KE MANA MELAYU SELEPAS INI???
Saya telah
membuat ramalan sejak beberapa tahun lalu mengenai sikap mereka. Orang Cina
Malaysia: Apa lagi yang anda mahu (28 April 2010), kini telah bertukar menjadi:
Anda mahu kesemuanya?
Saya
mengakui orang Cina cukup bijak. Mereka adalah bangsa yang cerdik dan pintar.
Perlu diingat, darah yang mengalir dalam tubuh mereka adalah darah ketamadunan
5,000 tahun bangsa itu. Hakikatnya mereka merasakan mereka boleh hidup tanpa
orang Melayu di bumi Malaysia ini.
Kehidupan
mereka adalah wang, sekolah Cina, bahasa Cina dan budaya Cina. Itu sudah cukup
bagi orang Cina Malaysia. Yang lain-lain tidak penting.
Saya tidak
mahu bercakap mengenai orang Cina Singapura, kerana pemikiran Cina di Singapura
tidak setaraf orang Cina Malaysia.
Di Singapura
mereka tidak ekstrem kepada pendidikan kecinaan, kerana dasar kerajaan Cina
Singapura sendiri yang tegas dan enggan melayan permintaan bangsa mereka sendiri
di situ. Lee Kuan Yew ternyata berjaya apabila menyingkirkan legasi pemikiran
kolot Cina Tanah Melayu ke dalam sistem awal pemerintahan Republik
Singapura.
Di Malaysia,
malangnya pemikiran itu berterusan sehingga ke hari ini. Pemimpin terdahulu
Malaysia tidak setegas Kuan Yew. Pemimpin Melayu terlalu apologetik, tak
apalah.
Sepanjang
yang kita maklum, orang Melayulah yang sepatutnya terasa hati apabila
pentadbiran Najib selama empat tahun ini, menggunakan pelbagai pendekatan ‘jaga
hati’ kepada orang Cina.
Oleh kerana
itulah corak pemikiran dan sikap mereka yang tidak cukup-cukup, maka saya tidak
berminat mahu membincangkan mengenai soal Cina dan kecinaan dalam minggu
ini.
Tinggalkan
mereka. Lagipun, mereka telah memilih untuk menyisihkan diri mereka sendiri,
akibat termakan tipu daya DAP yang mengatakan Malaysia kali ini adalah milik
mereka.
Akibatnya,
hari ini saya mendengar ada antara tokoh-tokoh Cina merungut, kemungkinan akan
hilang perwakilan mereka dalam kerajaan kerana dengan izin Allah Taala sekali
lagi memperkenankan kerajaan Malaysia (terus) diterajui oleh orang
Melayu.
Sekarang
saya mahu bercakap mengenai bangsa saya. Bangsa saya yang tidak putus-putus saya
leterkan sejak saya mula menulis kolum ini empat tahun lalu. Saya tidak akan
putus asa untuk bercakap mengenai bangsa itu sehinggalah hayat dikandung
badan.
Selagi saya
hidup, selagi itu saya akan bercakap mengenai bangsa saya, orang Melayu,
walaupun ada yang akan menuduh saya sebagai assabiyah, rasis dan
ultra.
Saya amat
kasihan melihat orang Melayu. Satu bangsa yang cukup layu dari segi pemikiran
mereka. Satu bangsa yang cukup beremosi dari segi perasaan mereka. Satu bangsa
yang cukup merendah diri dari segi pergaulan mereka. Satu bangsa yang cukup
apologetik (satu istilah yang cukup popular sekarang ini) terhadap orang
lain.
Bangsa
Melayu yang cukup pemalas dari segi berusaha (itu bukan saya cakap tetapi orang
yang mula menjajah Tanah Melayu ini dahulu). Bangsa yang tak kaya-kaya, walaupun
segala macam diberikan kepada mereka hasil Dasar Ekonomi Baru
(DEB).
Satu bangsa
yang tidak peduli apa pun yang akan berlaku kepada tanah air sendiri walaupun
terpaksa akhirnya merempat.
Itulah
Melayu. Melayu yang telah berpecah kepada tujuh golongan.
Selama ini
orang Melayu Bumiputera di Tanah Melayu Malaysia ini, terutamanya orang UMNO
mendabik dada mengatakan bangsa Melayulah bangsa majoriti negara ini. Mereka
bangga dengan ungkapan itu. Dalam buku-buku sekolah, fakta itulah yang
dicanangkan.
Tapi
benarkah? Benarkah orang Melayu majoriti? Saya sudah menulis beberapa kali
mengenai perkara ini, tetapi saya masih mahu mengulanginya. Bagi saya tidak
salah untuk mengulanginya sehinggalah orang Melayu sendiri bosan mahu
mendengarnya.
Atas kertas
pun orang Melayu hanya kira-kira 67 peratus sahaja. Kita bukannya 70 peratus
atau lebih 80 peratus seperti Cina di Singapura. Apa besarnya 67 peratus itu?
Daripada 67 peratus itu Melayu berpecah kepada tujuh golongan, yang tidur
sebantal mimpi lain-lain.
Melayu UMNO
dan Melayu Pas adalah satu-satunya fraksi atau pecahan sejak zaman pasca
merdeka. Pada peringkat itu hubungan mereka tidaklah sekejam dan sekasar
sekarang.
Kini Pas
terlalu bermusuh dengan UMNO sehinggakan UMNO dianggap bukan Islam. UMNO pula
semasa gergasi, tidak pandang pun Pas. Pas hanya mahu dibawa berunding atas nama
perpaduan ummah ketika UMNO tersepit, itu kata oranglah.
Pas dalam
era Nik Aziz menganggap golongan mereka bukan Melayu, mereka hanya
Islam.
Sekitar era
awal 1990-an timbul pula duri dalam daging Melayu, maka lahirlah PKR yang cukup
ekstrem tetapi hanya berjuang untuk menyelamatkan maruah seorang insan bernama
Anwar bin Ibrahim. Melayu telah pecah tiga.
PKR yang
pada mulanya tidak mempunyai falsafah perjuangan yang jelas kini semakin kuat.
Ia hidup atas semangat populis.
PKR hidup di
atas suara lantang Anwar Ibrahim. Malam ini dikhabarkan Anwar mahu membuat
perhimpunan besar-besaran, sekali lagi saya beranggapan dia mahu menyelamatkan
tengkoknya sendiri.
PRU-13 ini
Anwar kalah, buat kesekian kalinya. Jika dia kalah, maka kes liwatnya akan terus
dibicarakan. Dia amat takut dengan perkembangan itu. Itu sahaja
perjuangannya.
Kini ada
orang Melayu pun sudah memasuki DAP, satu parti yang kecenderungannya cukup
jelas kepada perkauman. Namun orang Melayu tidak kisah itu semua, asal gelora
hatinya terubat. Saya kenal dengan beberapa orang Melayu yang berada dalamnya.
“Aku marah kepada UMNO, aku masuk DAP".
Melayu
Liberal, melahirkan Melayu yang tidak peduli. Yang menerima pelakuan seks bebas
dan sejenis. Mereka ini kononnya berakalkan Barat bebas yang ada antaranya tidak
percayakan ketuhanan, apa lagi kebangsaan.
Melayu Atas
Pagar yang gagal membuat keputusan dan ada antara keputusan mereka berdasarkan
emosi sosial media mutakhir.
Akhir sekali
ialah Melayu NGO yang tumbuh bagaikan cendawan di kala wujudnya kelemahan dalam
UMNO. Golongan ini biasanya mempunyai mindset yang tersendiri, yang kadang kala
tidak jelas sama ada ia bergerak seiring dengan aliran perdana atau untuk
kepentingan sendiri.
Terkini,
kecelaruan orang Melayu semakin menjadi-jadi apabila wujud pula kumpulan yang
bukan-bukan dalam masyarakat itu. Fahaman Syiah kini dikatakan berkembang,
begitu juga Wahabi, begitu juga Al-Arqam dalam bentuk yang samar-samar dan
begitu juga dalam aliran-aliran lain yang menyisihkan terus diri mereka daripada
arus perdana induk kemelayuan itu.
Jadi, tidak
hairanlah apabila 25 peratus Cina bersatu, maka ia boleh membentuk satu
gelombang yang menakutkan orang Melayu. Najib Tun Razak menyaksikan di depan
matanya sendiri bagaimana tsunami Cina ini melanda politik Malaysia dalam
PRU-13.
Jadi apa
penyelesaiannya? Kita bukan mahu menghukum orang Cina, kerana mereka bijak dan
cerdik dalam membuat percaturan politik untuk kepentingan bangsa mereka sendiri.
Kita tahu mereka kiasu, pentingkan diri sendiri, tamak. Itu adalah ciri-ciri
mereka. Dan ia tidak salah.
Masalahnya
ialah kita sendiri, orang Melayu. Tanpa pertolongan Allah SWT saya percaya
tsunami Cina itu akan menjahanamkan keseluruhan sistem Melayu di negara
ini.
Alhamdulillah
orang Melayu di Malaysia ini masih dilindungi oleh Yang Maha Esa. Kita harus
percaya itu. Orang Pas dan Anwar harus redha dengan ketentuan Illahi
itu.
Bukan tembok
batu yang menyekat kemaraan tsunami Cina itu, tetapi hasil pertolongan Allah,
divine intervension kepada umat-Nya di bumi bertuah ini.
Tetapi
sampai bila Allah mahu melindungi umatnya yang lemah ini. Selagi mereka tidak
berusaha mengubah diri mereka sendiri, maka Allah tidak akan mengubah nasib
mereka. PRU-14 sekiranya mereka masih alpa begini, tunggulah akibatnya. PRU-13
adalah peringatan yang cukup bernilai.
Wahai umat
Melayu, ayuh bersatulah. Marilah kita membentuk Malaysia Baru. UMNO Baru. Pas
Baru. Melayu Baru.
Ingatlah,
Najib mengangkat sumpah sebagai PM kelmarin adalah hasil daripada undi mutlak
orang Melayu, orang Melayu dan Pribumi Sabah dan Sarawak yang masih rasional.
Bantulah mereka. Angkatlah mereka. Sokonglah mereka. Jangan jauhkan hati mereka.
Jangan gundah-gulanakan hati mereka.
Tugas utama
Najib, timbalannya Muhyiddin Yassin atau Ustaz Hadi Awang, Ustaz Haron Din,
Ustaz Harun Taib atau Ismail Mina atau Dr. Hasan Ali dan sesiapa sahaja yang
lain adalah untuk menyatupadukan semula orang Melayu.
Melayu
selama ini telah ditipu dan terus ditipu oleh orang lain. Wahai bangsaku
sekalian, tahukah anda bahawa istilah “Ini kali lahhh..." adalah loghat slanga
Cina! Tetapi ia dibawa dengan megahnya, dengan bersemangatnya oleh orang Melayu,
anak-anak Melayu dan muslimah-muslimah Melayu.
Cukuplah.
Melayu tidak rela ditipu lagi, disuap lagi. Cukuplah.
ZAINI
HASSAN -