereka juga beranggapan bahawa Malaikat Jibril as telah salah menyampaikan wahyu kepada Nabi Muhammad sallaLLahu 'alaihi wasallam. Sepatutnya wahyu itu dihantar kepada Saidina Ali kwh bukan kepada Nabi.

f) Mereka juga berkeyakinan bahawa apabila roh seseorang manusia itu keluar dari jasadnya iaitu mati, roh itu tadi akan masuk pula ke dalam jasad manusia yang baru iaitu bayi di dalam kandungan ibunya serta memilih untuk membawa rupa paras yang lain atau pun yang sama. Ini juga telah memasuki wilayah kesesatan akidah yang tergolong juga sebagai Tahazalul Arwah.

g) Mereka juga turut berpegang kepada etikad bahawa zat Allah itu juga boleh menjelma dan zahir di dalam rupa bentuk manusia, maka ketika itu ia dinamakan sebagai Nabi atau Imam. Mereka ini akan pula mengajak manusia ke jalan yang lurus. Jika zat Allah itu tidak menjelma cara demikian maka akan kafirlah seluruh manusia di alam ini.

h) Mereka juga turut beretikad di dalam keadaan tertentu zat Allah itu boleh menjelma dan memasuki ke dalam sesuatu benda seperti pokok, gunung, bukit, batu, patung dan lain-lain lagi seterusnya bersebati dengan zat benda itu dan menjadi satu.

2) KAUM JABARIAH

Pecahannya ada 12 puak.

Mereka yang berfahaman songsang ini dan beretikad didalam golongan ini juga sangat bertentangan dengan pegangan ASWJ. Malahan mereka membenci ASWJ kerana tidak sehaluan dengan mereka. Di antara pegangan mereka itu ialah :

a) Mereka berpegang dan beretikad bahawa semua perbuatan baik itu tidak mendapat pahala dan semua perbuatan jahat juga tidak mendapat dosa. Dalam erti yang lain tiada dosa dan pahala. Oleh itu mereka bebas melakukan apa saja perbuatan sama ada ia baik atau buruk. Mereka juga percaya bahawa tiada pembalasan syurga dan neraka. Tiada akan dikenakan seksaan diakhirat kelak atas semua perbuatan jahat dan dosa yang mereka lakukan semasa di dunia.

b) Mereka juga beretikad bahawa semua perbuatan baik dan jahat, keimanan dan kekufuran, ketaatan dan maksiat, semua itu datangnya dari Allah. Manusia tidak punya daya upaya dan ikhtiar apa-apa pun kerana ia telah ditentukan oleh Allah semuanya. Oleh itu gugurlah semua Taklif Syarak ( kewajipan untuk melaksanakan perintah Allah) ke atas seluruh hamba Allah khasnya manusia.

c) Mewajibkan bertafakur ( seperti meditasi dalam yoga ) itu adalah lebih baik dari semua ibadah, sama ada ibadah itu fardu atau sunat.

d) Bagi orang-orang kafir dan orang-orang yang sentiasa melakukan maksiat, mereka tidak akan di soal dan dipertanggungjawabkan atas segala perbuatan mereka itu di akhirat kelak kerana segala perbuatan mereka itu telah ditentukan dan atas kehendak Allah jua.

e) Mereka juga berpegang dengan keyakinan bahawa sesiapa yang telah terpilih menjadi kekasih Allah serta bersih jiwanya daripada segala hawa nafsu yang jahat kemudiannya ia pula mempunyai keilmuan yang tinggi, maka pada kedudukan (martabat) itu beliau itu tidak perlu lagi melakukan apa-apa amal ibadah lagi. Maksudnya ia juga telah terlepas dari Taklif Syarak.

f) Allah akan menghidupkan mereka yang kafir dan yang melakukan maksiat itu di dalam Neraka, kemudian Allah akan mematikan semua mereka itu dan tidak akan dihidupkannya lagi selama-lamanya. Maksudnya tiadalah seksaan abadi kepada mereka yang kafir dan maksiat itu.

g) Semua perkara-perkara wajib dan fardu didalam Syarak boleh saja di buat jika merasa rajin atau pun boleh juga ditinggalkan saja jika mereka merasa malas.

h) Semua harta benda di atas dunia ini adalah hak dan kepunyaan bersama seluruh manusia. Ia dihalalkan kepada sesiapa juga yang hendak mengambilnya kerana tiada ertikata mencuri di dalam kepercayaan mereka ini. Kepada tuan yang berhak atau tuan punya harta itu adalah dilarang atau pun mereka sudah tiada hak dan kuasa lagi untuk melarang sesiapa jua yang inginkan harta bendanya itu.

i) Mereka juga beretikad bahawa segala perintah Allah itu hanya perlu dilakukan sekali sahaja seumur hidup. Mereka tidak perlu melakukan perintah itu berulang-ulang kali sebagai contoh iaitu perintah mengerjakan solat 5 waktu, mereka hanya melakukan perintah itu pada 5 waktu pada hari pertama mereka di dalam Islam dan ia sekali seumur hidup selepas itu mereka tidak perlu lagi solat 5 waktu buat selama-lamanya.

j) Mereka juga berkeyakinan bahawa apabila Allah telah selesai menciptakan seluruh makhlukNya di dunia ini, maka Allah pun beristirehat di tempatNya. Setiap perkara ciptaanNya itu akan wujud, hidup, zahir, lahir dengan sendirinya apabila tiba saat dan waktu yang telah ditetapkan olehNya, ia tiada kena mengena dengan Kekuasaan Kudrat dan Iradat Allah lagi.

k) Mereka juga berpegang dengan keyakinan bahawa setiap manusia yang mempunyai rasa untuk berbuat perkara-perkara kebajikan atau pun perkara-perkara kejahatan dan maksiat, maka hendaklah ia segera melakukannya kerana semua perkara itu merupakan 'wahyu' dari Allah yang telah mencampakkanNya ke dalam hati manusia itu.

l) Mereka memberi kemudahan kepada sesiapa yang ingin memeluk agama Islam hanya perlu mengucapkan 2 kalimah sahadah sahaja, sedangkan semua perkara-perkara rukun fardu ain dan fardu kifayah serta seluruh hukum hakam didalam Syarak tidaklah perlu dilakukan oleh mereka.

m) Mereka berfahaman bahawa Allah tidak akan menyeksa seluruh hambanya yang kafir dan maksiat. Jika Allah menghukum mereka semua bererti Allah itu zalim sedangkan Ia bersifat Maha Adil.

3) KAUM KHARIJIYAH

Pecahannya juga ada 12 puak.

a) Mereka berkeyakinan bahawa Saidina Ali kwh dan keluarganya (tidak termasuk Saidatina Fatimah) telah menjadi kafir semuanya. Yang masih Islam hanyalah Saidina Abu Bakar as Sidiq, Saidina Umar al Khatab dan Saidina Uthman al Affan diantara 4 orang Sahabat Nabi itu. Mereka ini pernah berperang dengan kaum Syiah dan ASWJ kerana menegakkan fahaman sesat mereka itu. Mereka juga bersifat perkauman yang sangat menebal dihati sanubari mereka.

b) Mereka juga mempunyai kepercayaan dan beretikad bahawa semua jenis kebaikan itu datangnya dari Allah sedangkan semua jenis kejahatan itu pula datangnya dari usaha dan ikhtiar manusia itu sendiri.

c) Mereka juga menghukumkan umat Islam yang melakukan dosa-dosa besar itu sebagai kafir dan telah terkeluar dari pegangan agama. Mereka juga amat mudah mengkafirkan sesiapa saja yang mereka anggap bertentangan dengan pendapat mereka ini.

d) Mereka juga mengeluarkan fatwa mereka sendiri bahawa mengeluarkan zakat itu tidak wajib dan tidak penting. Oleh kerana itu mereka bolehlah mengumpulkan harta benda sebanyak- banyaknya dengan menggunakan apa saja cara mengikut kesukaan mereka. Semua jenis Zakat tidak perlu dikeluarkan kerana mereka tidak tahu sama ada penerima zakat-zakat itu adalah orang Islam atau orang kafir. Jadi itulah sebabnya kenapa zakat itu tidak perlu dikeluarkan.

e) Mereka juga beretikad bahawa tidak diwajibkan untuk percaya kepada perkara-perkara ghaib di dalam Taklif Syarak dan didalam Rukun Iman. Sebagai contoh, tidak wajib percaya adanya Malaikat, tidak wajib percaya kepada Qada dan Qadar, tiadanya hari Kiamat, tiadanya soal Kubur, tiada seksaan neraka dan lain-lain lagi. Itu semua menyusahkan hidup mereka saja.

f) Mereka berkeyakinan bahawa Allah akan mengampunkan semua dosa Syirik Jali (Syirik besar yang tiada keampunan Allah didalam kepercayaan ASWJ) yang tidak memerlukan seseorang Islam itu mengucap 2 kalimah sahadah semula untuk kembali menjadi Islam.

g) Mereka juga percaya bahawa diakhirat kelak Allah tidak akan menyeksa semua perbuatan dosa, orang kafir dan mereka yang membuat maksiat semasa hidup di dunia. Itu adalah kerana Allah mempunyai sifat Maha Mengasihani serta Maha Pengasih dan Maha Penyayang kepada semua makhlukNya.

h) Mereka turut berkeyakinan bahawa semua yang berada di Cakrawala seperti bulan, bintang, matahari dan semua planet-planet itu bukannya makhluk Allah. Ia terjadi dengan sendirinya di luar daripada Kekuasan Kudrat dan Iradat Allah.

i) Mereka turut percaya serta mengamalkan perbuatan sex bebas kerana beranggapan bahawa semua kaum wanita itu adalah perhiasan bagi kaum lelaki. Oleh itu mereka boleh melakukan sex sebelum nikah dan bertukar pasangan jika mereka merasakan tidak sesuai dengan wanita itu. Mereka juga beranggapan perbuatan sex bebas itu tidak berdosa kerana manusia itu telah rela melakukannya.

4) KAUM QADARIYAH

Pecahannya juga 12 puak.

Antara kepercayaan dan etikad mereka yang dianggap menyalahi akidah itu ialah :

a) Mereka mempunyai keyakinan bahawa Syaitan dan Allah itu sama saja kerana masing-masing tidak mempunyai jisim (jasad) dan tidak dapat dilihat (tiada rupa paras).

b) Mereka juga beretikad bahawa semua bentuk perbuatan jahat itu adalah ciptaan Syaitan semata-mata, manakala semua bentuk perbuatan kebaikkan pula adalah ciptaan Allah semata- mata. Ia tiada hubungan antara keduanya.

c) Mereka turut percaya bahawa Allah tidak mencipta Syaitan. Syaitan itu telah wujud dengan sendirinya. Ia adalah kerana jika Allah menciptakan makhluk Syaitan bererti Allah juga turut menciptakan kekufuran dan maksiat, ini menunjukkan bahawa Allah juga sukakan kekufuran dan maksiat.

d) Mereka percaya bahawa Syurga dan Neraka, Hisab dan Mizan itu belum wujud lagi kerana belum diciptakan Allah. Nanti apabila telah berlakunya hari Kiamat baharulah Allah akan menciptakannya, itu pun kalau Allah sempat cipta kerana terlalu sibuk dengan hal-hal lain. Mungkin juga Ia tidak akan mencipta Neraka kerana lebih pentingkan hal-hal yang lain itu.

e) Mereka beretikad bahawa perbuatan baik serta melakukan ibadah itu adalah perbuatan yang sia-sia belaka kerana semua bentuk perbuatan sama ada baik atau jahat itu telah diciptakan Allah semenjak azali lagi. Maka semua perbuatan manusia itu akan berjalan dengan sendirinya mengikut apa yang telah diciptakanNya itu sama ada ia berbentuk kebaikan atau pun kejahatan.

f) Mereka turut beretikad bahawa perbuatan beribadah, beramal dan melakukan maksiat serta kufur itu adalah hasil usaha manusia semata-mata yang berjalan dengan sendirinya, oleh itu tidaklah diketahui lagi bahawa perbuatan itu akan mendapat pahala atau akan berdosa jika mereka meninggalkannya.

g) Mereka turut berpegang serta mempercayai bahawa segala usaha, ikhtiar, cita-cita dan rangkaian doa itu akan memberi bekas (berhasil) dengan sendirinya, setelah Allah menciptakan usaha, ikhtiar, cita-cita dan rangkaian doa itu kepada manusia.

h) Mereka percaya bahawa Qada dan Qadar itu bukannya datang daripada Allah tetapi datangnya daripada usaha dan ikhtiar manusia itu sendiri.

i) Mereka juga turut berpegang kepada kepercayaan bahawa semua Kitab-kitab (Taurat, Injil dan Zabur) tidak dimansuhkan atau pun tidak terbatal setelah Allah menciptakan dan menurunkan al-Quran kepada umat manusia sekalian. Maka mereka menfatwakan bahawa adalah wajib untuk beramal dengan semua isi kandungan kitab-kitab tersebut termasuk juga al-Quran itu sendiri.

j) Puak-puak ini turut membenci serta sesetengahnya pula telah meninggalkan amalan-amalan fardu didalam Taklif Syarak, tetapi mengemari dan sesetengahnya pula taksub dengan amalan-amalan sunat yang seolah-olah menampakkan amalan- amalan sunat itu telah menjadi wajib pula.

k) Mereka juga telah mengubah jumlah rakaat di semua solat fardu yang 4 rakaat menjadikannya hanya dilakukan 2 rakaat saja. Malahan pula pada sesetengah solat sunat yang dilakukan 2 rakaat dibuat sebanyak 4 rakaat pula. Mereka lakukan ini semua dengan dalil-dalil yang mengunakan akal dan fikiran mereka yang telah rosak dan sesat dimana dalil-dalil tersebut tersangat lemah serta jauh terpesong dari Taklif Syarak yang sebenarnya.

5) KAUM JAHMIAH

Pecahannya ada 12 puak juga.

Diantara kepercayaan dan menjadi pegangan akidah bagi golongan-golongan ini yang didapati telah terpesong dari Taklif Syarak dan ajaran Islam sebenar ialah :

a) Mereka percaya apabila sesorang Islam yang derhaka serta banyak melakukan dosa-dosa besar dan maksiat akan dihumban ke dalam Neraka dan akan kekal didalamnya selama-lamanya. Ini bermakna bahawa mereka itu telah sama tarafnya dengan orang kafir yang tidak akan Allah ampunkan untuk selama-lamanya daripada azab Neraka itu.

b) Mereka beretikad bahawa Zat Allah itu wujud di semua tempat dan benda melalui rupa hulul dan itihad (meresap dan bersatu).

c) Mereka berkeyakinan bahawa semua Sifat-sifat Allah dan Asma-asma Allah itu juga merupakan makhluk seperti manusia dan alam ini.

d) Mereka juga turut berkeyakinan bahawa Zat Allah itu berdiri (terletak) diantara langit dan bumi dari semenjak azali lagi.

e) Mereka turut percaya bahawa apabila semua isi Neraka itu telah terbakar dan menjadi abu, maka ia tidak akan dihidupkan semula oleh Allah. Mereka juga akan hilang begitu saja selepas itu. Ini bererti seksaan Neraka itu telah selesai menjalankan kerjanya dan tiada lagi apa yang di panggil Neraka sesudah itu.

f) Mereka berkeyakinan dan percaya bahawa mayat manusia yang telah mati itu tidak akan di azab atau pun balasan nikmat kecuali ketika sakaratul maut dan didalam kubur (seksa kubur) sahaja.

g) Mereka juga turut berkeyakinan bahawa Nabi Muhammad hanya dapat melihat Allah semasa di alam dunia sahaja dan manusia yang lain pula hanya dapat melihat Allah di alam Akhirat pula.

6) KAUM MURJIAH

Pecahannya juga 12 puak.

Antara pegangan dan etikad mereka yang didapati terkeluar dari ajaran Islam sebenarnya adalah seperti berikut :

a) Mereka percaya bahawa Allah telah menjadikan semua makhluk diseluruh alam ini dan Allah juga tidak menyuruh mereka berbuat semua kejahatan yang berada di alam ini, begitu juga Allah tidak pula melarang mereka dari meninggalkannya.

b) Mereka juga memegang etikad bahawa apabila seseorang manusia itu telah mengucapkan 2 kalimah sahadah maka dengan sendirinya mereka juga telah bebas untuk melakukan ketaatan terhadap Allah atau pun melakukan kekufuran.

c) Mereka juga percaya bahawa sesorang manusia itu boleh menjadi mukmin pada ketika yang dikehendaki Allah dan mereka juga boleh menjadi kafir pada ketika yang dikehandakiNya dalam sesuatu masa.

d) Mereka juga beretikad bahawa Allah itu terdiri dari unsur-unsur Jauhar dan 'Aradh (sel dan nuklius) yang tidak boleh dilihat oleh mata kasar manusia.

e) Mereka juga percaya bahawa apabila seseorang manusia itu mengesakan Zat Allah, Sifat-sifat Allah, Asma Allah dan Afaal Allah maka mereka terlepas dan tidak akan dicatitkan apa-apa dosa besar yang telah dilakukan sebelum itu.

f) Mereka juga beretikad bahawa apabila seseorang manusia itu telah membicarakan hal-hal yang bersangkutan dengan Rukun Iman maka ia tidak lagi difardukan ke atas dirinya semua perkara-perkara fardu didalam Syarak.

g) Mereka menggunakan akal fikiran mereka dari mengkaji hal-hal yang bersangkutan dengan masalah sifat Allah dan akhirnya mereka merumuskan bahawa Allah tidak bersifat dengan segala sifat Wujudiah.

h) Mereka hanya mengambil jalan mudah untuk mengkafirkan seseorang muslim itu jika mereka tidak berilmu kerana mereka memegang fahaman bahawa Iman itu adalah Ilmu, sesiapa yang tidak berilmu bererti mereka telah menjadi kafir dengan sendirinya.

i) Mereka percaya bahawa Iman seseorang Islam itu akan berkurangan pada setiap tahun malahan mereka mengangap Iman itu tidak akan bertambah lagi sampai bila-bila.

j) Mereka juga beretikad bahawa adalah sah melakukan sujud kepada Matahari, Bulan, Bintang dan juga makhluk-makhluk lain, sama seperti sujud kepada Allah.

k) Mereka juga turut berpegang dengan etikad bahawa adalah dibolehkan dan sah hukumnya mengikut perintah Jin dan Syaitan, sama ada Jin itu Islam atau Kafir, walaupun perintah itu untuk mengerjakan kebaikan atau keburukan.

Begitulah serba sedikit penjelasan yang dapat dirungkai akan golongan-golongan yang telah sesat didalam akidah mereka seperti yang telah diperkatakan oleh RasuluLlah sallaLLahu 'alaihi wasallam iaitu 72 golongannya yang telah sesat. Nabi hanya memperkatakan 72 golongan yang sesat dan hancur musnah yang bermaksud mereka-mereka yang terjebak didalam kesesatan akidahnya. Ini adalah rumusan dari beberapa orang Ulama tafsir yang mentafsirkan Hadis RasuluLlah sallaLLahu 'alaihi wasallam itu. Maka daripada 72 golongan itu pula dibahagi kepada 6 kaum yang masing-masingnya boleh dipecahkan kepada 12 puak pula. Malangnya mereka tidak pula menyenaraikan nama-nama puak tersebut. Oleh itu cukuplah sekadar kita mengenal akan nama 6 golongan itu saja serta fahaman dan etikad yang mereka pegang supaya menjadi batasan serta garis pemisah atas pemikiran, pegangan akidah, ilmu dan amalan kita yang sudah tentu mahukan diri kita, keluarga kita dan masyarakat kita semua terselamat dari dakyah mereka itu. Pengetahuan ini amat penting kepada diri kita supaya kita akan bertambah kuat didalam Ilmu dan amal yang berpegang teguh dengan ajaran ASWJ mengharungi hayat kita di dunia ini hingga akhirnya.


AMUKANMELAYU - Semakin jelas ASWJ di landasan yang betul, tapi dengan percanggahan pendapat dan amalan DEMOKRASI yang kononnya di katakan sihat semacam tidak boleh di gunakan lagi. Terlalu taksub dengan POLITIK nampaknya kita semakin berpecah. Apakah ASWJ juga akan mengalami nasib seperti Kaum Khawarij?