,مليسيا دان اسلام بوکن ميليک اورڠ ڤوليتيک
, مک ڤرجواڠن اݢام تتڤ دڤرجواڠکن اوليه اومت اسلام دري بيدڠ يڠ لاءين
سام اد كامي منڠ اتاو كامي ماتي

PERJALAN HAJI AKI


Tuesday 25 June 2013

PERKARA 152 PERLEMBAGAAN MALAYSIA - HANYA 1 BAHASA SAHAJA (BAHASA MALAYSIA) UNTUK 1 MALAYSIA



SJK Perlu Penjenamaan Semula

Mohd. Noor Abdullah ketika syarahan Percambahan Minda bertajuk 'Kedudukan Sekolah Vernakular daripada Perspektif Artikel 152 Perlembagaan Persekutuan' anjuran Kelab Wartawan Muda di Villa Puteri, Kuala Lumpur, semalam. 
 
KUALA LUMPUR 19 Jun - Bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd. Noor Abdullah mencadangkan agar kerajaan menjenamakan semula Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina dan Tamil menjadi sekolah pengajian bahasa yang terbuka kepada semua rakyat Malaysia.
Katanya, SJK wajar dijadikan sekolah kerajaan yang masih mengekalkan aspek fizikal, namun mengutamakan pembelajaran berkaitan bahasa ibunda berbilang kaum di negara ini.
"Kalau kita bercakap tentang polisi pelajaran, kini ada tiga aliran iaitu sekolah swasta, sekolah kebangsaan dan SJK. Tetapi apa peranan SJK? Apa keperluan tentangnya?
"Saya cadangkan SJK ditukar kepada sekolah di mana kita boleh belajar bahasa. Apa sahaja telah sekolah kebangsaan sediakan, SJK tidak perlu lagi menyediakannya, semua orang akan pergi ke sekolah yang sama. Ini boleh memupuk perpaduan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan syarahan Percambahan Minda bertajuk 'Kedudukan Sekolah Vernakular daripada Perspektif Artikel 152 Perlembagaan Persekutuan' di sini hari ini.
Mohd. Noor dalam pada itu berkata, kewujudan SJK sebenarnya tidak selari dengan Artikel 152 (1) Perlembagaan Persekutuan yang berkaitan dengan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.
Sambil mempersoalkan dasar pendidikan yang membenarkan sistem persekolahan vernakular wujud di negara ini, Mohd. Noor berkata, dasar itu sebenarnya memecahbelahkan masyarakat berbilang kaum di negara ini.

"Kenapa adakan sekolah berasingan untuk masyarakat? Bukankah baik jika kita pergi ke satu sekolah dan belajar apa sahaja yang kita hendak di sana," katanya.
Katanya, penyatuan sudah pasti akan berlaku apabila semua rakyat Malaysia pergi ke sekolah yang sama kerana tiada lagi jurang perbezaan antara pelbagai kaum.
"Masa rehat dan sekolah habis boleh bersama-sama. Bayangkan rakyat Malaysia boleh hidup begitu. Keadaan inilah yang tidak ada masa kini," katanya.
Beliau berkata, berdasarkan Perlembagaan Persekutuan juga, kewujudan SJK merupakan satu bentuk diskriminasi kerana memberikan keutamaan kepada kaum tertentu sahaja, namun tidak memperoleh kelebihan kepada komuniti lain.

"SJK Cina dan India antara lain mengajar bahasa Cina dan Tamil. Sementara kerajaan tidak mewujudkan sekolah kebangsaan untuk kaum-kaum lain. Bagaimana pula dengan bumiputera Sabah dan Sarawak yang mempunyai pelbagai keturunan?," soal beliau.
Oleh kerana itu, Mohd. Noor menegaskan adalah penting sekolah satu aliran iaitu sekolah kebangsaan yang menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa penyatuan diwujudkan di negara ini.
© Utusan Melayu (M) Bhd

Mohd Noor: Jangan tutup fakta dengan mengatakan saya rasis


KUALA LUMPUR, 16 Mei2013  — Bekas Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Mohd Noor Abdullah berkata adalah tidak wajar beliau dilabel sebagai rasis kerana beliau perlu diberi ruang untuk menerangkan sesuatu isu berdasarkan Perlembagaan Persekutuan.
“Orang politik melihat sesuatu kenyataan itu daripada pandangan kaca mata sempit, saya hendak terangkan sesuatu menurut Perlembagaan patutnya diberi ruang untuk rakyat mendengar, bukannya ditutup dengan mengatakan saya rasis, Datuk Mohd Noor Ku Klux Klan, Datuk Mohd Noor itu Hitler.

“Janganlah macam itu, bagi ruang untuk saya terangkan apakah parameter di dalam Perlembagaan yang menjamin rakyat hidup dalam aman damai,” katanya yang muncul sebagai tetamu dalam rancangan bual bicara Helo Malaysia terbitan Bernama TV di saluran 502 Astro.
Rancangan satu jam yang mengupas tajuk “Memperkasakan Perlembagaan” itu turut mengundang Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM) Datuk Zainul Rijal dan diwawancarakan perantara Dahlan Maamor.

Mohd Noor (gambar) dikritik banyak pihak terutamanya pembangkang apabila mengeluarkan kenyataan yang dikatakan berunsur hasutan berhubung sekolah vernakular pada satu forum bertajuk “Wacana Post-Mortem PRU13: Bicara Kepimpinan dan Survival Ummah” anjuran Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), baru-baru ini.

Mohd Noor berkata Perkara 152 menyatakan bahawa Perlembagaan hanya mengiktiraf satu bahasa iaitu Bahasa Malaysia untuk satu Malaysia dan bagi urusan rasmi.

“Cuma kelonggarannya ialah sesiapa sahaja di negara ini hendak belajar bahasa ibundanya sama ada Bahasa Cina, Bahasa Jepun, Bahasa Tamil belajarlah, tetapi belajar sendiri, jadi Sekolah Cina dan India swasta itu hak yang tidak boleh dihapuskan,” katanya.
“(Jika) Sekolah Kebangsaan (SK) untuk orang Melayu, SJKC untuk orang Cina, SJKT untuk orang India, bila masa anak cucu cicit kita belajar dalam kelas yang sama, makan di satu kantin, bila? Tida ada langsung ruang untuk itu,” katanya.

Beliau berkata istilah yang lebih tepat ialah mencorakkan SJK kepada sekolah kerajaan seperti “Government English School” pada zaman dahulu di mana para pelajar berpeluang mempelajari pelbagai bahasa.
“Di sana nanti kita adakan mata pelajaran Bahasa Inggeris yang wajib dipelajari kerana ia bahasa antarabangsa, Bahasa Malaysia wajib dipelajari kerana ia menjadi bahasa yang menyatu-padukan rakyat Malaysia.

“Selepas itu, kita galakkan pelajar-pelajar kita belajar Bahasa Arab kerana orang Melayu beragama Islam, pada masa sama galakkan semua orang Malaysia belajar Bahasa Cina dan Bahasa Tamil kerana kedua-dua bahasa ini bahasa ekonomi dunia, bukankah cantik macam itu,” katanya.
Mohd Noor berkata sekiranya rakyat Malaysia memahami Perlembagaan, ia akan dapat mengelak daripada berlaku pergeresan sesama masyarakat.

“Malangnya, orang yang tidak faham Perlembagaan, mereka interpret Perlembagaan itu mengikut kepentingan dan hala tuju politik masing-masing, dan yang menanggung akibat buruknya adalah masyarakat yang terikut-ikut,” katanya.
Beliau yang fasih berbahasa Tamil turut menyampaikan pesanan kepada Presiden MIC Datuk Seri G. Palanivel dalam Bahasa Tamil bahawa beliau bercakap benar dan hanya menyatakan apa yang terkandung di dalam Perlembagaan.

“Maksudnya saya bukan orang politik yang bercakap mengenai politik, saya tidak diupah dan tidak bercakap bagi mana-mana pihak, apa yang benar itulah yang saya cakap.
“Tetapi di dalam budaya India kalau saya cakap begitu maknanya ada yang tidak benar, jadi saya tidak cakap yang bohong, apa yang saya kata hari ini kalau ada terkecil hati, saya hanya nyatakan apa yang terkandung dalam Perlembagaan, tidak ada tokok tambah,” katanya.
Sementara itu, Zainul berkata kenyataan yang dikeluarkan oleh Mohd Noor tidak bersifat rasis dan bukan menghasut atau mencetuskan ketegangan kerana ia berdasarkan kepada Perlembagaan itu sendiri.

“Apa yang dikatakan berdasarkan peruntukan, terpulang kepada penerimaan kita, kalau hendak tapis sesuatu itu berdasarkan tapisan politik, kita akan cari alasan tertentu bagi justifikasikan pandangan parti-parti tertentu.
“Tetapi, kalau tapisan kita berdasarkan tapisan Perlembagaan dan perundangan, saya tidak nampak ia satu masalah besar, apa yang dikatakan Datuk Mohd Noor saya tidak nampak apa-apa perkara pun yang melanggar Perlembagaan,” katanya.
Beliau berkata tiada peruntukan secara spesifik mengenai SJK di dalam Perlembagaan, tetapi di dalam Seksyen 28 Akta Pendidikan 1996, menyatakan bahawa menteri boleh mewujudkan SJK dan SK.
“Apa kata perkasakan SK kita, berikan guru-guru yang terbaik di SK, tingkatkan kemudahannya, sudah pasti ia akan menarik minat bangsa-bangsa selain Melayu untuk menghantar anak-anak mereka ke SK,” katanya. — Bernama



Wujudkah perpaduan dengan tutup sekolah Cina?

pada 14-05-2013 09:05 Ditulis Oleh Tumingan Suration



Post Pic

[ULASAN]  Bekas Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Mohd Noor Abdullah bukan orang pertama yang mahukan kerajaan menghapuskan sekolah vernakular di negara ini. Ramai pemimpin, ahli politik, ahli akademik dan NGO telah menyuarakan pendapat sedemikian.
 
Bagi mereka, sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil adalah punca masyarakat di negara ini berpecah-belah dan ia mesti dihapuskan.
 
Bagaimanapun setakat ini, tiada kajian khusus bagi membuktikan saranan itu benar-benar mampu menyaksikan rakyat majmuk di negara ini bersatu-padu. Sebaliknya ada pula beranggapan ia sekadar kenyataan rasis sesetengah pihak untuk menarik sokongan Melayu terhadap kerajaan yang semakin terhakis hari ini.
 
Akta Pelajaran 1961 sebenarnya tidak begitu jelas dan tidak bertulis mengenai soal perpaduam kaum di negara ini. Yang kita dapati hanyalah untuk menyatukan kaum di Malaysia selari dengan masyarakat yang berbilang kaum. Ini dapat dilihat dalam Dasar Pelajaran Kebangsaan mengikut Laporan Razak yang menjadi asas kepada Akta Pelajaran 1961:
 
"Tujuan Dasar Pelajaran di dalam negeri ini ialah bermaksud hendak menyatukan budak-budak daripada semua bangsa di dalam negeri ini dengan menggunakan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar yang besar, walaupun perkara ini tidak dapat dilaksanakan dengan serta merta melainkan hendaklah diperbuat dengan beransur-ansur." (Penyata Razak, Perenggan 12)
 
Manakala Akta Pendidikan 1996 yang merupakan sinambungan daripada Akta Pelajaran 1961, dengan jelas memberitahu kita bahawa dasar pendidikan adalah berlandaskan kepada hasrat Wawasan 2020 dan Falsafah Pendidikan Negara.
 
Bagi penganalisis akademik, kegagalan dasar pendidikan negara adalah punca ketidak-harmonian hubungan kaum di negara ini. Namun pada masa yang sama, mereka juga  berpendapat menghapuskan sekolah vernakular bukan jalan penyelesaiannya.
 
Sistem pendidikan sekarang dengan pilihan untuk menghantar anak masing-masing sama ada ke sekolah kebangsaan ataupun sekolah jenis kebangsaan perlu dikaji semula.
 
Tindakan sesetengah menteri Kabinet yang menghantar anak-anak mereka ke sekolah swasta dan antarabangsa yang syarat kemasukannya diperketatkan dan hanya dibuka kepada golongan kaya dan berpengaruh juga perlu dijawab.
 
Keperluan memperkasa sektor pendidikan
 
Keputusan untuk menutup sekolah vernakular bukan sesuatu yang senang dibuat kerana ia menimbulkan pelbagai implikasi politik. Selain itu, kita juga harus menerima hakikat bahawa sekolah-sekolah ini telah membantu kerajaan mengurangkan tekanan menyediakan ruang belajar di sekolah kebangsaan yang kian sempit dan sendat dalam setiap kelas.
 
Jika semua sekolah ini ditutup, sekolah kebangsaan sendiri akan menghadapi masalah untuk menyediakan ruang kepada pelajar dari aliran ini terutamanya di bandar besar.
 
Justeru walau apa pun persepsi penggubal dasar pendidikan negara, harus diakui tanpa kewujudan sekolah-sekolah ini, kerajaan sendiri akan menghadapi masalah menyediakan ruang dan tenaga kerja untuk memenuhi keperluan.
 
Apakah kerajaan mampu mengisi kekosongan yang bakal terjadi jika semua sekolah vernakular ditutup?
 
Rakyat Malaysia secara lazimnya terbahagi kepada tiga kaum utama iaitu Melayu, Cina dan India yang mempunyai bahasa ibunda yang berbeza dan sistem persekolahan yang tersendiri.
 
Ini sekali gus memisahkan pelajar mengikut bahasa ibunda masing-masing. Misalnya, sekolah aliran kebangsaan akan menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar.
 
Justeru, majoriti kaum Melayu yang akan menuntut di sekolah Melayu. Situasi ini menyebabkan interaksi para pelajar yang berbeza kaum dengan kaum yang berlainan sangat-sangat terhad. Persefahaman antara satu sama lain juga tidak disampaikan dengan sepenuhnya.
 
Kerajaan juga perlu mengkaji mengapa masyarakat bukan Melayu tidak yakin terhadap sekolah kebangsaan tetapi menghantar anak mereka ke sekolah jenis kebangsaan. Begitu juga penubuhan sekolah wawasan yang dianggap tempat yang terbaik untuk memulakan proses integrasi antara kaum.
 
Meskipun sekolah wawasan menyediakan ruang dan peluang untuk murid-murid pelbagai kaum berinteraksi secara langsung kerana mereka berkongsi kantin, padang permainan, dewan dan kemudahan lain di sekolah, namun konsep sekolah itu tidak diterima.
 
Najib perlu buktikan komitmen
 
Di sekolah wawasan, pelajar berpeluang untuk saling mengenali dan memahami antara satu sama lain. Dengan itu, mereka akan membesar dengan sikap toleransi dan hormat terhadap budaya dan agama kaum lain.
 
Sekolah seumpama ini mampu memupuk persefahaman kaum dan seterusnya mempercepat integrasi nasional. Namun, ada yang berpendapat, sekolah ini tetap tidak dapat dijayakan kerana keengganan kerajaan untuk membubarkan sekolah aliran Cina dan Tamil. 
 
Malah, sekolah-sekolah vernakular tersebut juga mendapat dana daripada Kementerian Pelajaran. 
 
Hanya beralasankan menjaga adat budaya pendidikan tradisional, Malaysia merupakan satu-satunya negara di dalam dunia ini yang membenarkan pembelajaran vernakular yang terpisah daripada Akta Pendidikannya sendiri.
 
Seolah-olah akta pendidikan terutama yang membabitkan Bahasa Kebangsaan sebagai teras, mempunyai 'kembar' yang bertentangan sifatnya. Laporan Razak 1956, Laporan Rahman 1960, Akta Pelajaran 1961 dan Akta Pendidikan 1996, semuanya menggariskan Bahasa Kebangsaan sebagai medium untuk perpaduan.
 
Selain pendidikan, ada juga faktor-faktor lain yang menyebabkan kerapuhan perpaduan di negara ini. Tidak dapat dinafikan antara dalangnya termasuk ahli politik dan media massa di negara ini yang sepatutnya menjadi benteng pertahanan terhadap dasar perkauman di negara ini.
 
Isu-isu mengenai bahasa, budaya, agama, kerakyatan dan ekonomi sering kali dijadikan isu oleh mereka untuk tujuan tertentu. Teknik-teknik yang digunakan mereka dengan meniupkan isu sensitif memberikan impak yang negatif kepada rakyat.
 
Justeru, Najib yang mendapat mandat baru selepas Pilihan Raya Umum ke-13 ini mempunyai kuasa melaksanakan apa yang gagal dilakukan oleh semua lima perdana menteri sebelum ini.
 
Nama Najib akan terpahat dalam sejarah sebagai Bapa Perpaduan jika beliau benar-benar mampu melaksanakannya.
 
 
 

Laporan Polis Terhadap Kenyataan Bekas Hakim Yang Rasis


Kajang: Kenyataan bekas hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd Noor Abdullah yang menggambarkan orang Melayu akan membalas dendam terhadap orang Cina berikutan keputusan Pilihan Raya Umum ke-13, 5 Mei lalu mengundang kemarahan ramai selain menyebabkan masyarakat Cina rasa terancam.

Berikutan itu Ketua Pemuda DAP (DAPSY) Selangor, Chua Yew Choong hari ini membuat laporan polis di Balai Polis Kajang terhadap kenyataan Datuk Mohd Noor yang disifatkan sebagai menghasut dan membuatnya ‘rasa tergugat’.

Menurut Chua, kenyataan Mohd Noor bahawa, “Pengkhianatan orang Cina terhadap ikatan setia kawan orang Melayu itu adalah benar oleh kerana mereka merancang untuk merampas kuasa politik setelah membolot kuasa ekonomi,” serta “…Bagi orang Melayu, pantang larangnya, jangan dikhianati orang Melayu. Oleh kerana orang Melayu bila dikhianati, dia membalas dendam kesumatnya tak sudah-sudah,” adalah bertujuan menghasut dan berbaur ugutan terhadap masyarakat.

Setiausaha Politik kepada Ahli Parlimen Kluang, Mahdzir Ibrahim yang turut hadir di balai menyifatkan kenyataan bekas hakim itu sebagai sangat tidak bertanggungjawab dan mempunyai niat untuk membakar api perkauman.

“Ia bertentangan dengan semangat 1Malaysia yang dibawa Perdana Menteri Najib Razak,” ujarnya sambil mendesak supaya pihak berkuasa menyiasat kenyataan itu secara telus dan profesional tanpa mengira latar belakang beliau sebagai seorang bekas hakim.

“Saya menyeru supaya rakyat menolak politik perkauman dan memboikot Utusan Malaysia yang menjadi ejen perkauman,” katanya.

Turut hadir memberi sokongan adalah Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Gasing, Rajiv a/l Rishyakaran; ADUN Balakong, Ng Tien Chee serta dan ADUN Teratai, Tiew Way Keng.


Api-apikan perkauman perbuatan jahiliah


Tindakan sesetengah pihak mengapi-apikan isu perkauman kebelakangan ini adalah perbuatan jahiliah yang diharamkan syarak.

Ia boleh mengundang kemusnahan masyarakat dan negara terutama negara pelbagai kaum seperti Malaysia ini.

Ia akan menimbulkan pelbagai sangkaan dan penilaian yang mungkin tidak berasaskan fakta yang benar.

Lantas, akan menimbulkan ketegangan dan pergaduhan yang tidak berasaskan prinsip kebenaran, sebaliknya atas prejudis perkauman.

Antara perkara yang ditentang oleh Nabi Muhammad SAW ialah sikap fanatik perkauman ataupun ‘asabiyyah yang menilai kebaikan dan keburukan berdasarkan kaum bukan prinsip kebenaran dan keadilan.

Islam adalah agama rentas kaum dan sempadan geografi. Keadilannya Islam itu melebar merentasi perbezaan pemikiran dan agama.

Tiada siapa yang mampu menentukan bangsanya sebelum dia lahir sama ada untuk dia menjadi Arab, Melayu, Cina atau India. Ia adalah ketentuan Allah, bukan atas usaha atau kejayaan seseorang.

Maka hakikat ini mestilah difahami supaya kita tidak menyalahkan atau menghina seseorang atas sebab bangsa atau keturunannya kerana itu bukan pilihan atau kesalahannya.

Sebaliknya kita menilai seseorang berdasarkan perbuatan dan akhlaknya. Inilah sikap yang adil. Dosa keturunan tidak ditanggung oleh anak cucu.

Buta warna bangsa

Dosa seseorang tidak boleh dibebankan atas orang lain yang sebangsa dengannya yang tidak terlibat dengan kesalahan itu.

Allah menjelaskan prinsip ini dalam al-Quran: (maksudnya) “Dan seseorang yang boleh memikul, tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain. Dan tiadalah Kami (Allah) mengazabkan sesiapapun sebelum Kami mengutuskan seorang rasul (untuk menerangkan yang benar dan yang salah)." (Surah al-Isra, ayat 15)

Maka, perjuangan apapun yang mahu ditegakkan, hendaklah menilai setiap insan berdasarkan kepada akhlaknya, bukan titih keturunannya.

Keadilan dalam Islam buta warna bangsa dan agama sekalipun. Keadilan untuk semua.

Sabda Nabi SAW: “Wahai manusia! Sesungguhnya tuhan kamu sama, bapa kamu sama (Adam). Ketahuilah! Tiada kelebihan orang Arab ke atas ‘ajam (bukan Arab), atau ‘ajam ke atas Arab, atau yang berkulit merah ke atas yang berkulit hitam, atau yang berkulit hitam ke atas yang berkulit merah melainkan ketakwaan.” (Riwayat Ahmad dan al-Baihaqi, dinilai hasan oleh Al-Albani)

Jika hal ini tidak diteliti, perkauman atau rasisme akan berlaku. Akan ada pihak yang teraniaya hanya kerana keturunannya walaupun mungkin dia tidak bersalah.

Diskriminasi seperti ini pernah berlaku di Amerika, sehingga Martin Luther King dalam pidatonya yang terkenal “I have a dream” menyebut:

“I have a dream that my four little children one day live in a nation where they will not be judged by the colour of their skin but by the content of their character.”

Kesejagatan Islam

Tujuan Allah menciptakan berpuak dan berbangsa agar saling kenal mengenali antara satu sama lain.

Firman Allah (maksudnya): Wahai manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan. Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha mendalam pengetahuan-Nya. (Surah al-Hujurat: 13)

Lihat dalam ayat ini, Allah memanggil “wahai manusia”, panggilan yang sangat adil merangkumi setiap bangsa dan puak. Bukan panggil perkauman atau fanatik keturunan.

Kata Sayyid Qutb dalam menafisrkan ayat ini: “Penciptaan manusia berbagai bangsa dan suku puak bukan untuk berperang dan bergaduh, tetapi untuk berkenalan dan bermuafakat. Perbezaan bahasa, warna kulit, tabiat, perangai, kelebihan dan kemampuan adalah kepelbagaian yang bukan bertujuan untuk perbalahan dan perkelahian.

“Sebaliknya, untuk bantu membantu dalam menunaikan tanggungjawab dan keperluan. Tiada bagi warna kulit, jenis bangsa, bahasa, negara segalanya itu nilai dalam timbangan Allah.

“Sebaliknya, di sana hanya satu timbangan yang menentukan nilai dan kelebihan manusia, iaitu – sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa di antara kamu”. (Fi Zilal al-Quran 6/3348. Kaherah: Dar al-Syuruq)

Maka, haram bagi seorang Muslim meniupkan api perkauman yang menzalimi pihak yang tidak bersalah hanya kerana warna kulit ataupun keturunannya.

Wajib kita mempamerkan keindahan kesejagatan Islam kepada semua pihak supaya keindahan Islam dapat diterima oleh manusia.
-Dr.Mohd Asri Zainul Abidin


AMUKANMELAYU - Yang Amat Arif pun depa bantai......