,مليسيا دان اسلام بوکن ميليک اورڠ ڤوليتيک
, مک ڤرجواڠن اݢام تتڤ دڤرجواڠکن اوليه اومت اسلام دري بيدڠ يڠ لاءين
سام اد كامي منڠ اتاو كامي ماتي

PERJALAN HAJI AKI


Monday, 27 January 2014

JIKA KE LENGGONG INI GURINDAMNYA


GURINDAM LENGGONG

Awal Bismillah itu yang pertama 
Jangan di tinggal di awalnya kerja
Banggol Batu di beri nama
Di sebut dulu sebelum terlupa


Lenggong Wilayah kecil ada cerita
Luas terbentang tinggalan pusaka
Jalannya berliku bagaikan ular
Pulau Kimiri di selatan Kenering di utara
 
Dikeliling banjaran gunung yang indah
Berkabus tebal di awal pagi
Ikut Kg. Sumpitan jika ke Kedah
Lalui Taiping ke Sg. Petani

Kabus menutup puncak banjaran.
Kuala Kangsar di bahagian selatan,
Gunung Bintang tinggi berjejaran
Sebelah kiri jalan selepas Kampung Raban
.
Gunung Bintang puncaknya tinggi
Tempat orang menjerat rusa
Orang kasih kita berbudi
Jangan sampai menjual Bangsa

Banjaran Titiwangsa  jauh berbalam
Agak  ke timur letak duduknya.
Sungai Perak hulunya tidaklah dalam.
Kuala Sepetang akhir kualanya

Dilingkungi oleh banjaran gunung
Itulah Daerah kecil namakan 'Lenggong',
Kata yang asal di sebut 'lengkung'
Susah di sebut di tukar Lenggong

Lengkung bermakna kawasan di kepong
Daerah ini dilingkungi gunung.
Akhirnya perkataan disebut 'Lenggong'
Tempat orang mencari untung

Terdapat juga cerita Chain
Wakil resident Backly namanya
Nak sebut Lengkong bukan yang lain
Terkeluar LENGGONG kerana peletnya.

Ada satu cerita pula,
Kononnya terdapat kayu terselit
Begitulah LENGGONG mendapat nama
Tidaklah ganjil bukanlah pelik

Di celah batang pokok yang besar.
Kedudukan kayu nampak terpanggung
Nak sebut lengkong katanya sukar
Itulah bermula Namanya 'Lenggong',

Lenggong indah hembusan bayu
Tempat orang berbangsa-bangsa
Di sini banyak kampung Melayu
Orangnya baik berbudi bahasa.

Dihulunya Kg. Bukit Sapi
Di hilir Beng dan Durau
Banyak belum di sebut lagi
Banyak lagi Masjid dan juga Surau

Ada kampung sepanjang sungai
Di tebing kanan dan juga kiri
Sungai Perak sangatlah damai.
Tempat orang membawa diri

Jika hendak pergi Kelantan
Beli pekasam buat saudara
Kampung Pulau Kemiri di selatan
Kampung Sumpitan di sebelah utara.


Selepas Bukit Sapi ke Kg. Chepor,
Tempat orang memetik terung
Kampung Beng, Kampung Luat kita bersaudara
Tidak di lupa Kg. Labit dan Kg. Temelong.

Tanam pisang di Kampung Chain,
Kota Tampan tempat berhuma
Tidak ku kasih pada yang lain
Jika di Lenggong ada jodohnya

Changkat Berangan dingin dan hijau
Tempat orang menjual sagu
Lamalah sudah Abang merantau
Mungkin disini tempat beradu

Banggul Belimbing nama di beri,
Asam gelugur di makan budak
Lenggong bukan sebuah negeri
Terletak ia di Hulu Perak

Kampung Gelok di tepi gua
Cuacanya dingin di hembus bayu
Jika tak di hormat pada yang tua
Itu pantang Anak Melayu

Masak lemak ikan luma
Tulangnya banyak susah jadinya
Kampung Melayu Sekolah Lama
Kampung Masjid Lama itu pun dia,

Kubang Jambu kampung yang permai,
Anak kerbau mati merangkak
Alangkah seronok mandi di sungai
Sampai terlupa pesanan kakak

Kampung Senerelai nama yang ganjil,
Banyak sungguh kampung di Lenggong
Cepatlah datang bila di panggil
Beban yang berat tidak lagi mampu di tanggung

Anak monyet bersusukan kera
Dekat dengan kampung Melayu
Kampung Sira tempat bermanja,
Tempat berteduh di Telok Batu,

Janji di ikat kata sambung
Biar sehidup dan matinya juga
Ada lagi sebuah kampung
Kampung Kota di beri nama,


Di sana tempat berjanji
Bukit Nangka namanya kampung
Kalau sudah termakan budi
Alamat hidup tiada penghujung,

Kampung Lohor di tepi bukit
Kampung Tasik tempat berhuma
Jika dapat isteri yang cantik
Alamat suami hidup merana

Kampung Hulu Lenggong di tepi sana
Di belakang pasar tempat berniaga
Langkah tuan hendak kemana
Sebatang kara tiada bersaudara

Kampung Hulu Jepai di tanam sambau
Banyaknya petai dan juga rambutan
Kalau kita rajin merantau
Kampung Sumpitan dalam ingatan


Kampung Masjid tempat saya
Mempunyai sejarah yang tersendiri.
Di kampung ini Masjid pertama
Dalam Daerah Lenggong ia didiri.

Dikatakan masjid itu terlalu lama
Abad ke-19 di buat orang
Melayu Patani dan juga tukang berlima,
Dari Selatan Thailand asalnya tukang

Mereka datang ke kampung Masjid
Kerana berundur di serang Siam.
Jika beramal sunat dan wajib
Itu bezanya kafir dan Islam

Kampung Masjid Kampung Sekolah,
Nama dua kampungnya satu
Kampung ini sangat bertuah
Kerana di bena Sekolah Melayu

1880 Tahun di bena.
Tempat anak Lenggong mula dididik
Setiap hari Cikgu mengajar
Supaya Anak Melayu menjadi cerdik

Ketika Inggeris menjajah Perak,
Lenggong di tadbir pejabat sini.
Sebab nama Kampung Masjid Lama
Kenali Lenggong kenallah diri

Haji Hashim nama bapanya
Ketua Hakim Negara jadi kebanggaan
Tun Sufian Hashim nama anaknya
Pernah tinggal di rumah kerajaan.

Gunung Tasik dan Gunung Gajah.
Tidak jauh dari permatang,
Banjaran gunung yang sangat indah
Tinggi sungguh Gunung Bintang.

Di belakang rumah terdapat gua
Boleh dimasuki jika berani
Ada pula batu yang besar
Badan kerbau lengkap berkaki.

Jika ke Lenggong ini gurindamnya
Tiada yang pandak panjang berjela
Bila dah pulang tak tahu kampungnya
Panjang umur berjumpa pula


NUKILAN Tok Aki Aji
Olak Lempit
4hb. Jan. 2014