,مليسيا دان اسلام بوکن ميليک اورڠ ڤوليتيک
, مک ڤرجواڠن اݢام تتڤ دڤرجواڠکن اوليه اومت اسلام دري بيدڠ يڠ لاءين
سام اد كامي منڠ اتاو كامي ماتي

PERJALAN HAJI AKI


Tuesday 24 April 2012

ISLAMELAYU ITU BANGSA YANG AGUNG......percayalah, kita bangsa yang hebat...


ILMU PERANG MELAYU BAHAGIAN 3: SENJATA API

Assalammualaikum kepada para pembaca dan peminat blog Melayu Nusantara. Rasanya sudah terlalu lama saya tidak menulis dan oleh kerana itu saya meminta maaf kerana seperti yang telah saya maklumkan sebelum ini saya uzur. Apakah keuzuran yang saya alami rasanya tidak penting, Apa yang penting saya sudah mampu menulis semula. Dalam penulisan saya kali ini saya ingin menulis mengenai bidang yang memang menjadi kegemaran dan kepakaran saya iaitu military history atau sejarah peperangan dan ketenteraan. Agak lama sudah saya tidak menulis artikel berkenaan topik ini. Artikel kali ini sebenarnya adalah sebahagian daripada kertas kerja yang pernah saya bentangkan semasa saya berada di menara gading.



Penggunaan Senjata Api dalam Ilmu Peperangan Melayu

Kawasan Kepulauan Melayu berkembang pesat dengan aktiviti perdagangan seperti rempah ratus dan kayu kayan dan bahan perubatan yang diperlukan orang Cina dan India sejak lebih daripada seribu tahun dahulu lagi. Dengan adanya perdagangan, kerajaan-kerajaan tempatan yang terdapat di sepanjang pesisiran pantai selat Melaka terutamanya dapat membangun dan membina ketamadunan. Perdagangan juga telah menyebabkan berlakunya migrasi dari luar dan masyarakat yang bermigrasi ini telah membawa masuk unsur-unsur keagamaan dan kebudayaan mereka yang kemudiannya di asimilasi dengan agama dan kepercayaan serta kebudayaan tempatan. Asimilasi ini termasuk juga dalam hal yang bersangkutan dengan ilmu militer atau peperangan.



Pada masa yang sama kegiatan pertukangan dan kesenian turut berkembang. Selain daripada pertukangan kayu dan batu, masyarakat Melayu juga turut menghasilkan pelbagai barangan menggunakan logam seperti besi, timah dan tembaga. Kerja tangan daripada logam ini termasuklah dalam pembuatan senjata. Memang tidak dapat disangkal bahawa orang Melayu Nusantara sememangnya mempunyai pengetahuan dalam menghasilkan senjata yang bermutu seperti Keris, Golok, Parang dan Pedang. Malahan banyak catatan sama ada dari sumber tempatan atau sumber dari luar yang mengesahkan perkara ini. Masyarakat Melayu sebenarnya telah menghasilkan pelbagai jenis senjata api di seluruh pelosok Nusantara.





Sebagai contohnya Meriam telah banyak dihasilkan di Terengganu dan Johor di Semenanjung Tanah Melayu, di Aceh Sumatra, di pulau Jawa, Mindanau dan Brunei. Linehan dalam bukunya History of Pahang mengatakan bahawa negeri yang menghasilkan Meriam terbaik ialah Pahang pada tahun 1600 Masihi. Eredia mencatatkan mengenai penggunaan senjata api. Menurutnya senjata api orang Melayu bukanlah jenis yang berat dan kebanyakannya adalah jenis swivel gun atau Lela Rentaka. Namun demikian sejak kedatangan Portugis, mereka telah melengkapkan lagi persenjataan dengan senjata api yang lebih besar termasuklah sejenis senapang atau istinggar yang dipanggil Eropah sebagai Arquebuses.

Menurut beliau lagi, kebanyakan senjata api yang digunakan orang-orang Melaka sewaktu penyerangan Portugis adalah jenis yang mempunyai kuasa yang kecil dan mungkin di buat di kawasan Asia dan bukan dari Timur Tengah atau Barat. Eredia juga menjangka bahawa teknologi senjata api ini diperoleh oleh orang Melayu terus melalui orang China dan orang Monggol Yuan atau Attay. Sewaktu Pahang diperintah oleh keluarga Bendahara Johor Abdul Jalil, Pahang dikatakan mempunyai simpanan senjata api yang banyak. Adinda kepada bendahara Abdul Jalil iaitu Yam Tuan Muda dikatakan mempunyai seribu pucuk Meriam tembaga, dua ribu laras senapang dan dua buah gudang besar yang menyimpan senjata api dan peluru serta serbuk bedil.

                                                                            

Selain itu terdapat banyak lagi bukti yang menunjukkan bahawa sememangnya orang Melayu pada zaman dahulu mahir menghasilkan senjata api dan mampu menghasilkannya dalam jumlah yang amat besar. Di Melaka, apabila pihak Portugis menyerang Kota pelabuhan tersebut pada 1511, askar-askar Melayu Melaka telah memberikan tentangan yang sangat hebat. Catatan pihak Portugis ada menyatakan bahawa askar Melaka mempunyai lebih kurang dua ribu hingga tiga ribu senjata api yang terdiri daripada Meriam-meriam besar dan sejenis senjata api ringan yang mudah alih atau menurut pandangan mereka sebagai Shoulders arms atau senjata api yang boleh dipikul di bahu. Selain itu lebih kurang 50 buah Meriam atau lebih telah diambil oleh tentera Portugis setelah mereka berjaya menyerang dan menawan jambatan Melaka.



Dikatakan juga sebaik sahaja Meriam-meriam ini diambil oleh Portugis untuk diletakkan di kapal mereka, maka askar-askar Melaka terus mengeluarkan Meriam-meriam baru untuk menggantikan Meriam yang telah dirampas tadi. Hal ini menunjukkan bahawa simpanan senjata api kerajaan Melaka pada masa itu adalah lebih daripada mencukupi dan dapat digunakan pada saat-saat genting seperti itu. Dicatatkan juga bahawa sebahagian besar daripada Meriam kerajaan Melaka sebenarnya tidak digunakan langsung sepanjang peperangan tersebut kerana jumlahnya yang terlalu banyak. Kenyataan ini dapat disahkan dengan catatan yang dibuat oleh Godinho Eredia.



Beliau menyatakan bahawa sewaktu kedatangan Portugis Melaka telah mempunyai banyak Meriam-meriam. Tiga ribu pucuk Meriam besar telah dijumpai dalam kota itu, 5000 pucuk lagi telah sempat dibawa lari. Albuquerque menyatakan ada terdapatnya 2000 pucuk Meriam yang diperbuat daripada tembaga dan yang lain diperbuat daripada besi. Menurut Eredia lagi, semua Meriam-meriam itu diperbuat dengan baik dan tidak dapat ditandingi walaupun dengan Meriam buatan Portugis. Daripada kenyataan yang dipetik daripada catatan Eredia ini dapat disimpulkan bahawa teknologi persenjataan api yang dimiliki oleh bangsa Melayu Melaka pada waktu itu adalah sama tarafnya dengan teknologi persenjataan Eropah, malahan mungkin lebih baik.



Namun yang menjadi persoalannya, mengapa Melaka boleh kalah dengan begitu mudah. Sesungguhnya persoalan ini tidak mungkin akan terjawab dalam jangka waktu yang terdekat ini kerana terlalu banyak kekaburan yang menyelubungi peristiwa kekalahan Melaka. Namun apa yang dapat kita andaikan ialah kekalahan Melaka ada kaitannya dengan keadaan sosial dan politik kerajaan Melaka itu sendiri pada zaman tersebut yang telah semakin teruk dan rosak. Seperti mana yang digambarkan dalam Sulalatus Salatin bahawa Kesultanan Melaka pada zaman Pemerintahan sultan Mahmud penuh dengan komplot, rasuah, maksiat dan gejala sosial yang merosakkan masyarakat dan pembesar-pembesar Melaka. Sebenarnya terdapat pelbagai jenis Meriam yang telah digunakan masyarakat Melayu, antaranya ialah seperti Lela, rentaka dan ekor lotong yang digunakan pada kurun ke 15 hingga 19 dan kebanyakan daripadanya masih terdapat sehingga sekarang sebagai warisan sejarah yang tersimpan di muzium atau hanya menjadi bahan hiasan bagi orang-orang kenamaan dan kota-kota bersejarah sahaja.


  Lela rentaka.


Apa yang saya maksudkan sebagai Meriam Melayu adalah Meriam yang dibuat sepenuhnya oleh tukang-tukang Melayu pada zaman dahulu iaitu bermula kurun ke 15 hinggalah awal kurun ke 20 dan ini juga termasuklah Meriam-meriam yang telah dibuat oleh bangsa-bangsa lain tetapi memainkan peranan yang penting dalam perjalanan sejarah Alam Melayu. Apa yang dimaksudkan dengan alam Melayu pula ialah kawasan-kawasan yang mempunyai penduduk peribuminya yang berbangsa Melayu dan serumpun dengannya. Oleh itu batas geopolitik tidak diambil kira dalam hal ini.



Meriam boleh dianggap sebagai sejenis senjata yang amat merbahaya kerana mempunyai kuasa pemusnah dalam jarak jauh. Meriam turut memainkan peranan yang amat penting dalam sistem pertahanan negeri-negeri Melayu apabila berhadapan dengan kuasa-kuasa barat seperti Portugis, Sepanyol, Belanda dan Inggeris malahan dengan negeri-negeri Melayu sendiri. Selain itu kajian mengenai senjata api dan Meriam-meriam dalam dunia Melayu juga adalah amat terhad kerana kebanyakan pengkaji lebih menumpukan pengkajian mereka kepada senjata-senjata lain seperti Keris yang kesinambungan budayanya masih kekar dikalangkan masyarakat Melayu.



Perkataan Meriam ini kononnya dipercayai diambil daripada sejenis senjata api lama iaitu Mary. Senjata ini menggunakan peluru seberat enam paun atau lebih. Meriam biasanya diperbuat daripada besi dan mempunyai hiasan yang teliti. Selalunya ia mempunyai ragam hias yang menyerupai ikan lumba-lumba yang diletakkan di bahagian atas belantan atau badan Meriam. Ia bertujuan untuk memudahkan proses mengangkatnya ke dalam kapal ataupun kubu. Bentuk ikan lumba-lumba tersebut dipercayai ditiru daripada model Meriam Belanda dan Sepanyol. Meriam-meriam ini secara ringkasnya boleh dikelaskan kepada beberapa jenis. Namun cerita ini boleh disangkal kesahihannya kerana sebelum orang barat membawa meriam mereka lagi kita sudah mempunyai model meriam kita sendiri seperti dalam kes penyerangan Melaka.



Jenis yang pertama ialah Meriam agung yang berat dan mempunyai dua laras. Jenis kedua ialah Meriam buluh yang panjang licin dan bersilinder, ketiga ialah Meriam jolong atau jenjulung, badannya panjang dan mulutnya sempit. Selain itu terdapat Meriam kalok yang pendek dan senang dibawa, Meriam dua sekalam yang mempunyai dua kaki, Meriam peminggang yang mempunyai kuasa letupan di tengah belantan dan Meriam turat iaitu Meriam yang berkaki. Bagi Meriam Jawa, ia dikenali sebagai bedil. Ia juga boleh dikelaskan kepada bedil besar iaitu berat dan jenis yang lama, bedil pengatu dan bedil tegadas.




Sejenis lagi Meriam Melayu yang unik ialah Lela. Senjata ini dikatakan dibuat oleh seorang tukang besi berdasarkan sebuah Meriam hadiah daripada Kapten Lucas atau seri Lukas kepada sultan Ala’uddin di Johor. Nama Lela ini dipercayai telah diambil daripada judul sebuah cerita klasik Laila Majnun. Nama ini diberi kepada senjata yang umumnya berlaras panjang. Manakala senjata yang berlaras pendek dinamakan Tomong. Lela kebiasaannya diperbuat daripada tembaga atau besi. Ia boleh menembak sejauh 400 meter dan mempunyai lubang pada geganok atau buntutnya, dan dilengkapkan dengan pemegang kayu. Ianya sangat berguna ketika mengacu dan menembak. Lela juga dilengkapkan dengan hiasan ikan lumba-lumba pada belantannya. Oleh kerana ia kecil dan ringan maka Lela amat mudah dipindahkan dan tidak memerlukan ramai orang untuk mengangkatnya. Lela boleh dibawa oleh seorang atau dua orang dengan hanya memegang pada hiasan ikan lumba-lumba tersebut ketika menggunakannya. Kebanyakan Lela yang dibuat di Brunei pula mempunyai ragam hias yang amat bermutu dan cantik berbanding dari tempat-tempat lain. Hal ini mungkin kerana di Brunei lela sering dijadikan sebagai barang berharga yang mempunyai nilai sosial yang dapat melambangkan status pemiliknya, tambahan pula ianya sering dijadikan sebagai tanda pelantikan seseorang pembesar istana dan juga hantaran perkahwinan.




Lela juga sering diletakkan di bucu-bucu kubu dan juga dilengkapkan dalam kenaikan perahu atau kapal semasa bertempur. Semua jenis Lela mempunyai pemegang iaitu seperti paku panjang supaya ia boleh diletakkan pada perahu, kubu, belebas kapal dan pada tempat yang berlubang apabila dibawa dengan tangan. Sesetengah Lela turut mempunyai lubang api yang berukuran ¾ inci sahaja. Bentuk-bentuk Lela ini juga ada yang menyerupai bentuk-bentuk binatang seperti buaya, kerbau, naga dan ular sama ada pada bahagian mulut atau badannya.





                  Gambar menunjukkan Lela Rentaka yang menjadi salah satu senjata api buatan bangsa Melayu secara khusus.


Oleh kerana Lela ini kecil dan senang digunakan, maka ia juga sering digunakan sebagai salute gun atau digunakan untuk menembak bagi menyambut kedatangan para pembesar atau pemerintah serta untuk keramaian tertentu. Pada 1930an Meriam jenis Lela ini masih lagi digunakan oleh kerajaan negeri Kelantan. Namun ianya telah digantikan dengan Meriam baru buatan barat kerana Komissioner Polis Kota Bahru pada ketika itu khuatir Meriam itu akan meletup. Alasannya ialah Meriam itu adalah sangat tua dan tidak setanding Meriam barat yang tahan lasak dan lebih kuat.



Sejenis Meriam lagi dikenali sebagai rentaka. Meriam jenis ini biasanya diperbuat daripada besi. Saiz dan ukurannya juga adalah kecil berbanding dengan Meriam-meriam yang lain. Seperti Lela, rentaka juga boleh dibawa dengan tangan sebab ianya ringan dan mudah alih ia boleh dipasang dengan mudah semasa menembak. Selain itu, terdapat sejenis Meriam lagi yang dikenali sebagai ekor lotong yang turut mempunyai saiz yang kecil dan hampir serupa dengan Lela. Tetapi yang membezakannya ialah dari segi bentuk dekorasi yang terdapat padanya. Ekor lotong ini mempunyai pemegang atau pelaras yang ditiru daripada Ekor Lotong (sejenis monyet) yang sebenar. Hiasan pada badan Ekor Lotong ini adalah sama seperti yang terdapat pada Lela dan dekorasinya agak unik dan menarik. Ia juga dihiasi dengan bentuk-bentuk geometri dan terdapat sedikit kerawang menghiasi badannya termasuklah hiasan pucuk rebung.

                   


Pada kebiasaannya Meriam-meriam Melayu ini menggunakan peluru yang diperbuat daripada batu atau bola batu. Peluru besi serta peluru tembaga, emas atau perak juga sering digunakan seperti yang telah ditemui di Johor lama dan kini disimpan di Muzium Negara. Perbezaan yang terdapat antara Meriam Melayu dan Meriam barat ialah dari segi ragam hiasnya. Umum mengetahui bahawa sumber-sumber dekorasi Meriam Melayu ini datang dari timur, manakala teknik membuatnya datang dari barat. Maka tentulah terdapatnya perbezaan di antara Meriam Melayu dengan Meriam barat meskipun dari segi fungsi kedua-duanya tidak ada perbezaan iaitu untuk digunakan semasa berperang. Namun demikian Meriam Melayu juga bukan sahaja digunakan sebagai senjata pemusnah, malahan ianya dijadikan sebagai simbol kekayaan dan kekuasaan seseorang itu. Malahan di Borneo pada hari ini masih terdapat daripada masyarakat kaum Iban yang menjadikan Meriam kecil sebagai hantaran perkahwinan dan lambang status sesebuah keluarga. Malahan sudah menjadi suatu kemestian dalam adat istiadat kerajaan Melayu untuk membunyikan Meriam bagi menandakan berlakunya peristiwa contohnya kematian raja, raja bersalin, bersiram atau pertabalan raja.


Perbezaan yang lain ialah dari segi saiz. Bagi Meriam Melayu, saiznya adalah lebih kecil, ianya lebih ringan dan lebih senang dibawa ke mana-mana sahaja dengan tangan tanpa menggunakan roda seperti Meriam-meriam barat. Hal ini mungkin difikirkan oleh pembuat Meriam Melayu bagi menyesuaikannya dengan geografi tempatan yang berbukit-bukau dan hutan tebal serta tidak memungkinkan Meriam yang berat besar dan memerlukan roda atau tarikan daripada haiwan digunakan dan diheret ke sana ke mari dalam situasi peperangan, terutamanya dalam peperangan bercorak gerila. Mereka telah menyesuaikannya mengikut keadaan setempat. Inilah yang dinamakan sebagai lokal genius.


amukanmelayu - sejarah akan berulang...kenalilah bangsa mu supaya kamu mengenali dari mu.