,مليسيا دان اسلام بوکن ميليک اورڠ ڤوليتيک
, مک ڤرجواڠن اݢام تتڤ دڤرجواڠکن اوليه اومت اسلام دري بيدڠ يڠ لاءين
سام اد كامي منڠ اتاو كامي ماتي

PERJALAN HAJI AKI


Monday, 28 May 2012

USTAZ RIDHUAN TEE ABDULLAH PM PERTAMA DARI BANGSA CINA DI MALAYSIA.....




Saya menarik nafas lega apabila Mursyidul Am Pas menyatakan kesediaan untuk bermuzakarah dengan Umno bagi membincangkan isu yang timbul dalam kalangan umat Islam dengan lebih menyeluruh. Langkah pertama ini mesti disahut oleh Umno tanpa menoleh lagi. Tidak perlu sindir-menyindir atau mempertikaikan keikhlasan antara satu sama lain. Tidak ada faedahnya. Berbincanglah secara baik.

Tiba-tiba beberapa hari selepas itu, Mursyidul Am Pas mengenakan beberapa syarat yang menghalang untuk memulakan langkah pertama itu. Presidennya pula berkata tidak ada dialog sebelum PRU 13. Persoalan saya, kenapa merumitkan keadaan? Bersemukalah dahulu. Hulurkan tangan sebagai tanda persaudaraan. Kenapa mesti memberi syarat untuk menerima pakatan ultra kiasu yang jelas-jelas menentang Islam? Bagaimanakah langkah pertama boleh bermula?

Mengenakan syarat sebegini menampakkan ketidakikhlasan kita. Sampai bila kita mahu bergaduh dan berpecah, sedangkan kita adalah satu umat. Tidakkah kita terfikir, orang lain semakin jauh meninggalkan kita dan ada yang merancang untuk memusnahkan kita. Bacalah kitab adabul ikhtilaf, adab-adab berbeza pendapat. Berjumpa dahulu, barulah kenakan syarat. Bagaimana suka itu akan timbul jika tidak berjumpa. Takkan Pas mempercayai orang yang jelas menentang Islam daripada orang Islam sendiri? Saya fikir pendekatan Pas terlalu keras dan tidak berhikmah. Musykhil saya tentang asas Islam yang dibawa Pas. Sepatutnya Umnolah yang mengenakan syarat sebab mereka masih berkuasa, walaupun sedikit tersepit. Janganlah mengambil kesempatan.

Fahamilah real politik Malaysia. Ingatlah Parti Melayu Islam (Pas dan Umno) tidak boleh menang sendirian, jika mereka tidak bersatu, kerana kita hanya ada 50 peratus. Umat Islam memerlukan antara satu sama lain. Dua parti umat Islam ini sudah cukup untuk saling memperkukuhkan Islam jika ada kemahuan. Tidak perlu mengharapkan kepada PKR. Mereka hanya parti nyamuk. Nyamuk-nyamuk ini membawa banyak virus.

Setiap hari kedengaran, ahli-ahli PKR sibuk berebut mahu menjadi calon menjelang PRU 13. Agenda Melayu Islam entah ke mana. Kerja-kerja tidak buat juga. Maklumlah, mereka masih lagi membawa ‘perangai lama Umno’. Lebih kelakar lagi, dalam keadaan demikianpun mereka masih menganggap mereka kuat. Mahukan kerusi tambahan di setiap negeri sehingga mengenepikan parti senior seperti Pas. Begitulah sombongnya mereka yang menguasai Selangor hari ini.  Bayangkan jika mereka mendapat beberapa negeri lagi, bertambah bongkak jawabnya.

Perkara utama yang perlu dijadikan tajuk perbincangan adalah mengenai perpaduan dan menyelamatkan akidah umat Islam dari ancaman ultra kiasu. Jangan biarkan orang Melayu menjadi ahli parti ultra kiasu. Menyertai dan bersuhabar dengan parti ultra kiasu adalah isu akidah. Mereka mahu tukar negara ini kepada negara sekular, mahu menghalalkan LGBT, dan lain-lain. Sekurang-kurang Umno masih cenderung kepada Islam dan menentang LGBT. Mana lebih baik untuk bergabung dan berkawan?

Saya ingin menawarkan diri untuk menjadi orang tengah atau moderator muzakarah ini. Lagipun saya adalah orang Cina Islam yang kurang kepentingan antara dua parti Melayu ini. Saya bersetuju dengan pendapat sayap ulama muda Umno, perbincangan itu mesti dilaksanakan dengan ilmiah, bukannya berlandaskan emosi dan sanggup menerima kebenaran yang berasaskan kepada al-Quran dan Sunnah, selari dengan petunjuk Nabi Muhammad SAW dan sahabat Baginda.

Saya yakin selepas muzakarah ini parti ultra kiasu Cina dan Melayu akan kecut perutnya. Hari ini mereka begitu bongkak. Parti ultra kiasu amat yakin mereka akan dapat menarik orang Melayu untuk memasuki parti itu di sebalik perletakan jawatan Tunku Aziz Tunku Ibrahim. Sebagai ganti, ultra kiasu melantik pensyarah di tempat kerja saya berjawatan profesor madya, bukannya profesor penuh.

Umum mengetahui, Melayu yang menyertai parti ultra kiasu, ilmu Islamnya cetek. Jenis yang anti-Islam. Inilah Melayu yang diinginkan oleh ultra kiasu. Mudah diperalatkan. Pandangan mereka tidak selari dengan Islam. Mereka mahukan Islam yang liberal. Lihatlah telatah seorang anak muda Melayu, yang menjadi setiausaha politik pemimpin ultra kiasu di Pulau Pinang. Saya tidak hairanlah dia berperangai sedemikian, kerana bapa juga dahulu, bukanlah suka kepada Islam. Akhlaknya sama seperti ultra kiasu, suka minum.

Saya ingatkan umat Islam, berpolitiklah secara matang. Untuk mengalah ultra kiasu bukan dengan tarian ponggong, jual burger depan rumah. Perbuatan sebegini tidak mendatangkan faedah, malah memalukan. Cara kita berhadapan dengan ultra kiasu adalah dengan hujah ilmu dengan menguruskan negara penuh integriti.

Ingatlah hari ini, cabaran kita semakin hebat. Ultra kiasu berada di mana-mana hatta dalam rumah sendiri. Minggu lalu, di Kuantan kumpulan ultra kiasu berdemonstrasi mendesak kerajaan memberikan kebenaran mendirikan lebih banyak sekolah persendirian Cina di seluruh negara. Jika kerajaan tunduk kepada tekanan ini, sekolah persendirian akan tumbuh macam kulat. Mereka tidak ada masalah dari segi kewangan. Jutawan mereka berada di merata tempat.

Bayangkan selepas tamat sekolah rendah, lebih ramai akan memasuki sekolah persendirian, bagaimanakah pembinaan negara bangsa selepas ini?Apakah bentuk perpaduan yang akan kita hasilkan? Benar, pada peringkat permulaan, mereka tidak perlu bantuan kewangan. Lama kelamaan, bila sudah banyak, sudah pasti mereka akan mendesak supaya memberikan bantuan sepenuhnya seperti yang berlaku hari ini. Tidak ada lagi beza antara aliran kebangsaan dan vernakular. Bantuan yang diberikan hampir sama. Malah melebihi. Saya langsung tidak lihat bantuan diberikan kepada sekolah agama rakyat.  

Dalam demonstrasi tersebut, pemimpin ultra kiasu mahukan dua resolusi diterima, menyokong sepenuhnya penubuhan sebuah sekolah persendirian dan mendesak kerajaan mendengar tuntutan rakyat supaya meluluskan sekolah tersebut. Persoalan saya, siapakah rakyat yang dimaksudkan itu? Untuk makluman semua, saya difahamkan kerajaan telahpun tunduk, dengan mengiktiraf sijil UEC dan diterima masuk melanjutkan pelajaran ke maktab perguruan. Tidak mustahil selepas ini ke semua IPTA. Walaupun beberapa syarat dikenakan, seperti mendapat kepujian dalam BM, Inggeris dan melalui proses temuduga, adakah itu cukup dalam pembinaan negara bangsa?

Dr.  Mohd Ridhuan Tee Abdullah
Ketua Jabatan/ Prof Madya
Jabatan Kenegaraan dan Ketamadunan
Universiti Pertahahan Nasional Malaysia


amukanmelayu -  ada yang menentang?