,مليسيا دان اسلام بوکن ميليک اورڠ ڤوليتيک
, مک ڤرجواڠن اݢام تتڤ دڤرجواڠکن اوليه اومت اسلام دري بيدڠ يڠ لاءين
سام اد كامي منڠ اتاو كامي ماتي

PERJALAN HAJI AKI


Sunday, 28 July 2013

TANGISAN DI AKHIR RAMADHAN


APA SAJA YANG MENJADI MILIK ISLAMELAYU PERLU DI AMBIL ATAU DI KONGSI

22.08.2013 merupakan tarikh yang penting bagi umat Islam di Malaysia. Pada tarikh tersebut, Mahkamah Rayuan, Putrajaya telah menetapkan pendengaran notis permohonan pihak Titular Roman Catholic Archbishop of Kuala Lumpur (“The Church”) untuk membatalkan rayuan (striking out the appeal) pihak Menteri Dalam Negeri dan Kerajaan serta perayu-perayu lain berhubung larangan penggunaan nama suci Allah oleh penganut agama Kristian di Malaysia.

Rayuan pihak Kerajaan adalah terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang telah pada 31.12.2009 yang membenarkan pihak The Church untuk menggunakan nama Allah sebagai terjemahan istilah ‘God’ di dalam penerbitan berbahasa Melayu agama Kristian. Sekiranya permohonan The Church tersebut dibenarkan, ini bermakna pihak Kerajaan sebagai perayu tidak boleh meneruskan rayuan substantif di peringkat Mahkamah Rayuan yang telah ditetapkan pada 10.09.2013.

Notis Permohonan The Church tersebut  juga pada hakikatnya bertujuan menghalang perayu-perayu lain dari meneruskan rayuan substantif mereka. Pada 23.05.2013, permohonan mencelah (interveners’ application) para perayu yang terdiri daripada 6 Majlis-Majlis Agama Islam Negeri dan Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA), telah dibenarkan di dalam tindakan kes ini. Jelas ini merupakan ujian besar terhadap kedudukan Majlis-majlis Agama Islam Negeri dalam melaksanakan kuasa Yang DiPertuan Agong dan Sultan Negeri-negeri sebagai Ketua Agama Islam. Natijah sekiranya permohonan The Church dibenarkan, maka peranan Majlis-majlis Agama Islam Negeri terhakis dan akhirnya diketepikan; Majlis-majlis Agama Islam Negeri akan wujud pada namanya yang gah tetapi tiada makna dan tidak relevan lagi untuk menjaga kepentingan Islam dan umat Islam di Negara ini.

Secara ringkasnya, perkara pokok yang menjadi asas sandaran pada Notis Permohonan The Church adalah seperti yang terkandung di dalam afidavit Tan Sri Datuk Murphy Nicholas Xavier A/L Pakiam yang diikrarkan pada 08.07.2013. Antara lain, The Church telah membangkitkan perihal surat yang ditandatangani YAB Perdana Menteri  bertarikh 11.04.2011 kepada Bishop Ng Moon Hing, Pengerusi Christian Federation of Malaysia (CFM) pada masa itu, yang merangkumi satu “Ten Point Solution” yang diumumkan pihak Kerajaan pada 02.04.2011 berikutan satu keputusan kolektif kabinet yang dianggap sebagai formula penyelesaian isu penerbitan dan pengedaran bible berbahasa Malaysia/ Indonesia. Pihak The Church telah beranggapan bahawa “Ten Point Solution” tersebut memberikan kebenaran secara langsung terhadap penggunaan nama suci Allah bagi golongan penganut Kristian. [Rujuk kenyataan 03.04.2011.]

Justeru adalah sangat penting bagi umat Islam untuk mengambil perhatian tentang Notis Permohonan The Church ini.

Sehubungan dengan itu, umat Islam diseru untuk merebut keberkatan hari-hari terakhir bulan Ramadhan ini dalam memperkasa munajat mereka dan memohon petunjuk dan pertolongan Allah SWT untuk memenangkan umat Islam di dalam rayuan ini. Ramai di kalangan pemimpin parti-parti politik yang menjadikan isu-isu seumpama penyalahgunaan nama suci Allah ini sebagai alat meraih sokongan politik sempit dan jangka pendek semata- mata. Ini terbukti jelas pada sikap dan pendirian mereka selepas PRU-13. Akibatnya, umat Islam tidak boleh menyandarkan harapan tinggi kepada pemimpin Muslim dari parti-parti politik semata-mata, sebaliknya wajib bekerja secara bijaksana bagi membantu pertubuhan-pertubuhan Islam (NGI) mempertahankan kesucian Islam di negara yang kita cintai ini.
Menyedari hakikat-hakikat ini, adalah disarankan agar umat Islam:
  1. mengoptimumkan ibadah pada hari-hari terakhir di bulan Ramadhan ini, termasuk melakukan solat hajat dan qunut nazilah serta bermunajat untuk turut memohon bantuan Allah SWT menghancurkan musuh-musuh yang menentang Islam melalui saluran-saluran seumpama kes di Mahkamah sivil ini;
  2. menghadiri secara beramai-ramai ke pendengaran Notis Permohonan The Church di Mahkamah Rayuan, Putrajaya, pada 22.08. 2013 melalui koordinasi NGI-NGI, untuk menzahirkan kepekaan dan keprihatinan mereka serta memberikan sokongan moral kepada pasukan peguam yang mewakili perayu-perayu;
  3. memperkasa kerjasama dengan para ulama dan ilmuwan, serta menggesa pemimpin Muslim untuk bersatu di dalam menentang tuntutan penggunaan nama suci Allah oleh penganut kristian, yang mensasarkan tujuan mereka untuk mengelirukan umat Islam dan seterusnya menyebarkan dakyah menyeleweng mereka sebagaimana yang telah dilakukan di negara-negara majoriti umat Islam lain seperti Bangladesh dan Indonesia;
  4. menghantar mesej yang jelas kepada para pemimpin Muslim dari kalangan parti-parti politik agar lebih bertegas di dalam hal-hal berkaitan kedudukan Islam di negara kita. Kebanyakan para pemimpin ini masih lagi berfahaman sekular yang percaya bahawa Islam di Malaysia sekadar berfungsi tidak lebih dari sebagai agama rasmi. Kelemahan ini sangat ketara khususnya ketika kegagalan para ahli parlimen Muslim mempamerkan kesungguhan, apatah lagi kesepakatan mereka di dalam mempertahankan Rang Undang-undang Pentadbiran Agama Islam (Wilayah Wilayah Persekutuan) 2013 baru-baru ini yang telah terpaksa ditarik balik disebabkan kelemahan mereka berhujah dan tunduk pada tekanan-tekanan kumpulan minoriti yang berfahaman hak asasi manusia dan liberal sekular.
Di kala ramai di kalangan pemimpin Muslim di kalangan parti-parti politik, merubah-rubah pendirian masing-masing mengikut selera kepentingan kepartaian serta kedangkalan ilmu mereka, para pemimpin NGI yang sedar akan cabaran yang melingkari isu ini adalah di kalangan mereka yang tetap bertegas untuk mempertahankan hak yang melibatkan keutuhan aqidah umat Islam.
Hak ini bukanlah semata-mata isu merebut penggunaan nama Allah yang suci, tetapi lebih dari itu merupakan usaha berterusan agenda jahat musuh Islam menghakis kesucian Islam dari kedudukannya sebagai agama yang diiktiraf di sisi Allah SWT, dan sejak berzaman diletakkan pada tempat yang istimewa, termasuklah sebagai agama Negara sebagaimana termaktub di dalam Perkara 3 (1) Perlembagaan Persekutuan.

Seperti biasa, melalui suara-suara sinikal daripada kalangan pemimpin dan intelektual Muslim liberal, umat Islam akan dilabel dan dimomokkan sebagai bermentaliti tertawan (siege mentality), mendiskriminasi, tidak rasional dan sifar toleran setiap kali mengambil inisiatif-inisiatif untuk mempertahankan kedaulatan Islam serta institusi-institusinya.
Umat Islam akan dilabel secara sinikal, sebagai tidak menepati “standard dan prinsip sejagat hak asasi manusia” apabila menegaskan hak beragama mereka yang sedia wujud. Tetapi bagi para pemimpin NGI, tohmahan-tohmahan serta stereotaip seumpama ini akan terus melakar deras di sepanjang zaman oleh musuh-musuh yang tidak redha dengan agama Ilahi, sama ada umat Islam bertindak ataupun berdiam diri terhadap agenda jahat mereka yang bencikan agama ini.

NGI-NGI diseru untuk terus mempertahankan Islam dengan menurut kerangka undang-undang serta hak-hak yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan dengan menjunjung Shari’ah dan sumber-sumber muktabar perundangan Islam, dengan melangkaui batas politik, serta sebarang kepentingan individu dan sifat oportunistik.
Azril Mohd Amin ialah naib presiden, Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM)
28 Julai 2013 bersamaan 19 Ramadhan 1434


AMUKANMELAYU - Kalu Melayu tak sempat nak hunus pisau dah kena tangkap....kalu Cina/India dah bunuh Melayu pun boleh lepas...................sakat ambil nama ALLAH ada apa hal.............TELOQ pun masih ada walau pun pada hakikatnya dah Melayu dah tiada TELOQ.