Dewasa ini muncul dalam masyarakat kita golongan yang pada zahirnya dilihat sebagai ahli ilmu dan ulama, namun pada hakikatnya mereka adalah perompak yang menyekat laluan para penuntut ilmu daripada memperoleh ilmu yang benar, menyesatkan umat daripada jalan ALLAH SWT yang lurus.

Mereka ini terpengaruh dengan agenda pemikiran Barat yang berusaha menyesatkan umat Islam dan memesongkan mereka dari landasan akidah yang benar, lalu sama ada secara sedar atau tidak, golongan ahli ilmu agama ini menjadi ejen Barat untuk merosakkan umat.

Antara seruan memesongkan hati dan meranapkan akidah oleh golongan ini adalah dakwaan mereka, urusan mentaati pemerintah Muslim yang ALLAH SWT telah fardukan dalam kitab-Nya al-Quran bukanlah urusan akidah, pada mereka ia hanyalah isu politik dan cabang (furu’) yang tiada kaitan dengan kepercayaan (akidah) seorang Muslim.

Kenyataan ini berlawanan dengan fakta yang sebenar kerana mentaati pemerintah Muslim itu telah difardukan ALLAH SWT dalam al-Quran, surah al-Nisaa ayat 59 yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada ALLAH dan taat juga kepada Rasul dan mereka yang berkuasa dalam kalangan kamu …”

Rasulullah SAW bersabda dalam hadis yang dikeluarkan oleh Imam Muslim dalam kitab sahih beliau yang maksudnya: “Barang siapa yang mentaati aku maka dia telah mentaati ALLAH, barang siapa yang menderhaka kepadaku maka dia telah menderhaka kepada ALLAH; barang siapa yang mentaati pemerintah maka dia telah mentaati aku, barang siapa yang menderhaka kepada pemerintah maka dia telah menderhaka kepadaku”.

Daripada Ibnu Abbas r.a daripada Nabi SAW bahawa baginda bersabda: “Barang siapa yang membenci sesuatu perkara pada pemerintahnya maka hendaklah dia bersabar kerana sesungguhnya barang siapa yang memberontak terhadap penguasa lalu dia mati maka matinya itu seumpama mati orang jahiliah” - HR al-Bukhari dan Muslim.

Kedua-dua hadis ini menunjukkan betapa kuatnya kaitan antara urusan mentaati pemerintah dengan akidah sehingga Rasulullah SAW menyatakan dalam hadis yang kedua; mereka yang mati dalam keadaan memberontak kepada pemerintah adalah mati dalam keadaan jahiliah.

Dalam hadis yang pertama pula amat jelas Rasulullah SAW mengaitkan ketaatan pada pemerintah itu dengan ketaatan kepada Baginda SAW sendiri yang mana ketaatan kepada Baginda adalah ketaatan kepada ALLAH. Apakah ini masih lagi bukan urusan akidah?!

Dalam hadis yang lain Rasulullah SAW bersabda:

“Barang siapa yang diperintah oleh seorang pemerintah lalu dia melihat pemerintahnya itu melakukan maksiat kepada ALLAH maka hendaklah dia membenci perbuatannya yang maksiat kepada ALLAH itu, namun jangan pula dia mencabut tangannya daripada ketaatan (terhadap pemerintah itu)”. - HR Muslim.

Ijmak ulama

Benar dalam Islam dilarang kita mentaati pemerintah dalam perintahnya yang mengandungi maksiat kepada ALLAH SWT sebagaimana sabda Rasulullah SAW: “dengar dan taat (kepada pemerintah) itu adalah suatu hak selama mana tidak diperintahkan untuk melakukan maksiat, maka jika diperintahkan dengan perkara maksiat maka tidak boleh dengar dan tidak boleh taat”. - HR al-Bukhari dan Muslim.

Namun, Rasulullah SAW juga melarang kita daripada memberontak dan menggulingkan pemerintah yang zalim dan fasiq kerana pada tindakan tersebut terdapat kerosakan dan mudarat yang lebih banyak lagi dan perkara ini juga telah menjadi kesepakatan (ijmak) dalam kalangan ulama Ahli Sunnah wal Jamaah, bahkan mereka memasukkan urusan mentaati pemerintah Muslim dan haramnya memberontak kepada mereka walaupun melakukan kezaliman dan kefasiqan sebagai salah satu prinsip akidah Ahli Sunnah wal Jamaah.

Kata al-Imam al-Nawawi r.h (w.676 H): “Adapun memberontak kepada mereka (pemerintah Muslim) maka ia haram dengan kesepakatan kaum Muslimin walaupun mereka itu orang-orang yang zalim dan fasiq …” - Syarah Sahih Muslim, 12/229.

Kata Imam Abul Hasan al-Asy’ari r.h (w.324H): “dan kami (Ahli Sunnah wal Jamaah) berkeyakinan perlunya mendoakan untuk pemimpin-pemimpin kaum Muslimin dengan kebaikan dan mengakui kepimpinan mereka dan menyesatkan sesiapa sahaja yang berpendapat perlu memberontak ke atas mereka jika mereka melakukan kezaliman” - al-Ibanah, hal. 254.

Kata Imam Abul Husin al-Barbahari r.h (w. 329 H): “Barang siapa yang memberontak kepada pemerintah kaum Muslimin maka dia adalah seorang ‘Khawarij’, memecahkan kesatuan kaum Muslimin, dan menyalahi atsar serta matinya adalah mati jahiliah”. - Syarhus Sunnah.

Berkata Imam al-Muzanni r.h – salah seorang murid besar Imam al-Syafii r.h dan tokoh utama mazhab al-Syafii- (w.264 H): “dan (antara akidah Ahli Sunnah wal Jamaah itu) mentaati pemerintah dalam perkara yang diredai oleh ALLAH SWT dan menjauhi perintah yang dimurkai ALLAH serta meninggalkan perbuatan memberontak kepada pemerintah apabila mereka melakukan kezaliman dan bertaubat kepada ALLAH SWT mudah-mudahan dengan itu, ALLAH SWT akan lembutkan hati mereka terhadap rakyat”. - Syarhus Sunnah oleh al-Muzanni, hal 84.

Kata Imam Abu Ja’far al-Tahawi r.h (w.792 H) dalam kitab beliau yang masyhur; al-Aqidah al-Tahawiah yang merupakan salah satu kitab penting dalam menjelaskan prinsip-prinsip akidah Ahli Sunnah wal Jamaah: “dan kami tidak berpandangan memberontak ke atas pemerintah kami walaupun mereka melakukan kezaliman dan kami tidak mendoakan kejahatan atas mereka dan kami tidak akan mencabut tangan daripada ketaatan terhadap mereka dan kami berkeyakinan mentaati mereka adalah termasuk ketaatan kepada ALLAH yang merupakan kewajipan selama mana mereka tidak menyuruh melakukan maksiat dan kami mendoakan mereka dengan kebaikan dan keafiatan”.

Berkata Imam Abul Qasim al-Asbahani r.h (w.535 H) dalam kitab beliau yang masyhur dan antara rujukan utama dalam memahami prinsip akidah Ahli Sunnah wal Jamaah; al-Hujjah fi Bayan al-Mahajjah: “dan di antara mazhab Ahli Sunnah wal Jamaah adalah: mereka tidak membolehkan memberontak ke atas pemerintah walaupun terdapat kezaliman selama mana pemerintah itu mendirikan solat seperti mana yang telah datang akannya khabar." (hadis Nabi SAW)”. [2/466].

Demikian nukilan-nukilan daripada Ulama-ulama besar Ahli Sunnah wal Jamaah ini yang mereka catatkan dalam kitab-kitab yang membahaskan prinsip-prinsip akidah bahawa mentaati pemerintah dan larangan memberontak terhadap pemimpin Muslim termasuk salah satu prinsip akidah di sisi Ahli Sunnah wal Jamaah, dan tidak ada yang menyelisihi akidah ini melainkan dia terkeluar daripada lingkungan Ahli Sunnah wal Jamaah, sekali gus menyanggah pandangan songsang sebahagian ilmuwan Islam yang terpengaruh dengan agenda Barat yang cuba menghasut umat Islam untuk meninggalkan agama mereka secara halus. Barangkali ilmuwan Islam yang terpengaruh dengan idealis barat ini menuduh kita dengan gelaran literalist dan jumud kerana membawa perkataan ALLAH, Rasul dan para ulama dalam membantah hujah sesat mereka. Wallahualam.

*Muhammad Asrie Sobri, Pengerusi Sekretariat iLMU (Cawangan Universiti Islam Madinah, Arab Saudi)



AMUKANMELAYU - Tidak puas hati dengan orang ni adalah penyakit. Kritis dengan protes adalah dua perkara yang berbeza. Kritis akan menerima sekira sesuatu itu baik untuk Umat Islam. Tapi PROTES atau Pemikiran Negetif akan menolak apa juga kebaikan atau sesuatu perkara yang di lakukan oleh pihak yang dia menetang walau pun se Ugama dengannya