Kehebatan MELAYU yang sengaja DIGELAPKAN...!
Anda
tentu dah biasa melihat menara jam di bangunan Stadhuys ini. Menara Jam
Tan Beng Swee dibina pada tahun 1886 oleh Tan Jiak Kim yang berasal
dari Singapura sebagai kenangan kepada ayahnya yang bernama Tan Beng
Swee. Tidak banyak yang diketahui mengenai Menara Jam selain daripada
mekanisme yang menggerakkan jam berkenaan ditukar kepada jenama SEIKO
pada tahun 1982 yang menimbulkan kemarahan kepada golongan veteran yang
menderitai kekejaman Jepun semasa perang dunia kedua dahulu.
Kita melihat menara jam ini sebagai sebahagian dari bangunan Stadhuys
dan sering terbayangkan bahawa senibinanya adalah berunsurkan Belanda.
Bagi memperlengkapkan lagi dakwaan ini dibina pula Victoria Fountain
bersebelahannya.
Air Pancut Ratu Victoria telah dibina pada tahun 1904 kononnya sebagai
persembahan rakyat Melaka kepada Ratu Victoria Regina yang memerintah
pada 1837 - 1901.
Kita juga perlu mengaitkan dengan sebuah jambatan berhampiran yang
diberi nama Jambatan Tan Kim Seng. Jambatan ini dikatakan dibina pada
tahun 1862 oleh Tan Kim Seng, seorang dermawan Singapura bagi
menggantikan jambatan yang telah rosak. Asalnya jambatan ini adalah
sebuah jambatan kayu namun telah dibina semula daripada batu sebaik
sahaja Portugis berjaya menakluk Melaka pada tahun 1511.
Maka hasilnya sekarang terlihatlah sebuah menara jam, air pancut serta
sebuah jambatan yang dibina semasa pemerintahan penjajah British di
tengah-tengah pusat Bandaraya Melaka bersebelahan dengan bangunan
Stadhuys yang dibina Belanda pada tahun 1645.
Kita sendiri menjadi keliru dengan persembahan British ini apatah lagi
semua bangunan berkenaan di warnakan dengan warna yang sama! Pernahkah
kita terfikir kemungkinannya mereka sengaja merancang sedemikian bagi
mengaburi rakyat tempatan?
Kita lihat sendiri bagaimana Amerika memusnahkan tamadun di Iraq dengan
mencuri artifak bersejarah di muzium Iraq sebaik saja mereka berjaya
menawan Iraq. Kenapa? Apakah mereka sengaja berbuat demikian bagi
memadamkan sejarah kegemilangan Iraq supaya akan lahirnya pula satu
generasi yang terkapai-kapai tanpa menyedari sejarah gemilang mereka
sendiri? Lihat pula bagaimana Jepun menghancurkan Gerbang Gwanghwamun
(Namdaemun Gate) yang terletak di pusat bandar Seoul serta mendirikan
sebuah gerbang lain semata-mata bagi menghilangkan identiti rakyat Korea
yang akhirnya lemah dan takut kepada bayang-bayang sendiri.
Demi memastikan generasi muda Korea sentiasa optimis dan yakin kepada
kemampuan sendiri, kerajaan Korea memutuskan mencari semula tapak
asalnya yang terletak di tengah laluan terpenting dan tersibuk di Seoul
dan membangunkan semula gerbang yang dibina pada tahun 1395. Ajaibnya
semua kerja-kerja pembangunan semula dilakukan cukup teliti sehingga
hampir menyamai senibina asal.
Kita tentu tertanya-tanya kenapa hampir tiada apa yang boleh kita banggakan di tanahair kita sendiri? (klik : kota Melayu yang dimusnahkan) Semua
tinggalan yang ada adalah milik penjajah. Apa yang kita ada sebenarnya?
Kita tewas kerana penjajah telah memusnahkan kegemilangan kita. Bangsa
kita tercari-cari identiti sendiri malah dibayangi katakutan lantaran
hilang keyakinan diri selepas beratus tahun terjajah. British dengan
rakusnya memusnahkan semua tinggalan yang kita miliki agar lahir satu
generasi yang bodoh yang hanya mengikut acuan yang diciptakan mereka!
Salah sebuah rumah yang terdapat di Jalan Meranti, Kelurahan Kampung Dalam Kecamatan Senapelan yang terletak di bawah Jambatan Sungai Siak III di Kota Pekan Baru, Indonesia. Perhatikan senibinanya yang menyerupai tangga rumah Melayu Melaka |
Percayalah bahawa generasi kita sebenarnya telah ditipu tanpa kita sedar
kelicikan mereka! Untuk apa mereka menipu kita? Apakah suatu masa
dahulu kita sememangnya telah membina sebuah ketamadunan yang agung dan
hebat sehingga menggusarkan para musuh Allah ini apatah lagi mereka
jelas mengetahui tentang kibaran panji hitam dari timur kelak?
Generasi
kita disogokkan dengan gambaran bahawa Melayu adalah ketinggalan zaman
dan kolot. Sejarah kegemilangan kita sengaja dihitamkan oleh penjajah
Barat pro Zionis, disokong para pemikir Orientalis.Mereka amat berkuasa
menentukan arah hala-tuju sosio-politik dunia di samping mengawal
kurikulum pelajaran sejagat lalu menulis sejarah termasuk tentang
tanah-air kita mengikut kaca-mata dan kepentingan mereka sahaja.
Rangkaian Zionis serta sekutu mereka yang bergerak di balik tabir sambil
memakai pelbagai topeng untuk meneruskan penipuan ini kerana memang
mahukan umat Islam sentiasa rasa kerdil dan celaru jatidiri akibat
kurang faham hakikat asal-usul kita yang sebenar.
Sejarah
kita direkodkan bermula pada 1403 dengan kewujudan Kerajaan Melayu
Melaka. Hanya baru-baru ini beberapa cendiakawan kita berjaya membongkar
dan mengesahkan Kesultanan Melayu Melaka sebenarnya bermula lebih awal
iaitu pada tahun 1262. Bagaimana dengan kerajaan-kerajaan Melayu lainnya
yang lebih awal dari Melaka? Mungkinkah telah wujud kerajaan hebat
lainnya dan Melaka hanyalah salah sebuah kerajaan lain di dalam kerajaan
yang lebih hebat atau mungkinkah Melaka mewarisi kehebatan kerajaan
Melayu lainnya?
Kesultanan
Melayu Melaka dikatakan tewas di tangan Portugis pada tahun 1511 kerana
berperang dengan serba kekurangan. Apakah istimewanya keris, tombak,
panah dan pedang kalau nak dibandingkan dengan pistol, senapang dan
meriam. Kita juga digambarkan sebagai bangsa yang pemalas dan tinggal di
atas pokok. Begitulah bersungguhnya mereka menghilangkan jatidiri
bangsa kita!
Lakaran dari sumber Portugis mencatatkan serangan balas Acheh setelah mereka berjaya merampas Kota Melaka. |
Catatan
Portugis sendiri merekodkan rampasan sebanyak 3,000 meriam milik orang
Melayu malah mereka percaya Kota Melaka mempunyai 6,000 pucuk meriam!
Dalam Hikayat Hang Tuah ada mencatatkan perjalanan Hang Tuah ke Rom dan
membeli 2,000 pucuk meriam untuk kegunaan Kesultanan Melayu Melaka.
Persoalannya kenapakah Hang Tuah ke Rom pada masa itu? Cuba kita lihat
Hikayat Merong Mahawangsa yang mencatatkan Phra Ong Mahawangsa yang
memeluk Islam pada tahun 1136 dan memakai gelaran Sultan Mudzafar Shah.
Dicatatkan dengan jelas bahawa Phra Ong Mahawangsa ialah keturunan
Iskandar Agung dari Macedonia, Rom. Mungkinkah wujudnya kaitan ataupun
hubungan diplomatik dengan kerajaan Rom pada masa itu dengan kerajaan di
Tanah Melayu?
Perhatikan senjata yang mereka gunakan! Adakah tombak, keris, panah atau pun pedang? |
Kerajaan
Islam Andalusia yang menyinari peradaban manusia tumbang pada 1492.
Selepas tumbangnya Empayar Islam barulah kuasa barat terutamanya
Portugis dan Sepanyol bangkit dan memperluaskan pengaruhnya. Ketamadunan
dan kemajuan Islam dipergunakan untuk kepentingan mereka yang kononnya
berdagang. Lahirnya kerajaan Sepanyol yang menyambung legasi Kekaisaran
Romawi Suci (Holy Roman Empire), oleh raja yang berketurunan Hasburg.
Sepanyol berlumba-lumba dengan Portugis mencari jalan ke Timur untuk
memonopoli perdagangan rempah; dan paling utama mahu menghapuskan
orang-orang Islam di Timur. Mereka mencipta kapal-kapal yang boleh
belayar jauh dan mempelajari teknik pelayaran daripada tamadun
Andalusia. Alfonso de Alburqueque, negarawan dan penakluk Katolik
Portugis mengatakan:
“Aku
akan memancangkan segenap ceruk bumi ini dengan palang-palang salib.
Antara cita-citaku ialah kubur Muhammad akan ku selongkar, agar
dapat ditukar ganti dengan Jerusalem (tempat kelahiran Nabi Isa alaihis
salam)”
Merujuk
catatan “Penjajahan Portugis dan Sepanyol ke atas Asia Tenggara : Satu
Pengamatan” nukilan Maruwiah Ahmat yang mempersoalkan motif sebenar
mereka yang utama bukanlah untuk memonopoli perdagangan, tetapi sangat
bersifat keagamaan. Antara hujah yang dikemukakan ialah, rempah bukanlah
bahan kritikal yang semakin berkurangan (seperti minyak pada zaman
sekarang). Ini kerana perdagangan rempah wujud lama di laut
Mediterranean sejak zaman Empayar Rom lagi. Tambahan lagi, ketika abad
ke-16, perdagangan rempah bukanlah suatu masalah.
Abad ke-16 merupakan kemuncak kepada pertarungan dua blok kuasa besar;
iaitu Islam dan Kristian. Barnaby Rogerson yang menulis The Last
Crusaders merakamkan persengketaan lebih seratus tahun antara Daulah
Uthmaniyyah yang dipimpin oleh Sultan Sulaiman al-Qanuni dan Raja Henry V
yang mengepalai Kekaisaran Romawi Suci Hasburg. Orang Eropah
menggelarnya sebagai ‘Magnificient’ ataupun yang ‘Agung.’ Daulah
Uthmaniyyah yang memayungi umat Islam mencapai zaman keemasan keluasan
wilayah dan kekuatan tentera yang ampuh. Kedua-dua pemimpin merupakan
figur karismatik agama masing-masing yang menjadi juara di kalangan
rakyat mereka.
Meskipun
demikian, Daulah Uthmaniyyah pada abad ke-16 bertempur sengit di Eropah
Timur dan laut Mediterranean. Beberapa kali pihak Portugis cuba
mengepung kota Haramain (Mekah dan Madinah), akan tetapi berjaya
dikekang oleh Daulah Uthmaniyyah. Namun demikian, dalam menghadapi
serangan bertubi-tubi dari segenap penjuru, Daulah Uthmaniyyah tidak
mampu untuk menyelamatkan wilayah-wilayah (imrah-imrah kerajaan Islam)
di Timur, terutamanya Asia Selatan dan Asia Tenggara.
Portugis kemudiannya menawan Goa dan Calicut seterusnya Melaka serta
kerajaan-kerajaan Islam Melayu yang lain seperti Demak, Cebu dan
Makasar. Di utara pula, kerajaan Islam Melayu Brunei mula digempur oleh
Sepanyol dan merampas Manila.
Dikhabarkan,
Melaka memohon bantuan kepada baginda Sultan dan ekspedisi armada
Daulah Uthmaniyyah dihantar untuk membantu Melaka. Akan tetapi, setelah
mengetahui Melaka telah jatuh pada 1511, armada tersebut berpatah balik.
Acheh setelah kejatuhan Melaka juga menghantar utusan meminta bantuan
kepada Daulah Uthmaniyyah dan berkekalan sehinggalah abad ke-19.
Berbalik
kepada Sepanyol, kerajaan tersebut telah mencapai keagungannya cuba
mengejar perkembangan Portugis yang telah mendahului mereka. Di
Nusantara, kerana telah lambat tiba berbanding Portugis, Sepanyol telah
tiba di Filipina dan Brunei melalui jalan Lautan Pasifik. Rombongan
pertama tiba di Filipina oleh Ferdinand Magellan. Rombongan yang
dipimpin beliau didakwa yang pertama telah mengelilingi dunia.
Menariknya juga seorang Melayu yang ditawan dari Melaka dan menjadi
orang suruhan turut bersama Magellan.
Setelah
Magellan terbunuh dalam satu konflik dengan orang tempatan di Kepulauan
Cebu, pemuda Melayu tersebut telah melarikan diri sehingga ke Brunei
dan terjumpa dengan Panglima Hitam, seorang panglima yang digelar lanun
oleh Portugis yang berjaya mengkucar-kacirkan perdagangan Portugis di
sebelah timur. Panglima Hitam kemudiannya membawa pemuda Melayu
berkenaan pulang ke Melaka dan sekaligus melengkapkan pelayarannya
mengelilingi dunia. Pemuda itulah yang di kenali sebagai Panglima Awang
ataupun dikenali dengan nama Henry The Black.
Ketika
Sepanyol tiba di Manila, Filipina, Kerajaan Melayu Brunei merupakan
kuasa besar di Borneo dan Filipina. Setelah beberapa pertembungan antara
Sepanyol dan Brunei, maka Sepanyol telah menawan ibu kota Brunei.
Kejatuhan Brunei hanya bertahan selama 72 hari. Sultan dan rakyat Brunei
kembali dengan semangat jihad yang tinggi, sekaligus mengusir
keberadaan Sepanyol dalam Perang Kastila (1588).
Terlihat
jelas kepada kita kegemilangan kerajaan-kerajaan Melayu di Asia
Tenggara adalah sezaman dengan keagungan kerajaan Islam. Kita sebenarnya
telah terlibat dalam perang Salib ketika itu. Bagaimana mereka
menggelapkan tamadun Islam serta mengakui mencipta pelbagai pengetahuan
untuk umat manusia sedangkan mereka sebenarnya mencedok dari
kebijaksanaan cendiakawan Islam.
Dikhabarkan
juga Portugis menjumpai benda ajaib dalam Istana Melaka, apabila
dipandang objek tersebut maka muncullah muka manusia di dalamnya.
Sekiranya benar dakwaan ini maka jelaslah orang Melayu telah lama
menggunakan cermin berbanding Portugis yang serba kekurangan!
Melaka
dikenali sebagai 'Venice di Timur' oleh Tom Pires. Malah terdapat 83
bahasa dipertuturkan ketika itu. Masih kelirukah anda dengan kehebatan
Melaka? Kita sebenarnya mempunyai empayar yang agung. Kita menguasai
ilmu pelayaran dengan baik malah Portugis sendiri mengakui kapal-kapal
Melayu adalah kuat, teguh serta belayar dengan laju! Kita mempunyai
hubungan diplomatik dengan lain-lain kerajaan hebat ketika itu dan
sering menghantar utusan dan sebagainya.
Bagaimana kita boleh tewas? Tidakkah empayar Melayu Melaka itu luas dan
tidak mungkin dengan mudahnya Portugis mampu merapati Kota Melaka dengan
mudah. Kita tewas samalah jua dengan kejatuhan tamadun Islam lainnya.
Perpecahan adalah punca utamanya. Siapa yang memecahkan kita? Mereka
sebenarnya memasuki secara sulit akal dan fikiran kita sehingga kita
lalai yang akhirnya memusnahkan keseluruhannya. Tamak, rasuah, dengki,
iri hati dan lain-lainnya adalah rencah bagi menjatuhkan kita.
Sumber Portugis yang menceritakan bagaimana mereka disambut ketika kunjungan dagang ke Melaka |
Lukisan
ini membuktikan betapa kita sebenarnya mempunyai kota yang hebat dan
bertepatan dengan gelaran 'Venice di Timur' yang mereka berikan kepada
Melaka. Cuba bandingkan Venice ketika itu dengan Melaka. Sebagai sebuah
kerajaan yang kuat serta mempunyai pusat perdagangan yang ulung di timur
adalah munasabah untuk kita mempunyai sebuah kota yang kukuh. Cuba
perhatikan bangunan bertingkat di sebelah kiri? Adakah bertepatan dengan
gambaran yang dinyatakan dalam sejarah Melayu yang menyatakan istana
Sultan Melaka adalah bertingkat. Perhatikan pakaian para pengawal di
luar kota. Apakah itu pakaian panglima kita ketika itu yang memegang
sejenis senjata yang pastinya bukan tombak. Perhatikan juga para
pengawal yang mengiringi rombongan. Perhatikan pula gajah yang digunakan
yang sememangnya mempunyai persamaan seperti yang digambarkan dalam
Sulalatus Salatin. Lihat juga gerbang Kota Melaka apakah mempunyai
persamaan dengan Kota A'Famosa ataupun Bastion Santiago? Apakah gerbang
ini yang kemudiannya diubahsuai Belanda adalah yang kita lihat di Banda
Hilir sehingga sekarang?
Lukisan
ini juga adalah dari sumber Portugis yang menggambarkan situasi ketika
peperangan yang akhirnya menyebabkan Kesultanan Melayu Melaka tewas pada
1511. Nampakkah berapa ramai askar Portugis yang menyerang dan berapa
ramai pula panglima Melayu yang bertahan? Adakah ini adalah situasi
terakhir ketika semua pertahanan Melayu telah kalah yang akhirnya
memaksa para hulubalang dan pengawal keluar dan mempertahankan Kota
Melaka dengan Gajah. Atau apakah di atas gajah berkenaan adalah kumpulan
Sultan Melaka sendiri yang turut serta mempertahankan Melaka?
Apakah
Portugis menang kerana adanya strategi unggul yang memaksa Melaka
berundur ataupun adakah disebabkan senjata yang tidak diketahui oleh
kita? Dalam gambaran ini jelas menunjukkan angkatan Portugis yang
bersenjatakan senapang manakala Panglima Melayu hanya bersenjatakan
tombak. Inilah propaganda yang mereka gunakan sepertimana gambar
sebelumnya yang menunjukkan pegawai mereka di atas gajah kelihatan lebih
menonjol berbanding orang Melayu yang mengiringinya.
Namun
yang paling penting adalah terlihat jelas gambaran Kota Melaka ketika
itu. Terlihat Kota Melaka dengan tembok batu dan bukannya kayu yang
mengelilingi keseluruhan kota! Cuba lihat bangunan di dalamnya yang
kelihatannya seperti binaan batu yang bertingkat! Gaya senibina rumah
tradisional Melayu Melaka ataupun nampak agak moden? Cuba lihat pula
beberapa buah menara tinjau sekitar kota... cuba anda bandingkan gaya
senibinanya dengan Menara Jam Tan Beng Swee yang terdapat sekarang!
Apakah
menara jam ini adalah binaan asal yang sengaja ditinggalkan British
semasa merobohkan Kota Melaka sepertimana Gerbang Selatan Santiago?
Sejarah dicatat oleh mereka yang menang, maka dicatatkan pula jam
berkenaan dibina pada tahun 1886 bagi mengelirukan kita? Munshi
Abdullah dalam hikayatnya yang pro British ada menceritakan bagaimana
kesukaran yang dilalui ketika kerja-kerja meruntuhkan tembok Kota
Melaka. Cuba baca dan fahami maksud tersirat, Munshi Abdullah
memberitahu bahawa Kota Melaka ini sangat sukar dirobohkan malah
penduduk Melaka ketika itu tidak yakin bahawa kota Melaka boleh
diruntuhkan British. Usaha meruntuhkan dari laut dilakukan sehinggalah
kepada menebuk lubang dan mengisi bahan letupan yang banyak sehingga
tembok sebesar rumah berterbangan hancur dan membawa kematian di
kalangan penduduk.
Munshi
Abdullah seolah menggambarkan betapa kota ini akan roboh dan dalam masa
yang sama penduduk Melaka tidak yakin British berjaya merobohkan Kota
Melaka. Mungkinkah mereka sebagai generasi yang mengetahui asal usul
Kota Melaka ketika itu sememangnya mengharapkan agar British gagal
meruntuhkan kota warisan kemegahan mereka itu. Kita juga dibodohkan
lagi, malah menganggap Stamford Raffles sebagai seorang wira yang
berjaya menghalang Kota Melaka dari dirobohkan sepenuhnya. Maka sekarang
tinggallah hanya secebis warisan yang kemudiannya dipalsukan pula
sebagai warisan dari Portugis? Maka akhirnya kita kehilangan keseluruhan
identiti warisan kita.
Perlu
diingat bahawa selepas British mengambil alih Melaka pada tahun 1824,
mereka dikawal oleh golongan gereja yang kemudiannya mendirikan sebuah
sekolah, Melaka High School di bangunan Stadhuys. Begitulah sistem
pendidikan kemudiannya dijelmakan beracuankan penjajah sehinggakan hanya
bangsawan dan pembesar sahaja yang kebanyakannya belajar di sana.
Kenapa? Kerana adalah lebih mudah mennggunakan golongan ini yang
mempunyai pengaruh besar dalam masyarakat. Akhirnya sekolah aliran
Inggeris yang asalnya adalah ekslusif akhirnya mengukir nama dan menjadi
keperluan dan berjaya mengubah keseluruhan sistem pendidikan di Tanah
Melayu. Menerusi pendidikan inilah mereka mengajarkan pembohongan demi
pembohongan kepada masyarakat tempatan.
Kesannya?
Begitu banyak usaha dilakukan oleh pelbagai pihak namun usaha
menyedarkan keseluruhan masyarakat untuk mengenali semula warisan
bangsanya dan jati dirinya menjadi semakin sia-sia... majoriti
masyarakat dengan mudah menuduh golongan ini pula sebagai pembelit dan
pembohong, yang sentiasa berfantasi dalam dunia realiti yang diciptakan
oleh musuh kita yang sebenarnya!!!
Satu
lagi lakaran serangan Portugis ke atas Melaka pada tahun 1511. Jelas
kelihatan Kota Melaka yang tersusun hebat dengan binaan bangunan yang
bertingkat-tingkat. Bangunannya pula mempunyai unsur senibina China,
apakah kaitannya antara Melaka dengan kerajaan China? Apakah senibina
sedemikian adalah ditiru dari senibina China ataupun adakah
kemungkinannya kita yang membawa senibina tersebut ke China? Terdapat
juga binaan berbentuk kubah. Apakah ianya masjid ataupun sebahagian dari
Istana Melaka yang berkubahkan emas?
Akhirnya
cuba teliti catatan Portugis yang sukar mengalahkan Melaka sehinggalah
mereka memutuskan kekuatan Melaka adalah kerana kedudukan strategik
jambatan yang merentangi Sungai Melaka. Portugis menyerang bertubi-tubi
jambatan tersebut selama 7 hari sehinggalah jambatan tersebut musnah
sehingga berjaya memudahkan proses menawan Melaka. Jambatan kayu takkan
Portugis hancurkan sampai perlukan 7 hari?
Terlalu
banyak pembohongan dan terlalu banyak kajian yang perlu dilakukan.
Biarpun besar mana sekalipun wang ringgit dan usaha perlu dikorbankan,
langkah ini sangat-sangat perlu diambil bagi mengembalikan semula
kegemilangan kita...Insya Allah
AMUKANMELAYU - Sejarah akan berulang......jika satu ketika ia HEBAT percayalah, ia akan kembali HEBAT.