Semangat Merdeka: Derita darurat
    • Masjid lama Chepor yang turut menerima kesan serangan komunis.
Tidak terkata banyaknya penderitaan yang terpaksa ditanggung penduduk Lenggong, Gerik dan Pengkalan Hulu sepanjang 14 hari pengganas komunis bermaharajalela di Hulu Perak pada era darurat dahulu.

Ketika itu, Banjaran Bintang Hijau menjadi pilihan pengganas komunis bersembunyi bagi memudahkan pergerakan mereka untuk ke Lenggong, Gerik, Pengkalan Hulu, Selama, Taiping dan Kuala Kangsar.

KOMUNIS - Banyak darah yang mengalir di Bumi Bertuah ini kerana mereka

Tidak semua cerita penderitaan rakyat Hulu Perak dapat dibawa dalam ruangan terhad pada akhbar ini dan kerana itu penumpuan kepada beberapa kawasan di Lenggong yang pernah merasai derita darurat.


Diseret komunis

Dengan bantuan Ketua Kampung Changkat Berangan, Lenggong, Abdul Hamid Hussin, penulis menemui Ahmad Che Su, 80, orang lama Changkat Berangan yang pernah menyaksikan beberapa kekejaman pasukan komunis.

Menurut Ahmad, rakyat Malaysia perlu tahu terdapat dua kumpulan komunis yang berbeza pada era darurat dahulu iaitu pasukan bintang satu dan pasukan bintang tiga.

“Pasukan bintang satu merupakan pasukan gerila yang berjuang menuntut kemerdekaan sementara pasukan yang  mengganas serta melakukan kekejaman kepada penduduk adalah pasukan bintang tiga.

“Saya berusia 15 tahun pada era darurat dahulu dan pada tahun 1948, pengganas komunis bermaharajalela selama 11 hari di Lenggong,” kata Ahmad memulakan ceritanya.

Jelasnya, pengganas komunis membawa kezaliman yang amat dahsyat seolah-olah membalas dendam kepada orang Melayu dan Cina yang pernah membantu Jepun.

“Ada yang diseksa dan dibunuh oleh pasukan bintang tiga. Dan pernah satu kejadian berlaku depan mata saya sendiri, lima orang Melayu diseret di tengah Pekan Lenggong. Mereka ialah, Cikgu Nasir, Abdullah dari kampung Ngor, Jusuh dari  Sumpitan, Jawi dan seorang lagi saya lupa namanya.

“Mereka diseret dari Pekan Lenggong ke kandang babi di Kampung Sira kemudian dikurung serta didera selama enam hari dalam kandang berkenaan. Pada hari ke enam, kelima-lima individu terbabit ditarik pula ke perkuburan Cina dengan kedua-dua belah tangan mereka dicucuk satu besi hingga tembus.

“Sampai di kawasan itu, kelima-lima dibariskan, dibaca kesalahan mereka dan kemudian kepala mereka dipukul dengan kapak hingga mati. Badan mereka menggelongsor jatuh ke dalam lubang kubur dan ditimbus," katanya.

Menurut Ahmad, Kejadian ini diketahui oleh orang Melayu yang kemudiannya berpakat dengan pegawai-pegawai Melayu. Seorang guru agama dikenali sebagai Cikgu Mohamad meminta kembali mayat kelima-lima individu berkenaan untuk dibawa pulang, dimandikan dan disemadikan di Sungai Neruk.


Hampir bertempur di pekan

Mengikut diceritakan oleh Ahmad, pernah pada suatu hari, sewaktu berbasikal ke Pekan Lenggong, dia melihat sepasukan anggota bintang satu dari Air Kala mengejar sekumpulan pasukan bintang tiga, selepas meruntuhkan tiga pintu gerbang yang dibina untuk sambutan hari pembebasan bintang tiga.

Pasukan bintang tiga yang ketika itu diketuai Leh Wah (dari luar Lenggong) dan Chu Lan (asal Lenggong) yang sangat ditakuti oleh orang Melayu di Lenggong kerana kedua-duanya memiliki pistol.

Awalnya pasukan bintang tiga telah mengangkat senjata untuk bertempur, namun mengubah fikiran lalu melarikan diri serta hilang dari kawasan Pekan Lenggong, dipercayai berundur ke Bukit Sapi.


Chepor Diserang


KENTAL SEMANGATNYA
Exco Pelancongan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Chepor, Mohd Borhan Che Lah, 72 yang ditemui dengan bantuan Ketua Kampung Chepor, Nasharuddin Ahmad menceritakan kisah kekejaman bintang tiga di Chepor.

“Kejadian berlaku pada tahun 1945 dan saya berusia lima atau enam tahun ketika itu. Memang ada kaum Cina tinggal di sini pada masa itu, mengusahakan kebun sayur. Komunis masuk melalui kawasan bagan ragut dari arah Bukit Sapi dan ketika itu penduduk yang tidak sempat lari ditangkap oleh komunis dan dibakar dalam rumah mereka sendiri,” katanya.

Menurut Mohd Borhan, antara yang ditangkap adalah bekas Ketua Kampung, Mat Yaakob. Namun kebijaksanaan bekas ketua kampung itu dengan alasan tertinggal barang membolehkan dia melepaskan diri dari tahanan.

“Dalam kejadian itu juga, dua lelaki (penduduk kampung) mati yang mana seorang ditembak komunis dan seorang lagi dibakar hidup-hidup. Seorang wanita belasan tahun yang baru sahaja mendirikan rumah tangga, Hamdah dilarikan komunis.

“Hamdah hilang terus dan ada usaha mencarinya di Thailand tapi tidak berjaya. Ada maklumat terbaru diterima mengatakan Hamdah masih hidup dan kini tinggal di China selepas dilarikan komunis ke sana,” katanya.

Mohd Borhan berkata, selepas kejadian berkenaan, kaum Cina telah dihalau keluar oleh segelintir orang Melayu yang mempunyai sentimen perkauman yang kuat dan sehingga hari ini kaum Cina tidak lagi masuk atau tinggal di Chepor.

Terdapat juga kisah daripada bekas Konstabel Khas (SC) /bekas tentera wataniah, Ibrahim Mat Nakil, 75 dari Changkat Berangan yang mengatakan seorang rakannya dari Chepor, dikenali sebagai Haji Dollah, kehilangan isteri semasa serangan komunis di Chepor.

“Dia ada berusaha mencari isterinya, namun sentiasa menghadapi kegagalan sehinggalah dia meninggal dunia lebih kurang dua tahun lalu, selepas pencen daripada jawatan kadi di Gerik dan Kroh (Pengkalan Hulu),” katanya.

Tidak dapat dipastikan sama ada isteri Haji Dollah itu merupakan wanita yang sama dilarikan komunis dan kini dikatakan berada di China atau tidak.


Korban JRTB 

kubu pertahanan
KUBU ATM - Kubu ini didirikan semasa Pembinaan Lebuh Raya Timur Barat

Kisah serangan di Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli merupakan antara tregedi yang terus kekal dalam lipatan sejarah Hulu Perak.

Pembinaan JRTB Gerik-Jeli bermula pada 1970 dan dibuka kepada lalu lintas pada 1982. Bagaimanapun, terdapat maklumat mengatakan sehingga tahun 1985, jalan ini tidak boleh dilalui selepas 7 malam hingga 7 pagi akibat perintah berkurung.

Pembinaan jalan raya yang menghubungkan utara dan pantai timur semenanjung Malaysia ini kerap terganggu akibat serangan komunis dan telah mengakibatkan beberapa kehilangan nyawa.

Tiga kakitangan Jabatan Kerja Raya (JKR) terkorban dan beberapa lagi cedera, serta 63 jentolak musnah akibat diletupkan dalam serangan pada 27 Ogos 1974 di lokasi tugu ini dibina. Beberapa serangan lagi berlaku di lain-lain lokasi pembinaan JRTB melibatkan banyak kehilangan nyawa dan kecederaan kakitangan JKR dan anggota pasukan keselamatan.


Pembangunan terbantut

Darurat di Hulu Perak menyebabkan pembangunan di daerah ini ketinggalan 30 hingga 40 tahun berbanding kawasan lain.

Bekas tentera, Zairudin Idris, 54 dan Ketua Kampung Changkat Berangan, Abdul Hamid masing-masing bersetuju dengan pandangan ini dan mengatakan perintah berkurung pada 1948 hingga 1960 kemudian darurat kedua pada 1967 hingga 1989 melambatkan pembangunan di Hulu Perak.

Menurut Zairudin, dia bertugas di Kem Desa Pahlawan, Kelantan pada 1986 dan pembangunan di Hulu Perak hanya kelihatan lancar lima tahun kebelakangan ini.


AMUKANMELAYU -  Apa lagi yang nak kuceritakan pada mu.